PERMUAFAKATAN ASEAN
DAN DIPLOMASI NASI BASI
Hari ini, Pentadbiran Presiden George W Bush sedang aktif melakarkan semula peta geopolitik di Asia Barat. Sebab itulah Iraq diserang, dijajah dan dimusnahkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya sejak 2003. Sebab itulah Lebanon sedang dimusnahkan dan rakyat jelatanya sedang dibunuh secara kejam oleh rejim zionis Israel. Sebab itulah Iran dan Syria mungkin dibelasah oleh AS dan sekutunya tidak lama lagi. Sebab itulah Palestin sentiasa dihancur-leburkan rejim zionis Israel sejak zaman berzaman.
Berasaskan situasi seperti di atas, mengapakah Setiausaha Negara AS, Condoleezza Rice, diizinkan bermain piano di majlis makan malam sempena Persidangan Pasca Menteri-Menteri Luar ASEAN, di Kuala Lumpur, pada 28 Julai 2006?
Banyak pihak tersinggung dengan peristiwa tersebut. Sebab itulah agaknya, Kolumnis Awang Selamat, menyorot perbuatan Coondolezza Rice itu dengan nada sinis, dalam ruangan Bisik-Bisik, Utusan Malaysia 29 Julai 2006, seperti berikut:
“Tergamak Setiausaha Negara Amerika Syarikat itu bermain piano ketika beratus-ratus orang yang tidak berdosa terkorban dan darah terus mengalir di Lebanon dan Gaza akibat keganasan negara sekutunya, Israel. Lagu apa yang dimainkan dan terhiburkah Menteri-Menteri Luar ASEAN?”
Untuk menjawab Awang Selamat, Condolezza Rice mendendangkan lagu Prayer For Peace atau Doa Untuk Keamanan, ciptaan pemuzik yahudi bernama Mozart. Kalaulah Awang Selamat bertanya, sama ada para Menteri ASEAN yang mendengar dengangan lagu itu telah terhibur, saya pula mahu bertanya, mengapakah Condoleezza Rice diberi peluang bermain piano di majlis itu?
Siapakah yang membuat keputusan itu? Mengapakah Malaysia, selaku tuan rumah, tidak sensitif dan tidak membantahnya? Tidakkah tindakan memberikan peluang kepada wakil AS yang jelas merestui zionis Israel terus membunuh rakyat jelata Lebanon itu satu perkara yang memaluklan umat Islam, khususnya bila Malaysia adalah Pengerusi OIC?
Anehnya, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang bermati-matian menjuarai keprihatinan Malaysia terhadap musibah yang menimpa umat Lebanon akibat keganasan zionis Isral, pun langsung tidak bersuara mengenai insiden di atas.
Berbalik kepada soal permainan piano oleh Condoleezza Rice, adakah seluruh anggota ASEAN menyetujuinya? Atau, adakah insiden itu mencerminkan wujudnya perpecahan di dalam ASEAN pada hari ini?
Kalau begitu, adakah seluruh anggota ASEAN masih setia kepada matlamat asal penubuhannya, iaitu menjadikan rantau Asia Tenggara sebagai zon aman, bebas dan berkecuali? Adakah seluruh anggota ASEAN tidak ada yang memihak kepada mana-mana kuasa besar dunia mutakhir ini?
Sebenarnya, permuafakatan dalam ASEAN nampaknya jadi rapuh sejak Peperangan Antikenagasan Global (PAG) dilancarkan oleh AS mulai 2001. Dalam peperangan ini ada segolongan negara ASEAN yang menghantar tenteranya ke Iraq secara bilateral.
Ini bermakna, ada anggota ASEAN, secara langsung atau tidak langsung, turut bertanggungjawab membunuh umat Islam dan menghancurkan negara Islam di Asia Barat. Inikah bentuk keberkecualian ASEAN di abad ke-21?
ASEAN tentunya amat insaf, AS memang telah dan sedang mengeksploitasikan Tragedi 11 September 2001 untuk menegakkan hegemoni dan mengukuhkan neoimperialismenya di Asia Tenggara.
Usaha ini dimulakan pada Januari 2002 - sesudah PAG memusnahkan Afghanistan dan membinasakan Rejim Taliban, tetapi sebelum PAG dilancarkan di Iraq untuk menggulingkan Presiden Saddam Hussein.
Satu perkara yang menarik mengenai PAG di Asia Tenggara ialah, ia tidak dijelmakan dalam bentuk peperangan fizikal seperti di Afghanistan atau di Iraq. Sebaliknya, ia menjelma dalam bentuk siri fitnah, operasi hitam, operasi bendera palsu, ledakan bom secara bersiri, dan pertumpahan darah antara agama.
Contohnya, beberapa bulan selepas tentera AS berkubu di selatan Filipina mulai Januari 2002, sama ada secara terancang atau secara kebetulan, terjadilah pelbagai peristiwa keganasan dan tersebar pula pelbagai propaganda.
Semua ini nampaknya terselaras dan dipercayai akan memudahkan Pentadbiran Bush mengerahkan tentera AS ke beberapa negara lain di Asia Tenggara. Ini termasuklah peristiwa dan propaganda berikut:
Kekecohan kononnya sekumpulan teroris Islam akan mengebom Kedutaan AS di Singapura.
Al-Qaeda kononnya mempunyai sel dan proksinya di Indonesia; peristiwa pengeboman ke atas beberapa kepentingan AS di beberapa kepulauan Filipina dan Indonesia.
Dua siri ledakan bom di Bali dan dua siri lagi ledakan bom di Jakarta, Indonesia.
Beberapa siri pertumpahan darah di selatan Thailand.
Dan, fitnah kononnya Al-Qaeda dan sekutunya mungkin melakukan keganasan berskala besar dan paling dahsyat di Selat Melaka.
Seluruh propaganda, peristiwa, dan fitnah di atas memberikan gambaran seolah-olah Asia Tenggara memang benar-benar dilanda masalah terorisme yang amat parah. Maria Ressa, Ketua Biro CNN Jakarta, di dalam bukunya The Seed Of Terror, menyatakan bahawa “Asia Tenggara adalah sarang teroris kerana majoriti rakyat negaranya adalah Islam.”
Beliau juga menyatakan, ura-ura serangan teroris ke atas beberapa kepentingan AS di Singapura adalah Pelan A kepada rancangan keganasan yang kononnya terbesar yang akan dilaksanakan oleh Al-Qaeda di Asia Tenggara.
Tetapi, serangan tersebut, katanya, gagal dilaksanakan kerana berjaya dikesan dan didedahkan lebih awal oleh pihak keselamatan Singapura. Sebab itulah, tambahnya, Al-Qaeda melaksanakan keganasan alternatifnya menerusi ledakan sebutir bom di Bali, Indonesia, pada 12 Oktober 2002.
Apakah yang dikatakan oleh Maria Ressa itu benar? Tidak mungkinkah serangan terbesar yang kononnya akan dilaksanakan oleh Al-Qaeda di Singapura pada 2002 hanya satu propaganda untuk menghalalkan kehadiran bala tentera AS di beberapa negara di Asia Tenggara di abad ke-21?
Persoalan ini wajar dihalusi kerana Tragedi 11 September 2001 yang telah mencetuskan PAG kelihatannya sentiasa diselubungi misteri, hipokrasi dan konspirasi di peringkat yang paling tinggi. Ia juga perlu dikaji kerana banyak manfaat yang boleh diperolehi oleh sesetengah kuasa neoimperialis tertentu daripada penyebaran propaganda sedemikian rupa. Antaranya adalah seperti berikut:
· Proses sesetengah kuasa besar tertentu mewujudkan hegemoni dan memperluaskan jaringan neoimperialismenya di Asia Tenggara jadi lebih mudah bila ianya diselindungkan di sebalik PAG.
· Ura-ura keganasan terbesar Al-Qaeda di Singapura dijadikan bahan yang kononnya sahih untuk menakut-nakutkan, mempengaruhi dan mendesak beberapa kerajaan di Asia Tenggara supaya akur kepada apa sahaja saranan dan rancangan oleh sesetengah kuasa neoimperialis dalam melaksanakan PAG di Asia Tenggara.
· Seluruh propaganda, peristiwa, dan fitnah di atas akan dijadikan kes rujukan oleh beberapa media neoimperialis, kononnya untuk membuktikan betapa seriusnya masalah terorisme di Asia Tenggara.
· Seluruh propaganda, peristiwa dan fitnah itu mendorong media neoimperialis dengan sewenang-wenangnya menghebahkan ke seluruh dunia bahawa Asia Tenggara, terutamanya Indonesia dan Filipina, kononnya syurga kepada Al-Qaeda.
Penyembunyian agenda rahsia sebuah kuasa neoimperialis tertentu di sebalik PAG di Asia Tenggara jadi semakin jelas bila Setiausaha Pertahanan AS, Donald Rumsfeld, menyatakan di Singapura, pada 4 Jun 2004: “askar-askar AS akan memburu pengganas di Asia Tenggara tidak lama lagi.”
Tambah beliau, “askar-askar AS perlu keluar mencari pengganas di negara yang melindungi mereka serta menjejaki pihak yang membiayai operasi keganasan. AS tidak boleh menunggu satu lagi serangan seperti 11 September 2001 berlaku.”
Kenyataan tersebut membayangkan Pentadbiran Bush mungkin melancarkan PAG di Asia Tenggara dan di negara anggota ASEAN, secara pre-emtif dan ulilateral, pada bila-bila masa. Jika PAG tidak dilancarkan secara fizikal di Asia Tenggara, kemungkinan besar rantau ini dilanda beberapa siri perang saraf.
Kenyataan Rumsfeld di atas menimbulkan pelbagai pertanyaan dan spekulasi yang perlu dihalusi. Antaranya adalah:
Maklumat perisikan dari manakah yang mendorong Rumsfeld mengeluarkan kenyataan di atas?
Negara ASEAN manakah yang sedang disyakki oleh Pentadbiran Bush sebagai “melindungi pengganas” dan “membiayai operasi keganasan” di Asia Tenggara?
Jika PAG dilancarkan di Asia Tenggara, negara ASEAN manakah yang akan diserang? Negara ASEAN manakan yang akan dijadikan “rumah persinggahan” bala tentera AS untuk PAG tersebut?
Jika AS melancarkan PAG secara pre-emtif dan unilateral di Asia Tenggara, apakah reaksi ASEAN dan PBB terhadap peperangan tersebut?
Adakah kenyataan Rumsfeld di atas hanya bertujuan menguji kemuafakatan ASEAN dalam mempertahankan Deklarasi Zon Aman, Bebas dan Berkecuali yang ditandatangi di Kuala Lumpur pada 27 November 1971?
Adakah kenyataan di atas bertujuan menggertak Malaysia dan Indonesia yang sentiasa bertegas untuk tidak mengizinkan AS campurtangan di dalam urusan mengawal keselamatan di perairan Selat Melaka?
Adakah kenyataan di atas juga bertujuan mengherdik Thailand yang enggan mengizinkan AS menubuhkan sebuah pengkalan tenteranya di Thailand, dan menolak sebarang campurtangan AS di dalam usaha memulihkan keselamatan dan ketenteraman di selatan Thailand?
ASEAN wajar memandang serius kenyataan di atas. Ini kerana ketika ini memang terdapat banyak faktor kritikal yang mendorong AS menegakkan hegemoni dan meluaskan jaringan neoimperialismenya di rantau ASEN selepas Tragedi 11 September 2001. Antaranya adalah:
Asia Tenggara amat penting kepada usaha AS mengekalkan supremasi ekonominya secara global sesudah China bangkit sebagai kuasa ekonomi terbesar di dunia.
· Asia Tenggara, rakan dagang AS yang kelima terbesar di dunia, dengan 525 juta orang penduduk, dan KDNK US$700 billion setahun, adalah satu daripada pasaran AS yang terbesar di dunia.
· Asia Tenggara jadi destinasi kapitalis gergasi AS dengan pelaburan sejumlah US$35 billion.
· Asia Tenggara mempunyai tiga laluan air yang strategik kepada AS, iaitu Selat Melaka, Selat Lombok dan Laut China Selatan. Sejumlah US$1.3 trillion barang dagangan, atau separuh daripada barang dagangan dunia, termasuk minyak dan gas cecair asli, diangkut oleh kapal dagang menerusi laluan tersebut pada setiap tahun.
· Indonesia selaku anggota OPEC tunggal di Asia Tenggara, adalah pengeksport 20 peratus daripada keluaran gas cecair asli di dunia.
· Bekalan minyak dan gas cecair asli dari Asia Tenggara, khususnya dari Indonesia, Brunei dan Malaysia, adalah penting kepada AS.
· Asia Tenggara dipercayai mempunyai banyak lagi telaga minyak dan gas cecair asli yang belum diterokai, termasuklah di Brunei, Indonesia, Malaysia dan mungkin juga di Vietman, Filipina serta Kepulauan Spratlys.
· Asia Tenggara kini dikategorikan oleh AS sebagai zon yang tidak selamat dan tidak stabil di dunia.
Berdasarkan faktor-faktor strategik di atas, beberapa kumpulan berpengaruh, termasuk warga korporat AS, menyifatkan Asia Tenggara sebagai “wilayah yang mempunyai konsekueansi geopolitik yang besar.”
Satu daripada kumpulan tersebut adalah PNAC yang tokoh-tokoh utamanya kini jadi penasihat Presiden George W Bush. Menerusi laporan bertajuk Pembangunan Semula Pertahanan AS, terbitan September 2000, PNAC menyatakan bahawa pengukuhan tentera AS di Asia Tenggara akan jadi kunci utama kepada usaha AS menangani kebangkitan China sebagai kuasa neoimperialis dunia.
PNAC juga mencadangkan, AS hendaklah mengerahkan tentera darat dan tentera udaranya ke Asia Tenggara, serta membuka beberapa pengkalan hadapan dan satu Unit Ekspedisi Marin di Asia Tenggara.
RAND Corporation pimpinan Zalmay Khalilzad, tokoh PNAC yang kini Duta Khas AS di Iraq, pula menerbitkan satu laporan pada 2000, bertajuk Peranan Asia Tenggara Kepada Strategi AS Terhadap China.
Laporan itu mencadangkan AS mengukuhkan kedudukan tenteranya di Asia Tenggara dan mendapatkan akses kepada kemudahan ketenteraan di wilayah yang sama. Laporan itu menyatakan, pengukuhan tentera AS di Asia Tenggara penting kerana wilayah berkenaan mungkin menghadapi ancaman dari China di masa akan datang.
Ancaman tersebut kononnya akan muncul kerana China yang bangkit sebagai kuasa ekonomi dunia dalam tempoh 10 hingga 15 tahun, mungkin akan menyebabkan konflik bersenjata di Asia Tenggara.
Laporan itu juga mengenalpasti Singapura, Filipina dan mungkin Vietnam sebagai negara yang dijangka boleh memberikan akses kenenteraannya kepada AS, terutamanya kemudahan untuk Tentera Udara AS.
Singapura dikenalpasti kerana kedudukannya yang strategik untuk mengawal laluan di Selat Melaka. Filipina dan Vietnam dikenalpasti kerana mereka akan membolehkan AS membina keperkasaan udara bagi mengawal Laut China Selatan.
Laporan RAND juga mencadangkan agar AS memberikan bantuan keselamatan kepada Filipina, khususnya pertahanan udara dan kawalan laut. Ia juga mendesak supaya AS memulihkan hubungan ketenteraan sepenuhnya dengan Indonesia.
Majlis Hubungan Luar AS pula menyampaikan satu memorandum kepada Presiden Bush pada Mei 2001, bahawa abad ke-21 adalah waktu yang paling tepat dan sesuai untuk Kerajaan AS memfokus kepada Asia Tenggara. Alasannya, kebangkitan China sebagai kuasa ekonomi yang besar mungkin mengancam dominasi AS di Asia Tenggara di hari muka.
Begitulah warna dan suasana neoimperialisme di Asia Tenggara di abad ke-21 ini. Segala-galanya mestilah difahami sedalam-dalamnya. Selurunya mestilah ditangani secara bijaksana. ASEAN hendaklah bersikap terbuka dan proaktif mengenainya.
Oleh itu, anggota ASEAN wajar bersatupadu. Kalau ada antara mereka yang terlalu intim dengan AS mutakhir ini, intimasi sedemikian harus dikaji semula demi ASEAN. Jika tidak, lama kelamaan ASEAN mungkin retak, pecah dan terbelah.
Berasaskan seluruh hakikat di atas dan perkembangan geopolitik di Asia Barat dan Asia Tengah mutakhir ini akibat angkara AS serta sekutunya, adalah aneh bila Menteri-Menteri Luar ASEAN tiba-tiba sahaja mengizinkan Condoleeza Rice bermain piano untuk lagu Doa Untuk Keamanan. Perkara ini aneh kerana pada realitinya, AS kini menyokong zionis Israel membunuh umat manusia di Lebanon, dan PAG yang dipelopori AS pula menjejaskan kesetiaan sesetengah anggota ASEAN terhadap tanggungjawab mewujudkan zon aman, bebas dan berkecuali di Asia Tenggara.
Jadi, diplomasi jenis apakah yang sedang diamalkan oleh ASEAN? Adakah diplomasi yang boleh menjamin kelangsungan ASEAN di abad ke-21? Adakah diplomasi yang akan menyebabkan permuafakatan ASEAN jadi semakin rapuh? Adakah diplomasi yang mungkin menjadikan ASEAN berkecai seperti nasi yang basi?
Monday, July 31, 2006
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment