Tuesday, July 18, 2006



GLOBALISASI, TROJAN HORSE
DAN MUSUH DI DEPAN TANGGA


Bertuah betul Singapura. Negara ini sekarang seolah-olah menjadikan Malaysia sebagai jurucakapnya. Saya tidak tahu sama ada keadaan sebgini pernah berlaku sebelum ini. Bagaimanapun, apa yang berlaku minggu lalu pastinya satu sejarah yang melambangkan keakraban Malaysia-Singapura di abad ke-21.

Baguslah. Inilah kesan dan synergy sihat bila kepimpinan perdana Singapura pada hari ini dan barisan tenaga pendukung kepimpinan utama Malaysia mutakhir, majoritinya adalah cendikiawan lulusan Oxford dan Cambridge.

Lantaran itu, apa nak kita rimas-rimas, risau-risau dan bimbang-bimbang tak tentu pasal? Kalau pada minggu lalu, Malaysia seolah-olah jadi jurucakap Singapura, atas dua isu besar yang mungkin boleh menjejaskan kedaulatan negara, anggapan ini adalah salah, kolot dan emosi.

Kalau minggu lalu, Jabatan Perdana Menteri seolah-olah jadi jurucakap Singapura dalam hal membabitkan projek Jambatan Indah, jangan kita ambil pusing, jangan kita ambil peduli, jangan kita ambil hirau. Biaq pi. Tok sah kita kacau, tok sah kita keriua, tok sah kita kecoh. Ingat. Biaq pi! Depa semua tau. Depa semua bijak belaka!

Kalau Ahad lalu (16 Julai 2006) ada Timbalan Menteri dok pertahankan Singapura beli saham-saham syarikat strategik Malaysia, tok sah kita penin kepala, tok sah kita gatai mulut, tok sah kita jadi sasau. Kita angkat pungkok, kita pi main jauh-jauh, kita tengok saja depa buat kerja. Eh, kan orang dah kata, kita tau apa? Kita tau apa, kalau sekolah pun tak ke mana? Kita tau apa, kalau kita setakat lulusan universiti cabok dalam negara?

Habis tu, biaq pi jugalah jawabnya? Betul! Cakap lebih-lebih, nanti orang tunjal muka, nanti orang jengkal muka kita, dan tuduh kita mana tau proses, kesan dan implikasi globalisasi? Kalau kita cakap lebih-lebih lagi soal malaun Singapura tu beli saham syarikat bapak kita, nanti ada orang tempelak kita sebagai kolot, mundur dan sebagainya. Harulah kita kalau kena kata begitu!

Tapi, kali ini saya tetap nak katakan sesuatu. Baik Menteri, baik bekas Menteri, baik Timbalan Menteri, mereka kena faham kata-kata ini. Mereka kena faham kerana inilah suara dan inilah maklum balas dari rakyat jelata. Rakyat jelata ini pulalah yang sentiasa mendukung serta memperjuangkan Kerajaan yang ada, sejak dulu, kini dan selamanya!

Ramai rakyat jelata Malaysia faham apa itu globalisasi. Majoriti mereka tidak bodoh, belum bodoh dan tidak rela diperbodohkan. Globalisasi banyak tafsiran, banyak kesan, banyak implikasi, dan banyak cabarannya.

Para pendukungnya berkata, globalisasi akan memberi manfaat besar kepada dunia. Tetapi, pihak lain pula mengesyaki, globalisasi adalah satu perancangan sulit sesetengah kuasa neoimperialis dan zionis untuk mewujudkan sebuah kerajaan dunia atau a single world government atau pun the united states of the world.

Oleh itu, waspada. Jangan kita terima kedatangan dan kehadiran globalisasi secara membabi buta. Jangan juga kita halalkan tindakan yang mungkin menjejaskan kedaulatan negara kita atas alasan, kononnya proses globalisasi tidak boleh dielakkan kemaraannya.

Memang sejak awal 1981, Malaysia mengamalkan dasar perkayakan jiran anda. Menerusi gagasan ASEAN juga wujud beberapa kawasan pertumbuhan segi tiga ekonomi yang membabitkan Malaysia dan jiran-jiran terdekatnya.

Biarpun begitu, rakyat Malaysia perlu sentiasa waspada terhadap jiran-jirannya. Kewaspadaan ini sangat-sangat dituntut dan mesti dilaksanakan. Terutama sekali terhadap mana-mana jiran yang sentiasa mempunyai hati, jiwa, kalbu, nurani, cita-cita dan aspirasi yang negatif terhadap negara tercinta ini.

Waspadalah. Rambut jiran-jiran kita mungkin sama hitamnya. Tapi, isi hati mereka, siapa yang tahu? Waspadalah. Di depan mata kita mungkin wujud jerangkap samar. Di depan tangga kita, mungkin ada musuh yang sentiasa bersiapsedia untuk menyerang. Waspadalah. Di dalam selimut kita sendiri mungkin wujud seteru yang menyamar, ibarat gunting dalam lipatan, bagaikan musang berbulu ayam.

Lantaran itu, kita jangan terlalu mengada-ngada. Kita jangan berlagak, kononnya kita ini terlalu liberal. Kita jangan menyalak tak tentu hala, kononnya rakyat Malaysia tidak perlu emosi kalau ada sesetengah pemodal asing membeli saham beberapa syarikat di Malaysia. Jangan kita kelirukan rakyat jelata Malaysia, kononnya kita tidak boleh bertindak demikian kerana itulah antara fenomena globalisasi.

Kebelakangan ini segelintir pemodal dari Singapura memang telah membeli saham milik syarikat Malaysia. Syarikat-syarikat yang dibeli sahamnya, bukan syarikat tempe, bukan syarikat tauhu, bukan syarikat kicap, bukan syarikat belacan. Syarikat-syarikat itu adalah syarikat-syarikat yang strategik. Syarikat-syarikat itu adalah GLC atau syarikat yang berkait rapat dengan Kerajaan Malaysia.

Majoriti rakyat amat insaf bahawa antara syarikat yang kini dimiliki sahamnya adalah syarikat yang wujud atas tajaan Kerajaan dan rakyat Malaysia. Contohnya Telekom Malaysia Bhd. Contohnya, Proton Holding Bhd. Contohnya, Westport. Contohnya (masih belum dipastikan dan mungkin hanya berita angin sahaja) adalah TV3, dan apa-apa lagi!


Rakyat Malaysia jadi bimbang kerana yang membeli saham-saham itu adalah syarikat-syarikat yang berkait rapat dengan Kerajaan Singapura. Seperti Temasek Holdings. Seperti Perbadanan Pelaburan Kerajaan Singapura, dan lain-lainnya.

Syarikat-syarikat di atas membeli saham dalam syarikat-syarikat strategik Malaysia, syarikat-syarikat yang berkait dengan Kerajaan Malaysia, dan syarikat-syarikat yang membabitkan kemegahan, kedaulatan dan kemerdekaan Malaysia.

Berasaskan hakikat seperti ini, siapa yang bodoh kalau rakyat Malaysia diminta jangan jadi emosi? Berasaskan hakikat seperti ini, siapa yang mesti dipersalahkan kalau perkembangan ini mencemaskan segolongan rakyat jelata Malaysia?

Lebih memanaskan suasana, benarkah desas-desus mengatakan bahawa beberapa pembelian saham berkenaan oleh pihak Singapura adalah atas sokongan seorang dua rakyat Malaysia yang dikatakan lulusan Cambridge atau Oxford. Benarkah ura-ura ini? Siapakah dia orangnya? Berapa habuan dan berapa ganjaran mereka?

Rakyat jelata Malaysia mempunyai seribu satu hak untuk mendesak Kerajaan supaya memberikan perlindungan penuh kepada syarikat-syarikat yang sedang diasak oleh kepentingan Singapura. Mereka mesti dilindungi pada setiap masa. Terutama sekali dalam era globalisasi. Kalau tidak, macam kata suku Jawa di Seri Medan, dalam Parlimen Parit Sulong, Batu Pahat, Johor, daripada dilanda globalisasi, Malaysia mungkin dilanda gombalisasi!

Jadi, kita mahu globalisasi atau gombalisasi? Globalisasi sudah diketahui ramai akan erti dan implikasinya. Gombalisasi? Kalau globalisasi datangnya daripada perkataan global, gombalisasi pula datangnya daripada perkataan gombal. Gombal ertinya kain buruk. Jadi, gombalisasi adalah proses yang menyebabkan sesuatu jadi kain buruk!

Dalam konteks perbincangan ini, kalau kita halalkan syarikat-syarikat Singapura memiliki sahamnya dalam syarikat-syarikat strategik Malaysia, tanpa sesuatu mekanisme kawalan yang rapi, Malaysia mungkin akan dilanda gombalisasi. Maksudnya, Malaysia mungkin suatu hari nanti jadi kain buruk, tidak berharga, dipijak-pijak sebagai pengesat kaki di hujung dapur!

Pandangan saya ini mungkin kampungan. Saya tak peduli. Apa orang nak kata, katalah. Katalah saya ni kuno, saya ni kolot atau saya ni bermental katak bawah tempurung. Katalah. Tapi, kalau kita sanggup merongkai globalisasi secara terperinci, tentu kita akan insaf apa yang saya maksudkan di sini.

Kalau tak percaya, marilah kita diperincikan soal globalisasi di abad mutakhir. Di era pasca Perang Dingin, instrumen neoimperialisme ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang amat menonjol dan penuh kontroversi adalah globalisasi perdagangan dan liberalisasi kewangan.

Sebilangan besar komuniti dunia, khususnya di negara-negara membangun dan miskin, kini dicengkam globalisasi. Mereka tidak pasti akan cabaran-cabaran globalisasi. Mereka ragu terhadap manfaat globalisasi. Mereka kesal terhadap penderitaan yang dilahirkan oleh globalisasi. Mereka juga bimbang akan keresahan serta bangkangan terhadap globalisasi.

Lantas, sebilangan warga dunia pun menyifatkan globalisasi sebagai proses neoimperialisme dan penindasan yang terancang sehingga menyebabkan golongan kaya jadi bertambah kaya, golongan miskin jadi papa kedana.

Sebab itulah mereka beranggapan globalisasi adalah punca utama yang menyebabkan 1.2 billion warga dunia hidup hanya dengan US$1.00 (RM3.80) sehari, sementara 2.8 billion lagi hidup hanya dengan US$2.00 (RM7.80) sehari.

Jonathan Sacks menyatakan di dalam buku The Dignity Of Difference, semua ini terjadi kerana globalisasi bergerak terlalu laju sehingga mendahului kemampuan majoriti manusia untuk merangkulnya. Ia juga terjadi kerana globalisasi berlaku terlalu pantas sehingga menyukarkan majoriti umat manusia untuk memahami proses tersebut dengan sedalam-dalamnya.

Keadaan ini menjadikan sebilangan besar umat manusia seolah-olah tidak terdaya untuk mengawal destini kehidupan masing-masing di hari muka. Sebab itulah wujud kebimbangan yang mendorong ketakutan. Ketakutan tersebut merangsang kemarahan. Kemarahan berkenaan memunculkan keganasan. Dan, keganasan tersebut akhirnya telah melahirkan realiti yang amat menggerunkan.

Impak negatif seperti ini juga telah mendorong sebilangan besar masyarakat antarabangsa membuat kesimpulan bahawa globalisasi adalah masalah yang paling membimbangkan dunia mutakhir; adalah ancaman kepada negara-negara membangun, kecil dan miskin; adalah proses yang menggugat kuasa politik yang telah dipilih secara demokratik di sesebuah negara yang berdaulat dan merdeka.

Warga dunia juga yakin, globalisasi adalah perkembangan yang menggugat keluhuran undang-undang dan perlembagaan di sesebuah negara yang berdaulat dan merdeka; adalah manipulasi perdagangan antarabangsa yang menjadikan puak kapitalis bermaharajalela dan bertindak sebagai proksi kuasa neoimperialis; adalah sistem ekonomi yang memperjuangkan agenda sulit neoimperialis untuk menguasai pemerintahan sesebuah negara menerusi bantuan kewangan, pinjaman modal, sistem ekonomi pasaran terbuka serta proses liberalisasi perdagangan dan perbankan.

Lantaran itu, maksud dan matlamat globalisasi wajar difahami. Segala agenda sulit globalisasi perlu dikenalpasti. Perkara ini penting kerana pihak pejuang dan pendukungnya sering menyebarkan propaganda, kononnya globalisasi hanya tertumpu kepada matlamat memudahkan urusan ekonomi, perdagangan dan kewangan dunia; mewujudkan keseragaman dan kesamarataan sejagat; membolehkan kekayaan dan kemewahan material mengalir dari satu negara ke satu negara yang lain untuk dikongsi nikmatnya oleh komuniti antarabangsa.

Globalisasi juga kononnya bermatlamat meningkatkan kerjasama internasional; merangsang, mendorong, menggalak dan mempercepatkan pelaksanaan sistem undang-undang sejagat; mewujudkan kerjasama lebih erat dan luas di antara sesama umat manusia sejagat; dan memunculkan sebuah dunia yang lebih aman, damai, adil, saksama dan perkasa.

Bagaimanapun, kefahaman dan kewaspadaan terhadap globalisasi hanya akan wujud setelah difahami latarbelakangnya. Menurut Noam Chomsky di dalam buku Profit Over People: Neoliberalism And Global Order, “globalisasi adalah satu sistem perdagangan dan kewangan yang dipaksakan oleh kerajaan-kerajaan dunia yang gagah (neoimperialis), khususnya AS, ke atas warga dunia.”

Sistem ini, kata Chomsky, bermatlamat memudahkan syarikat-syarikat besar dan golongan kaya raya mendominasikan ekonomi negara-negara asing, tanpa sebarang obligasi terhadap negara-negara yang mereka dominasikan.

Globalisasi juga berkait rapat dengan ideologi neoliberalisme. Menurut Robert McChesney di dalam pengenalan kepada buku Profit Over People: Neoliberalism And Global Order, “neoliberalisme adalah paradigma politik dan ekonomi yang menentukan zaman mutakhir. Ia merujuk kepada segala dasar dan proses di mana segelintir kelompok kapitalis menguasai seberapa banyak mungkin kehidupan masyarakat untuk memaksimakan keuntungan peribadi mereka.”

Neoliberalisme juga dikenali sebagai “Washington Consensus” atau “Permuafakatan Washington” yang membabitkan susunan global, khususnya mengenai prinsip-prinsip pasaran yang direkacipta oleh AS dan beberapa institusi antarabangsa yang dikuasainya.

Arkitek sebenar neoliberalisme adalah pemimpin-pemimpin sektor ekonomi swasta, khususnya syarikat-syarikat multi-nasional yang menguasai ekonomi dunia, yang berupaya mempengaruhi proses pembikinan dasar di sesebuah negara, dan juga mampu mempengaruhi pemikiran manusia sejagat.

Sebab itulah segolongan media perdagangan antarabangsa menggelarkan kelompok kapitalis ini sebagai “kerajaan dunia yang paling hakiki di era neoimperialisme.”

Para pejuang dan pendukung neoliberalisme juga sentiasa memberitahu masyarakat dunia bahawa ideologi tersebut kononnya memberikan manfaat besar kepada umat sejagat, khususnya golongan miskin.

Propaganda tersebut adalah kosong dan palsu. Kesan neoliberalisme terhadap ekonomi sesebuah negara adalah negatif. Ideologi neoliberalisme telah menyebabkan kewujudan keadaan tidak seimbang atau inequality yang amat serius di kalangan umat manusia.

Ia menyebabkan masalah alam sekitar yang kian meruncing. Ia menjejaskan ekonomi negara-negara kecil dan miskin. Ia menjadikan ekonomi global tidak mantap. Ia juga menyebabkan rakyat jelata di negara terbabit jadi kurang berminat terhadap kesejahteraan politik di negaranya.

Pendek kata, neoliberalisme telah menyebabkan banyak pihak jadi susah, negara-negara kecil dan miskin hidup tertindas, negara membangun sering diganggu gugat dan susunan dunia jadi haru-biru.

Susunan global yang diwujudkan oleh gerakan neoliberalisme juga menuntut supaya sektor kewangan dan perdagangan bergerak secara bebas, harga ditetapkan oleh pasaran dan projek-projek hendaklah diswastakan. Dalam ertikata yang lain, kerajaan di sesebuah negara tidak harus campurtangan dalam urusan-urusan sedemikian.

Oleh itu jangan kita terlalu mudah untuk menghalalkan globalisasi. Dalam konteks Malaysia, segala tuntutan globalisasi mesti ditangani secara teliti dan bijaksana. Jika tidak, ia mungkin menjejaskan kewujudan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Sejak negara ini merdeka pada 1957, Peruntukan 153 Perlembagaan Malaysia inilah yang menjadi sumber induk kepada penggubalan dan pelaksanaan seluruh dasar, strategi dan program affirmative yang memberikan keistimewaan kepada orang Melayu dan Bumiputera di bidang sosio-ekonomi.

Perkara 153 inilah yang menjadi sumber kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pembangunan Nasional (DPN) dan Dasar Wawasan Negara (DWN). Jika dasar-dasar yang melahirkan program-program affirmative ini dipertikai atau diganggu-gugat, akibatnya orang Melayu dan Bumiputera akan melarat dan terpinggir dari arus perdana pembangunan dan kemajuan di era globalisasi.

Hakikat ini perlu diinsafi dan difahami sedalam-dalamnya oleh semua pihak, baik pemimpin politik, pembuat dasar, pelaksana dasar mahupun seluruh rakyat jelata. Janganlah kerana Malaysia tidak mahu disisihkan oleh globalisasi, maka dasar, strategi dan program mengenai orang Melayu dan Bumiputera pula dipinda, diubahsuai atau dimansuhkan sehingga mereka jadi terpinggir, mundur atau kehilangan jatidiri atau identiti akibat globalisasi.

Oleh itu, Kerajaan perlu mengkaji sedalam-dalamnya seluruh dasar dan undang-undang yang diwujudkan untuk kesejahteraan orang Melayu dan Bumiputera sebelum mengambil sebarang keputusan sama ada dasar dan undang-undang berkenaan perlu dipinda, diubahsuai atau dimansuhkan atas nama globalisasi.

Sekiranya kuasa Barat atau talibarutnya di negara ini menuntut supaya dasar atau undang-undang berkenaan mesti dipinda, diubahsuai atau dimansuhkan, Kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia mestilah bertegas.

Mereka mesti mempunyai iltizam politik dan iltizam nasional yang kuat untuk mempertahankan seluruh dasar tersebut. Janganlah terdapat mana-mana pihak yang berkecuali dan jangan pula ada golongan yang mendukung desakan seperti ini.

Globalisasi juga menuntut sektor swasta Malaysia untuk mewujudkan dasar serta strategi baru. Mereka juga perlu meningkatkan kecekapan pengurusan dan memperhebatkan produktiviti sumber manusia masing-masing.

Pendek kata, mereka perlu menyiapkan diri untuk menghadapi persaingan global. Dalam pada itu, sektor swasta Malaysia sewajarnyalah sentiasa mempertahankan dasar-dasar yang membabitkan orang Melayu dan Bumiputera.

Janganlah atas nama globalisasi, maka segala dasar Melayu dan Bumiputera yang kini dihayati serta dilaksanakan oleh sektor swasta juga terus diketepikan. Insaflah, di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung. Jangan sampai kera di hutan disusukan, ayam di kepok mati kelaparan dan itik di air mati kehausan!

Jadi, globalisasi, globalisasi juga. Tapi kepentingan Melayu, bumiputera atau pribumi di bumi tercinta ini jangan pula digolok-gadaikan. Jadi, kalau ada orang Kerajaan nak bidas-bidas rakyat jelata Malaysia yang rimas, cemas dan panas pasal keaktifan beberapa syarikat Singapura membeli saham syarikat-syarikat strategik di Malaysia, jangan ada mana-mana pihak cuba memperlinya.

Dan, jangan kita jadi dayus sehingga kita rela dijadikan kuda kepang oleh jiran tetangga yang tidak tahu beradab dan berbahasa. Atau, jangan juga kita jadi petualang yang akan membantu kemasukan trojan horse ke negara ini. Kalau itu terjadi, sah kita adalah pengkhianat yang mempersilakan masuk berkhemah di depan tangga.







1 comment:

A Voice said...

Good piece Dato'

Globalisation will reach like any ism will meet its point of combustibility. If man could not cope with the speed of change, they'll fall to pieces.

I remembered listening to Sheikh Imran's lecture on yakjuj makjuj,which is perceived to be glabalisation. Since the phenomenon will pervades into everyone's life, he suggested that one return to a simple recluse life and reduce dependence on modern facilities as a defence mechanism.

His rationale is that in the urban area, it is a lost cause and returning to teh rural recluse allows one to build resilient by safeguarding our internal value system.

But I do not have the solution to combat the guns and tanks. Peerhaps after the Gold Dinar is in place, then we have a fighting chance ...