Monday, October 09, 2006

KUAN YEW PERLU BACA
BUKU MALAYS IN SINGAPORE

Baru-baru ini, Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew menyatakan masyarakat Cina di Malaysia dan Indonesia dipinggirkan secara sistematik.

Kenyataan beliau telah mengundang kecaman baik daripada masyarakat Melayu mahupun masyarakat Cina Malaysia.

Kaum Cina di Malaysia mempunyai suara serta ruang dalam politik dan ekonomi secara langsung. Mereka juga membentuk parti politik dan turut bergabung dalam kerajaan yang memerintah.

Malah kaum Cina jugalah yang membentuk parti pembangkang termasuk DAP yang bersuara sangat lantang.

Apakah ini berlaku dalam ‘demokrasi’ Singapura? Taktik yang digunakan untuk melemah dan melumpuhkan pembangkang di Singapura ialah dengan menyaman mereka di mahkamah.

Penalti ganti rugi yang sangat tinggi terhadap pembangkang akhirnya menyebabkan mereka takut bersuara.

Kuan Yew mungkin lupa bahawa terdapat sebuah kajian ilmiah yang pernah dijalankan oleh Dr. Lily Zubaidah, seorang pensyarah dari universiti di Australia yang telah dibukukan bertajuk The Singapore Dilemma: The Political and Educational Marginality of the Malay Community.

Buku ini membincangkan secara menyeluruh situasi masyarakat Melayu di Singapura yang dipinggirkan secara sistematik.
Kuan Yew mungkin juga lupa bahawa terdapat sebuah lagi kajian ilmiah yang pernah dijalankan oleh seorang pelajar PhD bernama Tania Li berkenaan dengan bagaimana orang Melayu di Singapura dipinggirkan secara sistematik.

Buku tulisan Tania Li diterbitkan oleh University of Cambridge yang bertajuk Malays in Singapore dan diterbitkan pada tahun 1988. Ia sebenarnya merupakan tesis doktorat beliau. Kajian Tania telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh Abdul Rahman Embong dan diterbitkan oleh Synergy Book International cetakan tahun 1995 (ISBN:983-876-010-2).

Saya amat mengalu-alukan rakyat Malaysia supaya membaca buku tersebut. Ia menyatakan dengan terperinci bagaimana orang-orang Melayu di Singapura telah mula dipinggirkan sejak 1980-an lagi terutamanya dalam bidang politik dan pendidikan.

Hasil penyelidikan akademik Tania Li didasarkan daripada kajian kualitatif beliau secara terperinci tentang kemerosotan masyarakat Melayu sebagai kumpulan minoriti di Singapura dalam bidang ekonomi dan pendidikan berbanding dengan masyarakat Cina bermula tahun 1956 sehingga 1980.

– MELAYU SEMPADAN,
UTM, Skudai,
Johor.
http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=1002&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_02.htm
Utusan Malaysia 2 Oktober 2006

BISIK-BISIK
AWANG SELAMAT

Mungkin hari ini akan diketahui apa isi kandungan surat Lee Kuan Yew kepada Perdana Menteri kita.

Bagi Awang, Kuan Yew hanya perlu jawab dua persoalan sahaja – kenapa beliau membangkitkan perkara itu? Dan kenapa sekarang?

Awang harap bekas Perdana Menteri Singapura itu tidak akan pusing sana dan pusing sini dan cuba berdiplomasi dalam jawapannya.

Semua orang tahu Kuan Yew seorang yang tidak ada masalah untuk berterus terang. Beliau juga bukan seorang yang akan bersusah payah untuk cakap berlapik supaya tidak mengguris hati orang lain.

Maka kali ini Awang harap beliau tidak akan berlapik – cakap sahaja kenapa beliau mengatakan Malaysia meminggirkan penduduk Cinanya secara sistematik.

Biar apa pun penjelasan Kuan Yew, terdapat pengajaran daripada episod ini. Tidak payahlah Awang menghuraikannya. Ia terlalu mudah untuk difahami.

Mungkin juga ada hikmah di sebalik semuanya. Ia datang sebagai satu peringatan kepada kita terutama kepada generasi muda Malaysia akan apa yang boleh dan tidak boleh diharapkan daripada Singapura.

Awang – Sering dilukai.

No comments: