Sunday, April 01, 2007

Malaysia Today Perolehi
50 juta Hits Pada Mac 2007

KUALA LUMPUR, 1 April 2007: Sepanjang Mac 2007, portal berita www.malaysia-today.net menerima 50 juta hits – satu rekod tertinggi dalam sejarah lamanweb tersebut. Demikian ditegaskan oleh Raja Petra Kamarudin (RPK), di sini hari ini.

Jumlah hits sepanjang Februari 2007 adalah 40 juta, sementara hits untuk Januari 2007 adalah sebanyak 45 juta.

Statistik di atas membuktikan bahawa semakin ramai pembesar dan pihak-pihak yang mengkecam berita-berita berasaskan internet di negara ini sebagai fitnah dan anti-kerajaan, semakin ramailah rakyat jelata berkunjung ke blogs dan portal berita brkenaan.

Kalaulah kecaman itu benar, bukankah ini bermakna bahawa sekarang ini sudah berjuta-juta pengunjung blogs dan portal berita tempatan yang jadi pendukung fitnah dan semangat anti-kerajaan?

Bagaimanapun, pihak-pihak yang rasional pula menyifatkan statistik di atas sebagai indikasi kepada satu perkembangan demokrasi maya yang sihat dan menggalakkan.

Statistik di atas juga mencerminkan bahawa segolongan rakyat jelata Malaysia memang kini dahagakan maklumat alternatif untuk dijadikan sumber perbandingan apabila mereka menunaikan hak serta tanggungjawab masing-masing menerusi sistem demokrasi di alam nyata.

Pihak-pihak yang prejudis dan sinis terhadap hakikat di atas wajar insaf bahawa pada hari ini terdapat 11 juta pengguna internet di Malaysia bernanding cuma 280,000 pengguna sahaja pada 1999.

Pada waktu yang sama, akses ke internet juga akan jadi lebih mudah bila kemudahan perkhidmatan broadband semakin luas liputannya di negara ini tidak lama lagi.

Contohnya, TMnet pernah menyatakan bahawa tidak lama lagi, jumlah pengguna broadband dijangka meningkat kepada satu juta. Pada ketika ini, kira-kira 1,000 orang mendaftar untuk menggunakan perkhidmatan broadband setiap hari.

Dengan adanya perkhidmatan empat jalur wimax baru mulai tahun ini pula, sistem wireless broadband dijangka jadi lebih popular kerana para pengguna boleh membuat aksess kepada internet dengan lebih mudah dan dari mana-mana sahaja, walaupun sedang berada di dalam kenderaan sekalipun.

Segala kemudahan di atas pasti mendorong jumlah pengguna dan penggunaan internet yang akan terus berkembang pesat di Malaysia.

Hakikat ini juga pastinya menjadikan perkhidmatan membekalkan info dan berita alternatif yang disalurkan menerusi blogs dan portal berita sebagai sesuatu yang berpotensi besar dan penting kepada rakyat jelata di hari muka.

Tahniah MT dan RPK. Berani kerana benar, takut kerana salah. Patah sayap, bertongkat paruh, namun tetap terbang jua! – Ruhanie Ahmad.

No comments: