Siri Tiga:
ABDULLAH DAN GEOPOLITIK:
Tekanan Awal Dari Amerika Syarikat
Ruhanie Ahmad
Soal sensitiviti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terhadap perkembangan geopolitik serantau adalah penting terhadap kemerdekaan, kedaulatan dan survival Malaysia di abad ke-21. Ini kerana dalam abad inilah Amerika Syarikat (AS) mula memfokus semula hegemoninya ke Asia.
Seluruh perincian hegemoni AS ini terkandung dalam beberapa dasar dan dokumen penting karya kumpulan neo-conservative yang amat menyokong zionis yang kini menguasai pentadbiran Pentadbiran Presiden George W Bush.
Antara intisari penting dasar dan dokumen ini ialah: di abad ke-21, AS perlu mewujudkan hegemoninya di Asia - Asia Barat, Asia Tengah, Asia Selatan dan Asia Tenggara - untuk membolehkan AS terus menjadi superpower yang mampu mengimbangi kebangkitan Republik Rakyat China sebagai gergasi ekonomi di Asia Timur.
Hegemoni AS ini dipakejkan menerusi strategi ketenteraan yang dirangkumkan dengan matlamat AS menguasai seluruh telaga minyak dan gas di Asia, menguasai seluruh perairan kritikal yang jadi laluan utama kepada pengangkutan produk petroleum ke Asia Timur dan Lingkungan Pasifik, dan menguasai seluruh peluang mengeksploitasikan telaga-telaga baru minyak dan gas yang sudah dikenalpasti di wilayah Asia Tenggara.
Untuk mencapai hegemoni ini, AS menggunakan pelbagai strategi. Antara yang relevan di Asia adalah menerusi Peperangan Antiterorisme Global (PAG) seperti di Afghanistan dan Iraq.
Di Asia Tenggara, hegemoni ini diwujudkan menerusi PAG lawang kedua mulai Januari 2002 yang dilaksanakan menerusi penyebaran propaganda hitam, adu-domba, operasi hitam, operasi bendera palsu, tipuhelah, pembohongan, subversion, ugutan, sabotaj dan espionage. Sebilangan besar strategi AS di Asia Tenggara kini dipercayai sedang dilakukan oleh AS menerusi khidmat beberapa negara sekutu atau proksinya.
Berasaskan latarbelakang di atas, saya pun terus merungkai seluruh kemungkinan AS cuba mewujudkan hegemoninya di Malaysia menerusi subversion, espionage, ugutan, manipulasi ke atas kerajaan dan kepimpinan negara, atau pun menerusi kemasukan modal pelaburan menerusi proksi-proksinya.
Proses merungkai bukti-bukti ini saya lakukan kerana Malaysia adalah satu-satunya negara yang strategik kepada AS di Asia Tenggara. Hakikatnya begitu kerana Malaysia adalah ngara pesisir kepada Selat Melaka yang jadi laluan tanker petroleum menuju ke Asia Timur. Malaysia juga adalah negara pesisir utama kepada Laut China Selatan di mana pelantar benua di perairan ini sudah dikenalpasti sebagai kawasan yang mempunyai rizab minyak dan gas yang besar.
Oleh sebab itulah AS seolah-olah bermati-matian dalam usahanya untuk menguasai Malaysia. Ini kerana AS pasti akan gagal menjadi superpower yang boleh mengimbangi Republik Rakyat China jika AS gagal menguasai Malaysia walau dengan apa cara sekalipun di abad ke-21. Ini juga kerana AS amat khuatir jika Selat Melaka dan Laut China Selatan dikuasai oleh negara-negara yang tidak mesra kepada cita-cita mewujudkan hegemoninya di Asia Tenggara.
Dalam proses perungkaian ini - sebahagiannya telah di dihuraikian dalam siri satu dan dua - saya temui satu lagi contoh mengenai kemungkinan AS cuba memanipulasikan Abdullah dan kerajaan Malaysia. Contoh ini disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 20 Disember 2003, seperti berikut:
WASHINGTON 19 Disember 2003: - Jabatan Negara Amerika mengenal pasti Malaysia sebagai antara sembilan negara yang mempunyai undang-undang atau dasar yang menyebelahi agama tertentu dan tidak berlaku adil kepada agama lain.
Laporan Kebebasan Agama Tahunan Kelima yang dikeluarkan oleh jabatan itu pada Khamis berkata undang-undang dan dasar sedemikian telah menghalang kebebasan beragama.
Laporan yang menimbulkan kontroversi itu juga meletakkan Belarus, Brunei, Eritrea, Indonesia, Israel (termasuk kawasan yang didudukinya), Moldova, Rusia dan Turki dalam kategori yang sama.
Mengenai Malaysia, laporan itu menyebut: “Islam adalah agama rasmi walaupun Perlembagaan memperuntukkan kebebasan beragama.”
“Kumpulan minoriti bukan Islam pada umumnya bebas beribadat dengan dikenakan beberapa sekatan termasuk berhubung pembinaan tempat ibadat dan tanah perkuburan.”
Laporan itu mendakwa kerajaan Malaysia memantau kegiatan penganut Syiah, yang merupakan kumpulan minoriti, serta “mendakwa berhak menahan anggota kumpulan yang dianggapnya menjadi pengikut ajaran sesat iaitu mereka yang bukan terdiri daripada pengikut ahli sunnah waljamaah.”
Laporan itu juga mengkritik Malaysia kerana menghalang umat Islam daripada menukar agama.
Laporan itu diperakukan oleh Kongres dan boleh menjejaskan hubungan serta bantuan Amerika terhadap negara terbabit. - Bernama
Kenyataan di atas disangkal oleh Abdullah menerusi laporan Utusan Malaysia 20 Disember 2003 seperti berikut:
KUALA LUMPUR 19 Disember 2003: - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak faham apakah asas Jabatan Negara Amerika menyenaraikan Malaysia antara sembilan negara yang tidak mengamalkan kebebasan beragama.
Perdana Menteri berkata, jika negara itu membuat tinjauan di kalangan rakyat bukan beragama Islam di negara ini, sudah pasti mereka mengetahui bahawa dakwaan tersebut adalah tidak betul.
“Cuba tanya (rakyat Malaysia) yang beragama Kristian dan yang beragama Buddha, kalau saya cakap dia tak percaya.
“Tanya orang lain, baru mereka diberitahu bahawa di Malaysia ini ada agama-agama lain sampaikan kita merayakan hari kebesaran mereka,'' katanya.
Abdullah mengulas laporan wakil Bernama di Washington yang menyebut bahawa Jabatan Negara Amerika mengenal pasti Malaysia sebagai antara sembilan negara yang mempunyai undang-undang atau dasar yang menyebelahi agama tertentu dan tidak berlaku adil kepada agama lain.
Saya kagum kerana Abdullah berani menyangkal kenyataan di atas. Tetapi, kenyataan yang sama juga tetap membuktikan bahawa sebaik sahaja Abdullah jadi Perdana Menteri, AS memang seolah-olah mula berusaha untuk campur tangan dalam urusan dalaman Malaysia. Sebelum ini tidak pernah kedengaran mana-mana kuasa asing mempersoalkan Perlembagaan Malaysia, waima dalam konteks apa sekalipun.
Oleh itu, soal yang berbangkit daripada dakwaan AS terhadap Malaysia seperti di atas adalah: Apakah motifnya? Mengapakah AS memperbesar-besarkan isu berkenaan di era kepimpinan Abdullah? Mengapakah tidak pernah soal yang sama ditimbulkan oleh AS di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad? Mungkinkah niat AS dalam konteks ini adalah untuk menggertak Abdullah supaya akhirnya beliau mengikut sahaja seluruh kemahuan AS dan sekutu rapatnya di seberang Selat Teberau?
Berasaskan kenyataan-kenyataan AS yang dihuraikan dalam siri satu dan dua tulisan ini, tidak mungkinkah kenyataan AS di atas juga adalah hasil suatu perancangan rapi yang bertujuan “mengugut” Abdullah supaya akur dan setia kepada AS yang mahu mewujudkan hegemonia di Malaysia?
Pada waktu yang sama, mungkinkah AS kini berusaha memanipulasikan Abdullah kerana sebelum ini AS gagal menguasai Mahathir? Sebaliknya, Mahathir pula menjadi antara negarawan dunia yang paling lantang dan berani mengkritik dasar-dasar AS, terutama sekali sewaktu AS memerangi Afghanistan dan menjajah Iraq, kononnya atas alasan memerangi apa yang mereka propagandakan sebagai kumpulan teroris Islam antarabangsa.
Seluruh persoalan di atas juga signifiken kerana Abdullah mewarisi tampuk kekuasaan kerajaan sewaktu Malaysia menjadi pengerusi NAM dan OIC, dua pertubuhan dunia yang sentiasa dicurigai oleh AS dan sekutunya. Jika Abdullah tidak digertak, tidak dipulas tangan, tidak diugut secara halus dan tidak dimanipulasikan dengan apa cara jua sekalipun, Abdullah mungkin mampu menggerakkan kedua-dua pertubuhan dunia ini selaras dengan aspirasi anggota-anggotanya yang memang curiga, sinis dan kecewa terhadap AS dan keterlanjurannya di abad ke-21.
Akhir kata buat siri ini, fikir-fikirkanlah sama ada cita-cita AS untuk menguasai Malaysia, walau pun tidak menerusi PAG, tetapi menerusi tipuhelah dan subversion, sudah mula kita rasai sekarang?
Fikirkanlah mengapa dalam era Abdullah, armada perang AS yang berulang-alik ke Asia Barat diizinkan melalui Selat Melaka dan juga diizinkan berlabuh di Pelabuhan Kelang?
Fikirkanlah mengapakah Abdullah seolah-olah tidak sensitif bila Halliburton, sebuah syarikat petroleum yang berkait rapat dengan Dick Chenney selaku Naib Presiden AS, diizinkan melabur di Iskandar Malaysia. Tidakkah Abdullah insaf bahawa syarikat ini juga memainkan peranan besar dalam PAG di Iraq? Fikir-fikirkanlah segala-galanya. - [bersambung dalam siri empat]
2 comments:
Geopolitik adalah permainan besar. Dalam ruang ini, negara bersaing dan melebarkan pengaruhnya.
Ada negara yang kuat dan akan ada negara yang akan tunduk melutut. Dalam senario inilah waktu dulu, emas dikumpul dijadikan daun. Lalu Ufti dihantar saban tahun.
Polis kecil menangkap pencuri ayam. Polis pada peringkat tinggi melihat hal besar. Espionage dan subversion adalah mainan mereka, kita difahamkan. Polis pun ada maklumat. Apa guna ada perisik?
Dalam permainan geopolitik, kita akui negara kecil boleh dikuis. Tindak tanduk Malaysia dengan negara kecil yang kaya, Singapura, kini diterjemahkan oleh sesetengah sebagai amat MALANG. Apatah lagi permainan geopolitik dengan Amerika Syarikat! Tidak ramai yang sanggup bertahan hingga digantung seperti Saddam.
Kalau isu tok ketampi dalam lokap pun pemimpin kita boleh terloncat-loncat, apa lagi nak diharapkan.
Geopolitik adalah permainan umpan mengumpan, suap menyuap, belit membelit. Ramai sudah yang kena ikat teloq dalam permainan geopolitik. Abdullah terdaya?
Rekod tok ketampi adalah bukti kekuatan dan kemahiran pemimpin kita. Mengecewakan tapi benar.
Saya kagum mengikuti kupasan Datuk pasal AAB dalam konteks geopolitik serantau. Selepas membaca tiga siri tulisan Datuk, saya khuatir yang kerajaan kita memang dah disusupi agen-agen asing - baik Singapura, AS atau sesiapa sekalipun. Dalam keadaan macam ni, rakyat akar umbi perlu diinsafkan dengan karenah dan muslihat di sebalik geopolitik mainan AS dan zionis ini. Soalnya, adakah AAB sendiri insaf akan hal ini???
Post a Comment