Wednesday, June 28, 2006

SIAPA BERI MANDAT
NAZRI PERANGI MAHATHIR?

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, cari pasal sekali lagi. Kali ini, dia tuduh Tun Dr. Mahathir Mohamad kononnya bersekongkol dengan pembangkang. Kali ini, dia minta Tun Dr. Mahathir keluar daripada UMNO. Kali ini, dia suruh Tun Dr. Mahathir, kalau mahu terus mengkritik kerajaan, sertailah parti pembangkang.

Waduh-waduh! Hebat betul Datuk Seri Nazri. Kenyataan akhbarnya pada 26 Jun 2006, seolah-olah memberikan mesej kepada seluruh rakyat Malaysia, dia benar-benar seorang anak jantan. Kenyataan itu juga cuba membuktikan seolah-olah dia telah mengangkat martabat dirinya sendiri sebagai manusia yang paling hebat, paling berani, paling lantang, paling tajam lidahnya, dan paling layak sekali untuk memerangi Tun Dr. Mahathir.

Sebab itulah agaknya Berita Harian 27 Jun 2006 melaporkan Nazri isytihar perang terhadap Dr Mahathir. Sebab itulah juga agaknya Utusan Malaysia pada hari yang sama melaporkan Nazri kesal Dr. Mahathir terus kritik kerajaan.

Apa pun, syabas. Kita semua ucapkan syabas kerana bukan calang-calang orang berani menentang Tun Dr. Mahathir. Hanya individu yang tidak pondan seperti Datuk Seri Nazri sahaja yang berani berbuat demikian.

Harap-harap ramai lagi jantan seperti Datuk Seri Nazri muncul dalam Kabint Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak lama lagi. Kemunculan ini pastinya menjadikan peperangan terhadap Tun Dr. Mahathir yang diisytiharkan oleh Datuk Seri Nazri (bukan oleh Datuk Seri Abdullah atau Datuk Seri Najib Tun Razak) jadi lebih hangat dan lebih berkesan.

Tetapi, walau pun Datuk Seri Nazri hebat dan berani, beberapa pihak kini mempersoalkan kejantanan, kreabiliti, integriti, dan ketulusan hatinya di dalam siasah negara. Sesetengah pihak juga mempertikaikan kehalusan tutur katanya dan keluhuran budi bahasanya.

Persoalan mengenai kreabiliti dan integriti, serta pertikaian terhadap tutur kata dan budi bahasa ini kian rancak diperkatakan oleh rakyat jelata Malaysia sejak Datuk Seri Nazri mengisytiharkan dia mahu memerangi Tun Dr. Mahathir.

Contohnya, belum sempat tulisan saya memuji-muji Datuk Seri Nazri seperti di atas, disiarkan oleh Agendadaily, saya telah menerima dua SMS dan lima panggilan telefon yang marah-marah kepada Datuk Seri Nazri.

Penghantar pesanan ringkas dan pemanggil telefon itu masing-masing marahkah Datuk Seri Nazri kerana mengisytiharkan perang terhadap Tun Dr. Mahathir. Kesemuanya mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu sebagai manusia yang tidak bertimbang rasa, apatah lagi mengenang budi.

SMS pertama saya terima pada 3.30 petang, 27 Jun 2006. Mesejnya seperti berikut: “Bila orang tua tegur yang muda, itu nasihat. Bila orang muda tegur yang tua, itu adalah biadap. Tapi, (nota: ayat sebenar dipadam kerana sensitif dan prejudis terhadap Perdana Menteri) pada hari ini, bila orang tua tegur yang muda, itulah biadap. Bila orang muda tegur yang tua, itu adalah budi bahasa, budaya kita. Fikir-fikirkanlah, gila tak gilanya sekarang.”

Pengirim pesanan ringkas di atas bukan ahli UMNO biasa. Dia dikenali ramai. Pernah jadi Setiausaha UMNO Bahagian. Aktif dalam UMNO sejak tahun 60-an. Dia juga antara beratus-ratus hadirin di majlis dialog anjuran gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dan Rakan Media Alternatif di Kelab Century Paradise, Taman Melawati, Sabtu, 24 Jun 2006.

Pada kira-kira jam 11.30 pagi, 27 Jun 2006, seorang sahabat saya melahirkan rasa marahnya kepada Datuk Seri Naztri. Dia menelefon saya daripada Petaling Jaya. Dengan suara manis, lemah lembut, tetapi marah, dia bertanya kepada saya mengenai Tun Dr. Mahathir. Dia ingin tahu, apakah hak Datuk Seri Nazri untuk mengisytiharkan perang terhadap Tun Dr. Mahathir?

Sahabat saya ini adalah seorang Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di zaman Allahyarham Tun Razak Hussein. Beliau orang kuat Allahyarham Datuk Harun Idris. Beliau juga penyokong setia Tun Musa Hitam. Dia kata, dia kesal dengan kenyataan Datuk Seri Nazri. Katanya, siapakah yang berikan mandat supaya Datuk Seri Nazri seolah-olah mewakili UMNO, rakyat Malaysia, dan Perdana Menteri, untuk menyerang Tun Dr. Mahathir?

Pada kira-kira jam 5.30 petang, seorang lagi sahabat menelefon saya daripada Kota Bahru, Kelantan. Dia juga amat marah kepada Datuk Seri Nazri. Dengan loghat Kelantannya yang pekat, sahabat saya itu meluahkan kemarahannya dengan penuh emosi. Katanya, adalah tidak sopan untuk sesiapa berkasar terhadap Tun Dr. Mahathir.

Sahabat saya yang dari Kota Bharu ini juga bukan calang-calang orang. Dia seorang pesara Kerajaan. Dia pernah menyandang jawatan tinggi dalam sebuah kementerian yang rapat dengan rakyat akar umbi. Kini, dia jadi salah seorang penggerak Persatuan Veteran UMNO Kelantan.

Pada kira-kira jam 8.15 malam, salah seorang sahabat saya dari Seri Medan, dalam Parlimen Parit Sulong, Johor, pula mengirim SMS seperti berikut: “Kenapa pihak kerajaan yang ada sekarang macam takut je Bang? Betulkah Tun Dr. Mahathir buat kenyataan yang Kabinet yang ada ikut telunjuk menantu PM?”

Pengirim pesanan ringkas di atas adalah seorang lulusan universiti tempatan. Dia memilih jadi usahawan tani. Dia juga pernah aktif dalam Pergerakan Pemuda UMNO. Kini, dia berdiam diri. Katanya, dia kebingungan dengan seluruh perkembangan politik UMNO di bawah kepimpinan mutakhir. Katanya lagi, Datuk Seri Nazri tidak perlu nak isytiharkan apa-apa terhadap Tun Dr. Mahathir.

Pada kira-kira jam 8.30 malam seorang lagi sahabat daripada Kluang, Johor, menelefon saya. Dia amat bersimpati kepada Tun Dr. Mahathir. Katanya, adakah salah untuk seseorang menyuarakan kebenaran? Katanya, adakah Datuk Seri Nazri mahu menghebahkan kepada seluruh rakyat Malaysia, bahawa sesiapa yang hendak mengkritik kerajaan mutakhir ini mestilah jadi anggota parti pembangkang?

Sahabat saya itu salah seorang anggota UMNO. Dia masih muda. Tetapi, sejak di universiti lagi dia sudah aktif dalam UMNO. Dia bertanya kepada saya, tidakkah Datuk Seri Nazri sedar bahawa kenyataannya mengenai Tun Dr. Mahathir dalam akhbar-akhbar 27 Jun 2006 menyebabkan banyak pihak menyampah dan meluat?

Pada jam 11.15 pagi, 28 Jun 2006, seorang sahabat menelefon saya daripada Kedah. Dia bertemu banyak pihak di Business Class Lounge MAS di KLIA pada 27 Jun 2006. Katanya, rata-rata yang beliau kenali dan temui di lounge berkenaan dikatakan mentertawakan Datuk Seri Nazri.

Sahabat saya ini bekas Setiausaha Parlimen. Dia juga berpengaruh di dalam UMNO. Katanya, pihak-pihak yang beliau temui juga menyatakan bahawa apa yang dilakukan oleh Datuk Seri Nazri, sebenarnya menambahkan simpati rakyat jelata Malaysia kepada Tun Dr. Mahathir.

Pada kira-kira 3.15 petang, 28 Jun 2006, seorang sahabat yang mendakwa sebagai saudara kepada Perdana Menteri, menelefon saya. Dia dalam ketakutan kerana gambarnya bersalaman dengan Tun Dr. Mahathir disiarkan oleh The New Straits Times 27 Jun 2006. Dia marahkan Datuk Seri Nazri kerana memerangi Tun Dr. ,Mahathir.

Sahabat saya yang ini mendakwa dirinya sebagai orang kuat Perdana Menteri. Dia juga hadir di majlis di mana Tun Dr. Mahathir berucap pada Sabtu 24 Jun 2006. Di majlis itu, saya lihat dia berwajah merah padam. Saya tidak tahu mengapa. Mungkin kerana kata-kata Tun Dr. Mahathir sangat-sangat dihayati olehnya.

Di majlis berkenaan, sebenarnya ramai lagi orang yang mendakwa dirinya sebagai orang Perdana Menteri dan orang Khairy hadir bersama. Jadi, tidak adillah kalau ada pihak cuba-cuba menganggap seluruh hadirin sebagai kelompok anti-kerajaan!

Demikianlah intisari dua pesanan ringkas dan lima panggilan telefon yang saya terima pada 27 dan 28 Jun 2006. Kesemuanya berkaitan dengan kenyataan Datuk Seri Nazri dalam Berita Harian dan Utusan Malaysia pada Selasa 27 Jun 2006. Saya tidak memberikan apa-apa raksi kepada seluruhnya.

Bagaimanapun, kesemua intisari yang saya paparkan di atas mencerminkan rasa kurang hormatnya rakyat biasa terhadap Dauk Seri Nazri. Mereka marah dan kesal terhadap kenyataan Datuk Seri Nazri. Mereka kesal dan marah juga kerana Datuk Seri Nazri seolah-olah dibiarkan sahaja tanpa teguran oleh pemimpin-pemimpin besar negara.

Jadi, benarkah Datuk Seri Nazri boleh disifatkan sebagai anak jantan yang menganggap dirinya sebagai insan yang paling layak sekali untuk berperang dengan Tun Dr. Mahathir? Siapakah agaknya yang akan menjawab soalan: siapakah yang memberikan mandat kepada Datuk Nazri untuk berperang dengan Tun Dr. Mahathir? Dan, wajarkah Datuk Seri Nazri menonjolkan dirinya seolah-olah dia bertindak untuk memerangi Tun Dr. Mahathir bagi pihak Perdana Menteri Malaysia, Kerajaan Malaysia, dan rakyat Malaysia seluruhnya?

Bagaimanapun, sebagai salah seorang jemputan di majlis yang dihadiri oleh Tun Dr. Mahathir, pada Sabtu 24 Jun 2006, saya terpanggil untuk membetulkan beberapa kesilapan fakta, sebagaimana yang ditegaskan oleh Datuk Seri Nazri, dalam sidang akhbarnya di lobi Parlimen Malaysia, pada Isnin 26 Jun 2006.

Fakta pertama: Majlis berkenaan adalah anjuran gabungan NGO dan Rakan Media Alternatif. Ini termasuklah pelbagai akhbar berasaskan internet, bloggers dan juga akhbar-akhbar kecil. Para jemputan ke majlis itu termasuklah segolongan kecil anggota dan pemimpin parti pembangkang. Bagaimanapun, ramai juga ahli dan pemimpin UMNO yang turut hadir. Beberapa pesara kakitangan kerajaan juga ada.

Jadi, adakah NGO dan pengamal media alternatif boleh dikategorikan sebagai pembangkang? Kalau NGO dan pengamal media altrnatif bukan pembangkang, maka adalah tidak tepat untuk mana-mana pihak mendakwa Tun Dr. Mahathir yang berucap di majlis berkenaan sebagai “bersekongkol dengan pembangkang.”

Fakta kedua: Dalam majlis itu, Tun Dr. Mahathir tidak mempersenda-sendakan Islam Hadhari. Beliau hanya menjawab satu soalan secara bertulis mengenai Islam Hadhari, yang diterimanya daripada hadirin. Dalam jawapannya, Tun Dr. Mahathir mengatakan, dirinya adalah fundementalis Islam. Maksudnya, dia sentiasa berpegang teguh pada Quran dan Hadis. Jadi, tidak adillah kalau Tun Dr. Mahathir dituduh sebagai telah “memperlekehkan Islam Hadhari.” (Kalau masih tidak puas hati, layarilah lamanweb kmu.net. Lamanweb ini memberikan transkrip ucapan Tun Dr. Mahathir yang sepenuhnya)

Fakta ketiga: Dalam majlis tersebut, Tun Dr. Mahathir tidak langsung menyebut pasal Datuk Seri Najib. Jadi, mengapakah perlu ada pihak mendakwa kononnya Tun Dr. Mahathir marah kepada Datuk Seri Najib kerana setia kepada Datuk Seri Abdullah?

Apa yang saya tegaskan di atas bukan atas suruhan Tun Dr. Mahathir. Sebaliknya, adalah atas dorongan hati saya sendiri. Kesemuanya adalah kebenaran. Begitu pun saya insaf akan kata-kata Datuk A. Kadir Jasin yang duduk di sebelah saya pada majlis berkenaan. Di akhir ucapan Tun Dr. Mahathir, Datuk Kadir menyatakan kpada saya sesuatu yang memeranjatkan seperti berikut:

“You percaya tak? Pada saat dan ketika ini juga pihak-pihak yang memusuhi Tun Dr. Mahathir tentu sedang menyediakan serangan balas terhadap apa yang Tun Dr. Mahathir kata dan huraikan sekejap tadi?”

Teringatkan kata-kata itu, saya pun tergerak untuk bertanyakan kepada diri saya sendiri: adakah kenyataan akhbar Datuk Seri Nazri, di lobi Parlimen Malaysia, pada Isnin 26 Jun 2006, satu daripada serangan balas yang dimaksudkan oleh Datuk Kadir?

Bagaimanapun, sebagai penutup, elok juga kita sama-sama renungkan kisah Teguran Yang Berfaedah yang membabitkan Hassan Al-Basri, seorang sufi besar, pada awal sejarah Islam. Kisah yang terkandung dalam Ensiklopedia PARA WALI adalah seperti berikut:

Pada suatu hari, Hassan Al-Basri berada di tebing Sungai Dajlah Irak. Tiba-tiba dia terlihat seorang lelaki sedang duduk-duduk bersama seorang perempuan. Di hadapan mereka pula ada sebotol arak.

“Masya Allah, jahat betul orang itu. Kalaulah dia berkeadaan sepertiku adalah lebih baik,” kata Hassan Al-Basri dalam hatinya.

Sebentar kemudian, datang sebuah perahu belayar di sungai itu. Tanpa diketahui apa sebabnya, tiba-tiba perahu tersebut karam sedikit demi sedikit. Orang yang ada di dalamnya nyaris mati lemas. Maka, lelaki yang bersama orang perempuan tadi langsung terjun ke sungai untuk menyelamatkan para penumpang yang jumlahnya ada tujuh orang. Enam orang berjaya diselamatkan sementara yang seorang lagi mati lemas.

“Hai, jika engkau merasa lebih mulia dari saya, sila selamatkan yang seorang itu semata-mata kerana Allah. Kalau kamu berhasil, bererti engkau menyelamatkan nyawa seorang, sedangkan aku telah menyelamatkan enam nyawa,” kata lelaki berkenaan kepada Hassan Al-Basri.

Akan tetapi, Hassan Al-Basri tidak dapat menyelamatkan yang seorang tersebut. Maka, berkatalah lelaki itu kepada Hassan Al-Basri seperti berikut:

“Ketahuilah tuan, bahawa perempuan yang duduk-duduk bersama saya itu adalah ibuku sendiri. Sedangkan sebotol arak yang kau sangkakan itu sebenarnya air biasa. Hanya botolnya saja bekas botol arak. Ketahuilah sesungguhnya apa yang kamu saksikan itu hanyalah untuk menguji engkau sahaja.”

Mendengar itu, Hassan Al-Basri terkejut, jatuh terduduk, lalu berkata kepada lelaki tersebut seperti berikut:

“Wahai hamba Allah! Sebagaimana engkau telah menyelamatkan enam jiwa, maka selamatkanlah jiwaku ini dari sifat membanggakan diri dan kesombongan.”

“Semoga Allah mengabulkan keinginanmu,” jawab lelaki itu.

Semenjak peristiwa itu, Hassan Al-Basri, seorang seorang sufi besar di zamannya, sentiasa merendah diri dan menganggap semua orang lebih baik dari dirinya. Bahkan pada suatu hari, ketika melihat seekor anjing, dia berkata: “Ya Allah, demi anjing yang baik ini, terimalah aku sebagai hamba Mu.”

Renungkan dan fahamilah iktibar daripada kisah di atas. Moga-moga semua pihak dapat mengambil iktibar daripadanya demi agama, bangsa, dan negara Malaysia yang tercinta. Mudah-mudahan hilang gelap, timbul terang, langit tidak terus bermendung, mentari juga kembali ceria seperti sedia kala. Insya Allah!






No comments: