Thursday, July 20, 2006

KENAPA ARTIS KITA
SUKA PAKAI SEKSI?

[dipetik daripada mastika ogos 2006]

Ada seorang pembaca wanita dari Alor Setar, Kedah, menghubungi meja Mastika, marah-marah suaranya: “Artis kita ni dah melampau, bukan main lagi dedah sana, buka sini. Pakai baju macam berkemban. Kalau duduk tu, mengangkang. Nampaklah pangkal paha. Apa teruk sangat artis perempuan kita ni? Macam zaman batu!”

Terkejut Mastika, apahal pemanggil seorang ni?

Kami sangka pemanggil ini tersilap. Mastika jarang jarang masuk campur hal artis. Sekali-sekala, adalah. Itu pun kisah Mawi.

"Jangan Mastika asyik salahkan anak gadis kita saja. Bagi saya, depa dok macam tu pun sebab dok tengok artis kita melaram macam tak ingat dunia. Bila artis pakai baju singkat, depa pun nak pakai sama.

"Nanti yang kena rogol, kena bunuh, bukan artis-artis ni, tapi depa yang bergaya nak jadi artis! Mastika tolong tegur sikit artis-artis kita ni. Melampau sangat dah,” kata pembaca itu yang kemudiannya me­nyuruh Mastika belek-belek sikit ruangan SMS di akhbar KOSMO!.

"Saya jamin, tiap-tiap hari mesti ada pembaca hantar SMS komen pasal pa­kaian artis kita yang melampau. Kalau Mastika tak percaya, buka KOSMO! se­karang," sambungnya.

Betul, bila Mastika selak akhbar itu, memang ada. Hampir tiap-tiap hari ada pembaca komplen pasal pakaian gadis Melayu dan artis kita yang seksi maut. Tapi benarkah dakwaan pembaca tadi?

Untuk mengetahui kebenaran dak­waannya, wartawan Aninah Janang, dan artis grafik Mastika, Intan, turun pa­dang meninjau beberapa tempat sekitar Kuala Lumpur. Betul ke ada anak gadis kita yang berlagak macam artis-artis yang disebutkan pemanggil tadi? Atau pemanggil ini sengaja mahu bergosip-­gosip.

KUALA LUMPUR City Centre KLCC: Di seberang jalan asuk ke pintu utama KLCC, Mastika terserempak dengan dua gadis yang penuh bergaya. Seorang daripada mereka memakai seluar panjang putih, samar-samar nampak juga warna seluar di sebelah dalamnya, dipadankan pula dengan baju putih ketat kebiru-biruan. Mekap, sah-sah macam artis.

Seksi?

Intan menggeleng: "Tak sangatlah, biasa aja tu."

Okey, kami menunggu lagi, mana ta­hu ada pula yang lebih daripada itu. Ka­lau ada, berasas juga kemarahan pe­manggil dari Alor Star itu.

Beberapa remaja mula keluar masuk KLCC tapi yang dicari tidak pula keli­hatan. Tidak ada pula yang seksi berani mati.

Sekadar pakai jean sendat, baju ketat memang berlambak tapi tidaklah sam­pai tahap gaya seksi artis seperti yang didakwa pemanggil tersebut, macam zaman batu.

Puas menunggu kami beralih pandang ke taman air pancut KLCC. Lewat petang hari bekerja itu ramai juga yang keluar menghirup udara sambil mencu­ci mata.

Wow! Kami terpaku, sekumpulan empat orang gadis sedang duduk-duduk di atas tembok sambil berseloroh. Gaya dan aksi kumpulan remaja ini memang lebih kurang macam artis dan pelakon yang dikatakan pemanggil itu tempoh hari.

Siapa? Adalah artis Melayu kita yang seorang tu...

Rambut kemerah-merahan, telinga dihiasi anting-anting perak berjuntai manakala gelang perak dan berwarna hitam berselirat di kedua-dua perge­langan tangan.

Skirt jean singkat yang dipakai men­dedahkan paha yang putih melepak. Duduk pula atas tembok. Sekejap ter­kangkang, tidak lama kemudian kaki disilangkan.

Kalau diukur hanya beberapa inci sahaja skirt itu menutup bahagian pung­gung. Kalau tunduk atau menonggeng? Mastika segan cerita benda-benda tu...

Itu skirt, baju? Saiz XS (extra S) yang terlalu sendat membalut tubuh ke­tiga-tiga gadis muda ini, tertonjol se­gala-galanya seperti sarung nangka. Ba­hagian dada terdedah, butangnya senga­ja tidak dikatup mempamerkan alur da­da.

Beberapa pengunjung lelaki yang berpeleseran di sekitar KLCC petang itu melirik ke arah mereka. Ada yang merenung sampai tidak berkelip, tidak kurang yang melopong melihat betis gebu dan paha gadis-gadis yang menggiurkan. Alahai rezeki mata orang le­laki...

Kami mendekati mereka. Salah se­orang daripada mereka cuba angkat punggung setelah kami memperkenal­kan diri. Melihat gaya seksi maut mere­ka bertiga, kami ajukan soalan cepu emas, siapa artis idola adik?

Wow! Artis tu?

"Kita tak minat artis-artis lain, kita suka dia, simple tapi rugged," ucap sa­lah seorang daripada mereka yang ber­baju oren apabila kami bertanya gaya artis mana yang menjadi idola mereka.

Artis mana? Alah artis itulah, artis mana lagi...

Kumpulan anak gadis ini cukup me­nyanjungi artis. Boleh dikatakan, apa yang artis itu pakai, remaja itu pun pa­kai juga. Kalau artis seksi itu pakai skirt pendek, but, baju ketat mereka pun apa­lagi melaramlah. Dari gaya rambut sampai hujung kaki memang serupa artis itu.

Kalau artis seksi itu dedah itu ini, adik-adik semua macam mana? Ikut juga?

"Ikut... janji kita tak bogel kak, ma­cam ni pun kita pakai baju jugak. Kalau dia pakai seluar singkat, baju ketat tak ada siapa pun nak marah dia. Dia artis pop rock takkan nak suruh dia pakai baju kurung pulak."

"Kita muda lagi kak, umur baru 18 tahun. Kalau dah kerja, lainlah," se­orang yang berbaju putih mencelah tiba-tiba.

Tapi adik-adik semua kena ingat me­reka itu artis. Penampilan kena lain dari yang lain. Seksi macam mana sekalipun mereka tidak duduk lepak-lepak macam ni. Pergi mana-mana ada bodyguard, ada orang jaga dan perhati.

Adik-adik? Lalu Mastika kongsikan apa yang diluahkan oleh pemanggil tempoh hari mengenai kebimbangan­nya tentang perlakuan anak-anak gadis yang berani mendedahkan tubuh demi artis pujaan yang mereka sanjung.

"Alaaa kak... tak seksi pun boleh kena rogol jugak," balas mereka.

Tapi dik... kalau pakai seksi begini lagi cepat nafsu lelaki menggelegak. Ja­ngan anggap perkara begini remeh. Ka­lau dah kena rogol tak guna hendak me­nyesal lagi...

Kami tinggalkan kumpulan itu dan menghampiri seorang lagi gadis yang asyik mendengar radio telefon bimbit­nya. Tubuh badannya meliuk-liuk, ka­kinya digoyang-goyangkan. Fesyennya simple tapi menarik perhatian juga. Singlet hijau sambil bahagian dadanya terserlah, tali baju dalamnya juga ter­dedah.

Gadis ini tidak terkejut apabila kami menghampirinya. Sambil mengakui yang dia benar-benar meminati model terkenal Nasha Aziz. Baju, seluar, me­kap model terkenal itu jadi ikutan gadis dari Shah Alam ini.

"Salah ke kalau I minat Nasha? Seta­kat pakai baju macam ni I tak rasa seksi pun. Nasha seksi ke? Takkkk... ada lagi pelakon dan penyanyi yang lebih seksi dari tu," ucapnya lalu menyebut bebe­rapa orang pelakon yang namanya sen­du-sendu, kurang popular.

Sedang kami bertukar-tukar pan­dangan, seorang gadis melangkah penuh bergaya di hadapan kami. Pengun­jung KLCC yang bersiar-siar terhenti, mereka yang datang membawa keluar­ga berbisik-bisik.

Pengunjung lelaki bersiul-siul. Ada yang mengangkat kamera dan menge­luarkan telefon bimbit.

Kami turut gamam melihat gadis bertubuh tinggi lampai itu. Berskirt pendek bawah punggung, baju ketat nampak pusat, bertali halus berlegar-le­gar di dataran air pancut KLCC. Leng­gang-lenggoknya, aduh... berpinar mata.

Yang tu macam mana, Intan? Seksi? "Seksi... seksiiii..." ujar Intan terus merakamkan aksi gadis itu.

Kalau tiga anak gadis sebelum ini menggayakan fesyen maut, gadis di ha­dapan kami ini jenis apa pula agaknya? Kalau difikir-fikirkan tiada artis kita yang berani beraksi sebegitu. Ini bukan lagi seksi `maut' tapi ala orang zaman batu.

Bila ditanya tentang idola, gadis ini ketawa berdekah-dekah. Sambil meng­geleng-geleng dia memberitahu Mas­tika, pakaian yang dipakainya itu bukan tiru fesyen sesiapa.

"Ni bukan fesyen Fasha Sanda atau Rita Rudaini tau..." ucapnya sambil me­ngeluarkan sekotak rokok dari dalam beg tangannya.

Habis adik tiru siapa? Model Amber Chia? Yang mencetuskan kontroversi dalam majalah Playboy di Indonesia tu?

Gadis dari Pulau Pinang ini ketawa lagi. Matanya melirik ke arah beberapa orang jejaka yang sedari tadi tidak pu­tus-putus memerhatikannya. Gadis itu memberitahu Mastika, kalau penampi­lannya sama atau serupa dengan mana­mana artis, itu semua secara kebetulan saja.

Apabila kami minta gadis ini berak­si di hadapan kamera, dia menolaknya.

"I bukan artis, buat apa U nak ambil gambar I. Ramai lagi artis kita yang pa­kai lebih teruk daripada apa yang I pa­kai, kenapa U tak ambil gambar mere­ka?" tanya gadis itu.

Kami tidak nafikan apa yang dika­takan gadis ini ada benarnya. Memang ada artis kita yang melampau cara ber­pakaiannya dan berkelakuan tidak se­nonoh di tempat awam. Dunia artis pa­da mereka seolah-olah tidak boleh dipi­sahkan dari pakaian menjolok mata.

Remaja atau peminat tidak sepatut­nya meniru bulat-bulat apa saja artis ke­gemaran mereka buat. Memang betul­lah kata pemanggil dari Alor Star yang menelefon Mastika tadi, mangsa yang kena rogol dan bunuh bukan di kalang­an artis-artis tetapi anak-anak gadis yang meniru fesyen idola mereka.

Remaja yang masih mentah dan baru mengenal erti keseronokan dunia itu ti­dak sedar ada sepasang mata laksana singa lapar yang sedang mengintai ge­lagat gadis-gadis berpakaian ala zaman batu ini.

Jangan terkejut jika kita selak akhbar esok hari dan terbaca berita di muka ha­dapan, seorang gadis remaja ditemui di­bunuh. Mangsa dipercayai telah dirogol dan diliwat sebelum mayatnya di­campakkan di tepi semak.

Bersopanlah wahai anak-anak gadis kita...

[Nota: Berita ini adalah satu ironi. Sebilangan akhbar dan majalah Malaysia kini kelihatannya sangat-sangat dikuasai oleh syarikat pengiklan yang seolah-olah berusaha mengembangkan budaya hedonisme atau hidup bebas tanpa batas. Malangnya, pemilik-pemilik produk yang yang iklannya dikendalikan oleh agensi-agensi iklan ini tidak pula sensitif. Mereka asyik sibuk mengaut untung. Mereka tidak langsung peduli kalau iklan mereka kini digunakan seolah-olah untuk mempengaruhi media massa Malaysia untuk mengembangkan budaya hedonisme di negara ini.]

No comments: