Thursday, July 13, 2006



INA-MAWI, SENSASI
DAN TAKDIR ILLAHI

Hari-hari, di mana sahaja, di seluruh dunia, ada orang jatuh cinta. Orang Eskimo jatuh cinta. Orang Bedui jatuh cinta. Orang Maori jatuh cinta. Orang Putih jatuh cinta. Orang Hitam jatuh cinta. Orang Melayu pun jatuh cinta. Baik cinta pandang pertama, baik cinta kristel, baik cinta fotokopi, baik cinta monyet, baik cinta buaya, baik cinta naga, baik cintan-cintun, kesemuanya adalah cinta.

Hari-hari juga ada kekasih menyimpulkan pertunangan. Orang Red Indian bertunang ikut adat nenek moyangnya. Orang Mongolia bertunang ikut adat budayanya. Orang Dayak bertunang ikut adat Dayak. Orang Kedayan bertunang ikut adat Kedayan. Orang Batak ikut adat batak. Orang Jepun ikut adat Jepun. Orang Rohingya ikut adat Rohingya. Orang Melayu pun ikut budaya, adat dan susila Melayu. Maksudnya, pertunangan yang jadi ikatan cinta antara dua kekasih yang berjanji akan menjejaki jinjang pelamin, lumrahnya dilakukan secara beradat dan bersusila. Hanya orang yang buta adat dan susila sahaja yang bertunang tanpa mengikut adat dan susila.

Begitu juga dengan perkahwinan. Hari-hari ada sahaja pasangan yang naik ke jinjang pelamin. Kalau ikut stail Hollywood, majlis pernikahan dan jamuan perkahwinan sering di adakan di taman-taman. Kalau ikut gaya Bollywood, majlis perkahwinan disambut secara besar-besaran. Kalau ikut budaya orang Melayu di kampung-kampung di Johor, upacara pernikahan selalunya didahului dengan majlis khatam Quran dan Berzanji oleh pengantin perempuan. Kalau ikut amalan golongan Melayu yang kaya raya, majlis perkahwinan selalunya dijadikan majlis menayang harta dan kekayaan. Sesuatu majlis jamuan perkahwinan Melayu katgori ini mungkin boleh menelan ongkos sampai berjuta ringgit. Apa pun, perkahwinan adalah perkahwinan. Raja Sehari pada majlis itu dirai dan dimuliakan.

Soal perceraian pun begitu juga. Hari-hari ada sahaja orang yang bercerai-berai. Ada orang bercerai kasih kerana kematian. Ada orang yang bercerai-berai kerana tiada keserasian hidup. Ada orang bercerai atas seribu satu sebab dan alasan. Apa pun, segala-galanya adalah suratan takdir Allah SWT jua. Tetapi, pihak yang beriman akan menerima hakikat perceraian dengan tenang. Pihak yang sebaliknya, akan menggelabar dan kecewa habis-habisan - seolah-olah matahari tidak akan terbit lagi, seolah-olah purnama juga akan terus menyepikan diri buat selama-lamanya.

Oleh itu, percintaan, pertunangan, perkahwinan dan perceraian adalah lumrah kehidupan. Di kalangan kaum marhaein dan rakyat biasa, kesemua ini berlaku di mana-mana, di seluruh dunia, tanpa banyak karenah, tanpa banyak bicara. Bagaimanapun, hakikat ini berbeza sekali dengan golongan selebriti.

Di Hollywood, Amerika Syarikat, dan di Bollywood, India, liputan gossip, skandal, kisah dan berita yang membabitkan selebriti bercinta, bertunang, berkahwin dan bercerai memang merupakan suatu cabang industri yang lumayan. Sebab itulah banyak pihak media jadi teruja, ghairah dan terus berlumba-lumba untuk melaporkan sesuatu berita sensasi memabitkan percintaan, pertunangan, perkahwinan dan perceraian kelompok selebriti.

Hakikat kegairahan seperti ini pun sedang dirasai di Malaysia. Hari-hari ada sahaja berita membabitkan selebriti. Gossip penghibur Siti Nurthaliza dengan jutawan Datuk K sentiasa memanaskan suasana. Rentetan kisah perceraian Yusry dengan Erra Fazira sentiasa melariskan jualan sesetengah kategori akhbar dan majalah. Gossip Mawi dengan Nordiana Rafar pula hangat, panas dan membahang buat beberapa minggu lamanya.

Hari ini, segolongan rakyat Malaysia terus disensasikan dengan kisah cinta Mawi dan Ina putus tunang, Siti Nurhaliza dan Datuk K tidak lama lagi akan bernikah, Yusry dan Erra Fazira pula disahkan percerainannya oleh Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada 10 Julai 2006. Kisah-kisah ini menjadikan segolongan rakyat Malaysia berdebat kosong di kedai-kedai kopi, di disko-disko dan di mana-mana sahaja pusat hiburan bagi anak-anak muda di seluruh negara.

Bagaimanapun, kisah putus tunang Mawi dan Ina, nampaknya jadi berita paling sensasi sekali. Hari-hari ada sahaja cerita mengenainya. Baik dalam akhbar, mahu pun dalam media elektronik. Ada kisah mengenai perang mulut antara keluarga Mawi dan keluarga Ina. Ada juga berita tentang pertikaman lidah Mawi dan Ina.

Pada suatu ketika, Ina juga menerima liputan berita televisyen. Dia jadi glamor. Dia juga jadi popular. Pihak yang simpati kepada Ina pun kesal terhadap keputusan Mawi. Tetapi, ada juga segolongan peminat Mawi yang teruja dan bergembira. Sesetengah anak dara yang perasan mulalah memasang angan-angan dan bermimpi. Hati kecil masing-masing berdoa, moga-mogalah Mawi melamar mereka suatu hari nanti!

Pada pertengahan 2005, Mawi atau Asmawi Ani, adalah juara Akademi Fantasia 3. Sejak itu, bintangnya sentiasa memancar bergemerlapan. Mawi memenangi pelbagai lagi gelaran yang glamor. Mawi jadi duta pelbagai produk. Mawi jadi rebutan penganjur majlis sukaria. Mawi digilai ramai anak gadis. Mawi jadi jutawan. Mawi terus mempesona. Mawi adalah auraputera.

Seluruh kejayaan di atas, serba sedikit menjejaskan ksejahteraan hidup Mawi. Dari sebuah kehidupan yang amat private, Mawi kini mengharung hidup yang amat public. Dari sebuah kampung di Felda Taib Andak, Johor, Mawi kini berhijrah ke kotaraya Kuala Lumpur. Dari suasana hidup yang tenang dan damai, Mawi kini berhadapan dengan hidup yang pantas dan menggoda.

Begitu pun, cinta Mawi tetap tidak berubah. Sebelum menjuarai AF3, Mawi bercinta dengan Nurdiana Md. Naim, atau Ina, gadis daripada Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi, Johor. Sesudah menjadi juara AF3 pun cinta Mawi tidak berubah. Dalam dua sessi wawancara saya dengannya pada 22 Februari 2006 dan 17 Jun 2006, Mawi tidak sekali-kali membayangkan bahawa cintanya terhadap Ina sedang bermasalah atau sedang menuju jalan buntu. Malahan Mawi memberitahu saya bahawa cintanya terhadap Ina adalah cinta yang sejati.

Begitu juga dengan Ina. Saya mewawancaranya pada 20 Jun 2006. Katanya, dia tetap yakin kepada cinta Mawi. Dia juga sentiasa menaruh harapan supaya Mawi tidak berubah hati. Sebagai insan biasa, kata Ina, dia akan cuba sedaya upaya untuk memelihara ikatan pertunangannya dengan Mawi. Ina bersikap demikian, katanya, kerana dia terlalu menyintai Mawi.

Saya mewawancara Mawi dan Ina seperti di atas untuk buku saya berjodol Mawi:Auraputera. Buku ini sedang dalam proses penerbitannya. Ia akan menemui para pembaca tidak lama lagi. Dalam buku ini terdapat beberapa isu hangat, sensasi dan kontroversi.

Lantaran itu, saya sendiri pun jadi bingung bila kisah Mawi dan Ina putus tunang meletus dalam akhbar baru-baru ini. Saya juga kesal dengan apa yang berlaku. Lebih-lebih lagi bila bab mengenai kisah cinta Mawi dan Ina dalam buku Mawi:Auraputera ini jadi seolah-olah janggal dan tidak relevan.

Lantas, saya pun teliti balik seluruh wawancara saya dengan Mawi dan Ina. Saya sorot kembali kesemua jawapan mereka kepada soalan saya mengenai cinta, pertunangan dan perkahwinan. Penelitian dan sorotan tersebut menemukan saya dengan beberapa kenyataan yang mungkin membayangkan keretakan cinta dan pertunangan Mawi dan Ina kebelakangan ini. Contoh soalan saya, jawapan Mawi, dan jawapan Ina, dalam wawancara di atas, adalah seperti berikut:

Ruhanie: Pada 18 Ogos 2005, Tunku Makhota Johor, YTM Tunku Ibrahim Ismail, menasihati Saudara supaya memelihara ikatan pertunangan Saudara dengan Ina. Saudara pula mengatakan yang Saudara akan menjadikan nasihat itu sebagai azimat dan pesanan terhadap diri Saudara dalam meneruskan perjuangan di dunia seni. Jadi, adakah Saudara akan mengkhianati percintaan Saudara terhadap Ina?

Mawi: Saya tetap setia terhadap cinta dan sayang Ina terhadap saya. Saya akan memelihara cinta dan sayang itu dengan semurni-murninya.

Ruhanie: Kalau gitu, bila Saudara nak menikahi Ina?

Mawi: Saya belum bercadang untuk bernikah dengan Ina dalam waktu terdekat ni. Saya belum ada rancangan berkahwin kerana tarikhnya masih belum ditetapkan. Saya akan kahwin bila dah sampai jodoh!

Ruhanie: Ada pihak mengatakan Ina pernah menerima SMS meminta Ina putuskan hubungan dengan Mawi. Betul ke?

Ina: Memang betul Datuk! Ina hairan, macam mana dia orang dapat nombor telefon Ina!

Ruhanie: Dalam buku Mawi Jantung Hatiku, Ina kata yang Ina bimbang dan khuatir hubungan cinta Ina dengan Mawi akan musnah bila Mawi jadi popular. Adakah kebimbangan dan kekhuatiran itu masih wujud hingga ke hari ini?

Ina: Semua perasaan tu lenyap bila Mawi kata pada Ina, yang Ina ni adalah cinta pertamanya. Mawi juga kata pada Ina, Mawi tak akan lupa daratan dan tak akan jadi kacang lupakan kulit. Mawi kata, dia hargai pengorbanan Ina selama ini!

Ruhanie: Ina percaya kata-kata Mawi? Macam mana kalau dia mungkir janji? Macam mana kalau Mawi termakan hasutan pihak-pihak yang berusaha memutuskan percintaan dan pertunangan Ina dengan Mawi?

Ina: Ina tetap yakin kepada cinta Mawi. Ina tetap percaya pada takdir Allah SWT. Ina juga sentiasa menaruh harapan kepada Mawi supaya tak berubah hati! Kalau Ina tak yakin, dengan takdir, buat apa Ina sanggup bertunang dengan Mawi? Betul tak Datuk?

Ruhanie: Maksudnya, Ina tetap sayangkan Mawi?

Ina: Mesti. Ina tak berubah. Ina sabar menanti. Ina juga sabar menghadapi cabaran dan dugaan! Ina serahkan kepada Mawi untuk menilai cinta, kasih dan sayang Ina terhadap dirinya. Ina juga serahkan hal ini kepada Allah SWT!

Ruhanie: Betul ni?

Ina: Betul, Datuk! Sebagai manusia biasa, Ina akan cuba sedaya upaya Ina untuk memelihara ikatan pertunangan Ina dengan Mawi. Ini kerana Ina terlalu menyintai Mawi. Pada waktu yang sama, Ina tetap pasrah kepada Allah SWT untuk menentukan perjalanan hidup Ina. Ini kerana Ina percaya kepada qada’ dan qadar. Manusia hanya mampu merancang. Allah SWT jua yang menentukan segala-galanya!

Seluruh kenyataan Mawi dan Ina seperti di atas membuktikan bahawa kedua-dua pasangan kekasih itu sebenarnya sentiasa menyerahkan soal perkahwinan mereka kepada takdir Allah SWT. Ini bermakna, kedua-dua anak muda ini adalah insan yang kukuh imannya. Dengan itu, pastinya mereka akan menghadapi soal putus tunang ini dengan tenang. Maksudnya, mereka tidak akan penasaran, mereka tidak akan hilang pertimbangan, mereka juga tidak akan mengubati kekecewaan masing-masing menerusi perbuatan yang dimurkai Allah.

Pada 12 Julai 2006, pegawai saya, Adli Md. Ali, membantu saya menghubungi Ina yang kini bertugas di Kuala Lumpur. Dia mendapat satu kerjaya yang baru dan glamor. Dia ada seorang pengurus. Dia juga mempunyai seorang pembantu peribadi. Dari suaranya yang tenang, saya pasti Ina berjaya mengatasi situasi putus tunang ini dengan tenang. Inilah berkat insan yang sentiasa yakin kepada takdir Allah SWT!

Saya masih gagal menghubungi Mawi. Bagaimanapun, saya yakin, walaupun dia masih berduka akibat ayahanda tercintanya kembali ke rahmatullah, walaupun dia sedih kerana putus tunang, Mawi juga pastinya sentiasa tenang. Inilah juga berkat insan yang tidak putus-putus menggantungkan masa depannya kepada Allah SWT!

Oleh itu, perjalanan hidup Mawi dan Ina selepas putus tunang wajarlah dicontohi oleh seluruh generasi muda Malaysia, terutama sekali anak-anak Melayu/Islam. Walaupun kecewa, Ina dan Mawi tetap patuh kepada tuntutan agama. Dengan itu, mereka pun terhindar daripada arak dan dadah sebagai pengubat hati yang luka. Dengan mematuhi ajaran agama, Mawi dan Ina terbebas dari rasa geram dan dendam yang ekstrim. Dengan berpegang teguh kepada tuntutan agama, Mawi dan Ina terus fokus terhadap masa depan masing-masing yang Insya Allah lebih cerah, bahagia dan sejahtera.

Bacalah seluruh mesej yang tersurat dan tersirat dalam buku ini. Moga-moga seluruh pembaca budiman akan menjadikan Cita Mawi Bukan Ilusi ini sebagai satu gagasan iktibar yang murni, demi masa depan yang sentiasa aman, damai, tenang dan sejahtera pada sepanjang masa. – Dipetik daripada prolog buku Cinta Mawi Bukan Ilusi yang dijangka terbit hujung Julai 2006.


















1 comment:

apekome said...

Mawi, rasanya populariti kau akan jatuh, jatuh dan jatuh.....jangan main..ramai orang berdoa agar kau kembali kepada keadaan asal kau. Takkan lah nak salahkan orang lain dan mencari alasan yang bukan-bukan. Kau tu kan ke bercinta dengan orang lain. lagi pun kua tu pun bukan bagus sangat. Rugi masa tulis panjang-panjang pasal kau lah...