Friday, July 28, 2006

BREAKING NEWS:

MAJLIS TUN MAHATHIR
DI KOTA BHARU
CUBA DISABOTAJ

KOTA BHARU, 1.30 PAGI, 28 JULAI 2006: Majlis jamuan teh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, bersama Alumni Parlimen dan Dewan Undangan Negeri UMNO Kelantan, di sini cuba disabotaj.

Majlis itu dipercayai cuba disabotaj oleh seorang individu bekas pemimpin UMNO Bahagian Kuala Krai. Individu itu mendakwa dia menerima arahan daripada Datuk Badariah Arshad selaku Ketua Pegawai Operasi Yayasan Perdana di Putrajaya.

Bagaimanapun, sumber-sumber di sini memberitahu Kuda Kepang, individu terbabit dikatakan mendapat arahan daripada seorang pemimpin besar UMNO Kelantan.

Individu itu telah mengarahkan Syarikat A-One Canopy dari Selising, dekat sini, untuk memasang khemah di tengah-tengah Jalan Bayam, berhadapan Kompleks Sukan Hotel Perdana.

Tun Dr. Mahathir akan menghadiri jamuan teh di kompleks sukan berkenaan mulai 3.30 petang ini. Beribu-ribu hadirin dijangka hadir.

Kuda Kepang turut berada di lokasi pada jam 1.00 pagi tadi untuk menyaksikan pihak penganjur dan polis melarang Syarikat A-One Canopy memasang khemah berkenaan.

Menurut tuan punya Syarikat A-One Canopy, Wan Yusof Wan Abdullah, khemah yang cuba dipasang di hadapan kompleks sukan berkenaan adalah untuk 1,000 orang tetamu. Pekerja beliau berusaha memasang khemah itu mulai tengah malam tadi.

Wan Yusof juga memberitahu Kuda Kepang, dia mendapat tempahan untuk memasang khemah itu seminggu yang lalu.

Bagaimanapun, pihak polis dipercayai melarang khemah itu daripada di pasang atas alasan keselamatan awam.

Penganjur majlis jamuan berkenaan terkejut dengan percubaan sabotaj itu. Mereka pun menghubungi polis yang kemudiannya melarang khemah itu daripada dipasang.

Seorang wakil pihak penganjur yang turut berada di Jalan Bayam awal pagi ini untuk mempastikan khemah itu tidak dipasang, berasa kesal dengan percubaan sabotaj itu.



ADA PIHAK KELUAR ARAHAN
GANGGU MAJLIS TUN MAHATHIR

KOTA BHARU, 28 JULAI 2006: Beberapa pihak di sini dipercayai cuba menggagalkan seluruh majlis mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, di sini hari ini.

Kuda Kepang difahamkan satu pihak tertentu di sini telah mengarahkan sekumpulan pemuda untuk menggangu seluruh majlis yang dihadiri oleh Tun Dr. Mahathir.

Tun Dr. Mahathir dijangka berucap di Kompleks Sukan Hotel Perdana di sini pada 3.30 petang. Pada sebelah malamnya, beliau dijangka menghadiri jamuan makan di Hotel Riverview.

Berikutan ura-ura di atas, pihak penganjur meminta hadirin ke majlis-majlis yang dijadualkan supaya bertenang. Antara gangguan yang mungkin dilakukan termasuklah provokasi, jeritan dan ejekan.

Sementara itu, Kuda Kepang mendapati Bandaraya Kota Bharu kini dihiasi dengan berpuluh-puluh kain sepanduk dan poster mengalu-alukan kedatangan Tun Dr. Mahathir.



4 PETUGAS PBB MAUT
AKIBAT TINDAKAN KETERLALUAN
ISRAEL SERANG PEJUANG HIZBULLAH



BEIRUT 26 Julai – Empat orang tentera pemerhati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dari China, Austria, Kanada dan Finland terbunuh hari ini akibat tindakan keterlaluan tentera Israel menyerang habis-habisan kedudukan Hizbullah di sempadan negara ini.
Kejadian tersebut mengejutkan Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan yang menuduh rejim Yahudi ‘secara jelas sengaja menjadikan anggota PBB sebagai sasaran.’

China yang berang dengan kejadian yang membabitkan tenteranya itu telah mengutuk tindakan tentera Israel serta mengarahkan Duta Israel di Beijing memohon maaf secara rasmi.

Beribu-ribu orang di Beijing keluar mengadakan demonstrasi besar-besaran di jalanan mengutuk tindakan Israel itu.

Semasa kejadian itu berlaku, pertelingkahan terus memuncak apabila 13 askar Yahudi dilaporkan terbunuh di selatan Lebanon. Israel turut menyerang Genting Gaza dan membunuh 11 rakyat Palestin.

Saksi memberitahu selepas kejadian pengeboman dari udara di kedudukan pasukan pengaman itu, kira-kira 50 anggota tentera pemerhati Pasukan Antarabangsa PBB di Lebanon (UNFIL) dari India dilihat menggunakan tangan dan penggali bagi mencari mayat empat rakan mereka yang tertanam di bawah runtuhan tersebut.

Duta Perancis yang juga Presiden Majlis Keselamatan PBB, Jean-Marc de La Sabliere berkata: ‘Kami mengutuk pengeboman ke atas kedudukan anggota badan dunia itu.’

Presiden Republik Rakyat China, Hu Jintao menyuarakan rasa kesal dan mengarahkan Kementerian Luar supaya mengeluarkan kenyataan mengecam serangan tersebut.

Agensi berita rasmi, Xinhua melaporkan, mangsa yang terbunuh itu dikenali sebagai Du Zhaoyu, seorang daripada 180 pegawai, askar dan pemerhati yang berkhidmat di Lebanon di bawah misi keamanan PBB.

Turut mengutuk kejadian itu ialah Menteri Luar Lebanon, Fawzi Sallukh dengan menyifatkannya sebagai serangan terancang dan kejam.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert meluahkan rasa kesalnya melalui telefon terhadap serangan itu dan beliau berjanji akan mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan.

India yang mendakwa seorang pemerhati negaranya turut cedera dalam serangan itu kini sedang mempertimbangkan untuk membawa pulang 600 tenteranya yang berkhidmat dengan tentera PBB.

Presiden Finland, Tarja Halonen pula mendesak supaya satu siasatan dijalankan dan beliau berkata: “Tiada apa yang boleh menerangkan serangan Israel ke atas pangkalan pemerhati ini.’’

Tatkala pencerobohan dan keganasan Israel tidak menunjukkan sebarang tanda mengendur, Menteri Pertahanan Israel, Amir Peretz memberi amaran bahawa pihaknya akan mewujudkan sendiri zon keselamatan di selatan Lebanon jika pasukan antarabangsa tidak ditempatkan di situ.

Sementara itu, usaha membawa jentolak ke tempat kejadian menemui kebuntuan dan tentera tetap Lebanon memberitahu, Israel bersetuju menghentikan sementara serangan udara bagi membolehkan kerja-kerja mencari itu dijalankan.

Bagaimanapun jurucakap UNFIL berkata, beberapa jam selepas insiden semalam, tentera Israel terus membedil kawasan sekitarnya.

“Tentera Israel terus melepaskan tembakan berhampiran kedudukan ini dari sebelah Israel dan ia berterusan semasa kerja mencari dan menyelamat dijalankan,” kata Milos Strugar.

Pada masa yang sama tentera Israel terus melancarkan serangan bom ke atas kawasan pinggir Beirut lewat semalam, iaitu serangan berterusan 24 jam yang serentak dengan lawatan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Condoleezza Rice ke Asia Barat. – Agensi. Utusan Malaysia 27 Julai 2006.



ISRAEL BUNUH
PENGAMAN PBB

BEIRUT: Israel membunuh empat anggota pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di selatan Lubnan, dalam serangan yang dianggap badan dunia itu sebagai ‘tindakan yang disengajakan’.

Kejadian kelmarin itu merumitkan lagi usaha mencari penyelesaian selepas rundingan antarabangsa di Rome, Itali, lewat semalam gagal mencapai sebarang persetujuan gencatan senjata di antara pihak yang bersengketa di Lubnan.

Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan mendesak Israel menyiasat segera kejadian yang beliau anggap ‘sengaja mensasarkan’ pusat kawalan PBB di Khiyam, membunuh anggota pengaman dari Austria, Kanada, China dan Finland.

Pasukan pengaman seramai 2,000 anggota yang digelar Pasukan Sementara PBB di Lubnan (UNIFIL) sejak 1978 itu, ditempatkan di selatan negara itu bagi memantau kegiatan Israel dan Hizbullah.

Perancis, yang mengetuai pasukan UNIFIL, membantah tindakan pengeboman tentera Yahudi itu.

Dutanya ke PBB, Jean-Marc de La Sabliere, yang memegang jawatan Presiden Majlis Keselamatan PBB untuk bulan ini, berkata: “Kami mengecam pengeboman ke atas kedudukan UNIFIL.”

China, yang rakyatnya menjadi seorang mangsa serangan tentera Yahudi itu, memanggil duta Israel ke Beijing dan menuntut negara itu memohon maaf.

Annan berkata, Israel melancarkan serangan artileri dan udara yang diselaraskan terhadap pusat kawalan yang sudah lama diduduki pasukan UNIFIL.

Katanya, kejadian itu berlaku walaupun Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert memberi jaminan tidak akan membedil kedudukan UNIFIL.

“Jeneral Alain Pelligrini, panglima pasukan PBB di selatan Lubnan sentiasa berhubung dengan pegawai Israel sepanjang hari sebelum kejadian untuk mengelak perkara sedemikian berlaku,” kata Annan.

Amerika Syarikat (AS) menyatakan kekesalan terhadap kejadian itu dan pegawai Jabatan Negara yang menemani Setiausaha Negara Condoleezza Rice di Rome berkata, Israel sudah memaklumkan bahawa ia satu kemalangan.

Olmert pula, dalam satu kenyataan, kononnya kesalnya dengan insiden itu dan mengulangi laporannya kepada AS bahawa kejadian itu adalah satu kemalangan.

Bagaimanapun laporan dari medan pertempuran memetik jurucakap UNIFIL, Milos Struger sebagai berkata, tentera Israel meneruskan bedilan walaupun pasukannya cuba melakukan operasi menyelamat di tempat kejadian.

Bom yang dilancarkan Israel mengenai tepat kepada bangunan yang menempatkan anggota pasukan UNIFIL.

Tentera Israel yang digembar-gemburkan berjaya menawan kubu kuat Hizbullah di selatan Lubnan, dilaporkan pula oleh akhbar The Guardian Britain, sebagai hanya berjaya bertempur di beberapa kampung dan bandar kecil di selatan Lubnan.

Akhbar itu melaporkan, tentera Israel mengalami jumlah kematian yang tinggi iaitu sehingga 24 orang mati dan 75 cedera, sejak pertempuran bermula 15 hari lalu.

“Ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk melawan Hizbullah,” kata Brigadier Jeneral Shuki Shachar, timbalan panglima Pemerintah Bahagian Utara tentera Israel.

“Selepas beberapa hari bertempur, kami menyedari Hizbullah sejak enam tahun lalu berjaya mewujudkan tempat perlindungan, kubu bawah tanah dan mendapatkan bekalan beribu roket yang ada di antaranya disimpan di rumah orang awam,” katanya. – AFP/Agensi – Berita Harian 27 Julai 2006.

[Nota: Seluruh dunia kelam-kabut pasal keganasan dan kezaliman zionis Israel di Lebanon. Seluruh dunia juga mengutuk Amerika Syarikat kerana asyik dolak-dalik untuk menyuruh zionis Israel memberhentikan kekejamannya membunuh umat Lebanon. Jadi saya tercari-carilah berita seperti di atas di muka depan suratkhabar UMNO - The New Straits Times - hari ini. Anehnya, berita di atas tiada di muka depan akhbar itu. Entah mengapa jadi begini! Ada artikel mengenai Lebanon di ruang editorial bertajuk Marching to different drummers in Lebanon. Artikel ini kena dibaca betul-betul untuk memahami inipatinya. Ada berita Lebanon di ruang World muka surat 31, dengan judul Hizbollah kills eight Israeli soldiers. Apa pasal besarkan soal Hizbollah bunuh Israel. Siapa yang teroris dalam hal ini, zionis Israel atau Hizbollah? Dan, di mana kisah dan berita mengenai tentera zionis Israel bunuh pegawai PBB? Ada berita berjudul Israelis back in Gaza 14 killed in raids di muka surat 32. Apa sudah jadi? Apa sudah jadi? Adakah bukan pembaca akhbar-akhbar Melayu di Malaysia mahu dinafikan berita dan gambar mengenai kekejaman zionis Israel yang membelasah PBB, badan dunia yang sewajarnya mengendalikan soal war and peace? Apa sudah jadi wahai NST? Apa sudah jadi? Tapi, walau apa pun yang terjadi, inilah contoh impak dan kesan kepimpinan sesebuah akhbar kepada cara sesuatu berita itu dipersembahkan kepada para pembacanya. Kalau semua suratkhabar dan media elektronik menghebahkan kisah dunia mengutuk zionis Israel kerana membunuh pegawai PBB di Lebanon, bukankah pelik bila NST , akhbar UMNO, langsung pekap berita itu entah di mana?]



ROMBAK PBB
AGAR RELEVAN


Serangan Israel ke atas Lebanon dikatakan memasuki fasa baru apabila ia berlanjutan ke minggu kedua. Keganasan yang masuk hari ke-14 semalam mengorbankan empat orang petugas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di selatan Lebanon.

Laporan menyebut bahawa, Israel memohon maaf dengan kejadian berkenaan dan berjanji akan menjalankan siasatan secara terperinci mengenai insiden terbabit. Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan seperti biasa, mengulangi skrip lama dengan mengutuk serangan berkenaan.
Cumanya, kedengaran kenyataan Annan ada ‘suara’ sedikit apabila beliau menuduh serangan ke atas empat petugas PBB itu sengaja dirancang oleh Israel.

Tetapi, ia tidak juga membawa kesedaran atau makna apa-apa kepada Israel apatah lagi menggerakkannya supaya menghentikan kekejaman.

Menurut laporan, peristiwa malang itu berlaku di bandar Khiam, berhampiran sempadan Israel-Lebanon di mana empat orang petugas PBB yang berkhidmat dengan Pasukan

Sementara PBB di Lebanon (UNIFIL) terkena serangan bom yang dilepaskan oleh askar rejim Israel.

Sasaran Israel ialah kubu kuat Hizbullah, yang secara kebetulan terletak berhampiran dengan pangkalan menempatkan petugas badan dunia itu.

Ironinya, ia menimpa PBB semasa masyarakat dunia secara keseluruhannya berasa muak dengan kelambatan badan dunia itu bertindak menangani krisis di Lebanon serta Palestin.
Walaupun dikutuk teruk, PBB hanya mengeluarkan kenyataan retorik dengan menggesa supaya sebarang serangan ke atas Lebanon dan Palestin dihentikan segera.

Malangnya, Israel terus bermaharajalela. Rejim itu tetap menggila apabila mendapat pula lampu hijau daripada Amerika Syarikat (AS) supaya melanjutkan serangan terhadap Lebanon.

Dalam hal ini, Israel dan AS bukan sahaja membelakangkan PBB, malah memperlekehkan badan dunia itu sama sekali. Justeru, ia membawa kepada tersiarnya beberapa kenyataan melibatkan banyak pihak yang menyifatkan PBB tidak lebih daripada sebuah ‘pertubuhan patung’ semata-mata tiada jiwa, tidak ada emosi.

Namakan apa sahaja – semua dilabelkan kepada PBB, pertubuhan yang sangat lemah, tidak bermaya, tidak bertaring, tidak relevan dan sebagainya. Semuanya kerana PBB gagal bertindak dalam menangani krisis di Lebanon dan Palestin.

Perkara itu terjadi bukan salah PBB sebenarnya, ringkas kata bekas diplomat, Datuk Ahmad Mokhtar Selat semasa diminta pandangannya tentang masih relevan atau tidak PBB dengan mengambil kira peristiwa keganasan di Lebanon.

Katanya, sesebuah pertubuhan itu menjadi tidak relevan dan perlukan suntikan reformasi kerana anggotanya tidak bersatu, bukan disebabkan oleh pertubuhan itu sendiri.

‘‘Kalau kita memahami prinsip itu, tidaklah terjadi di mana kita marahkan nyamuk kelambu dibakar. Kita sebenarnya marahkan PBB kerana tidak bertindak, tetapi sebenarnya anggota pertubuhan itu sendiri gagal bersatu dan mencari kata sepakat untuk menangani sebarang bentuk keganasan,’’ kata beliau, yang kini merupakan pensyarah di Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik di Universiti Malaya ( UM).

Kepada Utusan Malaysia, Ahmad Mokhtar yang berpengalaman luas dalam hal ehwal diplomatik memberitahu bahawa apa yang berlaku menjadi lebih kompleks apabila ia melibatkan AS, sebuah kuasa besar yang juga anggota Majlis Keselamatan PBB.
Lebih merumitkan, ia mempunyai kuasa veto bersama-sama Britain, Rusia dan China selain Perancis.

AS seperti biasa tidak akan membenarkan sesuatu menimpa Israel, yang selama ini ditatang bagai minyak penuh oleh Washington sekalipun rejim itu secara terang-terang mencabuli mandat PBB.

Ditanya jika kejadian terbaru yang menimpa empat petugas PBB di Lebanon boleh membawa ‘anjakan perubahan dalam tindakan badan dunia itu’, Ahmad Mokhtar mengakui beliau pesimis dengannya.

‘‘Keganasan akan berterusan selagi resolusi yang diputuskan hanya tinggal resolusi dan tidak dipatuhi. Seperti dalam kes krisis di Lebanon, ia akan terus berpanjangan untuk tempoh yang lama selagi melibatkan AS.

Selebihnya, asal usul yang membawa kepada keganasan itu juga menjadi faktor penyumbang.

Masakan luka dan dendam kesumat selama hampir 30 tahun akan berakhir dalam masa tiga hari. Antara lain, saya meramalkan ia akan berterusan.’’

Sementara itu, Presiden Pergerakan Keadilan Antarabangsa (JUST), Dr. Chandra Muzaffar pula berkata, bukan sekali dua, Israel serta AS membelakangkan PBB.

Ini secara jelas menunjukkan istilah takut atau gentar tiada dalam kamus Tel Aviv dan Washington.

Contoh ketara ialah perang ke atas Iraq. Tindakan kurang siuman dan kegilaan Presiden George W. Bush menyebabkan bumi Iraq dihujani peluru canggih pada 20 Mac 2003.

Dalam hal Lebanon pula, kewarasan Bush juga melewati batas kemanusiaan apabila mengeluarkan kenyataan pihaknya telah membekalkan bom dan peluru tepat kepada Israel untuk menghancurkan bumi Beirut.

Kenyataan dikeluarkan ketika mana dunia dipertontonkan dengan imej sedih dan sorotan pilu wajah anak-anak tidak berdosa berdarah dan cedera di sana-sini. Setakat ini seramai 411 orang maut, kebanyakannya orang awam dan selebihnya warga Israel dalam keganasan di Lebanon.

Harus diakui bahawa dalam banyak hal, PBB memang lambat bertindak. Justeru, banyak pihak menyuarakan kebimbangan mengenai relevan peranan PBB dalam menangani isu dan konflik dunia selepas badan dunia itu diperlekehkan AS dan Israel.
‘‘Perang di Lebanon telah pun berlaku, jika boleh dihentikan sekarang adalah sesuatu yang baik tetapi dalam soal ini, kita lebih bimbangkan peranan PBB.

‘‘Kita mesti pertahankan kewujudan organisasi dunia itu walau apa terjadi sekalipun,’’ kata beliau.

Dalam membuat tindakan, sewaktu perang di Bosnia yang meragut ratusan ribu nyawa tidak berdosa ekoran veto Rusia adalah antara contoh kelemahan PBB.

PBB juga mencatatkan kegagalan paling memalukan kerana tidak berupaya mempertahankan zon selamat yang diwujudkannya selain konflik Israel-Palestin dan krisis di Kashmir.

Mengambil kira krisis di Lebanon, kita jujur sahaja mengakui akan terus terpaku kesedihan melihat bumi itu dihancurkan. Pendek kata, nyawa empat petugas PBB juga sama murah dengan hayat orang-orang awam yang mati di hujung bom canggih Israel selama ini. Ia sama sekali tidak senilai dengan nyawa dua askar Israel, dikenali sebagai Ehud Goldwasser dan Eldad Regev yang diculik di sempadan Israel-Lebanon pada 12 Julai lalu _ peristiwa yang mencetuskan keganasan secara besar-besaran sehingga hari ini ke atas Lebanon. - Oleh AZLINARIAH ABDULLAH (WARTAWAN UTUSAN) Utusan Malaysia 27 Julai 2006.

SEJARAH BUKTI
KEZALIMAN YAHUDI

Kezaliman Israel terhadap orang Islam sebenarnya bukan baru. Walaupun serangan terbaru Israel ke atas Palestin dan Lubnan lebih menjurus kepada faktor politik, isu keagamaan tidak boleh diketepikan memandangkan seteru mereka – Hizbullah dan Palestin menonjolkan imej pejuang Islam.

Bagi penganut Islam, tindakan kekerasan dilakukan Israel seharusnya boleh dijangka kerana al-Quran sendiri banyak menceritakan bagaimana orang Yahudi mengingkari perintah Tuhan walaupun sebahagian besar Rasul dan Nabi adalah dari kalangan kaum itu.

Malah, Allah memberi peringatan kepada umat Islam menerusi Surah al-Maidah, ayat 82 bermaksud: “Sesungguhnya kamu dapati orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang beriman ialah orang Yahudi dan musyrik.”

Shakil Ahmed Zia, dalam bukunya A History Of Jewish Crimes pula menyenaraikan beberapa ‘jenayah besar’ yang dilakukan kaum Yahudi terhadap Nabi dan Rasul, Islam, Kristian, Eropah, Amerika Syarikat dan Asia Barat. Akibat jenayah yang mereka lakukan itu maka wujud gerakan anti-Yahudi dengan sejarah juga menunjukkan bagaimana golongan Yahudi pernah diperangi, ditindas serta sentiasa dipandang penuh curiga di mana saja mereka berada terutama di Eropah.

Asalnya, Islam tidak memusuhi kaum berkenaan. Hal ini dibuktikan ketika permulaan Islam yang mana mereka diberi hak sama seperti penduduk Madinah lain. Mereka hanya diusir selepas melanggar perjanjian dengan orang Islam apabila bersekongkol secara sulit dengan musuh Islam untuk menyerang Madinah.

Malah, seorang pendeta Yahudi, Rahib Benjamin Blech, dalam bukunya Jewish History and Culture menyatakan orang Yahudi menikmati zaman paling aman, kreatif, produktif dan menyinar selepas kemunculan Islam.

Sambil menyifatkannya sebagai zaman keemasan, Blech berkata sifat toleransi jelas kelihatan antara orang Arab dan Yahudi ketika zaman berkenaan yang memungkinkan lahir ramai golongan intelektual, ahli perniagaan, ahli seni, diplomat dan penasihat kerajaan yang disegani di kalangan orang Yahudi.

Begitu juga ketika zaman pertengahan, kaum Yahudi menjadi antara golongan kaya, maju, berpengaruh serta menjadi antara kaum teramai ketika pemerintahan Bani Umaiyyah di Sepanyol. Mereka hidup dalam suasana makmur di bawah pemerintahan kerajaan Islam dalam tempoh 900 hingga 1200 Masihi sehingga kerajaan berkenaan ditumpaskan oleh tentera Kristian di bawah naungan Ratu Isabella.

Selepas kejatuhan Granada di tangan Isabella dan Ferdinand II, kedua-duanya mengeluarkan Perintah Alhambra pada 1492 bagi mengusir semua orang Yahudi dari Sepanyol dan seluruh wilayah jajahannya.

Sebahagian besar orang Yahudi yang diusir itu kemudian mendapat perlindungan daripada Kerajaan Uthmaniah di Turki. Sikap toleransi itu juga ditunjukkan oleh Salahuddin Al-Ayubi ketika menguasai Baitulmaqdis dan ditonjolkan oleh pihak Barat sendiri menerusi beberapa filem keluaran Hollywood dengan yang terbaru menerusi Kingdom In Heaven.

Seperti dinyatakan dalam al-Quran, kaum Yahudi tidak pernah berpuas hati selagi orang Islam tidak mengikut telunjuk mereka. Bekas Dekan Fakulti Usuluddin Universiti al-Azhar, Prof Dr Mahmud Hamdi Zaqzuq, dalam bukunya, Orientalisme: Kesan Pemikirannya terhadap tamadun Islam berkata sepanjang sejarah orang Yahudi sentiasa mengintai peluang untuk menghancurkan Islam dan umatnya dan satu daripada caranya ialah menerusi gerakan Orientalisme.

"Mereka dapati gerakan itu sebagai pintu untuk memasukkan racun bagi menentang Islam dan orang Islam, lalu mereka masuk ke dalam bidang ini dengan berselindung di sebalik tujuan ilmu seperti mereka dapati gerakan Zionisme itu satu pintu lain yang boleh menguasai orang Arab dan orang Islam," katanya.

Dr Mahmud bagaimanapun menyatakan sukar untuk mendapat jawapan lebih jelas mengenai peranan sebenar Yahudi terhadap gerakan Orientalisme kerana sumber rujukan bagi membicarakan hal itu tertutup berikutan kejayaan golongan berkenaan menyusup masuk dan menyesuaikan diri sehingga menjadi satu unsur asasi dalam gerakan Orientalis Eropah.

Beliau hanya memberi contoh, Ignaz Goldziher (1850-1921), yang berjaya pada zamannya untuk menjadi seorang ketua pakar dalam pengajian Islam dan diiktiraf sebagai pengasas pengajian Islam moden di Eropah.

Goldziher menjelajah negara Islam terutama Syria, Palestin dan Mesir serta menghadiri ceramah ulama dan cendekiawan Islam di Universiti al-Azhar di Kaherah. Kepakarannya sukar diatasi oleh mana-mana sarjana Barat sehingga bukunya seperti Islamic Theology and Law masih dihargai, dirujuk dan dihormati oleh golongan Orientalis sehingga sekarang.

Goldziher juga yang menyebarkan cerita palsu kononnya Masjid Kubah Batu di Palestin dibina oleh Khalifah Abdul Malik Marwan sebagai usaha mengalih kiblat umat Islam daripada Kaabah di Makkah ke Baitulmaqdis kerana cemburu terhadap pengaruh Abdullah Az-Zubair yang menjaga Kaabah ketika itu.

Sebenarnya, ada ramai lagi orang Yahudi menjalankan kajian secara mendalam terhadap Islam dan umatnya yang secara tidak langsung memberi dua keuntungan kepada mereka iaitu memajukan diri dan bangsa mereka serta melemahkan umat Islam.
Antaranya seperti Abraham Geiger (1810-74), rahib muda dari Frankfurt, yang menerbitkan buku Was hat Mohammed aus dem Judenthume aufgenommen?, yang mendakwa ajaran Islam adalah diciplak dari agama asal Yahudi.

Martin Kramer, dalam bukunya The Jewish Discovery of Islam menyatakan senarai pengembara, penulis dan ahli akademik berbangsa Yahudi yang memberi sumbangan dalam usaha memberi kefahaman Eropah terhadap Islam dan Arab terlalu ramai.

Sebenarnya, jumlah mereka bukan saja terlalu ramai tetapi juga terus bertambah dengan usaha tidak henti-henti dan tanpa jemu mengkaji mengenai Arab dan Islam serta menerbitkan buku mengenainya. Josef Horovitz (1874-1931), misalnya, sanggup mengembara bertahun-tahun ke Turki, Mesir, Palestin dan Syria, semata-mata mencari manuskrip Arab silam.

Sehingga kini, sudah wujud pelbagai institut dan pertubuhan di Eropah dan Amerika Syarikat yang melakukan kajian mengenai Arab dan Islam. Malah, ada antaranya yang sudah begitu kukuh kedudukannya dan dihormati di seluruh dunia, memiliki tenaga pengajar yang fasih berbahasa Arab serta menyimpan manuskrip Islam silam.

Walaupun tidak jelas peranan kaum Yahudi terhadap institusi berkenaan, yang jelas rujukan mengenai Islam lebih banyak menggunakan buku dan kajian dilakukan Orientalis berketurunan Yahudi seperti Goldziher, Geiger, Gustav Weil (1808-89), Hartwig Derenbourg (1844-1908), Solomon Munk (1805-67) dan Moritz Steinschneider (1816-1907).

Ketika ini, usaha mereka boleh dianggap agak berjaya kerana masyarakat Yahudi yang hanya berjumlah kira-kira 14.5 juta orang di seluruh dunia dengan sebahagian besarnya tinggal di Amerika Syarikat dan Israel berjaya mengawal pemikiran penduduk dunia serta menggunakan sejarah untuk mengalihkan perasaan curiga masyarakat Barat terhadap mereka kepada umat Islam.

Mereka sentiasa mengingatkan Barat mengenai dosa ‘holocaust’ serta kemenangan Islam dalam Perang Salib.

Ironinya, masyarakat Islam sendiri seakan tidak berbuat apa-apa untuk mengubah keadaan itu dengan membiarkan sejarah terus dicipta oleh bangsa Yahudi seperti dakwaan Blech. Umat Islam seakan-akan terus membiarkan masa depan mereka direncanakan mengikut acuan kaum Yahudi dan masyarakat Barat.

Jika masyarakat Barat dan kaum Yahudi berlumba-lumba mengkaji Islam dan umatnya, orang Islam sendiri seolah-olah bukan saja tidak berminat terhadap ajaran agama sendiri, malah sanggup menerima bulat-bulat tafsiran mengenai agama mereka yang dibuat oleh Barat dan kaum Yahudi.

Justeru, sudah tiba masanya orang Islam kembali kepada al-Quran dan hadis serta tradisi budaya ilmu seperti zaman permulaan dan kegemilangan pemerintahan Islam terdahulu. Sarjana Islam harus mengkaji pemikiran Yahudi dan mempelajari bagaimana kaedah yang mereka gunakan sehingga berjaya menjadi bangsa yang hebat di dunia ketika ini walaupun populasi mereka hanya kira-kira satu peratus daripada penduduk dunia.

Kegigihan dan kesungguhan menuntut ilmu dalam pelbagai bidang serta kesanggupan sarjana berketurunan Yahudi menjelajah serata dunia semata-mata untuk meneroka ilmu baru sewajarnya perlu dicontohi umat Islam.

Di Malaysia, misalnya, belum ada lagi institusi pengajian tinggi yang menawarkan pengajian pemikiran, sejarah atau budaya Yahudi, pecahan mazhab agama kaum berkenaan, kitab Talmud serta melahirkan mereka yang pakar dalam bahasa Ibrani. Sebaliknya, perkataan ‘Yahudi’ di negara ini dan negara Islam lain sering digunapakai sebagai jolokan negatif bagi perkembangan, pemikiran atau sikap yang dianggap membahayakan umat Islam.

Secara tersurat, keadaan ini berbeza di Israel. Selain bahasa Ibrani, Israel sendiri menjadikan bahasa Arab sebagai satu daripada bahasa rasminya sekali gus memastikan rakyatnya memiliki keupayaan bertutur dan membaca dalam bahasa al-Quran itu. Persoalannya sekarang, berapa ramaikah umat Islam yang fasih bertutur dan membaca dalam bahasa Ibrani?

INTI PATI

Al-Quran banyak menceritakan kedegilan Yahudi seperti bagaimana orang Yahudi mengingkari perintah Tuhan walaupun sebahagian besar Rasul dan Nabi adalah dari kalangan kaum itu.

Yahudi jadikan gerakan Orientalisme sebagai pintu untuk memasukkan racun bagi menentang Islam dan orang Islam, lalu mereka masuk ke dalam bidang ini dengan berselindung di sebalik tujuan ilmu.

Seorang tokoh Yahudi, Ignaz Goldziher (1850-1921), yang berjaya pada zamannya untuk menjadi seorang ketua pakar dalam pengajian Islam dan diiktiraf sebagai pengasas pengajian Islam moden di Eropah. - Oleh Shamsul Kamal Amarudin. Berita Harian 27 Julai 2006.


PALESTIN
SERTAI HIZBULLAH
TENTANG ISRAEL


BAITULMAQDIS 26 Julai – Para pejuang Palestin yang berpangkalan di Lebanon akan menyertai pejuang Hiz-bullah dalam peperangan menentang tentera Israel.

Pemimpin Fatah di Lebanon, Sultan Abu al-Aynain berkata, pihaknya mempunyai beribu-ribu pejuang di Lebanon yang bersedia menyertai peperangan dan memberi amaran supaya Israel tidak menyasarkan serangan ke atas khemah-khemah pelarian Palestin.

Bagaimanapun sumber yang rapat dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas yang juga pemimpin Fatah enggan memberi ulasan terhadap kenyataan Sultan Abu itu.

Sumber itu memberitahu, Abu Sultan merupakan “pemerintah tentera” Fatah di Lebanon.
Sumber-sumber memberitahu, pada masa lalu Sultan Abu pernah dihantar ke Iraq untuk berjuang menentang kehadiran tentera Amerika Syarikat (AS).

“Kami mahu mempertahankan khemah-khemah kami dan kami akan berjuang untuk mempertahankan kehormatan dan maruah kami,” katanya kepada televisyen Al-Arabiya.
– Agensi. Utusan Malaysia 27 Julai 2006.



ASEAN PERLU
BERSUARA LANTANG
KEPADA AS


Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Condoleeza Rice akan datang ke Malaysia untuk bertemu pemimpin-pemimpin ASEAN hari ini.

Kita percaya inilah peluang bagi ASEAN menyatakan dengan tegas tentang pendirian rantau ini kepadanya berhubung konflik Asia Barat, termasuk soal gencatan senjata di Lebanon dan masalah Palestin.

Sememangnya Israel bersikap keterlaluan dan bertindak bermaharajalela dengan sewenang-wenangnya membunuh orang awam tanpa menghirau tekanan dan pendirian dunia.

Maka kita sedar bahawa sikap sedemikian negara Zionis itu adalah kerana sokongan penuh AS yang secara tidak langsung menggalakkan perbuatan itu.

Kita sewajarnya hairan bagaimana kuasa besar yang menganggap dirinya polis dunia dan menyeru kepada hak asasi manusia dan demokrasi serta mengajak dunia memerangi keganasan tetapi sanggup membiarkan rejim Tel Aviv melakukan keganasan terhadap rakyat Palestin dan Lebanon.

Daripada pengalaman lalu, dunia seolah-olah lumpuh bila berdepan dengan Israel; yang mendapat sokongan ketenteraan, ekonomi dan moral dari AS dan Eropah, tetapi kita tidak wajar mengalah. Usaha mesti terus digembleng untuk memberi tekanan dan suara kepada AS dan Israel. Maka itulah kedatangan Rice ke negara wajar dimanfaatkan.

Dalam pada itu ASEAN mesti mempunyai satu suara dengan tegas dan lantang menyerukan kepada penyelesaian konflik di Asia Barat, baik berbentuk jangka pendek mahupun jangka panjang.

Sememangnya di kalangan negara-negara ASEAN yang berjumlah 10, hanya tiga merupakan negara-negara bermajoriti Islam iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei yang jelas menyokong perjuangan Palestin.

Tetapi apa yang kita hadapi ini bukan isu agama. Rakyat Lebanon dan Palestin yang kita simpati adalah bukan kerana agama mereka. Tidak semua rakyat Lebanon dan Palestin beragama Islam, banyak di kalangan mereka beragama Kristian dan mazhab-mazhab minoriti lain.

Isu ini bukan soal agama. Ia adalah masalah kemanusiaan dan keselamatan. Kita menentang Israel bukan kerana agama atau bangsa mereka iaitu Yahudi tetapi adalah sikap dan perangai mereka yang zalim dan ganas terhadap rakyat palestin dan Lebanon. Sesungguhnya dunia ini adalah untuk semua manusia tanpa mengira agama dan bangsa, dan bukan hanya untuk penganut agama Yahudi.

Kita amat menghormati kuasa besar itu serta nilai-nilai baik yang didokongnya seperti kebebasan, demokrasi dan hak manusia. Tetapi kita amat prihatin kerana mereka bersikap dwistandard dengan memilih nilai untuk memberikan layanan. Mengapakah apabila Israel menginjak-injak hak asasi bangsa lain serta melakukan keganasan terhadap orang awam dianggap sebagai mempertahankan diri?

Di sinilah negara-negara ASEAN mesti bersatu dan menampilkan nilai-nilai yang kita bersama pegang iaitu bersikap memperjuangkan keamanan, kemerdekaan, keselamatan dan perdamaian.

Kita percaya setiap negara ASEAN menjunjung nilai-nilai politik yang murni berhubung dengan perjuangan untuk kemerdekaan, keamanan dan kemakmuran serta hak setiap negara untuk mengamalkan sistem politik masing-masing.

Palestin mahukan negara sendiri yang merdeka dan berdaulat. Sementara Lebanon mahu menjadi negara yang membangun, maju dan makmur tanpa dibayangi dengan perang. Adalah menjadi kepentingan ASEAN untuk memperjuangkan nasib rakyat Palestin dan Lebanon. – Rencana Pengarang Utusan Malaysia 27 Julai 2006.




PETRONAS SAH BELI SAHAM
ROSNEFT RM4 BILION


KUALA LUMPUR 26 Julai – Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petroliam Nasional Bhd. (Petronas), Tan Sri Mohd. Hassan Marican hari ini mengesahkan syarikat minyak kebangsaan itu membeli saham-saham bernilai AS$1.1 bilion (RM4.07 bilion) dalam syarikat gergasi minyak Rusia, OAO Rosneft.

Beliau yang tidak menolak kemungkinan untuk meningkatkan lagi pegangan ekuiti dalam Rosneft berkata, pemilikan Petronas itu akan memantapkan kedudukannya sebagai peserta utama industri minyak dan gas sejagat.

Mohd Hassan berkata, Petronas sebagai syarikat yang bercita-cita menjadi pemain global, tidak boleh mengenepikan peluang-peluang perniagaan minyak dan gas di Rusia.

Rusia, kata beliau, mempunyai sumber minyak yang luas dan berada di kedudukan yang strategik di tengah-tengah antara Eropah dan Asia selain laluan menghubungi timur dan barat.

Petronas, katanya, sentiasa memerhati dengan penuh minat perkembangan industri minyak dan gas di Rusia, selain giat membina hubungan niaga dengan syarikat minyak dari Rusia dalam penerokaan minyak, seperti Gazprom di Iran.

“Maka itu, ia adalah sesuatu yang logik untuk dilakukan (menyertai Rosneft) sekiranya Petronas ditawarkan peluang untuk turut serta. Ini juga akan mengurangkan risiko geografi (Petronas).

“Rosneft adalah syarikat yang mempunyai kedudukan kewangan yang baik, diurus dengan bagus dan sebuah entiti yang sedang berkembang pesat,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat agung tahunan Petronas Gas Bhd. di sini, hari ini.

Pengesahan beliau itu adalah kenyataan rasmi pertama Petronas selepas proses IPO Rosneft di London, awal bulan ini.

Mengikut laporan media, lebih daripada separuh jualan saham Rosneft bernilai AS$10.4 bilion, iaitu IPO keenam terbesar di dunia, diagihkan kepada lima pelabur termasuk tiga buah syarikat minyak asing termasuk Petronas.

Dua lagi pelabur ialah sebuah bank milik kerajaan Rusia dan seorang individu yang dirahsiakan identitinya, lapor Dow Jones.

Harganya berada di lingkungan AS$5.85 dan AS$7.85 sesaham biasa, menjadikannya memiliki permodalan pasaran antara AS$60 dan AS$80 bilion.

Mohd. Hassan juga menolak kebimbangan mengenai risiko melabur dalam syarikat pengeluar ketiga terbesar Rusia itu yang berdepan dengan beberapa saman mahkamah, persoalan mengenai kebebasan ahli lembaga pengarah dan ketidak tentuan hala tuju kerajaan Rusia yang masih menguasai 85 peratus kepentingan ekuiti Rosneft.

Katanya, penyertaan Petronas dalam Rosneft juga turut mengurangkan risiko geografinya, yang kini tertumpu di benua Afrika.

Mohd Hassan berkata, sebanyak 78 peratus perolehan Petronas adalah datangnya daripada segmen jualan antarabangsa dan eksport.

“Satu daripada strategi yang memerlukan Petronas meluaskan perniagaan ke peringkat antarabangsa adalah pasaran Malaysia yang kecil serta faktor bahawa minyak dan gas adalah perniagaan global.

“Kami memiliki keupayaan dan kepakaran untuk menyertai Rosneft,” kata Mohd. Hassan. – Utusan Malaysia 27 Julai 2006.



ROSNEFT PERKUKUH
MISI GLOBAL PETRONAS


LANGKAH Petronas membeli kepentingan ekuiti dalam syarikat minyak Russia, Rosneft yang membabitkan pelaburan AS$1.1 bilion adalah sebahagian strateginya untuk muncul sebagai peserta global dalam industri minyak dan gas.

Syarikat minyak kebangsaan itu juga tidak menolak kemungkinan untuk menambah pelaburan dalam syarikat itu jika mempunyai peluang untuk berbuat demikian.

“Kami tidak akan menolak jika diberikan peluang,” kata Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Mohd Hassan Marican.

Beliau menegaskan, Petronas berhasrat menjadi peserta global industri minyak dan gas, justeru, pelaburan dalam Rosneft itu adalah sesuatu yang logik untuk dilakukan kerana Russia mempunyai sumber minyak dan gas yang besar.

“Kami perlu mempunyai kehadiran di Russia kerana ia akan mengembangkan lagi jangkauan Petronas pada peringkat global,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat agung tahunan Petronas Gas Bhd di Kuala Lumpur, semalam.

Perniagaan Petronas di luar negara kini merangkumi 38 peratus daripada keseluruhan operasinya, tetapi menyumbang kira-kira 78 peratus kepada jumlah pendapatan.

Mohd Hassan berkata, penyertaan Petronas dalam syarikat Russia itu juga sebahagian daripada strateginya untuk menyeimbangkan risiko pelaburan di luar negara.

“Pelaburan dalam Rosneft ini juga mampu mengurangkan risiko geografik perniagaan kami,” katanya sambil menambah Petronas kini sudah pun bertapak kukuh di Afrika dan Asia Barat.

Dalam kenyataan pertamanya berhubung pelaburan Petronas dalam syarikat Russia itu, Mohd Hassan turut menolak kebimbangan sesetengah penganalisis mengenai risiko melabur dalam Rosneft.

“Rosneft adalah sebuah syarikat yang diuruskan dengan baik,” katanya.

Beliau menegaskan, Rosneft juga adalah sebuah syarikat yang mempunyai potensi besar kerana Russia yang terletak di antara Timur dan Barat berada di kedudukan strategik bagi memenuhi pasaran minyak dan gas di kedua-dua bahagian terbabit.

“Kami sudah memantau perkembangan situasi di Russia sejak beberapa tahun lalu. Sebelum ini kami sudah mempunyai kerjasama dengan syarikat Russia dan Gazprom di Iran serta Lukoil di Uzbekistan,” katanya.

Selain Petronas, dua lagi syarikat minyak antarabangsa yang turut membeli saham Rosneft yang ditawarkan dalam tawaran awam permulaannya (IPO) ialah BP dengan nilai pelaburan AS$1 bilion dan CNPC AS$500 juta.

Rosneft yang dikuasai Kerajaan Russia menawarkan kira-kira 13 peratus daripada sahamnya dalam IPO bernilai AS$10.4 bilion.

Sementara itu, mengenai projek rangkaian paip gas yang menghubungkan Kimanis di Sabah dan Bintulu di Sarawak sepanjang 480 km dijangka siap 2010, Mohd Hassan berkata, ia akan dikendalikan oleh Petronas Gas (PGas).

Beliau yang juga adalah Pengerusi PGas berkata, tinjauan masa depan anak syarikat Petronas itu adalah cerah kerana peningkatan permintaan gas menyediakan peluang perniagaan besar kepada syarikat itu.

“Tentunya masa depan PGas akan lebih baik daripada tahun sebelumnya. Perniagaan ini juga adalah stabil memandangkan jumlah penggunaan gas sentiasa meningkat,” katanya. - Oleh Nor Liza Ahmad. Berita Harian 27 Julai 2006.



2,332 DIBUANG SEKOLAH
DALAM MASA ENAM BULAN


PADANG BESAR: Seramai 2,332 pelajar dibuang sekolah di seluruh negara dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini kerana pelbagai kesalahan disiplin, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar

Dalam tempoh sama, beliau berkata, 3,184 lagi pelajar digantung sekolah.

“Jumlah kes buang dan gantung sekolah itu bagaimanapun menunjukkan aliran menurun berbanding tahun lalu. Rekod kementerian menunjukkan sepanjang tahun lalu seramai 7,453 pelajar dibuang sekolah, manakala 15,148 lagi digantung sekolah.

“Bagaimanapun, jika dibanding dengan lima juta pelajar di seluruh negara, peratus yang mewakili buang sekolah tahun ini hanya 0.01 peratus manakala kes gantung hanya 0.06 peratus.

“Tahun lalu, peratusnya agak tinggi iaitu 0.4 peratus dibuang sekolah dan 0.9 peratus gantung sekolah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Jati Diri murid sekolah menengah peringkat kebangsaan di Pusat Kokurikulum, Jalan Kaki Bukit di sini, semalam.

Seramai 80 pelajar sekolah menengah dari Perlis dan Kedah yang dibuang dan digantung sekolah mengikuti program ala Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang diadakan selama enam hari bermula 21 Julai lalu dan berakhir semalam.

Noh berkata, daripada 2,332 pelajar yang dibuang sekolah tahun ini, 1,897 daripada mereka membuat rayuan dan diterima semula manakala 425 lagi tidak berbuat demikian.

Dalam pada itu, Noh berkata, Kementerian Pelajaran tidak boleh memansuhkan hukuman buang dan gantung sekolah kerana ia perlu untuk menangani masalah disiplin pelajar.

“Pelajar yang melanggar disiplin patut menerima hukuman bagi setiap kesalahan yang dilakukan itu.

“Kita tak boleh mansuh. Buang dan gantung sekolah adalah satu hukuman. Dari hukuman ringan hinggalah kepada yang paling berat iaitu buang sekolah. Ini adalah hukuman. Setiap yang salah mesti dikenakan hukuman,” katanya. – Berita Harian 27 Julai 2006.




.


No comments: