Friday, July 28, 2006

BREAKING NEWS:
TUN DR. MAHATHIR
DISERANG GAS LADA PUTIH


KOTA BHARU, 11.00 PAGI, 28 JULAI 2006: Ketibaan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, di Lapangan Terbang Kota Bharu di sini hari ini digemparkan dengan serangan gas lada putih.

Pada ketika itu Tun Dr. Mahathir baru sahaja masuk ke dalam sebuah Pajero untuk memberikan ucapan kepada lebih 2000 hadirin yang menyambut ketibaannya.

Dengan tiba-tiba, seorang yang tidak dikenali menerpa ke arah beliau dan terus melakukan serangan berkenaan. Tun Dr. Mahathir lalu terbatuk-batuk dan sukar bernafas buat seketika. Beliau terus membatalkan rancangannya untuk berucap.

Beberapa orang yang turut terhidu gas berkenaan merasa pedih mata, pening dan ada yang muntah-muntah. Datuk Ibrahim Ali yang berada di sisi Tun Dr. Mahathir rebah buat seketika kerana sukar bernafas.

Sesudah itu Tun Dr. Mahathir diselamatkan untuk menaiki kendraan lain dalam keadaan lemah. Dalam satu sidang akhbar di sini Tun Dr. Mahathir berkata: “Saya rasa pedih mata, tekak dan hidung. Inilah kali pertama kejadian seperti ini berlaku ke atas saya. Saya kesal perkara seperti ini terjadi”

Ditanya mengapa, Tun Dr. Mahathir berkata: “Mungkin ada pihak tak mahu bagi saya bercakap. Saya tak pernah mengalaminya sebelum ini. Saya dapat tau ada sesetengah pihak nak sekat saya daripada berucap. Ada orang takut nak dengar saya bercakap . Ini tandanya ada orang yang dalam keadaan terdesak. Kalau mereka tak ada apa untuk disembunyikan, kenapa mereka takut saya bercakap. Saya tak ada apa nak disembunyikan. Saya akan terus bercakap. Saya tidak cepat putus asa.”

Diminta mengulas kejadian itu, Tun Dr. Mahathir berkata: “Tak baiklah sampai physical begini. Penduduk negara ini bukan orang yang ganas.”

Sebenarnya kedatangan Tun Dr. Mahathir ke Kelantan memang cuba digagalkan oleh beberapa pihak tertentu. Ada yang cuba mengelirukan rakyat jlata di sini dengan pelbagai propaganda.

Bagaimanapun, masyarakat setempat yang menyambut Tun Dr. Mahathir di Lapangan Terbang di sini kesal dengan apa yang terjadi. Mereka berkata, kejadian itu akan menjadikan Tun Dr. Mahathir menerima lebih banyak sokongan rakyat akar umbi di seluruh negara.

Mereka juga yakin kejadian ini kononnya akan menyebabkan kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terus dipertikaikan oleh banyak pihak kebelakangan ini.



MAHATHIR TIDAK BERHASRAT
BALIK JADI PERDANA MENTERI


KOTA BHARU, 28 JULAI 2006: Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata di sini hari ini beliau tidak berhasrat kembali menjadi Perdana Menteri Malaysia.

“Sudah cukuplah saya berkhidmat selama 22 tahun. Tapi kalau ada orang buat sesuatu yang merosakkan umno, merosakkan Melayu dan merosakkan negara, saya akan tentang. Saya tak peduli siapa, sama ada di luar atau di dalam UMNO,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini.

Katanya: “Saya tak mahu balik jadi Perdana Menteri. Saya nak selamatkan UMNO daripada kerja pemimpin yang tak boleh bertanggungjawab. Orang yang cakap lain, buat lain. Konon nak telus, tapi bagi kontrek pada keluarga sendiri. Jangan tipu, jangan curi wang kerajaan dan sebagainya.”

Ditanya sama ada Tun Dr. Mahathir mempunyai bukti, beliau berkata: “Ada. Contohnya, Scomi dapat beberapa projek. ECM Libra dapat ambil Avenue Assets milik Kementerian Kewangan. Tak bolehlah Menteri Kewangan bagi pada menantu dia sendiri sesuatu. Tak boleh lulus.

“Seorang ahli Exco Selangor bagi tanah pada keluarga sendiri telah dihadapkan ke mahkamah. Waktu saya jadi Perdana Menteri saya tak ada hak untuk bagi apa-apa pada keluarga saya. Saya ni jadi Perdana Menteri bukan untuk keluarga. Kita jadi Perdana Menteri untuk negara dan bangsa.”

Banyak pihak di sini menyifatkan kenyataan di atas sebagai lanjutan kepada kenyataan Tun Dr. Mahathir sebelum ini. Ini juga membayangkan bahawa beliau tidak akan berhenti sebelum apa yang disifatkannya sbagai kemungkaran diperbtulkan dengan sewajarnya.

1 comment:

A Voice said...

Apa yang mereka yang berkuasa perlu gundah? Tun Mahathir tidakmungkin mahu menjadi PM lagi?

Ternyata mereka gila bayangan sendiri dan tahu tindak tanduk mereka menggugat maruah dan kepentingan negara.

Rasa kita harus adakan penerangan Tun M keseluroh negara hingga Persidangan Agong UMNO. Amacam Dato, Johor boleh ke? Sebaik2 di heartland of UMNO Johor di Muar/Batu Pahat!