Thursday, July 20, 2006

APA PERLUNYA
KOMPLEKS SUKAN
RM490J DI LONDON?

[dipetik daripada Suara Keadilan 2006]

KUALA LUMPUR, Julai 2006: Kerajaan Malaysia digesa membekukan cadangan Kementerian Belia dan Sukan untuk membina Pusat Latihan Sukan di pinggir London bernilai RM490 juta.

Ini kerana cadangan tersebut bersifat separa matang dise­babkan beberapa persoalan dasar berkaitan pembinaannya tidak dijelaskan kepada umum. Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman, baru-baru ini memberitahu Dewan Rakyat, Pusat Latihan Sukan yang bernilai RM 490 juta itu akan dibina di atas tapak Pusat Kajian Tun Abdul Razak (TARRC) Brick­endonbury, pinggir kota London.

"Persoalan pertama yang harus dijawab oleh Azalina, sia­pakah pemilik tanah tersebut, dan apakah pihak yang men­duduki tanah tersebut kini di­tanya pandangan mereka men­genai cadangan ini," kata Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan, Dr. Xavier Jayakumar.

Menurutnya, berdasarkan maklumat daripada laman web TARRC; tanah tersebut meru­pakan milik Lembaga Getah Malaysia (LGM) sejak tahun 1938.

"Jadi, apakah cadangan tersebut sudah mengambil kira pandangan pihak berkuasa di London kerana bangunan TARRC diklasifikasikan seba­gai bangunan warisan sejarah, dan selalunya bangunan seperti itu tertakluk kepada undang-undang khas bagi melin­dunginya," kata beliau.

Menurut DR Xevier lagi, se­lain itu yang perlu dijawab oleh Azalina adalah apakah pembi­naan pusat latihan sukan itu sudah mengambil kira bahawa TARRC merupakan pusat penyelidikan dan pembangu­nan (R&D) getah terulung di dunia.

"Di sana berhimpun saintis tersohor daripada universiti terkemuka seluruh dunia mem­buat kajian tentang getah dan hasil daripada kajian tersebut di­gunakan untuk meningkatkan lagi industri getah negara.

"Adalah tidak logik, kita mahu memusnahkan tempat seperti itu untuk pusat pembangunan sukan negara yang belum pasti lagi hasilnya," kata beliau.

Antara alasan Azalina mendirikan kompleks sukan tersebut adalah menjimatkan kos ulang-alik 14 pemain skuash dan 10 pemanah yang berlatih di sana. Menurut Dr Xevier, itu adalah alasan paling tidak masuk akal yang diberikan oleh seorang menteri.

[Nota: RM490 juta adalah besar jumlahnya. Kalau semata-mata untuk melatih 14 pemain skuash dan 10 pemanah Malaysia, Kerajaan perlu membina sebuah kompleks sukan di London, rakyat jelata kenalah meminta pihak-pihak tertentu mempastikan kewarasan kita semua untuk menyokong projek seperti ini. Di tanahair tercinta ini pun masih banyak lagi fasiliti sukan yang kopak-kapik. Jadi, janganlah dagang lalu ditanakkan, kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan!]

No comments: