Monday, October 09, 2006

KENAPA KUAN YEW
EDAR SURATNYA
KEPADA MEDIA?

AGAK melucukan membaca tajuk akhbar muka depan semua akhbar perdana hari ini yang memberi gambaran sekali imbas kononnya Lee Kuan Yew telah memohon maaf kerana menuduh kita meminggirkan warganegara berketurunan Cina.

Tetapi apakah benar dia telah memohon maaf? Saya kira inilah satu-satunya contoh di mana yang memohon maaf sebenarnya tidak berbuat demikian.

Apa yang dia lakukan hanyalah memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad kerana kenyataannya di hadapan hadirin ke persidangan Bank Dunia/Tabung Kewangan Antarabangsa di Singapura pertengahan bulan lalu telah membuat Perdana Menteri ‘tidak selesa’.

Membaca suratnya sekali imbas pun boleh memberi gambaran bahawa dia bukan saja tidak mohon maaf kerana membuat tuduhannya bahawa warga keturunan Cina di Malaysia dipinggirkan tetapi telah menguatkan kembali tuduhannya itu. Malah dia telah menuduh Malaysialah yang memulakan tuduhan demikian dengan mengatakan bahawa Melayu Singapura dipinggirkan.

Kita tidak kisah terhadap sebarang pendiriannya, tetapi apabila menyuarakannya di khalayak ramai dan di depan audien antarabangsa pula, tentunya ia bertujuan memburuk-burukkan kita dan kita tentunya tidak boleh berdiam diri.

Dan dia telah mengedarkan pula suratnya itu yang merupakan balasan kepada surat peribadi daripada Pak Lah. Mengikut tatatertib hubungan antarabangsa serta protokol hubungan antara negara, pengedaran surat begini tidak sepatutnya berlaku.

Sebaliknya Kuan Yew telah mengedarkan suratnya itu kepada akhbar sebaik saja mendapati suratnya itu telah diterima Pak Lah. Apakah tindakannya itu tidak menunjukkan betapa tidak hormatnya dia kepada Pak Lah dan kerajaan kita? Apakah dia mahu menunjukkan bahawa dia tidak langsung hiraukan protokol dan etika dalam hubungan antarabangsa dan hubungan dengan kita?

– REJAL ARBEE,
Kuala Lumpur.
http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm
Utusan Malaysia 4 Oktober 2006

JANGAN BUAT LAGI:
PM INGATKAN KUAN YEW
MENGENAI KENYATAAN
MENGHASUT RAKYAT MALAYSIA


PUTRAJAYA 3 Oktober 2006 – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengingatkan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew supaya jangan mengulangi kenyataannya yang boleh menghasut rakyat Malaysia.

Ditanya wartawan apakah beliau menerima permohonan maaf Kuan Yew itu, Perdana Menteri hanya berkata: “Saya telah mengambil maklum mengenai apa yang beliau (Kuan Yew) telah katakan dalam surat itu, semua yang telah dinyatakannya.”

“Walau apa juga alasan yang beliau berikan, kenyataan seumpama itu boleh menghasut rakyat Malaysia.”

Abdullah menasihatkan Kuan Yew supaya tidak lagi mengeluarkan kenyataan seumpama itu pada masa akan datang.

Tegasnya, kenyataan Kuan Yew pada 15 September itu tidak sepatutnya diutarakan.

“Saya menerima surat beliau dan saya memahami isi kandungan seumpama itu, dan saya sudah mengambil maklum mengenainya. Tapi saya rasa... biarlah saya katakan begini, bahawa kenyataan Kuan Yew yang dibuatnya di Singapura itu tidak wajar dan tidak dihargai.

“Saya sudah tentu tidak bersetuju, saya tentu sahaja menolak alasan kenapa beliau membuat kenyataan itu,” kata Abdullah pada sidang akhbar selepas mempengerusikan perjumpaan bersama ulama-ulama, di sini.

Perdana Menteri mengulas surat penjelasan Kuan Yew kepada surat yang dihantarnya pada 25 September lalu bagi meminta jawapan mengenai kenyataan kontroversi Menteri Mentor itu bahawa masyarakat Cina di Malaysia dan Indonesia telah dipinggirkan secara sistematik.

Komen itu mendapat bantahan Malaysia dan Indonesia. Kementerian Luar kedua-dua negara telah memanggil duta-duta Singapura untuk memberi penjelasan mengenai kenyataan Kuan Yew itu.

Dalam surat yang disiarkan oleh akhbar hari ini, Kuan Yew meminta maaf kerana kenyataannya itu telah menyebabkan ketidakselesaan kepada Perdana Menteri.

Namun para pemerhati menyifatkan jawapan balas Kuan Yew itu bukan satu permohonan maaf atas kenyataan yang dibuatnya itu, tapi sekadar meminta maaf “kerana telah menyebabkan ketidakselesaan kepada Perdana Menteri”.

Surat balas Kuan Yew itu diserahkan ke pejabat Abdullah di Putrajaya oleh Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, T. Jasudasen, semalam.

Dalam sidang akhbar tersebut, Perdana Menteri berkata, pihaknya percaya bahawa kenyataan seumpama itu tidak memberi sumbangan kepada hubungan kejiranan antara Kuala Lumpur dan Singapura.

Diminta mengulas lagi, Abdullah berkata: “Ia boleh menghasut rakyat, dan reaksinya mungkin tidak elok.”

Beliau enggan menjawab pertanyaan lanjut mengenai surat Kuan Yew itu kerana tidak mahu ada perbahasan mengenainya.

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm
Utusan Malausia 4 Oktober 2006

SURAT KUAN YEW
BUKAN PERMOHONAN MAAF
– SYED HAMID

PUTRAJAYA 3 Okt0ber 2006 – Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar menganggap surat penjelasan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak menggambarkan permohonan maaf yang sebenar.

Beliau menegaskan, surat penjelasan tersebut lebih merupakan penerangan kepada Perdana Menteri berhubung apa yang didakwa mengenai peminggiran secara sistematik masyarakat Cina di Malaysia sebelum ini.

“Saya tidak menganggap ia surat permohonan maaf kerana beliau (Kuan Yew) hanya menjelaskan apa yang dikatakan (tuduhan peminggiran masyarakat Cina di Malaysia).

“Dalam surat itu Kuan Yew hanya menyatakan permohonan maaf kerana menyebabkan timbul ketidakselesaan kepada Perdana Menteri sahaja,” katanya kepada pemberita di majlis berbuka puasa di Wisma Putra, di sini hari ini.

Syed Hamid berkata, permohonan maaf kerana menimbulkan rasa tidak selesa kepada Perdana Menteri berbeza dengan permohonan maaf kerana membangkitkan isu peminggiran masyarakat Cina di Malaysia oleh Menteri Mentor tersebut.

Semalam, Kuan Yew dalam surat penjelasannya kepada Abdullah meminta maaf kerana telah menimbulkan rasa tidak selesa kepada Perdana Menteri dan beliau menegaskan perkara itu tidak langsung diingini selepas melalui hubungan bermasalah selama sedekad dengan pemimpin sebelum ini, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Syed Hamid menegaskan, Singapura seharusnya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan berhubung negara jiran khususnya untuk mengelak timbulnya masalah dalam hubungan bilateral.

Katanya, kedua-dua negara perlu bekerjasama dalam semua bidang tetapi pada masa sama perlu menjaga sensitiviti dan perasaan antara satu sama lain.

Mengenai pendirian Malaysia terhadap surat penjelasan bekas Perdana Menteri Singapura itu, beliau berkata, Perdana Menteri telah menyatakan kedudukan Malaysia dengan jelas dan menerima maklum kandungan surat berkenaan.

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm
Utusan Malaysia 4 Oktober 2006

KEIKHLASAN KUAN YEW
MEMOHON MAAF DIPERSOAL

PULAU PINANG 3 Okt. – Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) mempersoalkan keikhlasan permohonan maaf Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang dilihat hanya cuba untuk menyejukkan keadaan semata-mata.

Presiden Pemenang, Datuk Seri Mohd. Yussof Latiff yakin Kuan Yew akan terus mengeluarkan kenyataan berbaur kontroversi pada masa akan datang.

Ini kerana beliau amat memahami kerenah pemimpin negara jiran itu yang kerap mengkritik Malaysia terutama semasa zaman pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

‘‘Saya tidak terkejut jika selepas ini dia buat lagi sebab kita tahu perangai dia sejak dari dulu,” kata veteran UMNO itu kepada pemberita di sini hari ini.

Kuan Yew dalam surat penjelasan bertarikh 29 September kepada Abdullah berhubung kenyataan beliau bahawa masyarakat Cina di Malaysia dipinggirkan secara sistematik, meminta maaf kerana kenyataannya itu menyebabkan ketidakselesaan kepada Perdana Menteri.

Suratnya itu diserahkan ke pejabat Abdullah di Putrajaya oleh Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, T. Jasudasen, semalam.

Menurut Yusoff, sebagai pemimpin, Kuan Yew tidak sepatutnya melatah dan mencetuskan suasana tidak baik antara Malaysia dan Singapura.

‘‘Apa yang dia lakukan telah menjadi titik hitam dalam sejarah hubungan antara dua negara jiran ini, lagi pun dia sememangnya begitu sejak zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman. Tindak-tanduknya seolah-olah mahu menjadi Perdana Menteri selepas Singapura bergabung bersama Malaysia,” tegasnya.

Katanya lagi, Kuan Yew cuba mempengaruhi Tunku Abdul Rahman supaya mengambil tindakan ke atas golongan yang dilabelkan ‘ultra UMNO’ sekiranya mahukan Singapura terus kekal dalam Malaysia.

Malah lebih dari itu, tambahnya, Kuan Yew memperjuangkan slogan ‘Malaysian Malaysia’ bertujuan menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu.

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_02.htm
Utusan Malaysia 4 Oktober 2006

TIDAK WAJAR
BABITKAN DR. M

KUALA LUMPUR 3 Oktober 2006 – Walaupun Lee Kuan Yew meminta maaf, namun tindakannya mengheret bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ke dalam isu masyarakat Cina Malaysia dipinggirkan adalah satu cubaan ‘menangguk di air keruh’.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, tindakan Kuan Yew itu bukanlah suatu bijak kerana membabitkan Tun Dr. Mahathir Mohamad di atas iklim politik yang berlaku di negara ini.

‘‘Tindakan Kuan Yew menghebahkan kepada umum ‘a decade of troubled relations’ (hubungan bermasalah selama sedekad) dengan bekas Perdana Menteri memberikan gambaran pemimpin Malaysia, pemimpin UMNO dan orang Melayu suka menimbulkan masalah.

‘‘Ini sesungguhnya satu penghinaan yang tidak seharusnya diluahkan oleh seorang pemimpin negara jiran kerana pemimpin yang menjadi Perdana Menteri Malaysia dipilih oleh ahli-ahli UMNO serta seluruh rakyat pelbagai kaum secara demokrasi,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan bagi mengulas surat penjelasan Kuan Yew kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung dakwaan bahawa masyarakat Cina di Malaysia dipinggirkan secara sistematik, telah meminta maaf kerana kenyataannya itu menyebabkan ketidakselesaan kepada Perdana Menteri.

Katanya, perkara itu tidak langsung diingini beliau selepas melalui hubungan bermasalah selama sedekad dengan pemimpin sebelum Abdullah.

Muhammad dalam hal ini berkata, UMNO menyambut baik tindakan meminta maaf daripada Kuan Yew itu.
‘‘Bagaimanapun, secara tegas kita berpendirian bahawa Kuan Yew tidak wajar mengaitkan isu berkenaan dengan bekas-bekas pemimpin di Malaysia, apatah lagi bekas-bekas Perdana Menteri dari kalangan pemimpin UMNO yang banyak sumbangannya kepada bangsa dan negara,’’ katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_03.htm
Utusan Malaysia 4 Oktober 2006

KUAN YEW PATUT TAHU
SENSITIVITI RAKYAT JIRAN

MELAKA 3 Oktober 2006 – Sebagai pemimpin veteran, Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew sepatutnya lebih peka dan tahu menghormati sensitiviti rakyat serta pemimpin negara jiran dengan tidak mengeluarkan kenyataan yang berbentuk provokasi.

Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan ia wajar menjadi pengajaran agar hubungan baik selama ini tidak dikeruhkan dengan kenyataan yang boleh menyinggung mana-mana pihak.

‘‘Soal minta maaf sepatutnya tidak timbul jika Menteri Mentor Singapura itu tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung perasaan pemimpin dan rakyat Malaysia serta Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas surat permohonan maaf daripada Kuan Yew kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung dakwaan beliau bahawa masyarakat Cina di Malaysia dipinggirkan secara sistematik.

Kuan Yew dalam surat penjelasan kepada Abdullah telah meminta maaf kerana kenyataannya itu telah menyebabkan ketidakselesaan kepada Perdana Menteri.

Katanya, perkara itu tidak langsung diingini beliau selepas melalui hubungan bermasalah selama sedekad dengan pemimpin sebelum Abdullah (Tun Dr. Mahathir Mohamad).

Mengulas lanjut Mohd. Ali yang juga Ketua Menteri Melaka menyokong pendirian tegas Perdana Menteri berhubung isu tersebut.

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_04.htm
Utusan Malaysia 4 Oktober 2006

BISIK-BISIK
AWANG SELAMAT

BAHASA Inggeris Awang tidaklah sehebat Lee Kuan Yew. Pun begitu, Awang tidak perlu membaca surat beliau dua kali untuk memahami maksudnya – yang tersurat dan yang tersirat.

Kuan Yew sebenarnya tidak meminta maaf di atas keterlanjurannya iaitu, mengatakan Cina Malaysia dipinggirkan secara sistematik. Beliau hanya meminta maaf kerana kenyataannya telah menyebabkan ketidakselesaan kepada Perdana Menteri kita.

Sekali pandang, surat Kuan Yew itu memang kelihatan seolah-olah beliau meminta maaf. Awang harap umum tidak terkeliru.

Awang juga tidak senang dengan langkah Kuan Yew mengedarkan suratnya kepada media sedangkan Perdana Menteri kita tidak mendedahkan kandungan surat beliau kepada Kuan Yew.

Nampak sangat Kuan Yew tidak sabar-sabar hendak mendedahkan kandungan suratnya kerana ada ‘benda lain’ yang beliau mahu tunjukkan.

Dan kata Kuan Yew, hubungan Singapura-Malaysia berada pada kedudukan lebih baik hari ini. Betul, tapi beliau telah mencurah air sejuk ke atasnya.

Awang – Tengah panas.

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_04.htm
Utusan Malaysia 4 Oktober 2006

No comments: