Monday, October 09, 2006

KABINET PERAKU
MAKLUM BALAS PM
ISU KUAN YEW

PUTRAJAYA 4 Oktober 2006 – Kabinet hari ini memperakukan maklum balas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung surat penjelasan yang dihantar oleh Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew mengenai dakwaan masyarakat Cina di Malaysia dan Indonesia dipinggirkan secara sistematik.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad berkata, Kabinet bagaimanapun tidak membincangkan secara mendalam isu itu.

“Kita tidak bincangkan secara mendalam, cuma maklum balas Perdana Menteri yang dibincangkan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet kementeriannya di sini.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=1005&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_02.htm
Utusan Malaysia 5 Oktober 2006

KENYATAAN KUAN YEW
PETUNJUK KEPADA
PEMIMPIN MELAYU

Lee Kuan Yew sudah minta maaf dan beliau mengaku bahawa kenyataannya yang mendakwa rakyat Cina Malaysia dan Indonesia dipinggirkan oleh kerajaan masing-masing bukanlah berniat hendak campur dalam politik kedua-dua negara jiran dan rakan dalam ASEAN.

Dengan sikap orang Melayu yang dikatakan ‘mudah lupa’, adakah soal ini boleh dilupakan dan pemimpin-pemimpin kita pun akan berkata: ‘‘Ahh... yang sudah sudahlah, kita ada banyak kerja hendak dibuat.’’

Pada hemat saya kenyataan Kuan Yew ini adalah satu petunjuk Allah kepada pemimpin dan bangsa Melayu sebagai pewaris Islam supaya jangan lupa akan beberapa hakikat demi masa depan kita.

Pertama, kenyataan itu dibuat oleh Kuan Yew, 81 tahun, bapa negara Singapura yang berjaya mencipta sebuah negara berdaulat di atas sebuah pulau yang dahulunya merupakan sebahagian daripada empayar Johor-Riau.

Kuan Yew yang pernah mendapat rezeki hidup dengan orang Melayu (sebagai peguam Utusan Melayu pada 60-an), menubuhkan parti PAP bersama orang Melayu dan kemudian berjaya mendapatkan kemerdekaan Singapura atas belas kasihan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman apabila Kuan Yew mula buat kacau dalam Persekutuan Malaysia.

Tetapi rakyat Melayu, hak politik Melayu dan bahasa Melayu dipinggirkan di Singapura. Malah sejarah Singapura dalam buku sekolah juga diubah untuk mendidik generasi baru Singapura bahawa orang Melayu bukan penduduk asal pulau itu.

Kedua, kenyataan Kuan Yew dibuat dalam satu satu dialog dengan bekas Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Larry Summers yang nyata bertujuan bahawa sebagai negara bukan Islam di rantau ini Amerika Syarikat semestinya boleh menganggap Singapura sebagai rakan baik yang tulen dalam konteks dasar luarnya di rantau ini.

Ini di tambah lagi dengan hakikat bahawa antara Malaysia, Indonesia dan Singapura, hanya Singapura yang mempunyai hubungan diplomatik dan kerjasama erat dengan Israel.
Jelas, kita boleh menjangka taklimat yang akan diberikan oleh Summers kepada Bush dan Cheney apabila dia pulang ke Washington. Yang kecil dibesarkan dan yang besar, dibesarkan lagi.

Ketiga, walaupun tidak lagi menjadi Perdana Menteri Singapura, Kuan Yew terus bertanding dan memenangi pilihan raya dan menyertai Kabinet penggantinya, Goh Chok Tong dan sekarang anaknya sendiri, Hsien Loong.

Hakikatnya, kalau Singapura sebuah syarikat global, Kuan Yew terus sebagai Pengerusi Eksekutif manakala anaknya hanyalah Pengarah Urusan samalah seperti Bill Gates yang mengasaskan Microsoft iaitu dia tetap bosnya tak kira apa jawatan yang dipegang olehnya.

Kerajaan Malaysia mungkin boleh memberikan reaksi yang berlainan kalau kenyataan Kuan Yew itu terus dijelaskan oleh anaknya bahawa itu merupakan pendapat peribadi bapanya dan tidak berupa pendapat rasmi Pentadbiran Singapura.

Malah sebaik-baiknya tindakan disiplin dikenakan terhadap Kuan Yew kerana mengaibkan Kabinet yang diketuai oleh anaknya. Jadi yang jelas ialah tindakan minta maaf oleh Kuan Yew itu tidak ada makna apa-apa pun kerana niat sebenar Kuan Yew adalah untuk menyampaikan beberapa mesej iaitu mesejnya kepada Bush di Washington dan mahu tidak mahu mesejnya kepada orang Cina di Malaysia dan Indonesia.

Sebab itulah ketua DAP, Lim Guan Eng anak pengasas parti itu (yang merupakan pecahan PAP), Lim Kit Siang terus membuat kenyataan menyetujui kenyataan Kuan Yew dan mengecam MCA dan Gerakan.

Keempat, berikutan kenyataannya itu, Kuan Yew atau kerajaan Hsien Loong tidak pula menyangkal kenyataan-kenyataan dari Malaysia tentang dasar kerajaan PAP yang secara sistematik menghapuskan kawasan Melayu, sekolah Melayu dan bahasa Melayu dan meminggirkan Melayu daripada politik Singapura.

Selepas Kabinet pertama pada tahun 1965, Melayu menduduki tempat ketiga di belakang Cina dan India. Sebaliknya mengikut falsafah Kuan Yew, sepatutnya sudah ada beberapa menteri penuh dalam Kabinet Sigapura.

Kelima, kenyataan Kuan Yew ini terbit semasa Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra digulingkan oleh pihak tentera walaupun dalam dua pilihan raya sebelum itu parti Thai Rak Thai (TRT) pimpinannya menang dua pilihan raya dengan majoriti besar.

Antara perkara yang menyebabkan kemarahan rakyat Thai ialah selepas Thaksin menjual syarikat komunikasi kepunyaannya tanpa membayar cukai kepada Temasik Holdings, syarikat pelaburan terbesar kepunyaan kerajaan Singapura. Ketua Eksekutifnya, Ho Ching ialah isteri Lee Hsien Loong.
Ternyata rakyat Thai amat bijak. Mereka sudah nampak tanda-tanda Thaksin hendak menjadikan Thailand sebagai sebuah Thailand Incorporated yang dikuasai oleh kaum keluarganya.

– BAKI MINUDDIN,
Ampang.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=1005&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm
Utusan Malaysia 5 Oktober 2006









KENAPA KUAN YEW
EDAR SURATNYA
KEPADA MEDIA?

AGAK melucukan membaca tajuk akhbar muka depan semua akhbar perdana hari ini yang memberi gambaran sekali imbas kononnya Lee Kuan Yew telah memohon maaf kerana menuduh kita meminggirkan warganegara berketurunan Cina.

Tetapi apakah benar dia telah memohon maaf? Saya kira inilah satu-satunya contoh di mana yang memohon maaf sebenarnya tidak berbuat demikian.

Apa yang dia lakukan hanyalah memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad kerana kenyataannya di hadapan hadirin ke persidangan Bank Dunia/Tabung Kewangan Antarabangsa di Singapura pertengahan bulan lalu telah membuat Perdana Menteri ‘tidak selesa’.

Membaca suratnya sekali imbas pun boleh memberi gambaran bahawa dia bukan saja tidak mohon maaf kerana membuat tuduhannya bahawa warga keturunan Cina di Malaysia dipinggirkan tetapi telah menguatkan kembali tuduhannya itu. Malah dia telah menuduh Malaysialah yang memulakan tuduhan demikian dengan mengatakan bahawa Melayu Singapura dipinggirkan.

Kita tidak kisah terhadap sebarang pendiriannya, tetapi apabila menyuarakannya di khalayak ramai dan di depan audien antarabangsa pula, tentunya ia bertujuan memburuk-burukkan kita dan kita tentunya tidak boleh berdiam diri.

Dan dia telah mengedarkan pula suratnya itu yang merupakan balasan kepada surat peribadi daripada Pak Lah. Mengikut tatatertib hubungan antarabangsa serta protokol hubungan antara negara, pengedaran surat begini tidak sepatutnya berlaku.

Sebaliknya Kuan Yew telah mengedarkan suratnya itu kepada akhbar sebaik saja mendapati suratnya itu telah diterima Pak Lah. Apakah tindakannya itu tidak menunjukkan betapa tidak hormatnya dia kepada Pak Lah dan kerajaan kita? Apakah dia mahu menunjukkan bahawa dia tidak langsung hiraukan protokol dan etika dalam hubungan antarabangsa dan hubungan dengan kita?

– REJAL ARBEE,
Kuala Lumpur.
http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm
Utusan Malaysia 4 Oktober 2006

JANGAN BUAT LAGI:
PM INGATKAN KUAN YEW
MENGENAI KENYATAAN
MENGHASUT RAKYAT MALAYSIA


PUTRAJAYA 3 Oktober 2006 – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengingatkan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew supaya jangan mengulangi kenyataannya yang boleh menghasut rakyat Malaysia.

Ditanya wartawan apakah beliau menerima permohonan maaf Kuan Yew itu, Perdana Menteri hanya berkata: “Saya telah mengambil maklum mengenai apa yang beliau (Kuan Yew) telah katakan dalam surat itu, semua yang telah dinyatakannya.”

“Walau apa juga alasan yang beliau berikan, kenyataan seumpama itu boleh menghasut rakyat Malaysia.”

Abdullah menasihatkan Kuan Yew supaya tidak lagi mengeluarkan kenyataan seumpama itu pada masa akan datang.

Tegasnya, kenyataan Kuan Yew pada 15 September itu tidak sepatutnya diutarakan.

“Saya menerima surat beliau dan saya memahami isi kandungan seumpama itu, dan saya sudah mengambil maklum mengenainya. Tapi saya rasa... biarlah saya katakan begini, bahawa kenyataan Kuan Yew yang dibuatnya di Singapura itu tidak wajar dan tidak dihargai.

“Saya sudah tentu tidak bersetuju, saya tentu sahaja menolak alasan kenapa beliau membuat kenyataan itu,” kata Abdullah pada sidang akhbar selepas mempengerusikan perjumpaan bersama ulama-ulama, di sini.

Perdana Menteri mengulas surat penjelasan Kuan Yew kepada surat yang dihantarnya pada 25 September lalu bagi meminta jawapan mengenai kenyataan kontroversi Menteri Mentor itu bahawa masyarakat Cina di Malaysia dan Indonesia telah dipinggirkan secara sistematik.

Komen itu mendapat bantahan Malaysia dan Indonesia. Kementerian Luar kedua-dua negara telah memanggil duta-duta Singapura untuk memberi penjelasan mengenai kenyataan Kuan Yew itu.

Dalam surat yang disiarkan oleh akhbar hari ini, Kuan Yew meminta maaf kerana kenyataannya itu telah menyebabkan ketidakselesaan kepada Perdana Menteri.

Namun para pemerhati menyifatkan jawapan balas Kuan Yew itu bukan satu permohonan maaf atas kenyataan yang dibuatnya itu, tapi sekadar meminta maaf “kerana telah menyebabkan ketidakselesaan kepada Perdana Menteri”.

Surat balas Kuan Yew itu diserahkan ke pejabat Abdullah di Putrajaya oleh Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, T. Jasudasen, semalam.

Dalam sidang akhbar tersebut, Perdana Menteri berkata, pihaknya percaya bahawa kenyataan seumpama itu tidak memberi sumbangan kepada hubungan kejiranan antara Kuala Lumpur dan Singapura.

Diminta mengulas lagi, Abdullah berkata: “Ia boleh menghasut rakyat, dan reaksinya mungkin tidak elok.”

Beliau enggan menjawab pertanyaan lanjut mengenai surat Kuan Yew itu kerana tidak mahu ada perbahasan mengenainya.

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm
Utusan Malausia 4 Oktober 2006

SURAT KUAN YEW
BUKAN PERMOHONAN MAAF
– SYED HAMID

PUTRAJAYA 3 Okt0ber 2006 – Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar menganggap surat penjelasan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak menggambarkan permohonan maaf yang sebenar.

Beliau menegaskan, surat penjelasan tersebut lebih merupakan penerangan kepada Perdana Menteri berhubung apa yang didakwa mengenai peminggiran secara sistematik masyarakat Cina di Malaysia sebelum ini.

“Saya tidak menganggap ia surat permohonan maaf kerana beliau (Kuan Yew) hanya menjelaskan apa yang dikatakan (tuduhan peminggiran masyarakat Cina di Malaysia).

“Dalam surat itu Kuan Yew hanya menyatakan permohonan maaf kerana menyebabkan timbul ketidakselesaan kepada Perdana Menteri sahaja,” katanya kepada pemberita di majlis berbuka puasa di Wisma Putra, di sini hari ini.

Syed Hamid berkata, permohonan maaf kerana menimbulkan rasa tidak selesa kepada Perdana Menteri berbeza dengan permohonan maaf kerana membangkitkan isu peminggiran masyarakat Cina di Malaysia oleh Menteri Mentor tersebut.

Semalam, Kuan Yew dalam surat penjelasannya kepada Abdullah meminta maaf kerana telah menimbulkan rasa tidak selesa kepada Perdana Menteri dan beliau menegaskan perkara itu tidak langsung diingini selepas melalui hubungan bermasalah selama sedekad dengan pemimpin sebelum ini, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Syed Hamid menegaskan, Singapura seharusnya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan berhubung negara jiran khususnya untuk mengelak timbulnya masalah dalam hubungan bilateral.

Katanya, kedua-dua negara perlu bekerjasama dalam semua bidang tetapi pada masa sama perlu menjaga sensitiviti dan perasaan antara satu sama lain.

Mengenai pendirian Malaysia terhadap surat penjelasan bekas Perdana Menteri Singapura itu, beliau berkata, Perdana Menteri telah menyatakan kedudukan Malaysia dengan jelas dan menerima maklum kandungan surat berkenaan.

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm
Utusan Malaysia 4 Oktober 2006

KEIKHLASAN KUAN YEW
MEMOHON MAAF DIPERSOAL

PULAU PINANG 3 Okt. – Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) mempersoalkan keikhlasan permohonan maaf Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang dilihat hanya cuba untuk menyejukkan keadaan semata-mata.

Presiden Pemenang, Datuk Seri Mohd. Yussof Latiff yakin Kuan Yew akan terus mengeluarkan kenyataan berbaur kontroversi pada masa akan datang.

Ini kerana beliau amat memahami kerenah pemimpin negara jiran itu yang kerap mengkritik Malaysia terutama semasa zaman pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

‘‘Saya tidak terkejut jika selepas ini dia buat lagi sebab kita tahu perangai dia sejak dari dulu,” kata veteran UMNO itu kepada pemberita di sini hari ini.

Kuan Yew dalam surat penjelasan bertarikh 29 September kepada Abdullah berhubung kenyataan beliau bahawa masyarakat Cina di Malaysia dipinggirkan secara sistematik, meminta maaf kerana kenyataannya itu menyebabkan ketidakselesaan kepada Perdana Menteri.

Suratnya itu diserahkan ke pejabat Abdullah di Putrajaya oleh Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, T. Jasudasen, semalam.

Menurut Yusoff, sebagai pemimpin, Kuan Yew tidak sepatutnya melatah dan mencetuskan suasana tidak baik antara Malaysia dan Singapura.

‘‘Apa yang dia lakukan telah menjadi titik hitam dalam sejarah hubungan antara dua negara jiran ini, lagi pun dia sememangnya begitu sejak zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman. Tindak-tanduknya seolah-olah mahu menjadi Perdana Menteri selepas Singapura bergabung bersama Malaysia,” tegasnya.

Katanya lagi, Kuan Yew cuba mempengaruhi Tunku Abdul Rahman supaya mengambil tindakan ke atas golongan yang dilabelkan ‘ultra UMNO’ sekiranya mahukan Singapura terus kekal dalam Malaysia.

Malah lebih dari itu, tambahnya, Kuan Yew memperjuangkan slogan ‘Malaysian Malaysia’ bertujuan menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu.

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_02.htm
Utusan Malaysia 4 Oktober 2006

TIDAK WAJAR
BABITKAN DR. M

KUALA LUMPUR 3 Oktober 2006 – Walaupun Lee Kuan Yew meminta maaf, namun tindakannya mengheret bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ke dalam isu masyarakat Cina Malaysia dipinggirkan adalah satu cubaan ‘menangguk di air keruh’.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, tindakan Kuan Yew itu bukanlah suatu bijak kerana membabitkan Tun Dr. Mahathir Mohamad di atas iklim politik yang berlaku di negara ini.

‘‘Tindakan Kuan Yew menghebahkan kepada umum ‘a decade of troubled relations’ (hubungan bermasalah selama sedekad) dengan bekas Perdana Menteri memberikan gambaran pemimpin Malaysia, pemimpin UMNO dan orang Melayu suka menimbulkan masalah.

‘‘Ini sesungguhnya satu penghinaan yang tidak seharusnya diluahkan oleh seorang pemimpin negara jiran kerana pemimpin yang menjadi Perdana Menteri Malaysia dipilih oleh ahli-ahli UMNO serta seluruh rakyat pelbagai kaum secara demokrasi,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan bagi mengulas surat penjelasan Kuan Yew kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung dakwaan bahawa masyarakat Cina di Malaysia dipinggirkan secara sistematik, telah meminta maaf kerana kenyataannya itu menyebabkan ketidakselesaan kepada Perdana Menteri.

Katanya, perkara itu tidak langsung diingini beliau selepas melalui hubungan bermasalah selama sedekad dengan pemimpin sebelum Abdullah.

Muhammad dalam hal ini berkata, UMNO menyambut baik tindakan meminta maaf daripada Kuan Yew itu.
‘‘Bagaimanapun, secara tegas kita berpendirian bahawa Kuan Yew tidak wajar mengaitkan isu berkenaan dengan bekas-bekas pemimpin di Malaysia, apatah lagi bekas-bekas Perdana Menteri dari kalangan pemimpin UMNO yang banyak sumbangannya kepada bangsa dan negara,’’ katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_03.htm
Utusan Malaysia 4 Oktober 2006

KUAN YEW PATUT TAHU
SENSITIVITI RAKYAT JIRAN

MELAKA 3 Oktober 2006 – Sebagai pemimpin veteran, Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew sepatutnya lebih peka dan tahu menghormati sensitiviti rakyat serta pemimpin negara jiran dengan tidak mengeluarkan kenyataan yang berbentuk provokasi.

Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan ia wajar menjadi pengajaran agar hubungan baik selama ini tidak dikeruhkan dengan kenyataan yang boleh menyinggung mana-mana pihak.

‘‘Soal minta maaf sepatutnya tidak timbul jika Menteri Mentor Singapura itu tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung perasaan pemimpin dan rakyat Malaysia serta Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas surat permohonan maaf daripada Kuan Yew kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung dakwaan beliau bahawa masyarakat Cina di Malaysia dipinggirkan secara sistematik.

Kuan Yew dalam surat penjelasan kepada Abdullah telah meminta maaf kerana kenyataannya itu telah menyebabkan ketidakselesaan kepada Perdana Menteri.

Katanya, perkara itu tidak langsung diingini beliau selepas melalui hubungan bermasalah selama sedekad dengan pemimpin sebelum Abdullah (Tun Dr. Mahathir Mohamad).

Mengulas lanjut Mohd. Ali yang juga Ketua Menteri Melaka menyokong pendirian tegas Perdana Menteri berhubung isu tersebut.

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_04.htm
Utusan Malaysia 4 Oktober 2006

BISIK-BISIK
AWANG SELAMAT

BAHASA Inggeris Awang tidaklah sehebat Lee Kuan Yew. Pun begitu, Awang tidak perlu membaca surat beliau dua kali untuk memahami maksudnya – yang tersurat dan yang tersirat.

Kuan Yew sebenarnya tidak meminta maaf di atas keterlanjurannya iaitu, mengatakan Cina Malaysia dipinggirkan secara sistematik. Beliau hanya meminta maaf kerana kenyataannya telah menyebabkan ketidakselesaan kepada Perdana Menteri kita.

Sekali pandang, surat Kuan Yew itu memang kelihatan seolah-olah beliau meminta maaf. Awang harap umum tidak terkeliru.

Awang juga tidak senang dengan langkah Kuan Yew mengedarkan suratnya kepada media sedangkan Perdana Menteri kita tidak mendedahkan kandungan surat beliau kepada Kuan Yew.

Nampak sangat Kuan Yew tidak sabar-sabar hendak mendedahkan kandungan suratnya kerana ada ‘benda lain’ yang beliau mahu tunjukkan.

Dan kata Kuan Yew, hubungan Singapura-Malaysia berada pada kedudukan lebih baik hari ini. Betul, tapi beliau telah mencurah air sejuk ke atasnya.

Awang – Tengah panas.

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_04.htm
Utusan Malaysia 4 Oktober 2006
KUAN YEW MINTA MAAF
EKORAN DAKWAAN
MASYARAKAT CINA MALAYSIA
DIPINGGIR CARA SISTEMATIK

KUALA LUMPUR 2 Oktober 2006 – Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew dalam surat penjelasan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung dakwaan beliau bahawa masyarakat Cina di Malaysia dipinggirkan secara sistematik, telah meminta maaf kerana kenyataannya itu telah menyebabkan ketidakselesaan kepada Perdana Menteri.

Katanya, perkara itu tidak langsung diingini beliau selepas melalui hubungan bermasalah selama sedekad dengan pemimpin sebelum Abdullah (Tun Dr. Mahathir Mohamad).

“Saya minta maaf kerana apa yang saya katakan telah menyebabkan ketidakselesaan. Selepas sedekad hubungan bermasalah dengan pemimpin sebelum anda, perkara seperti ini tidak diingini langsung,” katanya dalam suratnya bertarikh 29 September yang diserahkan ke pejabat Abdullah di Putrajaya oleh Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia T. Jasudasen.

Salinan surat tiga muka surat itu difakskan kepada Bernama oleh Suruhanjaya Tinggi Singapura di sini malam ini.

Minggu lepas, Abdullah telah menulis surat kepada Lee meminta beliau menjelaskan mengenai kenyataannya bahawa sikap Malaysia dan Indonesia terhadap Singapura dibentuk berdasarkan cara mereka melayan masyarakat Cina.

Lee berterima kasih kepada Abdullah berkenaan surat itu dan berkata, beliau membuat kenyataan itu pada sesi dialog bebas dengan bekas Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Larry Summers di hadapan ramai delegasi asing yang menghadiri mesyuarat IMF/WB.

Dalam suratnya, beliau turut menyertakan transkrip bahagian berkenaan yang telah dilaporkan Reuters.

“Biar saya ringkaskannya, kenapa anda mesti mempunyai kerajaan di Singapura yang betul-betul kukuh, teguh, berfikiran tajam dan tegas.

Jiran-jiran saya mempunyai masalah dengan orang Cina.

“Mereka berjaya, mereka bekerja keras dan kerana itu, mereka dipinggirkan secara sistematik, malah di dalam pendidikan. Adanya kuota untuk menghalang mereka.

“Jadi anda perlu mendapatkan wang untuk ke luar negeri atau pergi ke universiti-universiti swasta yang telah diwujudkan. Jadi mereka mahu Singapura, dengan kata mudah, menjadi seperti orang Cina mereka, yang hanya menurut sahaja.

“Jadi setiap masa, kami mengatakan ‘Tidak’ kepada beberapa cadangan untuk menutup Tambak dan membina jambatan, dia berkata “Anda tidak bekerjasama, anda hanya fikirkan diri sendiri”. Tanpa sebarang alasan, kami tolak cadangan tutup tambak, yang selama hampir 100 tahun amat berguna kepada kami. Dia mahu membina jambatan baru kerana ia nampak cantik dan katanya kapal-kapal boleh lalu dan kontenanya boleh bergerak daripada Pantai Timur ke Pantai Barat melaluinya.

“Tetapi kami kata tidak...jadi kami kata “Baiklah jika kamu boleh beri faedah bersama kepada kami, kami akan bersetuju”. Tetapi anda perlukan kerajaan yang mampu, bukan hanya yang ada keberanian, tetapi juga kemahiran untuk berkata ‘Tidak’ dengan cara tenang, sopan yang tidak menyebabkan mereka sehingga melakukan sesuatu yang bodoh,” kata Lee.

Lee berkata, beliau tidak berkata apa-apa selain apa yang telah diperkatakan banyak kali sebelum ini dan hakikatnya beliau kurang berkata berbanding apa yang tertulis di dalam bukunya yang diterbitkan pada 1998.

Katanya, beliau tidak ada niat untuk masuk campur dalam politik Malaysia dan malah beliau tidak mempunyai kuasa untuk mempengaruhi politik Malaysia atau menghasut orang Cina di Malaysia.

Katanya, sejak Abdullah menjadi Perdana Menteri pada November 2003, hubungan antara kedua-dua negara semakin baik di mana beliau yakin rakyat Malaysia dan Singapura saling menghargai.

Dalam catatan tambahannya, Lee ada juga mengatakan, berikutan tindakan Abdullah menulis surat kepadanya telah mendapat publisiti dan telah meminta jawapan daripadanya, beliau mesti mendedahkan surat ini kepada media selepas Perdana Menteri menerimanya.

– Bernama
http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=1003&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm
Utusan Malaysia 3 Oktober 2006
KUAN YEW PERLU BACA
BUKU MALAYS IN SINGAPORE

Baru-baru ini, Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew menyatakan masyarakat Cina di Malaysia dan Indonesia dipinggirkan secara sistematik.

Kenyataan beliau telah mengundang kecaman baik daripada masyarakat Melayu mahupun masyarakat Cina Malaysia.

Kaum Cina di Malaysia mempunyai suara serta ruang dalam politik dan ekonomi secara langsung. Mereka juga membentuk parti politik dan turut bergabung dalam kerajaan yang memerintah.

Malah kaum Cina jugalah yang membentuk parti pembangkang termasuk DAP yang bersuara sangat lantang.

Apakah ini berlaku dalam ‘demokrasi’ Singapura? Taktik yang digunakan untuk melemah dan melumpuhkan pembangkang di Singapura ialah dengan menyaman mereka di mahkamah.

Penalti ganti rugi yang sangat tinggi terhadap pembangkang akhirnya menyebabkan mereka takut bersuara.

Kuan Yew mungkin lupa bahawa terdapat sebuah kajian ilmiah yang pernah dijalankan oleh Dr. Lily Zubaidah, seorang pensyarah dari universiti di Australia yang telah dibukukan bertajuk The Singapore Dilemma: The Political and Educational Marginality of the Malay Community.

Buku ini membincangkan secara menyeluruh situasi masyarakat Melayu di Singapura yang dipinggirkan secara sistematik.
Kuan Yew mungkin juga lupa bahawa terdapat sebuah lagi kajian ilmiah yang pernah dijalankan oleh seorang pelajar PhD bernama Tania Li berkenaan dengan bagaimana orang Melayu di Singapura dipinggirkan secara sistematik.

Buku tulisan Tania Li diterbitkan oleh University of Cambridge yang bertajuk Malays in Singapore dan diterbitkan pada tahun 1988. Ia sebenarnya merupakan tesis doktorat beliau. Kajian Tania telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh Abdul Rahman Embong dan diterbitkan oleh Synergy Book International cetakan tahun 1995 (ISBN:983-876-010-2).

Saya amat mengalu-alukan rakyat Malaysia supaya membaca buku tersebut. Ia menyatakan dengan terperinci bagaimana orang-orang Melayu di Singapura telah mula dipinggirkan sejak 1980-an lagi terutamanya dalam bidang politik dan pendidikan.

Hasil penyelidikan akademik Tania Li didasarkan daripada kajian kualitatif beliau secara terperinci tentang kemerosotan masyarakat Melayu sebagai kumpulan minoriti di Singapura dalam bidang ekonomi dan pendidikan berbanding dengan masyarakat Cina bermula tahun 1956 sehingga 1980.

– MELAYU SEMPADAN,
UTM, Skudai,
Johor.
http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=1002&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_02.htm
Utusan Malaysia 2 Oktober 2006

BISIK-BISIK
AWANG SELAMAT

Mungkin hari ini akan diketahui apa isi kandungan surat Lee Kuan Yew kepada Perdana Menteri kita.

Bagi Awang, Kuan Yew hanya perlu jawab dua persoalan sahaja – kenapa beliau membangkitkan perkara itu? Dan kenapa sekarang?

Awang harap bekas Perdana Menteri Singapura itu tidak akan pusing sana dan pusing sini dan cuba berdiplomasi dalam jawapannya.

Semua orang tahu Kuan Yew seorang yang tidak ada masalah untuk berterus terang. Beliau juga bukan seorang yang akan bersusah payah untuk cakap berlapik supaya tidak mengguris hati orang lain.

Maka kali ini Awang harap beliau tidak akan berlapik – cakap sahaja kenapa beliau mengatakan Malaysia meminggirkan penduduk Cinanya secara sistematik.

Biar apa pun penjelasan Kuan Yew, terdapat pengajaran daripada episod ini. Tidak payahlah Awang menghuraikannya. Ia terlalu mudah untuk difahami.

Mungkin juga ada hikmah di sebalik semuanya. Ia datang sebagai satu peringatan kepada kita terutama kepada generasi muda Malaysia akan apa yang boleh dan tidak boleh diharapkan daripada Singapura.

Awang – Sering dilukai.
SINGAPURA
PINGGIR MELAYU

Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew telah mencetuskan kontroversi apabila berkata masyarakat Cina di Malaysia dan Indonesia cuba dipinggirkan secara bersistematik.

Bekas Perdana Menteri negara republik itu membuat kenyataan tersebut dalam satu majlis forum yang diadakan sempena Mesyuarat Bank Dunia-Dana Kewangan Antarabangsa di negara pulau itu baru-baru ini.

Tindakan Kuan Yew mencetuskan kemarahan di kalangan para pemimpin di Malaysia dan Indonesia yang menyifatkan komen yang dibuatnya itu umpama menghasut masyarakat Cina di kedua-dua negara jiran republik tersebut.

Tindakan itu dilihat sebagai satu cubaan mencampuri urusan dalam sesebuah negara lain dan disifatkan sebagai bertentangan dengan semangat yang diamalkan oleh negara-negara ASEAN.

Namun bagi Prof. Mohammed Yacob, 89, bekas setiausaha politik kepada Ketua Menteri Singapura yang kedua, Lim Yew Hock, pemimpin negara pulau itu (Kuan Yew) telah meminggirkan masyarakat Melayu secara bersistematik sejak tahun 1959 lagi apabila Parti Tindakan Rakyat memerintah pulau itu.

Wartawan Mingguan Malaysia, Zaharuddin Mohd. Ali dan Mohd. Fairuz Yusof serta jurugambar, Ishak Rahmad telah menemui Prof. Mohammed Yacob untuk mendapatkan pandangan beliau mengenai kenyataan Kuan Yew itu.

Prof. Mohammed yang kini menetap di Johor Bahru menyifatkan kaedah pemerintahan di Singapura sejak Parti Tindakan Rakyat (PAP) mengambil alih pemerintahan di republik itu menyebabkan orang Melayu di republik itu tidak berani bersuara dan tidak dapat mencari rezeki di tanah air sendiri.

Menurutnya, ini berlaku kerana undang-undang yang dibuat menjadikan mereka ‘terikat’... mengakibatkan apa juga tindakan yang mahu dilakukan menjadi terbatas ekoran rancangan licik Kuan Yew.

MINGGUAN: Pada pandangan Prof. apakah kesan langsung terhadap masyarakat Melayu Singapura hari ini akibat tindakan pemerintah republik itu meminggirkan masyarakat Melayu

PROF. MOHAMMED: Apa yang saya akan katakan mungkin kasar bunyinya, takut pula nanti (awak) terlajak tulis, tetapi saya berani katakan masyarakat Melayu di Singapura tidak berani.

Mereka bimbang rezeki mereka disekat jika bersuara. Umpamanya pendapatan mereka berbanding masyarakat Melayu di Malaysia. Contohnya secara purata mereka mendapat gaji S$2,000 dan dengan gaji sebanyak itu berbanding mata wang Malaysia tentulah mereka boleh hidup mewah.

Sebab itulah kebanyakan warga Singapura memasuki negeri ini (Johor) kerana mereka mahu berbelanja di sini. Cuma bezanya nilai mata wang mereka tinggi berbanding ringgit Malaysia.

Faktor pendapatan ini menyebabkan mereka selesa dan enggan mencari masalah... datang ke Malaysia membeli-belah kerana semua barangan yang dijual di sini murah berbanding negara sendiri.

Apa komen Prof. mengenai tuduhan kononnya masyarakat Cina di Malaysia dan Indonesia dipinggirkan oleh pemerintah mereka?

PROF. MOHAMMED: Mengenai tuduhan Malaysia menjadikan orang-orang Cina di sini ‘pak turut’ sebenarnya Kuan Yew juga telah menjadikan orang Melayu Singapura ‘pak turut’.

Pemimpin Melayu di republik itu takut. Saya tahu kerana saya dibesarkan di Singapura selama 60 tahun. Selepas itu dipaksa balik kerana ada orang memaklumkan kepada saya supaya kembali ke Malaysia kerana kawan-kawan saya kena tangkap. Antaranya, Dr. Jali Muin dan Kapten Mat Said. Abdullah Bachumi pula melarikan diri.

Satu mesyuarat jawatankuasa bertindak orang Melayu yang dianggotai oleh 25 orang diadakan di Pasir Panjang dan saya salah seorang ahli jawatankuasa itu. Selepas mesyuarat itu, Dr. Jali dan Kapten Mat Said ditangkap dan ditahan selama dua tahun. Selepas dibebaskan, mereka jadi ‘orang baik’.

Akibatnya orang Melayu menjadi ‘pak turut’ dan tidak boleh bersuara. Tetapi mereka (pemerintah) pandai dan dalam aspek-aspek tertentu dia (pemerintah) mahu Melayu maju hanya berdasarkan kuota.

Dulu sebelum PAP berkuasa, terdapat perkampungan Melayu di Singapura. Kerajaan Perikatan (sebelum berpisah daripada Malaysia) ada wartakan dalam perlembagaan mengenai penempatan orang Melayu.

Semua masyarakat Melayu berkumpul di sana. Jadi apabila PAP berkuasa, mereka ubah perlembagaan. Pemerintah ambil tanah orang Melayu dan digantikan dengan wang pampasan.

Jadi orang Melayu diberi (tempat tinggal) rumah pangsa. Dengan itu (secara halus) kekuatan Melayu terhakis. Pemerintah melakukan ini secara terang-terang. Ketika itu orang Melayu tidak sedar... tetapi jika ada yang sedar sekalipun mereka tidak berani bersuara.

Masa itu saya bergerak tetapi secara tidak bersuara... saya kena berhati-hati... saya juga menyertai politik Singapura selama 60 tahun. Saya sertai kesatuan sekerja di Singapura ketika itu bersama-sama Lee Hsien Seong.

Adakah sebarang bentuk ancaman yang dilakukan oleh pemerintah Singapura terhadap orang Melayu

PROF. MOHAMMED: Pemerintah (Singapura) bukan mengancam tetapi menggunakan taktik ‘brain wash’ atas nama ingin melakukan sesuatu kebaikan kepada orang Melayu... umpamanya dengan memodenkan kampung-kampung tersebut.

Hakikatnya, jika kampung-kampung orang Melayu dimodenkan, wakil-wakil pemimpin Melayu ini akan kehilangan kuasa.

Selepas itu, kedudukan orang Melayu di kampung-kampung ini akan dipecah-pecahkan berdasarkan kuota.

Ketika itu, dalam sesebuah kawasan penempatan baru yang diwujudkan, 72 peratus diberikan kepada kaum Cina, 16 peratus kepada masyarakat Melayu manakala 12 peratus untuk kaum India dan lain- lain.

Keadaan ini dengan sendirinya mengakibatkan orang Melayu hilang kuasa (khususnya ketika pilihan raya) kerana tidak akan berupaya memperoleh sebarang majoriti.

Pemerintah akan memujuk orang Melayu dengan mengatakan penempatan baru yang mereka sediakan lebih baik, bersih dan sebagainya.

Pemerintah juga membuat peraturan dan mewujudkan sekolah di kawasan penempatan baru itu, dan berusaha ‘memuaskan hati’ penduduk kawasan itu.

Apakah bentuk bantahan yang dibuat oleh orang Melayu kepada pemerintah ketika itu?

PROF. MOHAMMED: Mereka tidak boleh protes. Pada mulanya orang Melayu gunakan cara lembut dengan mengutus surat dan meminta sesuatu kepada pemerintah. Bila adakan mesyuarat mereka kata baik-baik tetapi semua permintaan yang dibuat ditolak.

Yang jadi masalah kepada Singapura dan dianggap penghalang kepada kemajuan negara (ketika itu) ialah orang Melayu.

Rusuhan di Singapura pada tahun 1964, mereka mendakwa UMNO menjadi dalang. Saya ada dalam jawatankuasa bertindak Melayu dan saya nampak semua itu.

Kalau saya ke depan dan bersuara... saya akan ditahan dan dipenjarakan... dikenakan tindakan di bawah Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Pada pandangan Prof. bagaimana dengan pencapaian orang Melayu di Singapura sekarang?

PROF. MOHAMMED: Sekarang sudah ada orang Melayu menceburi bidang perniagaan. Pemerintah beri peluang kepada orang Melayu supaya belajar dan pekerjaan dalam bidang tertentu.

Jadi orang-orang ini diberi biasiswa untuk melanjutkan pengajian ke luar negara. Tetapi persoalannya berapa ramai yang diberi peluang untuk menyambung pengajian? Dan apabila mereka balik ke negara, mereka ini akan berterima kasih kepada kerajaan. Mereka ini pula akan dilantik memegang jawatan tinggi dalam kerajaan. Malah ada yang dipilih menyertai politik untuk menyokong pemerintah.

Dalam soal pendidikan, berapa ramai orang Melayu yang lulus dan jadi peguam atau doktor? Pemerintah ada kuota. Sebagai contoh, kalau di universiti, mata pelajarannya banyak... kalau 100 orang diambil, 72 orang adalah kaum Cina, 16 Melayu dan 12 India.

Jadi 16 (budak) Melayu ini kalau nak minta jadi peguam... mereka tidak akan diterima walaupun lulus. Banyak Melayu akan dihantar menjadi guru.

Apa pandangan Prof. tentang pertubuhan Melayu di Singapura sama ada mereka benar-benar ada peranan untuk masyarakat Melayu pada masa ini.

PROF. MOHAMMED: Para pemimpin pertubuhan Melayu di Singapura sekarang ini hanya menjaga kepentingan persatuan masing-masing.

Kalau menentang sahaja mereka ini akan dikenakan tindakan. Pemerintah akan panggil dan tahan. Mereka ini (pemimpin-pemimpin pertubuhan) akan di ‘brain wash’. Apabila keluar sahaja dari tempat ditahan ini, mereka akan melepaskan jawatan yang disandang.

Saya sendiri pada tahun 1969 mempunyai persatuan rakyat. Jadi ketika itu di kampung-kampung Melayu ada wakil-wakil PAP. Ada kerjasama antara orang Melayu dengan PAP.

Nama saya dimasukkan (ke dalam persatuan itu) tetapi hanya bertahan selama enam bulan dan kemudian dikeluarkan kerana mereka bimbang saya akan timbulkan penentangan.

Pemerintah ada berkata, mana-mana ahli baru yang tidak bersetuju dengan pemerintah akan dihapuskan dengan matlamat kononnya untuk membangunkan negara.

Apakah bentuk diskriminasi terhadap orang Melayu sehingga hari ini?

PROF. MOHAMMED: Diskriminasi dilakukan oleh pemerintah membabitkan soal pelajaran dan ketenteraan selain soal keagamaan dikawal.

Saya pernah menghantar surat kepada Lee Kuan Yew meminta tolong bagi mengubah nasib orang Melayu tetapi tidak dilayan.

Apa nasihat Prof. kepada orang Melayu di Malaysia?

PROF. MOHAMMED: Oang Melayu... kalau kita bekerja, bekerjalah kerana Allah. Selain itu kita perlu berjihad, bekerja dengan ikhlas, jujur dan berintergriti. Kalau kerja tak ikhlas... orang tak suka. Selain itu kita mesti menjaga akhlak. Tegur dengan cara berhemah dan orang Melayu mesti sedia berubah.

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=1001&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm
Mingguan Malaysia 1 Oktober 2006

Sunday, October 01, 2006


KUAN YEW JAWAB SURAT ABDULLAH
MENGENAI KOMEN "CINA DIPINGGIR"

SINGAPURA, 30 September (Bernama) - Pengasas Singapura moden dan Menteri Mentor Lee Kuan Yew telah menulis kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai kenyataannya berhubung masyarakat Cina "dipinggirkan" di Malaysia.

Setiausaha akhbarnya YY Yeong berkata surat itu sekarang berada di Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur, menurut laporan Straits Times.

"(Ia) sedia diserahkan secara peribadi kepada Perdana Menteri Abdullah Badawi," kata beliau.

Abdullah menulis surat kepada Lee minggu ini meminta penjelasan beliau berhubung kenyataannya yang mencetuskan kontroversi itu.

Lee, 83, memberitahu satu forum mengenai tadbir urus yang baik di sini pada 15 Sept bahawa sikap Malaysia dan Indonesia terhadap republik itu terbentuk mengikut cara mereka melayani masyarakat Cina mereka.

"Jiran-jiran saya mempunyai masalah dengan masyarakat Cina mereka. Masyarakat itu berjaya, mereka bekerja keras, oleh itu mereka dipinggirkan secara sistematik, termasuk dalam pendidikan," kata Lee.

"Dan mereka mahu Singapura, dalam kata yang mudah, jadi seperti masyarakat Cina mereka -- bersikap patuh".

Kenyataan itu mencetuskan bantahan Malaysia dan Indonesia. Kementerian Luar kedua-dua negara telah memanggil wakil Singapura di negara masing-masing meminta penjelasan kenyataan Lee itu.

-- BERNAMA

From : (http://www.bernama.com.my/bernama/v3/bm/news.php?id=222475) Oleh Jackson Sawatan 30 September, 2006 10:28 AM




ZAHARIN DIPECAT
AHLI UMNO HINA PARTI

KUALA LUMPUR 28 September 2006 – Bekas Setiausaha UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Zaharin Mohd. Yassin dipecat sebagai ahli UMNO kerana didapati bersalah menghina parti dan pucuk pimpinan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, pemecatan Zaharin yang juga penulis laman blog diputuskan sebulat suara oleh Majlis Tertinggi (MT) yang bermesyuarat hari ini.

‘‘Laporan (mengenai salah laku Zaharin) diterima oleh Lembaga Disiplin parti dan ia dibentang dan dibincangkan oleh MT yang mengambil keputusan sebulat suara, Zaharin Mohd. Yassin dipecat,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO di sini, hari ini.

Difahamkan, Zaharin didapati bersalah atas 22 tuduhan menghina dan memburukkan UMNO serta pucuk pimpinan parti.

Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Radzi Sheikh Ahmad ketika ditemui pemberita menjelaskan keputusan itu tidak ada kena-mengena dengan blog beliau.

Sebaliknya kata Radzi, tindakan itu diambil kerana Zaharin memburuk-burukkan parti dan kepimpinan UMNO.

Katanya, perkara itu telah dibawa ke Lembaga Disiplin UMNO yang mendapati dia bersalah dan mencadangkan supaya digantung keahlian sehingga pemilihan akan datang.

Keputusan lembaga itu kata Radzi dibawa ke peringkat Jawatankuasa Pengurusan parti dan dibentangkan pada mesyuarat MT hari ini.

‘‘MT bagaimanapun memutuskan memecat Zaharin kerana menganggap ia merupakan perkara yang tidak sepatutnya berlaku.

‘‘Keputusan MT adalah sebulat suara. Ia membabitkan banyak tuduhan,’’ jelas Radzi.
Zaharin, kata Radzi hanya boleh membuat rayuan selepas tiga tahun daripada tarikh pemecatan itu.

– Utusan Malaysia 29 September 2006
http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=0929&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_02.htm
[Sebelum berita di atas tersiar dalam akhbar tempatan, saya menerima beberapa kiriman sms mengenainya. Waktu itu saya berada di luar Kuala Lumpur. Saya tidak dapat memberikan reaksi spontan. Apa pun, Saudara Zaharin adalah salah seorang sahabat saya. Saya kenali beliau sejak 1972. Kata orang, beliau bermulut lazer. Tetapi, sebenarnya, ramai lagi manusia bermulut lazer sepertinya. Bezanya, mereka tidak jadi blogger seperti Zaharin. Kelompok lazer bukan Zaharin ini terdapat di mana-mana. Hari-hari, berbakul-bakul maki, hamun, caci, umpatan dan apa-apa lagi kata-kata nista terhambur dari mulut-mulut lazer berkenaan. Kini, Zaharin dibebaskan dari ikatan siasah UMNO. Lepas ini, kita kenalah ikuti tulisan Zaharin. Lebih panas dan lebih pedas? - Ruhanie Ahmad]
SIAPA MEMINGGIRKAN SIAPA?

KATA Lee Kuan Yew penduduk Cina di Malaysia dan Indonesia dipinggirkan secara sistematik kerana mereka rajin dan berjaya.

Maksud Kuan Yew, cuma di Singapura rakyat keturunan Cina mendapat hak yang sewajarnya. Beliau turut membayangkan kaum-kaum lain di rantau ini kurang berjaya dan tidak rajin, sebab itulah masyarakat Cina ditekan. Kenyataan sebegini hanya menimbulkan kegusaran, prejudis, curiga dan sentimen perkauman peringkat Nusantara.

Contohnya, sudah pasti ada yang akan menuding jari pada Singapura bertanyakan nasib orang Melayu di sana pula. Lebih menyedihkan lagi Kuan Yew antara arkitek pembentukan Malaysia September 1963 yang turut disertai Singapura pada peringkat awalnya.

Malang, ucapan-ucapan Kuan Yew semasa Singapura berada di dalam Malaysia berbau perkauman, dan ia sangat mendukacitakan Tunku Abdul Rahman yang sebelum itu dipujuk Kuan Yew supaya menerima Singapura. Malaysia memutuskan Singapura harus meninggalkan negara ini supaya tidak berlaku ledakan sentimen perkauman. Allahyarham Tan Sri Syed Jaafar Albar meletakkan jawatan sebagai setiausaha agung UMNO sebagai satu protes.

Apakah Kuan Yew masih dihantui peristiwa silam? Apakah Kuan Yew benar-benar gusar terhadap masa depan hubungan antara kaum? Apakah Kuan Yew bercakap dalam konteks kebangkitan China dan India sebagai kuasa ekonomi besar dunia? Apakah Kuan Yew mahu menjadikan Singapura negara contoh kepada yang lain? Untuk menjawab persoalan ini kita perlu terlebih dahulu menyingkap sejarah.

Semasa Stamford Raffles mendarat pada 28 Januari 1819, penduduk tempatan terdiri daripada 120 orang Melayu dan 30 Cina. Beberapa ratus tahun sebelum Raffles tiba, sudah wujud pemerintahan Temasik yang makmur. Ada pihak mendakwa semasa zaman Temasik dulu, sudah ramai orang Cina menetap di pulau itu, agaknya seperti mana ada keturunan Chulia di Kedah dan Arab di seluruh Nusantara, dan juga seperti mana orang Yahudi di Timur Tengah.

Orang Yahudi mula membanjiri Palestin dari awal kurun lalu seolah-olah bumi tersebut tidak berpenghuni. Britain bersetuju pada 1917 menyokong usaha mendirikan negara Israel yang akhirnya tertubuh pada 1948. Keturunan Arab dan Yahudi yang hidup aman damai sebelum itu mula memusuhi sesama sendiri. Pada tahun 1918, setahun selepas Perjanjian Balfour yang memberi rangsangan besar kepada Zionis, aturan penduduk Palestin adalah seperti berikut. Arab Islam - 512,000, Arab Kristian, 61,000 dan Yahudi, 66,000.

Di Singapura pula, pendatang China tiba beberapa tahun selepas Raffles membangunkan pulau yang sebelum itu menjadi hak mutlak Kesultanan Johor-Riau. Kemunculan Singapura sebagai kota kosmopolitan membawa elemen baru di Nusantara yang dari zaman berzaman dikuasai Melayu. Hakikat ini diakui oleh British, termasuk oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat dan Pesuruhjaya Tinggi Tanah Melayu Hugh Clifford menegaskan, pada tahun 1927 negeri-negeri Melayu harus kekal status Melayu mereka. Beliau membangkitkan perjanjian British dengan raja-raja Melayu. Raffles sendiri terpaksa mendapat laluan daripada pemerintah Melayu bagi menduduki Singapura.

Singapura mula bersifat kosmopolitan di masa Raffles. Penduduk Singapura tahun 1823 ialah 10,682, yang mana 3,317 adalah orang Cina. Ini bermakna, berbagai rumpun Melayu, serta Arab dan Eropah menetap di Singapura.

Setelah tamatnya Perang Dunia Kedua, British mencadangkan gagasan Malayan Union memisahkan Singapura dari Semenanjung kerana dikatakan bimbang timbul konflik kerana Singapura mempunyai penduduk majoriti Cina. Britain membuat keputusan bagi pihak orang Melayu, seperti mana Israel dipaksakan ke atas bumi Arab dua tahun kemudiannya.

Singapura tidak mengecapi kemerdekaan pada 1957, sekadar self-government bermula 1959. Singapura merdeka melalui Malaysia selepas menjadi sedikit gelora akibat beberapa isu yang ditimbulkan oleh pemimpin People's Action Party di bawah Kuan Yew. Mereka memperjuangkan hak sama rata bagi penduduk berbilang kaum di Malaysia dan Singapura, serta mula menyindir budaya dan sikap orang Melayu. PAP tidak memberikan hak istimewa kepada penduduk Melayu Singapura, sekadar bersetuju adanya special position (kedudukan istimewa). Sama ada istilah ini berkesan dan bermakna terpulanglah pada interpretasi masing-masing.

