Monday, May 19, 2008

Update 4.07 PM:
Tun Dr Mahathir Umum Keluar Umno Berkuatkuasa Serta Merta

ALOR STAR, 19 Mei (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan keluar dari Umno berkuatkuasa serta merta.

Dr Mahathir yang juga adalah anggota Umno seumur hidup berkata beliau bertindak demikian kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan Umno sekarang yang gagal membela nasib orang Melayu di negara ini.

"Saya umum saya keluar parti hari ini," katanya di hadapan kira-kira 1,000 hadirin yang kebanyakannya anggota Umno Kedah pada majlis bertajuk "Nasib Kedudukan Bangsa Melayu" di sebuah hotel di sini Isnin.

Bekas Presiden Umno itu juga berkata beliau hanya akan kembali menjadi anggota Umno selepas Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Presiden Umno meletak jawatan atau tidak lagi menjadi pemimpin utama negara.

"Saya akan menulis surat kepada Umno bagi memaklumkan mereka (mengenai keluar dari Umno)," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis anjuran Dewan Perhimpunan Melayu kedah itu, Dr Mahathir dengan wajah kecewa berkata beliau terpaksa mengambil tindakan keluar Umno yang dianggotai sejak 1946 kerana berpendapat parti itu tidak lagi dapat berperanan sebagai sebuah parti politik sebenar untuk membela nasib Melayu, sepertimana hasrat sejarah penubuhannya.

Sambil menyatakan rasa tidak puas hatinya, Dr Mahathir mendakwa Umno kini hanyalah dijadikan parti untuk mengiktiraf Abdullah sebagai Presiden Umno dan mengutamakan kepentingan keluarganya (Abdullah) sehingga membelakangkan negara.

"Saya boleh senaraikan perkara-perkara yang dia (Abdullah) lakukan sehingga merugikan negara kita.

"Umno yang wujud hari ini tidak lagi berpegang kepada hasrat parti yang ditubuhkan 62 tahun lepas. Sebab itu saya tidak teragak-agak untuk keluar dari Umno," katanya.

Dalam sejarah Dr Mahathir dalam Umno, beliau pernah dipecat daripada Umno pada 1969 kerana melanggar disiplin parti apabila mengkritik kepimpinan Umno ketika itu, tetapi diterima kembali ke dalam parti pada 1972. -- LAGI

2 comments:

Unknown said...

datuk, saya hormati keputusan Tun M utk keluar umno...syabas Tun!
tapi saya akan lebih hormati sekiranya Datuk juga keluar daripada umno!

ashrafkhidzar.blogspot.com

uwak tolib said...

syabas Tun..!!tindakan yg berani lagi menggemparkan..!!saya yakin dengan keputusan Tun ini adalah satu keputusan yg bijak dan bukan hanya kerana nak melarikan diri dari kes V.K.Linggam... saya mengaharap sangat parlimen dibubar segera bagi membolehkan keadaan politik Malaysia ini dipulihkan segera sebelum ada pihak2 yg tak bertanggungjawab mengeruhkan lagi suasana...