Wednesday, October 11, 2006

INGATAN GOOGLE
TENTANG PENGARUH BLOG

BAYANGKAN anda boleh menyemak serta-merta kesahihan kenyataan yang dibuat oleh ahli-ahli politik. Ketua Eksekutif Google Inc., Eric Schmidt percaya itulah bentuk perkhidmatan yang akan ditawarkan oleh Internet dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ahli-ahli politik disifatkan masih belum menghargai impak dunia secara talian, yang akan turut memberi kesan kepada keputusan pilihan raya, kata Schmidt dalam temu bual dengan Times Financial yang diterbitkan semalam.

Beliau menjangkakan perisian “peramal kebenaran” dalam tempoh lima tahun akan datang ‘‘dapat menilai ahli-ahli politik.’’ Orang ramai boleh menggunakan program tersebut untuk menzahirkan fakta kenyataan-kenyataan yang dibuat melalui sejarah data bagi memastikan sama ada ia benar atau sebaliknya.

‘‘Satu daripada mesej saya kepada mereka (ahli politik) ialah berfikir bagaimana berinteraksi dengan para pengundi mereka secara talian, kemudian menambah ‘adakah ia betul atau palsu.’ Kami (di Google) tidak menentukan kebenaran tetapi menyediakan kemungkinannya,’’ kata beliau kepada sebuah akhbar.

Pengerusi yang juga ketua eksekutif syarikat carian Internet paling popular di dunia itu berkata demikian semasa lawatannya ke Britain minggu ini, di mana beliau telah bertemu Perdana Menteri Tony Blair dan berucap pada persidangan tahunan Parti Konservatif.

‘‘Ramai ahli politik sebenarnya tidak memahami fenomena Internet dengan baik,’’ kata Schmidt kepada Financial Times. ‘‘Ini disebabkan masalah usia mereka... selalunya mereka belajar tentang Internet daripada staf-staf dan anak-anak mereka.’’

Penciptaan televisyen menyebabkan pemimpin politik berfikir mengenai seni getaran bunyi. Internet juga akan menyebabkan mereka terpaksa menyesuaikan diri.

‘‘Internet berperanan besar dalam mengisi dana untuk ahli-ahli politik... tetapi belum lagi memberi kesan kepada pilihan raya. Ia jelas akan berlaku,’’ kata Schmidt.

Dalam tulisannya di akhbar tabloid Sun, bos Google itu berkata, dunia talian menambah kuasa orang kebanyakan dengan keupayaan untuk mencabar kerajaan, pihak media dan perniagaan.

‘‘Ia juga mengurangkan jurang sedia ada antara masyarakat dan maklumat, membolehkan akses lebih terbuka untuk pengetahuan manusia,’’ tulis Schmidt.

‘‘Ini menyebabkan kita lebih berkuasa sebagai seorang individu.’’

[Politikus Malaysia kenalah ambil ingatan dan iktibar daripada berita di atas. Khususnya Datuk Seri Lim Kheng Yaik dan Timbalannya Datuk Shahziman Mansor, yang pernah mencemoh bloggers Malaysia kononnya sebagai penembak curi. Kalau tidak, tanggung sendirilah bahananya. – Ruhanie Ahmad.]

1 comment:

A Voice said...

Dengan cadangan dan implementasi express Internet Malaysia, kerajaan dijangka akan mempunyai keupayaan untuk menahan laman2 tertentu dari menembusi alm Siber Malaysia pada akhir tahun ini.

Adakah kerajaan akan melakukan sesuatu bertentangan undang2, sama2 kita lihat. Tapi mengikut lumrah politik Malaysia, apa saja sanggup dilkukan atas nama politik.