Friday, March 23, 2007

Anggota Parlimen
Cadang Penubuhan
Jawatankuasa Khas
Kaji Kebebasan Media

[bernama.com]

KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Seorang anggota Parlimen mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mengkaji tahap kebebasan media dan undang-undang berkaitan pengamal media di negara ini.

Wong Nai Chee (BN-Kota Melaka) berkata jawatankuasa yang dicadangkan itu perlu mengkaji semula undang-undang berkaitan media seperti Akta Percetakan dan Penerbitan, Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Akta-akta ini bertindih antara satu sama lain menyebabkan pengamal media boleh menjurus kepada membuat penilaian sendiri dalam sesetengah laporan berita yang dihasilkan.

"Media sepatutnya memainkan peranan yang seimbang (dalam membuat laporan) dalam sebuah negara demokratik," katanya ketika berucap membahaskan usul titah ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.
Wong berkata sudah tiba masanya bagi pengamal media diberi kebebasan dan hak untuk membuat laporan berita tanpa adanya pilih kasih atau perasaan takut.

Bagaimanapun, katanya ini bukan bermakna media diberi kebebasan mutlak dalam menghasilkan berita.

Kebebasan media katanya bertujuan untuk melahirkan masyarakat yang lebih terbuka dan supaya maklumat yang tepat disampaikan kepada masyarakat.

Mengenai kebebasan untuk mendapatkan maklumat, Wong berkata masyarakat sepatutnya diberikan hak untuk mendapatkan akses kepada dokumen-dokumen tertentu seperti laporan penilaian alam sekitar dan perjanjian konsesi tol yang sewajarnya didedahkan kepada umum.

"Hanya maklumat-maklumat seperti pertahanan dan keselamatan, kabinet serta mesyuarat jawatankuasa negeri yang sepatutnya dikategorikan sebagai maklumat rahsia," katanya.

- BERNAMA
http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=252833

Komen:

Syabas. Harap-harap YB Wong juga perjuangkan kebebasan kewartawanan rakyat menerusi blogs dan portal berita tempatan, yang sememangnya bebas, tetapi sedang diancam kejahilan sesetengah pihak terhadap perkembangan demokrasi siber yang sedang menuju kematangan dan kedewasaan di Malaysia.

Saya memang mendukung prinsip kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara di negara ini. Syaratnya, kebebasan itu mestilah berasaskan ciri-ciri kebebasan yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, mestilah berasaskan prinsip “ di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”, dan mestilah berasaskan kepelbagaian sensitiviti setempat.

Ini kerana pada hakikatnya, memang tiada kebebasan yang absolute di dunia ini. Ini kerana istilah ‘kebebasan’ dalam sains politik adalah berlainan perspektifnya dari satu negara ke satu negara yang lain. Ini juga kerana kebebasan sewajarnya memanifstasikan dan mempastikan bahawa tindakan itu tidak akan memudaratkan mana-mana pihak, tidak menjejaskan keharmonian rakyat jelata, dan tidak pula mengancam keselamatan sesuatu negara.

Media barat, waimah di Amerika Syarikat sekalipun, sebenarnya tidak bebas, sebebas-bebasnya. Hakikat ini kelihatan amat jelas sekali pada ketika ini, terutama sekali sesudah AS melancarkan perang anti-terorisme antarabangsa – satu perang untuk memenuhi sikap rakus puak neo-conservative berlandaskan doktrin zionisme sejagat.

Lantaran itu, media barat jelas amat prasangka dalam laporannya ketika ini. Laporan mereka seolah-olah menghalalkan perang terorisme dan juga menghalalkan kerakusan kapitalis dan zionis untuk menguasai sumber petroleum dunia, dan sekaligus memporak-perandakan dunia Islam.

Oleh itu, dalam kita memperjuangkan kebebasan akhbar [termasuk kebebasan kewartawanan siber] di Malaysia, seluruh pihak yang terlibat dalam media cetak, media elektronik dan media siber, mesti bertindak bersandarkan Perlembagaan Malaysia. Matlamatnya pula adalah demi kesejahteraan, kemerdekaan, kemakmuran dan kedaulatan negara kita yang tercinta!

Oleh itu, kebebasan bersuara dan kewartawanan siber juga wajar dilandasi disiplin diri dan etika peribadi yang bersemadi di setiap jiwa pengamalnya. Ini akan mengelakkan ekstremisme. Ini juga akan memunculkan kewartawanan siber dan kebebasan siber sebagai satu cabang demokrasi abad ke-21 yang berwibawa dan disegani di hari muka!
– Ruhanie Ahmad.

No comments: