Wednesday, July 05, 2006


MISTER X DAN MISTER WHO
DALANG DALAM KELAMBU?


Kebelakangan ini segolongan rakyat Malaysia sentiasa tercari-cari dan tertanya-tanya, siapakah Mr. X, siapakah Mr. Who, siapakah musuh dalam selimut, siapakah gunting dalam lipatan, siapakah musang berbulu ayam, siapakah pagar yang makan padi, dan siapakah dalang dalam kelambu, dalam era kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Lebih khusus lagi, mereka ingin tahu, siapakah dalang yang memainkan peranan besar dalam menentukan calon-calon Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-11? Siapakah dalang yang main peranan penting dalam menentukan senarai Kabinet Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi? Siapakah dalang yang main peranan strategik dalam penjualan sebahagian saham Telekom Malaysia kepada sebuah syarikat Singapura? Siapakah dalang yang main peranan utama di sebalik rombakan besar di jabatan pengarang The New Straits Times Press? Siapakah dalang yang memberikan nasihat supaya Kerajaan Malaysia membatalkan projek Jambatan Indah di Johor Bahru?

Soalan-soalan atas datangnya daripada rakyat jelata Malaysia pelbagai peringkat. Kesemuanya panas dan menyengat. Keseluruhannya pasti tidak disenangi oleh Datuk Seri Abdullah selaku Perdana Menteri, Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional.

Biar pun begitu, saya tetap menyenaraikan soalan-soalan di atas, bagi pihak rakyat jelata Malaysia yang prihatin terhadap kesejahteraan agama, bangsa dan negara. Tindakan saya ini mungkin dicap sebagai tindakan pembangkang. Tindakan ini juga mungkin menyebabkan saya dibantai, dibedal serta ditibai secara bertubi-tubi, oleh segolongan kaki pukul yang tertentu.

Bagaimanapun, saya terpaksa menulis pasal soal dalang dan menyenaraikan soalan-soalan di atas kerana dunia siasah Malaysia pada hari tiba-tiba sahaja jadi tidak pernah sepi daripada kisah dalang dan perdalangannya.

Sebelum kita membincangkan soal dalang ini dengan lebih lanjut, wajarlah dipastikan apakah erti perkataan dalang yang sebenar-benarnya dalam konteks tulisan ini? Secara lumrahnya, dalang adalah tokoh utama yang menggerak serta mengendalikan sesuatu persembahan wayang kulit.

Dalam konteks politik dan lain-lain aspek tindakan yang tidak berkaitan dengan wayang kulit, Kamus Besar Bahasa Indonesia mendefinisikan perkataan dalang sebagai orang yang mengatur, merencanakan dan memimpin sesuatu gerakan secara sembunyi-sembunyi. Kamus Besar Bahasa Melayu pula mendefinisikan perkataan dalang sebagai perancang, perencana, pereka, pemimpin sesuatu gerakan secara sulit atau sembunyi-sembunyi.

Oleh itu, bila kita membicarakan soal dalang, kita tidak boleh elak dari membincangkan soal manusia yang suka bertindak secara bertopeng. Manusia yang jadi dalang dan manusia yang bertopeng ini selalunya bergerak secara sembunyi-sembunyi. Mereka juga bergerak secara beriringan atau secara berpasukan.

Soalan-soalan mengenai dalang seperti yang saya senaraikan di atas sering ditimbulkan oleh rakyat biasa. Soalan-soalan itu pernah ditanyakan kepada saya sesudah saya menunaikan fardhu Asar di Masjid Kampung Hulu, di Bandar Melaka; sewaktu saya di Pasar Raya Alamanda, Putrajaya; sewaktu saya minum kopi di sebuah restoren di Danga Bay, Johor Bahru; sewaktu saya berada di Lawas, Sarawak; sewaktu saya berada di perkarangan Masjid Demak, Indonesia; sewaktu saya berada di Madinah; dan sewaktu saya berada di kampung saya di Parit Sulong.

Majoriti pihak yang mengeluarkan soalan-soalan di atas adalah rakyat biasa Malaysia yang tidak saya kenali. Tetapi mereka mengenali saya sebagai bekas Presiden BBC, Parlimen Malaysia, yang disifatkan oleh mereka, kononnya sebagai lantang dan berani.

Tetapi, oleh kerana saya adalah antara Ahli Parlimen yang telah dipesarakan atas sebab-sebab yang hanya diketahui oleh Allah SWT, maka saya pun hanya mampu menjawab seluruh soalan-soalan itu dengan senyuman.

Saya khuatir, kalau saya memberikan jawapan, nanti saya dicap sebagai anggur masam. Dan, kerana sejak pesaraan saya hinggalah sekarang, saya masih lagi belum berpeluang menemui Perdana Menteri, kalau saya memberi reaksi kepada soalan-soalan di atas, tentulah saya bukan sahaja dikategorikan sebagai anggur masam, malahan mungkin juga saya akan diberi pelbagai gelaran yang negatif.

Sebab itulah saya hanya menjawab dengan senyuman. Tetapi, pihak yang menerima senyuman saya tetap mendesak saya memberikan jawapan. Khususnya jawapan kepada soalan mengenai diri saya sendiri. Kata mereka, Datuk Seri Shahidan Kassim, bekas Presiden BBC, jadi Menteri Besar Perlis. Datuk Seri Jamaluddin Jarjis, bekas Presiden BBC, jadi Menteri. Datuk Mohd. Zain Mohamad, bekas Presiden BBC, jadi Timbalan Menteri. Kenapakah Datuk Ruhanie Ahmad, bekas Presiden BBC, terbuang begitu sahaja? Kalau soalan-soalan lain pun saya jawab dengan senyuman, soalan ini juga saya jawab dengan senyuman!

Tetapi, kerana kini saya kembali menulis, izinkanlah saya turunkan seluruh soalan-soalan berkenaan dalam tulisan ini. Kepada saya, pihak berkuasa tepuklah dada dan tanyalah selera. Adakah benar apa yang diluahkan menerusi soalan-soalan di atas memang melibatkan sekumpulan dalang dan manusia bertopeng dalam Kerajaan pimpinan Datuk Seri Abdullah pada hari ini?

Saya senaraikan soalan-soalan mengenai dalang dan manusia bertopeng ini kerana saya tidak pernah menerima soalan-soalan sedemikian rupa sepanjang hampir 22 tahun Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, Prsiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional.

Kalau dulu tidak pernah timbul soalan-soalan mengenai dalang, kenapa sekarang timbul? Kalau dulu tidak ada soalan mengenai dalang, kenapa sekarang ada? Inilah yang menghairankan banyak pihak. Dan inilah juga yang menyebabkan soalan-soalan di atas tidak boleh dipandang remeh dan ringan.

Sewaktu saya berkhidmat dengan Tun Musa Hitam, selaku Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, dari 1982 hingga 1986, saya juga tidak pernah terdengar istilah dalang dan manusia bertopeng dalam politik Malaysia.

Apabila Tun Musa Hitam meletakkan jawatan pada 1986, pun saya tidak pernah terdengar perkataan dalang yang menyebabkan perletakan jawatan itu. Jadi, kenapakah pada hari ini perkataan dalang dan manusia bertopeng ini sentiasa meniti di bibir segolongan rakyat Malaysia?

Jadi, siapakah dalang atau dalang-dalang di sebalik Datuk Seri Abdullah? Atau, siapakah manusia atau manusia-manusia bertopeng yang berada di sekeliling Datuk Seri Abdullah? Adakah soalan-soalan seperti ini mencerminkan bahawa dalang dan manusia bertopeng ini memang wujud di sekeliling Datuk Seri Abdullah? Atau, bolehkah pertanyaan seperti ini dikategorikan hanya sebagai fitnah liar semata-mata?

Maka, saya pun bertanyakan kepada banyak pihak. Satu demi satu nama individu yang disyakki sebagai dalang ini meluncur dari bibir ke bibir, dari mulut ke mulut, dari satu blog ke satu blog yang lain. Tetapi, selepas puas dianalisa seluruh maklumat yang tersurat dan tersirat, jawapannya tetap sama.

Bak kata orang Penang, pi mai, pi mai, tang tu jugak! Tak lari ke mana. Kesemua individu yang disyakki sebagai dalang, kesemua individu yang dituduh sebagai dalang, dan kesemua individu yang kononnya jadi dalang, adalah individu-individu yang sama.

Walaupun wajah-wajah mereka sentiasa bersalutkan topeng yang berlapis-lapis tebalnya, segolongan rakyat jelata Malaysia amat pasti, manusia-manusianya adalah serupa.

Jumlah manusia ini tidak ramai. Ada pihak mengatakan, dalang utamanya seorang sahaja. Ada pula pihak mengatakan, dalang utamanya adalah dua orang. Ada juga pihak yakin, dalang utamanya adalah tiga orang. Lain-lainnya cuma disifatkan sebagai budak suruhan kepada dalang-dalang terbabit.

Secara kebetulannya, ketiga-tiga manusia yang disifatkan sebagai dalang utama ini kononnya mempunyai nama dengan abjad pangkal yang sama. Contohnya, dalam kes tiga Abdul, mereka mempunyai abdaj A pada pangkal nama masing-masing. Tetapi, dalam tulisan ini biarlah saya kagetorikan mereka yang disyakki sebagai dalang dengan nama Mister X.

Dari desas-desus terbaru, ketiga-tiga Mister X ini pula kononnya mempunyai pertalian dengan beberapa rangkaian perisikan antarabangsa. Hakikat ini sukar untuk dipastikan. Tetapi, ianya cukup membimbangkan.

Menurut Nujum Pak Belalang, Mister X 1 disyakki jadi ayam tambatan MI6 atau agensi perisikan British. Mister X 2 disyakki jadi agen perisikan sebuah negara yang kini dikatakan jadi pangkalan perisikan Mossaad (agensi perisikan Israel) di Asia Tenggara. Mister X 3 pula kini dikatakan sedang dipupuk dan dibelai oleh agensi perisikan Australia. (Maklumat semasa menyatakan Australia kini dipercayai jadi pangkalan utama gerakan zionis di Asia Pasifik).

Saya harap ramalan Nujum Pak Belalang seperti di atas adalah tidak benar. Saya mahu beranggapan begitu kerana saya tidak rela kepimpinan Datuk Seri Abdullah disusupi, diterobosi dan dikuasai oleh mana-mana kuasa asing, terutama sekali musuh-musuh Dunia Islam mutakhir.

Tetapi, kalaulah ramalan Nujum Pak Belalang seperti di atas benar, apa akan jadi kepada Malaysia? Apa akan jadi kepada kepimpinan Datuk Seri Abdullah sebagai Perdana Menteri, Presiden UMNO, Pengerusi Barisan Nasional, Pengerusi OIC, Pengerusi NAM, dan pejuang utama Islam Hadhari?

Menurut filem P. Ramlee, Pak Belalang adalah seorang ahli nujum yang sentiasa serkap jarang. Sebab itulah hilang pisau ditelek parang. Tetapi, adakah pendapat Nujum Pak Belalang mengenai Mister X seperti di atas, walaupun mungkin hanya serkap jarang, boleh diketepikan begitu sahaja?

Secara peribadi, saya memang cemburu dengan pihak-pihak perisikan British, Amerika Syarikat, Israel, dan Australia, dalam konteks perkembangan geopolitik dunia pada hari ini.

Ini bukan kerana saya terlalu banyak membaca buku-buku mengenai teori konspirasi. Tetapi, kerana musuh-musuh Dunia Islam memang sentiasa berusaha untuk melemahkan kepimpinan Malaysia yang sejak hampir 22 tahun lalu disifatkan sebagai model negara Islam progresif, jurucakap Dunia Islam yang berkesan, dan mempunyai pemimpin besar yang tidak pernah gentar atau rela tunduk kepada kuasa Barat, mahu pun zionis!

Bagaimanapun, pada hakikatnya, sejak 11 September 2001 hingga hari ini, saya memang banyak membaca mengenai teori konspirasi, perkembangan geopolitik dunia, neoimperialisme dan globalisasi, serta bagaimana Asia Tenggara mahu dijadikan satu daripada pentas utama kepada Perang Antiterorisme Global.

Hakikat ini menjadikan saya sangat perihatin terhadap masa depan Malaysia dalam semua aspek kehidupan. Keprihatinan ini mendorong naluri saya untuk menerima ramalan Nujum Pak Belalang mengenai Mister X seperti di atas, sebagai 45 peratus mungkin benar!

Pihak berkuasa Barat, sekutu, serta talibarutnya, memang sentiasa mencari jalan untuk bertapak di Malaysia. Mereka pernah berusaha menerusi fitnah kononnya Selat Melaka jadi sarang teroris yang kononnya akan meletupkan beberapa tangki minyak milik Barat.

Fitnah seperti itu dihebahkan ke seluruh dunia sebagai satu strategi memaksa Malaysia mengizinkan pihak berkuasa Barat mendapatkan akses kepada fasiliti ketenteraan di Malaysia. Atau, mungkin juga kerana mereka mahu menghadirkan bala tenteranya di bumi Malaysia, sama seperti kehadirannya di selatan Filipina.

Bagaimanapun, usaha di atas gagal bila Malaysia menubuhkan agensi maritim yang khas untuk meningkatkan kecekapannya mengawal Selat Melaka. Jadi, apakah pilihan terbaik yang ada pada pihak berkuasa Barat terbabit, pada masa ini?

Persoalan seperti inilah yang mungkin menyebabkan beberapa pihak Barat kini meningkatkan usaha penyusupannya ke dalam pentadbiran negara Malaysia. Sebab itulah agaknya, segolongan kader agensi perisikan Barat kononnya sedang mengepung Datuk Seri Abdullah.

Tetapi, adakah ini betul? Sebagaimana saya tegaskan di atas, naluri saya mengatakan kemungkinannya 45 peratus adalah betul. Tetapi, siapakah dalang-dalang utama itu? Siapakah Mister X yang sedang kita cari-cari?

Untuk itu, saya sambungkan pembaca budiman kepada item berikut daripada
http://www.kmu.net.my/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&t=6322&start=0&postdays=0&postorder=asc&highlight. Baca dan telitilah sendiri kandungan butiran berkenaan. Sesudah itu, tanyalah diri sendiri, adakah kita pernah terdengar nama-nama itu dituduh sebagai dalang kepada Perdana Menteri Malaysia mutakhir?

Pada waktu yang sama, sekumpulan individu pula pernah meminta jasa baik seorang berpengaruh di negara ini, untuk menyampaikan kepada Perdana Menteri, akan kisah dalang seperti di atas.

Tokoh berpengaruh itu tertawa terbahak-bahak. Entah betul, entah tidak, tokoh berkenaan berkata, jangan kita semua buang masa untuk menyampaikan keprihatinan kita mengenai soal dalang ini kepada Datuk Sri Abdullah. Katanya lagi, keprihatinan kita terhadap soal ini tidak akan sampai ke mana!

Maka, oleh kerana tokoh berkenaan enggan menghuraikan kenapakah keprihatinan kita terhadap soal dalang ini tidak akan sampai ke mana, wajarlah kita tanyakan, adakah Perdana Menteri tidak percaya akan kemungkinan dalang-dalang kononnya sedang berada di sekeliling dirinya sendiri? Atau, adakah kerana kisah dalang ini adalah fitnah semata-mata?

Dalam situasi sebegini, sama-samalah kita doakan semoga Perdana Menteri kita memang benar-benar tidak dikelilingi oleh individu-individu yang kononnya bertindak sebagai dalang.

Dalam keadaan seperti ini juga, sama-samalah kita juga berdoa semoga seluruh agensi keselamatan negara ini sentiasa bertindak dengan penuh kebijaksanaan, integriti dan keikhlasan, demi agama, bangsa dan negara tercinta!

Sebagai renungan buat kali ini, sama-samalah kita ikuti kisah Membahagi Hadiah yang terkandung dalam buku Himpunan Kisah Para Wali. Kisah ini membabitkan Nasaruddin Hoja, seorang tokoh sufi yang terkenal dan setaraf dengan Abu Nawas. Kisahnya adalah seperti berikut:

Nasaruddin mempunyai sebuah khabar baik untuk Raja di negaranya. Ketika mahu mengadap Raja tersebut, Nasaruddin ditahan oleh seorang pengawal istana yang suka memeras. Dia pun mengadakan suatu perjanjian dengan pengawal terbabit. Setelah susah payah berusaha, akhirnya Nasaruddin pun menyampaikan berita baik itu kepada Raja berkenaan.

Raja nampak gembira mendengar cerita Nasaruddin. Baginda pun berkata: “Pilih sendiri, hadiah apa yang kau inginkan.”

“Lima puluh sebatan,” jawab Nasaruddin.

Meskipun hairan, Raja itu memerintahkan juga agar Nasaruddin di sebat.

Ketika sebatan sudah sampai yang kedua puluh lima, Nasaruddin berteriak: “Berhenti. Sekarang bawa masuk penjaga istana di depan sana dan beri dia setengah dari hadiah yang aku perolehi. Tadi aku telah bersumpah untuk memberinya setengah dari hasil yang aku perolehi kerana membawa khabar baik yang aku sampaikan kepada Raja.”

“Nasaruddin. Kenapa kau korbankan dirimu dengan dua puluh lima kali sebatan untuk memberitahu aku bahawa ada penjaga istana ini yang suka memeras,” kata Raja.

“Hamba khuatir dikata mengada-ngada,” jawab Nasaruddin.

Demikianlah kisahnya. Dalam konteks politik dan Kerajaan Malaysia hari ini, siapakah agaknya yang sanggup jadi Nasaruddin? Siapakah yang layak dikategorikan sebagai pengawal? Dan, siapakah pula yang boleh disifatkan sebagai Raja? Untuk mendapatkan kepastiannya, bacalah kisah di atas secara berulang kali, kemudiannya tepuklah dada dan tanyalah selera!

3 comments:

A Voice said...

Saya rasa saya akan jadi orang pertama comment di blog Dato'.

Walaupun saya suka dengan watak YAB PM dan memmpunyai sejarah dengannya, pendapat saya berdasarkan prinsip dan bukan emosi.

Kita boleh memberi pelbagai andaian atau fakta dalam membincangkan mengenai Penasihat atau Dalang yang Dato maksudkan hingga lembu pulang dari padang rumput.

Namun, bak kata orang Amerika "the buck stops here". Semuanya berakhir dan bermula dengan YAB PM yang merupakan orang yang menerima mandat (atau tanggung- jawab atau amanah) yang terutama dari rakyat. Jangan kita lupa dia juga menerima kepercayaan mantan PM untuk mengambil tempatnya apabila mantan PM tidak dapat menghabiskan penggalnya untuk bersara dan dengan itu menerima kedudukkan sebagai de facto incumbent PM.

Pada saya, semua keputusan2 utama dan "strategic change" yang menjadi persoalan adalah tanggung- jawab YAB PM. Disini ada 3 kemungkinan:

1. YAB PM tidak mengambil tahu; yang maksudnya terang bahawa dia adalah YAB PM yang tidak bertanggungjawab atau
2. YAB PM tidak diberitahu dan boleh membawa maksud tentang kebolehan pengurusannya; atau
3. YAB PM diberitahu dan ia merupakan keputusannya membawa maksud ia bukan seorang yang cekap dalam membaut keputusan.

Macam mana pun kita cuba lihat, YAB PM kena jawab dan bukan menyuruh atau menyalahkan orang lain. Sekiranya dialah yang menjadi penyebab dalang2 ini boleh berperanan, maka dia kena bertanggungjawab dan menggunakan dalang2 sebagai alasan.

Kalau di ikut cakap orang Amerika yang kurang seni, "the buck stops with the PM" dan he either "Buck up or Ship out".

Sebagai orang yang faham mengenai Islam, YAB PM seharusnya faham apa yang dimaksudkan salah satu prinsip Islam yang meletakkan satu pada tempatnya yang berhaknya.

Mengikut Kitab Hikam, kepemimpinan bergantung pada dua perkara: kebolehan dan penerimaan. Kalau kedua2 ini tidak boleh dipenohi, jangan kita melawan fitrah.



Anak Bagan

A Voice said...

Wak lampir

Orang Parit Sulong sebenarnya rindukan Dato'. Dah lah si MP sekarang tak tahu cakap jawa dan sedikit sebanyak banjar. Dia boleh ngata orang kg malas dan perlu rajin.

Hai ...jgn kau panggil orang jawa malas, tak ada dalam vocabulary jawa malas tau! Mana2 org kg kerja tak kuat?

Kena faham masa kerja tak sama. Arab2 ni pedagang datang Batu pahat jual kain, minyak wangi, carpet, dll. Kedai bukak pukul 10.

Mana dia tahu org Kg dah kerja dari lepas suboh? Pukul 9/10 dia rehat wedang dan bila panas dlm 11/12 berenti. Panas kurang terik dlm pukul 3,dia sambung ...

Ni lah arab org pedagang besar kepala. Eh .... mcm cina jugak ye kerja kaup...

MP sekarang jangan tlg jgn kurang ajar. Kamu wakil rakyat bukan diangkat raja. Sultan Johor tahu sayang dan bantu rakyat susah...tak percaya pergi pasor batu pahat dan tanya org2 laut yg berniaga siput!

bashir said...

usaha datuk harus diteruskan.saya amat menyanjungi tindakan segolongan mereka yang benar benar sayang pada tanah tumpah mereka.cuma bak kata orang melayu'bagai menarik rambut didalam tepung...tarik perlahan lahan jangan sampai tepung berselerak.gunakan lah pengalaman datuk membantu mereka yang betul betul memerlukan sokongan.insyallah yang benar akan menang jua nanti.