Friday, June 27, 2008


KEMBALILAH PANGLIMA JEBAT
MERAWAT UMNO YANG TENAT

Posting ini saya dedikasikan kepada Saudara Zainal Sikum @ Unggal - seorang sahabat lama saya di High School Muar, Johor - yang kini menetap di London. Hari ini Unggal melayarai kuda-kepang dan meninggalkan komen bahawa “as for now, many Melayu have left UMNO.”

Saya tidak akan jawab komen di atas. Sebaliknya, saya harap Unggal dan seluruh sahabat saya di merata tanahair, fahamilah maksud tersirat di sebalik posting ini yang saya petik daripada epilog kepada buku terbaru saya yang akan terbit tidak lama lagi, seperti berikut:

Saya pernah melalui hidup di zaman darurat di era Penjajahan British. Dari pengalaman peribadi, zaman itu bolehlah ditakrifkan sebagai suatu fasa kehidupan rakyat jelata yang sentiasa diancam bahaya keganasan, kekejaman, kezaliman, kemaharajalelaan dan kedurjanaan pengganas bersenjata Parti Komunis Malaya (PKM). Di Mukim Empat, Batu Pahat, Johor, pengganas komunis ini lebih dikenali sebagai Komunis Bintang Tiga.

Walaupun ketika itu saya masih mentah, saya tetap menginsafi bahawa kehidupan dalam zaman darurat adalah fasa kehidupan yang sangat-sangat menuntut seluruh rakyat di kampung saya untuk memiliki peraturan, disiplin, matlamat, nilai, mindset, semangat dan jiwa perjuangannya yang tersendiri.

Seluruh tuntutan ini pula mestilah berasaskan prinsip kesamarataan, perpaduan, kerukunan, permuafakatan dan kesukarelaan. Hakikatnya begitu semata-mata untuk menjamin keselamatan nyawa dan survival seluruh penduduk kampung seandainya gerombolan Komunis Bintang Tiga datang menyerang, mengganas, membunuh dan membinasa dengan secara tiba-tiba.

Survival

Lantaran itu, seluruh penduduk kampung - kecil dan besar, tua dan muda, miskin dan kaya - dimestikan menggemblengkan minda, semangat, jiwa dan tenaga pada setiap masa. Seluruh arahan mesti diikuti, seluruh peraturan mesti dipatuhi, seluruh tuntutan mesti dipenuhi, seluruh larangan mesti dijauhi. Seluruh kemestian ini jika diengakari dan jika dikhianati, akan hanya berakhir dengan kematian dan kemusnahan.

Sebab itulah penduduk kampung saya di zaman itu sentiasa bersiap sedia, waspada dan siaga dalam melaksanakan tanggungjawab memelihara keselamatan kampung dari ancaman gerombolan Komunis Bintang Tiga.

Pada ketika itu juga penduduk kampung saya mempunyai satu set prosidur survival yang cukup rapi, berkesan serta mudah untuk diamalkan dan dipatuhi. Contohnya, adalah sistem amaran mengenai kedatangan musuh di waktu malam. Bila kami terdengar bunyi kentong bertalu-talu di tengah malam buta, itulah tandanya kami mesti segera bangun dan terus lari daripada rumah masing-masing dan bersembunyi di tempat yang selamat. Selepas itu, bila kami terdengar bunyi kentong dengan rentak yang agak lunak, itu maknanya kami boleh pulang ke rumah masing-masing kerana keadaan sudah bebas dari ancaman musuh.

[Nota: Kentong adalah sejenis alat semboyan tradisional jawa yang diperbuat daripada kayu. Sila sebut ken seperti dalam perkataan kenalan dan tong seperti dalam perkataan kelentong]

Begitu juga dengan sistem catuan makanan. Seluruh penduduk kampung dilarang menyimpan makanan berlebihan di rumah masing-masing. Sebab itulah kami terpaksa melalui sistem catuan beras kerana khuatir beras yang berlebihan akan jatuh ke tangan musuh yang lazimnya berkubu di bukit bukau, hutan belantara dan belukar di pinggiran kampung.

Berkorban

Pendek kata, waktu di zaman darurat, seluruh penduduk kampung memang dituntut untuk berkorban dengan penuh disiplin demi survival masing-masing. Dan, pengorbanan itu pula mestilah total, ikhlas dan abadi.

Demikianlah serba ringkas coretan hidup saya di zaman darurat. Iktibar yang hendak saya kongsikan daripada fasa kehidupan di zaman itu ialah: setiap anggota masyarakat yang hidup di zaman darurat sentiasa dituntut mematuhi seluruh peraturan dan arahan, sentiasa dituntut bermuafakat dan bekerjasama, sentiasa dituntut berkorban dengan penuh disiplin, secara total, ikhlas dan abadi.

Pendek kata, masyarakat yang dalam darurat mesti dijauhi daripada sebarang pengkhianatan serta sikap tamak, haloba, hasad dan dengki. Tuntutannya begitu kerana yang jadi pertaruhan kepada perjuangan anggota masyarakat yang dalam darurat adalah survival, keselamatan dan nyawa seluruh anggota masyarakat berkenaan.

Hari ini kita tidak lagi hidup dalam zaman darurat. Kita merdeka, aman, makmur dan sejahtera. Tetapi, seluruh warga UMNO sebenarnya sedang berada dalam era darurat politik. Akibat ledakan emosi, marah dan kecewa terhadap kepimpinan negara, segolongan warga UMNO telah pun memilih untuk berkelana buat sementara daripada semangat dan jiwa perjuangan UMNO.

Perkelanaan ini dilakukan bukan untuk menderhaka atau mengkhianati sesiapa. Tindakan ini dilakukan untuk memberikan isyarat yang amat serius dan cukup jelas kepada pucuk pimpinan UMNO bahawa wadah perjuangan UMNO mestilah dibersihkan daripada segala bentuk kepura-puraan, penipuan, kedurjanaan, pembohongan dan penghkianatan. Tindakan ini juga terpaksa dilakukan untuk menyingkirkan seluruh kelompok penipu, pembohong, durja dan pengkhianat daripada UMNO.

Kini, misi hati dan jiwa itu sudah dilaksanakan dengan jayanya. Kini seluruh barisan pejuang yang berkelana mesti segera kembali ke pangkuan UMNO yang dalam darurat akibat ledakan emosi, marah dan kecewa. Kini, UMNO perlu dirawat dan dipulihkan dengan segera. Kini seluruh angkatan jebat yang berkelana buat sementara waktu dalam tempoh PRU12 mesti kembali ke medan juang yang asal dan memberikan semula perjuangan mereka yang total, ikhlas dan abadi kepada UMNO.

Angkatan Jebat

Mudah-mudahan, kembalinya semula seluruh angkatan jebat ke pangkuan UMNO akan berjaya mengusir seluruh penipu, pembohong dan pengkhianat lari lintang pukang dan keluar untuk selama-lamanya daripada gelanggang perjuangan yang keramat yang diwarisi daripada datuk nenek kita sejak zaman berzaman.

Bagaimanapun, seluruh angkatan jebat mestilah kembali dengan satu ikrar panglima bahawa UMNO perlu diremajakan semula dengan semangat juang yang membara dan visi perjuangan yang nyata. Segala-galanya mesti segera dilaksanakan demi manfaat agama, bangsa dan negara.

Dan insaflah, bila sudah kembali, terapkanlah gaya perjuangan masyarakat yang dalam darurat yang sentiasa mematuhi seluruh peraturan dan arahan, sentiasa bermuafakat dan bekerjasama, dan sentiasa berkorban dengan penuh disiplin, secara total, ikhlas dan abadi.

Insafilah, sesuatu perjuangan di era darurat mestilah jauh daripada sebarang pengkhianatan serta sikap tamak, haloba, hasad dan dengki. Tuntutannya begitu kerana yang jadi pertaruhan kepada perjuangan dalam darurat adalah survival, keselamatan dan nyawa. Kepada warga UMNO, survival, keselamatan dan nyawa yang dimaksudkan adalah survival, keselamatan dan nyawa UMNO dalam konteks politik Malaysia di era pasca PRU12.

Saya pasti Unggal yang berasal daripada Lenga, Muar, faham maksud posting di atas. Lenga pun pernah dikategorikan sebagai kawasan hitam di zaman darurat dulu. Lengan dekat dengan Pagoh dan beberapa batu sahaja jauhnya daripada Bukit Kepong. Semua kawasan ini adalah tempat permainan Mat Indera, komunis Melayu yang akhirnya dibunuh hanya dengan memakan daun kecubung! - Ruhanie Ahmad

11 comments:

CUCU TOK KEDU said...

Dato Ron yang dihurmati!

Umno menggunakan falsafah Tuah selama ini - Pantang Melayu Menderhaka! - Tak Kan Melayu Hilang Di Dunia!

Melayu tidak hilang di dunia. Umno juga tidak hilang! Tapi kuasa Umno semakin hilang. Kerana apa? Kerana tamak haloba sombong angkuh kronislisme dengki khianat rasuah para pemimpin Umno dan salah guna kuasa.

Pada siapa Melayu tidak boleh menderhaka? Apakah Melayu tidak boleh menderhaka pada pemimpin yang seperti disebutkan di atas?

Kerana itu ahli-ahli Umno menjadi Jebat!

Apakah falsafah Jebat? Jika adil ianya diturut, jika zalim ianya dilucut!

Adakah pemimpin Umno hari ini bersedia dengan menerima falsafah Jebat itu? Sedangkan pemimpin Umno bermatian-matian mempertahankan sifat-sifat yang disebutkan diatas tadi.

Inilah masalahnya Dato! Walaupun cadangan Dato untuk menjemput Jebat-Jebat kembali ke pangkuan Umno dan meremajakan semula Umno namun Tuah dan Jebat akan terus bertempur kerana berlainan falsafah!

http://rp-semantan.blogspot.com

CUCU TOK KEDU

Unggal said...

Assalamu'alaikum wrbkth.

YB Datuk,
Terima kasih diatas dedikasi penulisan untuk saya. Untuk makluman Datuk, saya tidak pernah lali dari melayari blog kuda-kepang dan puteramaya, sekiranya ada ruang masa untuk saya membaca dan memahami dunia politik Malaysia masa kini. So, keep on writing Datuk...

Apabila membaca dedikasi epiloq buku terbaru Datuk, berlinangan airmata ini...mengingati cerita silam. Antara kita Datuk, tidak jauh perbezaan umur kita. Tahun hadapan genaplah umur saya 60tahun untuk bersara dan pulang ke kampong. Namun, saya masih anak kampong. Saya bukan ibarat kacang yang lupakan kulit. Saya masih ingat segala susah payah, penderitaan dan pengorbanan arwah bapak dan ibu. Saya juga mengalami segala penderitaan seperti Datuk. Saya dibesarkan dengan lagu Jepun dendangan arwah bapak yang pernah ditangkap dan dipaksa menjadi buruh tahanan tentera Jepun selama 6 tahun di Kacanaburi, membina jambatan Bridge on River Kwai.

Saya dilahirkan di sebuah ladang estet (Lanadron Estate) di Panchor, mukim Pagoh dan bukan Lenga. Untuk ingatan kita bersama - arwah Hj.Yusof dan Khalid Ahmad dan Ibrahim Yasin(Lenga), Hamidon Ali (Pagoh)juga Suppiah & Muthusamy, sementara Datuk Wahab Maskan dari Sri Menanti, Muar.

Setelah arwah bapak dibebaskan dan kembali ke tanahair dan berkahwin dengan ibu yang telah hampir 77 tahun ketika ini, sejak kecil saya menjadi penoreh getah untuk membantu ayah, makan biji getah rebus dan ubi rebus jika ada. Dengar ketukan 'Kentong' semua lari bersembunyi kecuali mereka, anak2 murid Kiyai Salleh, Kiayi Datuk Hj.Shamsuddin & Guru Silat Wak Sa'at yang sanggup dn berani menjadi jagoaan. Arwah juga turut sama menjadi seorang SC (special constable) dan arwah juga pernah menjadi AJK UMNO kawasan ketika itu. Dan saya menjadi tukang sibuk, jadi ahli rukun-tetangga di kampong. Apabila saya diterima masuk ke Form 1 di High School Muar, mulalah saya mengayuh basikal setiap hari dari Panchor ke Muar (sejauh 36 batu pergi-balik melalui hutan dan jalan kampong) berlepas sebelum subuh dan kembali selepas tengahari untuk bersekolah Agama pula di kampong yang mana ketika itu, guru besarnya ialah arwah Cikgu Md.Yassin, bapak kepada Tan Sri Muhyidin, selama 3 tahun. Saya mula mengenali Datuk apabila saya diterima masuk ke Form 4 dan mendiami asrama High School bersama Datuk selama 2 tahun menjadi room-mate. Dan mulalah titik perkenalan kita berlanjutan ke MIT hinggalah kini.Insyaallah..

Kini telah hampir 33 tahun saya mencari rezki di rantau orang dan setiap kali berkesempatan untuk pulang bercuti - namun kampong saya, kawasan Muhyidin, masih seperti dulu, tidak perubahan. Pembangunan 'light industry' di Pagoh, membawa banyak penderitaan, seperti dadah, gejala matrempit, pecah rumah, pembunuhan dsbnya kepada penduduk kampong. Munkin, this is the price of progress..!!!.

Orang Melayu UMNO masa kini, bukan lagi jadi Jebat...tetapi cucu Tuah seperti enau di hutan, melepaskan pucuk masing-masing..!! Orang Melayu, yang kononnya menjadi 'tuan' di negara sendiri sudah mula bongkak dan angkuh...menjadi seorang belanda?.. portugis?.. yang membeli tanah dengan seekor dua kambing yang dilapah kulitnya untuk menjadi tali sebagai kayu pengukur rentang keluasan kawasan...!!..

Maaf Datuk, I mean no disrespect to UMNO..but UMNO masakini, in the words of ex-ministers and excos negeri yang bertandang ke rumah saya pernah berkata. "Kalau you nak cepat kaya, balik, masuk UMNO... Kalau menang bertanding, sudah dapat elaun dan imbohan.. Kalau kalah satu penggal dah dapat Datukship... boleh sign document dan dapat fee untuk sesuatu projek..!!."

PRU yang lepas..orang Melayu tak pangkah UMNO. Orang Melayu in geneology, penuh budaya dan tatatusila ketimuran - namun on the whole, they need peace & solace...so they turn to religion sebagaimana pesan Rasulullah dalam Hajatul Wida' - "No Arab is better than non-Arab, whether they are of yellow, brown, black, green origin BUT in the Eyes of ALLAH, it is their TAQWA." Rakyat telah hilang kepercayaan dengan gelagat kebanyakan orang UMNO sendiri, bukan Datuk. Orang UMNO sendiri yang menghampakan harapan orang Melayu - kerana pemimpin UMNO yang telah dipilih masa kini, masing-masing nak tunjuk siapa yang lebih gah dan lebih kaya.
33 years living on the outside, I do admire, how the political leaders in the UK sanggup meletakkan jawatan demi ketidak sefahaman dengan policy dan misi parti..!!.. In Malaysia its the other way round.... remember Datuk, when you were the MP for Parit Sulong, you said to me how difficult it was for you to convince your UMNO Bahagian to release the funds for projects to improve your constituency and fulfil your promises to the kampong folks..!! Remember too, that with only $RM200/= Tun Mahathir lost..!!

I am no expert in politics Datuk, but Malaysia need Jebat like you and I hope I am able to be one, come my retirement day. But,how can this be, when I don't have the finance to buy the votes..!! Oh on that note, in the last PRU, the Borang Pendaftaran Undi arrived the UK ONE WEEK after the closing date..!!.

Salam Perjuangan
..........UNGGAL

Hang-Jebat said...

Tuan Hamba,
Hamba bersetuju benar dengan komen daripada sahabat di London itu. Sememangnya, di kalangan Melayu terutama pemuda seperti Hamba mula menjauhi UMNO. Namun, jauh di lubuk hati kami akan cintakan parti tunjang melayu ini. Dulu, parti inilah yang benar-benar berjuang untuk kepentingan Alif, Ba, Ta. Pada kami, UMNO kini bukan wadah perjuangan Melayu tetapi tempat untuk mencari pengaruh di kalangan pemimpin yang "talam dua muka". Apa guna menjadi ahli UMNO jika suara dan tuntutan kami dipinggirkan. Sudah jerih dan pedih teriakan kami di akar umbi tetapi apabila sampai di atasan, ianya disampaikan seperti bisikan manja untuk menidurkan sang pemimpin yang lemah. Jangan berikan kami "wang poket" untuk menutup mulut kami. Insya-allah, tokoh Pemuda seperti YB Batu Pahat dan YB Jerlun akan menemui penawar untuk mengambalikan UMNO sebagai Parti Terulung dan paling relevan selama-lamanya.
Tika itu, borang keahlian UMNO akan kehabisan stok untuk generasi muda berebut-rebut menjadi ahli.

1 said...

...dan yg memberi daun kecubung itu adalah atuk saya dan rakan2nya...

sebab itu saya faham kenapa arwah ayah saya pesan kepada kami agar tidak memberitahu generasi baru kami tentang kisah atuknya...katanya ada generasi Mat Indera yang mencari generasi atuk kami....Waullahualam.

Tapi itulah dunia orang MELAYU. Dan saya dah tak peduli dengan Melayu... apa yang penting ialah ORANG ISLAM.

Kita tak akan kemana kalau asyik fikir tentang MELAYU. Fikiran kita kena berubah untuk memikirkan tentang orang2 ISLAM dan ISLAM di Malaysia.....:-)

Tetuan Klinik Manir said...

Salam Dato'
Sayangnya pengalaman yang cukup baik untuk menjadikan seorang manusia itu manusia... tetapi bila yang dirawat adalah UMNO ia adalah perkara sia-sia kerana sebagai muslim, UMNO bukan lagi parti yang terbaik untuk dijadikan landasan perjuangan selagi ia mengekalkan dasar kebangsaan dan mengetepikan Islam. Saya lebih terbuka untuk berjuang atas dasar PAS kerana ia lebih universal, praktikal dan sesuai merentasi zaman. Meskipun ia dikecam dan direndahkan sedemikian rupa, namun bagi orang yang mencari dan memahami, bahawa perjuangan bukan atas nama dan harta benda, maka PAS adalah landasan terbaik.

Unknown said...

Khairy Jamaluddin merosakkan segala-galanya.......
Cuba kita selidik latar belakangnya. Datang dari silver spoon family,hanya terlalu pendek peringkat didikan di bumi melayu,upbringing dalam community international dan berpindah randah.Dia pada dasarnya adalah buta sebuta-butanya kepada kepada kata2 hikmah,semangat dan jiwa melayu UMNO sebenarnya. Yang ada hanyalah kelebihan con man dan pelakon terhebat zaman ini hingga anak Pak Lah terpesona......Selagi darah Jebat masih mengalir,kemusnahan yang dilakukan olehnya patut dihentikan dengan segera oleh ahli-ahli UMNO yang tulen.......

Unknown said...

Salam Datuk,

Kena tukar makna UMNO kepada UNITED MUSLIM NATION ORGANISATION. Hala tuju perjuangan diubahsuai daripada asyik layu dengan Melayu kepada perjuangan Muslim sejati. Perjuangan 100% kerana Allah dan Rasul. Dengan sendirinya PAS dan lain-lain parti serpihan melayu akan menyertai UMNO.

Sebab itu di Malaysia, orang tak tertarik kepada Islam. Ini kerana masuk Islam bererti masuk Melayu; seolah-olah Melayu itu lebih besar dari Islam. Melayu belum tentu masuk syurga tapi kalau Muslim insyaallah.

A Voice said...

Neither a Jebat nor a Tuah

A Malay hero should not be about brawny silat warriors but brainy patriots with guts.

Jebat was irresponsible and he rose just out of anger and revenge. Tuah was a obsess with blind loyalty and like today perpetuate evil, abuse, and destruction.

Jebat must die and Tuah buried forever.

Malay must change who they hero worship. Malay must learn objectivity and principled life. Malay mut learn to do things teh hard way but in the long term, we come out beneficial.

Unknown said...

Dato

Indeed it is very sad that many Malays still harping and hoping that UMNO is here to safeguard Malays interest first, Islamic religion second, and the Land third. UMNO is solely to fulfil the stomach of the to elites, i.e. the leeches and those link to the 100 families of the Bombers or "Garbages". Just look around you, how many UMNO grassroots living in top-notch income cruising in the Mercedes Benzes in huge mansions in the Kampungs where UMNO originally started. Not many, and the ones you can see are all standing tall after made grand killings (cheatings) of the same UMNO members. Just let UMNO die and forget about Jebat or Tuah, just name those roadside trees with these 'reputable names' as remembrance. It is the same UMNO police that rape the teenage girl, and expecting them to safeguard the Malays and the nation. Its like searching for Hippopotamus in the pond of mud when the UMNO Hippo is actually at The Satria Palace!

Quantum Metal Consultant said...

Dato'

Hang Jebat mana yang Dato' maksudkan dan nanti nantikan untuk pulang ke pangkuan UMNO, bukankah Si Jebat sudah agak lama bertapak di sisi PM, bukankah selama ini negara diperintah oleh Si Jebat ?
Bukankah gara gara di Jebat dan PM menyebabkan Hang Tuah kecewa dan keluar dari UMNO.

Usaha untuk membawa kembali Hang Tuah untuk disembah kepada DYMM Di Pertuan Agong adalah lebih afdhal daripada menyeru Si Jebat untuk memasuki UMNO.

Harap Dato' faham apa yang tersirat.

slyderrose said...

Orang melayu yg educated pun tak berubah mindset mereka. Masih lagi di dalam kepopong sempit mereka. kepopong hanya umno saja yg memperjuangkan melayu dan layak memerintah Malaysia. Ya lah, membersar dengan umno jadi nak berubah memang payah. Apa nak buat.

Memang setuju pandangan Dato Ron. Dalam umno sekarang ramai sangat kaki pengampu kununnya ala Hang Tuah. Tak berani menyuarakan kebenaran dan keadilan. Ialah politik Malaysia ini macam kisah si Dajal. Engkau sokong aku, engkau dapat habuan. Nak jadi Hang Jebat kena cold storage, silap-silap ada SB atau BPR datang menyoal. Bermacam pertuduhan, sampai yg tak isu dijadikan isu, dikorekan, dikenakan dengan clause yg menghalalkan cara.

Yg paling baik dihumban saja semua umno keseluruhan dan diganti dengan orang lain.
Umno parti melayu. Pemimpin umno ramai yg menjatuhkan maruah bangsa sendiri sampai diperlekehkan olih bangsa lain di dalam mahupun di luar Malaysia.

Tiada seorang pun pemimpin melayu yg berkeliber dan menyerlah di mata dunia kecuali seorang itu.