Friday, April 06, 2007

Hak Datang
Bersama Tanggungjawab
Dr Lim Ingatkan Penulis Blog
[www.bernama.com]

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Kerajaan tidak akan menghalang penulis blog di negara ini daripada menubuhkan gabungan bagi melindungi hak-hak mereka, kata Menteri Air, Tenaga dan Komunikasi Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik.

Beliau berkata penulis blog bebas untuk berbuat demikian tetapi beliau mengingatkan mereka terutama yang bersikap tidak bertanggungjawab bahawa mereka harus bertanggungjawab terhadap tindakan mereka itu.

"Hak datang bersama tanggungjawab maka jadilah bertanggungjawab," katanya kepada pemberita selepas menghadiri pameran foto anjuran Gerakan sebagai memperingati tempoh 35 tahun beliau berkecimpung dalam politik dan berkhidmat kepada masyarakat, di Wisma PGRM di sini.

Beliau mengulas tindakan kira-kira 40 penulis blog menubuhkan Gabungan Penulis Blog Nasional bertujuan melindungi hak-hak penulis blog dan menggalakkan penulisan blog secara bertanggungjawab.

Lim berkata kerajaan tidak akan teragak-agak untuk menarik balik hak-hak penulis blog yang tidak bertanggungjawab.

"Jika anda bertanggungjawab, hak-hak anda tetap ada. Negara ini ada undang-undangnya, anda tidak berhak untuk menghancurkannya," kata beliau.

BERNAMA
http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=255390

Komen:

"Jika anda bertanggungjawab, hak-hak anda tetap ada. Negara ini ada undang-undangnya, anda tidak berhak untuk menghancurkannya." - Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik.

Kenyataan di atas menjadi bukti bahawa Datuk Seri Lim mungkin tak pernah membaca blogs tempatan mahu pun blogs asing. Inilah juga sebabnya sesetengah menteri dan timbalannya, nampaknya macam hentan keromo saja pasal bloggers tempatan.

Kalau mereka memahami serta mengiktiraf blogs, bloggings dan bloggers sebagai satu daripada ciri-ciri demokrasi siber hasil daripada convergence ICT, mungkin tak terpacullah kata-kata kurang bijak seperti: "jika anda bertanggungjawab, hak-hak anda tetap ada. Negara ini ada undang-undangnya, anda tidak berhak untuk menghancurkannya."

Pihak kerajaan sebenarnya belum kenal siapa bloggers [lebih khusus bloggers sosio-politik dan ekonomi] di Malaysia yang sebenar-benarnya. Saya dah banyak kali katakan, bloggers jenis ini adalah orang-orang professional yang cintakan Malaysia, mahu terus memelihara kemerdekaan Malaysia, dan sama-sama berjuang untuk mempertahankan kedaulatan Malaysia.

Mereka jadi bloggers kerana mereka mahu menyumbang kepada kesejahteraan hidup rakyat jelata menerusi pendekatan yang non-violence. Jadi, mana mungkin golongan seperti ini hendak bertindak “menghancurkan undang-undang” Malaysia dan negara Malaysia?

Apa yang disuarakan oleh segolongan bloggers sosio-politik dan ekonomi Malaysia adalah soal kepincangan dan kedolak-dalikan dalam negara. Apa yang disuarakan oleh mereka adalah keterlanjuran sesetengah individu yang mengelilingi pembesar negara. Apa yang dituntut oleh mereka adalah juga tuntutan rakyat jelata yang mahukan keadilan, ketelusan dan kemakmuran bersama.

Saya harap Datuk Seri Lim yang akan bersara tidak lama lagi akan memandatkan kepada penggantinya supaya kementerian yang bertanggungjawab terhadap perkembangan ICT di Malaysia, tidak hanya prihatin kepada perkembangan ICT dari aspek perniagaan sahaja. Kaji dan perhatinlah juga kepada aspek insani atau aspek kemanusiaan serta dan aspek demokrasi siber yang diwujudkan oleh ledakan ICT. Ini keperluan asas jika sesebuah negara mahu terus progresif, maju dan berwibawa di hari muka. – Ruhanie Ahmad

No comments: