Tuesday, March 06, 2007

Jangan Gundah
Jika Tidak Terbabit Rasuah
- Abdullah
[bernama.com]

PUTRAJAYA, 5 Mac (Bernama) -- Sambil memberi jaminan tindakan akan diambil terhadap mereka yang didapati terlibat dengan rasuah, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata mereka yang tidak melakukan amalan itu tidak perlu menyimpan perasaan risau.

Perdana Menteri menegaskan apa yang penting ialah segala siasatan berhubung dakwaan rasuah mesti dijalankan seadil-adilnya.

"Memanglah rasuah tidak diingini oleh sesiapapun. Tindakan perlu diambil. Yang tak salah tak perlu gundah," katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Beliau merujuk kepada laporan media akhir-akhir ini berhubung dakwaan rasuah dan salah guna kuasa melibatkan beberapa individu, termasuk Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah Datuk Zulkipli Mat Noor.

Terbaru, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Mohd Johari Baharom menafikan dakwaan beliau menerima sogokan RM5 juta untuk membebaskan tiga penjenayah yang sebelum itu ditahan mengikut Ordinan Darurat.

Abdullah menarik perhatian bahawa secara amnya, 85 peratus daripada laporan yang dikemukakan berkaitan tuduhan rasuah adalah tidak berasas.

"Walaupun begitu, tindakan yang kita akan ambil bukanlah atas persepsi tetapi atas maklumat. Ini amat penting. Kita sentiasa berhati-hati dalam perkara ini," katanya.

Perdana Menteri menjelaskan bahawa sebab itulah setiap pelantikan pegawai ke jawatan tinggi kerajaan didahului dengan langkah mendapatkan laporan mengenai pegawai itu daripada pihak berkenaan.

"Jika didapati rekodnya baik, maka barulah pelantikan itu dibuat. Ini adalah amalan kita," kata Abdullah sambil menambah langkah sama dibuat dalam pemilihan calon yang bertanding mewakili Barisan Nasional dalam pilihan raya.

Abdullah menegaskan bahawa apa yang dapat dipelajari daripada apa yang sedang berlaku ialah rakyat termasuk penjawat awam sendiri mahukan sebuah pentadbiran dan pemerintahan yang baik, bermutu dan bebas daripada gejala rasuah.

"Dengan itu adalah menjadi satu kewajipan bagi kita untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab kita dengan ikhlas dan baik. Itulah yang akan menjadikan negara kita maju dan berjaya," katanya.

Ucapan Perdana Menteri turut menyentuh lawatannya ke Syria dan Yaman minggu lepas, dengan kesimpulan bahawa pemimpin kerajaan dan ahli perniagaan yang ditemui mempunyai pandangan yang tinggi terhadap Malaysia.

Abdullah berkata beliau menjelaskan kepada mereka bahawa kemajuan ekonomi dan perpaduan kaum di negara ini dicapai hasil usaha gigih kerajaan, termasuk dalam menangani masalah yang timbul daripada semasa ke semasa.

Menurutnya, banyak pemimpin negara lain berminat mempelajari selok-belok perancangan dan pelaksanaan agenda pembangunan negara.

"Mereka mahu menghantar pelajar dan pegawai mereka, pasukan perancang mereka untuk datang dan belajar bagaimana kita merancang dan melaksanakan rancangan kita," katanya.

Abdullah berkata sebab itulah pegawai dan kakitangan kerajaan mesti melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya supaya tidak berlaku situasi "indah khabar dari rupa".

"Dengarnya hebat dan baik benar, tapi datang tengok tak macam tu pun. Ini tentulah memalukan -- indah khabar dari rupa. Kita mahu kalau khabar baik rupa pun baik," jelas beliau.

- BERNAMA05 Mac, 2007

http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=249718

1 comment:

lamandau said...

This is not the type of 'sombre' statement I expected from PM, Datuk! I expect more solid and assertive one in order to cease the present polemics between Timb.Menteri and IGP! Kalau macam ni,lebih berani lagi lah pegawai2 kerajaan berdebat dgn political bos melalui media! Enough is enough. It dawn on me that the polemic is being blessed by higher up so as to prove to us that they walk the talk on tranparencies!!
Kalau semua tomahan yang dibuat melalui blog internet tanpa mengetahui tuan penulisnya, hendak di siasat, maka sama lah kita melayan surat layang tanpa nama penulis , yang bagi saya hanya layak dibakul sampah. Para bloggers yang mempunyai maklumat salah laku penjawat awam dsbg-nya,hendak lah berani tampil membuat laporan dan jangan berselindung disebalik alam maya(cyber world). Itu pengechut namanya! KAlau dibiarkan, maka letihlah para penegak undang2.
Jangan ingat pihak berkuasa tidak dapat trace penulis blog/ penyumbang kepada blog! Itu kerja polis, telah di latih dalam cyber crime.Buat macam sesetengah individu yang berani tampil mengemukakan aduan. Baru gentleman !Salam Datuk!!