Saturday, June 21, 2008

AMBIL SEMULA PULAU BATU PUTEH:
TITAH SULTAN JOHOR WAJAR DISOKONG

Ruhanie Ahmad

Rakyat jelata Malaysia, khususnya warga Johor, wajar menyokong penuh azam murni DYMM Sultan Johor, Sultan Iskandar, untuk mendapatkan semula Pulau Batu Puteh daripada Singapura.

Sokongan padu ini amat penting kerana Pulau Batu Puteh memang hak milik Kesultanan Johor Darul Takzim. Pulau ini juga warisan bangsa Melayu di bumi Malaysia yang berdaulat dan merdeka. Inilah hakikatnya. Inilah sejarahnya.

Lantaran itu, sifatkanlah iltizam Sultan Johor ini sebagai kemuncak kepada rasa tidak puas hati rakyat Malaysia terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai Pulau Batu Puteh yang dibuat pada 23 Mei 2008.

Iltizam ini juga klimeks kepada kekecewaan rakyat Malaysia terhadap sikap kiasu serta semangat kejiranan Singapura yang terbukti seolah-olah tidak tulen dan tidak abadi kerana tergamak mempertikaikan status kedaulatan Pulau Batu Puteh berasaskan pelbagai agenda strategiknya yang tersendiri.

Oleh itu, Singapura perlu menerima titah Sultan Johor dengan sikap yang terbuka. Jangan sekali-kali republik ini menganggap kekuatan iltizam Sultan Johor untuk memiliki semula Pulau Puteh sebagai usaha mengeruhkan suasana harmoni di antara sesama jiran tetangga.

Strategik

Pihak berkuasa Malaysia pula tidak wajar menyifatkan titah Sultan Johor ini sebagai remeh dan tidak perlu dilayan dengan serius. Sebaliknya, gunakanlah pemikiran kritis, strategik dan kreatif untuk merangka pelbagai strategi serta mencari cara terbaik untuk memiliki semula kedaulatan pulau berkenaan.

Saya berpendirian begini kerana biarpun ICJ telah memberikan kedaulatan Pulau Batu Puteh kepada Singapura, dan keputusan itu dikatakan muktamad, sesungguhnya pasti masih terdapat jalan dan cara untuk mendapatkan semula jajahan takluk Johor ini, jika kita amat serius mengenainya.

Mungkin cara terbaik untuk memiliki semula pulau tersebut boleh diperolehi menerusi bantuan kumpulan pakar yang mampu merincikan seluruh khazanah strategik di bumi Johor yang sangat-sangat diperlukan oleh Singapura. Kemudiannya, gunakanlah cara ini untuk satu proses tawar-menawar dan perundingan yang efektif.

Cara terbaik juga mungkin boleh diperolehi daripada nasihat, bantuan dan kerjasama rangkaian sahabat strategik Malaysia dalam pelbagai aspek undang-undang, sejarah, diplomasi, geopolitik dan lain-lainnya. Hasil daripada usaha ini juga boleh dijadikan bahan tawar-menawar secara berhemah dan berkesan.

Pendek kata, ambillah iktibar serta wisdom daripada kebijaksanaan silam yang tersirat di sebalik pepatah dan peribahasa Melayu. Contohnya, kalau hendak dapatkan sagu pecahkanlah ruyungnya; di mana ada kemahuan di situ ada jalannya; jika hendak seribu daya jika tidak seribu dalih; biar putih tulang jangan putih mata; patah sayap bertongkat paruh namun tetap terbang jua.

Dokumen

Sewaktu bertitah di majlis pembukaan rasmi persidangan Dewan Undangan Negeri Johor pada 19 Jun 2008, Sultan Johor telah dipetik oleh Bernama sebagai bertitah seperti berikut:

“Suka beta ingatkan bahawa beta tidak lupa pada Pulau Batu Puteh. Pulau Batu Puteh bukan hak Singapura tetapi hak milik Johor. Sampai bila pun beta akan cari ikhtiar untuk mendapatkan semula pulau milik Johor itu.”

Saya amat yakin Sultan Johor mengeluarkan titah di atas berasaskan dokumen, maklumat dan latarbelakang yang ada dalam makluman serta pengetahuan baginda.

Antaranya, sebelum menghadiri sessi akhir ICJ mengenai Pulau Batu Puteh di The Hague, Belanda, pertengahan Mei 2008 lalu, saya difahamkan bahawa Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, dipercayai telah menerima daripada Sultan Johor satu scroll dan dokumen sejarah yang sangat penting mengenai pulau tersebut.

Dokumen dan scroll ini dikatakan akan digunakan sebagai “senjata terakhir” dalam perbicaraan ICJ bagi menjamin serta mempertahankan kedaulatan Pulau Puteh terus kekal dimiliki oleh Malaysia.

Berasaskan scroll serta dokumen tersebut, Rais dikatakan telah memberitahu Sultan Johor bahawa kemungkinan besar keputusan ICJ mengenai Pulau Batu Puteh akan memihak kepada Malaysia.

Persoalannya di sini, adakah scroll dan dokumen penting ini telah benar-benar digunakan sebagai “senjata terakhir” Malaysia dalam perbicaraan ICJ? Jika tidak, mengapakah jadi begitu? Kemanakah perginya scroll dan dokumen ini sekarang?

Kecewa

Pada waktu yang sama, saya juga yakin bahawa Sultan Johor pasti berasa amat kecewa dengan apa yang telah diputuskan oleh ICJ mengenai Pulau Batu Puteh tempoh hari.

Kekecewaan ini mungkin wujud berasaskan pelbagai persoalan. Antaranya adalah seperti berikut:

1. Mengapakah kerajaan Malaysia seolah-olah tidak serius dalam usahanya mempertahankan Pulau Batu Puteh di ICJ?

2. Siapakah yang menasihati serta memuktamadkan pemilihan barisan peguam antarabangsa yang mewakili Malaysia yang terdiri daripada Sir Elihu Lauterpacht, James Crawford, Nicolaas Jan Schrijver, Marcelo G. Kohen, dan Penelope Nevill.

3. Mungkinkah di antara mereka terdapat proksi zionis dan neoimperialis yang dikhuatiri tidak langsung bersimpati terhadap Malaysia sebagai sebuah negara yang sering vokal terhadap soal-soal keganasan serta kezaliman zionis terhadap umat Islam di Asia Barat, Asia Tengah dan Asia Tenggara?

4. Mengapakah Malaysia tidak bertindak strategik dan proaktif seperti Singapura yang telah melantik “komponen asing” barisan peguamnya dari kalangan pakar undang-undang yang cemerlang, mempunyai hubungan rapat dengan Suruhanjaya Undang-Undang Antarabangsa di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta mempunyai sensitiviti, pengetahuan dan kefahaman mendalam mengenai geo-politik global?

5. Mengapakah dua hakim ICJ daripada Jerman dan Peranchis - dua kuasa besar di Eropah - serta daripada Venezuela yang jadi seteru utama Amerika Syarikat (AS) memberikan undinya mengenai Batu Putih kepada Malaysia?

6. Mengapakah keputusan para hakim ICJ daripada Russia, China dan Jepun - tiga negara yang intim dengan Malaysia di era Tun Dr Mahathir Mohamad – tidak memihak kepada Malaysia dalam kes Batu Puteh?

7. Mengapakah dua hakim ICJ yang beragama Islam - daripada Jordan dan Sierra Leone - seolah-olah tidak bersimpati dengan Malaysia yang pernah menjadi pengerusi Persidangan Islam Antarabangsa (OIC)?

8. Mengapakah 15 daripada 16 hakim ICJ pula memutuskan supaya kedaulatan Middle Rocks dan South Ledge yang terdekat dengan Singapura berbanding Pulau Batu Puteh, diberikan kepada Malaysia?

Integriti

Saya hormati integriti para hakim ICJ dalam membuat keputusan masing-masing mengenai kes Pulau Batu Puteh. Oleh itu, saya mempersoalkan hakikat di atas bukan untuk meragui integriti para hakim terbabit yang tidak memihak kepada Malaysia.

Sebaliknya, saya mempersoalkan hakikat di atas untuk mengetahui sejauh mana dan seserius manakah usaha-usaha diplomatik yang telah diambil oleh Malaysia untuk melobi sokongan daripada negara para hakim yang tidak memihak kepada Malaysia mengenai kes Pulau Batu Puteh, sebelum kes itu diberikan keputusan muktamad oleh ICJ.

Memang persoalan-persoalan di atas sudah jadi akademik untuk dibangkit dan diungkit pada ketika ini. Tetapi, demi Malaysia yang merdeka dan berdaulat, benarkah kerajaan kita sudah berkerja keras, secara bijaksana dan secara strategik untuk memenangi kes Pulau Batu Puteh?

Pastinya inilah antara persoalan besar yang turut jadi latarbelakang kepada titah Sultan Johor mengenai Pulau Batu Puteh baru-baru ini. Lantaran itu, adalah tidak salah untuk Sultan Johor membuat titah seperti di atas demi menebus kedaulatan negara yang sudah tergadai mungkin akibat kecuaian serta kesambil-lewaan kerajaan kita sendiri.

11 comments:

Unknown said...

Salam Datuk,

Ini satu posting yang alternatif bentuk. Datuk mampu mengulas perkembangan Pulau Batu Puteh ini mengikut perspektif lain.

Saya juga macam Datuk. Saya suspek ada permainan geopolitik di sebalik keputusan ICJ pasal pulau ini. Saya suspek zionis ada peranan dalam membantu Singapura kuasai kedaulatan Pulau Batu Puteh.

Saya juga curiga Singapura di sokong oleh Amerika dan juga main duit untuk pengaruhi para hakim ICJ.

Benar. Adakah kerajaan Dollah Badawi dah buat segala-galanya untuk pertahankan kedaulatan setiap inci bumi merdeka ini?

baguznet said...

Salam Datuk

Saya tertarik dgn info berkenaan 'scroll' dpd Baginda Tuanku Sultan Johor.

Saya juga ada diberitahu oleh seseorang tentang satu dokumen penting, dokumen bertarikh selepas dokumen yg dikeluarkan oleh pegawai kerajaan Johor yg lalu yg tidak menuntut penguasaan terhadap Pulau Batu Putih. Dokumen ini menyatakan hak dan kedaulatan Malaysia terhadap pulau tersebut.

Dokumen itu dikatakan telah diserahkan kepada seorang individu untuk dibuat kajian tertentu, bagaimanapun telah hilang. Yang menjadi tanda:
(1)kenapa dokumen asal tersebut yang diberikan?
(2)dikatakan tiada tindakan dikenakan terhadap individu tersebut
(3)adakah dokumen tersebut benar-benar hilang atau telah dibeli oleh seseorang supaya Malaysia kehilangan bukti hak dan kedaulatan terhadap pulau tersebut?

CUCU TOK KEDU said...

Dato Ron yang kon hurmati!

Hanya rakyat yang tongong dan bahlol sahaja ynag tidak mahu mempertahankan tanahairnya.

Terima Kasih Tuanku Johor! Tuankulah yang amat prihatin tentang perasaan rakyat yang amat kecewa dengan penyerahan Pulau Batu Putih ke Singapura. Ianya tidak dapat ditenangkan oleh slogan Rais Yatim: 'Menang-menang'. Kes Pulau Batu Putih ini bukan meja judi untuk mencari kemenangan tapi ianya penuntutan hak nenek moyang dan akan dipesakakan ke anak cucu. Ianya bukan sekadar dibeli dengan airmata tetapi dengan jiwa dan raga selaku anak Malaysia. Kerana Pulau Batu Putih adalah bumi Malaysia! Bumi Malaysia adalah bumi kita!

Ampun Tuanku!


http://rp-semantan.blogspot.com

CUCU TOK KEDU

Desperado said...

Dato'...penulisan dari perspektif yang lebih mencabar minda! Kita Perang DATO? Ish...batalion Singapura tu ajer dah lebih kurang tiga kali Malaysia...

www.pilihananda08.blogspot.com

reggaefc said...

semoga malaysia terus aman damai hidup dalam budaya sihat...


untuk apa2 pandangan dlm sukan bolasepak layari ....

http://reggaefc.blogspot.com/

anak mamak said...

Saya amat terharu ngan kenyataan DYMM Sultan Johor,patik amat terharu Tuanku...semoga ianya akan menjadi kenyataan, patik akan menyokong tindakan Tuanku...semoga Allah melanjutkan usia Tuanku...DAULAT TUANKU...DAULAT TUANKU..DAULAT TUANKU

Juraimi Zainal said...

Datuk Ron,

Lepas ni Pulau Pisang akan jadi Pengat Pulau Pisang, ... Tu sedapkan telinga je lah..

pak tam said...

salam ta'zim

jatuhnya pulau batu puteh, adalah kerana PM lemah dan longlai dan terus tidur

CUCU TOK KEDU said...

Dato' Ron yang dihurmati!

Sila Dato' peloporkan memungut tandatangan rakyat Malaysia, khususnya rakyat Johor untuk menyokong titah ucapan Sultan Johor berkaitan kehilangan hak Malaysia diatas Pulau Batu Putih.

Jangan kita terpesona dengan slogan Rais Yatim 'Menang-menang' dan pimpinan Umno sibuk dengan Perpaduan Melayu tapi membisu bila bumi Melayu (Malaysia)dialih kedaulatannya.

http://rp-semantan.blogspot.com
CUCU TOK KEDU

M.Sulaiman (utohkacil) said...

RUMAH DAH SIAP,

BARU TUKUL DAN PAHAT BERBUNYI,

DAH TERLAMBAT, NASI DAH JADI BUBUR,

SANGGUP KAH ANDA BERMANDI DARAH?

KALAU TA, LEBIH BAIK DIAM2

Unknown said...

Daulat Tuanku..

Saya menyokong penuh dan berkeyakinan tinggi terhadap setiap titah baginda Sultan Johor (Sultan Mahmood Iskandar= "Moody" adalah gelaran yang diberi Sultan Pahang yang sangat rapat dgn Tuanku). Sejak saya kecil sehinggalah dewasa, saya sering bertemu di acara2 rasmi yang dihadiri Tuanku atau Tengku Mahkota (panggilan mesra= Tengku Yem) sering bertemu ketika solat jumaat sama ada di Majid Pasir Pelangi, Masjid Abu Bakar mahupun masjid2 lain yang diperkenan Tuanku utk bersolat jumaat, pernah juga beberapa kali mengikuti bapa saya membaca yassin hari Hol Sultan Johor atau malam jumaat di Istana Bukit Serene bersama2 dgn Tuanku, Tunku Majid (kdg2 ada) dan pegawai2 kerajaan johor, serta beberapa pengiring Tuanku. Dari pemerhatian, penilaian, pengamatan saya, saya amat mengenali DYMM Tuanku Sultan Johor (pls look at his good side) sebagai sultan dan pemerintah yang tinggi ilmu dan agamanya, bijak, sangat berdisiplin tinggi, dan setiap titahnya bukan titah yang kosong. Baginda Tuanku dalam diam mengetahui apa yang baik, perlu, patut dan apa yang tidak. Baginda Tuanku sangat sayang pada rakyat Johor (That's why orang2 asli di Johor dijadikan anak angkat Tuanku dan Tuanku sudi menerima mereka mahupun siapa saja rakyat johor ke Istana jika ada masalah2). Tuanku seorang sultan yang mengambil berat akan hak dan kedaulatan negeri Johor. Sifatnya yang suka berseloroh dan berjenaka (saya dan keluarga selalu terhibur dengan seloroh/gurauan Tuanku). Saya menyokong penuh titah Tuanku yg inginkan kedaulatan Pulau Batu Puteh dituntut kembali. Insyallah, kami rakyat Johor sentiasa berdoa dan memohon hajat ke hadrat Illahi agar segala yang berada di Negeri Johor akan dipelihara molek oleh Allah dan berkembang sebagai negeri termaju, Amin..


*p/s- Teringat ketika menetap di Wadi Hana dulu, ketika Tuanku sihat dan tegap,sering terserempak di merata bandar dgn kereta2 yg susah nak jumpa di Malaysia yg dipandu sendiri oleh Tuanku, blue plat "JOHOR". Dalam fikiran saya, ada ke Sultan dlm Malaysia yang kerap drive himself jenguk negeri?? mcm Sultan Johor(Tuanku bawak driver jalan2) jalan2 tengok keadaan, pilot himself a Gulfstream IV SP exclusive jet, Agusta 109C & Lake Renegade amphibian petang2 melawat anak/cucu Tuanku di Pasir Pelangi, dan melawat ke tempat2 lain yg jauh mahupun ke luar negara.