Monday, July 17, 2006

OIC & DUNIA ISLAM
BERMANDI DARAH?

Apa akan jadi kepada Dunia Islam, umat Islam dan agama Islam? Hari-hari ada sahaja negara Islam yang kena serang dan kena sesah hingga hancur dan musnah. Hari-hari ada sahaja umat Islam yang kena bunuh, kena sembelih dan bermandi darah. Hari-hari tentera Amerika Syarikat (AS) dan tentera Israel mengganas, menyerang, membunuh dan memusnah.

Anehnya, dalam keadaan sebegini pun sebilangan besar negara Islam masih terus berbalah-balah. Tuduh menuduh tak sudah-sudah. Ada yang terlalu memihak kepada AS. Ada yang telah jadi boneka neoimperialis. Sesetengah pemimpin umat Islam pula ada yang asyik mabuk harta, mabuk kuasa, dan mabuk betina.

Sebab itulah sebilangan negara Islam di Asia Barat sentiasa diperkotak-katik serta dimanipulasikan oleh sesetengah kuasa bukan Islam. Sebab itulah sejak berpuluh tahun lamanya, Palestin jadi kancah kezaliman zionis Israel. Pada 2001 Afghanistan diperangi. Mulai 2002 tentera AS bertapak di Filipina, Indonesia dijadikan medan ledakan bom secara pukul curi, selatan Thailand dijadikan medan pertumpahan darah.

Mulai 2003 Iraq pula diserang, dijajah dan huru-harakan hingga ke hari ini. Akhir-akhir ini, Iran sedang diganggu-gugat. Syria tidak putus-putus difitnahkan. Terbaru sekali, Lebanon pula diserang habis-habisan.

Mengapakah begini hakikatnya? Di manakah suara dan integriti umat Islam, dunia Islam, organisasi Islam, dan pemimpin Islam? Bukankah kini terdapat antara 1.7 hingga 1.9 billion umat Islam di serata jagat? Bukankah jumlah itu merupakan 20 peratus daripada keseluruhan penduduk dunia? Bukankah majoritinya umat Islam adalah di Asia Barat, Asia Tengah, Asia Selatan dan Asia Tenggara? Kalau begitu, kenapa terus membisu dan kenapa terus membatu?

Insaflah, sejumlah 52 negara di dunia ini adalah negara Islam. Antaranya adalah Afghanistan, Albania, Algeria, Arab Saudi, Azerbaijan, Bahrain, Bangladesh, Bosnia-Herzegovina, Brunei, Guinea, Indonesia, Iran, Iraq, Jordan, Kazakhstan, Kuwait, Kyrgyzstan, Lebanon, Libya, Malaysia, Maldives, Mali, Mesir, Morocco, Nigeria, Oman, Pakistan, Qatar, Somalia, Sudan, Syria, Tajikistan, Tunisia, Turki, Turkmenistan, Emiriyah Arab Bersatu, Uzbekistan dan Yaman.

Di samping itu, terdapat juga beberapa wilayah Islam di China, India, Kosovo, selatan Thailand dan selatan Filipina. Umat Islam juga berada di Eropah, Russia, AS, Australia, New Zealand, Kanada dan Singapura.
Berikut adalah antara pecahan taburan umat Islam di seluruh dunia. Seramai 2.5 juta hingga 8 juta di Kanada dan AS; 1 juta hingga 3 juta di Amerika Latin dan Amerika Tengah; 10 juta di Eropah Barat, terutamanya di United Kingdom, Peranchis dan Jerman; 7 juta di wilayah Balkan, terutamanya di Bosnia-Herzegovina, Kosovo, Albania dan Macedonia; 67 juta di Turki.
Sejumlah 284 juta umat Islam adalah di negara-negara liga Arab termasuk Iraq; 254 juta di wilayah Sahara di Afrika; 67 juta di Iran; 49 juta di negara-negara bekas Soviet Russia, termasuk Azerbaijan, Uzbekistan, Tajikistan, Kazakhstan, Kyrgyzstan dan Turkmenistan; 26 juta di Russia; 28 juta di Afghanistan; 156 juta di Pakistan, 127 juta di Bangladesh, 37 juta di India; 50 juta di China, 209 juta di Indonesia (terbesar sekali di dunia), 30 juta di Malaysia dan Brunei.
Biarpun begitu, dunia Islam dan umat Islam di abad ke-20, secara umumnya, amat terhina. Kedaulatan dunia Islam diceroboh. Maruah umat Islam dicemarkan. Sebab itulah Prof. Ismail Faruqi, di dalam buku Islamization Of Knowledge, membuat sorotan berikut:

“Dalam abad ini [abad ke-20] tidak ada satu kaum lain yang mengalami penghinaan seperti yang dialami oleh kaum Muslimin. Kaum Muslimin telah dikalahkan, ditindas, dirampas negeri dan kekayaannya, dirampas negeri dan harapannya. Mereka telah ditipu, dijajah dan diperas. Kaum Muslimin difitnah dan dijelek-jelekkan di hadapan seluruh bangsa lain. Pada masa ini mereka mempunyai imej yang paling buruk. Di dalam media massa dunia, kaum Muslimin dikatakan bersifat agresif, destruktif, mengingkari hukum, pengganas, biadap, fanatik, fundamentalis, kuno dan menentang zaman.”

Pandangan di atas dicatatkan di dalam tahun-tahun 90-an. Tetapi, ia masih secocok dengan pandangan dunia Barat, khususnya AS, terhadap umat Islam di abad ke-21. Pandangan di atas jadi semakin relevan selepas Tragedi 11 September 2001 di AS.

Mulai tarikh itu, walaupun tanpa bukti yang nyata, umat Islam, secara umumnya, telah dilabelkan oleh AS sebagai pengganas antarabangsa. Sebilangan negara Islam pula disyaki bersubahat, melindungi atau membiayai kumpulan pengganas Islam antarabangsa.

Hakikat ini menyebabkan AS menghalalkan mana-mana negara Islam untuk dilanggar, diceroboh, atau diperangi, sementara umat Islam pula boleh ditawan atau dibunuh oleh bala tenteranya, pada bila-bila masa.

Nyawa umat Islam tidak dihargai. Maruah umat Islam tidak dihormati. Kemerdekaan dan kedaulatan sesebuah negara Islam tidak dipedulikan. Dan, kononnya demi keamanan sejagat, AS pun bertindak sebagai polis, penyiasat, pendakwa dan hakim kepada urusan yang dikatakannya sebagai peperangan menentang keganasan, yang kononnya dilakukan oleh pengganas Islam antarabangsa.

Sebenarnya, jumlah umat Islam sejagat memang sentiasa meningkat. Tamadun Islam juga kian berkembang di serata dunia. Tetapi, mengapakah dunia Islam di abad ke-21 sedang diperkotak-katikkan oleh AS dan konco-konconya?

Mulai 2001, mengapakah dunia Islam di Asia Tengah, Asia Tenggara dan Asia Barat, mula diancam dan digugat oleh Peperangan Antikeganasan Global (PAG)? Dan, mengapakah dunia Islam dan pemimpin-pemimpinnya seolah-olah langsung tidak terdaya untuk bangkit membela diri atau mempertahankan umat Islam seluruhnya?

Pada tahun 1990, keluasan muka bumi yang di bawah tamadun Islam di seluruh dunia adalah 3,592,000 batu persegi. Pada 1993, keluasan tersebut meningkat kepada 11,054,000 batu persegi. Sebaliknya, keluasan muka bumi yang di bawah tamadun bukan Islam pada 1990 adalah 38,000,000 batu persegi. Keluasan ini pula menurun kepada 12,711,000 batu persegi pada 1993.

Sementara itu, jumlah umat Islam pada 1990 adalah 4.2 peratus dari seluruh penduduk dunia. Jumlah ini meningkat kepada 19.2 peratus pada 1993. Sebaliknya, penduduk dunia bukan Islam adalah 44.3 peratus pada 1990. Jumlah ini dijangka menurun kepada 10.1 peratus pada tahun 2025.

Oleh itu, sedar dan insaflah wahai umat Islam dan pemimpin Islam. Di abad ke-21 ini, tindakan tentera AS di Afghanistan dan Iraq, atas arahan Pentadbiran Presiden George W Bush, semakin bermaharajalela. Tentera Israel di bawah pimpinan Ehud Olmert juga semakin menggila-gila di Palestin dan Lebanon.

Akibatnya, darah orang Islam di Afghanistan, Indonesia, selatan Thailand, Iraq, Palestin, dan Lebanon terus mengalir. Akibatnya, warisan dan harta dunia Islam Afghanistan, Iraq, Palestin dan Lebanon juga musnah dan punah ranah.

Hakikat di atas jadi semakin jelas mulai Julai 2006 ini. Contohnya, pada jam 1.30 pagi, Ahad, 16 Julai, 2006. Rangkaian TV CNN dan BBC ketika itu sibuk mengulas kisah Israel menyerang Lebanon secara bertubi-tubi. Ratusan jiwa rakyat Lebanon melayang. Pelbagai kemudahan awam di negara tersebut ranap dan musnah.

Tiba-tiba saya menerima satu pesanan ringkas daripada seorang anak saudara yang sedang menuntut di sebuah kolej Islam di Perlis. Umur anak saudara saya baru 22 tahun. Tetapi soalannya amat pedas dan menyengat. Soalannya tersebut adalah seperti berikut:

“Ayah Long. Lebanon teruk kena serang Israel. Kenapa Pengerusi OIC diam diri? Lebanon bukan anggota OIC ke? PBB pun sama. Orang sibuk pasal Lebanon, PBB lulus usul pasal Korea Selatan! Kenapa macam ni?”

Saya berfikir sejenak sebelum menjawab pesanan itu dengan kata-kata: “Lebanon kena bedal dan kena bedil kerana negara-negara Arab lemah, pemimpinnya berpecah, dolak-dalik dan ada yang dah jadi proksi AS. Pengerusi OIC tak bersuara kerana sedang menjalani rawatan perubatan di Australia. PBB jadi gila kerana dia juga dikongkong AS.”

Tidak lama selepas itu, tiba lagi satu pesanan ringkas. Pengirimnya sama. Tema mesejnya pun sama. Iaitu pasal Lebanon, Israel, pemimpin-pemimpin Arab, OIC dan PBB. Saya pun jawab balik pesanan itu. Kata saya: “untuk jawapan sepenuhnya bacalah
www.kuda-kepang@ blogspot.com.”

Pesanan ringkas anak saudara saya seperti di atas sungguh mengusik jiwa. Hakikatnya begitu kerana bila anak 22 tahun boleh prihatin terhadap apa yang sedang berlaku di Lebanon, mempersoalkan kenapa OIC tidak bersuara, dan kenapa PBB jadi kaku dan bisu, mengapakah OIC sendiri seolah-olah lesu, dan mengapakah PBB juga seolah-olah layu?

Lantas, saya pun tertanya-tanya sendirian, mungkinkah OIC tidak lesu kalau Tun Dr. Mahathir Mohamad masih Perdana Menteri Malaysia dan jadi Pengerusi OIC? Ataupun, mungkinkah OIC yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Abdullah Badawi tidak kelihatan sepi kalau beliau tidak uzur akibat rawatan perubatan yang sedang dialaminya?

Pada waktu yang sama, saya teringat akan satu ucapan yang pernah saya ungkapkan di Dewan Rakyat tiga tahun lalu. Dalam ucapan itu, saya katakan, PBB jadi kaku, bisu dan berhantu di era PAG kerana badan dunia itu tidak pernah mempunyai definisi khusus mengenai terorisme.

Sebab itulah kuasa-kuasa penjajah baru (neoimperialis), khususnya AS, dipercayai terus mengeksploitasikan isu terorisme Islam antarabangsa di abad ke-21. Ini kerana terorisme kini hanya ditafsirkan mengikut citarasa serta persepsi AS dan sekutunya.

Tafsiran alternatif oleh kumpulan yang prihatin terhadap kemanusiaan, keamanan, kedaulatan serta integriti sesebuah wilayah yang merdeka, langsung tidak dihiraukan oleh neoimperialis dunia.

Hakikat ini terjadi kerana PBB yang meregulasikan undang-undang antarabangsa, keselamatan, keamanan serta kesejahteraan manusia sejagat, masih belum mempunyai satu definisi terorisme yang khusus, universal dan boleh diterima oleh seluruh komuniti dunia mutakhir.

Sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu, PBB memang telah meluluskan banyak resolusi mengenai terorisme. Tetapi, sehingga ke hari ini, PBB hanya mentafsirkan soal terorisme secara adhok.

Menurut satu laporan mengenai terorisme dan hak asasi manusia oleh Majlis Ekonomi dan Sosial PBB yang dikeluarkan pada 27 Jun 2001, soal terorisme adalah satu-satunya yang paling kontroversi di arena perundangan dan politik kontemporari antarabangsa.

Hakikat ini jelas sejak 1937 bila The League of Nations gagal mewujudkan International Convention for the Prevention and Punishment of Terrorism. Maka, sejak itulah komuniti antarabangsa hanya menangani soal terorisme secara adhok, bukannya menyeluruh.

Dan, sejak tahun 1937 juga soal terorisme ditangani menerusi perspektif dan konteks yang berbeza-beza. Hakikat ini menyukarkan masyarakat antarabangsa untuk mewujudkan satu definisi terorisme yang boleh diterima oleh semua pihak di dunia ini.

Laporan itu juga menyatakan, definisi terorisme yang digunapakai oleh PBB hari ini adalah definisi yang diusahakan oleh segolongan cendikiawan dan pemikir dunia. Definisi itu ada yang terlalu luas dan ada yang terlalu sempit.

Sebab itulah soal definisi terorisme menjadi punca utama kepada kontroversi mengenai terorisme di dunia hari ini. Sebab itulah wujud pendekatan yang double standard mengenai terorisme sehingga terminologi terorisme jadi emotif dan sering diwarnai prasangka politik pihak-pihak tertentu.

Sebab itulah pejuang Hizbullah disifatkan sebagai teroris, sementara Israel yang sebenarnya bertindak sebagai teroris disokong pula oleh Presiden George W. Bush dan Pentadbiran AS.

Oleh itu, adalah menjadi tugas komuniti dunia untuk menggesa PBB mewujudkan definisi terorisme secara komprehensif dan segera. Tindakan ini perlu kerana ianya sungguh relevan dengan pergolakan dunia mutakhir.

Tindakan ini juga perlu kerana PAG yang dilaksanakan hari ini, termasuk serangan AS ke atas Iraq, dan serangan Israel ke atas Lebanon, adalah satu peperangan yang sebenarnya untuk membolehkan neoimperialis dan sekutunya mendera, menggodam atau pun menghancurkan musuh-musuhnya.

Perkembangan seperti ini amat berbahaya. Ia mungkin menimbulkan lebih banyak blowback yang dahsyat dalam bentuk terorisme antarabangsa di kemudian hari kelak. Hakikatnya demikian kerana PAG yang berjalan pada hari ini adalah satu peperangan yang sia-sia.

Seperti kata Paul Pillar di dalam bukunya Terrorism And US Foreign Policy, kalaulah ada satu peperangan yang dikenali sebagai peperangan menentang terorisme, peperangan tersebut adalah satu peperangan yang sukar untuk dimenangi oleh pihak yang terbabit.

Demikianlah hakikatnya serangan Israel ke atas Lebanon. Demikian jugalah hakikatnya PAG di abad ke-21. Jadi, haruskah warga dunia terus berdiam diri? Kalau perlu bertindak, apakah tindakan yang sebaik-baiknya? Kalau PBB mahu bertindak, sejauh manakah keberkesanan PBB yang kini umpama harimau kehilangan taring atau seperti singa kehilangan badi?

Oleh itu, pastikanlah sendiri. Benar-benarkah PAG untuk mengganyang teroris? Atau bukankah pihak yang mempelopori PAG itulah yang sedang menterorkan dunia Islam pada waktu ini?

Benar-benarkah PAG untuk menghapuskan teroris Islam antarabangsa ? Atau, bukankah PAG sebenarnya satu peperangan terhadap wilayah Islam, dunia Islam, umat Islam, dan agama Islam, di benua Asia?

Kalau begitu, tidak bolehkah PAG dikategorikan sebagai Perang Salib di abad ke-21? Tidak betulkah PAG sebenarnya Perang Dunia Keempat, di mana musuhnya adalah wilayah Islam, dunia Islam, umat Islam, dan agama Islam? Lantas, bukankah PBB yang mesti bertindak memberhentikan peperangan ini dengan serta merta?

Dan, tidakkah OIC dan pemimpin-pemimpinnya rasa tersindir kalau ia terus membisu dan berdiam diri terhadap apa yang berlaku? Tidakkah OIC juga dituntut memburu perdamaian yang abadi bagi dunia Islam, umat Islam dan agama Islam di hari muka?
Buat ketika ini, sama-samalah kita bantu OIC dan pemimpin-pemimpinnya untuk bertindak segera, semoga umat Islam tidak terus bermandi darah, dunia Islam tidak terus diinjak-injak, agama Islam pula tidak terus diperhinakan di abad ke-21 ini?

No comments: