Thursday, August 10, 2006


NOSTALGIA
31 OGOS 1957

Hari Jumaat, 30 Ogos 1957, jam 11.50 malam: Nenek, Ibu, Ayah, Pakcik dan Makcik sedang asyik mendengar ulasan selari mengenai pengisytiharan kemerdekaan negara menerusi corong Radio Malaya. Saya bertanya kepada Nenek, apa erti kemerdekaan? Jawabnya: “Orang Putih balik kampung.” Saya bertanya kepada Ibu, apa erti kemerdekaan. Jawabnya: “Tengku Deraman perintah Malaya.” Saya bertanya kepada Ayah, apa erti kemerdekaan. Jawabnya: “Komunis berhenti mengganas. UMNO perintah negara. Kampung halaman jadi aman dan maju.” Saya bertanya kepada Pakcik, apa erti kemerdekaan. Jawabnya: “Bila Union Jack terjunam, Mat Salleh pergi jahanam.” Saya bertanya kepada Makcik, apa erti kemerdekaan. Jawabnya: “Engkau belajarlah kuat-kuat. Nanti engkau sendiri tau ertinya.”

Tepat jam 12.00 malam, suasana di rumah Nenek jadi sunyi sepi. Seluruh telinga terpaku kepada ulasan selari dari corong Radio Malaya. Pada ketika itu Union Jack - bendera penjajah British - diturunkan buat selama-lamanya. Tepat jam 12.01 pagi, Hari Sabtu, 31 Ogos 1957, bendera Persekutuan Tanah Melayu, kini dikenali sebagai Jalur Gemilang, pula dikibarkan buat pertama kalinya, dengan iringan lagu Negaraku.

Selepas itu, suara Tunku Abdul Rahman Putera - Bapa Kemerdekaan - pun menggema di udara menerusi corong Radio Malaya. Beliau menjeritkan perkataan “merdeka” dengan penuh semangat dan emosi. Setiap kali Tunku Abdul Rahman menjeritkan perkataan “merdeka,” setiap kali itulah juga saya terdengar dari corong radio, perkataan itu digemakan semula oleh ribuan suara dengan lantang, gemuruh, serentak, spontan, dan penuh semangat.

Nenek, Ibu, Ayah, Pakcik dan Makcik yang sedang mendengar radio pun turut menggemakan perkataan tersebut. Sambil meneriakkan perkataan keramat itu, air mata gembira perlahan-lahan meleleh ke pipi masing-masing. Mereka bersyukur kepada Allah kerana negara ini akhirnya terbebas dari belenggu penjajah.

Ketika itu saya berumur sepuluh tahun. Saya juga turut menggemakan perkataan “merdeka” sambil mengangkat tangan ke udara. Walaupun begitu, saya tidak memahami erti kemerdekaan. Sebab itulah saya bertanya kepada Nenek, Ibu, Ayah, Pakcik dan Makcik seperti di atas. Tetapi, kerana tumpuan mereka ketika itu adalah kepada ulasan selari Radio Malaya, mengenai suasana malam sambutan kemerdekaan negara di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur, mereka pun hanya menjawab pertanyaan saya secara sambil lewa. Saya tidak puas hati dengan jawapan-jawapan mereka. Tetapi, saya tidak mahu menghujani mereka dengan pertanyaan selanjutnya.

Tiga hari selepas itu, sekolah dibuka semula. Saya pun mengambil kesempatan bertanya kepada Guru Darjah, apa ertinya kemerdekaan. Dengan wajah berseri-seri, guru lulusan Sultan Idris Training College yang berjiwa nasionalis itu menjelaskan: “Kemerdekaan ertinya rakyat dan negara kita bebas dari penjajahan. Negara ini kita sendiri yang tadbir. Negara ini kita sendiri yang perintah.”

Sesudah itu, beliau menasihati semua muridnya supaya sentiasa menghargai dan memelihara kemerdekaan negara. Katanya: “bila negara kita merdeka, bangsa kita berdaulat. Kedaulatan datang bersama kemerdekaan. Tak ada kemerdekaan tak ada kedaulatan. Kemerdekaan lawannya penjajahan. Kedaulatan lawannya penghinaan. Sebab itu, murid-murid semua hendaklah sentiasa rajin belajar, patuh pada guru, taat pada ibupaba, jangan engkar perintah Tuhan, jangan langgar undang-undang negara. Kalau murid-murid pandai, kita jadi bangsa yang dihormati.”

Begitulah cebisan kenangan sewaktu saya kecil. Saya bukan dari generasi pejuang kemerdekaan negara seperti Datuk Bahaman, Mat Kilau, Tok Janggut, Kiayi Salleh, Rosli Dobi, Datuk Onn Jaffar, Tunku Abdul Rahman Putera, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Tan Siew Sin, Tun Sambanthan dan lain-lain pejuang tanpa nama. Saya adalah generasi yang hanya menyaksikan peralihan zaman. Dari zaman penjajah kepada zaman merdeka.

Kini saya mengenal erti kemerdekaan. Setelah merdeka, ramai rakyat jelata berjaya menimba ilmu pengetahuan tanpa sebarang prejudis dan halangan. Ilmu tersebut telah membebaskan kita semua dari lingkaran jiwa hamba dan dari lingkaran kemiskinan.

Duabelas tahun sesudah merdeka, saya belajar di Kuala Lumpur. Pada 13 Mei 1969, saya menyaksikan perarakan kemenangan pilihanraya umum di Kampung Melayu, Petaling Jaya. Sesudah itu, Kuala Lumpur dan Petaling Jaya pun dikenakan perintah berkurung. Selama beberapa hari kami terputus bekalan makanan. Kami hanya makan kulit roti dengan air kosong. Selepas itu, kami pun dipasak dengan semangat patriotisme. Para seniors yang menjaga kami sentiasa berkhutbah: “patriotisme adalah semangat cintakan negara. Patriotisme Malaysia adalah semangat cintakan tanahair, tanpa prejudis bangsa atau prasangka agama.” Sebab itulah kami dipaksa menghayati semangat lagu Barisan Kita. Antara lainnya, lagu itu mendidik bangsa Malaysia supaya sentiasa rela dan ikhlas dalam perjuangan untuk ibu pertiwi.

Tiga tahun selepas itu, saya berpeluang belajar di luar negara. Saya ditumpangkan di rumah sekeluarga Orang Putih, cucu cicit kepada penajajah yang pernah menjajah negara tercinta ini. Saya tidak takut kepada mereka, seperti Nenek atau Ibu, takutkan Orang Putih di zaman penjajah. Pada hari pertama saya di kolej di luar negara, seorang cucu-cicit penjajah cuba mempersendakan bangsa Malaysia, kononnya kita hidup di atas pokok seperti tarzan. Dengan tegas saya katakan kepada anak Orang Putih itu, bangsa Malaysia lebih maju dari mereka. Anak Orang Putih itu tidak percaya.

Sekembalinya ke tanahair, saya undang anak Orang Putih itu datang ke Kuala Lumpur. Saya bawa dia balik ke kampung di Batu Pahat. Sebagai seorang wartawan, saya suruh dia memerhati dengan teliti. Saya suruh dia teliti kalau-kalau ada orang Malaysia yang hidup di atas pokok dan bercawat seperti tarzan. Dia senyap. Dia tersipu-sipu. Dia malu. Begitu pun, dia tidak pernah meminta maaf di atas keterlanjuran kata dan bahasanya sebelum itu. Saya tidak hairan. Itulah sikap cucu-cicit penjajah.

Di negaranya, anak Orang Putih itu hidup di rumah pangsa tiga bilik. Bila saya bawa dia ke Kuala Lumpur, dia kagum kerana saya tinggal di rumah berkembar lima bilik. Di negaranya, anak Orang Putih itu naik bas, naik tube atau jalan kaki untuk ke pejabat. Sewaktu saya membawa dia makan angin di Kuala Lumpur, saya memandu kereta buatan Itali. Saya dapati anak Orang Putih itu tersindir. Tetapi, dia tetap tidak mahu meminta maaf. Saya tidak hairan. Itulah tabiat cucu-cicit penjajah.

Pada tahun 2003, seorang Ahli Parlimen British dan keluarganya menjadi tetamu keluarga saya di Kuala Lumpur. Sebelum itu, dia bercuti tiga hari di Langkawi. Dia kagum. Di Kuala Lumpur, dia berpeluang menaiki Menara Petronas, menara paling tinggi di dunia. Dia kagum. Dia bermalam di Palace Of The Golden Horses. Dia kagum. Saya bawa dia ke Putrajaya. Dia kagum. Dia melancong ke Sunway Lagoon. Dia kagum. Dia melihat KLIA. Dia kagum. Dia berpeluang ke Parlimen Malaysia. Dia kagum. Dalam kekaguman itu, saya pun bertanya kepadanya: “Adakah anda fikir semua yang mengkagumkan ini akan wujud jika negara ini masih dijajah oleh British?”

Jawapnya: “Yalah…..” Dia tersipu-sipu. Saya tahu dia tersindir. Tetapi, itulah sikap sesetengah Orang Putih. Egonya tinggi. Negara yang pernah dijajah sentiasa dianggap mundur. Setelah mengetahui realiti sebenarnya, dia kagum. Tetapi, dia enggan mengiktiraf kemajuan yang telah dilihatnya di negara ini dengan mata kepalanya sendiri.

Hari ini negara dan bangsa Malaysia sudah merdeka. Orang Putih hanya ke negara kita untuk melancong atau berdagang. Kita terima mereka dengan baik. Tetapi, ini tidak bermakna mereka tidak menyimpan dendam untuk sekali lagi menguasai bangsa Malaysia dan negara Malaysia, menerusi cara dan muslihat yang berbeza, jika mereka berpeluang, di hari muka.

Kerakusan kuasa segelintir Orang Putih mula ketara tiga tahun yang lalu apabila mereka melanggar Afghanistan pada Oktober 2001. Negara tersebut hancur lebur. Rakyatnya ramai yang terkorban. Di kalangan mereka yang terselamat, ramai pula yang cacat dan menderita. Segelintir Orang putih juga telah mengharu-birukan Iraq mulai 2003. Negara merdeka dan berdaulat itu jadi kacau bilau. Hari-hari ada pembunuhan. Hari-hari ada pertumpahan darah. Kebelakangan ini, segelintir Orang Putih pula merancang dan berusaha untuk menguasai beberapa negara di Asia Tenggara, menerusi pelbagai helah. Kalau kita leka, lemah dan berbalah-balah, akan mudahlah segelintir Orang Putih datang memecah dan memerintah kita semula.

Hakikatnya demikian kerana sekali kita merdeka, tidak bermakna kita akan merdeka buat selama-lamanya. Kemerdekaan kita hanya akan kekal jika kita sentiasa menghargai, menyanjung serta memelihara kemerdekaan tersebut. Maka, terserahlah kepada kita semua. Jatuh-bangunnya negara kita dan hidup-matinya bangsa kita adalah tanggungjawab kita semua untuk menentukannya. Kalau kita bersatu, negara kita jadi teguh, lebih maju, terus merdeka. Kalau kita bersengketa, negara kita akan roboh, bangsa kita mungkin terpinggir, penjajah mungkin kembali memerintah. Kalau kita ikut resam Pak Kadok, kita akan memang sorak, tetapi negara akan tergadai. Kalau kita ikut prinsip Pak Pandir, dagang lalu kita tanakkan, anak sendiri mati kebuluran, ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan!

Maka, sama-samalah kita berjuang secara bijaksana. Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu bangsa Malaysia maju mengikut acuan sendiri pada tahun 2020. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu negara dan bangsa Malaysia jadi cemerlang, gemilang dan terbilang. Kita mesti sama-sama menjayakan kedua-dua cita-cita besar ini. Kita mesti bersatupadu, menguasai ilmu, bekerja keras, berdedikasi, ikhlas dan jujur. Kalau kita mahu jadi bangsa Malaysia yang perkasa lagi terpuji, setelah kita melangkah ke jalan yang diredhai Allah, pantang sekali kita berundur. Biar kita putih tulang, jangan kita putih mata. Selagi nyawa dikandung badan, usah kita menyerah kalah. Malaysia Boleh! – Dipetik daripada buku Patriotisme Malaysia Penangkis Neoimprialisme Oleh Ruhanie Ahmad 2005.

DI MANA BUMI KITA PIJAK
DI SITU LANGIT DIJUNJUNG

Baru-baru ini saya mengikuti berita dunia menerusi CNN. Pada waktu itu, seorang pegawai tentera AS sedang memberikan sidang akhbarnya di Baghdad, Iraq. Pegawai tentera penceroboh itu menggelar para pejuang kebebasan Iraq sebagai musuh AS. Kata-kata itu amat menyayat hati. AS yang menceroboh, menyerang dan menaklukki Iraq, menggelarkan rakyat Iraq yang bermati-matian berjuang mempertahankan tanahairnya dari serangan AS, sebagai musuh.

Hati kecil saya pun berbisik sendirian: “Inikah ertinya akhir zaman? Musuh menjadi tuan rumah, tuan rumah menjadi musuh.”

Biarpun begitu, inilah hakikatnya dunia pada hari ini. Rakyat di sebuah negara yang merdeka dan berdaulat dianggap sebagai musuh oleh pihak yang menceroboh, menyerang dan menaklukki negara berkenaan. Perbuatan seperti ini hanya boleh berlaku apabila sesebuah kuasa besar tidak menghormati kemerdekaan dan kedaulatan orang lain.

Kejadian di Iraq ini sebenarnya pernah berlaku di negara kita pada zaman penjajah. Sewaktu British menjajah negara ini, ia menggelar pejuang-pejuang kebebasan dan kemerdekaan tanahair kita sebagai musuh mereka. Sebab itulah sesetengah rakyat kita telah dipenjarakan, didera, diseksa dan dianaiyai oleh penjajah British. Di zaman Jepun, sesetengah pejuang kebebasan negara kita telah dipancung, dibunuh, dizalimi dan diganasi oleh penjajah tersebut. Sewaktu Rejim Komunis Bintang Tiga, sesetengah pejuang tanahair kita telah direbus secara hidup-hidup di dalam kawah yang berisi penuh dengan minyak panas yang menggelegak. Sesetengahnya dibunuh dan mayatnya digantungkan di pohon-pohon pedada di sepanjang sungai. Ada juga yang dikuburkan secara beramai-ramai di dalam satu liang.

Imbasan sejarah ini mengingatkan saya akan kata-kata seorang guru saya, tiga hari setelah negara kita mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Katanya: “Pemimpin dan pejuang kita bersusah payah untuk memerdekan negara. Oleh itu, murid-murid mestilah memelihara kemerdekaan negara kita sepanjang masa. Kemerdekaan ini amat mahal nilainya. Ia ditebus dengan darah dan air mata datuk nenek kita yang mati ditangan Portugis, Belanda, British, Jepun dan Rejim Komunis Bintang Tiga. Mereka berkorban dan terkorban demi kita semua. Mereka dibunuh demi agama, bangsa dan negara kita.”

Berasaskan cerita di atas, saya sering memerhatikan perkembangan kemerdekaan dan kedaulatan di sesebuah negara yang sempat saya lawati sewaktu menjalankan tugas-tugas rasmi di seberang laut. Saya saksikan sendiri keadaan di negara-negara berkenaan. Lepas itu, saya bandingkan segala-galanya dengan apa yang terdapat di Malaysia. Maka, bersyukurlah saya kepada Allah SWT kerana Malaysia adalah tidak seperti sesetengah negara berkenaan. Malaysia aman, damai, maju dan makmur. Bangsa Malaysia sentiasa diperjuangkan kemakmuran dan keamanannya oleh pihak pemerintah yang bertanggungjawab.

Contohnya, saya berkali-kali ke AS. Negara tersebut cukup maju. Banyak perkara positif boleh dipelajari darinya. Tetapi, AS juga sebuah negara yang nampaknya tidak mementingkan batas susila, nilai moral dan akhlak. Demokrasi dan kebebasan di AS dijadikan alasan untuk rakyat jelatanya hidup bebas, sebebas-bebasnya. Di negara tersebut ada lelaki berkelamin dengan lelaki, ada perempuan berkelamin sesama perempuan. Di negara tersebut wujud banyak percanggahan. Golongan yang kaya, cukup kaya. Golongan yang miskin, cukup miskin. Di celah-celah lorong di New York pun terdapat ramai rakyat AS yang gelandangan, merempat dan tidur di bawah lindungan kotak-kotak cardboard. Negara tersebut menjuarai hak asasi manusia. Tetapi, negara tersebut juga sering terlibat dengan tindakan yang menjejaskan hak asasi kemanusiaan di beberapa negara tertentu. Negara tersebut memusuhi negara asing yang dikatakan membina WMD. Tetapi negara tersebut juga aktif membina WMD dan kini menggunakan WMD di Afghanistan dan Iraq. Negara tersebut memperjuangkan demokrasi. Tetapi negara tersebut juga sering bertindak secara tidak demokratik terhadap negara asing. Negara tersebut memperjuangkan kebebasan akhbar. Tetapi, di negara tersebut juga wujud akhbar yang sepenuhnya memihak kepada suara kapitalis dan neo-imperialis. Pendeknya, AS memang cukup warna-warni. Tetapi, di AS juga wujud segala-gala yang sumbang, pincang, tempang dan songsang.

Di Afrika, terdapat pula negara yang merdeka setahun sebelum atau setahun sesudah Malaysia. Pada satu hari saya sempat berkunjung ke sebuah negara berkenaan di Afrika Barat. Pemimpin dan rakyat jelatanya gembira kerana beroleh kemerdekaan pada 1958. Tetapi, kemerdekaan itu pula menjadikan mereka berbalah-balah. Kerajaan yang memerintah akan ditumbangkan di pilihanraya umum berikutnya. Sebabnya, kerana kerajaan berkenaan dikatakan rasuah, mengamalkan neopotisme dan tidak mementingkan kebajikan rakyat jelatanya. Akibatnya, negara tersebut amat daif dan mundur. Negara tersebut tidak mempunyai Bahasa Kebangsaannya sendiri. Walaupun sudah merdeka, mereka terus menggunakan bahasa penjajah. Akibatnya, rakyatnya menderita. Mereka terperangkap dengan hidup berpuak-puak dan berbalah-balah sepanjang masa. Sekolah di negara tersebut berbentuk seperti khemah, tetapi dibuat dari tanah liat. Kanak-kanak yang ke sekolah ada yang hanya berseluar pendek. Tetapi, ramai juga yang telanjang bogel. Selipar dan kasut adalah sesuatu yang mewah dan sukar untuk dimilikki. Negara tersebut adalah negara asal kelapa sawit. Tetapi, kelapa sawit di negara tersebut hanya dibiarkan tumbuh secara liar. Buahnya yang gugur dikutip untuk dimasak bersama kari ikan kering. Ekonomi negara tersebut dikuasai oleh kapitalis asing. Hutang negaranya besar dan tidak mampu untuk diselesaikan. Dalam keadaan begini, negara berkenaan hidup mengikut telunjuk kuasa asing. Ia tidak berani menyatakan keberanan yang hakiki kerana perbuatan menegakkan kebenaran akan menyebabkan negara itu dianiaiya dan didera oleh kuasa-kuasa besar. Pendek kata, beginilah hakikatnya sebuah negara yang merdeka apabila pemimpinnya tidak bijak mengurus kemerdekaan dan rakyatnya pula tidak memelihara serta mempertahankan kedaulatan dan kemrdekaan tersebut.

Kisah ini mengingatkan saya sewaktu di zaman penjajah British. Ketika itu hidup amat derita. Sehari saya makan nasi di sebelah siang dan makan ubi kayu di sebelah malam. Sehari yang lain pula saya makan ubi kayu di sebelah siang dan makan nasi di sebelah malam. Kalau terdapat rezeki yang lebih, hari-hari saya makan nasi. Tetapi, nasi yang telah dicampurkan dengan ubi kayu yang telah dicincang. Anak-anak generasi merdeka pastinya akan berkata, dulu lain, sekarang lain. Kalau itulah kata mereka, saya akan menjawab, penderitaan silam itu tidak mustahil akan menemui anda jika anda tidak menginsafi erti kemerdekaan, tidak memelihara kemerdekaan dan tidak bertindak sebagai warganegara yang merdeka.

Di Eropah Timur, saya pernah diberitahu oleh seorang Duta Malaysia, bahawa gaji seorang Pegawai Tinggi Kerajaan di negara tersebut adalah US$20.00 atau RM76.00 sebulan. Untuk membeli sepasang kasut kulit yang sederhana kualitinya, mereka terpaksa berjimat cermat sehingga tidak makan tengahari untuk selama tiga bulan. Untuk menjamu selera di sebuah restoran fastfood, mereka juga terpaksa berjimat berbulan-bulan lamanya. Untuk membeli sebuku roti mereka terpaksa beratur dalam barisan yang panjang dalam kesejukan musim salji. Di salah satu bandaraya yang saya lawati, saya dapati ramai kanak-kanak yang melarat, merempat dan meminta sedekah. Mereka berkeliaran di sepanjang jalan. Mereka mengganggu pelawat dan pelancong. Mereka tidak menerima pembelaan sewajarnya.

Di salah sebuah negara di Amerika Selatan, kesusahan hidup tergambar di mana-mana. Di negara berkenaan juga ramai anak-anak jalanan yang tidak tahu siapa ibu dan bapanya. Mereka tidak pernah menikmati kebahagian. Mereka meminta sedekah. Mereka mencopet dompet. Mereka menyamun. Dan mereka merompak. Keadaannya begitu serius sehingga sewaktu saya mendaftar diri di sebuah hotel lima bintang, saya diberikan secebis nota amaran supaya berwaspada apabila bersiar-siar di bandaraya berkenaan. Negara tersebut jadi demikian kerana ekonominya dikongkong oleh kapitalis asing. Kapitalis tersebut menghuru-harakan kerajaan negara tersebut yang tidak mesra kepada mereka. Kapitalis itu pula menaja kerajaan yang hanya mementingkan kepentingan asing. Kepentingan rakyat jelatanya langsung tidak diberi keutamaan. Negara tersebut kaya dengan minyak, gas cecair asli serta batu-batu permata yang berharga. Tetapi, seluruhnya dikuasai oleh modal asing. Ini bermakna kekayaan negara tersebut tidak ditumpahkan kembali kepada pribumi negara berkenaan. Akibatnya, rakyat negara itu menderita. Inflasi di negara berkenaan terlalu dahsyat. Setiap hari nilai matawangnya berubah-ubah menurut kadar kekuatan dollar AS. Negara tersebut adalah negara yang merdeka dan berdaulat. Tetapi berada dalam keadaan sedemikian rupa kerana kerajaannya sentiasa diganggu-gugat kuasa asing dan rakyat jelatanya juga sentiasa dimanipulasikan oleh kuasa politik luaran.

Saya pernah melawat sebuah negara di Asia Selatan. Keadaannya pun begitu juga. Ramai anak-anak kecil diperalatkan untuk meminta sedekah. Keadaannya begitu kerana kerajaan negara tersebut tidak stabil. Politik mereka berbalah-balah. Mereka bertindak secara ekstrim. Ada yang terlalu ekstrim menyokong Barat dan ada yang terlalu ekstrim menyokong ekstrismisme. Dalam keadaan sedemikian, rakyat jelatanya teranaiaya. Ramai yang berhijrah ke luar negara untuk mencari sesuap nasi dan mencari kehidupan yang lebih selesa.

Banyak lagi kisah negara asing yang cukup menyedihkan. Tetapi, cukuplah dengan kisah-kisah di atas sebagai iktibar kepada kita sebagai bangsa Malaysia yang sedang mengejar kegemilangan. Kisah di atas saya kongsikan di sini untuk menyedarkan kita semua betapa pentingnya perpaduan dan patriotisme di dalam usaha kita mengisi kemerdekaan dan mempertahankan kemerdekaan. Pada waktu yang sama, insaflah bahawa tidak ada negara yang cukup prihatin kepada rakyatnya seperti Malaysia. Tidak ada negara lain yang terus menerus berusaha memberikan kesenangan kepada rakyatnya seperti Malaysia.

Lantaran itu, adalah menjadi tanggungjawab setiap bangsa Malaysia untuk mempertahankan Malaysia. Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk membentengi negara ini dari ancaman neo-imperialisme pada setiap masa. Adalah menjadi tanggungjawab kita semua, tua dan muda, untuk sentiasa berwaspada terhadap bencana yang mungkin melanda di hari muka. Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk terus hidup berdisiplin, berilmu, bermoral, beriman dan bertaqwa. Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memahami dan menghayati the bigger picture dalam perjuangan bangsa dan negara kita pada setiap masa.

Demikianlah kisahnya mengenai kemerdekaan dan usaha mengisi kemerdekaan. Insaflah, kemerdekaan sukar diperolehi, sukar dipelihara dan sukar dipertahankan jika rakyat jelata di negara berkenaan gagal memahami erti kemerdekaan. Bangsa Malaysia sudah membuktikan kesanggupan dan kepintaran mereka mengisi dan memelihara kemerdekaan. Jadi, teruskanlah sehingga kita semua jadi cemerlang, gemilang dan terbilang. - Dipetik daripada buku Patriotisme Malaysia Penangkis Neoimprialisme Oleh Ruhanie Ahmad 2005.

GAGASAN CEMERLANG
GEMILANG TERBILANG


Perdana Menteri Pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra, berjuang menjadikan Malaysia aman dan bahagia. Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, berjuang untuk membangun dan mensejahterakan bangsa dan negara. Perdana Menteri Ketiga, Allahyarham Tun Hussein Onn, berjuang untuk memantapkan perpaduan dan ketahanan nasional. Perdana Menteri Keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad, berjuang supaya bangsa dan negara Malaysia menjalani proses anjakan paradigma demi survival dan kemakmurannya di abad ke-21, menerusi pelbagai dasar, termasuklah dasar perindustrian berat, dasar pandang ke timur, dasar Malaysia Incorporated dan doktrin Wawasan 2020. Perdana Menteri Kelima dan mutakhir, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, berjuang untuk menyempurnakan seluruh perjuangan terdahulu supaya negara dan bangsa Malaysia jadi cemerlang, gemilang dan terbilang.

Keamanan negara di era Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra tercapai apabila pengganas komunis menyerah kalah, konfrontasi dengan Indonesia ditamatkan secara berdiplomasi dan Peristiwa 13 Mei berjaya ditangani secara bijaksana. Pembangunan negara di era Allahyarham Tun Abdul Razak terlaksana dengan kewujudan DEB dan Rancangan Tanah Felda yang hasilnya kini dinikmati oleh majoriti bangsa Malaysia. Perpaduan dan ketahanan nasional di era Allahyarham Tun Hussein kini dimanifestasikan oleh keharmonian dan kemuafakatan hidup bangsa Malaysia moden. Anjakan paradigma negara di era Tun Dr. Mahathir berjaya mentrasformasikan bangsa Malaysia sebagai komuniti ilmu yang kreatif, inovatif, kompetatif dan produktif, serta melonjakkan negara dan bangsa Malaysia sebagai regional dan global player yang berwibawa dan disegani.

Seluruh perjuangan di atas berjaya dicapai kerana mendapat sokongan penuh bangsa Malaysia di semua peringkat. Oleh itu, bangsa Malaysia mutakhir, termasuk generasi mudanya, perlulah memberikan komitmen, sokongan dan dukungan sepenuhnya kepada perjuangan Datuk Seri Abdullah untuk menjadikan bangsa dan negara Malaysia cemerlang, gemilang dan terbilang di hari muka. Datuk Seri Abdullah, yang dengan rendah hati dan takzimnya telah menggelarkan dirinya sebagai “hamba no. 1 negara” telah pun mengajak seluruh bangsa Malaysia “bekerja bersama saya dan bukan untuk saya” kerana “semua rakyat Malaysia mempunyai peranan dan suara” untuk sama-sama mencemerlang dan menggemilangkan negara ini supaya jadi terbilang di dekad akan datang.

Perjuangan Datuk Seri Abdullah membawa Malaysia ke arah cemerlang, gemilang dan terbilang adalah suatu perjuangan murni. Ia merupakan suatu perjuangan untuk melengkap dan menyempurnakan seluruh perjuangan mengisi kemerdekaan tanahair yang telah dilaksanakan oleh seluruh Perdana Menteri Malaysia sebelum ini. Hakikatnya demikian kerana kecemerlangan dan kegemilangan adalah mercu kepada segala prestasi dan pencapaian positif yang telah diperjuangkan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu. Hakikatnya juga demikian kerana sesuatu bangsa dan sesebuah negara hanya akan jadi cemerlang, gemilang dan terbilang sesudah negara dan bangsa tersebut menikmati keamanan, perpaduan, pembangunan dan kemajuan. Sesuatu bangsa dan sesebuah negara juga hanya boleh jadi cemerlang, gemilang dan terbilang apabila bangsa dan negara tersebut mempunyai budaya ilmu yang unggul, mengamalkan budaya kerja yang cekap, effisien, positif, kreatif, produktif dan kompetatif, dan sentiasa prihatin terhadap kualiti, integriti dan kredibaliti di dalam segenap aspek kehidupannya, pada setiap masa.

Perjuangan tersebut juga adalah selaras dengan tuntutan dunia mutakhir yang sedang diancam bahaya neo-imperialisme dalam bentuk globalisasi dan peperangan anti-terorisme global. Dalam konteks ini, antara lainnya, Datuk Seri Abdullah berikrar bahawa Malaysia akan terus memainkan peranan yang berpengaruh selaku Pengerusi NAM dan OIC, dan terlibat secara aktif dan bermakna di PBB, terutamanya di dalam usaha menamatkan ketidakadilan dan kezaliman sejagat serta mendaulatkan undang-undang antarabangsa.

Di antara intipati penting yang mendasari perjuangan ke arah Malaysia cemerlang, gemilang dan terbilang yang telah digariskan oleh Datuk Seri Abdullah adalah seperti berikut:

  • Mempertahankan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang serta komited kepada sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.
  • Mendukung Islam sebagai agama rasmi Malaysia, membangunkan Islam Hadhari yang progresif dan moden serta menghormati kepelbagaian agama, bahasa dan budaya.
  • Membangunkan negara secara menyeluruh dan seimbang berlandaskan pentadbiran, pengurusan, perkhidmatan malah pemikiran ‘kelas pertama’ serta sahsiah yang mulia di kalangan semua rakyat Malaysia.
  • Membangunkan ekonomi negara berasaskan ilmu pengetahuan melalui kemajuan sains dan teknologi.
  • Memperbaiki mutu perkhidmatan kerajaan, mengurangkan kerenah birokrasi dan meningkatkan ketelusan.
  • Melaksanakan pengurusan fiskal yang berhemat dan bertanggungjawab.
  • Memerangi rasuah secara habis-habisan, tanpa segan-silu mahupun pilih kasih.
  • Meningkatkan dan memperkasakan pendidikan kebangsaan.

Seluruh intipati di atas membuktikan bahawa fasa perjuangan mengisi kemerdekaan negara di era Datuk Seri Abdullah adalah fasa satu perjuangan yang fokus kepada peningkatan kecekapan dan keberkesanan serta perjuangan yang menumpu kepada usaha mencapai kesempurnaan atau perfection (dalam konteks manusia yang kerdil) di dalam sistem pengurusan negara, pengurusan agama, pembangunan dan pengurusan ekonomi, pengurusan perdagangan dan kewangan, pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang, pembekalan serta penguasaan ilmu, pengetahuan dan kemahiran, pembentukan bangsa, pembinaan generasi, pembangunan sumber manusia, kemajuan masyarakat, pelaksanaan dan pengurusan dasar-dasar diplomasi dua hala dan pelbagai hala, dan lain-lainnya.

Datuk Seri Abdullah dedikated kepada misi perjuangan di atas kerana beliau mahukan segala-galanya yang terbaik untuk bangsa dan negara Malaysia di hari muka. Beliau juga komited dengan misi perjuangan tersebut kerana beliau tidak rela bangsa Malaysia “hidup menjadi pengemis” dan “dihina orang.” Lantaran itulah beliau mendorong bangsa Malaysia yang kini menikmati infrastruktur kehidupan “kelas dunia” untuk memiliki nilai-nilai hidup yang positif, akhlak yang mulia dan etika yang baik supaya ciri-ciri murni tersebut memungkinkan bangsa Malaysia memiliki mindset “kelas pertama” serta worldview yang luas, seimbang dan disegani. Beliau juga mendorong bangsa Malaysia supaya berwawasan, menghayati nilai-nilai kemanusiaan, mempunyai kesedaran kemasyarakatan yang luhur, sentiasa mempertahankan kemerdekaan serta kedaulatan negara, menjunjung prinsip-prinsip Rukunegara, menjamin kestabilan negara dan keutuhan perpaduan rakyat, dan hidup dalam suasana harmoni, aman dan damai. Seluruh dorongan ini adalah untuk melonjakkan martabat bangsa dan Negara “agar sentiasa dihormati dan dicontohi, di pentas dunia, menerusi pencapaian kemajuan serta kemampuan menghadapi setiap cabaran di era globalisasi.”

Pada waktu yang sama, perjuangan mengisi kemerdekaan di era Datuk Seri Abdullah juga adalah perjuangan menghapuskan seluruh penyakit masyarakat yang boleh menjejaskan pembangunan, kemajuan dan kecemerlangan negara dan bangsa Malaysia. Di antara penyakit masyarakat yang paling politikal dan kontroversial di waktu ini adalah rasuah. Dalam hal ini, kerajaan telah pun berikrar untuk “meneruskan kempen memerangi rasuah secara habis-habisan, tanpa segan-silu, mahupun pilih kasih.” Ikrar seperti ini amat memberangsangkan, khususnya apabila Datuk Seri Abdullah sendiri telah menyeru seluruh bangsa Malaysia supaya “berjanji kepada diri dengan nama Allah” bahawa mereka “tidak akan merasuah dan tidak boleh dirasuah.”

Oleh itu, seruan Datuk Seri Abdullah yang ikhlas dan murni ini mestilah dihormati dan dipatuhi sepenuhnya oleh seluruh pengamal-pengamal rasuah, di mana sahaja mereka berada. Pada waktu yang sama, seluruh bangsa Malaysia mestilah sama-sama mendukung sepenuhnya “usaha-usaha membudayakan semangat menolak rasuah” kerana masalah rasuah adalah di antara masalah pokok yang boleh menghalang negara dan bangsa Malaysia jadi cemerlang, gemilang dan terbilang di hari-hari mendatang.

Pada waktu yang sama, perjuangan Datuk Seri Abdullah untuk terus-menerus membanteras rasuah sewajarnya dihargai oleh seluruh bangsa Malaysia. Ini kerana rasuah adalah penyakit masyarakat dan satu jenayah yang mudah merebak dan amat berbahaya. Jika tidak dibanteras secara habis-habisan, rasuah boleh menyekat kemajuan, meruntuhkan kerajaan, membinasakan bangsa dan memusnahkan peradabannya.

Akta Pencegah Rasuah 1961, menggariskan tujuh takrif rasuah. Kesemuanya menjurus kepada amalan negatif. Satu daripada takrif tersebut menegaskan, rasuah adalah menerima atau memberi apa-apa sogokan sebagai dorongan, upah atau galakan kepada seseorang untuk melakukan sesuatu perbuatan. Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1970, pula mentafsir rasuah sebagai sebarang penyalahgunaan kedudukan untuk mendapatkan manfaat peribadi dan keuntungan kewangan. Menurut Bab IX Kanun Keseksaan Jenayah, rasuah adalah penerimaan wang ataupun sesuatu yang boleh ditaksir nilai kewangannya sebagai ganjaran kepada sesuatu perkhidmatan yang diperlukan oleh pemberinya. Dr. Syed Hussein Alatas, di dalam bukunya The Sociology of Corruption, mendefinisikan rasuah sebagai satu wabak yang menimbulkan implikasi buruk kepada akhlak seseorang individu. Katanya, rasuah juga boleh menjejaskan pentadbiran kerajaan serta mengancam keselamatan negara.

Oleh itu, bangsa Malaysia bangkitlah berjuang bersama-sama Datuk Seri Abdullah untuk membanteras rasuah kerana walau apapun definisi, takrif atau tafsirannya, rasuah tetap melibatkan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. Pengamalan rasuah boleh mendorong pembocoran rahsia, pengkhianatan amanah, memungkari kepentingan rakyat dan menodai hasrat, aspirasi serta cita-cita sesuatu perjuangan yang murni. Insaflah bahawa undang-undang sahaja tidak akan berjaya membanteras rasuah. Kemurnian sikap, kemuliaan akhlak dan perilaku yang berprinsip boleh menjadi pencegah rasuah yang berkesan.

Berasaskan reliti di atas, usaha-usaha menjadikan negara dan bangsa Malaysia cemerlang, gemilang dan terbilang adalah suatu perjuangan yang berat, melibatkan segenap lapisan bangsa Malaysia dengan peranan serta kapisiti yang berbeza, memakan masa yang panjang dan memfokus kepada aspek kualiti. Oleh itu, matlamat perjuangan seperti ini perlu distrategikan secara jelas, tegas dan menyeluruh. Ia mungkin menuntut satu kajian yang komprehensif terhadap seluruh aspek yang mahu dicemerlang dan digemilangkan. Ia juga mungkin menuntut penyediaan satu blueprint nasional yang khusus untuk melicinkan pelaksanaannya dari peringkat yang paling atas hinggalah ke peringkat akar-umbi.

Pada peringkat asas, seluruh bangsa Malaysia wajarlah didorong, dirangsang dan digalakkan supaya mengamalkan sifat dan sikap yang luhur dan positif. Pengamalan sikap dan sifat terpuji ini wajar pula digandingi dengan proses penghayatan dan pengamalan nilai-nilai hidup dan nilai-nilai perjuangan yang murni supaya kehidupan dan perjuangan mereka juga menyumbang kepada kecemerlangan dan kegemilangan bangsa dan negara. Seterusnya, seluruh bangsa Malaysia juga perlu dituntut bertindak secara cemerlang dan gemilang baik di peringkat individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia. Tuntutan seperti ini, jika distrategikan secara rapi dan bijaksana, pastinya dapat mengubati pelbagai kepincangan dan kesongsangan di kalangan bangsa Malaysia mutakhir. Misalnya, tuntutan seperti ini mungkin akan menghakis amalan rasuah, pecah amanah, penyalahgunaan kuasa, keruntuhan akhlak, kebobrokan masyarakat, pemesongan akidah, kesesatan gaya dan cara hidup, kepincangan siasah, dan pelbagai lagi kemungkaran yang boleh mengherat bangsa dan negara Malaysia seluruhnya ke kancah kehinaan.

Di dalam perjuangan menjadikan negara ini cemerlang, gemilang dan terbilang, kerajaan juga memberikan kesempatan kepada generasi muda Malaysia “untuk sama-sama memainkan peranan” di dalam proses pembangunan negara, meningkatkan dayasaing dan dayatahan ekonomi berdasarkan prestasi, meningkatkan budaya inovasi melalui penyelidikan dan pembangunan sains dan teknologi, memelihara keamanan, stabiliti dan keharmonian di kalangan rakyat, dan menghalang perpecahan yang dibawa oleh golongan ekstremis. Kerajaan memberikan kesempatan ini kerana ia yakin kepada generasi muda yang akan mewarisi dan meneruskan kejayaan untuk mencapai Wawasan 2020.

Sebilangan besar bangsa Malaysia, termasuklah generasi mudanya, pasti akan sama-sama mendukung dan menyokong perjuangan ini. Di antara syarat utamanya adalah, sikap “ketam menyuruh anaknya berjalan betul” dan tindakan “ayah kencing berdiri”, jika masih wujud di dalam sistem dan budaya hidup Malaysia, mestilah dihapuskan dengan serta merta. Amalan “menanam tebu di bibir, hangat-hangat tahi ayam, cakap berdegar-degar, najis tersangkut di gelegar, beraja di mata, bertakhta di hati, harapkan pagar, pagar makan padi, musang berbulu ayam; gunting dalam lipatan, dan kacang lupakan kulit”, sekiranya masih terus diamalkan oleh segolongan individu di semua peringkat kehidupan, juga wajar diberhentikan segera. Penghapusan dan pemberhentian sikap, sifat dan tindakan negatif ini pastinya akan menyumbang kepada usaha memurnikan perjuangan dan mewujudkan kualiti, integriti dan kredibaliti. Generasi muda Malaysia pastinya akan komited terhadap perjuangan seperti ini kerana mereka adalah generasi yang menuntut ketelusan dan akauntabiliti seperti yang diperjuangankan oleh Datuk Seri Abdullah.

Jika seluruh bangsa Malaysia bertegas dengan iltizam menghapus dan memberhentikan sifat, sikap dan tindakan negatif seperti di atas, pastinya Datuk Seri Abdullah dan team pengugurusan negaranya akan jadi lebih motivated untuk menjadikan negara dan bangsa Malaysia cemerlang, gemilang dan terbilang. Jika tidak, musnahlah harapan seorang pejuang bangsa yang berjiwa besar kerana dikhianati oleh hipokrasi bangsanya sendiri. Seandainya gambaran pesimis ini terjadi, bangsa Malaysia sendirilah yang akan merasakan padahnya.

Oleh itu, generasi pewaris negara mestilah menjadikan perjuangan ke arah Malaysia cemerlang, gemilang dan terbilang sebagai satu daripada pemangkin kepada kebangkitan patriotisme Malaysia di zaman mutakhir. Mereka hendaklah menghormati serta menyanjung keluhuran Perlembagaan dan undang-undang negara, membudayakan, menguasai serta menghayati ilmu, membudayakan sikap yang jijik terhadap rasuah, membudayakan etika kerja yang cekap, ikhlas, inovatif, kreatif, produktif dan kompetatif, membudayakan gaya dan cara hidup yang bersendikan adat ketimuran, akhlak yang mulia serta nilai-nilai moral yang terpuji, dan mempunyai keyakinan dan kebanggaan terhadap bangsa dan negaranya. Dengan cara ini, generasi muda Malaysia dapat memanifestasikan kesukarelaan mereka untuk berjuang berama-sama Datuk Seri Abdullah menempah masa depan yang lebih maju, aman dan makmur - Dipetik daripada buku Patriotisme Malaysia Penangkis Neoimprialisme Oleh Ruhanie Ahmad 2005.

1 comment:

A Voice said...

Cemerlang, gemilang, terbilang? Aisay Dato', printer dah terlepas dan tak boleh cancell. Sorry for being cynical or "scenic"al.

The intention or niat is one thing. This aspect is not to be expressed but let God be the judge.

The test of a pudding is in the taste. Since 2004, my tastebud was numbed by the dizziness from too much spin. Going to spin doctors, seemed to aggravate the condition. So I went into alternative medicine called blogs and forums, now I got my tastebud revived and realised the pudding don't taste so good.

I pity those patients of spin doctors who is not cured. They were told that those dizziness and strange tongue taste is normal. And, they believed it!!!! :-)