Wednesday, July 19, 2006


DATUK SERI ANWAR IBRAHIM
BALIK KE PANGKUAN UMNO?

KUALA LUMPUR, 19 Julai 2006: Adakah mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sedang merintis jalan pulang ke pangkuan UMNO?

Kalau betul ada ura-ura beliau mahu kembali ke dalam UMNO, apakah usaha itu akan disokong oleh sebilangan besar pemimpin dan ahli UMNO di seluruh negara?

Inilah soalan yang bermain di pemikiran saya bila menerima pesanan ringkas daripada seorang sahabat daripada Utara.

Sahabat itu memberitahu saya, sebuah cawangan dalam UMNO Bahagian Permatang Pauh, Pulau Pinang, telah meluluskan satu usul mengenai usaha membawa Datuk Seri Anwar kembali ke pangkuan UMNO.

Cawangan berkenaan, iaitu UMNO Cawangan Permatang Pauh, dikatakan telah meluluskan satu usul khas mengenai Datuk Seri Anwar dalam persidangan tahunannya baru-baru ini.

Seorang bekas pemimpin UMNO Bahagian Permatang Pauh dikatakan jadi perintis kepada usaha tersebut. Kini beliau dikatakan aktif melobi supaya lebih banyak lagi cawangan meluluskan usul yang sama mengenai Datuk Seri Anwar.

Sahabat saya juga menyatakan, secara umumnya, beberapa pemimpin dan sebilangan ahli biasa UMNO di Permatang Pauh, dikatakan sangat teruja dengan gagasan membawa balik Datuk Seri Anwar ke pangkuan UMNO.

Mereka beranggapan, kalau usaha itu berjaya, pastinya UMNO di seluruh negara akan menuju ke suatu era yang stabil dan benar-benar bersatupadu.

Bagaimanapun, ada juga kalangan UMNO setempat yang sinis dengan perkembangan ini. Mereka tidak yakin Datuk Seri Anwar mahu kembali ke pangkuan UMNO. Ini kerana pada suku pertama tahun 2006, beliau dipetik sebagai berkata bahawa beliau sudah muktamad akan terus bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ini bermakna, Datuk Sri Anwar tidak berhasrat balik kepada UMNO. Sebaliknya, beliau dijangka aktif memperkukuhkan PKR di seluruh negara seperti yang sedang dilakukan sekarang.

Sesetengah golongan sinis juga bertanya, adakah usaha membawa Datuk Seri Anwar kembali kepada UMNO ini atas tajaan kumpulan-kumpulan tertentu yang rapat dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi?

Tidak kurang juga pemimpin dan ahli UMNO yang berteka-teki sama ada usaha mengenai Datuk Seri Anwar ini pula didayausahakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dan sekutunya.

Tetapi, pihak yang tidak prejudis kepada Datuk Seri Abdullah atau Tun Dr. Mahathir, berasa bahawa tidak mudah untuk UMNO menerima kembali Datuk Seri Anwar. Ini kerana beliau mungkin menghalang perkembangan kerjaya politik sesetengah individu tertentu.

Dalam keadaan seperti ini, mungkinkah individu terbabit hanya akan mendiamkan diri sahaja? Tidak mungkinkah mereka akan berusaha sedaya upaya untuk menggagalkan usaha-usaha membawa Datuk Seri Anwar kembali ke pangkuan UMNO?



1 comment:

A Voice said...

Akar umbi pertelingkahan dalam UMNO bukan ke disebabkan seorang manusia yang bernama Anwar bin Ibrahim yang berasal dari Permatang Pauh?

Sekarang ni pun polisi reform PM pun mempunyai tandatangan Anwar bin Ibrahim dengan di terajui oleh over enthusistic orang2 muda yang terleka dengan teori yang di pelajari di sekolah.

Tak serik2 ke UMNO? Tak sedar ke Pak Lah? Atau hanya sikap degil seorang yang luarannya lembut?