Monday, October 09, 2006

KABINET PERAKU
MAKLUM BALAS PM
ISU KUAN YEW

PUTRAJAYA 4 Oktober 2006 – Kabinet hari ini memperakukan maklum balas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung surat penjelasan yang dihantar oleh Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew mengenai dakwaan masyarakat Cina di Malaysia dan Indonesia dipinggirkan secara sistematik.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad berkata, Kabinet bagaimanapun tidak membincangkan secara mendalam isu itu.

“Kita tidak bincangkan secara mendalam, cuma maklum balas Perdana Menteri yang dibincangkan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet kementeriannya di sini.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=1005&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_02.htm
Utusan Malaysia 5 Oktober 2006

KENYATAAN KUAN YEW
PETUNJUK KEPADA
PEMIMPIN MELAYU

Lee Kuan Yew sudah minta maaf dan beliau mengaku bahawa kenyataannya yang mendakwa rakyat Cina Malaysia dan Indonesia dipinggirkan oleh kerajaan masing-masing bukanlah berniat hendak campur dalam politik kedua-dua negara jiran dan rakan dalam ASEAN.

Dengan sikap orang Melayu yang dikatakan ‘mudah lupa’, adakah soal ini boleh dilupakan dan pemimpin-pemimpin kita pun akan berkata: ‘‘Ahh... yang sudah sudahlah, kita ada banyak kerja hendak dibuat.’’

Pada hemat saya kenyataan Kuan Yew ini adalah satu petunjuk Allah kepada pemimpin dan bangsa Melayu sebagai pewaris Islam supaya jangan lupa akan beberapa hakikat demi masa depan kita.

Pertama, kenyataan itu dibuat oleh Kuan Yew, 81 tahun, bapa negara Singapura yang berjaya mencipta sebuah negara berdaulat di atas sebuah pulau yang dahulunya merupakan sebahagian daripada empayar Johor-Riau.

Kuan Yew yang pernah mendapat rezeki hidup dengan orang Melayu (sebagai peguam Utusan Melayu pada 60-an), menubuhkan parti PAP bersama orang Melayu dan kemudian berjaya mendapatkan kemerdekaan Singapura atas belas kasihan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman apabila Kuan Yew mula buat kacau dalam Persekutuan Malaysia.

Tetapi rakyat Melayu, hak politik Melayu dan bahasa Melayu dipinggirkan di Singapura. Malah sejarah Singapura dalam buku sekolah juga diubah untuk mendidik generasi baru Singapura bahawa orang Melayu bukan penduduk asal pulau itu.

Kedua, kenyataan Kuan Yew dibuat dalam satu satu dialog dengan bekas Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Larry Summers yang nyata bertujuan bahawa sebagai negara bukan Islam di rantau ini Amerika Syarikat semestinya boleh menganggap Singapura sebagai rakan baik yang tulen dalam konteks dasar luarnya di rantau ini.

Ini di tambah lagi dengan hakikat bahawa antara Malaysia, Indonesia dan Singapura, hanya Singapura yang mempunyai hubungan diplomatik dan kerjasama erat dengan Israel.
Jelas, kita boleh menjangka taklimat yang akan diberikan oleh Summers kepada Bush dan Cheney apabila dia pulang ke Washington. Yang kecil dibesarkan dan yang besar, dibesarkan lagi.

Ketiga, walaupun tidak lagi menjadi Perdana Menteri Singapura, Kuan Yew terus bertanding dan memenangi pilihan raya dan menyertai Kabinet penggantinya, Goh Chok Tong dan sekarang anaknya sendiri, Hsien Loong.

Hakikatnya, kalau Singapura sebuah syarikat global, Kuan Yew terus sebagai Pengerusi Eksekutif manakala anaknya hanyalah Pengarah Urusan samalah seperti Bill Gates yang mengasaskan Microsoft iaitu dia tetap bosnya tak kira apa jawatan yang dipegang olehnya.

Kerajaan Malaysia mungkin boleh memberikan reaksi yang berlainan kalau kenyataan Kuan Yew itu terus dijelaskan oleh anaknya bahawa itu merupakan pendapat peribadi bapanya dan tidak berupa pendapat rasmi Pentadbiran Singapura.

Malah sebaik-baiknya tindakan disiplin dikenakan terhadap Kuan Yew kerana mengaibkan Kabinet yang diketuai oleh anaknya. Jadi yang jelas ialah tindakan minta maaf oleh Kuan Yew itu tidak ada makna apa-apa pun kerana niat sebenar Kuan Yew adalah untuk menyampaikan beberapa mesej iaitu mesejnya kepada Bush di Washington dan mahu tidak mahu mesejnya kepada orang Cina di Malaysia dan Indonesia.

Sebab itulah ketua DAP, Lim Guan Eng anak pengasas parti itu (yang merupakan pecahan PAP), Lim Kit Siang terus membuat kenyataan menyetujui kenyataan Kuan Yew dan mengecam MCA dan Gerakan.

Keempat, berikutan kenyataannya itu, Kuan Yew atau kerajaan Hsien Loong tidak pula menyangkal kenyataan-kenyataan dari Malaysia tentang dasar kerajaan PAP yang secara sistematik menghapuskan kawasan Melayu, sekolah Melayu dan bahasa Melayu dan meminggirkan Melayu daripada politik Singapura.

Selepas Kabinet pertama pada tahun 1965, Melayu menduduki tempat ketiga di belakang Cina dan India. Sebaliknya mengikut falsafah Kuan Yew, sepatutnya sudah ada beberapa menteri penuh dalam Kabinet Sigapura.

Kelima, kenyataan Kuan Yew ini terbit semasa Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra digulingkan oleh pihak tentera walaupun dalam dua pilihan raya sebelum itu parti Thai Rak Thai (TRT) pimpinannya menang dua pilihan raya dengan majoriti besar.

Antara perkara yang menyebabkan kemarahan rakyat Thai ialah selepas Thaksin menjual syarikat komunikasi kepunyaannya tanpa membayar cukai kepada Temasik Holdings, syarikat pelaburan terbesar kepunyaan kerajaan Singapura. Ketua Eksekutifnya, Ho Ching ialah isteri Lee Hsien Loong.
Ternyata rakyat Thai amat bijak. Mereka sudah nampak tanda-tanda Thaksin hendak menjadikan Thailand sebagai sebuah Thailand Incorporated yang dikuasai oleh kaum keluarganya.

– BAKI MINUDDIN,
Ampang.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=1005&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm
Utusan Malaysia 5 Oktober 2006









No comments: