Sunday, June 29, 2008

DARI PANCHOR KE KOTA LONDON

Hari ini saya sambung kisah Zainal Sikum @ Unggal - anak Panchor, Muar, yang menetap di London sejak lebih 33 tahun lalu. Beliau dilahirkan di Lanadron Estate, Pagoh, Muar, Johor. Beliau adalah anak tunggal yang masih ingat akan segala susah payah dan penderitaan keluarganya di zaman darurat. Ketika itu, katanya, ada waktu-waktunya beliau sekeluarga hanya makan ubi kayu. Ada kalanya beliau sekeluarga hanya memakan biji getah sahaja.

Ayah Zainal pernah jadi buruh paksa tentera Jepun - enam tahun menyabung nyawa di hutan belantara Kacanaburi, di sempadan Thailand-Burna, untuk membina Jambatan River Kwai. Selepas itu, ayahnya jadi seorang SC (Special Constable) yang berjuang memburu pengganas komunis. Juga pernah jadi AJK UMNO.

[Untuk makluman Zainal, ayah saya pun pernah dikerahkan oleh Jepun ke Kanchanaburi, Thailand. Bila pecah Perang Jepun, ayah saya yang sebelum itu anggota polis di Singapura, telah di tawan oleh Jepun. Kerana kelebihannya menguasai bahasa Melayu, Jawa, Inggeris, Kantonis dan Tamil, ayah saya dijadikan orderly tentera Jepun di Kem Tamajo – base camp untuk pembinaan Jambatan Sungai Kwai. Ayah saya jadi orang perantaraan askar Jepun dengan kumpulan buruh paksa di kem berkenaan. Pengalamannya amat pahit. Hari-hari menyaksikan kezaliman. Hari-hari menyaksikan berpuluh-puluh buruh paksa mati kelaparan. Hari-hari menyaksikan buruh paksa mati akibat penyakit.]

Kini Zainal dan isterinya Nariman – kedua-duanya lulusan ITM – serta keluarganya, menetap di Kota London. Mula-mula beliau berkhidmat di Malaysia Hall, Brynstone Square. Kemudiannya berkhidmat dengan TNB untuk menguruskan pelajar-pelajar tajaan badan korporat itu di United Kingdom. Biarpun begitu, Zainal masih tetap menganggap dirinya seorang anak kampung.

Katanya: “Bila saya diterima masuk ke Form 1 di High School Muar, setiap hari saya mengayuh basikal dari Panchor ke Muar, pergi-balik sejauh 36 batu, melalui hutan dan jalan kampung. Saya berlepas dari rumah sebelum Subuh. Saya kembali selepas tengahari. Lepas itu saya ke Sekolah Agama di kampung di mana guru besarnya adalah Cikgu Md.Yassin, bapa kepada Tan Sri Muhyidin.”

Mengenai zaman darurat, Zainal berkata: “Bila mendengar ketukan kentong di waktu malam, semua orang kampung saya lari bersembunyi, kecuali anak-anak murid Kiyai Salleh, Kiayi Datuk Haji Shamsuddin dan Guru Silat Wak Sa'at. Mereka sanggup dan berani menjadi jagoan.”

Mengenai UMNO, Zainal berkata: “Rakyat kini hilang kepercayaan dengan gelagat segolongan orang UMNO yang berlagak seperti enau dalam hutan - melepaskan pucuk masing-masing.”

Begitulah profil ringkas Zainal. Saya paparkan kisahnya kerana Zainal adalah contoh anak Melayu yang tidak luntur jatidirinya walaupun sudah berpuluh-puluh tahun merantau di negara asing. Tapi, bila saya ingatkan Zainal, saya ingat pula sahabat-sahabat lain seperti Prof Idris Abdul @ King Ragger @ mantan Penolong Naib Canselor UPM, Jeneral Yazam Mahmud @ Jeneral Yamashita, Datuk Wahab Maskan yang baru jadi CEO Sime Darby, Prof. Sahar Sawiran yang pakar dalam matematik, Ahmad Koncong yang berada dalam PTD, Hussein Pawiro yang tidak saya ketahui di mana sekarang, Ramli Yassir yang berada dalam dunia korporat, serta Nordin Ain anak Melayu brilliant yang akhirnya jadi insane akibat tekanan jiwa bila tidak mencapai keputusan memuaskan dalam HSC jurusan sains dan gagal ke universiti.

Semua sahabat-sahabat ini adalah generasi yang dilahirkan di zaman penjajah dan bersekolah menengah di era awal kemerdekaan tanahair. Majoriti mereka adalah anak-anak kampung pendalaman. Mereka lahir dalam kesederhanaan. Ada juga yang lahir dalam kemiskinan. Warna dan suasana hidup mereka berbeza-beza. Tapi, jatidiri mereka tetap tidak dilunturkan oleh kemewahan hidup di era merdeka.

Begitulah hakikatnya anak kampung pra-merdeka. Kepada Zainal dan sahabat-sahabat lainnya, saya kirimkan salam perjuangan dan selamat maju jaya. Semoga Allah SWT akan terus membimbing kita semua ke jalan hidup yang lurus dan ke jalan hidup yang benar. Insya Allah! - Ruhanie Ahmad

7 comments:

Unggal said...

Assalamu'alaikum Datuk
Aduhai..berlinangan airmata apabila Datuk menyenaraikan semua nama-nama sahabat lama yang masih tetap dalam ingatan saya walaupun tidak pernah saya jumpa sehingga kini. Insyaallah..selepas pencen nanti boleh kita bercerita panjang akan hal ini - no politics okay...

Olihkerana Datuk dalam dunia politik, adalah harapan saya sekiranya dapat Datuk berpesan kepada semua wakil rakyat untuk turun ke padang - balik ketempat asal, hidup bersama-sama dengan rakyat, bergelumang bersama mereka, memahami dunia dan harapan mereka, tanpa segala kepura-puraan, tanpa segala gendang dan kompang bergemuruh, tanpa protokol dan tanpa ke'ego'an dan besar diri. Rasullah, Saiyidina Umar, Harun Al-Rashid dan ramai lagi sudah cukup untuk dijadikan 'role model'. Saya yakin dan pasti semangat juang dan mertabat UMNO dapat dikembalikan.

Kembalikan sinar kesucian. Kembalikan mereka yang benar, jujur dan ikhlas ketempat yang sepatutnya. Pejabat-pejabat kerajaan yang berpiagamkan untuk kebajikan, kepentingan dan memertabatkan rakyat sebagai clientele sejati janganlah dijadikan sebagai tempat untuk berkempen demi kepentingan mereka sendiri. Wakil rakyat adalah mereka yang mewakili hasrat dan pintaan rakyat. Begitu juga ketua-ketua jabatan yang hanya 'serve the master' or 'I scratch your back, you scratch mine'.

33tahun di negara orang, telah cukup untuk saya memahami dan menilai pucuk pimpinan dan perjuangan mereka. Kalau guru kencing berdiri sudah pasti anak murid kencing berlari. Tapi inilah reality dan mentality kebanyakan yang dilantik rakyat. If only the rakyat knows..!!.

Hanya inilah pintaan saya...

Salam Perjuangan.
..........Unggal

CUCU TOK KEDU said...

Dato Ron yang dihurmati.

Buluh diketung pembuat ranjau,
Diletak rebah tepi paya;
Anak kampung pergi merantau,
Hatinya tabah jaya kerjanya.


Diletak rebah tepi paya,
Bersama duri berumpan lada;
Hatinya tabah jaya kerjanya,
Di negara sendiri apalah ada.

Bersama duri berumpan lada,
Untuk dimamah binatang bisa;
Di negara sendiri apalah ada,
Kroni dan fitnah mainan biasa.

Untuk dimamah binatang bisa,
Tiada tangkal sekuat besi;
Kroni dan fitnah mainan biasa,
Untuk mengekal pemimpin korupsi.

http://rp-semantan.blogspot.com

CUCU TOK KEDU

Unknown said...

Salam Dato,

Meremang bulu roma saya membaca tulisan kali ini. Kerana keegoan airmata saya tahankan dari tertitis. Merasa betapa bertuahnya dilahirkan pd awal 70an, walaupun tiada kemewahan yg berlebih-lebihan seperti sekarang tetapi keseronokannya berkekalan. Tiada apa yg boleh saya gambarkan dgn keadaan orang melayu sekarang, bemewah-mewah secara berlebihan, kesusahan anak bangsa sendiri terabai. Kawan saya seorang anak cina, penyokong setia PKR pergi ke kampung di pinggir hutan Pahang untuk melihat bagaimana susahnya hidup orang melayu disitu.
Saya begitu terguris sekali melihat kesungguhannya. Kita orang melayu hanya tahu berpolitik. Ingat dihati ingin membatu bangsa sendiri, tetapi kemana harus ku pergi. Perjuangaan UMNO sudah terlalu jauh dari hati ini. Perjuangan Dr. Novandri harus dijadikan pedoman UMNO. Khabarnya TDM meninggalkan 1.3Bil duit utk UMNO, tetapi Dr. Novandri hanya mempunyai van buruk untuk pergi berjumpa rakyat yg daif.

Unknown said...

Assalammualaikum Datuk,

Walaupun saya bukan seorang yang seangkatan dengan Datuk dan rakan2 Datuk yang lain, saya dapat merasakan bagaimana susahnya untuk menimba ilmu yang dapat memperbaiki diri kita di masa depan. Saya merupakan anak ke tujuh dari lapan orang adik beradik.

Arwah bapa saya merupakan seorang konstabel polis dan beliau meniggal semasa saya berusia 12 tahun. Selaepas itu, dengan duit pencen terbitan yang tidak seberapa, ibu saya telah berusaha siang dan malam untuk memastikan semua anak2nya boleh berjaya dengan memastikan semua anak2nya berjaya dalam pelajaran. Pada masa itu, ibu saya berniaga nasi lemak secara kecil-kecilan di pasar di kawasan rumah kami.

Alhamdulillah, kami semua berjaya dan sekarang ini telah mempunyai keluarga sendiri.

Bagi diri saya, kehidupan zaman remaja sungguh susah dari segi kebendaan kerana kebayankan kami masih bersekolah. Namun begitu, ibu telah menggatikan kebendaan dengan memastikan bahawa kami semua berjaya dalam pelajaran.

Saya harap datuk sudi la memaparkan tulisan saya ini kerana saya merassakan bahawa kebanyakan rakyat yang terutamanya mereka yang berumur 30 tahun ke bawah tidak pernah merasakan kesusahan untuk mendapatkan pelajaran tinggi tanpa DEB. Mereka ini semua tidak mempunyai sejarah tersendiri untuk menilai apa yang ada sekarang ini. Oleh kerana itu, mereka tidak mempunyai semangat dan jati diri yang diperlukan untuk memartabatkan bangsa Melayu sehingga sanggup menggadaikan dasar perjuangan asalkan mereka mendapat keuntungan peribadi.

Teratak Cahaya said...

Datuk,

Pembetulan...Dato' Wahab Maskan adalah dilantik sebagai "Group Chief Operating Officer" of Sime darby Berhad dan bukannya CEO yang seperti dinyatakan dalam tulisan Datuk.

Harap maklum

kudakepang said...

GLC

Terima kasih atas pembetulan anda mengenai designation Dato' Wahab Maskan. Dan ribuan maaf atas kesilapan saya.

Salam hormat,
Ruhanie Ahmad

RamY said...

Assalamualaikum Dato' & semua rakan seangkatan.

Mohon maaf baru terbaca rencana ini. Walau terlewat sangat-sangat saya sekadar ingin memberi sedikit coretan kerana rasa sangat terharu nama Ramli Yasir, masih dalam ingatan Dato'.

Antara kita pasti masih ada kenangan manis semasa di hostel High School, Jalan Mariam, Muar, pada tahun 1966-7. Tentu Dato' masih ingat kita menonton wayang cerita "The Face of Fu Man Chu' di panggung wayang Rex. Tiada yang pelik tentang menonton wayang, cuma pada waktu malam itu, kita berdua sepatutnya bermentelaah bersama rakan-rakan lain di hostel. Hehe.

Antara saya dengan Zainal Sikum semestinya berkongsi banyak nostalgia kerana kami adalah rakan sekelas di Primary English School Panchor, Muar, (1957-1962), ke sekolah menengah yang sama di High School Muar (1966-1967) sehingga ke ITM (1968-70).

Dari sejak itu kami tidak berjumpa hinggalah saya terlintas namanya dalam rencana ini.

Alhamdulillah dapat kita 'bersua' kembali dan berharap Dato' dapat menyambungkan hasrat saya untuk berhubung semula dengan rakan-rakan seangkatan dulu.

Saya boleh di hubungi saperti berikut;
Ramli yasir. Tel; 012-7233427, Emel; ramliy@yahoo.com. Blog; warisanyas@blogspot.com

Wassalam.