Sunday, October 01, 2006

PM SUDAH TULIS SURAT
MINTA PENJELASAN KUAN YEW

KUALA LUMPUR 28 September 2006 – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau telah menulis surat kepada bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew bagi meminta penjelasan berhubung tuduhan bahawa Malaysia meminggirkan kaum Cina secara sistematik.

Menurut Perdana Menteri, beliau kini sedang menunggu penjelasan daripada Menteri Mentor republik itu.

‘‘Saya sudah hantar surat (kepada Kuan Yew), cuma (kini) tunggu jawapan daripada dia,’’ katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada isu berhubung kenyataan Kuan Yew itu dibincangkan atau tidak dalam mesyuarat hari ini.

Abdullah memberitahu, isu tersebut tidak dibincangkan oleh MT kerana menunggu penjelasan daripada Kuan Yew.

Bekas Perdana Menteri Singapura itu, ketika berucap pada forum yang dianjurkan sempena mesyuarat melibatkan Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa di negara itu mendakwa kaum Cina di Malaysia dan Indonesia telah dipinggirkan secara sistematik.

Kenyataan Kuan Yew itu menimbulkan rasa kurang senang dan Abdullah sebelum ini berkata akan meminta Menteri Mentor itu memberi penjelasan berhubung kenyataan itu.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar yang ditemui selepas itu berkata, Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia telah dipanggil tengah hari ini untuk memberi penjelasan berhubung kenyataan Kuan Yew.

Katanya, pertemuan membabitkan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Rastam Mohd. Isa itu berlangsung di Wisma Putra.

‘‘Kita nak tahu sebenarnya kenapa kenyataan itu berlaku dan kita juga beri pandangan kita, apa perasaan kita dan tunggu respons mereka dan kita akan putuskan apa tindakan kita seterusnya,’’ katanya.

– Utusan Malaysia 29 September 2006
http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=0929&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_01.htm

No comments: