Thursday, December 06, 2007

Hindraf Tak Hindraf
Kuning Pasti Kuning

Hindraf tak Hindraf, kita pasti terus kuningkan Sabtu kita. Teruskanlah memakai warna kuning pada setiap Sabtu, kerana kuning adalah lambang ledakan gelombang rakyat yang mahu menuntut koreksi total kepada segala kepincangan dan kelemahan yang ada di negara kita.

Kuning adalah warna solidariti kita. Kuning adalah warna konsistensi perjuangan kita. Kuning adalah warna hati kita yang amat rindukan pembelaan terhadap pelbagai masalah rakyat jelata – dari soal kos hidup yang kian melambung kepada soal harga petrol yang kian meroket dan soal pembasmian korupsi yang hanya indah khabar dari rupa.

Kepada orang Johor, kuning adalah lambang protes kita terhadap WPI yang diwujudkan untuk Singapura. Kepada orang Selangor, kuning adalah warna protes kita terhadap berbillion ringgit wang rakyat yang ditelan naga PKFZ.

Kepada orang Terengganu, kuning adalah warna protes kita terhadap berbillion ringgit wang ehsan yang disambar puting beliung monsoon cup. Kuning juga lambang protes kita terhadap bedilan peluru hidup secara semberono kepada rakyat jelata yang tidak berdosa.

Kepada orang Melaka, kuning adalah warna protes kita terhadap tanah Majlis Agama Islam yang disewakan kepada kilang babi milik kapitalis Singapura.

Kepada rakyat jelata Malaysia seluruhnya, di mana sahaja mereka berada, kuning adalah lambang protes kita kepada segala kepincangan dan kelemahan yang perlu dirobah, diperbetul dan diatasi secara komprehensif dan segera.

Kuning dan kuning setiap Sabtu sampai banyak pihak jadi kenoneng dan banyak pihak jadi pening kerana yang kenoneng dan pening itulah punca segala kesengsaraan pada ketika ini.

5 comments:

Berita dari gunung said...

Rakyat umum dan kepimpinan negara sering terpisah. Walau seribu kali berjumpa dan bersalaman, rakyat umum dan kepimpinan berjalan dalam lorong yang berbeza.

Lorong yang berbeza itu boleh bercantum dimana-mana simpang. Komitmen dan tanggungjawab akan membawa pemimpin dan rakyat di lantai papan yang sama, duduk dan memahami apa yang dirasai oleh rakyat.

Senyum ketawa, jenaka, sentuh bahu dan tangan, makan, ole-ole, duit raya, kain pelikat, kain batik dan lain-lain lagi hanyalah sesuatu yang superficial. Semua itu sekadar tabir nipis kemesraan yang senang direntap.

Memahami rakyat adalah menginsafi rentak, dan rumitnya rakyat umum mengharungi hidup seharian. Saya sangat khuatir kemampuan pemimpin menginsafi kehidupan rakyat jelata. Berjuta kali salaman dan jamu makan bukan petanda konkrit keluhuran itu.

Memang hidup kita sering bertabir. Adalah menjadi harapan ramai, supaya wajah dan keluhuran pemimpin masih kekal bersih dan baik bila tabir kuning, biru atau hijau direntap.

The Eugenist said...

Kuning itu warna sakti..

Nah, bukankah terlalu suci kesaktian ini pada mereka yang menghargainya?

Sayang sekali,
Kuning itu kian kelam,
Pabila nafsu awan garang menelan
sinarnya,

Apalah salah kuning itu?
Andai kita bersatu menaikkan kembali,
Warna yang kian kelam di kala ini?

HESMEL FAZNEE FAISAL

annonymous said...

Jangan cepat pucat kuning udah lah , Dtk!!!

qistina said...

Datuk adalah antara penyokong paling kuat perjuangan gelombang kuning. Sehinggakan cadangan yang diterbitkan dari tulisan Datuk supaya semua rakyat Malaysia memakai pakaian kuning setiap hari sabtu bertukar menjadi arahan kepada ahli PAS.

Saya setakat hari ini(sabtu 7 dis) masih istiqamah memakai pakaian kuning setiap hari sabtu sebagai tanda sokongan terhadap perjuangan BERSIH dalam membersihkan pilihanraya.

Sewaktu melewati Dataran Merdeka semalam, saya ternampak satu program fiesta makanan(kalau tak silap) akan diadakan esok. Dan di KLCC adanya PC FAIR dari 7-9 disember.

Apa yang ingin saya utarakan di sini adalah, jika kita boleh melangkah satapak ke hadapan, iaitu menghadirkan diri program2 anjuran wakil rakyat, agensi2 kerajaan di mana sahaja program2 tempatan yang diadakan pada hari sabtu dengan berpakaian kuning, sudah pasti akan menimulkan polemik baru dan melucukan juga.

Sebenarnya idea ini juga tercetus atas cadangan Mahfuz Omar, Ketua Penerangan PAS yang menyarankan agar hari ini, kita turun ke sekitar SOGO, sehingga Dataran Merdeka memakai baju bersih, tapi bukan untuk satu perhimpunan, tetapi sekadar bersantai dan makan angin bersama keluarga.

kudakepang said...

Berita, Euginist, Anon dan Qistina.

Harap anda sedari bahawa Hindraf telah menggerhanai Gelombang Kuning dan Gelombang Rakyat. harap anda rungkai persoalan siapakah Hindraf dan siapakah beneficiary kepada kemunculan Hindraf.

Fikir-fikirkanlah. Pasti anda akan ketahui bahawa Hindraf adalah satu daripada power play yang dimunculkan secara terancang oleh pihak yang mahu kukuhkan Abdullah.

Siapakah mereka?

Salam takzim.