Thursday, August 24, 2006

DR. MAHATHIR
BERHASRAT JADI PERWAKILAN UMNO

ALOR STAR 23 Ogos 2006: Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berhasrat menjadi perwakilan UMNO dan akan berucap pada perhimpunan agung parti itu November ini.

Dr. Mahathir berkata beliau tidak akan menarik diri setelah mendapat pencalonan untuk menjadi perwakilan UMNO Bahagian Kubang Pasu pada persidangan UMNO bahagian itu 3 September 2006 ini.

Bercakap kepada para pemberita selepas menyampaikan ceramah bertajuk “Cabaran Pembangunan Ummah” anjuran Dewan Perhimpunan Melayu Kedah (DPMK) di sebuah hotel di sini hari ini, beliau berharap akan turut diberi peluang berucap jika dipilih sebagai perwakilan.

Ditanya sama ada beliau akan mengulangi kritikannya terhadap pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, beliau berkata: “Saya tak boleh bagi tahu apa yang nak diucap. Tunggulah”.

Dr. Mahathir berkata bahawa beliau diberitahu bahawa ada pihak tertentu yang akan memujuknya supaya menarik diri daripada bertanding sebagai perwakilan UMNO bahagian itu.

“Saya tidak akan tarik (diri). Buat apa nak tarik (diri),” katanya.

Bekas Presiden UMNO itu berkata, beliau amat sayangkan UMNO dan semasa disingkirkan daripada parti itu (semasa pentadbiran Tunku Abdul Rahman pada 1969), jiwanya penuh dengan perjuangan parti itu.

Katanya beliau sedih kerana dianggap sebagai pemecah belah parti UMNO kerana menurutnya beliau adalah anggota UMNO yang pertama mendaftar apabila parti UMNO diwujudkan semula selepas diharamkan.

Beliau hairan mengapa beliau dihalang untuk bertemu dan berucap sedangkan beliau begitu setia dan sayangkan UMNO.

Mengimbas mengapa beliau meletakkan jawatan yang disandangnya selama 22 tahun pada 2002, Dr. Mahathir berkata beliau mengambil keputusan itu setelah mengambil kira empat faktor.

Empat faktor itu ialah kestabilan negara, parti UMNO yang kian kukuh, kedudukan ekonomi bertambah baik dan kedudukan kewangan negara yang memuaskan.

“Lepas tu saya buat pengumuman untuk letak jawatan pada 2002. Saya kata kepada UMNO secara terbuka untuk letak jawatan”, katanya. – Bernama – Dipetik daripada Utusan Malaysia 24 Ogos 2006.

No comments: