Wednesday, July 05, 2006

DATUK SERI ABDULLAH
MINTA MAAF PADA TUN?

Oleh Laksamana Bentan


Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak perlu minta maaf kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Beliau juga tidak perlukan orang tengah untuk meleraikan apa jua yang disifatkan sebagai kekusutan dengan Perdana Menteri.

Hakikatnya demikian kerana Tun Dr. Mahathir tidak melakukan apa-apa kesalahan. Sebagai seorang yang amat berpengalaman, Tun Dr. Mahathir hanya menyatakan apa yang dianggap salah dan tidak sesuai, semata-mata demi kebaikan Malaysia.

Tetapi, kalaulah ada pihak yang perlu meminta maaf kepada Tun Dr. Mahathir, pihak berkenaan adalah Datuk Seri Abdullah. Beliau wajar berbuat demikian kerana dipercayai telah melanggar beberapa syarat tertentu yang ditetapkan sewaktu beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri dari Tun Dr. Mahathir.

Tun Dr. Mahathir, selaku penyandang jawatan Perdana Menteri selama hampir 22 tahun, telah mengenakan beberapa syarat tertentu sebelum melepaskan jawatan berkenaan kepada Datuk Seri Abdullah pada akhir 2003, demi kebaikan agama, bangsa dan negara.

Tun Dr. Mahathir bertindak demikian kerana sebagai penyandang jawatan Perdana Menteri, pastinya beliau berpengalaman luas dan arif dengan segala masalah pengurusan negara. Jadi, beliau mengemukakan beberapa syarat kepada Datuk Seri Abdullah, adalah dengan harapan supaya Malaysia terhindar dari sebarang masalah di kemudian hari.

Oleh yang demikian, kalaulah syarat-syarat berkenaan tidak dipatuhi, atau pun dikhianati, oleh pihak yang menerima jawatan Perdana Menteri, pastilah bekas penyandang jawatan berkenaan, iaitu Tun Dr. Mahathir, berhak untuk berasa tidak berpuas hati.

Lantaran itu, oleh kerana sekarang ini Datuk Seri Abdullah dikatakan telah memungkiri beberapa janjinya kepada Tun Dr. Mahathir, siapakah yang boleh melarang Tun Dr Mahathir daripada meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap apa yang sedang berlaku?

Rakyat jelata Malaysia harus sedar, Tun Dr. Mahathir hanya mula meluahkan perasaan tidak puas hatinya terhadap kepimpinan Datuk Sri Abdullah hanya selepas dua tahun beliau bersara.

Ini kerana Tun Dr. Mahathir dikatakan tidak tergamak melihat rakyat jelata Malaysia dibebani impak kepada cara Datuk Seri Abdullah mengendalikan soal pengurusan Proton dan pengimportan kereta asing, terutama sekali mengenai lambakan kereta dari Korea, mulai pertengahan 2005.

Rasa tidak puas hati Tun Dr. Mahathir dipercayai jadi semakin memuncak bila Datuk Seri Abdullah dianggap sengaja membiarkan Menteri yang bertanggung jawab mengenai pengimportan kereta asing tidak menjawab soalan yang diajukan, walaupun dalam Perhimpunan Agung Tahunan UMNO, mahu pun di Dewan Rakyat.

Pada waktu yang sama, beberapa dasar luar negara juga mula berubah apabila Malaysia menyahut kehendak Barat, terutamanya Amerika Syarikat dan Britain. Contohnya, sewaktu Malaysia jadi Pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN pada November 2005, Malaysia telah mengubah dasar tidak mencampuri urusan dalaman di sesebuah negara jiran, kepada dasar mendisiplinkan Myanmar.

Selepas itu, Tun Dr. Mahathir jadi semakin terguris jiwanya bila kontrak Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff, CEO Proton yang berpengalaman 9 tahun, dan memberikan sumbangan besar kepada pembangunan industri automatif Malaysia, tidak lagi disambung. Sebaliknya, kepimpinan Datuk Seri Abdullah melantik Syed Zainal Abidin yang disifatkan hanya sebagai car assembler untuk menggantikan Tengku Tan Sri Mahaleel.

Tun Dr. Mahathir jadi semakin menyinga bila Kerajaan Datuk Seri Abdullah membatalkan projek Jambatan Indah untuk mengantikan Tambak Johor. Tindakan tersebut benar-benar menghangatkan emosi Tun Dr. Mahathir. Beliau mengangap keputusan Datuk Seri Abdullah itu sebagai tindakan sengaja untuk menggadaikan maruah negara Malaysia.

Tun Dr. Mahathir juga kesal kerana Datuk Seri Abdullah dipercayai membiarkan Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar, memanipulasikan fakta berkenaan Jambatan Indah, termasuk semua keputusan Kabinet mengenainya. Insiden ini dipercayai amat tidak boleh diterima oleh Tun Dr Mahathir.

Seterusnya, Datuk Seri Abdullah juga dikatakan sengaja membiarkan akhbar New Straits Times, media perdana yang sebelum ini amat dihormati, kini menjadi alat untuk membelakangkan UMNO, sebagai tunggak kepada pemerintahan Malaysia.

Datuk Seri Abdullah juga seolah-olah sengaja membiarkan akhbar berkenaan mempersendakan Rasulullah. Beliau juga seolah-olah merestui agar lidah pengarang akhbar tersebut mengecam Tun Dr. Mahathir, seorang negarawan dunia yang unggul dan dihormati.

Berasaskan seluruh fakta dan perkembangan seperti di atas, perlukah Tun Dr. Mahathir meminta maaf kepada Datuk Seri Abdullah? Atau, bukankah Datuk Seri Abdullah sendiri yang sewajarnya perlu meminta maaf daripada Tun Dr. Mahathir? – Disunting pada 5 Julai 2006.

No comments: