Monday, October 27, 2008

ADAKAN PERHIMPUNAN AGUNG UMNO DISEMBER 2008

Majlis Tertinggi UMNO yang akan bermesyuarat pada 30 Oktober 2008 ini perlu mengkaji semula keperluan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang dijadualkan pada Mac 2009, diadakan pada tarikh yang ditetapkan sebelum ini - 16 Disember 2008.

Antara asas pertimbangan kepada cadangan ini adalah seperti berikut:

Satu: Tempoh antara tarikh terakhir bagi seluruh persidangan perwakilan UMNO di seluruh negara - 10 November 2008 - dengan tarikh PAU yang dijangkakan pada Mac 2009, adalah terlalu panjang.

Dua: Tempoh berkempen bagi seluruh calon jawatan tertinggi UMNO selama kira-kira empat bulan itu boleh mewujudkan suasana negatif terhadap kredibiliti, kelangsungan serta perpaduan UMNO, khususnya kerana ia boleh mengakibatkan amalan politik wang yang dijangka jadi lebih serius dan di luar kawalan, serta boleh menyebabkan proses politicking di antara sesama calon yang beranding jadi bertambah sengit.

Mantapkan UMNO

Tiga: Untuk memantap dan mengharmonikan perjuangan UMNO di semua peringkat di seluruh tanahair kerana ia penting bagi memulihkan semula serta mengukuhkan kembali keyakinan warga UMNO dan rakyat jelata terhadap Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Empat: Untuk menstabilkan semula siasah nasional dengan seberapa segera bagi membolehkan pucuk pimpinan BN, UMNO dan negara memfokus kepada perjuangan mengatasi kesan dan implikasi krisis ekonomi dunia yang sedang melanda sekarang ini demi kesejahteraan rakyat jelata seluruhnya.

Demikianlah cadangan saya sewaktu menyokong usul terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang dibentangkan oleh Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong, Johor, di persidangan perwakilan bahagian tersebut di Batu Pahat, semalam.

Majlis Tertinggi UMNO memutuskan dalam mesyuaratnya pada 26 September 2008 bahawa PAU yang dijadualkan pada 16 Disember 2008, ditunda kepada Mac 2009, untuk melicinkan proses peralihan kuasa yang lebih awal daripada Abdullah kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Khairy

Orang pertama yang mempertikaikan keputusan di atas adalah Khairy Jamaluddin selaku Naib Ketua Pemuda UMNO dan menantu Abdullah. Pada petang 26 September 2008, Khairy membuat kenyataan mengenai hal ini di Kemaman, Terengganu.

Khairy “menganggap keputusan Majlis Tertinggi UMNO” boleh merumitkan kempen calon-calon yang bertanding dalam pemilihan parti nanti di peringkat nasional.

Kata Khairy: "Kita tahu ini mungkin akan menjadi satu keputusan yang muktamad. Bagi mereka yang akan bertanding jawatan Ketua Pemuda Bahagian tak mengapa. Tetapi, untuk saya yang bertanding jawatan Ketua Pemuda, ia akan menjadi satu keputusan yang merumitkan kempen. Tempoh kempen akan menjadi lebih panjang dan ia bukan senang. Bayangkan kempen pilihan raya dua minggu pun tidak mudah inikan pula enam bulan. (Maknanya) dalam tempoh enam bulan itulah kita kena berkempen.”

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0927&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_04.htm

Mukhriz

Pada 27 September 2008, Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Mukhriz Mahathir, pula berpendapat, tindakan Majlis Tertinggi UMNO menangguhkan PAU dari Disember 2008 kepada Mac 2009 sebagai satu usaha “untuk menidakkan hak ahli akar umbi.”

Katanya, Daripada maklum balas yang beliau terima dari seluruh negara, penangguhan PAU itu “memberikan impak negatif dan ramai yang mahu supaya MT membatalkan penangguhan tersebut.”

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0928&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_05.htm

Pada 29 September 2008, UMNO Bahagian Muar membantah keputusan di atas. Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Mohd. Ismail Mohd. Shah berkata, bahagian itu mendesak supaya perhimpunan diadakan mengikut jadual asalnya.

"UMNO Bahagian Muar kecewa dengan penangguhan itu dan menyifatkannya sebagai tidak membantu usaha memulihkan kepercayaan rakyat dan menguatkan kembali parti,” katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0930&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_04.htm

Muhyiddin

Pada 16 Oktober 2008, Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengatakan bahawa tempoh kempen selama empat bulan untuk pemilihan UMNO adalah terlalu lama. Ia boleh menjejaskan produktiviti calon terutama yang mempunyai portfolio dalam kerajaan.

“Saya berkata demikian kerana ramai yang lain turut berkongsi kebimbangan yang sama kerana mungkin akan wujud isu politik wang dan merugikan daripada segi tenaga dan sumber dana.”

Kata Muhyiddin, ini merupakan kali pertama tempoh berkempen yang paling lama, iaitu selama empat bulan, berbanding sebulan sebelum ini, kerana untuk memenuhi pelan peralihan kuasa antara Presiden UMNO.

"Terdapat kebimbangan di kalangan calon-calon yang bertanding jawatan kerana buat pertama kali tempohnya adalah yang paling lama. Tidak pernah berlaku sebelum ini tempoh berkempen selama empat bulan, kerana kita mahu memenuhi pelan peralihan kuasa,” tambahnya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1017&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_06.htm

Mustapha Mohamed

Pada 17 Oktober 2008, Ahli Majlis, Datuk Mustapa Mohamed, berkata bahawa gejala politik wang di dalam UMNO tidak boleh dibiarkan berleluasa kerana ia mampu menjahanamkan parti dan menyebabkan orang Melayu hilang kepercayaan terhadapnya.

"Apa yang pasti, kita tidak boleh biarkan perkara ini menjadi satu budaya dalam UMNO kerana ia akan menjahanamkan UMNO dan akan menjadikan orang Melayu makin jauh daripada parti ini," katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1018&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_05.htm

Demikianlah antara pendapat dan komen para pemimpin UMNO mengenai tempoh kempen yang panjang ini. Keseluruhannya mencerminkan realiti kegelisahan warga UMNO akar umbi.

Oleh itu, oleh kerana Majlis Tertinggi UMNO dijangka mengkaji semula tempoh ini dalam mesyuaratnya pada pada 30 Oktober 2008, saya mendesak pucuk pimpinan UMNO, khususnya Abdullah, menghormati aspirasi dan kehendak warga UMNO akar umbi supaya tempoh itu dipendekkan dan PAU diadakan pada 16 Disember 2008.

Sebenarnya, beberapa bahagian di seluruh negara telah membuat usul mendesak kepimpinan UMNO mengadakan PAU pada Disember. Tetapi, kisah ini seolah-olah remeh dan diblackoutkan beritanya oleh sesetengah media perdana. – Ruhanie Ahmad

4 comments:

Berita dari gunung said...

Banyak benda yang kita takut dalam hidup ini terutama yang "first time".

Untuk Pak Lah ini bukan "first time out". Lama dulu, beliau dibiarkan diluar begitu saja untuk muhasabah diri.

Untuk Mukhriz, Khairy, Muhyiddin dan Najib pula ini adalah untuk "first time in" bagi jawatan baru.

Sebagaimana "first night" juga, dada berdebar. Lagi lama tunggu lagi berserabut.

Memang seperti mana yang diutarakan, tidak ada lojiknya perlu tunggu lama-lama. Untuk apa? Untuk secawan kopi dan sepotong kek?

Bukan isu tak sabar-sabar. Yang wajar disegerakan, usah tunggu-tunggu. Ada banyak benda lain yang wajar diuruskan selain berkempen tak sudah-sudah.

Pakatan Rakyat melanjutkan tempuh berkempen PRU12 melalui proksi mereka; hindraf dan bar council dengan matlamat merebut kuasa.

Tetapi UMNO melanjutkan kempen untuk melemaskan akar umbi dan melemahkan kepercayaan ahli dan rakyat terhadap kewajaran UMNO sebagai tonggak.

The quicker the better..... oh, the first time in, the first time out, the first night.

happy deepavali...

Mika Angel-0 said...

Sdr Ruhanie Ahmad,

MT Flip-Flop @ Half-Past Six SC

Apa bezanya nanti sekiranya Majlis Tertinggi yang hampir sama terbentuk selepas Perhimpunan Agong UMNO?

Adakah ia hanya sahaja faktor Abdullah's Men atau kewibawaan ahli-ahli Majlis Tertinggi itu sendiri?

Tun Mahathir pernah melekehkan kabinet kerajaan dengan lebel 'half past six'

Terima Kasih

M.H. PUTEH said...

sebabnya sangat mudah.kerana ingin menjaga air muka perdana menteri.

www.mencandat.blogspot.com

dizzy boy said...

Datuk Ron,
Mereka2 yg disebut oleh Datuk tadi,adalah mereka yg takut kalah dlm pemilihan nanti.Org lain tiada pun merungut ttg lamanya kempen pemilihan.Cuba Datuk bayang n berfikir,mereka yg meluah pendapat yg kempen terlalu lama,adakah mereka ini takut dgn kekalahan,atau tidak berwibawa untuk menjadi pemimpin yg disegani???Bagi sy itulah cara kita untuk berkempen dan tunjuk kemampuan kepada ahli2,baru ahli UMNO dpt boleh menilai sejauh mana keupayaan calon seseorang.Bg sy cukup bagus,kerap sikit calon2 yg bertanding turun padang,melawat..Adakah susah semua ini yg dianggap oleh pemimpin yg nak bertanding???PK2 la......