Monday, May 19, 2008

Update Daripada Utusan.com

Pemimpin UMNO Johor Terkejut Dr. Mahathir Keluar Parti
19/05/2008 5:16pm


JOHOR BAHRU 19 Mei – Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Dr. Mohd. Puad Zarkashi terkejut dengan tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad mengisytiharkan diri keluar daripada UMNO kerana sebelum ini bekas Perdana Menteri itu tidak menunjukkan sebarang tanda akan berbuat demikian.

Beliau tidak menyangka sama sekali Dr. Mahathir mengambil tindakan berani itu dan turut mengakui menerima banyak khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada ahli-ahli cawangan yang berhasrat mengikuti langkah tersebut.

Beliau bagaimanapun tidak akan mengikuti langkah berkenaan kerana lebih suka menyelesaikan sesuatu masalah secara dalaman.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda Johor, Razali Ibrahim kecewa dengan apa yang berlaku di antara Dr. Mahathir dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau menyifatkan apa yang berlaku amat merugikan UMNO terutamanya ahli yang terdiri daripada generasi muda kerana sepatutnya mereka diberi teladan yang baik.

Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam, Datuk Samsol Bari Jamali yang turut terkejut dengan tindakan Dr. Mahathir bagaimanapun menegaskan pemimpin dan ahli bahagian berkenaan tidak akan mengikuti jejak langkah itu.

Menurutnya, setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. - Utusan.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0519&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_11.htm


DAP Terkejut Dr. Mahathir Keluar UMNO
19/05/2008 4:07pm


KUALA LUMPUR 19 Mei – Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw terkejut dengan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad keluar daripada UMNO.

Menurut Ahli Parlimen Kepong itu, beliau tidak faham mengapa Dr. Mahathir secara tiba-tiba mahu keluar UMNO.

``Apa sebab Dr. Mahathir mahu keluar dari UMNO. Apakah kerana masalah kepimpinan atau sebagainya. Kita pun tidak faham.

``Adakah Dr. Mahathir keluar UMNO kerana menganggap parti itu sudah tidak relevan lagi,’’ katanya. – Utusan

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0519&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_09.htm

Update Daripada Utusan.com
Tun Mahathir Keluar UMNO


19/05/2008 2:02pm

ALOR STAR 19 Mei _ Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan keluar daripada UMNO.

Menurutnya, surat rasmi mengenainya akan dihantar kepada Setiausaha Agung UMNO secepat mungkin.

Katanya, beliau akan berada di luar UMNO selagi Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memimpin parti itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan bertajuk `Kedudukan Orang Melayu Pasca Pilihan Raya Umum Ke-12’ di sini hari ini. - Utusan

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0519&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_03.htm


UMNO Sedih Dengan Tindakan Dr. Mahathir - Mattaib
19/05/2008 3:32pm


KUALA LUMPUR 19 Mei - UMNO yang sudah berusia 62 tahun hari ini cukup bersedih apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bertindak meninggalkan parti itu.

Bagaimanapun, Ketua Penerangannya, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, keputusan itu adalah hak bekas Presiden UMNO tersebut.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan, tiada pihak yang harus mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk berundur.

Menurut Muhammad, ini kerana, walaupun Barisan Nasional (BN) gagal mendapat majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, ia tidak bermakna parti itu gagal untuk memimpin negara ini.- Utusan.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0519&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_05.htm


UMNO Perlis Rayu Tun Mahathir Timbang Semula
19/05/2008 3:38pm


KUALA LUMPUR 19 Mei – Badan Perhubungan UMNO Perlis merayu bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya menimbangkan semula keputusannya untuk keluar daripada parti.

Ketua Penerangannya, Datuk Hashim Suboh berkata, Dr. Mahathir ialah orang yang telah membina UMNO menjadi parti yang berkesan dalam memimpin kerajaan dan negara.

``Jika ada kelemahan, kesilapan dan kesalahan maka ia adalah masalah kepimpinan dan bukannya salah atau dosa UMNO.

``Rakyat dan akar umbi telah memberi mesej yang jelas kepada kepimpinan parti dan kerajaan. Gerakan untuk memperbetulkan parti dan kerajaan telah bermula dan makin berkembang di dalam UMNO,’’ katanya. – Utusan.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0519&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_06.htm

Ahli-Ahli UMNO Diminta Bertenang
19/05/2008 3:52pm


KUALA LUMPUR 19 Mei – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meminta ahli-ahli UMNO bertenang di atas tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan keluar parti serta-merta.

``Tindakan Dr. Mahathir keluar UMNO merupakan satu kehilangan besar kepada parti kerana sumbangan beliau kepada UMNO sangat besar.

``Pada masa yang sama, kita sebagai ahli-ahli UMNO perlu mempertahankan parti kerana matlamat kita memasuki UMNO adalah untuk memperjuangkan nasib orang-orang Melayu,’’ katanya. - Utusan

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0519&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_07.htm

Update 4.07 PM:
Tun Dr Mahathir Umum Keluar Umno Berkuatkuasa Serta Merta

ALOR STAR, 19 Mei (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan keluar dari Umno berkuatkuasa serta merta.

Dr Mahathir yang juga adalah anggota Umno seumur hidup berkata beliau bertindak demikian kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan Umno sekarang yang gagal membela nasib orang Melayu di negara ini.

"Saya umum saya keluar parti hari ini," katanya di hadapan kira-kira 1,000 hadirin yang kebanyakannya anggota Umno Kedah pada majlis bertajuk "Nasib Kedudukan Bangsa Melayu" di sebuah hotel di sini Isnin.

Bekas Presiden Umno itu juga berkata beliau hanya akan kembali menjadi anggota Umno selepas Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Presiden Umno meletak jawatan atau tidak lagi menjadi pemimpin utama negara.

"Saya akan menulis surat kepada Umno bagi memaklumkan mereka (mengenai keluar dari Umno)," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis anjuran Dewan Perhimpunan Melayu kedah itu, Dr Mahathir dengan wajah kecewa berkata beliau terpaksa mengambil tindakan keluar Umno yang dianggotai sejak 1946 kerana berpendapat parti itu tidak lagi dapat berperanan sebagai sebuah parti politik sebenar untuk membela nasib Melayu, sepertimana hasrat sejarah penubuhannya.

Sambil menyatakan rasa tidak puas hatinya, Dr Mahathir mendakwa Umno kini hanyalah dijadikan parti untuk mengiktiraf Abdullah sebagai Presiden Umno dan mengutamakan kepentingan keluarganya (Abdullah) sehingga membelakangkan negara.

"Saya boleh senaraikan perkara-perkara yang dia (Abdullah) lakukan sehingga merugikan negara kita.

"Umno yang wujud hari ini tidak lagi berpegang kepada hasrat parti yang ditubuhkan 62 tahun lepas. Sebab itu saya tidak teragak-agak untuk keluar dari Umno," katanya.

Dalam sejarah Dr Mahathir dalam Umno, beliau pernah dipecat daripada Umno pada 1969 kerana melanggar disiplin parti apabila mengkritik kepimpinan Umno ketika itu, tetapi diterima kembali ke dalam parti pada 1972. -- LAGI

Beranikah Ahli UMNO Ambil Risiko
Ikuti Jejak Tun Mahathir Mohamad?

Bila Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan di Alor Star, Kedah, bahawa beliau keluar daripada UMNO, banyak pihak yang sayangkan parti ini jadi gempar.

Soalnya, kalau beratus-ratus atau beribu-ribu ahli UMNO keluar parti dan banyak pula cawangan UMNO dibubarkan di seluruh negara, mungkinkah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi jadi gempar dan mula memahami mesej di sebalik tindakan ini?

Saya tanyakan soalan di atas kerana tindakan Tun Mahathir yang saya pasti akan diikuti oleh beribu-ribu ahli UMNO akar umbi, adalah usaha terakhir untuk memahamkan Abdullah bahawa beliau wajar meninggalkan gelanggang perjuangan parti dan persada kekuasaan kerajaan dengan serta merta.

Sebenarnya, mesej untuk Abdullah ini sudah pun diberikan menerusi keputusan PRU 12. Namun Abdullah terus menafikan kehendak rakyat. Sebaliknya, Abdullah menyatakan beliau akan terus berkuasa kerana kononnya dapat sokongan penuh pemimpin UMNO.

Oleh itu, bila segolongan besar para pemimpin UMNO terus bersatu untuk mempertahankan Abdullah, pilihan yang ada pada ahli-ahli UMNO akar umbi adalah untuk bersatu demi menyelamatkan UMNO, agama, bangsa dan tanahair.

Lantas, bila Mahathir keluar daripada UMNO, mungkinkah ahli-ahli UMNO akar umbi akan bersatu mengikuti jejak Mahathir dan secara beramai-ramai keluar parti bagi dijadikan tekanan supaya Abdullah berhenti serta merta?

Saya keluarkan persoalan ini kerana cara yang dipelopori oleh Tengku Razaleigh Hamzah, menerusi penganjuran Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM), walau diizinkan oleh Perlembagaan UMNO, adalah berhadapan dengan pelbagai rintangan.

Lantas, mungkinkah cara yang terbaik, menyeluruh dan berkesan adalah cara yang dilakukan oleh Mahathir? Kalau begitu, mampu dan beranikah pemimpin UMNO di seluruh peringkat menyahut cabaran Mahathir untuk keluar parti?

Jika Majlis Tertinggi UMNO dan Perhubungan UMNO di negeri-negeri keberatan untuk “menyingkirkan” Abdullah demi agama, bangsa dan tanahair, mampu dan beranikah pemimpin UMNO di peringkat bahagian dan cawangan mengikuti jejak Mahathir?

Di Johor Bahru Sabtu lalu, Mahathir menyatakan bahawa ahli-ahli UMNO wajar berani bertindak dan berani mengambil risiko besar demi menyelamatkan UMNO yang sepatutnya memperjuangkan agama, bangsa dan tanahair, dan bukan UMNO yang mempertahankan kedudukan Abdullah. Fikir-fikirkanlah. – Ruhanie Ahmad
Salleh Dari Shah Alam Ikut Tun

Saya Salleh Ahmad (no: keahlian tidak disertakan) dari Shah Alam, dengan rasminya keluar UMNO . Saya juga menyahut seranan Tun Mahathir supaya keluar UMNO selagi Abdullah Badawi masih menjadi Perdana Menteri. - 2:28 PM

Ahli UMNO 02832785 Ikut Jejak Mahathir

Di bawah ini adalah pengumuman keluar UMNO yang diterima menerusi ruan komen blog ini. Ramai lagikah yang akan ikut jejak Tun Mahathir? – Ruhanie Ahmad

Mustaqim Abdul Rahman: saya ahli umno 02832785 (Pemuda UMNO) menyahut saranan Tun Dr Mahathir Mohamad (keluar daripada UMNO) dan hanya akan kembali kepada UMNO selepas Abdullah turun.

Minta jasa baik sesiapa boleh mengetuai dan mengumpul nama-nama seperti saya untuk diketengahkan (kepada UMNO). - 2:03 pm
SUDAH SAH
Tun Dr Mahathir Umum Keluar Umno Berkuatkuasa Serta Merta


ALOR STAR, 19 Mei (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan keluar dari Umno berkuatkuasa serta merta.

Dr Mahathir yang juga adalah anggota Umno seumur hidup berkata beliau bertindak demikian kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan Umno sekarang yang gagal membela nasib orang Melayu di negara ini.

"Saya umum saya keluar parti hari ini," katanya di hadapan kira-kira 1,000 hadirin yang kebanyakannya anggota Umno Kedah pada majlis bertajuk "Nasib Kedudukan Bangsa Melayu" di sebuah hotel di sini Isnin.

Bekas Presiden Umno itu juga berkata beliau hanya akan kembali menjadi anggota Umno selepas Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Presiden Umno meletak jawatan atau tidak lagi menjadi pemimpin utama negara.

"Saya akan menulis surat kepada Umno bagi memaklumkan mereka (mengenai keluar dari Umno)," katanya. – Bernama, 19 Mei, 2008 14:29 PM (LAGI)

Benarkah Tun Mahathir Keluar Daripada UMNO?


Update berasaskan dua SMS yang saya terima pada 1.35 tengahari:

“Saya sedang memastikan berita tersebut sama ada Tun Dr Mahathir Mohamad betul-betul keluar meninggalkan UMNO atau merancang untuk berbuat demikian. Saya tidak ada bersama beliau di Kedah” – Pegawai Akhbar Tun Mahathir

“Sah Tun Mahathir keluar UMNO. Beliau minta semua ahli keluar sama. Tapi minta jangan masuk mana-mana parti lain. Saya rasa ini cara Tun Mahathir untuk buat ahli UMNO berani lawan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.” – Penyokong Mykmu

Bagaimanapun, saya masih terus mencari kepastian terhadap berita ini. – Ruhanie Ahmad
Tun Dr Mahathir Keluar Daripada UMNO?


Ahli UMNO No: 000000001, Tun Dr Mahathir Mohamad pagi ini berucap kepada lebih 3000 hadirin di majlis anjuran Dewan Perniagaan Melayu Kedah di Alor Star.

Berikutan itu, kini tersebar SMS yang dikatakan memetik laporan akhbar The Star kononnya Mahathir mengumumkan pada 12.35 tengahari bahawa beliau keluar daripada UMNO.

Saya mencari kesahihan ke atas berita ini dengan menelefon seorang sahabat yang turut menghadiri majlis tersebut. Beliau mengatakan Mahathir tidak ada mengeluarkan kenyataan yang menggemparkan seperti ini.

Bagaimanapun, saya masih terus berusaha untuk memastikan apa yang diura-urakan ini benar atau sebaliknya. – Ruhanie Ahmad
“Singkirkan Abdullah” – Tun Mahathir

Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku ahli UMNO No: 000000001, menyarankan pada Sabtu 17 Mei 2008, supaya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi “disingkirkan” daripada persada kekuasaan negara dan UMNO.

Menurut Mahathir, perjuangan UMNO adalah demi mempertahankan agama, bangsa dan tanahair. Bukannya untuk mempertahankan Abdullah yang mementingkan “keluarga dan konco-konconya.”

Kata Mahathir lagi, soal pengganti Abdullah tidak perlu dibimbangkan. Sesiapa sahaja yang diberikan kepercayaan pasti mampu melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Dalam konteks ini, Mahathir membayangkan bahawa Perdana Menteri selepas Abdullah perlu dinasihati oleh satu “Council of Elders” atau “Majlis Penasihat”.

Mahathir membuat saranan di atas sewaktu berucap untuk merumuskan buah fikiran para panelis Forum UMNO Pasca PRU 12 : Suara Hati Rakyat, anjuran Badan Bertindak Gabungan Ahli-Ahli Akar UMNO UMNO Johor dengan kerjasama Mykmu.net Johor di Johor Bahru.

Para panelis forum tersebut adalah Datuk A. Kadir Jasin, YB Dato' Mukhriz Tun Mahathir, Dato' Zainal Abidin Zain dan saya sendiri (Ruhanie Ahmad). Bekas Duta, Datuk, Syed Hussein Al-Habshee, bertindak sebagai moderator.

Menurut Mahathir, ahli-ahli UMNO wajar bersatu untuk memulih dan memperkasakan parti, bukannya bersatu untuk mempertahankan mana-mana individu di dalam parti.

Kata Mahathir, terdapat seratus satu cara untuk “menyingkirkan” Abdullah. Pokoknya, ahli-ahli UMNO perlu komited, berani bersuara, berani ambil risiko dan berani bertindak. Bagaimanapun, beliau tidak menghuraikan cara-cara tersebut.

Maka, ahli-ahli UMNO perlu menggunakan kebijaksanaan untuk “menyingkirkan” Abdullah. Cara yang dipelopori oleh Tengku Razaleigh Hamzah, menerusi penganjuran Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) adalah diizinkan oleh Perlembagaan UMNO. Tetapi, ia berhadapan dengan pelbagai aral dan rintangan.

Lantas, apakah cara yang terbaik, menyeluruh dan berkesan? Mampu dan beranikah pemimpin UMNO di seluruh peringkat menyahut cabaran Mahathuir seperti di atas?

Jika Majlis Tertinggi UMNO dan Perhubungan UMNO di negeri-negeri keberatan untuk “menyingkirkan” Abdullah demi agama, bangsa dan tanahair, mampu dan beranikah pemimpin UMNO di peringkat bahagian dan cawangan melakukan saranan Tun Mahathir? – Ruhanie Ahmad
TMJ MENCEMAR DULI
KE KAMPUNG SEPARAP

Pada Jumaat, 16 Mei 2008, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar, telah mencemar duli untuk merasmikan masjid di kampung saya, Kampung Separap, Mukim Empat, Batu Pahat, Johor.

Sempena perasmian tersebut, TMJ juga memberikan nama rasmi kepada masjid di kampung saya sebagai Masjid Ungku Ahmad. Masyarakat kampung saya amat berterima kasih di atas penghormatan berkenaan.

Ketiban TMJ disambut oleh Menteri Besar Dato’ Haji Abdul Ghani Othman, Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Dato’ Ali Hassan, ADUN Seri Medan, Haji Ahmad Zahri Jamil, para Exco Kerajaan Negeri Johor, para pembesar daerah serta beribu-ribu penduduk setempat.

Selepas menunaikan fardhu Jumaat, TMJ dan hadirin menunaikan solat hajat memohon kepada Allah SWT semoga keputusan ICJ mengenai Pulau Batu Putih yang akan diumumkan pada 23 Mei 2008, akan memihak kepada Malaysia. Sesudah jamuan makan tengahari, TMJ beramah mesra dengan rakyat jelata. Majlis bersurai kira-kira jam 3.00 petang.

DYMM Sultan dan TMJ memang sering melakukan lawatan ke kampung-kampung pendalaman di seluruh daerah di Johor. Lantaran itulah hubungan antara Istana Johor dengan rakyat jelatanya adalah sentiasa akrab dan mesra. DAULAT TUANKU! - Ruhanie Ahmad

Thursday, May 15, 2008

DATUK CHAMIL WARIYA
RTM , FORUM DAN BUKU

Ramai sahabat-sahabat mengirimkan inputs kepada saya untuk sessi secara langsung dengan RTM 1 mengenai bloggers pada 8.40 malam, Ahad, 18 Mei 2008. Saya ucapkan jutaan terima kasih. Saya akan berusaha sedaya upaya menyampaikan seluruh harapan berkenaan, jika terluang masa.

Saya akan ingat, ayat magic dalam sesi itu adalah C.O.N.T.R.O.L! Dan, saya yakin moderator malam itu, Datuk Chamil Wariya – rakan seperjuangan sewaktu di dunia kewartawanan – pasti tidak akan cuba mengendalikan program berkenaan menerusi psikologi melabrak atau berkonfrontasi.

Mengenai forum di JB, ramai juga sahabat mengirimkan luahan hati dan pandangan masing-masing. Insya Allah segala-galanya akan saya gemblengkan ke dalam analisa saya yang relevan dengan tajuk forum - UMNO Pasca PRU 12 : Suara Hati Rakyat.

Dan, ada pula sahabat-sahabat di luar JB yang bercadang turun ke JB semata-mata untuk membeli buku-buku The Toyol Code, Gelombang Kuning Gelombang Rakyat dan Hindraf: Satu Konspirasi? tulisan saya.

Kepada mereka, saya nasihatkan kunjungilah kedai buku maya saya di alamat http://warung-buku.blogspot.com. Kini hanya tinggal 500 buah setiap jodol ada dalam stok saya. Buatlah pesanan segera. Kalau tidak, anda kena tunggu cetakan kedua siap.

Kepada para pembeli yang sudah membuat tempahan dan bayaran, buku-buku akan dihantar mulai minggu depan. Saya pohon jutaan maaf kerana tergendala disebabkan soal teknikal. Salam takzim. – Ruhanie Ahmad.

Wednesday, May 14, 2008

Forum: UMNO Pasca PRU 12 : Suara Hati Rakyat
Di Hotel M-Suite, JB, 8am-2pm, Sabtu 17 Mei 2008

Badan Bertindak Gabungan Ahli-Ahli Akar Umbi UMNO Johor dengan kerjasama Mykmu.net (Johor) akan mengadakan forum di atas di mana Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir Bin Mohamad dijangka menyampaikan ucaptamanya.

Lain-lain panel adalah Datuk A. Kadir Jasin, YB Dato' Mukhriz Tun Mahathir, Dato' Zainal Abidin Zain dan saya sendiri (Ruhanie Ahmad). Bekas Duta, Datuk Syed Hussein Al-Habshee, akan bertindak sebagai moderator.

Masuk percuma, semua dijemput hadir. Sila emailkan nama dan nombor telefon ke mykmujohor@yahoo.com untuk pendaftaran.

Saya pula mengharapkan sahabat-sahabat surfers dan bloggers mengirimkan inputs ke blog ini untuk saya luahkan di forum berkenaan.

Sempena forum itu, buku-buku The Toyol Code, Gelombang Kuning Gelombang Rakyat dan Hindraf: Satu Konspirasi? akan dijual dengan harga diskaun. Oleh kerana stok terhad, hanya 150 buah bagi setiap jodol akan di bawa ke JB.

Buku-buku ini akan dijual pada harga RM12 setiap satu atau RM35 untuk ketiga-tiganya. Sesiapa yang berminat sila hubungi Saudara Salahuddin di majlis berkenaan. Kalau terluang masa, saya akan mengautograf buku-buku tersebut. - Ruhanie Ahmad
BLOGGERS DI MAYAPADA
MANUSIA DI BUMI NYATA

Ruhanie Ahmad

Blogs adalah media komunikasi interaktif baru yang berasaskan internet. Ia dilahirkan oleh ledakan ICT yang sentiasa hidup dan terus berkembang. Ia membabitkan perisian atau contents dalam bentuk teks, audio dan video yang mencakupi seluruh aspek kehidupan.

Contents paling popular bagi blogs adalah teks yang merangkumi pelbagai disiplin. Teks ini pula dihasilkan bedasarkan citarasa, latarbelakang, pengalaman, pengetahuan serta minat pemilik-penulis blogs yang dikenali sebagai bloggers.

Sebab itulah wujud berjuta-juta kategori blogs dan bloggers di alam maya - ada yang membicarakan soal agama, membincangkan soal ekonomi, mempolemikkan isu politik, merungkai aspek-aspek geopolitik, menfokus kepada hal-hal peribadi, undang-undang, perubatan, sastera, teknologi, keusahawanan dan segala-galanya.

Secara umumnya, ciri utama seluruh blogs adalah kebebasan yang dinikmatinya. Bloggers memuatkan contents ke blogs milik mereka atau blogs kelolaan mereka secara bebas mengikut citarasa mereka sendiri dalam semua aspek, termasuk cara pemaparan tema perisiannya, gaya bahasanya dan lenggok tarinya.

Ini bermakna, contents seluruh blogs adalah dicorakkan oleh empowerment atau kebebasan yang wujud bersama ICT. Ini juga bermakna, kuasa di hujung jari bloggers boleh menggerakkan apa sahaja contents mengikut citarasa dan kebebasan yang diberikan oleh internet kepada mereka.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna majoriti bloggers tidak mempunyai disiplin diri dan etika peribadi dalam menyedia dan memaparkan contents masing-masing. Soal ini wajar dihalusi tanpa prejudis dan kebencian yang tebal.

Pengorbanan

Menetik pendapat blogger SU-KJ: blog adalah rumah kita sendiri. Kita lebih bebas untuk menulis. Manakala akhbar pula adalah ibarat rumah sewa di mana kita terikat dengan syarat tertentu. Maksudnya kita tak boleh bebas.

Kepada saya, blogs adalah umpama pelbagai taman yang diwujudkan untuk dikongsikan dengan semua pihak yang sudi berkunjung untuk menikmati keindahannya atau untuk menganalisa cacat dan celanya. Kalau blogs boleh diibaratkan sebagai akhbar, maka blogs adalah lembar akhbar peribadi yang disediakan untuk bacaan umum secara percuma dan secara digital.

Kalau blogs diibaratkan sebagai antologi puisi, maka blogs adalah himpunan catatan rasa, luahan jiwa dan jeritan suara pemiliknya terhadap apa sahaja yang menyentuh sensitiviti dan keprihatinan naluri mereka pada sesuatu waktu tertentu dan berdasarkan sesuatu perkembangan serta latarbelakang yang juga tertentu.

Satu lagi ciri utama blogs adalah hakikat kesukarelan dan pengorbanan yang muncul bersamanya. Ini adalah perbezaan yang amat nyata berbanding media cetak atau elektronik yang majoritinya diwujudkan dengan motivasi keuntungan. Hakikat kesukarelaan dan pengorbanan ini menjadikan misi dan matlamat kewujudan blogs lebih murni dan lebih abadi.

Sebab itulah ada juga blogs yang dikategorikan sebagai “citizen journalism” atau “kewartawanan rakyat” kerana blogs dalam kategori ini diwujudkan secara sukarela oleh warga internet untuk dijadikan suguhan minda kepada seluruh warga maya secara global.

Berasaskan huraian di atas, bloggers bukan wartawan dalam ertikata yang sebenar-benarnya. Mereka tidak mempunyai suratkabar atau majalah. Mereka tidak menghasilkan sesuatu tulisan atas motivasi material. Mereka tidak mempunyai majikan. Mereka tidak makan gaji. Mereka menjana minda, menyengkal mata, berkorban masa dan membelanjakan wang ringgit sendiri demi dorongan hati, komitmen diri, dan keyakinan terhadap sesuatu misi kehidupan.

Khazanah Minda

Bloggers bersuara dan berbicara di alam siber kepada audiens yang tidak dikenali, sama ada audiens tempatan, serantau atau internasional. Mereka memang merupakan warga di sesebuah negara yang mempunyai sempadan politik dan geografi yang spesifik. Tetapi, khazanah minda mereka di internet adalah untuk dikongsikan dengan seluruh warga jagat yang sudi berkongsi minat, pendapat, destini, ideologi, kepercayaan atau belief dan identiti.

Apa yang dimiliki oleh bloggers hanyalah nama, azam, cita-cita, kesungguhan, motivasi diri dan ruang maya yang dikenali sebagai blogs dengan contents yang multi-tema, multi-fokus, multi-corak dan multi-suasana. Nama itu juga lazimnya hanya nama pena. Hanya segelintir bloggers yang mempunyai pendidikan dalam disiplin kewartawanan dan hanya segelintir juga yang menggunakan nama sebenar.

Lantaran itu, dalam konteks yang seluas-luasnya, bloggers bolehlah dikategorikan sebagai pembekal contents, penulis, kolumnis, penganalisis, pengkritik, penyimpan jurnal, pembentuk pendapat, penjana minda atau pembekal maklumat yang berasaskan kepada citarasa, pengetahuan serta pengalaman diri.

Maka, adalah satu kesilapan besar untuk mana-mana pihak membuat kesimpulan bahawa bloggers hanya menumpukan minat kepada soal sosio-politik, ekonomi dan hal ehwal semasa. Sesiapa yang membuat kesimpulan seperti ini adalah golongan yang naïf, kurang memahami soal blogs, blogging dan bloggers. Kumpulan seperti ini wajar mendalami soal blogs, blogging dan bloggers sebelum membuka mulut dan menyatakan sesuatu yang akan memaparkan kedangkalan mindanya.

Bagaimanapun, kesimpulan pukul borong seperti inilah yang ketika ini menyebabkan majoriti bloggers di Malaysia disifatkan sebagai kumpulan insan penuh kontroversi. Hakikatnya begitu kerana ada pihak menyifatkan semua bloggers dengan pelbagai label negatif. Hakikatnya demikian kerana sesetengah masyarakat umum, pemimpin kerajaan dan parti pemerintah terbukti cetek pengetahuan masing-masing mengenai blogs, bloggers dan blogging.

Kerugian

Semua ini terjadi kerana majoriti kumpulan di atas hanya menumpu kepada blogs dan bloggers sosio-politik. Mereka melabelkan bloggers kategori ini kononnya sebagai penabur fitnah. Sebenarnya mereka menggunakan label tersebut kerana fitnah adalah perkataan emotif yang mudah digunakan untuk menafikan sesuatu kebenaran yang mahu disembunyikan daripada pengetahuan umum.

Kumpulan manusia seperti ini sebenarnya amat kerugian kerana sikap negatif mereka terhadap blogs, blogging dan bloggers menyebabkan mereka gagal memahami pentingnya blogs, sebagai wadah komunikasi rakyat yang paling berkesan dan mudah pada ketika ini.

Sikap prejudis dan kebencian yang amat tebal ini menyebabkan individu-individu berkenaan jadi buta hati. Mereka enggan menerima hakikat bahawa bloggers sosio-politik di Malaysia adalah golongan yang mempunyai kepakaran di bidang profesional. Mereka juga gagal untuk mengakui bahawa majoriti bloggers sosio-politik di negara ini majoritinya adalah kumpulan wartawan yang berpengalaman dan ada nama.

Lebih serius lagi, kegagalan di atas menyebabkan kumpulan yang prejudis terhadap blogs, blogging dan bloggers gagal menggunakan blogs sebagai satu daripada media penting dalam soal-soal negara dan kenegaraan.

Dalam konteks politik, sikap negatif ini menyebabkan sesetengah parti politik jadi pihak yang paling ketinggalan dalam memanfaatkan blogs sebagai satu cara mengukuhkan parti, baik dari segi proses memenangi jiwa dan sokongan generasi muda, mahu pun dalam konteks melicinkan pengurusan politik hingga ke akar umbi.

UiTM

Oleh itu, saya cadangkan kepada UiTM supaya membuat satu kajian terperinci mengenai blogs, blogging dan bloggers di seluruh dunia, termasuk Malaysia, dan serahkan hasil kajian itu kepada pihak pemerintah negera ini, khususnya agensi yang bertanggungjawab memantau pendapat umum terhadap sesuatu kenyataan, dasar serta tindakan pemerintah.

Pada waktu yang sama, seluruh agensi yang bertanggungjawab terhadap ICT wajarlah mengadakan siri perbincangan menyeluruh dengan seluruh bloggers tempatan untuk membincangkan aspek etika blogs, blogging dan bloggers tempatan. Etika seperti ini pastinya membantu ke arah kewujudan dunia blogs, blogging dan bloggers Malaysia yang lebih sejahtera di hari muka.

UiTM wajar mempelopori usaha di atas kerana universiti ini mempunyai Sekolah Kewartawanan yang tertua di negara ini. Saya optimis usaha ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada pemerintah malahan akan meneroka lain-lain bidang berkaitan dengan blogs, blogging dan bloggers yang boleh dikomersilkan di hari muka.

Saya mempunyai banyak idea mengenai soal ini. Tetapi, ianya hanya akan saya artikulasikan pada forum yang sewajarnya. [Nota: posting di atas adalah sebahagian daripada kandungan buku terbaru saya yang sedang dalam proses penyediaannya berjodol Bloggers Kawan Atau Lawan. Insya Allah, buku akan menemui anda semua pertengahan Jun 2008.] - telah dikirimkan kepada akhbar Sinar Harian
KUDA-KEPANG DI RTM
HARI AHAD 18 MEI 2008

Saya telah dijemput untuk sessi RTM bersama bloggers pada Ahad 18 Mei 2008, jam 8.45 malam.

Saya amat menghargai jika sahabat-sahabat surfers sudi berikan saya inputs untuk sessi tersebut. Terima kasih. – Ruhanie Ahmad

Monday, May 12, 2008

Suara Muhyiddin (5)
BERKATA SOAL YANG HAK
ISU JAWATAN SOAL KEDUA


PADA saat dan ketika ini, fokus Muhyiddin hanyalah kepada perjuangan menyelamat, merekayasa dan memperkasakan semula UMNO dan BN. Beliau memilih corak perjuangan ini bukan kerana mahu meletakkan dirinya ke suatu situasi yang prominen atau lebih penting daripada Abdullah atau Najib. Muhyiddin juga bertindak sedemikian bukan kerana beliau mahukan limelights demi kepentingan peribadi. Muhyiddin bersikap sebegitu rupa kerana kepadanya, soal jawatan adalah soal kedua. Kepada Muhyiddin, soal pangkat dan jawatan adalah ditakdirkan oleh Allah SWT.

Demikianlah sikap dan pendirian Muhyiddin. Soal ini beliau suarakan secara hitam dan putih dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia pada 13 April 2008. Teks sepenuhnya kenyataan Muhyiddin mengenai isu ini adalah seperti berikut:

MINGGUAN: Tan Sri dilihat salah seorang yang layak untuk ditonjolkan di peringkat lebih tinggi.

MUHYIDDIN: Saya tidak fikir soal itu, itu terserah kepada ahli-ahli parti. Kalau mereka fikir saya boleh berperanan, saya akan jalankan tanggungjawab itu untuk menyumbang kepada parti di mana juga peringkat tetapi saya tidak minta. Sekarang ini kedudukan saya adalah Naib Presiden, saya bersuara lebih daripada pihak-pihak yang lain, saya tidak kisah. Kadang-kadang ada orang kata saya lebih banyak bersuara daripada Najib, bercakap lebih daripada Pak Lah, tetapi kalau mereka tidak bercakap saya bercakap.

Saya tidak boleh tutup mulut, justeru soal hendak pegang jawatan bukanlah terlalu penting. Namun kalau ditakdirkan oleh Allah saya diberi amanah untuk memegang jawatan lebih tinggi, saya sanggup apa sahaja. Ini bukanlah beban yang selesa. Dalam kedudukan saya, saya tahu apa yang boleh saya buat iaitu bersuara. Kalau dalam agama ini adalah iman yang paling lemah. Agama kata, bertindak itu dan ini tetapi kalau kamu tidak boleh berbuat apa-apa, kamu bersuaralah. Itu yang saya lakukan, terserahlah kepada ahli-ahli memikirkannya.

MINGGUAN: Ada atau tidak desakan di kalangan ahli UMNO yang mahu Tan Sri bukan sekadar bersuara tetapi lebih daripada itu - bertanding jawatan tinggi?

MUHYIDDIN: Tidak ada desakan tetapi pandangan ada. Kalau mereka melihat saya berani bersuara dan berkata sesuatu yang hak, boleh berperanan penting dan ada gaya kepimpinan itu terserah kepada mereka. Pada waktu ini saya tidak mahu menilai diri saya.

Saya tidak berfikir langsung inilah peluang terbaik untuk masuk bertanding di mana-mana peringkat bagi melawan sesiapa. Namun kalau ahli fikir, Muhyiddin boleh berperanan membantu parti dalam kedudukan mana sekali pun, saya terima. Tetapi penentuan ini bukan saya tetapi mereka dan Allah menentukan, saya hanya bersedia untuk berkorban demi parti. Bagaimanapun apabila tiba masanya, saya hendak membuat keputusan sama ada untuk pertahankan jawatan atau bertanding peringkat lebih tinggi, saya akan umumkan.

MINGGUAN: Apa nasihat Tan Sri kepada ahli-ahli menjelang pemilihan parti bagi memastikan mereka memilih pemimpin yang benar-benar berwibawa?

MUHYIDDIN: Ini satu proses demokrasi yang harus digunakan sebaik-baiknya untuk meremajakan UMNO, menyuntik semangat baru, membariskan kepimpinan bertenaga dan berwibawa yang boleh memberi kekuatan baru kepada parti agar UMNO terus relevan.

Demikianlah akhirnya siri suara Muhyiddin yang saya petik daripada Mingguan Malaysia 13 April 2008, dan saya siarkan dalam blog kuda-kepang. Moga-moga posting akhir ini akan membantu anda sekalian mengketengahkan pandangan bagaimanakah UMNO, BN dan Malaysia boleh diselamatkan daripada “musibah” yang muncul menerusi PRU 12. – Ruhanie Ahmad
SELAMAT HARIJADI UMNO KE-62
TERUSKAN KUASA PASCA PRU 13

Ruhanie Ahmad

UMNO belum jalankan bedah-siasah ke atas kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU 12). Kalau ada pun hanya satu usaha yang kelihatan tidak terperinci, tidak menyeluruh dan tidak bersungguh-sungguh.

Itulah kesimpulannya setelah meneliti wawancara bertulis Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden UMNO dengan satu akhbar perdana dan setelah mengkaji ucapan Abdullah sempena harijadi UMNO ke-62 tahun di PWTC Kuala Lumpur.

Dalam wawancara tersebut, antara lainnya, Abdullah telah ditanya soalan di bawah ini:

Sebagai Presiden UMNO, apakah yang dilakukan oleh Datuk Seri dalam usaha mengembalikan semula keyakinan orang Melayu terhadap UMNO di semua peringkat?

Maksud soalan berkenaan adalah, apakah usaha-usaha pemulihan yang dilakukan oleh UMNO sesudah PRU 12. Jawapan bertulis Abdullah kepada soalan ini adalah seperti berikut:

Sebaik sahaja tamat Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu, saya telah menemui semua ahli Perhubungan UMNO Negeri di seluruh negara yang terdiri daripada Ketua-Ketua Bahagian UMNO di setiap bahagian. Mereka telah menyuarakan pandangan, saranan, pendapat dan cara-cara memperkukuhkan semula parti.

Pertemuan

Pertemuan ini telah diadakan di kediaman saya dalam beberapa siri secara tertutup. Pertemuan tersebut diikuti dengan lawatan Jawatankuasa Pengurusan ke negeri-negeri seperti Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Pertemuan-pertemuan selanjutnya akan diadakan dari semasa ke semasa.

Jawapan di atas membuktikan bahawa UMNO belum mengendalikan satu post-mortem khusus terhadap kekalahan BN dalam PRU 12 yang juga membabitkan calon-calon UMNO.

Apa yang telah dilakukan oleh Abdullah hanyalah menganjurkan beberapa siri pertemuan tertutup di Seri Perdana, Putrajaya, dengan “ahli Perhubungan UMNO Negeri di seluruh negara yang terdiri daripada Ketua-Ketua Bahagian UMNO di setiap bahagian.”

Dalam pertemuan tertutup itu, kata Abdullah, seluruh pihak terbabit “telah menyuarakan pandangan, saranan, pendapat dan cara-cara memperkukuhkan semula parti.”

Kata Abdullah lagi: “pertemuan tersebut diikuti dengan lawatan Jawatankuasa Pengurusan ke negeri-negeri seperti Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Pertemuan-pertemuan selanjutnya akan diadakan dari semasa ke semasa.”

Musibah

Saya memfokus kepada soal post-mortem ke atas UMNO selaku induk BN berikutan PRU12 kerana tanpa usaha ini adalah sukar untuk UMNO melakarkan strategi tercancang, menyeluruh dan berkesan demi UMNO dan BN di hari muka.

Soal post-mortem ini juga saya bangkitkan kerana inilah usaha pertama yang sewajarnya diberi keutamaan oleh pucuk pimpinan tertinggi UMNO sesudah berlaku “musibah” atau “bencana” yang dimanifestasikan menerusi keputusan PRU 12.

Lebih mendesak lagi, post-mortem ini adalah amat penting kerana menerusi PRU 12, BN dan UMNO bukan sahaja gagal menawan semula Kelantan, malah kehilangan kuasa kerajaan negeri di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

Lantaran itu, mengapakah UMNO belum mengadakan sebarang post-mortem menyeluruh ke atas kekalahannya dalam PRU 12? Mungkinkah kerana Abdullah amat yakin bahawa UMNO masih utuh, unggul dan kuat? Sebab itukah Abdullah juga menegaskan dalam wawancara bertulisnya seperti berikut:

Kalau diperhatikan secara teliti akan keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu, UMNO tidak mengalami kemerosotan seperti yang didakwa. UMNO memenangi 85 peratus daripada kerusi yang ditandinginya tetapi majoriti yang telah diperoleh oleh calon-calon UMNO kurang daripada yang diperoleh dalam pilihan raya umum 2004.

Terhakis

Walaupun begitu, orang Melayu tidak meninggalkan UMNO secara total. Kuasa orang Melayu belum terhakis. Saya setuju jika prestasi kita diperkatakan menurun, tetapi UMNO masih kekal sebagai tunjang kekuatan Melayu.

Abdullah pasti mempunyai wisdomnya tersendiri untuk bersikap positif dan optimis seperti di atas. Tetapi, bila UMNO hanya “memenangi 85 peratus daripada kerusi yang ditandinginya” dalam PRU12 dan “majoriti yang telah diperoleh oleh calon-calon UMNO kurang daripada yang diperoleh dalam pilihan raya umum 2004”, adakah ini perkembangan biasa?

Tidakkah jadi satu keperluan dan keutamaan untuk mengkaji sebab-sebab UMNO dan BN kehilangan kuasa di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor? Adakah kekalahan 15 peratus kerusi yang ditandingi UMNO bukan perkembangan luar biasa? Tidakkah UMNO perlu ketahui mengapakah prestasinya menurun dalam PRU 12?

Abdullah mungkin betul bila beliau mengatakan “orang Melayu tidak meninggalkan UMNO secara total” dan “kuasa orang Melayu belum terhakis.” Tetapi, bagaimanakah Abdullah memastikan hakikat ini secara objektif dan berwibawa?

Inilah ironinya Abdullah. Beliau amat yakin bahawa “UMNO tidak ditolak di akar umbi. Di luar bandar UMNO tetap kukuh.” Tetapi, keyakinan ini nampaknya hanya berasaskan laporan yang disampaikan kepada beliau dalam sesi tertutup di Seri Perdana.

Muhyiddin

Pada 13 April 2008, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin selaku Naib Presiden UMNO, mencadangkan BN melakukan satu post-mortem terhadap kekalahan teruk BN dalam PRU 12. Post-mortem ini, kata Muhyiddin, wajar dilaksanakan “secara bebas supaya tidak ada pihak yang mengubah suainya untuk kepentingan sesiapa.”

Muhyiddin membuat cadangan itu kerana “kita hendak tahu, apakah sebenarnya yang menyebabkan kita kalah teruk walaupun di peringkat awal orang sudah membuat andaian-andaian. Pertama, mereka sebut soal kepimpinan, mereka menyalahkan Perdana Menteri yang juga Presiden parti dan Pengerusi BN. Mereka juga mengaitkan dengan apa yang sering disebut fakta KJ. Mungkin ia tidak betul atau persepsi, tetapi dalam pilihan raya dan politik, persepsi itu penting.”

Muhyiddin juga menegaskan: “Ada rakyat yang mengatakan kepimpinan BN tidak menyerlah, lemah dan tidak berupaya menangani keadaan semasa. Ada yang sebut soal-soal berkaitan ketelusan, hak kebebasan dan nilai-nilai baru yang mungkin kita tidak sedari mulai menyerap dalam pemikiran generasi baru. Kita masih berfikiran lama. Orang sudah berubah, kita tidak berubah.”

Begitulah hakikatnya Abdullah dan UMNO pada harijadi parti yang ke-62. Abdullah selaku Presiden boleh menyatakan apa sahaja yang beliau mahukan. Realitinya, UMNO hari ini bukan UMNO semalam. UMNO hari seolah-olah dalam keadaan darurat.

Kalau sikap Abdullah masih seperti kenyataannya di atas, saya hanya boleh menyatakan: “Selamat maju jaya UMNO.” Mudah-mudahan dalam PRU 13 kelak parti warisan bangsa ini masih survive dan terus berkuasa! – Disiarkan oleh Sinar Harian

Sunday, May 11, 2008

KUASA MELAYU BELUM TERHAKIS

Mingguan Malaysia

Hari ini UMNO menyambut ulang tahunnya yang ke-62. Berbanding tahun-tahun sebelumnya, sambutan kali ini dianggap menjadi pentas terbaik untuk parti berkenaan bermuhasabah berikutan prestasi dalam Pilihan raya Umum ke-12, baru-baru ini.

Pelbagai tafsiran dibuat mengenai kekuatan UMNO berikutan keputusan berkenaan, apatah lagi apabila Barisan Nasional (BN) kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen manakala empat negeri terlepas kepada pembangkang iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Di Wilayah Persekutuan pula, BN hanya menang tiga daripada 13 kerusi dan BN juga gagal menawan kembali Kelantan. Sokongan yang diterima oleh Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga dijadikan sandaran untuk menimbulkan persepsi bahawa UMNO kini semakin ditolak oleh orang Melayu.

Walaupun pelbagai tafsiran dibuat berhubung kedudukan UMNO, namun Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mempunyai pandangan beliau sendiri.

Dalam wawancara khas dengan Mingguan Malaysia yang dijawab secara bertulis oleh Perdana Menteri, beliau mengulas pandangan-pandangan yang dilemparkan kepada UMNO.

Bagi Abdullah, UMNO tidak mengalami kemerosotan sokongan daripada orang Melayu biarpun prestasi parti itu agak menurun dalam pilihan raya umum.

‘‘UMNO masih kekal tunjang kekuatan Melayu,’’ itulah hujah Abdullah.

Bagi Perdana Menteri, UMNO tetap dengan perjuangan asal dan tetap mempertahankan maruah Melayu. Menurut beliau, orang Melayu tidak meninggalkan UMNO dan kuasa Melayu belum terhakis.

Dalam wawancara itu juga, beliau turut mengulas mengenai dakwaan kononnya UMNO tunduk kepada tekanan parti komponen BN. Bagi Perdana Menteri tidak timbul soal tunduk kerana apa juga keputusan yang dibuat dalam BN ia dilakukan secara konsensus.

Sempena sambutan ulang tahun UMNO hari ini, Abdullah memberikan pesanan kepada ahli-ahli parti dengan berkata, “Kita tidak ada masa untuk bertelagah atau memikirkan mengenai apa jawatan yang perlu kita pegang semata-mata kerana ada Mesyuarat Agung.’’

Untuk membaca wawancara yang diberikan jawapan secara bertulis ini sila akses:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0511&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm
ASAS DAN TUJUAN UMNO
BUAT RENUNGAN SEMUA


Ada sesetengah pihak mempertikaikan bahawa UMNO bukannya berusia 62 tahun pada hari ini kerana UMNO yang diwujudkan di Istana Besar Johor Bahru pada 11 Mei 1946 sudah pun dibatalkan pedaftarannya oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Februari 1988. Jadi, oleh kerana UMNO yang wujud hari ini hanya lahir pada 15 Februari 1988, maka pihak-pihak terbabit pun mendakwa bahawa UMNO kini baru sahaja berusia 20 tahun.

Kepada saya UMNO tetap UMNO. Seperti juga bangsa Melayu-Islam, tetap Melayu dan Islam. Biarpun Melayu-Islam lama atau Melayu-Islam baru, mereka tetap Melayu dan Islam.

Oleh itu, terserahlah kepada warga UMNO untuk memilihnya. Adakah hari ini UMNO berusia 62 tahun atau masih remaja dan hanya berusia 20 tahun? Kalau usia UMNO diiktiraf sebagai 62 tahun, maka dewasakanlah perjuangan parti ini. Kalau sudah terbabas, baliklah ke pangkal jalan. Tapi, kalau ada pemimpinnya yang sudah terbabas jauh, nasihatilah beliau meninggalkan arena UMNO dengan serta-merta.

Begitu juga kalau UMNO ini baru berusia 20 tahun. Kalau hakikatnya parti ini masih remaja, maka dewasakanlah UMNO berasaskan akar dan tunjang Melayu-Islam. Perjuangannya mestilah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO – demi agama, bangsa dan negara. Bukan demi kuasa asing, sekutu zionis atau kuasa neoimperialis. Bukan untuk meng-elit-kan UMNO. Tetapi, untuk memasyarakatkan UMNO seperti dulu-dulu.

Bagaimanapun, kerana rata-rata warga UMNO mengiktiraf bahawa UMNO tetap UMNO, kembalikanlah UMNO kepada kedudukan asalnya, tetapi dengan adjustment dari segi pendekatan dan mindset pemimpinnya.

Maksud saya, iktiraflah akar umbi UMNO adalah di kampung-kampung. Kalau UMNO sudah berusia 62 tahun, janganlah kemewahan menjadikan UMNO lupakan kampung. Kalau UMNO baru berusia 20 tahun, janganlah pendidikan dan pelajaran menyebabkan pemimpin UMNO jijik menjejakkan kaki ke kampung-kampung.

Insaflah. UMNO peringkat akar umbi di kampung-kampung adalah sumber kekuasaan mereka yang memimpin UMNO. Dan, insaflah bahawa warga kampung lazimnya adalah kelompok yang sentiasa ikhlas dan jujur. Tetapi, sekali hati mereka terluka dan jiwa mereka tercalar, ubatnya bukan dari bahan-bahan kimia buatan manusia. Ubatnya adalah dari seribu satu rumput-rampai semulajadi dan pelbagai herba yang wujud di kampung-kampung. Ubat-ubatan ini memang tradisional. Tetapi, tidak mengandungi unsur-unsur racun yang membunuh secara perlahan-lahan.

UMNO ADALAH PARTI KAMPUNG! TAPI WARGA KAMPUNG PUN FAHAM AKAN TUNTUTAN-TUNTUTAN DI BAWAH INI:

FASAL 3: ASAS DAN TUJUAN

UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruh dan martabat bangsa, agama dan negara.

3.1: Mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara.

3.2: Mendukung dan mempertahankan Perlembagaan Negara, Perlembagaan Negeri-negeri dan Raja Berpelembagaan.

3.3: Menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebangsaan beragama.

3.4: Mempertahankan kedaulatan rakyat dan keadilan sosial dengan mengamalkan Sistem Pemerintahan Demokrasi Berparlimen serta memajukan ekonomi rakyat Melayu dan Bumiputera khasnya dan rakyat Malaysia amnya.

3.5: Menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) sebagai bahasa rasmi yang tunggal dan Kebudayaan Kebangsaan yang berteraskan Kebudayaan Melayu.

3.6: Mewujudkan kerjasama antara kaum bagi melahirkan satu bangsa Malaysia yang kuat dan bersatu berasaskan kepada hak-hak Asasi Manusia dan Hak-Hak Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera.

Oleh itu, hormatilah aspirasi, tuntutan dan kehendak warga kampung. Oleh itu, peliharalah kesejahteraan dan kebajikan warga kampung. Oleh itu, hayatilah semula norma, budaya, dan pemikiran warga kampung, walaupun UMNO bercita-cita melahirkan generasi glokal dan towering Malays. Oleh itu, jangan anggap warga kampung hari ini kolot, kuno dan bodoh. - Ruhanie Ahmad



Saturday, May 10, 2008

Cetusan Hati Akar Umbi
Menjelang 11 Mei 2008

Nakhoda

Saya ni dari keluarga UMNO yang paling totok. Maksudnya, yang paling setia dan paling tidak pernah mahu mengenal parti siasah lain. Saya juga pernah jadi Ketua Pemuda UMNO cawangan.

Masa ni saya sangat-sangat sedih. UMNO macam tak ada keutamaan dalam perjuangannya. Patutnya UMNO parti pro-aktif. Hari ini UMNO asyik re-aktif. Hanya buat kenyataan atas isu dibangkitkan pembangkang. Adakah UMNO parti yang hidup atas isu?

Tengok hari ini. Rakyat minta Abdullah berhenti. Tapi, orang UMNO bangga dengan sana sini sibuk pasal Karpal Singh. Orang DAP tak berani bersuara kalau UMNO kuat. Sekarang ini, pasal UMNO lembik dan kuat tidur, Karpal Singh melalaklah.

Dalam keadaan macam ni, mana satu yang mesti UMNO betulkan dulu? Betulkan UMNO atau buat laporan polis pasal Karpal Singh dan cari publisiti murahan, lepas tu masuk angin keluar asap?

Sebagai anak UMNO yang amat totok, saya tak kira UMNO sekarang ni UMNO baru atau UMNO lama, usia UMNO 62 tahun atau 20 tahun (UMNO yang ada sekarang didaftarkan semula pada 1988). Yang saya titikberat dan persoalkan adalah arah perjuangan UMNO ke mana dan keutamaan UMNO ke mana?

Macam Datuk cakap dalam tulisan Datuk, abad ini abad Asia dan abad Asia Tenggara dalam geopolitik dunia dan serantau. Tapi pemimpin UMNO terus leka dengan bodek dan ampu dari proksi-proksi neoimperialis. Kita bukan tak boleh berkawan. Tapi berpada-padalah bila berkawan dengan sekutu zionis. Ini sampai buka kawasan, atas nama apa pun, untuk proksi neoimperialis. Apakah pemimpin besar UMNO tak boleh fikir tentang tipu muslihat neoimperialis?

Saya harap Datuk teruskan usaha Datuk. Loyalis UMNO yang lain pun gitu juga. UMNO untuk Islam, Melayu dan Tanah Melayu. Memang UMNO berkongsi kuasa dengan orang lain. Itu boleh dihalusi menerusi BN. Dalam UMNO, kita kena jaga kemuliaan Islam, kepentingan Melayu,dan kedaulatan Tanah Melayu termasuk Sabah dan Sarawak. Atas pletfom BN baru kita cakap pasal bangsa Malaysia dan kepentingan Malaysia yang dipersetujui oleh semua menerusi perlembagaan negara.

Saya harap UMNO balik ke pangkal jalan. Kalau tidak, ramai warga UMNO tersesat jalan atau tersadai di pinggir jalan kerana mereka kecewa dengan pemimpin besar mereka yang sepatutnya memandu mereka ke jalan lurus dan jalan yang benar!
BATALKAN WPI?

Politica

Saya bangga dengan keberanian Tan Sri Muhyiddin Yassin. Saya doakan beliau jadi tokoh nombor satu Malaysia tidak lama lagi. Salah satu tanggungjawab yang mesti beliau laksanakan selepas itu ialah bubarkan WPI.

Nombor dua: Haramkan syarikat asing yang kini berikan khidmat keselamatan kepada sesetengah kapal besar yang lalu-lalang di Selat Melaka. Selat ini perairan Malaysia dengan Indonesia. Apa pasal diizinkan syarikat asing yang bersenjata buat kerja di Selat Melaka? Macam mana kalau kerja itu cuma topeng kepada tugas-tugas espionage dan sebagainya?

Nombor tiga: Cepat-cepat betulkan status Pulau Pisang. Kalau tak, nanti dajal di selatan tu akan guna pengaruh zionis antarabangsa, heret status pemilikan Pulau Pisang ke ICJ dan menang. Habis melopong kita. Dan habislah pulau-pulau yang strategik di kanan dan kiri Johor dikebak oleh dajal selatan.

Saya harap Abang Din fikir-fikirkan hal ini.

Friday, May 09, 2008

Khas Kepada Sofi Yassin Dan Orang Biasa

Saudara Sofi Yassin dan Orang Biasa. Harap ulang komen anda sebab masalah teknikal yang sedang saya alami menyebabkan komen anda berdua lesap dengan sendirinya. Jutaan maaf. – Ruhanie Ahmad
UMNO BERUSIA 62 TAHUN
DALAM SITUASI DARURAT

Ruhanie Ahmad

Pada Ahad, 11 Mei 2008, UMNO menjangkau usia 62 tahun. Senario siasah yang melatarbelakangi kedewasaan ini amat berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Kali ini UMNO dalam keadaan rapuh. Ia baru sahaja ditimpa bala yang dimanifestasikan menerusi keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) 12 kira-kira dua bulan lalu.

Hakikatnya begitu kerana dalam PRU12, UMNO yang jadi induk Barisan Nasional (BN), kehilangan kuasa pemerintahan di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Ia gagal menebus maruahnya di Kelantan yang dikuasai PAS sejak 1990. Majoriti undi calon-calon BN di Johor – bumi kelahiran UMNO – merosot dengan amat ketara sekali. BN juga hanya memperolehi majoriti tipis di peringkat kerajaan pusat.
Sehingga hari ini belum ada satu post-mortem secara serius dan menyeluruh dilakukan oleh UMNO. Agak sukar untuk memastikan mengapa begini realitinya. Segelintir kecil pemimpin UMNO yang lantang ke arah usaha menghapuskan musibah yang menimpa UMNO dan BN cuma disifatkan sebagai sinar dalam gerhana – kelihatan kelam, suram dan berbalam-balam.

Gagasan dan pandangan kelompok ini selaras dengan aspirasi warga UMNO dan rakyat Melayu yang jadi simpatisan UMNO di peringkat akar umbi. Malangnya, suara dan usaha kelompok ini seolah-olah dipersenda-senda dan diperkecil-kecilkan. Lebih serius lagi, suara dan usaha ini juga disifatkan oleh sesetengah pihak sebagai penentangan kepada pucuk pimpinan parti.

Keadaan seperti ini amat ironis. Setelah ditimpa musibah sehingga kehilangan kuasa di empat buah negeri, majoriti pembesar UMNO seolah-olah masih beranggapan bahawa UMNO hari ini adalah serupa dengan yang semalam.

Walau dalam situasi darurat, mindset pemimpin besarnya masih terus berada dalam zon selesa. Walau sudah diberikan “kad merah” menerusi PRU12, pemain yang perlu dibuang padang masih terus bermain seperti sediakala. Mungkinkah ini petanda awal bahawa UMNO sedang menuju kehancuran?

Lantaran itu, 11 Mei 2008 wajar dijadikan tarikh asas permulaan UMNO membuat muhasabah diri secara ikhlas, jujur, serius dan menyeluruh. Pelbagai aspek mengenai UMNO, termasuk matlamat, falsafah, roh dan jiwa perjuangannya perlu dituntasi secara rinci.

Usaha di atas wajar dihalusi secara makro dan mikro. Antara lainnya, usaha ini wajar merangkumi aspek-aspek berikut:

Satu: Halusi semula seluruh Fasal 3 Perlembagaan UMNO untuk memastikan sama ada parti ini masih lagi “berjuang mendukung cita-cita Kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.”

Dua: Adakah matlamat UMNO dalam Fasal 3.1 perlembagaannya yang memaktubkan bahawa parti ini “mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara” memang benar-benar satu realiti pada saat dan ketika ini. Jika matlamat ini sudah tergelincir atau menyimpang, bukankah ianya mesti segera diperbetulkan seperti sediakala?

Tiga: Aspek insaniah di dalam UMNO perlu dirungkai dan dikaji sedalam-dalamnya. Ini penting untuk memastikan bahawa sesiapa sahaja yang dimandatkan menjunjung obor perjuangan parti di seluruh peringkat adalah pihak yang benar-benar memberikan sinar pembelaan demi rakyat jelata dan bukan diri sendiri.

Empat: Aspek insaniah ini juga perlu dikaji dan dirungkai sedalam-dalamnya supaya soal kepimpinan, kesetiaan dan kesetiakawanan dalam UMNO adalah benar-benar demi agama, bangsa dan tanahair dan bukannya demi sesuatu kelompok tertentu, lebih-lebih lagi elemen asing tertentu yang sedang berusaha mewujudkan hegemoni politik, sosial, ekonomi dan ketenteraan mengikut agenda geopolitik global dan serantau.

Lima: Berkaitan aspek insaniah ini juga, fikirkanlah keperluan mendesak supaya penerapan, pengukuhan dan penyemarakan daya juang dan jiwa perjuangan di kalangan seluruh warga UMNO, khususnya kelompok pemimpinnya, adalah keutamaan semasa yang wajar dilaksanakan secara terancang, konsisten dan berkesan menerusi satu blueprint yang mengandungi perincian etika, disiplin, prosidur dan gerak kerja yang standard.

Enam: Usaha-usaha sosialisasi siasah atau kerja-kerja memasyarakatkan UMNO wajar dilaksanakan pada setiap masa, di semua peringkat dan merangkumi pelbagai kegiatan, khususnya di sektor akar umbi.

Demikianlah antara pandangan saya selaku ahli akar umbi parti yang berusia hanya setahun lebih muda daripada UMNO. Saya mengemukakan pandangan ini demi masa depan agama, bangsa dan negara.

Pendek kata, seluruh matlamat, asas dan falsafah perjuangan UMNO yang termaktub di dalam perlembagaan parti wajar dikaji dinamismenya supaya boleh dijadikan program dan aktiviti.

Aspek-aspek perjuangan yang strategik pula wajar dijajarkan semula dengan Perlembagaan Persekutuan, Rukunegara dan Wawasan 2020. Ini mungkin boleh membentengi apa jua usaha untuk mempolemik dan mempolitikkan kontrak sosial supaya ia tidak melunturkan seluruh ciri-ciri keindukan Islam dan Melayu-Bumiputera dalam negara yang multi-etnik.

Lantaran itu, alangkah murninya jika “amanat khas” yang akan disampaikan oleh pembesar UMNO kepada seluruh warga parti di Kuala Lumpur Ahad ini sudi menimbangkan suara akar umbi yang cetek seperti di atas.

Lantaran itu juga, amat meleset sekali jika sambutan UMNO 62 tahun tersebut hanya untuk “mengingati perjuangan para pemimpin terdahulu yang berjaya membangunkan negara sehingga rakyat pelbagai kaum menikmati kemajuan dalam pelbagai bidang.”

Akhir kata, sekali lagi insafilah bahawa UMNO kini bukannya UMNO semalam. UMNO hari ini adalah UMNO yang dalam darurat. UMNO hari ini adalah UMNO yang wajar direkayasan serta diperkasakan semula. UMNO hari ini adalah parti yang dituduh sudah tidak relevan dengan zaman. UMNO ketika ini mestilah dipimpin oleh pembesar-pembesar yang berani mengakui bahawa PRU12 akan menjadi musibah yang lebih parah di hari muka jika tuntutan, hasrat dan aspirasi warga akar umbinya mutakhir ini hanya diperlekeh dan diperkecil-kecilkan. – Disiarkan oleh Sinar Harian
SELAMATKAN NEGARA-BANGSA
SEMPENA HARIJADI UMNO KE-62

Putera Bentan

Ikut senario politik hari ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin tergolong sebagai salah seorang pemimpin UMNO yang serius untuk selesaikan nasib malang yang menimpa partinya, BN, kerajaan dan masa depan rakyat jelata. Beliau berani ambil risiko menyatakan kebenaran. Beliau mengenepikan soal kedudukan demi kepentingan negara-bangsa.

Tapi agak aneh bila suara dan tindakan Muhyiddin, sama seperti suara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah, nampaknya macam tidak diterima baik oleh pucuk pimpinan tertinggi UMNO, BN dan kerajaan. Lain-lain personaliti di peringkat pusat, negeri dan bahagian juga seolah-olah dirasuk sindrom pak turut belaka.

Jika inilah corak dan rentaknya wadah perjuangan utama negara-bangsa Malaysia, alamat haru-birulah destini kita bersama. Ini mesti dielakkan dari berlaku. Keputusan segelintir minoriti yang berkuasa tidak seharusnya dipaksakan ke atas rakyat jelata yang jadi sumber kekuasaan dan mempunyai aspirasi yang berbeza.

Saya cadangkan Mahathir, Razaleigh dan Muhyiddin gemblengkan minda dan tenaga dengan segera demi agama, bangsa, negara. Pemimpin peringkat negeri, bahagian dan akar umbi wajar berikan sokongan penuh kepada gabungan ini untuk menyelamatkan negara-bangsa.

Ketepikanlah polemik siapa akan jadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri selepas Abdullah. Semua ini hanya diversion untuk alihkan fokus kita kepada masalah yang sebenar, mendesak, strategik dan utama.

Apa kata kalau kita mulakan misi menyelamatkan negara-bangsa ini secara serius, terancang, menyeluruh dan berkesan mulai 11 Mei 2008 – harijadi UMNO 62 tahun? Mulai tarikh ini, seluruh cawangan, bahagian dan badan perhubungan UMNO di seluruh negara perlu adakan sesi muhasabah diri. Sesudah itu, kita salurkan hasilnya kepada Mahathir, Razaleigh dan Muhyiddin. Moga-moga gerakan penuh sopan dan santun ini menghasilkan manfaat yang kita mahukan. Mudah-mudahan kita diberkati Allah dalam usaha ini. Mudah-mudahan kita berjaya.

Nota: Pandangan di atas adalah reaksi kepada posting Suara Muhyiddin (4). Cadangan ini amat menarik kerana UMNO berusia 62 tahun pada Ahad, 11 Mei 2008. Soalnya, berapa ramai warga UMNO sanggup dan sedia bertindak seperti yang disarankan oleh Putera Bentan? – Ruhanie Ahmad
Suara Muhyiddin (4)
BERANI AMBIL RISIKO
BICARA YANG BENAR

MUHYIDDIN berani mengambil risiko demi agama, bangsa dan negara. Ini kerana sesuatu musibah mestilah ditangani secara tegas, berkesan dan segera. Dan, musibah yang melanda UMNO dan BN menerusi PRU12 “bukan soal main-main.” Ia adalah sesuatu yang “tidak pernah berlaku dalam sejarah UMNO dan negara.” Lantaran itulah Muhyiddin ambil risiko dan terus berbicara mengenai cara terbaik mengatasi segala-galanya dalam situasi yang luar biasa ini. Muhyiddin bertindak demikian kerana beliau tidak rela UMNO kehilangan kuasa politiknya yang mungkin sukar diperolehi semula dalam tempoh yang singkat.

Semoga kita dapat memberikan pandangan jujur dan ikhlas mengenai perkara ini. Kenyataan penuh Muhyiddin mengenai isu ini menerusi wawancaranya dengan Mingguan Malaysia 13 April 2008, adalah seperti berikut:

MINGGUAN: Sejauh manakah ahli UMNO akan menerima apa yang Tan Sri cakapkan ini dan adakah peralihan kepimpinan boleh menyelesaikan masalah?

MUHYIDDIN: Saya meninjau di banyak tempat dan mendapat banyak maklum balas serta ditemui banyak pihak. Selain Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dan panggilan telefon, mereka yang saya temui berpandangan begitu. Mereka kata Tan Sri mesti cepat buat sesuatu, cakap terus terang, berkata yang benar.

Saya sudah buat apa yang sepatutnya saya buat, saya fikir saya tidak keseorangan dalam hal ini. Cuma dalam UMNO sudah ada satu adat dan cara kita yang masih boleh kita gunakan dengan terhormat. Apa yang penting perlu ada ruang kepada kepimpinan baru untuk memulihkan parti sebelum pilihan raya akan datang.

Pengganti

Jadi saya serah kepada kebijaksanaan Presiden parti, beliau yang cakap (untuk serah kepada pengganti), saya rasa dalam hati Perdana Menteri dan Presiden parti beliau akan bersedia dan sedang memikirkan soal ini. Saya berdoa kepada Allah membuka pintu hati Pak Lah untuk berfikir dengan semasak-masaknya.

MINGGUAN: Adakah peralihan itu harus dilakukan pada Disember iaitu ketika pemilihan parti berlangsung sedangkan ia dilihat satu tempoh yang masih lama?

MUHYIDDIN: Itu (pemilihan parti) tidak mengapa, tempoh itu sudah ditetapkan begitu kerana ada sebab-sebab dari segi teknikal. Tetapi proses perubahan dan peralihan boleh dilakukan bila-bila masa.

Apa yang harus diingat pelbagai perkara lain yang tidak kita ramalkan boleh terjadi. Sama ada jawatan Presiden ditandingi ataupun tidak, Timbalan Presiden akan ditandingi atau tidak, peralihan akan dibuat secara licin ataupun tidak, inilah masanya. Saya berfikir secara mendalam dan jelas kerana sebagai seorang pemimpin dalam UMNO saya harus tahu arah tuju saya, bukan politik saya, tetapi UMNO.

Saya kena tahu di mana saya boleh berperanan. Kenyataan saya tidak bermaksud apa-apa tetapi untuk menyelamatkan UMNO, Melayu dan Islam dalam negara kita, sebab itu saya bersedia untuk bercakap walaupun bagi sesetengah pihak, saya menanggung risiko.

Kuasa Politik

MINGGUAN: Jadi Tan Sri bersedia menghadapi apa juga risiko dengan memberi pandangan ini?

MUHYIDDIN: Saya sanggup tanggung risiko, itu tidak mengapa, setidak-tidaknya saya sudah menyatakan apa yang hak (benar) kerana ini adalah sesuatu yang perlu dilakukan. Ini bukan soal main-main, tidak pernah berlaku dalam sejarah UMNO dan negara kita berhadapan dengan situasi begini. Bagaimana kalau kuasa politik yang tinggal sedikit dalam tangan kita ini, terlepas daripada genggaman kita, macam mana kita hendak mendapatkannya balik? Seratus tahun belum tentu lagi.

MINGGUAN: Bolehkah peralihan berlaku sebelum mesyuarat bahagian?

MUHYIDDIN: Saya memetik kenyataan Presiden yang meminta beliau diberi masa untuk memulihkan parti bagi diserahkan kepada Najib. Saya kira kalaupun beliau hendak buat begitu, beliau tidak boleh buat berseorangan. Biarlah kita lakukan. Sekarang adalah waktu kita pula untuk menyumbang dan bekerja keras. Saya bersedia untuk bekerja keras. Semua pemimpin UMNO harus menumpukan perhatian lebih banyak kepada parti daripada kerajaan. Tetapi jangan tinggalkan langsung urusan kerajaan.

[Siri kelima akan menyusul sehari dua lagi.] – Ruhanie Ahmad

Wednesday, May 07, 2008

Suara Muhyiddin (3)
RASA TIDAK SENANG HATI
KEPADA KEPIMPINAN PARTI

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, reda dituduh oleh sesetengah pihak sebagai tidak bijaksana semata-mata kerana beliau memilih untuk berterus terang dalam usahanya membicarakan soal kemelut Barisan Nasional (BN) dan UMNO dalam era pasca PRU12. Muhyiddin reda menerima tuduhan itu kerana kepadanya, soal agama, negara dan bangsa adalah lebih penting daripada lain-lainnya pada saat dan ketika ini.

Sebab itu, kini saya sambung semula siri Suara Muhyiddin yang dipetik daripada wawancara beliau dengan Mingguan Malaysia 13 April 2008. Dalam siri kedua, Muhyiddin telah mencadangkan bahawa satu post-mortem perlu dilaksanakan “secara bebas supaya tidak ada pihak yang mengubah suainya untuk kepentingan sesiapa.”

Kali ini, Muhyiddin pula berbicara mengenai perasaan tidak senang hati rakyat jelata yang disampaikan kepada beliau terhadap pucuk kepimpinan parti. Kenyataan penuh beliau adalah seperti berikut:

MINGGUAN: Apakah pembentukan semula ini turut menuntut supaya kepimpinan parti juga perlu berubah seperti mana didesak oleh banyak pihak?

MUHYIDDIN: Saya lihat dengan jelas perasaan tidak senang hati terhadap kepimpinan parti. Saya sebut ini bukan saya cakap tetapi berdasarkan kepada maklumat yang dikumpul. Dalam percakapan mereka yang dilakukan secara terbuka dan ikhlas tanpa 'digagahi' oleh mana-mana pihak, satu perkara pokok yang disebut ialah soal kepimpinan. Di luar parti pun ada yang bercakap perkara yang sama, dikaitkan dengan masalah keluarga dan sistem yang diamalkan.

Peralihan Kuasa

Justeru saya bimbang jika tidak ada satu perubahan berlaku seperti mana yang bukan sahaja dituntut oleh UMNO tetapi orang luar UMNO, rakyat akan terus tolak BN dan UMNO. Oleh itu, ahli parti harus fikir secara matang, Perdana Menteri sudah buat kenyataan. Pertama, beliau akan pergi bila sampai waktunya. Kedua, beliau menyebut Datuk Seri Najib bakal penggantinya. Ketiga, beliau kata, ''beri saya sedikit masa untuk perbetulkan parti sebelum saya menyerahkan parti kepada pengganti saya.''

Ramai berkata, itu bagus dan jelas dari segi pelan peralihan kuasa tetapi mereka juga bertanya, bila?

Saya fikir ada satu perasaan membuak-buak di peringkat bawah iaitu perasaan tidak puas hati yang ketara. Oleh itu saya berpendapat, kalau tidak berlaku perubahan dalam UMNO maka banyak perkara tidak baik akan terjadi. Justeru saya takut jika saya tidak bercakap dengan benar, ia akhirnya boleh membawa bencana kepada orang Melayu dan UMNO.

Sebab itu saya perlu bersuara walaupun tidak lantang tetapi tegas dan jelas kerana apabila saya bercakap ini, saya tidak melihat (membayangkan) muka sesiapa, sama ada muka Pak Lah, Najib, Muhyiddin atau Mat Taib atau mana-mana pemimpin UMNO. Apa yang saya bimbang ialah UMNO dan orang Melayu akan kalah. Saya benar-benar takut kalau saya tidak mengatakan yang hak (benar) walaupun yang hak itu adalah pahit maka UMNO boleh terjerumus ke dalam keadaan lebih teruk.

Bukan setakat terjerumus tetapi disebabkan UMNO tidak lagi unggul maka UMNO akan hilang kuasa. Saya bertemu ramai tokoh, mereka berkata kalau tidak berlaku apa-apa perubahan, kita akan kalah lebih teruk.

Sebab itu saya rasa bertanggungjawab untuk bersuara walaupun mungkin ada pihak yang membaca kenyataan saya ini, ia satu yang mungkin agak luar biasa tetapi akhirnya saya harus menyatakan perkara yang benar. Tetapi saya menyerahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan untuk memikirkan bagaimana caranya (peralihan dilakukan).

Semangat Baru

MINGGUAN: Mungkin sesetengah menganggap kenapa perlu UMNO melakukan perubahan kerana turun naik adalah adat dalam pilihan raya.

MUHYIDDIN: Jangan anggap situasi sekarang adalah biasa, mungkin kita dibuai oleh lagu-lagu lama seperti dondang sayang dan rentak-rentak Mawi, maka kita lupa sedangkan situasi sekarang agak berbeza. Apa yang terjadi sekarang adalah luar biasa, kita tidak boleh memperkecilkan gerakan parti pembangkang. Mereka mendapat semangat baru, mereka boleh tumbangkan kerajaan BN, sudah ada Pakatan Rakyat diwujudkan.

Saya pernah sebut PKR hanya ada nafas ikan, saya salah. Banyak pihak kepimpinan kita pun membuat tafsiran salah. Mereka bukan sahaja ada nafas baru malahan kekuatan baru. Jadi kita harus fikir secara drastik untuk mencari formula terbaik untuk selesaikan masalah ini. Dalam soal ini kita ambil pendekatan berhemah. Kalau tarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak, itu peribahasa yang cukup tepat dalam situasi sekarang.

Persoalannya, modus operandi dan caranya bagaimana? Ia lebih terletak di atas bahu Presiden parti. Kami dalam barisan kepimpinan yang lain bersedia memikul amanah besar, bukan untuk diri saya atau Datuk Seri Najib atau sesiapa tetapi untuk orang Melayu. Dalam situasi ini semua orang harus berfikir mengenai kepentingan parti, bukannya nasib mana-mana individu.

Sekarang adalah waktu kita bersemuka dengan fakta sebenar dan menyatakan kebenaran, kalau tidak bencana lebih besar boleh menimpa kita.

[Siri 4 akan menyusul sehari dua lagi.] – Ruhanie Ahmad

Tuesday, May 06, 2008

Raja Petra didakwa terbit artikel menghasut

PETALING JAYA 6 Mei - Pengendali dan editor laman blog Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamarudin dituduh di bawah Akta Hasutan 1948 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menerbitkan artikel berkaitan pembunuhan wanita Mongolia, Atantuya Shaariibuu di laman blognya, dua minggu lalu.

Raja Petra yang merupakan pengendali blog pertama didakwa atas kesalahan seumpama itu dilihat tenang sepanjang prosiding serta mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nurmala Salim.

Mengikut pertuduhan, Raja Petra didakwa menerbitkan satu artikel bertajuk ``Let’s Send The Altantuya Murderers to Hell’’ yang mengandungi ayat-ayat menghasut di laman web Malaysia-Today yang mempunyai alamat web http://www.malaysia-today.net.

Raja Petra didakwa di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama iaitu denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Nurmala membenarkan Raja Petra dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan perbicaraan selama lima hari bermula 6 Oktober depan. Bagaimanapun, Raja Petra memilih untuk tidak membayar wang ikat jamin dan dia telah dibawa ke Penjara Sungai Buloh pada kira-kira pukul 3.15 petang ini. - Utusan.
Penulis mengaku tidak bersalah terbit kata hasutan melalui komen dalam laman web

KUALA LUMPUR 6 Mei — Seorang ahli perniagaan yang juga penulis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan menerbitkan kata-kata berunsur hasutan melalui komen terhadap satu artikel dalam laman web Malaysia Today.

Kata-kata berunsur hasutan bertajuk ’IT IS EASY TO IMPRESS THE MALAYS’ adalah komen terhadap artikel diterbitkan pengendali dan editor laman web Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamarudin bertajuk ’03/06:Malaysia’s Organised Crime Syndicate:all roads lead to Putrajaya’.

Syed Akbar Ali, 48, yang kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah, didakwa melakukan kesalahan itu di Zeenath Begum Jewellers Sdn Bhd, No 2007, Jalan Masjid India, di sini, pada pukul 2.59 petang 5 Jun, 2007.

Bapa kepada dua orang anak itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)© Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan bagi kesalahan pertama, beliau boleh didenda tidak lebih daripada RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya. –Bernama
Percubaan Menggodam
Berjalan Selama 12 Jam

Sebenarnya saya tidak peduli. Tetapi ramai sahabat-sahabat menyangka bahawa saya hanya syak wasangka tentang adanya percubaan menggodam blog kuda-kepang.

Kisah ini betul. Ikut laporan yang saya terima daripada pembekal keselamatan kepada komputer saya, memang terdapat 11 kali percubaan menggodam blog ini daripada jam 4.00 petang 5 Mei 2008 hingga jam 4.00 pagi 6 Mei 2008. Percubaan ini dilakukan daripada beberapa pangkalan tempatan.

Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada seorang sahabat yang memberikan komen bahawa beliau sudi membantu saya untuk mengesan penggodam berkenaan. Saya akan e-mailkan seluruh maklumat terperinci kepadanya dengan seberapa segera.

Pada awal Ogos 2007, saya pernah menerima SMS yang mengugut supaya blogger seperti saya “being put to sleep” atau dibunuh. Saya telah membuat laporan polis di Kajang mengenai ugutan ini untuk melindungi keluarga saya, diri saya sendiri serta para bloggers lain di seluruh negara.

Beginilah nasib bloggers sosio-politik di Malaysia. Mutakhir ini, saya dapat berita, beberapa sahabat saya sudah ditemui oleh beberapa pihak tertentu. Mereka diberikan “tawaran kewangan” kononnya supaya menjadi bloggers yang akan memihak kepada pihak terbabit.

Segelintir sahabat-sahabat ini merujuk kepada saya untuk minta pandangan. Saya kata “go ahead” jika itulah sahaja pilihan yang mereka ada!

Buat diri saya, usaha yang saya lakukan bukan untuk diri sendiri. Tetapi untuk agama, bangsa dan tanahair. Jadi, sesiapa nak beli saya, silakan! Saya akan minta “langit dan bumi” sebagai ganjaran saya.

Ini bermakna, saya bukan bahan dagangan, hasil tulisan saya bukan produk lacuran dan perjuangan saya bukan untuk mengkhianati sesiapa, melainkan pihak yang memusuhi kemuliaan agama, kesejahteraan rakyat, serta kemerdekaan dan kedaulatan negara-bangsa.

Bagaimanapun, janganlah disalah anggap posting saya kali ini. Saya luahkan isi hati saya sedemikian rupa bukan untuk mencari “fame and glory.” Saya hanya mahu memberikan mesej kepada pihak yang cuba mengkhianati saya bahawa saya bukan keseorangan. Di samping Allah SWT yang Insya Allah akan merestui perjuangan ini, saya mempunyai kumpulan sahabat surfers yang saya hormati, hargai dan sanjungan tinggi sokongan mereka pada setiap masa.

Salam takzim dan salam perjuangan. – Ruhanie Ahmad

Monday, May 05, 2008

Memang Ada Percubaan
Untuk Godam Blog Ini

JAM 9.10 Malam: Saya baru sahaja menerima alert daripada pembekal anti-virus komputer saya sebentar tadi. Katanya, mulai jam 4.00 petang hingga jam 9:00 malam hari ini, terdapat satu percubaan bersungguh-sungguh untuk menggodam komputer saya. Ini bermakna percubaan serangan itu berjalan selama lima jam.

Secara kebetulan, petang tadi technician yang sering membantu saya membetulkan sebarang kerosakan internet berada di kediaman saya selama beberapa jam. Sewaktu beliau berusaha memulihkan sambungan internet saya, terdapat tiga kali komputer saya terpaksa memadamkan seluruh sistemnya secara automatik. Kami hairan dan kami hanya mengagak kemungkinan ada hacker cuba mengkhianati blog saya.

Sebab itulah di akhir posting terbaru saya pada jam 7.52 malam tadi, saya nyatakan bahawa “gangguan posting yang saya alami kebelakangan ini nampaknya berpunca lebih daripada soal teknikal yang lazim.”

Jangkaan kami benar. Tetapi, saya tidak akan patah semangat. Buatlah apa yang perlu untuk menafikan suara blog ini. Saya tidak akan gentar, saya tidak akan berputih mata. Selagi hayat dikandung badan, Insya Allah, perjuangan saya menerusi wadah siber ini akan berterusan. Salam perjuangan. – Ruhanie Ahmad
SINONIMKAN DAULAT MELAYU
DENGAN KEDAULATAN NEGARA

Ruhanie Ahmad


Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh kerabat dan kepimpinan Permuafakatan Melayu yang baru sahaja selesai menjana minda dan menggemblengkan tekad abadi masing-masing tanpa mengambilkira batas-batas siasah kepartian, semata-mata untuk melahirkan gagasan baru demi mempertahankan kedaulatan Melayu dalam seluruh aspek kehidupan di bumi Malaysia merdeka di abad ke-21.

Saya amat gembira dengan perkembangan ini kerana dari kajian singkat sewaktu menyediakan buku PETAKA DOLAH BADAWI yang kini dalam percetakan, saya dapati bahawa satu punca utama segolongan pengundi Melayu berkelana ke pihak pembangkang adalah atas soal kedaulatan negara yang kini seolah-olah sudah digadaikan kepada satu entiti asing di hujung benua.

Oleh itu, tanggungjawab memelihara dan mempertahkan kedaulatan negara sewajarnyalah disinonimkan dengan perjuangan memelihara dan mempertahankan kedaulatan Melayu dalam seluruh aspek kehidupan dalam era pasca PRU 12 dan di abad ke-21.

Saya melontarkan gagasan ini kerana saya yakin golongan yang berkelana jauh daripada parti pemerintah dan menggabungkan jiwa perjuangan mereka dengan pihak lain, adalah golongan yang prihatin terhadap geopolitik global dan regional yang sedang berlaku di abad ke-21. Sebahagian daripada golongan ini juga adalah rakyat jelata yang kurang menganalisa signifikennya geopolitik antarabangsa dan serantau, tetapi tidak pula gagal untuk melihat apa yang telah, sedang dan akan terjadi di hadapan mata masing-masing di era kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Golongan ini gagal menerima jawapan munasabah, mengapakah projek Jambatan Bengkok di bumi Malaysia yang berdaulat, tiba-tiba sahaja dibatalkan dengan sekelip mata. Mereka gagal menerima rasional, mengapakah perlu diwujudkan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) yang jelas lebih memihak kepada Singapura. Mereka gagal menerima penjelasan ikhlas, mengapakah perlu satu super-bridge atau jambatan raya dibina untuk menghubungkan Singapura dengan Nusa Jaya. Mereka amat bimbang dengan ura-ura bahawa satu terowong besar mungkin akan dibina kononnya untuk laluan keretapi laju antara Singapura-WPI.

Armada Nuklear

Golongan ini juga masih gagal mengetahui mengapakah di era Abdullah, armada perang AS yang membawa senjata nuklear dan dilengkapi dengan peralatan nuklear, boleh diizinkan berlabuh di Pelabuhan Kelang. Golongan ini ragu kerana sebuah entiti perniagaan kerajaan asing telah diizinkan membeli saham Telekom Malaysia. Mereka bimbang dengan ura-ura sebuah lagi syarikat kerajaan asing dikatakan akan membeli saham sebuah syarikat penjana kuasa elektrik Malaysia dalam tempoh terdekat ini.

Pada waktu yang sama, golongan ini juga sukar untuk mencari rasional, mengapakah Abdullah menangguhkan seluruh perundingan perkara-perkara tertunggak dengan Singapura secara indefinite. Mereka hairan, mengapakah dasar dua-hala Abdullah kelihatan amat intim dengan Singapura, AS dan Australia. Mereka bimbang jika ICJ tidak lama lagi mungkin memutuskan bahawa Pulau Batu Putih adalah milik Singapura. Mereka cuak jika kemungkinan kemenangan Singapura ke atas kes Pulau Batu Putih akan disusuli dengan usaha mengheretkan status pemilikan Pulau Pisang berhampiran Pontian, juga ke ICJ.

Pendek kata, seluruh golongan ini amat bimbang dan terus bimbang. Seluruh kebimbangan ini berpaksikan kepada soal kedaulatan negara dan maruah bangsa. Anehnya, seluruh kebimbangan ini seolah-olah tidak wujud di pemikiran Abdullah.

Sebab itulah, sesiapa yang lazim mengikuti tulisan saya dalam media perdana sejak 2000 dan dalam blog ini mulai 2006, pasti akan sedar bahawa saya memang sentiasa terdorong untuk membicarakan soal kedaulatan tanahair dalam konteks geopolitik global dan regional.

Saya pilih pendekatan ini kerana abad ke-21 adalah abad yang dicorak dan diwarnakan oleh golongan neo-conservative Amerika Syarikat (AS) – majoriti pendukung utamanya adalah kelompok pro-zionis yang mempengaruhi serta membentengi Presiden J W Bush – sebagai abad Asia, baik Asia Barat, Asia Tengah, Asia Selatan, Asia Tenggara dan Asia Timur.

Perang Halimunan

Abad ke-21 jadi Abad Asia atas pelbagai sebab. Lantaran itulah diciptakan Peperangan Antiterorisme Global (PAG) – satu peperangan di mana musuhnya adalah umpama halimunan, tanpa wajah dan tanpa jasad, tetapi diberikan nama sebagai teroris Islam.

Beberapa kelompok di AS telah mewujudkan pelbagai blueprint mengenai Abad Asia ini. Dan, Asia Tenggara adalah salah satu fokus kepada agenda geopolitik ini. Di samping itu, satu doktrin pertahanan AS pimpinan Bush juga telah meluluskan satu pelan induk pertahanan mengenai Asia Tenggara di mana salah satu tuntutannya adalah, AS mesti mencari jalan untuk bertapak di mana-mana negara strategik di rantau ini.

Sebab-sebab AS mesti kembali bertapak di Asia Tenggara adalah banyak. Alasan untuk membolehkan AS kembali bertapak dan menguasai Asia Tengara juga dicipta secara kreatif dan berbagai-bagai. Saya tidak akan huraikan hal ini di sini kerana ianya akademik dan panjang lebar.

Untuk memendekkan cerita, saya tumpukan kepada soal mengapa AS mesti kembali ke Asia Tenggara, khususnya di Malaysia dan Indonesia. Sebab paling utama ialah kerana Malaysia dan Indonesia adalah negara pesisir kepada Selat Melaka, satu-satunya perairan dunia yang kritikal kepada laluan minyak dan gas dari Asia Barat menuju kepada Asia Timur dan Lingkungan Pasifik.

Indonesia juga sebuah negara yang penduduk Islamnya adalah terbesar sekali di dunia. Pihak-pihak neoimperialis telah beberapa kali menggunakan Indonesia sebagai pentas keganasan yang kononnya dilakukan oleh teroris Islam, tetapi manfaatnya adalah untuk memudahkan AS dan konco-konconya bertapak di mana-mana negara pilihannya di Asia Tenggara.

Negara Pesisir

Lantaran itulah meletus satu peristiwa bom di Bali dan dua peristiwa bom di Jakarta. Ikut propaganda Barat, seluruhnya adalah angkara teroris Islam. Ikut kajian perbandingan dan pembacaan saya sendiri, seluruhnya adalah black operations dan false-flag power games yang dilakukan oleh pihak-pihak asing dan bukan Islam, termasuklah sekutunya di Asia Tenggara. Akibatnya, Indonesia dapat nama yang buruk, tetapi pihak pengkara pengeboman itu pula merintis jalan bertapak di Asia Tenggara secara mudah.

Satu lagi sebab AS dipercayai berusaha keras untuk mendominasikan Indonesia dan Malaysia adalah kerana pada saat dan ketika ini, perisikan ekonomi Barat dipercayai mengesahkan bahawa pelantar benua Laut Cina Selatan adalah mengandungi rizab petroleum yang terbesar sekali di dunia mutakhir. Hakikat ini dikatakan menyebabkan pihak neoimperialis mahu bertindak pro-aktif supaya seluruhnya akan mereka kuasai demi mengimbangi kuasa Republik Rakyat China yang sedang bangkit sebagai gergasi ekonomi global.

Biarpun begitu, puak neoimperialis yang mahu mengukuhkan hegemoni geopolitik dan ketenteraannya di Asia Tenggara mendapati sukar untuk bertapak secara fizikal di bumi Malaysia. Lantaran itu, usaha ini perlu dilakukan secara halus dan menerusi perkhidmatan proksi-proksinya. Lantaran itu, kenalilah siapa dia rakan karib neo-imperialis terbabit merangkap sekutu zionis internasional di Asia Tenggara? Kenalilah juga, siapakah antara talibarut mereka di kalangan kita.

Demikianlah analisis ringkas saya mengenai pentingnya kedaulatan negara ini kepada survival kita semua di hari muka. Sebab itulah soal kedaulatan Melayu mesti disinonimkan dengan kedaulatan negara. Sebab itulah sesiapa sahaja yang dilihat mengkompromi dan menggadaikan kedaulatan negara kita kepada sesiapa jua, mestilah disingkirkan dengan seberapa segera, tanpa ragu, tanpa bimbang, tanpa segan dan tanpa silu-silu.

Dan, sesiapa sahaja yang dimandatkan memimpin Malaysia di era pasca PRU12 mestilah individu dan kelompok yang sanggup mati demi kedaulatan Melayu dan kedaulatan negara-bangsa Malaysia. Lantas, ketengahkanlah individu dan kelompok kepimpinan yang sanggup membeban perjuangan demi kedaulatan Melayu dan kedaulatan negara-bangsa seluruhnya, dalam konteks Malaysia merdeka yang dikongsikan destininya oleh kelompok rakyat pribumi dan bukan pribumi yang mesti sehati sejiwa secara ikhlas dan abadi.

[Nota: Saya terus memohon jutaan maaf kepada sahabat-sahabat pengunjung blog ini kerana gangguan posting yang saya alami kebelakangan ini nampaknya berpunca lebih daripada soal teknikal yang lazim. Sebab itulah gangguan masih berterusan entah sehingga bila. Bagaimanapun, terima kasih atas kefahaman anda. Salam perjuangan dari saya. – Ruhanie Ahmad.]

Friday, May 02, 2008

ABDULLAH PESONGKAN OBJEKTIF
MENGENAI EGM UMNO BAHAGIAN?

Ruhanie Ahmad


Nombor keahlian UMNO saya adalah: 00003472. No kod keahlian saya adalah: J07152. Jadi, kalau pada hari ini terdapat lebih tiga juta ahli UMNO, kedudukan saya adalah dalam lingkungan tiga ribu ahli yang pertama di seluruh negara.

Saya menghuraikan hakikat di atas bukan untuk bermegah-megah diri. Tetapi, saya ingin membuktikan kepada Presiden UMNO Malaysia bahawa saya adalah daripada kalangan individu yang senior keahliannya dalam parti. Ini bermakna, kalau saya memilih untuk bersuara, suara saya bukan suara sumbang, suara saya bukan suara remeh, suara saya bukan suara budak hingusan dalam UMNO.

Sewaktu UMNO terumbang-ambing dilanda beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) di Johor pada 1987 dan 1988, saya salah seorang gurkha UMNO yang berhempas pulas untuk membantu kepimpinan UMNO Johor - khususnya Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Dato’ Abdul Ghani Othman - dan UMNO Malaysia, bagi memenangkan calon BN. Memang kita tewas di Parlimen Johor Bahru. Tetapi, kita berjaya di DUN Parit Raja dan DUN Tambatan.

Sesudah itu, kita berhempas pulas membantu kepimpinan negeri untuk mewujudkan jawatankuasa penaja UMNO di seluruh Johor. Kita pernah dimaki hamun. Kita pernah dihalau. Kita pernah diadang dengan barisan pemuda yang menghanyun-hayunkan parang panjang untuk melarang kita mengendalikan suatu mesyuarat penajaan UMNO cawangan.

Sesudah itu, kita sama-sama menjadi pemain di sebalik tabir untuk mengatur serta menguruskan Perhimpunan Melayu Johor (PMJ) yang kemudiannya merintis jalan perpaduan majoriti Melayu Johor untuk pulang ke pangkuan UMNO. Mereka termasuklah beberapa nama yang kini menjadi menteri dalam kabinet Abdullah.

Berasaskan cebisan sejarah ringkas di atas, hari ini saya mahu menegur Abdullah selaku Presiden UMNO. Kenyataan beliau seperti yang disiarkan di muka hadapan Utusan Malaysia 29 April 2008, adalah satu kenyataan yang mengelirukan warga UMNO.

Saya tidak pasti sama ada Abdullah sedar bahawa kenyataan itu sangat-sangat mengelirukan. Atau, mungkinkah Abdullah memang sengaja mahu mengelirukan warga UMNO menerusi kenyataan berkenaan atas sebab-sebab tertentu. Kenyataan tersebut berbunyi demikian:

Pemesongan?

Abdullah meminta semua bahagian UMNO tidak mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi membincangkan isu pemilihan pucuk pimpinan, sebaliknya memusatkan tumpuan kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat.

“Lebih baik tindakan seperti ini (EGM) tidak dilakukan kerana kita pada waktu ini memahami pandangan rakyat dan faham sangat apa yang rakyat mahukan, jadi kita tumpukan pada hal yang diperlukan oleh rakyat.”

Begitulah bunyinya kenyataan Abdullah sesudah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Kuala Lumpur, Isnin 28 April 2008. Kenyataan tersebut adalah suatu penyelewengan fakta. Kenyataan itu adalah suatu pemesongan hakikat. Kenyataan seperti itu tidak seharusnya disuarakan oleh seeorang berjawatan Presiden UMNO.

Bagaimanakah Abdullah selaku Presiden UMNO mendapat idea bahawa EGM yang pertama kali dicadangkan oleh YBM Tengku Razaleigh Hamzah, selaku Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Kelantan, adalah “bagi membincangkan isu pemilihan pucuk pimpinan” UMNO?

Mana pernah soal pemilihan pucuk pimpinan UMNO dibincangkan dalam mana-mana EGM UMNO sebelum ini? Adakah saya bermimpi kerana tidak mengetahui adanya EGM untuk hal ini? Atau, mungkinkah Abdullah yang sebenar-benarnya sedang bermimpi untuk mengatakan bahawa pemilihan pucuk pimpinan parti memerlukan suatu EGM parti? Peruntukan Perlembagaan UMNO yang manakah yang jadi rujukan kenyataan Abdullah ini?

Tidakkah Abdullah insaf bahawa Razaleigh, menerusi surat edarannya kepada seluruh ketua cawangan UMNO di seluruh negara, bertarikh 12 Mac 2008, sebenarnya mencadangkan diadakan EGM oleh bahagian-bahagian UMNO di seluruh negara, antaranya adalah atas matlamat berikut:

Supaya seluruh warga dan pemimpin UMNO di semua peringkat melakukan proses muhasabah diri secara serius, tenang dan sabar untuk membincangkan agenda: Keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 dan masa depan UMNO dan orang Melayu dan memeriksa di manakah kesilapan kita, apakah kelemahan kita, mengapakah kebanyakan pengundi Cina dan India menolak MCA dan MIC dan mengapakah calon-calon “incumbent” UMNO dikalahkan oleh calon PKR dan PAS.

Keputusan

Tidak terdapat sepatah pun ayat dalam surat Razaleigh yang mengatakan EGM UMNO perlu diadakan untuk membincangkan “isu pemilihan pucuk pimpinan” seperti yang ditegaskan oleh Abdullah. Sebaliknya, Razaleigh turut menyatakan seperti berikut:

Memandangkan betapa penting dan mendesaknya perkara ini (keputusan PRU12) kita bincangkan dengan segera dan tidak membiarkan apa-apa kesilapan dan kelemahan kita yang fundamental berlalu begitu sahaja atau disorok atau disimpan dalam dada masing-masing, tidak diluahkan, saya mengesyorkan supaya semua Bahagian UMNO, dengan menggunakan peraturan yang ada dalam Perlembagaan UMNO, iaitu Fasal 14.6.1 dan Fasal 8.5.3, meminta atau mendesak diadakan Perhimpunan Agung Khas untuk membincangkan perkara ini sebelum Persidangan Agung UMNO tahunan diadakan dalam tahun ini. Saya syorkan supaya tarikhnya ialah 11 Mei 2008.

Oleh itu, izinkan saya bertanya kepada Abdullah yang mendakwa kononnya pada ketika ini beliau “memahami pandangan rakyat dan faham sangat apa yang rakyat mahukan” mengapakah pesongkan matlamat EGM yang disarankan oleh Razaleigh?

Dan, kalau Abdullah memang benar-benar “memahami pandangan rakyat dan faham sangat apa yang rakyat mahukan” sesudah PRU12, adakah Abdullah insaf bahawa majoriti rakyat sebenarnya mahukan kepimpinan negara dan kepimpinan UMNO ditukar dengan segera demi masa depan agama, bangsa dan negara?

Kalau Abdullah benar-benar “memahami pandangan rakyat dan faham sangat apa yang rakyat mahukan” tidak insafkan Abdullah bahawa majoriti rakyat sudah bersuara bahawa UMNO tidak akan pulih selagi kepimpinannya tidak ditukar pada ketika ini.

Begitu juga dengan kerajaan. Insafkah Abdullah bahawa keyakinan sebilangan rakyat terhadap kerajaan semakin tipis selagi Perdana Menterinya masih orang yang lama?

Memang sejak 9 Mac 2008 hingga sekarang Abdullah mendakwa bahawa beliau menerima sokongan padu daripada para pemimpin UMNO dan BN. Tetapi, adakah para pemimpin UMNO dan BN sahaja yang mesti diambilkira dalam memastikan sesuatu kerajaan itu mantap dan disokong rakyat jelatanya?

Jika Abdullah masih yakin akan sokongan berkenaan, analisalah kajian yang dikemaskinikan oleh Merdeka Center mengenai sokongan kepada BN dan pembangkang seperti berikut:

Sokongan

Mulai September 2007: Mereka yang menyokong BN adalah 59 peratus dan menyokong pembangkang 40.8 peratus. Pada Oktober 2007: Mereka yang menyokong BN adalah 56 peratus dan menyokong pembangkang 43.8 peratus. Pada Disember 2007: Mereka yang menyokong BN adalah 54 peratus dan menyokong pembangkang 46.4 peratus.

Pola sokongan ini berterusan sesudah Parlimen di bubarkan pada 13 Februari 2008, sewaktu proses kempen PRU12, dan beberapa hari menjelang pembuangan undi bagi PRU12. Sebab itulah peratusannya pada tempoh 9 Februari hingga 19 Februari 2008: Mereka yang menyokong BN adalah 55 peratus dan menyokong pembangkang 44.7 peratus. Pada tempoh 23 Februari 2008 hingga 27 Februari 2008: mereka yang menyokong BN adalah 57 peratus dan menyokong pembangkang 42.6 peratus. Pada tempoh 29 Februari hingga 4 Mac 2008: Mereka yang menyokong BN adalah 54 peratus dan menyokong pembangkang 46.1 peratus. Dan, pada tempoh 5 Mac hingga 7 Mac 2008: Mereka yang menyokong BN menurun kepada 48 peratus dan yang menyokong pembangkang meningkat kepada 51.9 peratus.

Kini PRU12 sudah berlalu. Adakah Abdullah yakin sokongan terhadap BN yang kian merosot seperti di atas dapat dipulihkan jika beliau masih jadi Pengerusi BN, Presiden UMNO dan Perdana Menteri? Tidakkah Abdullah insaf bahawa rakyat jelata Malaysia mutakhir ini terus mempertikaikan kehadirannya sebagai Perdana Menteri?

Tetapi, jika Abdullah enggan berundur dan bimbang EGM yang dicadangkan oleh Razaleigh mungkin menjejaskan kedudukannya yang umpama telor di hujung tanduk, janganlah sampai tergamak untuk memperbodohkan seluruh warga UMNO kononnya EGM yang dicadangkan oleh Razaleigh adalah membabitkan isu pemilihan pucuk pimpinan UMNO.

Bagaimanapun, kenyataan Abdullah ini boleh ditakrifkan sebagai: ketiadaan minat beliau untuk memulihkan UMNO, dan kesambil-lewaan beliau dalam menggarap masalah serta musibah yang menimpa UMNO sesudah PRU12. Adakah begini sikap orang nombor satu UMNO? Tidakkah sikap dan pendirian seperti ini lebih mengecewakan warga UMNO seluruhnya?

Maka, demi negara Malaysia dan demi bangsa Malaysia, apakah Abdullah wajar perlu terus memimpin UMNO pada saat dan ketika ini? Tidakkah beliau bijaksana membaca segala mesej rakyat yang dimanifestasikan menerusi keputusan PRU12? Bukankah kenyataan mengenai peralihan kuasa kepada Datuk Seri Najib Tun Razak sekadar satu muslihat untuk membolehkan sesuatu tindakan dilakukan demi mengekalkan kuasa Abdullah walaupun tanpa mandat penuh rakyat jelata?

Abdullah, ingatlah bahawa senario siasah Malaysia di era pasca PRU12 bukan senario biasa. Ia senario luar biasa. Ia senario darurat. Ia senario yang bergelut dengan soal hidup dan mati, soal survival dan soal tuntutan yang utama daripada rakyat jelata. Dan tuntutan itu ialah: Abdullah berundurlah secara bermaruah dan segera!
Jutaan Terima Kasih
KK Capai Hits 2 Juta

Pada jam 11.50 pagi, 2 Mei 2008, blog ini merekodkan cumulative hits sebanyak 2002889. Hits 1 juta yang pertama direkodkan kira-kira dua bulan lalu.

Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh para pengunjung, lama dan baru, di dalam dan di luar negara, yang sentiasa memberikan semangat kepada saya untuk terus bersuara.

Sejak seminggu lalu, memang saya tidak membuat apa-apa posting. Ini bukan kerana saya uzur, dirintangi aral yang amat besar atau berada di luar negara.

Sebabnya adalah perkhidmatan internet yang terganggu di persekitaran kawasan kediaman saya. Salam takzim dan salam perjuangan. – Ruhanie Ahmad