Friday, July 28, 2006

ISRAEL INGKAR
ARAHAN PBB


BAITULMAQDIS 27 Julai – Pemerhati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menelefon tentera Israel sebanyak 10 kali dalam tempoh enam jam untuk memintanya menghentikan pengeboman dekat kedudukan mereka sebelum satu serangan membunuh empat askar pemerhati badan dunia itu hingga mencetuskan kemarahan antarabangsa.

Pos pemerhati PBB dekat Khiam hampir terkena bedilan Israel sebanyak 21 kali kelmarin, termasuk 12 bedilan dalam lingkungan 100 meter dari pos itu dan lima bedilan yang terus mengenainya mulai pukul 1.20 petang kelmarin (6.20 petang kelmarin waktu Malaysia) sehingga pos itu musnah pada pukul 7.30 malam semalam (12.30 malam semalam waktu Malaysia), kata Penolong Setiausaha Agung PBB bagi operasi pengaman, Jane Lute kepada Majlis Keselamatan di New York semalam.

Pegawai PBB itu berkata, pejuang Hizbullah telah beroperasi di kawasan sekitar pos yang terletak dekat sebelah timur sempadan dengan Israel itu, sebagai taktik biasa untuk mengelakkan serangan Israel.

“Sejak beberapa hari lalu kami berkali-kali memberitahu (pihak Israel) bahawa kedudukan pos itu terdedah, bahawa pejuang Hizbullah berada 500 meter dari situ untuk berlindung dekat kakitangan PBB dan orang awam,” kata ketua program kemanusiaan PBB, Jan Egeland.

“Sebab itulah begitu sukar untuk menjelaskan mengapa kejadian itu masih boleh berlaku.”
Pegawai Israel memaklumkan PBB bahawa pengeboman dari udara ke sekitar pos itu adalah sebahagian daripada persiapan udara untuk melancarkan serangan darat, kata seorang pegawai kanan.

Pegawai di pos berkenaan menelefon tentera Israel sebanyak 10 kali dalam masa enam jam dan setiap kali seorang pegawai tentera berjanji untuk menghentikan pengeboman, menurut laporan awal PBB mengenai insiden itu.

Setelah jelas rayuan itu tidak dihiraukan, komander pasukan pemerhati meminta penglibatan pegawai tinggi PBB di New York.

Timbalan Setiausaha Agung PBB, Mark Malloch-Brown dan Lute sendiri membuat beberapa panggilan kepada Kedutaan Israel di PBB untuk mengulangi bantahan dan meminta dihentikan pembedilan itu, kata Lute.

Dalam kenyataan berasingan, PBB mengesahkan kerakyatan keempat-empat askar berkenaan tetapi tidak menyiarkan identiti mereka kerana setakat ini hanya tiga mayat telah ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu di PBB, Majlis Keselamatan PBB lewat semalam gagal mencapai kata sepakat mengenai satu kenyataan yang mengutuk serangan maut tentera Israel terhadap sebuah pos tentera pemerhati PBB di Lebanon.

Sekutu rapat Israel, Amerika Syarikat (AS) sekali lagi menghalang sebarang kritikan terhadap rejim Yahudi itu.

Dalam perbahasan sehari suntuk, anggota Majlis membuat banyak pindaan pada teks dibentangkan oleh China, yang turut kehilangan seorang anggota tentera pemerhatinya dalam serangan itu.

Mereka akhirnya hilang sabar apabila Washington menuntut digugurkan kenyataan yang mengutuk ‘sebarang serangan yang disengajakan terhadap kakitangan PBB.’
– AP/Reuters - Utusan Malaysia 28 Julai 2006.


SERANGAN ISRAEL
24 PALESTIN TERBUNUH


GAZA 27 Julai - Pencerobohan berterusan Israel ke atas Genting Gaza semalam telah menyebabkan 24 penduduk Palestin, termasuk 12 pejuang, dua kanak-kanak bersama ibu mereka terkorban.

Pesawat perang rejim Yahudi itu meneruskan keganasannya hari ini dengan melancarkan peluru berpandu ke arah satu sasaran di timur Bandar Gaza, menyebabkan 15 orang cedera, termasuk seorang yang parah.

Tentera Israel telah meningkatkan serangan udara dan pencerobohan ke atas Gaza dengan alasan menghalang serangan roket para pejuang dan mencari seorang askarnya yang ditawan para pejuang Palestin.

Angka kematian di Gaza semalam merupakan yang tertinggi dalam konflik dua minggu itu. Antara yang terbunuh semalam ialah lapan orang pejuang Hamas dan dua anggota Jihad Islam.

Seorang pejuang Jawatankuasa Penentangan Popular turut terkorban akibat penembak curi, sementara seorang lagi pejuang yang tidak diketahui kumpulannya terbunuh dalam serangan udara.

Para pegawai perubatan memberitahu, dua kanak-kanak perempuan dan seorang bayi dan ibu mereka terkorban selepas terkena bedilan peluru kereta kebal yang disasarkan ke atas rumah mereka di Jabalya, kubu kuat Hamas.– Reuters - Utusan Malaysia 28 Julai 2006.

ISRAEL TIDAK AKAN MENANG
KONFLIK ASIA BARAT- PENGANALISIS

QATAR 27 Julai – Perkembangan di Lebanon boleh menjadi titik peralihan penting dalam konflik Arab-Israel.
Bagaimanapun, Israel tidak akan memenangi konflik itu kerana rejim Yahudi kini terlibat dalam perang yang boleh menjejaskan keberkesanan jentera tenteranya yang dikatakan hebat, menurut seorang penganalisis Arab, Ashraf Ismail semalam.

Kata beliau, ada beberapa sebab untuk mempercayai bahawa tindakan Israel memusnahkan selatan Lebanon dan selatan Beirut akan melemahkan kedudukan rejim Yahudi itu berbanding musuh-musuhnya.
* Pertama, kempen Israel tidak mempunyai objektif yang jelas dari segi taktik atau strategi dan dengan demikian serangan tentera Israel itu tidak lojik jika dilihat dari sudut ketenteraan.
Tindakan Israel tidak mungkin berjaya mengukuhkan kedudukannya berbanding Hamas atau Hizbullah, apatah lagi Syria atau Iran.

* Kedua, Israel tidak mungkin menghapuskan Hizbullah kerana Hizbullah adalah pertubuhan peringkat akar umbi yang mewakili pelbagai golongan dalam masyarakat Lebanon.
Hamas juga tidak boleh dihapuskan atas sebab yang sama.

* Ketiga, kegagalan Israel untuk memperoleh sebarang hasil daripada kempen ketenteraannya setakat ini hanya meningkatkan lagi pengaruh Syria terhadap Lebanon serta memantapkan kedudukan Damsyik berbanding AS dan Israel sendiri.

Penyelesaian di Lebanon tidak akan dicapai tanpa Syria dan kini AS serta Israel memerlukan persetujuan Syria.

* Keempat, ketidakupayaan Bush untuk menangani krisis itu jelas memperlihatkan Amerika sudah kehilangan banyak kuasa globalnya sejak tiga tahun lalu.

Jika Bush tidak dapat mengawal Iran, Syria, Hamas, Hizbullah atau Israel, apakah kuasa sebenar yang dimiliki oleh kuasa besar dunia itu?

* Kelima, zaman peperangan melibatkan kuasa-kuasa besar sudah berlalu dan sebagai gantinya ialah dunia di mana kuasa-kuasa besar perlu hidup dan bersaing dengan entiti bukan negara yang memiliki keupayaan ketenteraan yang cukup tinggi.

* Keenam, penyebaran saluran berita di seluruh dunia membolehkan pertubuhan seperti Hizbullah menggunakan rangkaian satelit global untuk menyampaikan mesejnya.

Selain memiliki stesen medianya sendiri, Hizbullah juga boleh memanfaatkan media global bagi menarik perhatian dunia terhadap keganasan Israel membunuh penduduk awam dan menghancurkan infrastruktur awam. – Agensi- Utusan Malaysia 28 Julai 2006.
ISRAEL ARAH
BEDIL SESIAPA SAJA


BEIRUT/GAZA: Kempen ketenteraan Israel di Lubnan dan Gaza hanyalah pentas bagi negara Yahudi itu menunjukkan ‘kuasanya’ dan betapa mudah membunuh penduduk Arab Lubnan serta Palestin tanpa perlu risau akan dikritik, jauh sekali dikenakan tindakan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Terbukti, pembunuhan beramai-ramai oleh tentera Israel terhadap penduduk Arab Lubnan dan Palestin tiada tindakan dengan Amerika Syarikat mempertahankan sekutunya itu di PBB.

Sebulan selepas Korporal Gilad Shalit ditawan pejuang Palestin di Gaza, misalnya, sudah 150 warga Palestin maut dibedil askar Yahudi.

Di Gaza, akhbar The Independent melaporkan, tentera Israel melancarkan satu bedilan setiap satu minit di wilayah itu hingga semua bangunan di kawasan Beit Hanoun bergegar.

Kelmarin, 24 penduduk Palestin termasuk tiga kanak-kanak serta seorang warga kurang upaya maut kerana bedilan askar Zionis itu.

Antara korban termasuk seorang ibu, Asmaa dan dua anaknya, Shahd Okal yang baru tujuh bulan dan kakaknya, Mary, 7.

Sementara itu, bagi seorang penduduk Lubnan yang juga pemandu teksi, Ahmed Khalil Ali, 58, Israel sudah lama menghantui hidupnya.

Pada 1974, satu serangan tentera Israel membunuh dua sahabatnya dan melumpuhkan sebelah tangannya. Kini, serangan peluru berpandu Zionis menyebabkan dia kehilangan dua kakinya pula.

Ketika ini, dia dirawat di hospital Beirut dan enggan bercakap dengan sesiapapun. Isterinya dan lima anak mereka yang turut cedera, berkongsi bilik dengannya.

Anak perempuannya, Mira, 16, menjadi jurucakap dan fasih berbahasa Inggeris sambil duduk di kerusi roda dengan kaki dan kepalanya berbalut.

“Ayah saya amat kecewa kerana berasa bersalah tidak lagi mampu melindungi keluarga dan tidak tahu bagaimana menjaga kami selepas ini,” katanya.

Ali bercuti bersama keluarganya di perkampungan Blida, dekat sempadan Israel, apabila tiba-tiba konflik meledak.

“Keadaan seperti gempa bumi. Tiba-tiba saya dengar ibu menjerit nama kami. Dia menarik saya daripada bawah runtuhan rumah kerana kaki saya patah.

“Pada masa itulah kami lihat ayah tiada kaki lagi dan meminta kami membantu menghentikan pendarahan,” katanya lagi sambil berkata keluarganya adalah Syiah tetapi bukan penyokong Hizbullah. – AFP/Agensi - Berita Harian 28 Julai 2006.

No comments: