Thursday, October 12, 2006

APAKAH MOTIF
LEE KUAN YEW?

Lee Kuan Yew adalah Lee Kuan Yew. Egonya membelah angkasa. Bicaranya racun berbisa. Tetapi, akibat saiz negaranya yang sekangkang kera, dia pun bermentaliti kiasu. Sebab itulah dia sentiasa mewarnai hubungan Malaysia-Singapura dengan seribu satu bicara yang negatif lagi penuh prasangka.

Padangan Lee Kuan Yew terhadap Malaysia sering dilandasi motif-motif khusus. Ada waktunya dia berniat menghasut. Kadangkalanya dia berhasrat menghina atau mengadu-domba.

Hampir seluruh tutur bicara Lee Kuan Yew mengenai Malaysia nampaknya seolah-olah sudah dicongak secara teliti akan impak dan implikasinya.

Mesej
Tutur bicaranya juga sering mengandungi mesej-mesej tersirat. Ksemuanya dilafazkan relevan dengan ruang waktu serta sesuatu senario tertentu di Malaysia.

Lantaran itu, bila dia mengatakan meminta maaf kepada Malaysia atas sesuatu bicara yang memang disengajakan, dia bukannya meminta maaf dalam ertikata yang ikhlas dan sebenar-benarnya.

Contohnya adalah baru-baru ini. Bila Lee Kuan Yew meminta maaf atas kenyataannya yang menuduh masyarakat Cina di Malaysia kononnya dipinggirkan secara sistematik, surat meminta maaf yang disampaikan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, sebenarnya mengandungi hasutan.

Hasutan ini terkandung dalam kata-katanya seperti berikut: “Saya minta maaf kerana apa yang saya katakan telah menyebabkan ketidakselesaan. Selepas sedekad hubungan bermasalah dengan pemimpin sebelum anda, (Tun Dr. Mahathir Mohamad) perkara seperti ini tidak diingini langsung.”

Hasutan
Hasutan yang terkandung dalam ayat di atas bertujuan memburuk-burukkan imej serta nama baik Tun Dr. Mahathir. Ini mungkin kerana Tun Dr. Mahathir terus menyemarakkan soal pembinaan Jambatan Bangkok yang dibatalkan oleh Datuk Seri Abdullah.

Bagaimanapun, Lee Kuan Yew agak terlupa apa yang telah dikatakannya scara hitam putih mngenai Tun Dr. Mahathir dalam memoirnya From Third World To First, The Singapore Store 1965-2000. Dalam muka surat 289-290, Lee Kuan Yew menyatakan seperti berikut:

“Despite my differences with him (Tun Dr. Mahathir), I made more progress solving bilateral problems with Mahathir in the nine years he was Prime Minister, from 1981 to 1990, when I stepped down, than in the prvious 12 years with Tun Razak and Hussein Onn as prime ministres.”

Maksudnya: Walaupun wujud beberapa perbezaan, saya berjaya menyelesaikan banyak masalah bilateral dengan Mahathir dalam tempoh sembilan tahun dari 1981 hingga 1990, bila saya meletakkan jawatan (sebagai Perdana Menteri Singapura), berbanding dengan tempoh 12 tahun sewaktu Tun Razak dan Tun Hussein jadi Perdana Menteri (Malaysia).

Maaf?
Jadi, bagaimanakah “hubungan yang bermasalah” dengan Tun Dr. Mahathir membolehkah Lee Kuan Yew “berjaya menyelesaikan banyak masalah bilateral dalam tempoh sembilan tahun” berbanding tempoh 12 tahun di bawah kepimpinan Tun Razak dan Tun Hussein.

Dan, tidakkah kenyataan Lee Kuan Yew di atas juga agak sama bentuk dan nadanya dengan kenyataan yang kononnya dia meminta maaf kepada Datuk Seri Abdullah baru-baru ini?

Dalam kenyataannya baru-baru ini Lee Kuan Yew berkata “selepas sedekad hubungan bermasalah dengan pemimpin sebelum anda, (Tun Dr. Mahathir Mohamad) perkara seperti ini tidak diingini langsung.” Dalam memoirnya, dia berkata bahawa dia mampu menyelesaikan banyak masalah bilateral Malaysia-Singapura dalam tempoh 9 tahun di zaman Tun Dr. Mahathir, berbanding 12 tahun di bawah Tun Razak dan Tun Hussein.

Dari kenyataan di atas, Lee Kuan Yew seolah-olah berhasrat memburukkan Tun Dr. Mahathir sewaktu Datuk Seri Abdullah jadi Perdana Menteri. Dan, seolah-olah mahu memboruk-burukkan Tun Razak dan Tun Hussein sewaktu Tun Dr. Mahathir jadi Perdana Menteri.

Kita juga kena analisa kenyataan Lee Kuan Yew kepada Datuk Seri Abdullah baru-baru ini bahawa “sejak Datuk Seri Abdullah menjadi Perdana Menteri pada November 2003, hubungan antara kedua-dua negara semakin baik di mana beliau (LKY) yakin rakyat Malaysia dan Singapura saling menghargai.”

Ironi
Tidakkah kenyataan di atas merupakan satu ironi? Kalau hubungan Malaysia-Singapura baik di zaman Datuk Seri Abdullah, kenapakah Lee Kuan Yew tergamak membuat kenyataannya mengenai Malaysia baru-baru ini?

Jadi, manusia jenis apakah yang tergamak berpendirian seperti di atas? Dan, salahkah kalau satu hari nanti ada pihak yang mahu menggelar Lee Kuan Yew sebagai pemimpin lidah bercabang?

Jadi, begitulah haikatnya Lee Kuan Yew. Sebab itulah dia tidak mempunyai sikap hormat lepada Malaysia. Kalau dia hormat upada Malaysia, dia tidak akan menghantar salinan surat beliau lepada Datuk Seri Abdullah lepada akhbar-akhbar di Malaysia.

Tindakan itu salah. Tindakan tidak beradab. Datuk Seri Abdullah sendiri tidak menghantarkan salinan suratnya kepada Lee Kuan Yew kepada pihak media. Jadi, apa rasional Lee Kuan Yew menghantar salinan suratnya lepada media?

Melukut
Jadi, pemimpin Malaysia mestilah berhati-hati dengan hubungannya dengan Singapura. Sebagaimana saya pernah tanyakan dalam tulisan saya sebelum ini, bagaimanakah perilaku diplomasi Malaysia? Bagaimana pula perilaku diplomasi Singapura? Siapakah yang sentiasa mempermainkan siapa? Siapakah yang sentiasa menghormati siapa?

Pastikanlah, siapakah yang bercabang lidah, siapakah yang melukut di tepi gantang, siapakah yang menangguk di air keruh, siapakah yang menjolok sarang tebuan, siapakah sebenarnya yang jadi duri dalam daging, dan anjing tersepit manakah yang telah dilepaskan untuk terus hidup tanpa igauan?

Soalan-soalan di atas mestilah sentiasa melatarbelakangi hubungan Malaysia-Singapura. Soalan-soalan itu juga perlu dihalusi kerana seluruhnnya penting kepada co-existence Malaysia dan Singapura yang lebih harmoni, penuh muafakat, saling hormat menghormati, aman, damai di hari muka. - Ruhanie Ahmad

No comments: