Monday, December 31, 2007

Bahagian Empat:
PAKATAN HINDRAF - KHAIRY
MATLAMAT HALALKAN CARA?

Dalam bahagian tiga telah saya senaraikan keanehan lima pemimpin Hindraf ditahan bawah Seksyen 8 ISA. Lantas, saya pun bertanya, mungkinkah seluruh keanehan itu tidak terjadi kalau tiada dalang di sebalik Hindraf?

Oleh itu, kalau benarlah memang wujud satu konspirasi di sebalik demonstrasi Hindraf pada 25 November 2007, maka betullah apa yang ditulis dan dinyatakan oleh Anak Jati Rembau dalam blog anti-khairy pada 4 Disember 2007. Sebab itukah tulisan itu tidak dan belum dinafikan oleh Khairy hingga ke hari ini?

Dengan tiadanya penafian, maka melesetkah kalau diakatakan bahawa Khairy adalah dalang kepada demonstrasi Hindraf? Sebab itukah tahanan ISA ke atas Uthyakumar dan empat rakannya pun hanya di bawah Seksyen 8, yang tidak melalui proses soal-siasat intensif oleh pihak polis?

Tulisan dan ramalan Anak Jati Rembau yang menyatakan bahawa selepas demonstrasi Hindraf akan ada satu pertemuan oleh NGO dan Pertubuhan Melayu di Kampung Baru, Kuala Lumpur, juga terbukti benar. Pada 6 Disember 2007, lima NGO telah mengumpulkan kira-kira 395 NGO lain dari seluruh negara untuk menubuhkan Damai Malaysia.

Damai Malaysia

Badan berkenaan mendakwa mempunyai 1.5 juta ahli. Matlamat utamanya adalah bersepakat “untuk menolak demonstrasi politik jalanan dan mempertahankan keamanan, keharmonian dan kemakmuran negara.”

Matlamat ini merupakan satu ironi. Dan, ironinya adalah: walaupun Damai Malaysia bermatlamat “mempertahankan keamanan, keharmonian dan kemakmuran negara,” Menteri Dalam Negeri tidak pula menyifatkan Hindraf - yang pernah didakwa sebagai “berusaha mendapatkan sokongan dan bantuan pengganas antarabangsa” dan dikaitkan dengan kumpulan pengganas “Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dari Sri Lanka” - sebagai ancaman kepada negara.

Kalau Hindraf memang merupakan ancaman kepada negara, sehingga ada pihak yang prihatin terpaksa mewujudkan Damai Malaysia, kononnya untuk “mempertahankan keamanan, keharmonian dan kemakmuran negara,” mengapakah pemimpin-pemimpin Hindraf hanya ditahan bawah Seksyen 8 ISA? Kenapa tidak di bawah Seksyen 73 ISA yang akan membolehkan pihak polis menyiasat mereka secara terperinci, sama ada Hindraf benar-benar ancaman kepada negara?

Rakyat Bodoh?

Soalnya, apakah yang sedang cuba dibuktikan oleh pihak yang mendalangi demonstrasi Hindraf dan pihak yang mendalangi penubuhan Damai Malaysia (kedua-duanya proksi Abdullah) kepada rakyat jelata pada ketika ini? Hendak membuktikan Abdullah serius dalam menangani soal Hindraf dan sebab itulah pemimpin-pemimpinnya ditahan bawah ISA?

Hendak membuktikan bahawa Damai Malaysia sahajalah kumpulan patriot negara dan sebab itulah matlamatnya adalah “mempertahankan keamanan, keharmonian dan kemakmuran negara.”?

Hendak membuktikan bahawa rakyat jelata Malaysia jahil dan bodoh? Bukankah rakyat jelata kini dapat melihat dengan jelas bahawa demonstrasi Hindraf adalah didalangi oleh proksi Abdullah dan tangakapan para pemimpin Hindraf di bawah ISA hanya sekadar mengaburi mata rakyat daripada hakikat konspirasi yang sebenar-benarnya?

Sandiwara

Kata orang putih “what a joke?” atau “what a mockery?”. Kata orang Melayu, inilah sandiwara yang serba tempang gaya ceritanya. Apa tidaknya? Pi mai, pi mai, rakyat tetap bijak membaca bahawa demonstrasi Hindraf adalah konspirasi satu percaturan kuasa. Tidak lain dan tidak bukan, itulah hakikatnya - satu konspirasi ciptaan proksi Abdullah!

Pada 13 Disember 2007, Pengerusi Penyelaras Damai Malaysia, Saudara Saiful Adil Mohd Daud, menyerahkan penyataan bersama badan itu kepada Abdullah di satu majlis ringkas di Pengkalan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM), Subang.

Mengulas mengenai penyataan bersama itu, Abdullah dilaporkan sebagai berkata bahawa pertubuhan itu “adalah suara majoriti rakyat Malaysia yang membantah demonstrasi jalanan. Orang yang selama ini senyap telah pun menyatakan pendirian mereka dan saya amat menghargainya kerana ia adalah untuk keamanan dan kesejahteraan rakyat yang kita kena pertahankan.”

Halalkan Cara

Kenyataan Abdullah di atas sepatutnya berbunyi begini: “Damai Malaysia adalah suara minoriti rakyat Malaysia yang cuba membutakan mata majoriti rakyat jelata supaya membantah demonstrasi jalanan oleh Hindraf yang didalangi oleh proksi saya. Orang yang selama ini senyap telah pun menyatakan pendirian mereka untuk memesongkan pandangan rakyat jelata dan saya amat menghargainya kerana ia adalah untuk keamanan saya dan kesejahteraan saya yang kena saya pertahankan.”

Abdullah, seluruh kelompoknya dan juga Damai Malaysia mesti marah dengan kenyataan yang saya bina semula seperti di atas. Tetapi, itulah hakikatnya. Seluruh penghujjahan di atas membuktikan bahawa demonstrasi Hindraf adalah didalangi oleh kelompok Abdullah. Dan, penubuhan Damai Malaysia juga didalangi oleh kelompok Abdullah. Kalau Khairy dikatakan sebagai dalang kepada demonstrasi Hindraf, Reezal Merican pula dikatakan jadi dalang kepada penubuhan Damai Malaysia. Inilah tindakan “matlamat menghalalkan cara”. [Bersambung dalam bahaguan lima] – Ruhanie Ahmad

5 comments:

Unknown said...

Sir, I really have no more patience for Dolah. He must go immediately. Then only we can dig the truth about so many things. Hindraf,Damai Malaysia, ECM Libra, Oil For Food scandal…. I might want to say more but I am waiting until you have concluded your series on “the ends justify the means”.

Unknown said...

Damai Malaysia jadi satu bahan jenaka. Macam mana dia wakili the silent majoriti? Macam mana AAB pun percaya? Kalau nak ampu AAB, jangan jual kita semua. Kita tau apa kita cakap, kita tau apa kita buat. Jangan claim kita semua konon-konon sokong Damai Malaysia. Saudara Saiful bekas pegawai kerajaan tak patut jual kita semua macam ni. Kalau dia dengan Roslan Latiff nak ampu AAB, saya tak bising. Pasal dia nak jual semua orang, saya kena bising.

Macam Datuk Ron tulis, sapa yang nak dibodohkan dalam hal Hindraf dan Damai Malaysia? Nak bodohkan orang macam saya? Jangan! Saya mungkin pangkat cabok. Tapi orang macam saya yang akan kena buru dan kena rayu bila ada pilihanraya. Cabok-cabok saya, saya tak bodoh. Cabok-sabok saya, saya tak tipu pemimpin, tipu rakyat.

Jadi, Saudara Saiful, jangan jadi bodoh nak tipu rakyat macam saya. Jangan! Nanti padah jawabnya! Padah tu bukan pada dia, tapi pada AAB. Kalau sayang kat AAB, jangan kata Damai Malaysia wakili silent majority! Cakap Damai Malaysia wakili KJ, Rezal, Saiful dan Roslan. Itu saya terima!

Unknown said...

Kenapalah Pak Lah ni makin bercelaru? Jerit sini, jerit sana pasal Hindraf, pasal demo jalanan, pasal kacau-bilau, pasal keselamatan negara. Tapi, dia tahan pemimpin-pemimpin Hindraf bawah seksyen 8 ISA. Mana boleh? Seksyen ni tak izin polis siasat orang-orang tu. Kalau polis tak siasat, macam mana nak tau kebenarannya? Kalau tak tau kebenarannya, buat apa tuduh-tuduh orang lain?

Ini yang saya kata Pak Lah ni bercelaru!! Habis tu, macam mana kita nak yakin lagi dengan cakap dia? Cakap lain, buat lain, tuduh pun lain!! Kalau macam ni, kan elok kalau Pak Lah cari jalan keluar, berundurlah dengan segera!!!!!!

Unknown said...

Mula-mula sekali saya ucapkan selamat tahun baru pada Tok Ron dan semua pembaca. Saya harap tahun ni Pak Lah berundur, biar kita hidup senang sikit.

Saya juga nak komen pasal KJ dengan Hindraf ni. Apa hal la ni KJ diam macam batu? Susun strategi nak jatuhkan orang? Ke susun strategi nak buat Melayu gaduh dengan keturunan India? Saya mintak KJ nasihatkanlah Pak Mentua. Cakap biar betul sikit. Jangan asyik melalut. Susah saya nak hormat pemimpin macam ni!

Pasal Hindraf. Ini apa orang kerajaan pernah cakap dalam paper. Hindraf pengkhianat. Hindraf ada talian dengan LTTE. Hindraf musuh UMNO. Hindraf cetus huru-hara. Itulah kata orang kerajaan macam Hishamuddin Hussein Onn, macam Nazri, macam Noh Omar. Tapi, bila orang Hindraf kena tahan ISA tanpa disiasat rapi, semua bisu macam KJ. Sunyi, sepi, senyap. Tak malu ke? Tuduh punya tuduh, bila dah ditahan orang yang kena tuduh, orang tu tak disiasat, tapi terus tuduh orang lain pulak jadi dalang Hindraf. Apa citer ni? Tak malu ke? Orang bigau pun tau malu……

Rakyat lebih malu bila Pak Lah pun ikut macam jadi sasau, tuduh sana, tuduh sini. Najib pun ikut semangkok. Tuduh sana, tuduh sini. Anehnya, yang mereka tuduh pembangkang. Cakap ikut sedap lidah je.. Mana rakyat nak percaya? Yang orang-orang Hindraf, makan tidur di Kemunting, tak ada siasatan, tak ada apa….. Boleh jadi mengong kita dibuatnya…..

kudakepang said...

Cina, Nakhoda, Putera dan Cyber. Terima kasih.

Oleh kerana siri ini masih belum berakhir, izinkan saya sekadar mengatakan bahawa tindakan matlamat menghalalkan cara ini dilaksanakan kerana ada pihak yang akan kerugian besar jika PM kehilangan kuasa. Pada jangkaan saya, pihak-pihak ini bukan sahaja yang nampak secara zahir, tetapi mungkin juga kumpulan rahsia yang sedang mendalangi konspirasi terhadap Malaysia di abad ke-21. Dan, jangan kita lupa, bila kita bercakap mengenai konspirasi kuasa besar di abad ini, kita tidak boleh lari daripada membicarakan kuasa-kuasa bersar itu serta jari-jari halus mereka yang cukup seni dalam soal-soal espionage, sabotage, subversion dan juga false-flag operations. Kesemua hal ini disaluti penipuan, kepura-puraan dan juga propaganda kotor dan jahat. AWASLAH MALAYSIA HARI INI SUDAH JADI SATU DARIPADA TAMAN PERMAINAN KESELURUHAN KARYAWAN ASING YANG PAKAR DALAM KERJA-KERJA KOTOR SEMATA-MATA KERANA "MATLAMAT MENGHALALKAN CARA"....