Saturday, December 29, 2007

Bahagian Tiga:
PAKATAN HINDRAF - KHAIRY
MATLAMAT HALALKAN CARA?

Sudah saya nyatakan dalam bahagian dua pada 27 Disember 2007, bahawa penahanan lima pemimpin Hindraf bawah ISA pada 13 Disember 2007 mungkin boleh disifatkan sebagai satu tindakan “matlamat menghalalkan cara” di mana matlamatnya adalah menutup sebarang spekulasi mengenai konspirasi Khairy-Hindraf dan caranya adalah menerusi tahanan di bawah ISA.

Hakikat ini jadi semakin jelas apabila kelima-lima pemimpin Hindraf terbabit hanya di tahan di bawah ISA Seksyen 8 dan bukannya Seksyen 73. Kedua-dua seksyen ini mempunyai prosidur dan implikasi yang amat berbeza ke atas pihak yang ditahan.

Mengikut ISA Seksyen 8, arahan penahanan dibuat oleh Menteri Dalam Negeri. Pihak yang ditahan pula terus dihantar ke Pusat Tahanan di Kemunting, Perak. Pihak yang ditahan juga tidak akan menjalani apa-apa soal-siasat intensif oleh pihak polis di tempat rahsia, lazimnya di sekitar Kuala Lumpur. Ini bermakna pihak yang ditahan terus diletakkan di bawah tanggungjawab Jabatan Penjara Malaysia. Mereka seolah-olah diberikan cuti paksa selama dua tahun.

Misteri

Mengikut ISA Seksyen 73, perintah penahanan dibuat oleh pihak polis. Mereka yang ditahan akan disimpan di satu tempat misteri selama 60 hari. Mereka tidak diizinkan untuk ditemui oleh sesiapa waima ahli keluarganya yang terdekat.

Di sepanjang bulan pertama tempoh tahanan itu, mereka menjalani sessi soal-siasat yang intensif. Mereka akan disoal-siasat segala-galanya yang membabitkan diri mereka, pergerakan mereka dan lain-lainnya. Pada bulan kedua, mereka pula akan menjalani proses pemulihan. Pada hari ke-60, mereka akan berhadapan dengan dua kemungkinan. Satu, akan dibebaskan. Kedua, pihak polis akan mendapatkan kelulusan Menteri Dalam Negeri untuk terus menahan mereka bagi menjalani pemulihan selanjutnya di Kem Tahanan Kemunting, Perak.

Demikianlah hakikat dan perbezaannya. Jadi apakah implikasinya bila kelima-lima pemimpin Hindraf hanya ditahan di bawah ISA Seksyen 8? Ini bermakna perintah tahanan mereka dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, iaitu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Mereka tidak menjalani apa-apa sessi soal-siasat intensif oleh pihak polis selama sebulan. Mereka juga tidak menjalani proses pemulihan selama sebulan berikutnya.

Musykil

Sebaliknya, pemimpin-pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah Seksyen 8 hanya terus dibawa ke Kem Tahanan Kemunting. Mereka juga boleh menerima lawatan keluarga terdekat. Pendek kata, mereka menjadi tetamu rasmi Jabatan Penjara Malaysia sekurang-kurangnya selama dua tahun.

Hakikat seperti ini pasti menimbulkan tanda tanya yang bukan kecil. Antara soalan-soalan yang timbul adalah seperti berikut:

Mengapakah pemimpin-pemimpin Hindraf, organisasi yang dipercayai mempunyai kaitan dengan organisasi militen antarabangsa, tidak menjalani sessi soal-siasat intensif sewaktu dalam tahanan ISA?

Mengapakah mereka tidak disoal-siasat mengenai latarbelakang yang menyebabkan mereka membuat tuduhan mengenai pembersihan ektik dan mini-genocide ke atas kaum India di Malaysia?

Mengapakah tidak mahu dipastikan sebab-sebab mereka membuat kenyataan penuh provokasi terhadap UMNO, umat Islam dan orang Melayu sehingga hampir-hampir mencetuskan perbalahan kaum dan pertumpahan darah?

Mengapakah tidak disoal-siasat sebab-sebab mereka tergamak merayu komuniti antarabangsa untuk mendesak Kerajaan Malaysia memansuhkan Perlembagaan negara ini?

Mengapakah tidak disoal-siasat mengenai siapakah yang mendalangi demonstrasi mereka dan siapa pula yang membiayai demonstrasi berkenaan?

Mengapakah tidak disoal-siasat sama ada benar Hindraf mempunyai hubungan dengan komuniti militen di Sri Lanka dan India?

Dalang

Sebaik sahaja demonstrasi Hindraf, kedengaran tuduhan bahawa dalang demonstrasi itu adalah kumpulan parti pembangkang di negara ini. Bagaimanakah tuduhan ini mahu dipastikan kalau kumpulan pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah ISA pun tidak disoal-siasat?

Sebaik sahaja Hindraf mengeluarkan kenyataannya yang provokatif, sebilangan orang Melayu dan umat Islam jadi emosional sehingga ada juga yang berura-ura mahu bertindak balas secara fizikal ke atas keturunan India. Jadi, kenapa tidak disoal-siasat mengapakah Hindraf mengeluarkan kenyataan itu?

Sebelum mereka ditahan di bawah ISA, ada pegawai tinggi kerajaan menuduh Hindraf sebagai mempunyai hubungan dengan puak militen seberang laut. Kalau pemimpin Hindraf yang ditahan tidak disoal-siasat, bagaimanakah dakwaan ini mahu dipastikan?

Kalau begitu keadaannya, kenapa tahan mereka di bawah ISA? Kalau begitu, tidakkah prnahanan ini mengesahkan wujudnya konspirasi? Kalau begitu, salahkah kalau penahanan ini disifatkan sebagai satu sandiwara yang diarahkan oleh proksi Abdullah? Kalau begitu, mungkinkah Khairy yang menjadi dalang kepada segala-galanya?

Angkara

Persoalan-persoalan di atas adalah penting. Ia penting kerana kalaulah pihak kerajaan memang menahan para pemimpin Hindraf di bawah ISA untuk mencari kebenaran, kenapakah mereka tidak disoal-siasat oleh pihak polis? Mengapakah begini jadinya? Adakah kerana proksi Abdullah yang mendalangi demonstrasi Hindraf takut pihak polis akan mengetahui konspirasi mereka? Adakah kerana mereka takut pihak polis mengetahui segala-galanya mengenai perancangan mereka?

Atau, pihak polis mungkin memang sudah tahu bahawa demonstrasi itu adalah angkara proksi Abdullah. Sebab itukah polis tidak mahu menahan mereka di bawah Seksyen 73? Atau, pihak polis memang tidak tahu bahawa dalang demonstrasi itu adalah proksi Abdullah. Dan, sebab itulah proksi Abdullah mencadangkan tahanan itu dibuat di bawah Seksyen 8 untuk mengelakkan rahsianya dibongkar oleh pihak polis?

Jadi, soalnya di sini, mungkinkah seluruh perkara di atas tidak terjadi kalau tiada dalang di sebalik Hindraf? Siapakah dalang itu? Adakah tindakan di atas juga sebahagian daripada strategi “matlamat menghalalkan cara”? Kisah seterusnya akan dihuraikan dalam bahagian empat siri ini. – Ruhanie Ahmad

6 comments:

Unknown said...

Bila kerajaan tahan pemimpin-pemimpin Hindraf baru ni, sekumpulan anak muda di tempat saya sangat-sangat gembira. Mereka pun makan-makan kat kedai mamak. Dia orang kata Pak Lah best, berani.

Lepas ni, saya nak panggil anak-anak muda tu. Saya nak bagitau dia orang, kita semua dah kena jual hidup-hidup. Apa taknya? Sebab orang-orang Hindraf tu rupa-rupanya cuma pergi cuti kat Kemunting.

Ya lah. Kalau Pak Lah serius, polis kena siasat orang-orang Hindraf tu habis-habisan. Mana itu mana ini, apasal gitu apasal gini? Semua kita kena tau. Barulah kita semua tau sebab dia orang tu kurang ajar, khianat. Kalau setakat simpan kat Kemunting, apa guna? Kita nak dia orang tu ditahan dan disiasat polis sampai kita tau semua hal apa yang dia orang buat.

Ini tak. Pak Lah kata dia orang ancam negara. Tapi, tak siasat kenapa? Pak Lah kata dia orang pelampau. Kalau tak siasat mana tau? Pak Lah kata ini kata itu, kalau tak siasat apa guna? Masuk angin keluar asap je Pak Lah.

Kalau gitu, betullah orang cakap, semua ni wayang, semua ni sandiwara. Pengarah dia? Sapa lagi? Menantu kesayangan dialah. Hancur Melayu dibuat dek budak macam tu!!!!

Unknown said...

Saya rakyat biasa. Saya tak faham kenapa AAB jadi macam ni. Nampaknya dia dengar sangat cakap KJ. Mana masuk akal Hindraf yang dikecam macam-macam bila dah kena tahan tak disiasat polis? Apa game AAB? Apa pasal KJ main macam ni? Kita boleh hancur.Polis kena bertindak siasat pemimpin Hindraf yang kena tahanan ISA. Kalau tak semua bacul dan rakyat yang jadi bodoh.

Unknown said...

Saya harap info Datuk ni betul. Kalau betul pasal ISA ni, rosak kita. Hari ni TPM keluar warning jangan sapa-sapa huru-harakan negara. Sapa yang TPM maksudkan? Orang Melayu. Yang baru ni provok-provok kita semua sapa? Bukankah orang Hindraf? Kalau dia orang yang hampir-hampir sebabkan kita huru-hara, pasal apa tak bagi polis siasat mereka bawah ISA? KJ tak bagi? Kalau macam ni sapa yang betul? TPM betul ke KJ yang berkuasa? Entahlah.. apa malang sangat nasib kita semua? Tapi bila fikir masak-masak, ini semua pasal Pak Lah tak tegas, tak cekap urus negara. Kalau gitu, apa tunggu lagi, kan elok bersara biar kita semua selamat!!!!

InMine said...

Dato'

BUkary Syed Abu Tahir (the guy who involved with the Scomi in) was detained under ISA under which section? Section 8 or 73? If under section 8, then we know how Pak Lah solved his problem using ISA.

Mohd Shani said...

Datuk,

FYI - http://kamal-talksmalaysia.blogspot.com/2007/12/hindraf-leader-p.html

kudakepang said...

Nakhoda: Saya pun seperti anda. Saya sentiasa tertanya-tanya mengapa jadi begini? Saya ulangi komen anda di sini untuk renungan semua pihak:

“Kalau Pak Lah serius, polis kena siasat orang-orang Hindraf tu habis-habisan. Mana itu mana ini, apasal gitu apasal gini? Semua kita kena tau. Barulah kita semua tau sebab dia orang tu kurang ajar, khianat. Kalau setakat simpan kat Kemunting, apa guna? Kita nak dia orang tu ditahan dan disiasat polis sampai kita tau semua hal apa yang dia orang buat.”

Cyber: Selama ini memang AAB dan KJ fikir rakyat boleh terus diperbodohkan. Maka, terserahlah kepada rakyat jelata untuk menafikan anggapan ini.

Putera Bentan: Saya pun baca kenyataan TPM seperti yang anda katakan di sini. Memang betul apa anda kata, “yang baru ni provok-provok kita semua sapa? Bukankah orang Hindraf? Kalau dia orang yang hampir-hampir sebabkan kita huru-hara, pasal apa tak bagi polis siasat mereka bawah ISA?”

Saya harap lebih ramai rakyat jelata turut memikirkan perkara tidak masuk akal seperti ini.

InMine: I was informed by an x-police officer, S.B. Tahir was also being detained , Section 8 of the ISA. So, may be, as what you have said, this is how Pak Lah solved his problem by using the ISA. May be!

Akhir kata, salam takzim dan selamat tahun baru 2008.