Saturday, November 22, 2008

REVOLUSIKAN UMNO

Ruhanie Ahmad

Pada 29 September 1985, UMNO meminda beberapa fasal dalam perlembagaannya. Tujuan utamanya adalah untuk membanteras amalan negatif yang boleh menghancurkan parti. Ini termasuklah amalan politik wang, penyalahgunaan kuasa dan fitnah-memfitnah. Sepatah kata Allahyarham Tun Ghaffar Baba pada ketika itu, beliau tidak mahu politik wang menguasai UMNO.

Pada 1994, sebagai seorang ahli yang sentiasa menghadiri Perhimpunan Agung UMNO dari 1983, saya pun menyusun sebuah buku kecil berjodol Revolusi UMNO. Ini kerana saya dapati pindaan perlembagaan pada 1985 itu langsung tidak dihiraukan oleh segolongan ahli UMNO yang ghairah untuk memenangi sesuatu jawatan parti di semua peringkat.

Saya tegaskan dalam buku berkenaan bahawa reformasi pengurusan UMNO yang dicerminkan menerusi pindaan perlembagaannya pada 1985 terbukti gagal. Antara sebabnya ialah reformasi pengurusan itu tidak digandingi dengan reformasi dan revolusi minda para ahli-ahlinya.

Maka saya pun kemukakan beberapa cadangan untuk merevolusikan minda warga UMNO di semua peringkat. Antara yang strategik adalah seperti berikut:

Kolej Politik

Satu: UMNO hendaklah mewujudkan sebuah kolej politik supaya secara peringkat demi peringkat, seluruh pemimpin UMNO daripada cawangan hinggalah ke Majlis Tertingi diberikan kursus kepimpinan diri. Antara kurikulumnya adalah berkaitan dengan usaha mentakrif asas serta perjuangan parti, memupuk disiplin dan kepimpinan diri, mengenali sejarah perjuangan bangsa, penyemarakan semangat patriotisme, pengukuhan aqidah dan pembinaan intelek.

Saya membuat cadangan sedemikian kerana selama-lamanya UMNO tidak pernah mempunyai satu kurikulum kursus politik yang terancang, menyeluruh dan berkesan. Kalau ada pun kursus sedemikian, ianya dilaksanakan secara adhok dan ala-kadar sahaja. Impaknya, wang berjuta-juta ringgit hangus, tetapi mentaliti, kesedaran dan komitmen perjuangan segolongan besar warga UMNO masih di tahap mediocre.

Dua: Saya cadangkan supaya UMNO mempunyai satu badan talent scouting atau badan yang mencungkil bakat-bakat terbaik dalam semua cabang kehidupan di kalangan warga UMNO. Bakat-bakat yang dikenalpasti wajar dipupuk dan dimantapkan menerusi kursus-kursus keagamaan, kepimpinan, kenegaraan dan partiotisme.

Saya mencadangan perkara ini supaya bakat-bakat berkenaan boleh diketengahkan sebagai calon-calon pemimpin UMNO di abad ke-21. Mereka boleh dibimbing dan diketengahkan sebagai ketua di mana-mana peringkat, mereka boleh diketengahkan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara. Pada waktu yang sama, bakat-bakat ini juga boleh diketengahkan dalam kepimpinan sektor korporat dan sektor awam.

Talent Scouting

Menerusi pemupukan bakat ini, secara tidak langsung, bukan semua pemimpin UMNO di peringkat bahagian boleh secara automatik dipertimbangkan jadi ADUN, MP atau Senator. Sebaliknya, pucuk pimpinan parti boleh mengketengahkan sesiapa sahaja ahli UMNO yang sudah dipupuk bakat kepimpinan dan komitmen perjuangannya untuk dijadikan ADUN, MP atau Senator.

Dengan cara talent scouting ini, kuranglah pihak yang ghairah dan berebut-rebut untuk menjadi pemimpin bahagian sehingga tergamak mengamalkan rasuah politik. Dengan cara ini, UMNO akan mampu menampilkan individu dengan ilmu, pengetahuan dan pengalaman dalam sesuatu bidang khusus ke jawatan Menteri dan Exco Kerajaan Negeri. Dengan cara ini juga, akan berkuranganlah amalan politik wang di semua peringkat pemilihan.

Tiga: UMNO wajar menyediakan satu blueprint khusus untuk mengisi program perjuangannya di semua peringkat, daripada cawangan hinggalah ke Majlis Tertinggi. Blueprint ini merangkumi semua aspek kehidupan selaras dengan adanya berpuluh-puluh biro UMNO di semua peringkat.

Dengan cara ini, pengisian perjuangan UMNO dapat dilaksanakan secara terancang, menyeluruh dan berkesan. Dengan pengisian perjuangan seperti ini, UMNO benar-benar memasyarakatkan kewujudannya secara terus-menerus dan konsisten. Dengan cara ini, UMNO membantu pelbagai kementerian dalam kerajaan BN memasyarakatkan perjuangannya demi agama, bangsa dan tanahair.

Badan Penyelidikan

Demikianlah antara gagasan saya menerusi buku kecil berkenaan. Saya insaf bahawa gagasan berkenaan mungkin terlalu radikal dan regimented. Bagaimanapun, itulah cetusan minda saya bila saya dapati bahawa amalan rasuah politik kian menjadi-jadi di awal tahun 90-an.

Saya juga membuat gagasan di atas kerana UMNO adalah teras kerajaan dan pemangkin kejayaan Wawasan 2020. Sebab itulah UMNO memerlukan ketahanan parti yang kukuh dan murni. Lantaran itulah ketahanan parti pula perlu dipelihara serta dimurnikan sepanjang masa, lebih-lebih lagi apabila UMNO ketika itu menjadi wadah serta wahana perjuangan kepada lebih dua juta umat Bumiputera.

Sebab itulah reformasi pengurusan UMNO wajar digandingi dengan perubahan, reformasi, revolusi dan renaissance mental ke arah kecemerlangan. Jika tidak, saya bertanya sendirian, siapakah yang akan bertanggungjawab jika UMNO dibobrokkan oleh kesongsangan, kemungkaran serta penyelewengan sesetengah ahli dan pemimpinnya di hari muka?

Saya insaf bahawa saya hanya warga UMNO yang kerdil. Bagaimanapun, berlatarbelakangkan suasana hari ini, wajarlah sekali jika ada mana-mana pihak yang sudi merincikan gagasan dangkal ini.

Pada waktu yang sama, selaras dengan kehendak zaman, UMNO mestilah mempunyai satu badan penyelidikan dan pembangunan (research and development) di bidang siasah dan kenegaraan, lokal, regional dan internasional, yang efektif dan innovatif demi survivalnya mutakhir ini dan di hari-hari mendatang.

11 comments:

Panglima Perang Cyber said...

ada kawan2 suruh saya ajak u dtg join perbahasan bloggers pro BN vs pro PR..

inisiatif ini saya usahakan untuk mengumpul bloggers yg berani dan sedar realiti politik sekarang.

Add email saya, untuk kt beramah mesra dan bertukar fikiran dengan team kami ttg politik negara kita.

Kita mengkritik tidak bermakna kita bergaduh, bersetuju tidak bermakna semuanya kita angguk memberi restu.

Kita mahu bloggers menjadi pihak mempertahankan yang benar dan menolak yang salah. Dengan hikmah dan mauizah hasanah..

Berani berkata benar dan nasihat dengan hikmah seperti tauladan keluarga Rasulullah, itulah yg kita mahu dalam mengumpul bloggers utk sesi sidang alam maya ini..

Lagi banyak bloggers pro dan kontra bertemu sesama sendiri lagi bagus, untuk menajamkan lagi skill perbahasan dan pengetahun serta kefahaman kita terhadap sesuatu isu.

harap tuan blog sudi datang dan sy tahu tuan memang orang 'ada telur' untuk bertukar fikiran dgn sesiapa sahaja..

Sila add email saya panglimaperangcyber@yahoo.com

untuk agama,bangsa & negara kita !!

Waktu Rasmi : 9 pm

Waktu lain : bila2 masa bloggers online dan free untuk sidang.

sekian.


http://penembak-tepat.blogspot.com

nordin said...

Dato'

Selaku Ketua Pemerintah terhadap seluruh hamba rakyat, Yang Dipertuan Agong serta Majlis Raja Raja perlu memandang berat dengan menegur dan menidakkan perlantikan pimpinan kerajaan sekiranya berlaku sesuatu hal yang boleh memalukan negara dibawah pemerintahannya.

Ampun Tuanku, Raja adil Raja disembah .........

usop said...

tuan
syabas pada cadangan yang bernas itu.
tsunami gila kuasa dan harta benda benar benar telah melanda sebahgian besar pemimpin UMNO dan rakyat sentiasa menghakiminya. PRU 12 yang lalu, rakyat mula menjatuhkan hukuman kepada sikap bongkak dan egois dibeberapa negeri.
cadangan bernas dan idea yang besar selalunya akan menjadi bahan lawak saja, namun bila bumi yang mereka pijak sudah merekah dan mula menelan dirinya, barulah mereka sedar, cadangan dan idea besar tadi adalah yang sepatutnya mereka ikuti.

aruah datuk, aruah bapa dan aruah mak saya bersama dgn ribuan orang melayu keluar di bandar maharani menentang malayan union. bangkit mempertahankan maruah agama, bangsa dan raja raja melayu. namun inikah balasannya?

Pemimpin UMNO masih tak paham [ atau buat buat tak faham ] pada perubahan yang dimahukan oleh rakyat? Sejak awal tahun 2008 hingga kepenghujung tahun, nampaknya UMNO masih bergelumang dengan isu dan semakin hilang hala tuju...

Sukar benar ke untuk membuat sebuah kolej politik, Melatih pemimpin berbakat, membuka ruang untuk mereka yang layak dan bersih serta berjiwa besar, berhemah menjadi pemimpin, sedang kuasa dan sumber ada ditangan.

Tuan
Sealgi hati dipenuhi dengan 'dunia' selagi itu perjuangan pemimpin UMNO [ sebahgian ] akan dimulai dengan seronok, pertengahannya jemu dan bosan dan diakhiri dengan fitnah. Perlu ada dalam UMNO satu badan yang membuang sampah didalam sungai agar aliran airnya tidak tersekat dan kotor.

Tun Jeram said...

Salam,

Kalau kita percaya kepada "teori orang besar", revolusi mental itu hanya akan berlaku kalau UMNO ada pemimpin besar yang berwibawa dan berkarisme dan boleh "menggerakkan" revolusi mental tersebut.

Perbandingannya ialah dengan gerakan agama. Apabila lahir nabi besar yang seruannya didengar oleh rakyat, barulah revolusi mental boleh berlaku.

Dalam sejarah ada beberapa contoh. Tapi contoh yang paling tepat tentulah kelahiran Nabi Muhammad yang berjaya merevolusimentalkan umat manusia sejagat dengan agama Islam yang dibawanya.

Dalam politik juga saya kira begitu. Pemimpin agung itu mesti lahir atau muncul terlebih dahulu.

Pemimpin agung yang berwibawa dan berkarisme tentu tidak lahir pada tiap-tiap tahun. Tapi jika ada peluang untuk memilih dan mengganti pemimpin, pemimpin seperti itulah sepatutnya yang dicari dan diketengahkan; bukan pemimpin yang paling banyak menabur wang!

Berita dari gunung said...

Kita memang kerdil belaka. Setinggi mana pun, bila mati yang dikebumikan adalah sekujur jasad yang kerdil. Gubahan kubur yang cantik, indah tidak memadam hakikat kita memang kerdil.

Yang besar adalah sumbangan, amalan dan jasa. Dalam skop UMNO, siapa yang besar dan siapa pula yang kerdil.

Mungkin kita perlu lihat untuk apa itu UMNO. Dari awal, itulah satu-satunya gagasan yang bermakna untuk bangsa Melayu. Melayu bangun lepas merdeka kerana UMNO. Berjuta anak Melayu belajar tinggi kerana UMNO. Berjuta Melayu dapat hidup selesa juga kerana UMNO.

Memang rezeki dari tuhan, jika ada yang masih mahu melihat segala-galanya dari sudut itu. Tapi bukankah Melayu mudah lupa. Zaid sudah lupa. Anwar ingat dan lupa. Cita-cita menggila dan dengki menjadikan Melayu makin lupa.

Mereka lupa, bahawa secebis dari kelegaan melayu dalam dunia gelora berpunca dari UMNO. UMNO menyenangkan setengah pihak berbanding setengah yang lain. Tetapi UMNO belum lagi memusnahkan masyarakat Melayu.

Pemimpin agong adalah mereka yang berjaya menyatupadukan orang Melayu dan menjana kekuatan dan jatidiri Melayu. Setiap ancaman ditangkis.

Pemimpin yang lemah, jadi kecut dan longlai dalam tekanan. Pemimpin yang lemah juga kerap beransur dari menolak.

Umno perlukan revolusi. Ditangan ahli, kuasa sebenar. Memilih pemimpin yang kuat, gagah dan berpandangan jauh adalah revolusi yang dituntut. Politik wang, adalah manifestasi kepada ketamakan yang akhirnya memakan diri.

Pilih pemimpin yang kuat dan berpandangan jauh dan tolak politik wang. Rais Yatim bukan seorang diri.

Mas said...

Saya sangat bersetuju dengan cadangan Dato; terutama Talent Scounting. Kita tahu dalam UMNO talent bukan menjadi kriteria utama untuk dipilih sebagai pemimpin dan inilah yang menjadi punca UMNO dipimpin oleh mereka yang tidak layak dan hanya tahu bermain politik dan berkempen. Maaf bukan menghina, kebanyakkan pemimpin yang menjadi pelapis terdiri dari Setiausaha2 politik, setiausaha2 akhbar dan setiausaha2 peribadi Menteri. Mereka yang rapat dengan menteri ini menggunakan kedudukan untuk bertanding jawatan yang lebih tinggi dalam Pemuda, Bahagian dan Cawangan. First Generation dilihat dari barisan kabinet yang ada, yang dilabel Tun M sebagain 1/2p6 Ministers. Kurang separuh dari mereka layak memegang jawatan menteri. Second Generation, akan naik dari setiausaha2 mereka ini, mungkin dalam rombakan kabinet yang akan diumumkan nanti.

Bukan semua antara mereka ini layak kerana saya pernah bergaul dengan mereka semasa melakukan tugas di Parlimen. Ketika kita berada dalam Parlimen melaksanakan tugas, mereka duduk di kantin dan bersembang kosong - perempuan, politik dll. Mereka tidak mengikuti perkembangan dan persidangan dalam Parlimen. Tidak tahu bagaimana menyelesaikan masalah rakyat. Tidak ada pengetahuan tentang teknologi dan perkembangan ekonomi semasa. Mungkin, mereka melakukan networking, tapi bagi saya budaya ini meletakan mereka jauh dari proses penambahan ilmu dan persediaan menjadi pemimpin yang berwibawa.
Mas

nordin said...

Dato'
Adilkah sistem perundangan negara kita bilamana Sultan dan Raja Raja Melayu boleh didakwa dimahkamah sedangkan pemimpin UMNO kebal dengan undang undang negara serta bermaharaja lela mengaut hasil negara tanpa dibicarakan.

Siapa yang lebih kebal undang undang negara?

Seladang said...

Dato Ron yang dihurmati!

Inilah slogan yang lebihkurangnya maksudnya dilaongkan setiap kali pemilihan Umno berlaku. Hingga rakyat terutamanya ahli Umno jatuh menyampah .

Bagaimana pun tidak dinafikan jika orang seperti Dato berpeluang menduduki kerusi MKT Umno, kon rasa slogan itu mampu dibawa kalau tak penuh 50%.

A said...

Datuk Ron,

Secara peribadi saya memang telah mengikuti persidangan-persidangan parlimen ditahun 95, 96 dan 97 dahulu yang mana pada masa itu Datuk wakil rakyat Parit Sulong dan telah saya dengar dan lihat Datuk berbahas (walaupun ada ketikanya keras juga suara bila berbalah dengan pembangkang DAP khususnya), dan saya percaya Datuk mempunyai kewibawaan yang sepatutnya. Namun, tidak pula melihat Datuk menjadi ahli kabinet. Tetapi nampaknya, Noh Omar dan Datuk Husni Hanazdlah telah dinaikkan pangkat.

Walau apapun keadaannya sekarang, Datuk tidak punya banyak masa untuk menjadikan kandungan buku Datuk itu suatu kenyataan maka, saya cadangkan agar Datuk memulakan langkah untuk mengumpulkan beberapa orang yang mampu dan upaya serta bijaksana untuk menggembelingkan hasrat seperti terkandung didalam buku itu bersama-sama Datuk. Apa yang Datuk telah usahakan melalui buku itu sangat bernas dan sangat malang jika tidak dijadikan kenyataan.

Datuk tak perlukan ramai anggota, bilangan jari sebelah tangan sudah memadai. "Likeminded persons", dengan izin, itu yang Datuk perlukan sekarang. Saya percaya Datuk mampu mendapatkan sokongan dari dalam parti untuk menjayakan usaha ini.

Semoga Datuk berjaya didalam usaha ini dan mendapat kejayaan besar didalam usaha-usaha lain juga.

anonymous said...

saya cadangkan kepada datuk supaya mengadakan satu pertubuhan atau kumpulan yang di letak dibawah Agung bernama "malay custodian" atau "pemegang amanah melayu".
Satu badan atau pertubuhan yang monitor atau setidak tidaknya menasihatkan agung tentang keadaan melayu di peringkat akar umbi lebih kepada hak hak dan kepentingan melayu.

adibeta said...

YBhg Dato,UMNO dibentuk oleh dua katogeri iaitu ahli dan pemimpin.Sama ada UMNO kuat atau lemah, dua katogeri inilah yang menentukan.....

Dalam perkembangan mutakhir..kedua-dua golongan tidak menunjukkan komintmen yang padu dan jitu untuk mengangkat UMNO....

Walaupun dalam penentuan saf kepimpinan,ahli yang memilih pemimpin namun unruk 'mensempurnakan' parti, tidakkan wajib dimulakan oleh pemimpin.

Soalnya sekarang,bagaimakah laku dan pemikiran pemimpin-pemimpin kita.Apakah semua kena 'dimandi bungakan' barulah memahami kehendak ataupun kemahuan ahli dan rakyat terbanyak.

Apakah semuanya masih gah mengatakan tsunami PRU 12 bukan kerana sokongan terhadap PR tetapi undi protes untuk BN? Bagaimana kalau ianya dah berubah dan batul2 kepada PR?

Jadi sebenarnya "REVOLUSIKAN UMNO" sangat penting dan perlu,kena pada masanya.Namun yang lebih penting wujudkanlah keterbukaan dan muhasabah diri .Jati diri,intergirti dan kesedaran dalaman tidak boleh dijual beli dan itulah sebenarnya dipunyai oleh pemimpin2 terdahlu......

Sebagai ahli atau pemimpin kita masih mempunyai masa untuk mengamalkan dan mengamalikannya...

Jangan tunggu tsunami kedua....

Renung-renungkanla,
Kg Dewan Beta,KB,Kel