Tuesday, August 15, 2006

DR. MAHATHIR
MAHU JAWAPAN
BUKAN KUASA

KANGAR 14 Ogos – Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim bersetuju dengan pandangan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin bahawa bekas Perdana Menteri bukannya mahu merampas kuasa apabila mengkritik kepimpinan kerajaan sekarang.

Menurutnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad hanya mahukan jawapan terhadap beberapa persoalan yang dibangkitkannya sejak kebelakangan ini dan masalah itu boleh diselesaikan apabila beliau berpuashati dengan jawapan yang diberikan.

“Saya percaya apa yang disuarakan oleh Dr. Mahathir selama ini tidak sampai ke tahap begitu (menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi),” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini.

Sebab itulah katanya, perlu ada pertemuan empat mata antara Dr. Mahathir dan Perdana Menteri agar segala masalah yang timbul dapat diselesaikan oleh kedua-dua tokoh berkenaan.

Tambahnya, ahli UMNO juga berharap dan telah banyak memberi cadangan agar masalah itu dapat diselesaikan segera kerana mereka bimbang ia akan membawa masalah lain kepada parti.

Mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Nazri Aziz bahawa tindakan Dr. Mahathir yang berterusan mengkritik pemimpin dan kerajaan bertujuan mahu menghancurkan Abdullah, beliau berkata:

“Dr. Mahathir juga sedar tentang situasi-situasi yang akan timbul sekiranya beliau mempunyai hasrat untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN),” jelasnya.

Katanya, beliau juga berharap Dr. Mahathir berhenti daripada terus melakukan kritikan secara terbuka terhadap kerajaan kerana ia boleh menjejaskan kekuatan parti apabila pembangkang turut serta mengambil kesempatan untuk meraih simpati rakyat.

“Kalau parti pembangkang terus bertindak mengambil kesempatan daripada masalah yang sedang dihadapi oleh UMNO ini, maka masalah yang berlaku sekarang perlu dihentikan,” ujarnya.
http://utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0815&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_02.htm


‘SAYA TAK KATA
TUN MAHU
RAMPAS KUASA’

KUALA TERENGGANU 14 Ogos – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menegaskan beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad berhasrat merampas kuasa daripada penggantinya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

“Saya tidak pernah kata Tun hendak rampas kuasa, tetapi saya ada maklumat bahawa Tun hendak lihat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi jatuh,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Amanah Raya Berhad di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin berhubung kelantangan Mohamed Nazri yang mengatakan tindakan Dr. Mahathir secara berterusan mengkritik pemimpin dan kerajaan bertujuan mahu menggulingkan Perdana Menteri.

Dalam laporan akhbar hari ini, Abdul Aziz yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dilaporkan sebagai berkata, bekas Perdana Menteri itu walaupun kini lantang mengkritik kerajaan tidak akan merampas kuasa daripada penggantinya.

Abdul Aziz yang juga bekas Setiausaha Politik Dr. Mahathir menegaskan faktor umur menyebabkan bekas ‘bos’nya itu tidak akan terfikir untuk berbuat demikian kerana sebelum ini bekas Perdana Menteri itu sendiri menyerahkan jawatannya kepada Abdullah.

Merujuk kepada perkembangan itu, Mohamed Nazri tidak menolak UMNO akan berhadapan dengan perpecahan sekiranya ada kalangan anggota Kabinet dan pemimpin UMNO yang tidak memahami tindakan lantangnya menentang Dr. Mahathir.

Tegas beliau, apa yang dilakukannya semata-mata untuk melindungi UMNO daripada berpecah belah dan tidak akan berkompromi dengan usaha dan tindakan yang sedang dilakukan oleh Dr. Mahathir itu.
http://utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0815&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_04.htm


DR. M:
BERI SYARAT
TIDAK ADIL

ALOR STAR 14 Ogos – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tidak adil bagi bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendesak kerajaan menarik balik pembatalan projek jambatan bengkok sebagai syarat untuk beliau berhenti mengkritik.

Menurutnya, apa yang penting kerajaan telah membuat keputusan dan ia diambil berasaskan kepada fakta yang jelas serta maklumat mencukupi.

“Jadi, saya rasa tidak ada sebab Kabinet atau kerajaan kena menarik balik keputusan yang sudah dibuat semata-mata atas permintaan Tun, itu tidak adil untuk kerajaan.

“Justeru, jika Tun hendak terus mengkritik, itu hak dia,’’ katanya.

Mahdzir diminta mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri itu bahawa beliau bersedia menghentikan kritikan terhadap kerajaan jika projek jambatan tersebut diteruskan.

Semalam, Dr. Mahathir menegaskan bahawa beliau bersedia berhenti mempersoalkan keputusan kerajaan sekiranya mereka bersetuju menarik balik pembatalan projek jambatan baru menggantikan Tambak Johor.

Mahdzir berkata, keputusan yang dibuat oleh kerajaan itu adalah adil untuk rakyat, malah rakyat juga telah menerima dan memahaminya.

“Biarlah kerajaan buat keputusan yang adil untuk rakyat,’’ ujarnya.
http://utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0815&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_01.htm


JANGAN ULANGI
PERISTIWA 1987
– RAFIDAH

KUALA LUMPUR 14 Ogos – Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Rafidah Aziz meminta semua pihak tidak mengulangi peristiwa 1987 yang menyaksikan UMNO berpecah belah kerana krisis kepimpinan.

Beliau berkata, sebagai mangsa kepada krisis kepimpinan pada 1987 itu, bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad juga mengetahui betapa sukar menghadapi situasi berkenaan.

‘‘Jangan biarkan pisang berbuah dua kali. Kami tidak memerlukannya. Tolong, bantu parti... bantu negara,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan perasmian Forum Perdagangan Antarabangsa Mengenai Perkhidmatan Profesional Dalam Ekonomi APEC di sini, hari ini.
Rafidah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengulas kemelut di antara Dr. Mahathir dan kerajaan.

Beliau berkata, kemelut tersebut perlu dihentikan segera kerana ia tidak baik untuk negara.

Katanya, persekitaran ekonomi hari ini amat rapuh dan ditambah dengan isu-isu di Asia Barat dan kenaikan harga minyak, ia memerlukan tumpuan sepenuhnya.

‘‘Jangan biarkan perkara seperti ini, yang bukan satu isu mengalih tumpuan kita,’’ katanya.

Ditanya sama ada kemelut tersebut telah menjejaskan imej negara di luar negara, beliau berkata, tidak.

Katanya, ini terbukti apabila tidak ada satu pun soalan mengenai isu semasa negara diajukan kepada beliau ketika menghadiri Seminar Peluang Perdagangan di Australia.

‘‘Walaupun daripada pelajar kita. Tidak ada soalan dan ini berbeza zaman Anwar (Datuk Seri). Rakyat tempatan pun bertanya soalan,’’ katanya.

Rafidah berkata, penerimaan ahli UMNO di peringkat akar umbi juga baik kerana mereka tahu kerajaan berusaha gigih mengurus ekonomi negara.
http://utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0815&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_07.htm

No comments: