Friday, July 07, 2006


GHAFAR BABA
& WALI SONGO

Berhampiran Pasar Borong Kota Impian, ada satu pusat lelongan yang indah tersergam. Di pusat itu ada pentas lelongan. Di atas pentas berdiri beberapa tokoh pelelong yang segak-segak parasnya. Di hadapan pentas pula berhimpun beratus-ratus warga korporat lokal dan global. Warga korporat dari Temasik ada. Dari Amerika Syarikat ada. Dari Britain ada. Dari Australia pun ada. Mereka berebut-rebut untuk memenangi barang lelongan yang amat berprestij, amat keramat dan amat berjasa kepada seluruh orang Melayu dan rakyat Malaysia.

Barang lelongan itu adalah UMNO. Seluruh usahawan itu mahu beli UMNO. Usahawan Melayu nak beli UMNO. Usahawan Cina nak beli UMNO. Usahawan India nak beli UMNO. Usahawan Dayak nak beli UMNO. Usahawan Kadazan nak beli UMNO. Tokoh korporat Temasik nak beli UMNO. Tokoh korporat Amerika Syarikat nak beli UMNO. Tokoh korporat British nak beli UMNO. Tokoh korporat Australia juga nak beli UMNO. Masing-masing mempunyai sebab, agenda dan matlamatnya yang tersendiri mengapa mreka mahu membeli UMNO.

Tepat jam 11.00 pagi, proses lelongan bermula. Seorang anak muda yang segak tampil ke pembesar suara. Lelong, lelong, lelong. UMNO sedia untuk dilelong. Siapa cepat, dia dapat. Lelong, lelong, lelong. Siapa buka harga tinggi, UMNO dia milikki. Lelong, lelong, lelong. UMNO sedia untuk dilelong. Siapa bayar mahal, dialah warga korporat yang bertuah, handal dan terkenal !

Dengan tiba-tiba, dewan lelongan riuh-rendah dengan kehadiran sekumpulan veteran UMNO. Masing-masing tertanya-tanya kepada diri sendiri. UMNO nak dilelong? Budak muda tu nak lelong UMNO? Hey anak muda, nanti dulu! Awak ingat awak siapa? Sapa bagi kuasa pada awak nak lelong UMNO? Cuba bagi tau kami semua, apa pasal UMNO nak kena lelong?

Saya veteran UMNO. Siapa rela UMNO dilelong? Apa pasal? Oh. Awak kata, pasal ramai orang UMNO konon dah bosan dengan UMNO? Awak kata, pasal ramai orang UMNO konon dah jelak dengan UMNO? Apa pasal ni? Oh! Pasal sidia tu! Biarkanlah sidia tu berlagak bagaikan Tengku Makhota UMNO! Aku tak rela UMNO dilelong! Aku tak redha UMNO kena lelong! Langkah mayat aku dulu kalau engkau nak lelong UMNO! Kalau engkau nak lelong UMNO, langkah mayat aku dulu! Kalau kau nak lelong UMNO, langkah mayat aku dulu!!!

Ayuh kita bayangkan kalau Kota Impian yang saya khayalkan seperti di atas memang benar-benar wujud. Bayangkan kalau proses melelong UMNO yang berlaku dikhayalan saya seperti juga benar-benar berlaku. Pasti orang-orang UMNO jadi haru-biru, bercelaru dan buntu. Pastinya orang UMNO naik darah, marah dan memberontak.

Tetapi, begitulah agaknya khayalan yang berlegar-legar di kepala seluruh orang UMNO bila membaca saranan Allahyarham Tun Ghaffar Baba, supaya UMNO dilelong secara terang-terang. Tun Ghaffar, mantan Timbalan Presiden UMNO, dikatakan membuat kenyataan itu sesudah beliau kesal bahawa UMNO sedang dilelong di pasar gelap.

Saya membina khayalan di atas untuk mendapatkan kesan saikologi kepada kenyataan Tun Ghaffar. Khayalan ini saya paparkan dalam buku ini sebagai dedikasi saya kepada Tun Ghaffar yang kembali ke rahmatullah baru-baru ini. Khayalan ini juga saya paparkan supaya setiap pembaca insaf, bahawa kenyataan Tun Ghaffar Baba, UMNO sudah kena lelong dalam gelap, adalah serius.

Tun Ghaffar adalah pejuang UMNO yang sentiasa segar. Beliau berani. Kritikannya tajam. Cinta, kasih dan sayangnya kepada UMNO sentiasa melangit tingginya. Cinta, kasih dan sayangnya kepada UMNO sentiasa bersemarak dan membara. Pada 19 April 2005, beliau dipetik sebagai berkata bahawa UMNO sudah dilelong dalam gelap. Kenyataan itu disiarkan oleh Harakah dan disiar semula di lamanweb M@RHAEN. Lantas, banyak pihak bertanya, kalau UMNO sudah dilelong, siapa yang melelolngnya? Apa sebabnya? Apakah harganya setinggi martabat UMNO dan perjuangannya memerdekakan negara-bangsa?

Pada hakikatnya, UMNO belum kena lelong. Pada hakikatnya, tidak ada seorang pun ahli UMNO, melainkan kelompok siasah dajjal, lembu kasi dan kuda kayu sahaja yang mungkin rela UMNO dilelong.

Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, tidak akan merelakan UMNO dilelong. Kalau beliau redha, beliau mengkhianati perjuangan UMNO yang turut didukung dan dijunjung oleh ayahanda dan nendanya sendiri.

Datuk Seri Abdullah pasti bermati-matian mempertahankan UMNO sepanjang hayatnya. Ini kerana beliau insaf, UMNO adalah dahan teguh tempat berpaut, UMNO adalah bumi pejal tempat berpijak, UMNO dan Melayu tiada tukar gantinya, UMNO dan Melayu tidak boleh dijual beli, UMNO dan Melayu tidak boleh digolok-gadaikan maruahnya.

Begitu juga dengan Timbalan Prsiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak. Beliau pasti tidak rela UMNO dilelong. Bujur lalu, melintang patah, beliau tidak akan relakan UMNO dilelong. Kalau beliau rela, beliau mengkhianati perjuangan ayahandanya sendiri.

Datuk Seri Najib amat insaf, setiap kali air bah, setiap kali juga pasir berubah. Tetapi, sebagai tokoh yang kental darah UMNOnya, beliau pasti berjuang habis-habisan untuk mempertahankan UMNO dari kena lelong. Sepatah kata orang tua-tua: selagi nyawa dikandung badan, selagi darah terus mengalir, hidup dan mati kita semua pasti berjuang atas nama UMNO, demi agama, bangsa dan negara.

Saya yakin Tun Ghaffar pun sama. Bila beliau berkata, UMNO sudah dilelong dalam gelap, pastinya kenyataan itu mencerminkan kekecewaan beliau terhadap sesuatu hal dalam UMNO. Ertinya, Tun Ghaffar pasti membuat kenyataan itu sebagai sindiran dan kritikan terhadap UMNO, terutama sekali mengenai politik wang.

Jadi, tidak perlu panik dan gempar. Tun Ghaffar adalah seorang loyalis UMNO terkemuka. Beliau antara pejuang kemerdekaan negara yang ulung. Oleh itu, jangan sesiapa meremehtemehkan kenyataannya. Kenyataan itu kenyataan loyalis UMNO. Kenyataan itu kenyataan pejuang kemerdekaan negara.

Tun Ghaffar berkata demikian kerana beliau insaf, UMNO bukannya gunung batu yang kaku dan berhantu. Sebaliknya, beliau insaf, UMNO adalah parti yang sentiasa hidup dan mesti mara ke puncak jaya.

Tun Ghaffar adalah antara pejuang dan loyalis UMNO yang disegani. Kepergian beliau ke rahmatullah mesti dicari gantinya. Sepatah kata Allahyarham A. S. Amin, dalam puisi Jiwa Merdeka: “Tunas muda terkulai patah, tumbuh lagi benih di tanah. Api di sekam tiada kelihatan, kelak menyala membakar hutan.” Sepatah kata Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Usman Awang, dalam puisi Keyakinannya Tidak Mati-Mati: “Terdedah luka dalam pucat wajah, masih ada keteguhan di mata yang tidak pejam. Bersimbah darah meresapi bumi dipijak, semangatnya terus bersama rakan yang melanjutkan. Itulah wajah keberanian dan keyakinan kaum pejuang yang tidak terlumpuhkan!”

Oleh itu, loyalis dan idealis UMNO, ambillah iktibar daripada perjuangan Tun Ghaffar. Perjuangan loyalis dan idealis UMNO bukan untuk mana-mana individu atau pemimpin, waimah Presiden UMNO. Perjuangan loyalis dan idealis UMNO adalah untuk membentengi UMNO supaya tidak dimusnahkan oleh kelompok siasah dajjal, lembu kasi dan kuda kayu.

Terlanjur berbicara mengenai kesetiaan dan keikhlasan, para loyalis dan idealis UMNO renungkanlah iktibar daripada secebis kisah mengenai salah seorang anggota Wali Songo (Wali Sembilan) bernama Sonan Kalijogo. Kisahnya adalah seperti berikut:

Sebelum mendalami ilmu Islam, Sonan Kalijogo berjuang seperti Robin Hood. Beliau merampok dan mencuri daripada golongan kaya raya. Hasil rampokan itu disedekahkannya kepada kelompok papa kedana. Sonan Kalijogo bertindak begitu kerana memprotes sistem pencukaian Rejim Majapahit yang amat menindas rakyat.

Pada suatu hari, Sonan Kalijogo terpandang seorang lelaki tua berjubah putih, berjalan di tengah-tengah kawasan hutan yang dikuasai oleh Sonan Kalijogo atau Raden Sahid. Lelaki itu membawa sebatang tongkat unik. Gagangnya daripada emas bertatahkan berlian. Sonan Kalijogo terliur untuk memiliki tongkat tersebut. Beliau pun menggunakan kepintarannya bersilat untuk memaksa lelaki tua itu menyerahkan tongkat kepadanya.

Bagaimanapun, Sonan Kalijogo kehairanan. Lelaki tua itu tidak langsung gentar atau takut. Dengan tenang, beliau berkata kepada Sonan Kalijogo: “Sungguh kasihan. Masih begini muda sudah sesat jalan. Sebenarnya, niatmu baik sekali. Ingin menolong orang yang derita, para fakir miskin dan sebagainya. Tapi, jalan yang kau tempuh amat keliru. Kalau kau ingin menolong orang lain, ingin bersedekah, jangan bersedekah dari hasil merampok. Merampok atau mencuri haram hukumnya. Carilah harta atau wang yang halal, dari hasil keringatmu sendiri.”

Sonan Kalijogo tidak menghiraukan kata-kata itu. Beliau menjawab: “Ucapanmu juga baik sekali wahai orang tua. Tapi, hari ini aku tidak memerlukan ucapan dan nasihat. Aku perlukan tongkatmu. Serahkan kepadaku atau aku akan merebutnya dengan paksa!”.

Orang tua itu pun mengacukan tongkatnya ke arah sepohon kayu berhampiran. Dengan sekelip mata, seluruh pohon itu bertukar menjadi emas berkilauan. Lepas itu, lelaki tua itu pun berkata: “Jika kau inginkan harta, ambillah itu. Harta itu halal. Kau boleh mengambil seberapa yang kau mau.”

Sonan Kalijogo insaf bahawa dia berhadapan dengan seorang yang tinggi ilmunya. Beliau pun melutut meminta ampun. Sonan Kalijogo juga minta agar diambil sebagai murid kepada lelaki itu. Lelaki berjubah putih itu, sebenarnya adalah Sonan Bonang, seorang lagi tokoh Wali Songo yang terkenal. Beliau meneruskan perjalanannya di hutan itu. Sonan Kalijogo cuba mengejarnya. Tetapi gagal.

Tidak lama selepas itu, Sonan Kalijogo terpandang Sonan Bonang berjalan-jalan di tepi sebuah sungai. Sonan Kalijogo pun mengulangi permintaannya. Sonan Bonang pun menancapkan tongkatnya ke tanah sambil mengarahkan Sonan Kalijogo menunggunya di tempat itu sampai beliau kembali.

Selepas itu, Sonan Bonang melanjutkan perjalanannya. Sekali lagi Sonan Kalijogo kehairanan. Beliau nampak Sonan Bonang menyeberangi sebatang sungai dengan berjalan di atas permukaan air seperti berjalan di atas bumi. Setelah Sonan Bonang hilang dari penglihatannya, Sonan Kalijogo pun terus duduk bersila di hadapan tongkat Sonan Bonang yang ditancapkan di tepi tebing sungai berkenaan.

Dengan kuasa Allah, Sonan Bonang terlupa akan arahannya kepada Sonan Kalijogo. Maka, dengan penuh kesetiaan, Sonan Kalijogo pun terus menunggu tongkat itu untuk berbulan-bulan lamanya. Bila Sonan Bonang kembali ke tebing sungai itu, beliau dapati Sonan Kalijogo menunggui tongkatnya dalam keadaan bersila seperti orang bertapa. Seluruh tubuh Sonan Kalijogo dililiti akar semak dan belukar. Rambut dan janggutnya panjang mengurai.

Sonan Bonang mengejutkan Sonan Kalijogo dengn laungan azan. Sesudah itu, Sonan Bonang membawa Sonan Kalijogo ke tempat kediamannya. Sonan Kalijogo dididik dengan segala macam pengetahuan Islam. Setelah tamat perguruannya, Sonan Kaliogo pun dihantar berguru dengan Sonan Ampel, seorang lagi tokoh Wali Songo, yang beroperasi di Surabaya.

Jadi, itulah iktibar keinsafan dan kesetiaan. Akibat keinsafannya, Sonan Kalijogo telah membuang amalan negatifnya dengan serta merta. Hasil daripada kesetiaannya yang total kepada arahan dan perintah Sonan Bonang, Sonan Kalijogo telah diberikan seluruh ilmu kewalian Islam. Mengikut kisahnya, Sonan Kalijogo akhirnya menjadi salah seorang daripada Wali Songo yang sangat masyhur dengan ilmu kemasyarakatannya.

Oleh itu, loyalis dan idealis UMNO, gunakanlah hikmah dan kebijaksanaan bila mahu memerangi dan menghapuskan seluruh politikus dajjal, lembu kasi dan kuda kayu. Carilah pendekatan yang terbaik dan berkesan.

Sebagai langkah awal, dalamilah Gurindam Duabelas, karya Raja Ali Haji, seperti berikut: Cari olehmu akan sahabat, yang boleh dijadikan ubat. Cari olehmu akan guru, yang boleh tahukan setiap seteru. Cari olehmu akan isteri, yang boleh menyerahkan diri. Cari olehmu akan kawan, pilih segala orang yang setiawan. Cari olehmu akan abdi, yang ada baik sedikit budi. – Pernah disiarkan oleh akhbar tabloid Siasah 7 Julai 2006.

No comments: