Sunday, October 29, 2006

KERAJAAN PERLU BERI PENJELASAN RASIONAL
TERHADAP DAKWAAN DR MAHATHIR

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Kerajaan perlu memberi penjelasan rasional bagi menyanggah sebarang dakwaan yang timbul dalam pertelagahan antara Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan Tun Dr Mahathir Mohamad sekarang, kata bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata kerajaan mesti memberi tumpuan kepada menjawab dakwaan mengenai isu dan polisi yang ditimbulkan oleh bekas Perdana Menteri itu dan bukan bertindak "menyimpang".

"Saya tidak berminat terlibat dalam sengketa mereka tetapi terdapat dakwaan yang membabitkan dasar yang serius oleh kerana (dakwaan datang dari) bekas perdana menteri selama 22 tahun. Perkara ini mesti dibincang dan dipertimbangkan (oleh kerajaan).

"Tidak guna kerajaan berada dalam kedudukan membuat penafian, tetapi perlu memberi jawapan memuaskan," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Bukit Damansara, di sini hari Ahad.

Anwar, penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), ditanya pandangannya mengenai pertelagahan antara Abdullah dan Dr Mahathir, terutama selepas mereka mengadakan pertemuan empat mata Ahad lepas.

Beliau berkata Dr Mahathir, sebagai seorang warga negara, berhak mengkritik pentadbiran sekarang dan ini memerlukan penjelasan lengkap dari kerajaan, khususnya tentang dakwaan berhubung isu dan dasar.

"Kita mungkin tak sependapat dengan Tun (Dr Mahathir). Saya tak setuju dengan cara mencaci. Saya tak percaya penyelesaian ialah dengan bertindak zalim kepadanya. Saya hormati hak Dr Mahathir (untuk mengkritik). Kalau kenyataan itu berasas, kerajaan kena jawab," tambahnya.

Anwar berkata setakat ini, jawapan kerajaan terhadap dakwaan Dr Mahathir tidak begitu meyakinkan oleh kerana "beberapa orang tokoh setakat berkata Dr Mahathir tidak sepatutnya mengkritik Perdana Menteri".

Ditanya sama ada pertelengkahan Abdullah-Dr Mahathir akan berakhir, Anwar berkata: "Saya tidak nampak cara ia akan selesai dalam masa terdekat".

"Bekas perdana menteri mengambil pendirian tegas. Isunya bukan setakat beberapa dasar tetapi kritikan cukup hebat terhadap pentadbiran," kata beliau.

-- BERNAMA
http://www.bernama.com.my/bernama/v3/bm/news.php?id=226823

No comments: