Thursday, July 06, 2006

MAHATHIR MOHAMAD
PERWIRA BANGSAKU



Mahathir
kami tidak akan bertanya
mengapa kau harus pergi
tinggalkan pelayaran bahtera wawasan
di segara perjuangan menggapai harapan
yang menjanjikan fajar di hujung usia.

Mahathir
kau pembela ummah
kau wira dunia
kau patriot bangsa
kau negarawan agung
kau pejuang kemanusiaan sejagat
kau sumber kemegahan bersama.

Mahathir
Malaysia kau lonjakkan martabatnya ke serata jagat
Antartika kau takluki salji-saljinya
Himalaya denganmu cukup mesra
Amerika Syarikat kau gegar kedurjanaannya
Tokyo dan sakuranya kau jadikan cermin jendela timur
Harare penyimpul kesetiakawanan benua
Israel kau jadikan tugu kezaliman dan kepura-puraan
Russia bersamamu mengimbangi neraca kuasa gergasi.

Mahathir
Makrifat mu tajamannya luarbiasa
Ombak ganas kau tambat dengan serapah seorang wira
Halalintar tidak membelah tekad waja merah membara
Amanah dan jujur pantang digadaikan prinsipnya
Malam siang dan malam
Amalanmu adalah kejujuran, keikhlasan dan kesetiaan
Dalam menggapai kejayaan bagi perjuangan yang belum selesai.

Mahathir
Jangan kau bimbang
Umat manusia yang sentiasa insaf
Akan terus mengenang perjuanganmu
Rela dan relakanlah
Aura pimpinanmu dijadikan azimat ke puncak jaya

Mahathir
Bangsa Malaysia terhutang budi kepada mu
Anak-anak Malaysia menyanjung tinggi jasa baktimu
Nan sentiasa segar sepanjang hayat
Gunung sama didaki, lurah sama dituruni
Sehingga wawasan mu menjadi realiti
Agung dan megah di dataran sejarah.

Mahathir
Tinggi-tinggi si Kinabalu
tinggi lagi harapan mu kepada bangsa
ganas-ganas segara timur
ganas lagi gelora yang meredah mu sekian lama
indah-indah pencakar langit KLCC
indah lagi lakaran perjuangan mu untuk pertiwi.

Mahathir
Kuala Sedili diliputi awan
Kuala Johor indah perkasa
impian putera dari kayangan
mulia sekali baktimu tuan
sentiasa luhur sepanjang usia
saban ketika jadi kenangan.


RUHANIE AHMAD
Kuala Lumpur
September 2003

[dipetik dari buku MAHATHIR MENYINGA]

No comments: