Tuesday, October 31, 2006


THE TOYOL CODE
- SATU REALITI
Bahagian Penutup
Oleh Ruhanie Ahmad

The Toyol Code sudah sampai ke babak terakhir. Mesej rahsianya sudah pun diakses oleh lebih 150000 pelayar internet tempatan dan internasional. Akibatnya, ada pihak yang teruja. Mereka teruja kerana mereka mungkin berpeluang jadi calon pilihanraya atau pun mungkin dilantik ke jawatan menteri tidak lama lagi. Tetapi, ada juga pihak yang bimbang kerana grand design yang didedahkan oleh The Toyol Code ini mungkin menjejaskan kestabilan politik Malaysia di hari muka.

Oleh itu, wajarlah sama-sama kita pastikan sama ada The Toyol Code ini satu fantasi, satu ilusi atau satu realiti. Wajarlah kita pastikan sama ada The Toyol Code ini cuma satu propaganda, satu ura-ura, atau satu fitnah.

The Toyol Code bukannya satu fantasi, ilusi, ura-ura, propaganda atau pun fitnah. The Toyol Cod adalah satu hakikat, satu kenyataan, satu realiti. Satu salinan CD yang mengandungi laporan komprehensif mengenai rombakan kabinet dan pilihanraya seperti didedahkan oleh The Toyol Code memang benar-benar wujud. Insan misteri yang mengirimkan The Toyol Code ini menyatakan kepada saya menerusi SMS, bahawa beliau sendiri memang sudah melihat salinan CD berkenaan.

Dibocorkan

Lebih menggemparkan lagi, katanya, salinan CD itu dipercayai telah dibocorkan kepada pihak tertentu oleh orang kuat kepada “budak hantu.” Orang kuat berkenaan dikatakan bertindak demikian kononnya kerana dia sendiri tidak setuju dengan perancangan besar yang terkandung dalam CD tersebut.

Bagaimanapun, kata sipengirim SMS itu lagi, CD itu tidak pula dibocorkan scara percuma. Ini bermakna bahawa salinan CD tersebut telah dibocorkan oleh orang kuat “budak hantu” kepada pihak yang berminat dengan harga yang agak tinggi. Berapa? Saya tidak tahu harga yang sebenar-benarnya? Tetapi, pengirim SMS itu tidak menafikan kalau harganya mencecah tujuh digit!

Menurut pengirim SMS terbabit lagi, CD berkenaan kini berada dalam simpanan pihak yang membelinya. Jika kumpulan “budak hantu” menafikan kewujudan CD itu, katanya, pihak yang kini memiliki salinan CD tersebut mungkin mendedahkan seluruh isi kandungan CD menerusi internet.

Saya tidak akan membuat sebarang komen mengenai hakikat di atas. Sebaliknya, terserahlah kepada anda sekalian untuk mencari dan membuat kesimpulan yang sewajar-wajarnya.

Musykil

Dalam pada itu, eloklah kalau kita sama-sama analisis kesahihan CD yang serba sedikit telah didedahkan kandungannya oleh The Toyol Code. Analisis ini boleh kita lakukan menerusi soalan-soalan strategik seperti berikut:

Satu: Benarkah wujud satu CD mengandungi laporan komprehensif mengenai rombakan kabinet dan pilihanraya. Jawabnya adalah seperti berikut:

“Perkara ini sudah confirm. Jangan tak percaya. Semua cv bakal-bakal calon sudah ada dalam CD laporan komprehensif menegnai rombakan kabinet dan pilihanraya. Pihak pakar kita tak nafikan apa yang dah dilihatnya dalam CD yang mengandungi laporan komprehensif mengenai cadangan rombakan kabinet itu. Katanya, CD yang mengandungi laporan terperinci itu adalah final dan kemungkinan besar rombakan kabinet pasti berlaku.”

Dua: Siapakah yang mengarahkan penyediaan CD yang mengandungi laporan komprehensif di atas, dan siapa pula yang melaksanakan arahan itu? Jawapannya adalah terkandung dalam dua mesej seperti berikut:

“Jangan terkejut. Perdana Menteri sudah setuju dengan laporan komprehensif ciptaan group “budak hantu” ini. Perdana Menteri sudah serah bulat-bulat pada “patrick” dan “budak hantu” ini buat keputusan.”

“Ini bukan khabar angin. Tapi, betul-betul akan berlaku. Sebabnya, Perdana Menteri sudah setuju dengan laporan komprehensif rombakan kabinet dan pilihanraya umum.”

Bagaimanapun, benarkah Perdana Menteri yang mengarahkan “budak hantu” dan “patrick” untuk menyediakan laporan komprehensif terbabit? Tidak mungkinkah pengirim SMS The Toyol Code mahu memfitnahkan Perdana Menteri? Soalan ini tidak dapat dijawab secara sahih. Bagaimanapun, sehingga hari ini, tidak ada satu pihak pun, waimah Pejabat Perdana Menteri, yang menafikan pendedahan The Toyol Code.

Anwar

Tiga: Benarkah penasihat kepada penyediaan laporan komprehensif di atas adalah mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang merupakan penasihat Parti Keadilan Rakyat? Jawapannya adalah seperti berikut:

“Penasihat kepada penyediaan laporan komprehensif ini adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim.”

Tetapi, di mana logiknya hakikat di atas? Mana mungkin seorang penasihat kepada sebuah parti pembangkang menasihati Perdana Menteri Malaysia?

Jadi, adakah hakikat di atas satu propaganda? Kalau propaganda, siapa penciptanya? “Budak hantu”? Kalau tidak, kita harap Datuk Seri Anwar atau mana-mana pihak Parti Keadilan Rakyat, nafikanlah hakikat ini seberapa segera.

Empat: Benarkah penyediaan laporan berkenaan membabitkan temasik group”? Jawapan kepada soalan ini adalah seperti dua mesej berikut:

“Penyediaan laporan kopmprehensif mengenai rombakan kabinet ini mungkin diiringi “orkestra the temasik group”. Sebab itu iramanya ala moden. Nada rap dan twist lebih banyak daripada irama lagu-lagu Melayu asli. Dari pandangan pakar kita, kandungan format laporan komprehensif mengenai rombakan kabinet ini mirip seperti temasik yang buat. Ada dua sebabnya. Satu, hanya format temasik sahaja yang guna-pakai sistem carta lurus yang berakhir degan menegak dan putaran lima bintang. Kedua, English dalam format laporan komprehensif mengenai rombakan kabinet itu bukan English cara Malaysia.”

Temasik

Tetapi, adakah maklumat di atas muktamad? Bolehkah kita terima hakikat bahawa satu entiti asing kini berperanan dalam menentukan rombakan kabinet dan pilihanraya umum di Malaysia? Tidak mungkinkah maklumat ini cuma dakyah dan fitnah?

Sebagaimana dihuraikan dalam Bahagian Dua The Toyol Code ini, kita tidak pasti sama ada perkataan “temasik” merujuk kepada “Temasik Holding,” syarikat pelaburan Kerajaan Singapura. Kita juga tidak berani meneka sama ada perkataan itu juga merujuk kepada “Kerajaan Singapura”.

Jadi, siapakah “temasik?” Siapa? Atau, demi mengelakkan sebarang kontroversi diplomatik, kita biarkan sahaja kod “temasik” ini jadi satu perkataan yang penuh misteri buat selama-lamanya.

Lima: Benarkah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, dikatakan akan terpinggir dan akhirnya terkeluar daripada bertanding dalam pilihanraya umum yang diura-urakan pada 2007? Jawapannya adalah seperti berikut:

“Lepas ni, nampak gayanya Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak kenalah balik ke Pekan. Dia dah tak ada kawan lagi. Semua kawan-kawan “budak hantu” yang jadi calon pilihanraya dan anggota kabinet. Last sekali, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak kenalah balik ke Pekan. Dengan sendirinya dia mungkin tak berpeluang lagi untuk jadi calon pilihanraya 2007.”

Dalam Bahagian Lima The Toyol Code, saya mengajak anda semua mengelak daripada melakukan tafsiran kepada soal di atas. Ini kerana implikasinya amat besar dan sangat luas.

Bagaimanapun, kita wajar bertanya, adakah laporan komprehensif mengenai rombakan kabinet dan pilihanraya yang dibincangkan dalam The Toyol Cod ini juga merupakan satu konspirasi oleh pihak tertentu untuk meminggir dan menyingkirkan Datuk Seri Mohd Najib secara sistmatik?

Tidakkah konspirasi seperti ini boleh membawa bencana? Benarkah Perdana Menteri merestui konspirasi seperti ini? Tidakkah implikasi hakikat ini boleh menjejaskan agama, bangsa dan negara?

Saya harap hakikat di atas tidaklah benar. Tetapi, bagaimanakah kalau ianya betul? Adakah Perdana Menteri sedia bertanggungjawab dengan konspirasi seperti ini?

Kesimpulan

Demikianlah kemusykilan strategik di sebalik pendedahan The Toyol Code. Saya tidak mahu bertanya kepada sipengirim SMS untuk mempastikan sebarang keraguan yang mungkin wujud.

Tetapi, saya yakin sipengirim itu juga membaca The Toyol Code ini. Oleh itu, saya harap beliau akan mengirimkan SMS kepada saya kalau apa yang telah dipecahkan kodnya selama ini adalah meleset atau tersilap sasaran.

Akhir kata, tidakkah anda bersetuju dengan saya bahawa The Toyol Code ini adalah satu grand design yang membabitkan Malaysia, membabitkan masa depan, membabitkan kedaulatan, membabitkan kemerdekaan, membabitkan kesejahteraan, dan mungkin juga membabitkan keselamatan dan keamanan.

Lantas, fikirkanlah sendiri apa yang perlu anda lakukan. Saya hanya mampu berjuang menerusi pena dan pnulisan. Anda bagaimana?

Tetapi, walau apa pun yang hendak anda lakukan, buatlah secara bertanggungjawab dan membina. Saya ucapkan selamat berjuang demi agama, bangsa dan negara.
- The Toyol Code akan dikemaskinikan dan diedit semula tidak lama lagi. Kemudiannya ia akan dipublish sebagai E-Book.

Monday, October 30, 2006


PEMUDA KEDAH CADANG
DR. M DIGANTUNG KEAHLIAN

ALOR STAR 20 Okt. – Pergerakan Pemuda UMNO Kedah mencadangkan supaya keahlian UMNO Tun Dr. Mahathir Mohamad digantung berikutan tindakannya yang terus mengkritik kerajaan.

Ketua Pemuda UMNO Kedah, Mohd. Rawi Abdul Hamid berkata, langkah tersebut perlu diambil kerana kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr. Mahathir telah menimbulkan kontroversi.

“Pemuda Kedah meminta pucuk pimpinan UMNO mengambil tindakan disiplin terhadap beliau mengikut peruntukan seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti.

“Tindakan tegas itu perlu diambil supaya semua anggota UMNO patuh kepada perlembagaan parti tanpa mengira sesiapa.

“Jika perbuatan seseorang itu dilihat boleh menjejaskan parti, tindakan disiplin sama ada amaran atau menggantung keahlian mesti diambil,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Negeri di sini.

- Dipetik daripada Utusan Malaysia 30 Oktober 2006.
DR M PERLU MOHON MAAF
SECARA TERBUKA KEPADA PM

KUALA TRENGGANU 29 Okt. – Badan Perhubungan UMNO Terengganu hari ini mendesak Tun Dr. Mahathir Mohamad memohon maaf secara terbuka kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung kritikan keras beliau terhadap kepimpinan Perdana Menteri.

Setiausahanya, Datuk Rosol Wahid berkata, permohonan maaf daripada bekas Perdana Menteri itu adalah cara terbaik untuk menangani isu trsebut.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, sebarang tindakan keras termasuk usaha memecat Dr. Mahathir daripada UMNO perlu dielakkan supaya parti tidak menghadapi masalah lebih besar terutama dari segi perpaduan ahli.

“Tun wajar diberi peluang untuk memohon maaf secara terbuka kepada Perdana Menteri sebelum sebarang tindakan diambil ke atas beliau,” kata Rosol di sini.

- Dipetik daripada Utusan Malaysia 30 Oktober 2006.

MT BINCANG JAWATAN DR. M
SEBAGAI PENASIHAT AGENSI
SYARIKAT MILIK KERAJAAN

KUALA LUMPUR 29 Okt. – Kedudukan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai penasihat beberapa agensi dan syarikat milik kerajaan dijangka dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO Khamis ini.

Langkah membawa isu itu ke mesyuarat MT UMNO diambil sebagai salah satu jalan penyelesaian kepada perbalahan dan kritikan berterusan Dr. Mahathir terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Setiausaha Kerja UMNO, Brigedier Jeneral (B) Datuk Husainay Hashim berkata, sebarang perkara yang membabitkan parti sudah tentu akan dibincangkan dalam mesyuarat MT UMNO.

Bagaimanapun, beliau tidak memberikan butiran lanjut mengenai perkara-perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat itu yang diadakan dua minggu sebelum Perhimpunan Agung UMNO dari 13 hingga 17 November ini.

Dr. Mahathir merupakan penasihat kepada beberapa agensi dan syarikat milik kerajaan seperti Petronas, Proton dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

- Dipetik daripada Utusan Malaysia 30 Oktober 206.
http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik
KENYATAAN MEDIA

PEMUDA IPOH BARAT
BIDAS MOHD SABRI ALWI

Saya di sini membidas kenyataan yang dibuat oleh Sdr Mohd Sabri Alwi, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Terengganu Darul Iman yang dipetik sebagai berkata “….Pemuda Umno Terengganu meminta Tun Dr Mahathir Mohamad keluar daripada Umno jika bekas Perdana Menteri itu terus menerus tidak bersetuju dan lantang mengkritik kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.”

Mohd Sabri juga dipetik sebagai berkata,“Sepatutnya Majlis Tertinggi Umno mengenakan tindakan disiplin terhadap Tun Dr Mahathir kerana tindakannya itu menyebabkan rakyat keliru dan boleh memecahbelahkan perpaduan Umno serta orang Melayu. […] Sekarang beliau hanya bekas pemimpin parti dan telah menjadi seorang ahli biasa, beliau tidak sepatutnya bertindak keterlaluan dengan berterusan mengkritik seolah-olah merasakan dia masih mempunyai kuasa sebagai seorang presiden."

Sebagai Pemangku Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat, saya menyelar sekeras-kerasnya kenyataan Mohd Sabri Alwi yang kurang ajar dan biadap terhadap Perdana Menteri Malaysia keempat, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad.

Seharusnya sebagai pemimpin di kalangan rakyat, Mohd Sabri wajar menunjukkan kebijaksanaan dan sikap yang lebih rasional dalam memahami serta memberi penerangan isu-isu kedaulatan yang keutarakan oleh YABhg Tun dan membuat penilaian sewajarnya.

Saya mendapat maklum daripada rakan-rakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian di Terengganu bahawa kenyataan ini dibuat oleh Mohd Sabri tanpa mendapat persetujuan dan/atau mandat mereka. Ini adalah kenyataan politik Mohd Sabri secara persendirian dan bukannya mewakili Ketua Pemuda UMNO Bahagian di Negeri Terengganu yang lain.

Malah kenyataan beliau mewakili Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu itu sebenarnya tidak mencerminkan pendirian Pergerakan Pemuda Negeri tersebut yang sebenar. Mengikut maklumat yang saya terima, tidak ada mesyuarat yang khusus memperbincangkan perihal kenyataan tersebut. Ini hanyalah pendirian beliau secara peribadi yang membelakangkan ahli-ahli beliau sendiri.

Saya percaya bahawa Mohd Sabri telah menyalahgunakan kedudukan beliau sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Terengganu membuat kenyataan kurang ajar tersebut dan menconteng arang terhadap imej dan integriti keseluruhan Pergerakan Pemuda UMNO di negeri tersebut.

Saya percaya bahawa pendirian yang dibuat oleh sebilangan pemimpin-pemimpin UMNO khususnya Ketua Pemuda UMNO Negeri Terengganu yang bernama Mohd Sabri Alwi tersebut adalah sebab musabab sebenar perpecahan di dalam Parti. Sikap mereka yang secara terbuka menyatakan sifat tidak mengenang budi, tidak menghormati mereka yang lebih tua, sikap mereka yang tidak tahu menghormati pemimpin-pemimpin terdahulu dan sikap mereka yang kurang ajar terhadap mereka yang berjasa, adalah sikap yang dibenci dan tidak langsung mempamerkan ajaran Islam mahupun budaya Melayu yang terpuji. Malah sebagai seorang pemimpin generasi muda di Negeri yang bergelar Darul Iman, Mohd Sabri telah menunjukkan sikap songsang terhadap perjuangan, idealisma serta identiti seorang Pemimpin UMNO yang beragama Islam dan berbangsa Melayu.

Sikap angkuh dan kurang ajar inilah yang akan memecahbelahkan UMNO, bangsa Melayu, umat Islam seterusnya menggugat kekuatan UMNO di dalam Barisan Nasional apabila menghadapi Pilihanraya Umum ke 12 kelak.

Rakyat Malaysia terkenal dengan budaya ketimurannya yang halus. Perlakuan segolongan pemimpin UMNO sebagaimana ditunjukkan oleh Sdr Mohd Sabri mempamerkan keangkuhan, riak, ujub dan takabbur, yang sudah pasti akan ditolak oleh mana-mana bangsa mahupun agama di dalam Negara.

Oleh yang demikian itu, saya secara peribadi membidas pendirian dan kenyataan Mohd Sabri, yang telah membuat kenyataan mewakili Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Terengganu sebagai kelakuan yang menyalahi etika seorang pemimpin UMNO seterusnya menjadi satu contoh yang buruk seorang pemimpin Melayu Islam.

Saya seterusnya menggesa pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO khususnya di peringkat Perhubungan UMNO Negeri Terengganu agar mengambil perhatian serius kebiadapan Mohd Sabri dan mengambil tindakan yang keras sebagai pembuktian bahawasanya UMNO itu mewakili peradaban, filosofi dan budaya Melayu Islam yang sebenar.

Faizal Azumu
Pemangku Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat
Negeri Perak Darul Ridzuan
+6 019 572 6777

Press release ini telah disahkan oleh Sdr Faizal Azumu pada jam 9.00 pagi 30/10/06

Sunday, October 29, 2006

KERAJAAN PERLU BERI PENJELASAN RASIONAL
TERHADAP DAKWAAN DR MAHATHIR

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Kerajaan perlu memberi penjelasan rasional bagi menyanggah sebarang dakwaan yang timbul dalam pertelagahan antara Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sekarang, kata bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata kerajaan mesti memberi tumpuan kepada menjawab dakwaan mengenai isu dan polisi yang ditimbulkan oleh bekas Perdana Menteri itu dan bukan bertindak "menyimpang".

"Saya tidak berminat terlibat dalam sengketa mereka tetapi terdapat dakwaan yang membabitkan dasar yang serius oleh kerana (dakwaan datang dari) bekas perdana menteri selama 22 tahun. Perkara ini mesti dibincang dan dipertimbangkan (oleh kerajaan).

"Tidak guna kerajaan berada dalam kedudukan membuat penafian, tetapi perlu memberi jawapan memuaskan," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Bukit Damansara, di sini hari Ahad.

Anwar, penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), ditanya pandangannya mengenai pertelagahan antara Abdullah dan Dr Mahathir, terutama selepas mereka mengadakan pertemuan empat mata Ahad lepas.

Beliau berkata Dr Mahathir, sebagai seorang warga negara, berhak mengkritik pentadbiran sekarang dan ini memerlukan penjelasan lengkap dari kerajaan, khususnya tentang dakwaan berhubung isu dan dasar.

"Kita mungkin tak sependapat dengan Tun (Dr Mahathir). Saya tak setuju dengan cara mencaci. Saya tak percaya penyelesaian ialah dengan bertindak zalim kepadanya. Saya hormati hak Dr Mahathir (untuk mengkritik). Kalau kenyataan itu berasas, kerajaan kena jawab," tambahnya.

Anwar berkata setakat ini, jawapan kerajaan terhadap dakwaan Dr Mahathir tidak begitu meyakinkan oleh kerana "beberapa orang tokoh setakat berkata Dr Mahathir tidak sepatutnya mengkritik Perdana Menteri".

Ditanya sama ada pertelengkahan Abdullah-Dr Mahathir akan berakhir, Anwar berkata: "Saya tidak nampak cara ia akan selesai dalam masa terdekat".

"Bekas perdana menteri mengambil pendirian tegas. Isunya bukan setakat beberapa dasar tetapi kritikan cukup hebat terhadap pentadbiran," kata beliau.

-- BERNAMA
http://www.bernama.com.my/bernama/v3/bm/news.php?id=226823
PERLEMBAGAAN
UMNO MALAYSIA

Di bawah ini saya paparkan Fasal 1, Fasal 2, Fasal 3, Fasal 4, Fasal 5 dan Fasal 6 Perlembagaan UMNO Malaysia untuk tatapan anda semua. Saya harap anda sekalian membacanya dengan dada dan hati terbuka. Saya harap anda semua membacanya dengan ikhlas dan jujur. Fasal-fasal berkenaan adalah seperti berikut:

FASAL 1:
NAMA

Pertubuhan ini dikenali dengan nama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO (United Malays National Organisation)

FASAL 2:
COGANKATA

Cogankata UMNO IALAH:- BERSATU - BERSETIA - BERKHIDMAT

FASAL 3:
ASAS DAN TUJUAN

UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruh dan martabat bangsa, agama dan negara.

3.1 Mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara.

3.2 Mendukung dan mempertahankan Perlembagaan Negara, Perlembagaan Negeri-negeri dan Raja Berpelembagaan.

3.3 Menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebangsaan beragama.

3.4 Mempertahankan kedaulatan rakyat dan keadilan sosial dengan mengamalkan Sistem Pemerintahan Demokrasi Berparlimen serta memajukan ekonomi rakyat Melayu dan Bumiputera khasnya dan rakyat Malaysia amnya.

3.5 Menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) sebagai bahasa rasmi yang tunggal dan Kebudayaan Kebangsaan yang berteraskan Kebudayaan Melayu.

3.6 Mewujudkan kerjasama antara kaum bagi melahirkan satu bangsa Malaysia yang kuat dan bersatu berasaskan kepada hak-hak Asasi Manusia dan Hak-Hak Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera.

FASAL 4:
JENIS AHLI

4.1 Ahli-ahli UMNO adalah dua jenis:

4.1.1 Ahli Biasa

4.1.2 Ahli Bergabung

4.2 Ahli Biasa ialah Warganegara Malaysia yang berbangsa Melayu atau Bumiputera yang berusia 18 tahun keatas.

4.3 Ahli Bergabung ialah sebuah pertubuhan politik yang bersetuju berkerjasama dengan UMNO dan menerima syarat-syarat yang ditetapkan oleh Majlis Tertinggi.

FASAL 5:
PENDAFTARAN KEAHLIAN

5.1 Tiap-tiap orang Melayu dan Bumiputera berhak mendaftar diri sebagai ahli UMNO mengikut Perlembagaan dan peraturannya.

5.2 Permohonan mendaftar sebagai ahli biasa hendaklah dikemukaan kepada Jawatankuasa Cawangan yang dikehendaki menerima dan meluluskan permohonan tersebut.

5.3 Borang pendaftaran menjadi ahli hendaklah ditandatangani oleh pemohon dan seorang pencadang dari ahli daripada Cawangan di mana ia memohon menjadi dan hendaklah disertakan dengan bayaran wang pendaftaran dan yuran mengikut Fasal 25.1.

5.4 Jika pemohon tidak didaftar sebagai ahli dalam satu bulan, ia boleh melapor hal ini kepada Jawatankuasa Bahagian dan Jawatankuasa Bahagian mesti mengarah Jawatankuasa Cawangan mendaftar pemohon tersebut sebagai ahli.

5.5 Jika Jawatankuasa Bahagian tidak melaksanakan mengikut Fasal 5.4 atau Jawatankuasa Cawangan masih enggan mematuhi arahan Jawatankuasa Bahagian, pemohon boleh dalam satu bulan, melapor kepada Majlis Tertinggi yang selepas menimbang apa-apa bantahan di bawah Fasal 5.6, jika ada, mengarah Jawatankuasa Cawangan mendaftar pemohon itu sebagai ahli.

5.6 Mana-mana ahli boleh melapor kepada Majlis Tertinggi atas mana-mana pemohon yang difikirkan tidak layak menjadi ahli serta memberi sebab-sebabnya.

5.7 Majlis Tertinggi berhak membuat apa-apa keputusan atas mana-mana permohonan pendaftaran keahlian atau taraf sesuatu pendaftaran itu (termasuk menarik balik pendaftaran) dan keputusan itu adalah muktamad.

5.8 Pertubuhan yang hendak menjadi Ahli Bergabung hendaklah menghantar permohonannya dengan bertulis yang ditandatangani oleh Yang Dipertua dan Setiausaha kepada Setiausaha Agung UMNO.

5.9 Majlis Tertinggi UMNO berkuasa menetapkan borang permohonan wang pendaftaran dan yuran ahli.

FASAL 6:
TANGGUNGJAWAB DAN HAK AHLI

6.1 Tiap-tiap ahli mempunyai tanggungjawab seperti berikut:
6.1.1 Memegang teguh dasar parti dan melaksanakan tujuan-tujuannya.

6.1.2 Mendaftar diri sebagai pengundi dan mengundi di setiap pilihan raya, melainkan atas sebab-sebab yang boleh diterima oleh Majlis Tertinggi.

6.1.3 Menghadiri mesyuarat-mesyuarat dan mengambil bahagian dalam kegiatan-kegiatan parti.

6.1.4 Menjalankan kerja-kerja parti dan mematuhi tataetika, perintah-perintah dan disiplin parti.

6.1.5 Menyokong calon-calon parti yang bertanding dalam pilihan raya.

6.1.6 Berkhidmat kepada orang ramai.

6.1.7 Bersedia dan sanggup menentang musuh-musuh negara.
6.2 Tiap-tiap ahli mempunyai hak-hak yang berikut:
6.2.1 Bercakap dan mengemukakan pendapat-pendapat dan mengundi di dalam mesyuarat-mesyuarat parti.

6.2.2 Memilih, dipilih dan dilantik untuk sebarang jawatan di dalam parti.

6.2.3 Mengambil bahagian dalam pilihan raya dan menerima lantikan parti sebagai seorang calon.

6.2.4 Ahli-ahli yang sedang di dalam cadangan atau dipecat tidaklah hilang hak keahlinnya.

6.2.5 Ahli-ahli yang tidak menjadi wakil ke mesyuarat Perwakilan Bahagian atau Perhimpunan Agung boleh dicalonkan dan bertanding di peringkat yang berkenaan sekiranya memenuhi syarat di bawah Fasal 9.5 dan Fasal 15.5.

6.2.6 Ahli-ahli yang tidak hadir di Persidangan Cawangan boleh dicalonkan dan bertanding sebarang jawatan atau sebagai wakil ke Perwakilan Bahagian dengan menyatakan persetujuannya secara bertulis.
6.3 Seseorang ahli itu tidak berhak
6.3.1 Menjadi ahli lebih daripada satu Cawangan.

6.3.2 Mewakilkan hak mengundinya kepada sesiapa jua pun.

6.3.3 Menggunakan haknya di bawah Fasal 6.2 sekiranya ia tidak menjelaskan yuran mengikut peruntukan dalam Perlembagaan.

6.3.4 Menggunakan haknya di bawah Fasal 6.2 jika dilarang di bawah akta Pertubuhan 1966 atau setakat mana ia dikenakan hukuman disiplin di bawah Fasal 20.9 dan 20.10.

6.3.5 Menjadi Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Pemeriksa Kira-Kira atau Ahli Jawatankauasa lebih daripada satu Cawangan atau Bahagian melainkan dengan kebenaran bertulis daripada Majlis Tertinggi.

6.3.6 Menjadi Ahli Jawatankuasa di peringkat yang sama di mana ia telah dipilih menjadi Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap atau Pemeriksa Kira-kira dan sebaliknya.

6.3.7 Mengambil bahagian bercakap, mengundi, memilih dan dipilih dalam Persidangan Cawangan dan Perwakilan Bahagian selain daripada Cawangan dan Bahagian di mana ia menjadi ahli.

6.3.8 Mengambil bahagian bercakap, mengundi, memilih dan dipilih dalam mana-mana Cawangan atau Bahagian baru yang dimasukinya, kiranya ahli telah menggunakan haknya itu dalam Cawangan atau Bahagian asalnya bagi tahun berkenaan.

Setelah membaca seluruh fasal di atas, anda tanyakanlah kepada diri sendiri soalan-soalan berikut:

Adakah Perlembagaan UMNO membezakan ahlinya yang sudah atau belum bersara daripada mana-mana jawatan rasmi?

Adakah Perlembagaan UMNO menyebut bahawa UMNO hanya milik eksklusif ahli-ahlinya yang berjawatan dalam parti dan kerajaan sahaja?

Adakah Perlembagaan UMNO melarang mana-mana ahli UMNO bersuara selaras dengan cita-cita UMNO untuk mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara?

Kalau jawapan kepada ketiga-tiga soalan di atas adalah negatif, anda berilah tahu kepada semua pihak yang kebelakangan ini beranggapan bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad perlu “keluar daripada UMNO” dan “berhenti daripada seluruh jawatan dalam agensi kerajaan” jika mahu terus mengkritik UMNO dan Datuk Seri Abdullah Ahmad.

Pada waktu yang sama, anda tanyalah kepada kelompok tersebut, adakah mereka mahu mencadangkan semoga Perlembagaan UMNO Malaysia dipinda untuk menghalalkan cadangan mereka supaya Tun Dr. Mahathir Mohamad “keluar daripada UMNO” dan “mengosongkan semua jawatannya dalam agensi kerajaan” jika hendak terus mengkritik Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO Malaysia mutakhir ini? – Ruhanie Ahmad.

MB KEDAH
MINTA DR. M LETAK JAWATAN
PENASIHAT AGENSI KERAJAAN

KUALA NERANG 28 Okt. – Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid hari ini menyarankan Tun Dr. Mahathir Mohamad melepaskan jawatan penasihat di beberapa agensi kerajaan jika beliau berhasrat untuk terus mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

“Jika Tun hendak lanyak kerajaan juga, eloklah lepaskan semua jawatan itu dan jadilah individu bebas yang tidak ada kena-mengena dengan kerajaan, barulah betul. Jika tidak, apa gunanya jadi penasihat,” katanya.

“Pada masa Tun membuat kritikan terhadap kerajaan, beliau masih menjadi penasihat kepada banyak agensi kerajaan seperti Petronas, Proton dan LADA (Lembaga Pembangunan Langkawi),” tambah Mahdzir.

Sambil menyatakan beliau tidak lagi yakin dengan bekas Perdana Menteri itu, Mahdzir menganggap kritikan berterusan Dr. Mahathir terhadap pentadbiran Abdullah sebagai perbuatan seorang ahli UMNO yang melampaui batas.

Mahdzir berkata: “Masa Tun memerintah tiada orang berani mengkritik beliau. Dia guna kuasa dia, guna Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tangkap orang dan sekarang dia kata negara ini telah menjadi negara polis.”

Menteri Besar Kedah itu menganggap Dr. Mahathir bercakap bagi pihak orang lain apabila beliau menulis surat kepada media mengenai orang yang menentang Abdullah ditangkap dan projek mereka dibatalkan.

Katanya, kesediaan Abdullah untuk ditegur dan mengutamakan musyawarah dalam membuat keputusan adalah sikap terpuji dan ikhlas Perdana Menteri.

Bagaimanapun, tindakan Dr. Mahathir menghebahkan kepada umum beliau “bercakap seorang diri” selama satu setengah jam pada perjumpaan dengan Abdullah baru-baru ini seolah-olah mengugut Perdana Menteri yang tidak banyak bercakap.

“Tun perlu sedar perbuatannya (mengkritik) tidak pernah dibuat oleh bekas-bekas Perdana Menteri sebelum ini,” kata Mahdzir.

Menteri Besar berkata, beliau yakin tindakan keras Dr. Mahathir untuk terus mengkritik kerajaan akan menyebabkan orang ramai khususnya ahli-ahli UMNO hilang rasa hormat kepadanya sebagai negarawan.

“Saya rasa orang Kedah sendiri pun malu dengan tindakan Tun dan akan hilang rasa hormat kepada dia,” tambah Mahdzir.

Menurut Mahdzir, sebagai bekas Perdana Menteri adalah wajar bagi Dr. Mahathir memberi peluang kepada kepimpinan sekarang untuk mentadbir negara.

Katanya, Perhubungan UMNO Kedah tidak perlu memberikan penjelasan kepada anggotanya mengenai isu itu dan beliau yakin mereka sudah melihat situasi dalam perspektif yang berlainan berbanding pada awal Dr. Mahathir melemparkan kritikan terhadap kerajaan.

- Bernama
http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=1029&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_02.htm

PEMUDA TERENGGANU
MINTA MAHATHIR
KELUAR DARIPADA UMNO

KUALA TERENGGANU, 28 Okt (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad diminta keluar daripada Umno jika terus menerus tidak bersetuju dan lantang mengkritik kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Ketua Pemuda Umno Terengganu Mohd Sabri Alwi berkata sikap Dr Mahathir yang masih berterusan mengkritik walaupun baru mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri menggambarkan seolah-olah beliau masih ingin berkuasa walaupun hakikat sebenarnya beliau telah menjadi seorang pesara.

"Sepatutnya Majlis Tertinggi Umno mengenakan tindakan disiplin terhadap Tun Dr Mahathir kerana tindakannya itu menyebabkan rakyat keliru dan boleh memecahbelahkan perpaduan Umno serta orang Melayu.

"Sekarang beliau hanya bekas pemimpin parti dan telah menjadi seorang ahli biasa, beliau tidak sepatutnya bertindak keterlaluan dengan berterusan mengkritik seolah-olah merasakan dia masih mempunyai kuasa sebagai seorang presiden," katanya.

Beliau berkata, sudah sampai masanya bekas Perdana Menteri itu berhenti bercakap sebelum keadaan menjadi bertambah kusut.

"Cukuplah... dah bersara buatlah cara bersara. Sudah 22 tahun dia berkuasa dan sudah 22 tahun orang mendengar cakapnya. Dah sampai masa dia berhenti bercakap dan berilah peluang kepada Pak Lah untuk memimpin pula kali ini," katanya.

- BERNAMA
http://www.bernama.com.my/bernama/v3/bm/news.php?id=226719

PEMUDA UMNO
MELUAT BOSAN
SIKAP DR. MAHATHIR

KUALA LUMPUR 27 Okt. - Pergerakan Pemuda UMNO hari ini melahirkan rasa meluat dan bosan dengan sikap Tun Dr. Mahathir Mohamad yang terus menerus mengkritik Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau sama sekali tidak akan membiarkan tumpuan seluruh ahli pergerakan itu terjejas disebabkan polemik yang timbul dan berasa berbelah-bahagi.

‘‘Sokongan Pemuda kepada Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO serta kepimpinannya tidak boleh dipersoal.

‘‘Kita akan terus mempertahankan institusi parti dan pastikan perjuangannya terus relevan,’’ katanya kepada Utusan Malaysia.

‘‘Kita akan buktikan bahawa kerajaan di bawah kepimpinan Pak Lah tetap relevan, bertanggungjawab, komited, bekerja kuat dan bersemangat tinggi untuk memberi kesejahteraan serta kemajuan kepada seluruh rakyat negara ini,’’ katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=1028&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_01.htm


[Dengan takzimnya, saya harap anda bacalah ketiga-tiga item berita di atas dengan teliti. Sesudah itu, anda tepuklah dada dan tanyalah selera anda sendiri.

Bagaimana rasanya? Oppp… Tak payahlah anda beritahu saya apa perasaan anda sesudah membaca berita berkenaan. Saya sendiri pun tak akan nyatakan kepada anda apa reaksi saya terhadap berita di atas.

Pokoknya, kini memang jelas wujud satu fenomena di mana orang yang dah bersara nampaknya tak boleh cakap banyak. Orang yang dah bersara tak boleh kritik sapa-sapa. Orang yang dah bersara buatlah cara bersara.

Apakah nama fenomena ini? Adakah ini yang dikatakan sebagai fenomena SLS atau Sindrom Lupa Sejarah?

Apa pun, izinkanlah saya bertanya. Apakah UMNO mutakhir ni cuma milik eksklusif orang yang belum pencen? Bila pilihanraya kelak, orang yang belum pencen saja ke yang mesti keluar mengundi? – Ruhanie Ahmad.]

Friday, October 27, 2006


THE TOYOL CODE
- MESEJ SEPENUHNYA
Bahagian Enam
Oleh Ruhanie Ahmad

Ratusan ribu orang kini membaca The Toyol Code. Hakikatnya begitu kerana menjelang Aidilfitri dan sepanjang cuti Hari Raya, The Toyol Code memang jadi semakin panas. Dalam 13 hari, ia menerima hampir 120000 hits. Sejumlah 80 peratus daripada hits tersebut adalah daripada pelayar internet dalam negeri. Bakinya adalah daripada pelayar internet luar negara, majoritinya daripada Britain dan Amerika Syarikat.

Seorang sahabat menyatakan bahawa Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, mengikuti perkembangan The Toyol Code. Seorang Timbalan Menteri tergesa-gesa pulang daripada Umrah di Tanah Suci kerana ramalan The Toyol Code. Seorang Setiausaha Parlimen terkial-kial mencari kepastian sama ada The Toyol Code ini satu fantasi atau pun realiti. Sumber-sumber pula memberitahu saya bahawa The Toyol Code juga diikuti perkembangannya oleh segolongan pemimpin di Indonesia dan Singapura.

Begitulah hakikatnya The Toyol Code kebelakangan ini. Seorang sahabat saya di
www.generasi-m.com menyatakan bahawa pemaparan The Toyol Code menerusi lamanweb itu menerima sejumlah 106945 hits daripada 13 Oktober hingga 26 Oktober 2006. Majoriti yang membuat hits berkenaan adalah kelompok professional dalam lingkungan umur 25 tahun ke atas.

Hit-counter di
www.kuda-kepang.blogspot.com yang dipasang pada 7 Oktober 2006, pula meningkat daripada 2000 pada 13 Oktober 2006, kepada 12676 pada 26 Oktober 2006. Ini bermakna bahawa sejak 13 Oktober hingga 26 Oktober, The Toyol Code sudah menerima sejumlah 119621 hits menerusi blog kuda-kepang dan lamanweb generasi-m.com.

Fitnah

Berasaskan perkembangan di atas, adakah Perdana Menteri, “budak hantu” dan “patrick” mahu memandang ringan sambutan besar terhadap The Toyol Code ini? Adakah mereka akan menafikan bahawa laporan komprehensif mengenai rombakan kabinet dan pilihanraya umum yang dijangka berlaku pada awal 2007, seperti yang disampaikan oleh pengirim misteri menerusi The Toyol Code kepada saya, adalah palsu, fitnah, atau rekaan semata-mata?

Pada waktu yang sama, mustahilkah kalau The Toyol Code telah menjadi salah satu topik perbualan yang hangat semasa Hari Raya di seluruh negara? Lantas, adakah saya yang akan dipersalahkan kalau The Toyol Code telah merangsang segolongan rakyat Malaysia jadi marah terhadap pihak-pihak yang dikatakan bertanggungjawab menyediakan “grand design” mengenai rombakan kabinet dan pilihanraya umum 2007 seperti yang didedahkan oleh The Toyol Code?

Akibat hits yang tinggi seperti di atas, ada seorang sahabat mengirimkan amaran kepada saya supaya saya “stand by beg pakaian untuk dijemput ke Kem Kemunting, Perak.” Maksud amaran itu ialah saya mungkin di tahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA sebab mendedahkan grand design ciptaan “budak hantu” dan “patrick” menerusi The Toyol Code ini.

Dan, akibat populariti The Toyol Code inilah juga agaknya maka kini tersebar ura-ura di Kuala Lumpur bahawa saya, Ruhanie bin Ahmad, Ahli UMNO Nombor 0003472, daripada Cawangan Danasari, Bahagian Parit Sulong, Batu Pahat, Johor, akan dipecat daripada UMNO tidak lama lagi?

Secara lebih khusus, ura-ura itu mengatakan bahawa kononnya saya telah disenaraikan sebagai orang ketiga daripada 2000 ahli UMNO di seluruh negara \yang akan dipecat tidak lama lagi. Orang pertama dalam senarai itu kononnya adalah, tidak lain dan tidak bukan, melainkan Ahli UMNO Nombor 0000001, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Adakah ini hanya satu ura-ura liar? Hanya Tuhan sahaja yang Maha Mengetahui. Bagaimanapun, pada 3 November 2006 ini dikatakan akan ada satu pertemuan di Putrajaya antara Presiden UMNO Malaysia dengan lebih kurang 40 individu pilihan daripada seluruh negara kononnya untuk memuktamadkan senarai berkenaan.

Kebenaran

Oleh itu, sebagai langkah pre-emtif, izinkanlah saya ulangi kata-kata saya dalam blog ini pada 10 Oktober 2006, bahawa saya bersedia dipecat daripada UMNO asalkan ia memang benar-benar demi kebaikan agama, bangsa dan negara yang saya cintai. Ini kerana saya bukannya pelacur politik dan saya juga tidak pernah melacurkan karya tulisan saya untuk mendapatkan sesuap nasi atau seteguk madu daripada sesiapa. Saya menulis demi kebenaran. Saya menulis untuk membolehkan rakyat Malaysia menegak serta menjunjung kebenaran. Saya menulis demi agama, bangsa dan negara.

Dalam konteks ini, saya amat berterima kasih kepada sahabat blogger Mahaguru 58 yang mendorong saya “terus menulis, menegur mana-mana yang patut, membetulkan apa-apa yang dapat, serta memartabatkan Ad Deen ul Haqq, sebagai matlamat perjuangan hidup” saya.

Beliau juga menyatakan “Allah SWT pasti merahmati” saya seandainya saya “berdiri di atas landasan kebenaran dan berani merubah keadaan berasaskan keadilan dan kesinambungan usaha para pemimpin Mukmin sejati!”

Saya harap kata-kata perangsang di atas juga boleh dikongsikan oleh anda semua. Ini kerana anda sekalian telah membantu saya memecahkan seluruh mesej rahsia di sebalik The Toyol Code ini sebanyak enam siri.

Saya yakin dan percaya bahawa pengirim SMS yang mengandungi The Toyol Code ini juga mempunyai niat menegakkan kebenaran. Kalau tidak, buat apa dia kirimkan mesej yang membabitkan kepentingan agama, bangsa dan negara ini kepada saya untuk sama-sama dipecahkan kodnya oleh anda sekalian?

Bukankah demikian hakikatnya? Tidakkah kita pernah terfikir bahawa sipengirim yang budiman ini memang mahu rahsia di sebalik The Toyol Code ini diketahui oleh seramai mungkin rakyat jelata Malaysia, walau di mana sekali mereka berada? Tidakkah kita pernah terfikir bahawa sipengirim itu juga mengambil risiko yang besar untuk mengirimkan mesej panas ini supaya rakyat Malaysia yang prihatin akan berbuat sesuatu supaya “budak hantu” dan “patrick” dihalang daripada terus bermaharajalela?

Untuk itu, marilah sama-sama kita renungkan semula, insafi dan fahami seluruh mesej di sebalik The Toyol Code yang telah kita pecahkan kod-kodnya. Untuk memudahkan pemahaman kita, marilah kita bahagikan mesej sepenuhnya kepada tiga topik khusus, iaitu rombakan kabinet, pilihanraya dan kerajaan negeri.

Rombakan

Mesej penuh di sebalik The Toyol Code mengenai rombakan kabinet yang dijangka berlaku pada awal 2007 adalah seperti berikut:

Dapat satu maklumat, sepuluh orang Menteri dan dua orang Timbalan Menteri akan disingkirkan menerusi satu rombakan kabinet tidak lama lagi. Rombakan itu akan diadakan pada bulan Februari 2007. Semua yang akan dilantik menggantikan menteri-menteri yang digugurkan adalah muka-muka baru di bawah umur tidak melebihi 50 tahun.

Perkara ini sudah confirm. Kita tengok sahajalah macam mana bijaksananya “budak hantu” dan “patrick” menyediakan laporan komprehensif untuk rombakan berkenaan.

Penyediaan laporan kopmprehensif mengenai rombakan kabinet ini mungkin diiringi “orkestra the temasik group”. Sebab itu iramanya ala moden. Nada rap dan twist lebih banyak daripada irama lagu-lagu Melayu asli.

Dari pandangan pakar kita, kandungan format laporan komprehensif mengenai rombakan kabinet ini mirip seperti temasik yang buat. Ada dua sebabnya. Satu, hanya format temasik sahaja yang guna-pakai sistem carta lurus yang berakhir degan menegak dan putaran lima bintang. Kedua, English dalam format laporan komprehensif mengenai rombakan kabinet itu bukan English cara Malaysia.

Entah berapa ratus juta ringgit agaknya sudah dibelanjakan oleh group ini untuk bayar perunding asing tersebut buat senarai, kajian, dan laporan komprehensif untuk rombakan kabinet kali ini.

Pihak pakar kita kata, first time dia orang dapat tengok laporan selengkap itu, siap dengan ramalan tarikh yang terbaik bagi melakukan rombakan kabinet dan pilihanraya.

Pihak pakar kita juga tak nafikan apa yang dah dilihatnya dalam CD yang mengandungi laporan komprehensif mengenai cadangan rombakan kabinet itu. Katanya, CD yang mengandungi laporan terperinci itu adalah final dan kemungkinan besar rombakan kabinet pasti berlaku.

Kalau CD yang mengandungi laporan terperinci itu dicetak, lebih kurang 500 muka surat tebalnya. Ini sebab laporan itu terlalu detail. Siap dengan tatalaku dan prinsip calon-calon anggota kabinet yang akan dilantik kelak. Hal ini seolah-olah membuktikan betullah kata Tun Dr. Mahathir Mohamad, bahawa budak-budak tingkat empat memang betul-betul power kuasai Perdana Menteri.

Jangan terkejut. Perdana Menteri sudah setuju dengan laporan komprehensif ciptaan group “budak hantu” ini. Perdana Menteri sudah serah bulat-bulat pada “patrick” dan “budak hantu” ini buat keputusan. Penasihat kepada penyediaan laporan komprehensif ini adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Antara menteri yang mungkin disingkirkan adalah Datuk Rais Yatim, Datuk Azmi Khalid, Datuk Seri Rafidah Aziz, Datuk Seri Aziz Samsuddin. Datuk Zainuddin Maidin, Datuk Abdullah Zain, Datuk Tengku Adnan Mansor, Datuk Seri Samy Vellu, Datuk Seri Dr. Lim Kheng Yeik dan Datuk Azalina Othman. Timbalan Menteri yang dijangka tersingkir adalah Datuk Tengku Azlan Sultan Abu Bakar dan Datuk Zainal Abiudin Zin.

Kita takut ada pihak yang terus tak boleh tidur malam sebab menyesal bila baca msej ini. Padan muka. Sebelum ini kenapa tak nak dengar cakap bahawa dia orang tak perlu takut pada “budak hantu” tu. Dia orang kan ada kuasa. Jadi, apa macam orang lama? Marilah ramai-ramai kita bagi undi SMS dan katakan kami sokong! Sokong apa? Oh, sokong sebab diterajang oleh “budak hantu”, Perdana Menteri dan juga “patrick”! Jadi, insaflah, rupa-rupanya sokongan-sokongan buta yang diberikan selama ini adalah sokongan supaya anda diganti dengan kelompok darah muda pilihan “budak hantu”, “patrick” dan “orkestra temasik group.”

Datuk Mohd. Zahid Hamidi akan menggantikan Datuk Seri Rais Yatim. Datuk Seri Dr Lim Kheng Yaik akan digantikan orang baru dari Terengganu. Tempat Datuk Seri Samy Vellu akan diganti Melayu. Dua orang lama akan dilantik Menteri.

Gadafi

Begitulah mesej sepenuhnya mengenai rombakan kabinet. Dalam konteks ini, izinkanlah saya paparkan sebahagian respons daripada sahabat blogger
qadafi-politicalscience.blogspot.com. seperti berikut:

Saya begitu tertarik dengan siri The Toyol Code oleh Datuk Ruhanie Ahmad. Masa saya baca makna kod-kod itu, rasanya saya ada jumpa kod-kod rahsia berkenaan dalam internet. Sama juga dengan kod rahsia The Toyol Code. Pasal rombakan kabinet besar-besaran dan satu grand plan untuk pilihanraya yang akan datang ini.

Sekarang cuba anda bandingkan dengan ramalan yang ini. Ianya lagi advance. Ia lebih mendahului The Toyol Code. Tengok tarikhnya, Februari 2007. Semua ramalan ini sudah saya compilekan dan tak dinafikan. Lebih kurang sama dengan The Toyol Code. Gempak memang gempak. Terperinci memang terperinci. Hebat juga ya politik Malaysia masa kini. (Ramalannya yang dimaksudkan oleh Gadafi adalah seperti berikut:)

Mat Taib sudah siap sedia untuk berkemas tukar pejabat! Jawatan menteri pusat dalam idaman. Begitu juga dengan Shahrir Samad! Jawatan Menteri yang dijangka menjadi rebutan tak lain Menteri Wilayah Persekutuan! Shahrizat boleh membuat tindakan susulan. Nenek Pidah sudah menghidu akan peristiwa Brutus oleh Juhi Chawla si mulut besar! Musa Hitam akan buat comeback? Najib tukar portfolio. Tidak lagi memegang jawatan Menteri Pertahanan? IR Zain Badak atau Shahrir atau Muhyidin jadi menteri JKR? Betulkah Nakhaei akan jadi Menteri Agama? Hatta, sumber saya di Putrajaya pun sampai pakai dua bateri handphone untuk stand by kalau line putus! Expect The Unexpected! Itu kata sumber saya melalui SMS beliau. Khairy jadi menteri? Siapa tahu!

Anda tanya mana saya dapat ramalan-ramalan ini? Pesan saya, rajin-rajinlah mencarinya di internet. Saya pun pelik macam mana maklumat macam ini boleh bocor. Tapi don’t worry, saya tak akan dedahkan pada sesiapa. Kalau tak, memang habislah saya. Silap-silap, kang masuk ISA) -
http://qadafi-politicalscience.blogspot.com.

Pilihanraya

Mesej penuh di sebalik The Toyol Code yang khusus mengenai pilihanraya umum 2007 pula adalah seperti berikut:

Lepas rombakan kabinet, kes Datuk Seri Anwar akan dibuka semula. Keputusannya sudah ada. Dia akan didapati tidak bersalah. Semua tuduhan digugurkan. Jadi, bolehlah Datuk Seri Anwar Ibrahim masuk pilihanraya. [Maklumat terkini: Kes rayuan Datuk Seri Anwar yang membabitkan Sukma dipercayai akan dibicarakan di Mahkamah Putrajaya pada 9 Novembr 2006.]

Bulan April 2007 pilihanraya umum. Semua calon DUN dan Parlimen adalah orang muda-muda belaka. Tak melebihi umur 50 tahun. Perdana Menteri sudah setuju dengan laporan komprehensif group “budak hantu” mengenai pilihanraya ini. Tak lama lagi, semua calon adalah golongan darah muda, asyik dengan lagu rap, blues, jazz dan rock. Yang tua-tua, duduk rumah, jaga cucu.

Jangan tak percaya. Semua cv bakal-bakal calon sudah ada dalam CD laporan komprehensif menegnai rombakan kabinet dan pilihanraya. ADUN dan Ahli Parlimen yang sudah tiga penggal eloklah buat persiapan sebab sudah tak ada peluang untuk bertanding semula dalam pilihanraya 2007. Jangan marah sebab “budak hantu” sudah nak letak kawan-kawan dia. “Budak hantu” sendiri akan bertanding pilihanraya 2007 di Shah Alam, menggantikan Datuk Seri Abdul Aziz Samsuddin. Jadi ADUN dan Ahli Parlimen yang sudah tiga penggal eloklah buat persiapan. “Budak hantu” dah bosan dengar suara nyanyian mereka sebab lagu asli tak regge, tak rock, tak rempit.

Jadi, ADUN dan Ahli Parlimen yang sudah tiga penggal tak payahlah berangan nak bertanding lagi dalam pilihanraya 2007. Suruh dia orang belajar nyanyi lagu angguk-angguk, geleng-geleng, tunjuk-tunjuk, sokong-sokong, dan last sekali bye-bye!

Perdana Menteri dah serah bulat-bulat kepada “patrick” dan “budak hantu” buat keputusan. Ini bukan khabar angin. Tapi, betul-betul akan berlaku. Sebabnya, Perdana Menteri sudah setuju dengan laporan komprehensif rombakan kabinet dan pilihanraya umum. Rombakan kabinet Februari 2007. Pilihanraya umum April 2007.” [Maklumat terkini: Pilihanraya mungkin Jun 2007.]

Boria kita, kata “budak hantu” tu. Sebabnya kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim nak belasah Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pasal ada kaitan dengan hal buku dalil yang dulu. Yang buat hal pasal buku dalil adalah Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Tapi, yang nak kena belasah adalah Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Hebat games Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Sebab tu dia akan jadi menteri pusat.

Jadi, lepas ni, nampak gayanya Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak kenalah balik ke Pekan. Dia dah tak ada kawan lagi. Semua kawan-kawan “budak hantu” yang jadi calon pilihanraya dan anggota kabinet. Last sekali, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak kenalah balik ke Pekan. Dengan sendirinya dia mungkin tak berpeluang lagi untuk jadi calon pilihanraya 2007.

Negeri

Akhir sekali, mesej yang terkandung di sebalik The Toyol Code ini adalah mengenai kedudukan majoriti Menteri Besar dan seluruh Ketua Menteri di seluruh negara, selepas pilihanraya umum 2007. Mesej sepenuhnya mengenai hal ini adalah seperti berikut:

Ketua-Ketua Negeri semua gugur. Melainkan Kedah dan Negeri Sembilan sahaja yang kekal. Dua orang Ketua Menteri akan pergi ke pusat selepas pilihanraya umum 2007. Tan Sri Koh Tsu Koon ke Belia. Datuk Seri Ali Rustam Benggali masuk peti ais di JPM. Menteri Besar lainnya hanyut.

Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Seri Adnan Yaakub, dan Datuk Abdul Ghani Othman mungkin dipersarakan menerusi pilihanraya umum 2007. Pemimpin State lain-lainnya semua gugur. Sabah dan Sarawak pun dapat pemimpin baru.

ISA

Demikianlah mesej sepenuhnya yang terkandung dalam The Toyol Code. Saya serahkan mesej sepenuhnya seperti di atas kepada tafsiran anda semua. Biar pun begitu, saya tidak pula beranggapan seperti Saudara Gadafi yang khuatir mungkin ditahan oleh pihak berkuasa di bawah ISA.

Saya rasa soal ISA atau Akta Rahsia Rasmi (OSA) tidak berkaitan dalam konteks The Toyol Code. Ini kerana The Toyol Code adalah berasaskan satu laporan komprehensif mengenai rombakan kabinet dan pilihanraya umum 2007 yang disediakan oleh “budak hantu” dan “patrick” dengan “iringan orkestra temasik group.”

Jadi, kalaulah kod yang telah kita sama-sama dipecahkan mengenai ketiga-tiga entiti di atas sebelum ini adalah betul, mereka bukannya mewakili Kerajaan Malaysia. Kalau hakikatnya begitu, adakah hasil karya mereka dalam CD (500 muka tebalnya kalau dicetak), merupakan milik Kerajaan Malaysia?

Kalau laporan komprehensif tersebut bukan milik Kerajaan Malaysia, pastinya ISA atau OSA tidak boleh dikenakan kepada sesiapa yang mengetahui hal berkenaan secara advance.

Jadi, Saudara Gadafi, kukuhkanlah ramalan The Toyol Code ini. Kalaulah kita kena ISA atau OSA (manalah tau, macam-macam memang boleh jadi kebelakangan ini) mungkin kita boleh teruskan usaha blogging kita di sebalik pintu besi!

Pada waktu yang sama, saya harap anda yang telah membantu saya memecahkan seluruh kod rahsia dalam The Toyol Code ini janganlah bimbang. Kalau ada apa-apa tindakan negatif berbangkit daripada pembongkaran The Toyol Code ini, anda semua pasti tidak akan diapa-apakan oleh sesiapa. Yang akan menghadapi muzik berkenaan hanya saya seorang diri. Kalau nak kena pecat daripada UMNO, sayalah orangnya. Kalau nak kena tahanan ISA, pun saya juga orangnya.

Saya sanggup hadapi seluruh risiko di atas. Bagaimanapun, saya akan sentiasa terhutang budi kepada anda semua kerana tanpa bantuan anda, rasanya The Toyol Code ini pastinya masih jadi kod-kod misteri yang tidak terungkai rahsianya.

Oleh itu, hargailah kejayaan ini. Kerjasama anda sekalian menyebabkan The Toyol Code menerima ratusan ribu hits dalam 13 hari. Kerjasama anda telah mendorong banyak pihak yang buta kompouter dikatakan membaca The Toyol Code ini menerusi hard-copy yang difotostet dan disebar secara meluas di kampung-kampung. Lantaran itu, saya harap anda semua gunakanlah kebijaksanaan masing-masing supaya rahsia dalam The Toyol Code ini boleh anda manfaatkan demi agama, bangsa dan negara.

- Ikutilah sambungan misteri The Toyol Code ini dalam Bahagian Penutup.



Tuesday, October 24, 2006

PUISI RINDU

Suara mu mendayu bersama takbir
memanggil keluarga di pagi raya

Pusara mu tenang semerbak wangi
bermandi gaharu dan air mawar
bersama cempaka dan juga melati
Surah Yassin dan Alfatihah

Bahagialah kau wahai adik ku
di sisi Illahi Maha Pengasih
menunggu syorga di kemudian hari.

Batu Pahat
1967

SALAM AIDILFITRI

Bersama gema takbir mulia
ku susun rapi jari jemari
menghulur salam anak kembara
salam hormat di Aidilfitri.

Salam ku khusus kepada ayah
salam khusus kepada ibu
pohon lebarkan segala dosa
pinta kirimkan doa dan restu.

Salam ku juga pada sang bayu
pada awan dan gunung-ganang
pada penyair dan puisi rindu
pada si fakir dan air matanya.

Salam ku pada Muhamad Nabi ku
dan seluruh umatnya di serata jagat
biar pun gerila di Cotabatu
dan para pejuang Yassir Arafat.

Bersama gema takbir mulia
ku susun rapi jari jemari
menghulur salam anak kembara
salam hormat di Aidilfitri.

London
1973

BERAYA DI LUMPUR

Debu kota bersama kaki ku
mengharung banjir separas lutut
sepanjang jalan nuju halaman.

Pulang menyambut hari mulia
berhari raya bersama keluarga
ibu menitiskan si air mata
yang mengalir bersama banjir
hingga ke tangga.

Adik-adik berbaju baru
riang ria sama sebaya
di kala petang mereka pulang
baju kotor kasut pun kotor
lunyuh lesuh berlumur lumpur
akibat banjir di hari raya.

Batu Pahat
1974


AIDILFITRI

Embun syahdu
menebar rindu
menguntum budi.

Fajar suci
merona hari
menimang diri.

Sinar taqwa
menjambat hati.
qadza-qadar
meruntun tari.

Kuala Lumpur
1980

Selamat Hari Raya
Aidilfitri

saya sekeluarga mengucapkan
Selamat Hari Raya Aidilfitri
maaf zahir batin
kepada seluruh pelayar-pelayar internet yang sudi mengunjungi
www.kuda-kepang.blogspot.com.

salam takzim daripada
ruhanie ahmad
aisah zainab mahmud
nurzuhaira ruhanie
nurzahureen ruhanie
nurdiana ruhanie
azreal mahmud ruhanie
azmil imran ruhanie
The
Toyol
Code

Bahagian 6 - Mesej Sepenuhnya
Penutup – Apakah Ini Satu Realiti?
kedua-dua siri ini akan
disambung selepas Hari Raya.

Thursday, October 19, 2006

THE TOYOL CODE
- NASIB WAYNE
Bahagian Lima
Oleh Ruhanie Ahmad
Kita telah sama-sama memecahkan berpuluh-puluh kod rahsia daripada SMS yang saya terima menerusi The Toyol Code sejak lima hari yang lalu. Bagaimanapun, ada satu lagi kod yang agak sukar untuk dipecahkan maksudnya. Kod itu adalah “wayne.” Pelik sungguh. Siapakah “wayne?” Saya tidak tau erti kod ini. Saya juga tidak pernah mendengar kod ini disebut di mana-mana sebelum ini.

Walau macam mana, generasi saya pasti ingat “wayne” ini sebagai John Wayne, pelakon filem cowboy yang terkenal pada tahun 70-an. John Wayne terkenal dengan filem-filemnya yang penuh aksi lagi mendebarkan. Tetapi, tidak mungkin “wayne” dalam kod rahsia yang dikirimkan kepada saya ini adalah mengenai filem cowboy.

Bagaimanapun, saya tetap berterima kasih kepada anda semua yang masih sanggup bersama saya buat sekian kalinya. Kedatangan anda ke blog ini secara beramai-ramai telah menjadikan blog ini mencecah angka 10000 pada hit-countrnya semalam. Ini bermakna bahawa dari mula siri The Toyol Code dalam blog ini hinggalah sekarang,
www.kuda-kepang.blogspot.com telah pun menerima kunjungan sejumlah melebihi 6000 orang.

Saya prcaya hakikat ini dipantau oleh sesetngah pihak yang bertanggungjawab. Tetapi, syukur alhamdulillah kerana The Toyol Code masih boleh terus menemui anda semua tanpa sebarang gangguan, ancaman atau kecaman.

Anwar

Oleh itu, marilah sama-sama kita kembali fokus kepada soal kod “wayne.” Untuk itu, sama-samalah kita baca semula mesej yang mengandungi kod ini dalam SMS yang dikirimkan kepada saya pada 13 Oktober 2006, seperti berikut:

“Lepas youngman didapati tidak bersalah dan semua tuduhan terhadapnya digugurkan oleh mahkamah, dia boleh masuk pertandingan lagu raya. Boria kita, kata budak hantu tu, sebab youngman nak belasah wayne pasal ada kaitan dengan hal buku dalil yang dulu. Yang buat hal Benggali. Tapi, yang kena wayne. Hebat games Benggali. Sebab tu dia dapat jadi penyanyi pusat.”

Beberapa kod dalam SMS di atas telah pun kita pecahkan maksudnya sebelum ini. Contohnya, “youngman” merujuk kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, “benggali” merujuk kepada Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, dan “lagu raya” adalah pilihanraya.

Tetapi, apakah maksud kod “wayne” dan juga “buku dalil” dalam konteks “youngman” atau pun Datuk Seri Anwar Ibrahim? Cuba kita perah sikit ingatan kita dalam hal ini. Adakah “wayne” kait mengait dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim? Tak ada! ‘Buku dalil?” Ada? Betul ada? Oh ya. buku 50 dalil yang tu…

Kalau “buku dalil” ini adalah buku 50 dalil yang dikatakan telah menyebabkan kejatuhan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998, adakah ini bermakna bahawa“wayne” adalah pihak yang berkait dengan pengeluaran buku berkenaan?

Kalau hakikatnya adalah demikian, adakah ini bermakna politik negara kita, khususnya UMNO, sedang berhadapan dengan satu perkembangan yang serius? Adakah ini bermakna Datuk Seri Anwar Ibrahim akan kembali menganggotai UMNO tidak lama lagi?

Sulit

Saya rasa, buat sementara waktu ini, kita kembali kepada soal “wayne.” Ini kerana agak sukar untuk kita merasionalkan soal Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali kepada UMNO mutakhir ini. Memang, politik adalah seni yang serba mungkin. Tetapi, kemungkinan Datuk Seri Anwar Ibrahim diterima masuk semula ke dalam UMNO adalah agak luar biasa. Ia hanya mungkin terjadi kalau pucuk pimpinan negara pada hari ini memang mempunyai satu perancangan sulit dan besar mengenainya.

Jadi, mungkinkah kini wujud satu perancangan besar dan sulit untuk membawa balik Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke pangkuan UMNO? Kalau perancangan seperti ini wujud, apa kaitannya dengan “wayne?” Ya, sekali lagi, siapakah “wayne?”

Anda bagaimana? Siapakah “wayne?” Tak dapat teka? Tak dapat apa-apa clue mengnainya? Tak dapat apa-apa pembayang? Tak dapat? Habis, kita nak give up pasal “wayne?” Kalau kita putus asa, The Toyol Code ini mungkin tergantung mesej sepenuhnya. Kalau kita give up, kita mungkin akan terlepas pandang sesuatu yang penting dalam The Toyol Code ini? Jadi, teruskan mencuba? Baiklah!

Syukur Alhamdulillah! Dalam saya terkial-kial menggaru kepala, rupa-rupanya satu SMS yang dikirimkan kepada saya pada 17 Oktober 2006, ada mengandungi kod “wayne”. SMS itu adalah seperti berikut:

“Lepas ni, nampak gayanya wayne kena balik pekan. Dia dah tak ada kawan lagi. Semua kawan-kawan budak hantu yang jadi penyanyi baru. Last sekali, wayne kenalah balik ke pekan. Dengan sendirinya dia mungkin tak berpeluang lagi untuk rakam album lagu raya 2007.”

SMS di atas adalah mengenai “lagu raya” atau pilihanraya. Kod “wayne” muncul dalam SMS di atas. Tetapi, kenapakah dikatakan “lepas ni, nampaknya wayne kena balik pekan” kerana dia dah tak ada kawan lagi.” Kenapakah “wayne” kena balik ke pekan bila “semua kawan-kawan budak hantu yang jadi penyanyi baru?” Kenapakah “wayne” perlu balik pekan kerana dia “mungkin tak berpeluang lagi untuk rakam album lagu raya 2007?”

Benggali

Astaghfirullahalazim!!! Mungkinkah kod “wayne” ini merujuk kepada Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri kita? Sebab itukah dikatakan “wayne kena balik pekan” kerana Pekan adalah kerusi Parlimen Datuk Seri Mohd Najib? Macam mana? Anda rasa-rasa bolehkah kod “wayne” ini ditafsirkan sebagai Datuk Seri Mohd Najib? Boleh? Kalau boleh, ini bermakna kita akan berhadapan dengan satu perkembangan siasah yang lagi menggemparkan tidak lama lagi.

Tapi, saya rasa baik kita tak usah rungkai-rungkai lagi mana-mana kod selepas ini. Kita juga tak payah cuba mentafsir apakah ertinya SMS di atas yang mengatakan seperti berikut:

“Lepas youngman didapati tidak bersalah dan semua tuduhan terhadapnya digugurkan oleh mahkamah, dia boleh masuk pertandingan lagu raya. Boria kita, kata budak hantu tu, sebab youngman nak belasah wayne pasal ada kaitan dengan hal buku dalil yang dulu. Yang buat hal, Benggali. Tapi, yang kena wayne. Hebat games Benggali. Sebab tu dia dapat jadi penyanyi pusat.”

Pada waktu yang sama, kita juga tidak harus mentafsirkan SMS yang mengandungi mesej seperti berikut:

“Lepas ni, nampak gayanya wayne kena balik pekan. Dia dah tak ada kawan lagi. Semua kawan-kawan budak hantu yang jadi penyanyi baru. Last sekali, wayne kenalah balik ke pekan. Dengan sendirinya dia mungkin tak berpeluang lagi untuk rakam album lagu raya 2007.”

Fitnah

Saya mengajak anda semua mengelak daripada melakukan tafsiran kepada kedua-dua SMS di atas kerana implikasinya amat besar dan sangat luas. Jadi, kalau betullah apa yang ditegaskan oleh SMS di atas, biarkanlah gagah sama gajah bertempur, asalkan kita sebagai pelanduk, tidak terburai perut mati di tengah-tengah gelanggang pertemputan itu!

Bagaimanapun, saya anggap mesej di sebalik SMS di atas adalah fitnah semata-mata. Kalau anda semua hendak berbeza pendapat dengan saya, apa saya boleh buat? Pokoknya, ingat. Kemuliaan agama, maruah bangsa, serta kemerdekaan dan kedaulatan negara kita ini mestilah kita pelihara selama-lamanya.

Untuk itu, kita kenalah sentiasa prihatin, sensitif dan bijak menganalisa sesuatu perkembangan dan suasana. Untuk itu, kita kena rasional dan berwibawa. Untuk itu juga, kita kenalah berfikiran luas dan positif.

Akhir kata, saya rasa lemah lutut bila dapat memecahkan kod “wayne” seperti di atas. Saya jadi begitu kerana bimbangkan sesuatu akan terjadi tidak lama lagi. Saya jadi begitu kerana khuatir UMNO akan bergolak. Saya jadi begitu kerana saya harapkan mesej-mesej SMS di atas, walaupun mungkin fitnah dan palsu, tidak seharusnya kita pandang remeh dan enteng.

Maka, terserahlah kepada semua pihak untuk membuat rumusan sebenar-benarnya kepada SMS di atas setelah kita berjaya memecahkan kod rahsia “wayne.” Saya serahkan kepada kebijaksanaan anda semua untuk bertindak dengan waras, tenang dan positif pada setiap masa.

- Ikutilah sambungan misteri The Toyol Code ini dalam Bahagian Enam.
THE TOYOL CODE
- PILIHANRAYA
Bahagian Empat
Oleh Ruhanie Ahmad

Panas? Kisah rombakan kabinet dalam The Toyol Code terbaru betul-betul panas? Habis tu, boleh tidurkah pihak-pihak yang dijangka tersingkir? Atau, adakah mereka akan merangka beberapa strategi penyingaan yang rapi, bijak dan positif?

Walau apa pun, sejak The Toyol Code muncul kebelakangan ini,
www.kuda-kepang.blogspot.com memang dapat sambutan luar biasa. Hit-counter blog ini sampai macam nak meletup-letup dibuatnya. Contohnya, dari 15 hingga 17 Oktober 2006, hampir 5000 pelayar maya berkerumun ke blog ini. Lepas tu, ada pula kakitangan awam yang komplain, kononnya tiba-tiba saja blog ini tidak boleh diakses daripada komputer pejabat kerajaan.

Ini semua hasil anda membantu saya memecahkan seluruh kod dan mesej rahsia dalam semua SMS yang saya terima setakat ini. Saya ucapkan ribuan terima kasih. Mudah-mudahan bantuan ini dapat mendorong serta memudahkan rakyat Malaysia bertindak secara positif tidak lama lagi.

Bagaimanapun, pihak-pihak yang mungkin terjejas dengan apa yang sedang dirancang oleh “budak hantu” dan juga “patrick” dengan restu “papa” ini patut berterima kasih kepada kita semua. Mereka patut berterima kasih kerana kita dan The Toyol Code berjaya memintas rahsia satu perancangan besar. Mereka patut berterima kasih kerana kita berjaya memberikan amaran awal untuk mereka bertindak dengan sewajarnya.

Pilihanraya

Biar pun begitu, perancangan besar yang disediakan oleh “budak hantu” dan “patrick” ini bukan hanya tertumpu kepada soal rombakan kabinet sahaja. Ia turut merangkumi satu perancangan menyeluruh mengenai pilihanraya dan pucuk pimpinan kerajaan-kerajaan negeri. Ia membabitkan soal beberapa Menteri Besar, Ketua Menteri serta calon-calon pilihanraya umum Parlimen dan DUN pada 2007.

Sebab itulah The Toyol Code kali ini akan berusaha mendedahkan siapakah yang akan disingkirkan daripada persada kekuasaan negeri, siapakah tokoh negeri yang akan dikerahkan ke pusat untuk jadi menteri, siapakah calon-calon Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri yang mungkin digugurkan, dan bagaimanakah kedudukan parti UMNO sebagai teras kepada Barisan Nasional selepas ini.

Seluruh kod mengenai perkara di atas ada dalam SMS yang dikirimkan kepada saya pada 12, 14, 15 dan 16 Oktober 2006. Satu SMS terbaru yang saya terima pada awal pagi 17 Oktober 2006, juga mengandungi kod-kod rahsia mengenai perkara di atas.

Tetapi, sebelum kita merungkai soal di atas dengan lebih terperinci, ingatlah bahawa kita sudah pun setuju bahawa kod bagi pilihanraya adalah “lagu raya”. Kod ini telah kita pecahkan dalam Pengenalan The Toyol Code.

Calon

Laporan komprehensif mengenai pilihanraya pula sama kodnya dengan laporan komprehensif mengenai rombakan kabinet. Kodnya adalah “cd, lirik lagu” dan lain-lain perkataan mengenai muzik. Calon pilihanraya pula dikodkan sebagai “penyanyi lagu raya.” Antara contoh kod-kod berkenaan adalah dalam SMS yang saya terima pada 13 Oktober 2006, seperti berikut:

“Bulan April pertadingan lagu raya. Semua penyanyi DUN dan Parlimen adalah orang muda-muda belaka. Tak melebihi umur 50 tahun. Jangan tak percaya. Semua cv penyanyi dah ada dalam cd.”

Dua SMS yang saya terima pada 17 Oktober 206 pula menyelitkan kod-kod rahsia pasal pilihanraya seperti berikut:

“Penyanyi-penyanyi yang dah ada tiga album eloklah buat persiapan sebab dah tak ada peluang untuk rakam album lagu raya 2007. Jangan marah sebab budak hantu sudah nak letak kawan-kawan dia. Budak hantu sendiri nak rakam lagu raya 2007 di Shah Alam ganti penyanyi S. Aziz. Jadi penyanyi-penyanyi yang dah ada tiga album eloklah buat persiapan. Budak hantu dah bosan dengar suara nyanyian mereka sebab lagu asli tak regge, tak rock, tak rempit.

Jadi, penyanyi yang sudah ada tiga album tak payahlah berangan nak rakam lagu raya lagi pada 2007. Suruh dia orang belajar nyanyi lagu angguk-angguk, geleng-geleng, tunjuk-tunjuk, sokong-sokong, dan last sekali bye-bye!”

Kod utama dalam kedua-dua SMS yang terbaru seperti di atas adalah “album.” Cuba kita baca kod ini dalam konteks calon pilihanraya umum. Adakah kod “album” merujuk kepada sesuatu mengenai seseorang calon? Atau, adakah “penyanyi yang sudah ada tiga album” bermaksud mereka yang sudah menjadi seorang Ahli Parlimen atau DUN selama tiga penggal? Sebab itukah maka SMS itu mengatakan “penyanyi yang sudah ada tiga album tak payahlah berangan nak rakam lagu raya lagi pada 2007?”

Jadi, bagaimana? Adakah anda semua setuju untuk mentafsir kod “album” sebagai penggal? Kalau setuju, kedua-dua SMS di atas adalah bermaksud bahawa Ahli-Ahli Parlimen atau DUN yang sudah berkhidmat selama tiga penggal kemungkinan besar tidak dicalonkan semula dalam pilihanraya umum 2007.

Daripada SMS di atas juga kita dapat mesej bahawa “budak hantu sendiri nak rakam lagu raya 2007 di Shah Alam ganti penyanyi S. Aziz.” Maksudnya, “budak hantu” berkenaan akan bertanding di kerusi Parlimen Shah Alam. Kerusi itu kini diwakili oleh Datuk Abdul Aziz Samsuddin yang akan disingkirkan daripada jawatan menteri menerusi rombakan kabinet pada Februari 2007.

Musibah

Kalaulah cadangan “budak hantu” mengenai hal seperti di atas diterima sepenuhnya, tidak dijalankan secara berperingkat-peringkat, dan membabitkan semua incumbents pada hari ini, apakah akan terjadi pada pilihanraya umum pada April 2007? Adakah ini bermakna lebih 90 peratus calon adalah muka-muka baru di bawah umur 50 tahun? Adakah Perdana Menteri dan majoriti menteri yang sudah lebih tiga penggal akan turut hanyut? Hisss. Kalau ini berlaku, pastinya Barisan Nsasional akan terima padah dan musibah yang amat parah!

Anehnya, “papa” atau Perdana Menteri dikatakan sudah pun menyetujui hakikat di atas. Hakikat ini terkandung dalam satu daripada SMS yang saya terima pada 13 Oktober 2006, seperti berikut:

“Papa dah serah bulat-bulat kepada patrick dan budak hantu buat keputusan. Ini bukan khabar angin. Tapi, betul-betul akan berlaku. Sebabnya, papa dah setuju dengan lirik lagu ombak dan lagu raya itu. Lagu ombak Februari 2007. Lagu raya April 2007.”

Sekali lagi, jangan kita lupa. “Lagu ombak” bermaksud rombakan kabinet. “Lagu raya” pula merujuk kepada pilihyanraya umum. Jadi, pilihanraya umum mungkin dilaksanakan pada April 2007.

Sebagaimana penyediaan laporan komprehensif mengenai rombakan kabinet yang sudah kita perincikan sebelum ini, penyediaan laporan komprehensif mengenai pilihanraya umum ini juga dikatakan “diiringi oleh orkestra temasik group” dan membabitkan khidmat konsultan asing.

Jadi, mungkinkah pilihanraya umum 2007 juga akan jadi satu titik permulaan di mana majoriti calonnya adalah individu muda yang sudah pun ditapis dan disaring oleh pihak konsultan asing dan “orkestra temasik group?”

Adakah usaha seperti ini bermatlamat supaya sesetengah elemen asing boleh menguasai pengurusan Kerajaan Malaysia di abad ke-21? Tidakkah perkembangan seperti ini membimbangkan kita? Tidakkah ini juga membayangkan bahawa negara kita mungkin menghadapi musibah dan padah yang amat parah di tahun-tahun mendatang?

Negeri

Bagaimanapun, kebanyakan SMS yang saya terima mengenai pilihanraya memberikan banyak kod yang jelas mengenai kepimpinan negeri-negeri tertentu. Contohnya adalah SMS pada 14 Oktober 2006 seperti berikut:

“Dua CM Negeri Selat kena pergi Federal. Sukon ke belia. Benggali masuk peti ais di JPM.”

Dalam The Toyol Cod sebelum ini kita telah setuju bahawa kod “sukon” adalah merujuk kepada Tan Sri Dr. Koh Tsu Khoon. Bagaimanapun, kita masih belum pasti siapakah yang dimaksudkan menerusi kod “benggali.”

Tetapi, kalau kita ulang balik SMS di atas, mungkinkah “benggali” yang dimaksudkan adalah Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka? Kalau begitu benarkah Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Datuk Seri Mohd. Ali Rustam akan berkhidmat di peringkat Federal selepas pilihanraya umum 2007?

SMS yang saya terima pada 16 Oktober 2006 pula menyatakan bahawa “MB Kedah dan N9 kekal. MB lainnya hanyut.”

SMS yang saya terima pada 13 Oktober 2006 pula menyenaraikan nama-nama “Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Seri Adnan Yaakub, dan Datuk Abdul Ghani Othman” sebagai kalangan Menteri-Menteri Besar yang mungkin dipersarakan menerusi pilihanraya umum 2007.

Bagaimanapun, nama-nama Menteri Besar lainnya tidak disentuh. SMS itu sekadar menyatakan bahawa “state semua gugur. Melainkan Kedah dan N9 sahaja yang kekal dan 2CM pergi ke pusat.”

Bagaimanapun, bila SMS yang diterima pada 13 Oktober 2006 juga menyatakan bahawa “Sabah dan Sarawak pun dapat penyanyi baru,” adalah sukar untuk dipastikan sama ada “penyanyi baru” yang dimaksudkan merujuk kepada jawatan Ketua Menteri Sabah dan Ketua Menteri Sarawak.

Daripada seluruh SMS di atas, mungkinkah kita boleh rumuskan bahawa menerusi pilihanraya umum 2007, semua Menteri Besar, kecuali Kedah dan Negeri Sembilan, akan dipersarakan. Ketua Menteri Pulau Pinang dan Melaka pula akan ditarik ke pusat.

Oleh itu, apakah nasib yang akan mnimpa Datuk Abdul Ghani Othman, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Adnan Yaakub selepas pilihanraya umum 2007? Terus bersara sepenuh masa?

Singkir

Pada waktu yang sama, apa pula nasib yang akan menimpa menteri-menteri besar lain termasuk Datuk Seri Mohd. Khir Toyo (Selangor), Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali (Perak), Datuk Seri Idris Jusoh (Terengganu), dan Datuk Seri Musa Aman (Sabah)?

Seluruh SMS yang saya terima tidak menyebut nama-nama mereka secara khusus. Satu daripada SMS itu hanya menyatakan bahawa “state semua gugur. Melainkan Kedah dan Negeri Sembilan sahaja yang kekal. Dua Ketua Menteri pergi ke pusat.”

Oleh itu, nasib Menteri-Menteri Besar Selangor, Perak, dan Sabah juga masih runcing ibarat telur di hujung tanduk. Secara umumnya, SMS yang saya terima mengatakan bahawa mereka akan disingkirkan. Tetapi, SMS itu pula tidak menyebut nama-nama mereka secara khusus.

Bagaimanapun, kalau kita andaikan bahawa Ketua Menteri Sabah dan seluruh Menteri Besar, kecuali Kedah dan Negeri Sembilan, akan tersingkir menerusi pilihanraya umum 2007, pastinya rakyat jelata akan tertanya-tanya, siapakah bakal pengganti mereka?

Mungkinkah keseluruhan mereka ini akan digantikan oleh kawan-kawan “budak hantu” di bawah umur 50 tahun? Adakah bakal-bakal pengganti ini juga akan disaring dan ditapis oleh “orkestra temasik group” dan “pakar strategi politik” asing?

Kita biarkanlah soalan di atas ditafsir oleh para pembaca. Bagaimanapun, saya anggap apa yang sedang dilakukan oleh “budak hantu” ini adalah sesuatu yang boleh membawa impak yang negatif.

UMNO

Berasaskan beberapa kod dan mesej SMS yang ada dalam tangan saya, impak yang negatif ini mungkin akan menimpa UMNO. Sebab itulah satu daripada SMS tersebut mengatakan bahawa “dengan carta baru ini UMNO akan datang akan diterajui oleh anak-anak muda berklulusan luar negara. Jadi, anak-anak muda akan jadi lebih berkuasa dalam UMNO.”

Saya mungkin tersalah tafsir mengenai andaian di atas. Tetapi, kalaulah majoriti calon UMNO di seluruh negara dalam pilihanraya kelak adalah anak-anak muda belaka, BN mungkin menghadapi backlash dari segi sokongan pengundi.

Bagaimanapun saya yakin pihak-pihak yang menyediakan laporan komprehensif mengenai pilihanraya berkenaan pun menjangkakan hal ini. Pastinya pihak-pihak itu pun sudah bersedia dengan langkah-langkah wajar untuk mengatasinya.

Mungkin satu daripada langkah itu adalah menangguhkan seluruh pemilihan pucuk pimpinan UMNO di semua peringkat yang dijadualkan berlangsung pada 2007. Penangguhan ini dijangka merdakan perebutan serta perbalahan jawatan politik sesama UMNO. Sekaligus, ini akan mengurangkan masalah dalam pilihanraya yang dijangka pada April 2007.

Demikianlah huraian kod dan mesej The Toyol Code mengenai pilihanraya. Ada pihak mengatakan scenario di atas tidak mungkin terjadi. Tetapi, beberapa kod dalam SMS yang telah kita pecahkan sebelum ini membayangkan bahawa rombakan kabinet dan pilihanraya umum nampaknya memang akan berlaku pada 2007.

Indikator kepada kedua-dua peristiwa ini dipercayai berkait rapat dengan personaliti politik yang menggunakan kod “youngman” atau Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sebab itulah antara mesej SMS yang telah kita rungkai sebelum ini menyatakan bahawa “youngman” jadi penasihat dalam penyediaan laporan komprehensif mengenai rombakan kabinet dan pilihanraya yang akan dijalankan.

Untuk itu, kita akan merungkai indikator ini bersama satu lagi kod yang belum kita pecahkan selama ini, dalam TheToyol Code akan datang ini. Kod yang blum kita pecahkan adalah “wayne”.

Jadi, sehingga kita ketemu lagi, fikir-fikirkanlah siapa dia “wayne?” Apakah kaitan dia dengan “youngman?“ Mengapakah pengirim SMS membayangkan kepada kita bahawa “wayne” ada kena mengena dengan satu tindakan politik yang pernah menjejaskan “youngman” pada 1998?

- Ikutilah sambungan misteri The Toyol Code ini dalam Bahagian Lima.

Tuesday, October 17, 2006

THE TOYOL CODE
- MANGSA ROMBAKAN
Bahagian Tiga
Oleh Ruhanie Ahmad

Tahniah. Kita telah berjaya memecahkan seluruh kod dan mesej rahsia dalam tiga siri The Toyol Code sebelum ini. Kejayaan ini membolehkan kita mengambil satu rumusan yang menggemparkan. Rumusan itu memfokuskan kepada satu perancangan besar yang mungkin jadi kenyataan pada awal tahun depan. Perancangan besar itu adalah mengenai ura-ura satu rombakan kabinet Malaysia pada Februari 2007.

Kejayaan kita merungkai perancangan besar di atas adalah berasaskan berpuluh-puluh SMS yang telah dikirimkan secara sukarela kepada saya pada 12, 14, 15 dan 16 Oktober 2006. Kita telah sama-sama memcahkan kok-kod rahsianya. Kejayaan ini membolehkan kita memberikan makna kepada mesej-mesej berkenaan. Sekaligus, kejayaan itu juga membolehkan kita memahami makna dan maksud SMS tersebut.

Jadi, marilah sama-sama kita teruskan usaha kita memecahkan seluruh kod dan mesej rahsia yang masih terkandung dalam banyak lagi SMS yang belum kita rungkai isi kandungannya sebelum ini. Untuk itu, ikutilah rungkaian The Toyol Code selanjutnya menerusi blog ini pada setiap hari. Dengan cara ini anda akan membantu saya dan diri sendiri untuk membongkarkan seluruh rahsia kod toyol ini hingga ke episod yang terakhir.

Bagaimanapun, sewaktu kita terus berusaha merungkai dan memcahkan seluruh kod SMS yang masih belum kita proses, saya harap janganlah ada di antara kita yang ingin tahu siapakah sebenarnya pengirim SMS yang terbabit. Saya harap anda tak akan bertanyakan hal ini seperti seorang sahabat saya bertanya mengenainya menerusi SMS seperti berikut:

“Bagus betul toyol yang kirimkan SMS kepada Datuk ni. Boleh tak kita tau siapa dia? Tapi, apa pasallah tuan dia ajar toyol ini curi maklumat? Selalunya, toyol curi duit. Toyol ini pula curi maklumat dari laci budak-budak tingkat empat. Bertuah betul tuan toyol ni!!”

Rasanya tak payah kita layan SMS di atas. Pertama, kerana saya tak pernah Tanya kalau “toyol” yang dimaksudkan di atas adalah “toyol bertuan”. Kedua, kalau benar dia ada tuan, saya pun tak tau siapa tuan dia. Ketiga, saya juga tak tau apa maksud tuan dia di sebalik penghantaran kod-kod rahsia menerusi SMS ini kepada saya. Apa pun, kita semua mesti berterima kasih kepada si pengirim SMS-SMS misteri yang kini jadi The Toyol Code ini. Kita mesti lindungi angsa yang sedang memberikan telur emas kepada kita!

Tercicir

Oleh itu, marilah kita imbas kembali mesej yang terkandung dalam seluruh SMS yang telah kita pecahkah kod rahsianya sebelum ini. Dalam ayat yang mudah dan ringkas, seluruh kod rahsia dalam semua SMS itu membawa mesej bahawa satu rombakan kabinet dijangka dilakukan oleh Kerajaan Malaysia pada Februari 2007.

Rombakan kabinet yang diura-urakan, dijangka membabitkan sebilangan besar menteri dan beberapa timbalan menteri. Beberapa nama besar yang kini jadi menteri juga dijangka disingkirkan. Beberapa muka baru di bawah umur 50 tahun pula dijangka mendapat tempat istimewa.

Kod-kod dalam seluruh SMS itu juga membayangkan adanya campur tangan elemen-elemen asing dalam usaha menyiapkan satu laporan komprehensif mengenai rombakan kabinet tersebut. Umpamanya, terdapat beberapa kod seperti “orkestra temasik group,” “pakar strategi politik,” dan juga “perunding” sebagai pihak yang menyiapkan laporan berkenaan.

Pihak-pihak asing ini juga didakwa sebagai bertindak atas pimpinan “patrick” sebagai “komposer” dan “budak hantu” sebagai “pencipta lirik” bagi acara “juara lagu” yang akan diadakan pada Februari 2007. “Youngman” bertindak sebagai “penasihat” kepada keseluruhan usaha di atas. Lebih penting lagi, usaha ini telah direstui oleh “papa”.

Sebab itulah saya katakan dalam Pengenalan The Toyol Code ini bahawa kisah ini adalah sensasi, membabitkan personaliti besar, ada elemen konspirasi, membabitkan kita, masa depan kita, kemerdekaan negara kita, dan mungkin membabitkan kesejahteraan, keselamatan dan keamanan Malaysia serta rakyat jelatanya.

Integriti

Dalam pada itu, memang kebelakangan ini banyak pihak di Malaysia mengharapkan Datuk Seri Abdullah Ahmad membuat rombakan kabinet secara besar-besaran. Pihak ini menganggap rombakan sedemikian adalah baik.
Mereka mahu beberapa Menteri tertentu disingkirkan. Mereka mengharapkan rombakan kabinet ini dapat memperkukuhkan lagi kecekapan Kerajaan Malaysia serta memulihkan semula integriti, maruah dan kedaulatan negara di bawah kepimpinan mutakhir.

Saya, dan anda yang telah membantu saya memcahkan seluruh kod dan mesej rahsia dalam The Toyol Code ini, mungkin memilih untuk berbza pandangan mengenai rombakan yang akan dilakukan. Terdapat beberapa sebab tertentu mengapa kita perlu berasa bimbang dengan apa yang mungkin akan berlaku.

Sebagaimana telah dinyatakan dalam Bahagian Dua The Toyol Code, kod-kod rahsia yang telah berjaya dipecahkan setakat ini jelas menggambarkan bahawa rombakan kabinet yang dicadangkan awal 2007 ini agak membimbangkan. Antara fakta yang boleh menimbulkan kebimbangan adalah seperti berikut:

Satu: Penglibatan “patrick” dan “budak hantu” sebagai watak utama dalam usaha menyediakan laporan komprehensif mengenai rombakan cabinet berkenaan.

Hakikat ini pasti membimbangkan. Ini kerana kita tidak tahu dengan sahih, siapakah “patrick” dan siapakah “budak hantu” ini. Adakah mereka daripada agensi Kerajaan Malaysia? Adakah mereka konsultan? Apakah hubungan mereka dengan “papa?”

Dua: Penglibatan elemen-elemen luar dan mungkin juga elemn-elemen asing seperti “orkestra temasik group,” “temasik,” “pakar strategi politik,” dan “perunding” dalam penyediaan laporan komprehnsif mengenai rombakan cabinet berkenaan.

Hakikat ini juga perlu dicurigai. Saya yakin, tidak ada satu pun rakyat jelata Malaysia yang mungkin rela menerima hakikat bahawa rombakan kabinet yang akan dilakukan di negara ini awal tahun depan, adalah satu tindakan yang dinasihati oleh elemn-elemen asing.

Tiga: Penyingkiran sebilangan nama berwibawa daripada jawatan menteri, pengekalan beberapa nama yang disifatkan sebagai berkredibaliti rendah sebagai menteri, dan penyerapan sebilangan besar muka baru di bawah umur 50 tahun sebagai menteri.

Maklumat ini juga agak mencemaskan. Mengapakah segolongan menteri yang berkredibaliti tinggi mungkin disingkirkan dalam rombakan yang diura-urakan ini? Mengapakah segelintir menteri yang dikatakan berkredibaliti rendah pula terus dikekalkan? Mengapa pula jumlah muka baru di bawah 50 tahun yang akan dilantik sebagai menteri dikatakan besar? Apakah motif serta rahsia di sebalik tindakan ini?

Bimbang

Jadi, siapakah dapat menafikan bahawa latarbelakang kepada rombakan kabinet yang akan berlaku ini agak aneh? Ianya adalah aneh bila laporan komprehensif mengenai rombakan kabinet tersebut tidak disediakan oleh agensi-agensi yang lazimnya mengendalikan urusan berkenaan di Jabatan Perdana Menteri.

Hakikat ini tidak boleh dinafikan kerana daripada beberapa kod rahsia yang dikirimkan kepada kita, ada dinyatakan dengan jelas bahawa pembikinan CD (laporan komprehensif) untuk “juara lagu” (rombakan kabinet) kali ini “diiringi” oleh “orkestra temasik group.”

Dalam Bahagian Dua, kita telah cuba memecahkan erti kod “temasik” dan “orkestra temasik group.” Akhirnya, kita merumuskan biarlah kod “temasik” dan “orkestra temasik group” itu ditafsirkan sendiri oleh para pembaca. Ini adalah untuk mengelakkan sebarang kontroversi diplomatik di kemudian hari kelak.

Bagaimanapun, tiada siapa dapat menyekat wujudnya keanehan dan kebimbangan di sebalik kedua-dua kod di atas. Keanehan dan kebimbangan seperti ini perlu dipandang serius oleh semua pihak.

Baru

Seterusnya, kod-kod rahsia yang telah kita rungkai maksudnya juga membayangkan bahawa muka-muka baru di bawah umur 50 tahun yang akan dilantik sebagai menteri dijangka daripada kumpulan “budak hantu” dan “patrick”. Hakikat ini terkandung dalam kod-kod seperti yang tercatat dalam SMS berikut:

“Papa dah setuju lirik group budak hantu. Tak lama lagi, semua penyanyi adalah penyanyi darah muda, asyik dengan lagu rap, blues, jazz dan rock. Yang tua-tua, duduk rumah, jaga cucu.”

Salah satu mesej SMS yang saya terima juga menyatakan bahawa kumpulan yang menyediakan laporan komprehnsif mengenai rombakan kabinet kali ini dikatakan pernah mengeluarkan kenyataan bahawa “orang-orang muda lagi banyak idea nak majukan negara dan berfikiran tiada had hari.”

Kenyataan ini seolah-olah telah menyakitkan hati banyak pihak. Sebab itulah agaknya pengirim SMS di atas menyatakan bahawa “idea mereka” mungkin “boleh majukan bangsa kita jadi macam kehidupan di Eropah, di mana anak muda boleh mabuk siang malam dan bebas bersosial.”

Dominasi

Oleh itu, saya minta anda sekalian membantu saya cari kepastian, adakah “penyanyi darah muda” yang dimaksudkan di atas benar-benar orang “patrick” dan “budak hantu?” Dan, mungkinkah kelompok “darah muda” ini telah disaring dan dipilih secara teliti menurut piawaian “orkestra temasik group” dan juga “pakar strategi politik” asing?

Kalau hakikatnya begitu, mungkinkah kumpulan “penyanyi darah muda” ini akan jadi kumpulan utama pilihan orang luar yang akan menumpahkan kesetiaan penuh kepada kuasa asing yang sedang berusaha keras untuk mendominasikan Malaysia di abad ke-21?

Soal kemungkinan di atas mesti kita pandang serius. Soal ini tidak boleh disorot mengikut satu perspektif sempit dan tempatan sahaja. Sebaliknya, ia perlu dikaji mengikut perspektif geopolitik regional dan internasional. Ia perlu disorot dalam konteks tindakan sesetengah kuasa besar yang sedang menghuru-harakan Iraq dan Afghanistan.

Hakikat ini juga perlu dikaji bersama hakikat bahawa sesetengah kuasa besar dunia memang sedang berusaha melakar semula peta sosio-ekonomi dan politik negara Islam di seluruh dunia. Ia juga perlu dilihat dan dianalisa selaras dengan usaha kuasa-kuasa besar dan cita-cita neoimprialisme untuk menguasai Selat Melaka dan Asia Tenggara di abad ke-21.

Tindakan

Oleh itu, kita kenalah berbuat sesuatu yang termampu selaras dengan keterbatasan kita sebagai rakyat jelata Malaysia yang bertanggungjawab. Apa yang perlu dilakukan, saya tak tau. Pokoknya, jangan kita berbuat sesuatu yang akan menjejaskan kedaulatan, kemerdekaan, keselamatan, ksejahteraan dan keamanan negara.

Kalau betul rombakan kabinet yang diura-urakan ini dilakukan pada Februari 2007, kita masih mempunyai kira-kira empat bulan untuk memikir dan melakukan sesuatu yang positif kepada negara, bangsa dan agama.

Oleh itu, bacalah The Toyol Code ini sedalam-dalamnya. Fikirkanlah apa yang kita boleh lakukan secara kolektif sebagai rakyat Malaysia seluruhnya. Dalam hal ini, ketepikanlah seluruh halangan di hadapan kita.

Matlamat kita adalah mencari kepastian sama ada benar “budak hantu” dan “patrick” berperanan besar menyediakan laporan komprehensif yang dijadikan asas rombakan kabinet yang akan dijalankan. Matlamat kita adalah supaya kemerdekaan negara tercinta ini sentiasa bebas daripada manipulasi dan cengkaman kuasa asing pada setiap masa.

Bagaimanapun, apa jua tindakan yang akan dan perlu dilakukan, tidakan itu wajarlah merangkumi tindakan daripada kumpulan penyokong personaliti-personaliti yang akan digugurkan sebagai menteri dan timbalan menteri.

Gugur

Dalam konteks ini, kita telah pun huraikan dalam Pengenalan The Totol Code akan beberapa nama yang dijangka gugur sebagai menteri. Untuk itu, sama-samalah kita ulang baca kandungan SMS yang dikirimkan pada 12 Oktober 2006, seperti berikut:

“Dapat maklumat, satu juara lagu, 10 menteri penuh dan dua timbalan menteri akan melayang.”

Dalam satu daripada SMS itu ada disenaraikan beberapa nama menteri, termasuklah seperti berikut:

“Rais, Pidah, Aziz, Azmi, Ku Lan, Abah. Mr Sammy, dan Minah Belia.”

Berasaskan senarai di atas, kita telah pun sama-sama berteka-teki menerusi Pengenalan The Toyol Code. Kita telah bertanya soalan-soalan berikut:

“Adakah Rais yang dimaksudkan adalah Datuk Rais Yatim? Adakah Pidah itu Datuk Seri Rafidah Aziz? Adakah Aziz pula Datuk Seri Aziz Samsuddin? Adakah Azmi yang dimaksudkan adalah Datuk Azmi Khalid? Adakah Ku Lan itu Tengku Azlan, Timbalan Menteri Pengangkutan? Adakah Abah maksudnya Datuk Zainal Abidin Zin, Timbalan Menteri Pertahanan? Adakah Mr. Samy merujuk kepada Datuk Seri S. Samy Vellu? Adakah Minah Belia merujuk kepada Datuk Azalina Othman?”

Jadi. kalaulah benar menteri-menteri yang akan gugur adalah berasaskan senarai di atas, maka mungkinkah Datuk Rais Yatim, Datuk Seri Rafidah Aziz, Datuk Aziz Samsuddin, Datuk Azmi Khalid, dan Datuk Seri Samy Vellu yang akan terjejas dengan rombakan kabinet yang diura-urakan berlaku pada Februari 2007? Nasib Datuk Azalina Othman masih samara-samar. Menurut SMS di atas, “Minah Belia masih atas pagar.”

Pada waktu yang sama, adakah Timbalan Menteri yang akan tersingkir menerusi rombakan kabinet berkenaan adalah Tengku Azlan Sultan Abu Bakar dan Datuk Zainal Abiudin Zin?

Dari senarai di atas, kita dapati bahawa mesej SMS yang pertama sekali yang mengatakan bahawa “10 menteri dan dua timbalan menteri akan melayang” adalah kurang tepat. Jadi, siapakah lima orang lagi menteri yang akan terjejas?

Soalan ini mungkin terkandung dalam SMS kepada saya pada 14 Oktober 2006, seperti berikut:

“Nama yang gugur, Azmi, Rais, Zam, Pidah, Aziz, Abdullah, Ku Nan, Abah dan Ku Lan.”

Senarai di atas seolah-olah mengesahkan nasib Datuk Rais, Datuk Azmi, Datuk Seri Rafidah dan Datuk Aziz. Ia juga memberikan tiga lagi nama menteri yang dijangka disingkirkan. Mereka adalah “Zam” atau Datuk Zainuddin Maidin, “Abdullah” atau Datuk Abdullah Zain, dan “Ku Nan” atau Tengku Abnan Mansor.

Kalau maklumat SMS pada 12 Oktober dan 16 Oktober 2006 seperti di atas adalah betul, ini bermakna bahawa pada Februari 2007, kemungkinan besar Rais Yatim, Datuk Seri Rafidah Aziz, Datuk Aziz Samsuddin, Datuk Azmi Khalid, Datuk Seri Samy Vellu, Datuk Zainuddin Maidin, Datuk Abdullah Zain, dan Datuk Tengku Abnan Mansor disingkirkan sebagai menteri.

Tetapi, kalaulah senarai di atas memang benar, masih ada dua lagi nama yang belum diketahui. Bagaimanapun, dalam SMS kepada saya pada 16 Oktober 2006, pengirim itu juga menyatakan bahawa “LKyeik diganti penyanyi Terengganu.”

Adakah ini bermakna Datuk Seri Dr. Lim Kheng Yeik juga akan digugurkan menerusi rombakan yang diura-urakan akan terjadi? Dan, kalaulah Datuk Azalina Othman yang “masih atas pagar” jadi digugurkan, tidakkah maklumat yang mengatakan “10 menteri, dua timbalan menteri akan melayang” ini benar dan sahih?

Pengganti

Sebenarnya, saya tidak tergamak untuk menulis ramalan di atas berasaskan kod-kod rahsia yang terselit di sebalik SMS yang saya terima. Tetapi, dalam SMS yang saya terima memang banyak mengandungi kata-kata seperti berikut:

Satu: “Semua carta-carta lagu budak hantu tu dah dapat kelulusan papa.”
Dua: “Pakar kita tak nafi apa yang dilihat dalam cd tu adalah final. Kemungkinan besar pasti berlaku.”
Tiga: “Perkara ini sudah confirm.”
Empat: “Jangan tak prcaya. Semua cv peserta dah ada dalam cd.”

SMS yang saya terima juga mengandungi banyak kod mengenai muka-muka baru yang mungkin menggantikan menteri-menteri yang disingkirkan. Antaranya adalah seperti berikut:

Satu: “Ramai kawan budak hantu jadi penyanyi baru.”
Dua: “Tak lama lagi semua penyanyi darah muda.”
Tiga: “Jahanamlah kalau kalau semua penyanyi asyik dengan lagu rap, blues, jazz dan rock.”
Dua: “Bagan Datuk akan nyanyi lagu warisan.”
Tiga: “LKyaik digantikan penyanyi Terengganu.”
Empat: “Tempat Samy diganti Melayu.”

Saya pasti anda sudah boleh memecahkan kod-kod di atas dengan mudah. Ada di antaranya sudah pun kita pecahkan menerusi siri sebelum ini. Yang lainnya, agak muda difahami sesudah kita menerima hakikat bahawa seluruh kod yang mengaitkan perkataan “lagu” adalah mengenai pilihanraya dan yang berkaitan dengannya.

Insaf

Berasaskan seluruh kod di atas, saya memohon maaf jika ramalan ini mengganggu sesetengah pihak terbabit. Bagaimanapun, saya harap pihak terbabit akan menginsafi kata-kata pengirim SMS yang penuh misteri, seperti berikut:

“Saya takut ada yang terus tak boleh tidur malam sebab menyesal. Padan muka. Sebelum ini knapa tak nak dengar cakap kita bahawa dia orang tak perlu takut pada budak hantu. Dia orang kan ada kuasa. Jadi, apa macam orang lama? Marilah ramai-ramai kita bagi undi SMS dan katakan kami sokong! Sokong apa? Oh, sokong sebab diterajang oleh budak hantu, papanya dan juga patrick! Jadi, insaflah, rupa-rupanya sokongan-sokongan buta yang anda berikan selama ini adalah sokongan supaya anda diganti dengan penyanyi darah muda pilihan budak hantu, patrick dan orkestra temasik group!”

Memang kata-kata sinis di dalam SMS seperti di atas menyakitkan hati. Tetapi, kajilah secara positif. Tidakkah kata-kata itu mungkin sengaja dikirimkan kepada saya untuk disiarkan dalam blog ini supaya ianya menjadi motivasi kepada tindakan sewajarnya dalam tmpoh terdekat ini?

Saya tidak mahu mencadangkan apa-apa berkaitan kata-kata sinis di atas. Tetapi, anda gunakanlah kebijaksanaan masing-masing untuk memecahkan rahsia di sebalik SMS di atas. Sesudah itu, pakat-pakatlah apa yang patut dibuat supaya tindakan “budak hantu, patrick dan orkestra temasik group” yang didakwa sebagai berperanan besar dalam rombakan kabinet yang akan berlaku pada 2007 ini, tidak menjadi realiti yang mungkin menggerunkan kita semua.

Akhir kata buat kali ini, ingat. The Toyol Code belum selesai. Akan datang ini anda bantulah saya merungkaikan kod-kod rahsia yang saya agak adalah mengenai pilihanraya umum yang mungkin diadakan pada April 2007.

- Ikutilah sambungan misteri The Toyol Code ini dalam Bahagian Empat.