Setelah terkeluar dari Malaysia, Singapura berusaha keras meningkatkan keupayaan angkatan tenteranya dengan bantuan Israel. Hubungan inilah yang membawa kepada lawatan Presiden Israel, Chaim Herzog ke Singapura pada November 1986. Ia tidak mengambil kira perasaan orang Melayu di Indonesia, Malaysia dan di Singapura. Kaedah menyakiti hati dan moral serta maruah saingan ialah strategi biasa yang digunakan Israel ke atas rakyat Palestin. Kebebasan rakyat Palestin disekat, dan mereka sentiasa dikepung. Penduduk Melayu Singapura pula seakan-akan dipindah-pindahkan dan dipecah-pecahkan dan akhirnya terjadi satu keadaan di mana tiada satu pun kawasan Parlimen yang mempunyai majoriti pengundi Melayu. Jika dakwaan ini tersasar, kita minta PAP memberi bukti di mana ada kawasan Parlimen yang mempunyai majoriti Melayu.

Parti PAP sendiri pada dasarnya bersifat berbilang kaum, tetapi dakwaan ini agak meleset semasa Singapura berada dalam Malaysia. PAP ingin menggantikan MCA sebagai parti induk di bandar-bandar besar. Juga pihak PAP tidak dapat memberi penjelasan yang meyakinkan mengapa belum ada seorang insan Melayu menjadi Menteri Kanan, Jeneral atau Ketua Hakim atau jawatan-jawatan sensitif dan kanan yang lain.

Meritokrasi

Kuan Yew sendiri terpaksa berdepan dengan persoalan sama ada Singapura mengamalkan meritokrasi atau sebaliknya apabila anak beliau menggantikan Goh Chok Tong sebagai Perdana Menteri. Sudah tentu Lee Hsien Loong menang pilihan raya, dan tidak mengambil alih jawatan tertinggi ini daripada bapanya Kuan Yew. Namun kita hairan kenapa seorang pemimpin yang begitu tegas memerangi rasuah tidak terlalu sensitif terhadap cakap-cakap mengenai unsur nepotisme? Tidaklah kita berhasrat menyamakan sistem ini dengan pemerintahan Raja Brooke di Sarawak dulu.

Apa yang ingin kita persoalkan sekarang ialah ke mana hilangnya penduduk kosmopolitan Singapura? Kenapakah keutamaan kerakyatan baru diberi kepada penduduk Cina Hong Kong apabila ia kembali ke tangan Beijing pada 1997? Kini, apakah ada usaha mengalu-alukan rakyat Hong Kong dan Taiwan menetap di Singapura, dan sama ada keistimewaan ini turut ditawarkan kepada kaum lain, contohnya Melayu, India dan Jawa? Singapura harus menjawab persoalan bagi menjamin dan mempertahankan statusnya sebagai negara berbilang kaum.

Janji manusia adalah segala-galanya. Semasa berada dalam Malaysia, PAP membangkitkan beberapa tuntutan dan dilihat gagal menunaikan janji mereka kepada Tunku semasa hendak masuk Malaysia dulu. Trend ini beterusan.

Berbalik kita masa kini. Persidangan Bank Dunia-Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) 2006 berlangsung di Singapura baru-baru ini. Pihak berkuasa republik itu memberi jaminan untuk membenarkan pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa mengadakan demonstrasi tetapi kebenaran tersebut telah ditarik balik.

Pada masa yang sama, iaitu pada 15 September, Kuan Yew menyampaikan ucapan yang menyentuh sikap kerajaan Malaysia dan Indonesia terhadap kaum Cina di negara masing-masing.

Pemimpin politik di Malaysia kini menolak sekeras-kerasnya dakwaan Kuan Yew. Kini kemelut ekoran kenyataan Kuan Yew sudah dibangkitkan di peringkat hubungan dua hala. Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berpendapat Singapura ingin mencemar nama Malaysia di kaca mata pelabur, namun helah ini tidak akan berjaya.

Syed Hamid tentunya memilih kata-kata dengan cermat dan pastinya beliau mengambil perspektif sejarah. Jika diteliti apa yang dicanangkan sebagai meritokrasi, kejayaan Singapura yang memberangsangkan, serta keistimewaan dana insan mereka tidaklah sehebat mana. Kita perincikan satu persatu.

Semasa bursa kedua-dua negara dipisahkan, Singapura mewujudkan Credit Limit Order Book (CLOB), yang sebenarnya beroperasi secara tidak sah. Apabila kita ditimpa krisis kewangan 1997, Singapura menaikkan kadar faedah, dilihat sebagai strategi supaya rakyat Malaysia tertarik membawa keluar wang. Singapura merasakan Malaysia akan tunduk kepada IMF. Mereka sama sekali tidak menjangkakan bahawa Malaysia akan dapat mencari penyelesaian yang lebih baik. Mereka terkejut dengan keupayaan Malaysia. Pada masa inilah kita mengambil keputusan menghentikan urusan CLOB, menyebabkan mereka bakal kerugian berbilion ringgit. Mereka merayu, malah melutut supaya Malaysia dapat membantu.

Namun, budi baik kita tidak terbalas. Semasa krisis kewangan, kita cuba mendapatkan bantuan kewangan dari Singapura sebaliknya mereka meletakkan syarat-syarat yang keterlaluan. Tidak ada goodwill dan semangat setia kawan dalam hubungan dengan Singapura. Itulah maksudnya bila mereka menyebut perlunya to be really firm, stout hearted, subtle and resolute. Mereka hanya mementingkan keuntungan dan yakin Big Brother akan datang menyelamat mereka sekiranya ditimpa kesusahan.

Singapura adalah negara-bandar raya ataupun city state seperti juga Monaco dan Hong Kong. Tidak ada city state yang mundur, kerana ia bandar raya yang mendapat peruntukan dan pengiktirafan sebuah negara. Hong Kong dikira lebih maju dari Singapura, manakala Monaco lebih glamor. Monaca adalah gelanggang F1 yang ternama, seperti Sepang. FI tidak singgah di Singapura yang ingin menjadi Macau yakni gelanggang judi. Pun begitu Singapura tidak jauh dari bersifat commune di mana penduduk diprogram dengan formula kehidupan yang sarat dengan undang-undang, tindak-tanduk dan keputusan peribadi tertakluk kepada kehendak PAP. Disiplin yang dipaksakan ini menjadikan penduduk Singapura bertindak seolah-olah terlepas dari kandang setibanya mereka di Johor Bahru.

Penyelesaian

Mentadbir sebuah bandar raya bukanlah sesuatu yang sukar berbanding pentadbiran sebuah negara yang melibatkan permasalahan dan penyelesaian kompleks.

Janganlah kita terpedaya bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan Singapura. Ia menjadi bahasa kebangsaan semasa PAP kuat memperjuangkan penerimaan Singapura ke pangkuan Malaysia. Seorang pemimpin Melayu, Yusof Ishak dilantik sebagai Presiden. Mujurlah wajah beliau yang tertera di mata wang Singapura. Apakah sudah ada Presiden dari kalangan Melayu yang telah dilantik setelah Singapura keluar dari Malaysia? Begitu juga bahasa Melayu. Kuan Yew dan anak beliau yang kini menjadi Perdana Menteri masih boleh bertutur dalam bahasa Melayu dengan sempurna tetapi Kuan Yew sendiri berusaha keras memartabatkan bahasa Inggeris semasa Singapura berada dalam Malaysia. Juga, Bahasa Melayu begitu ketinggalan di Singapura sekarang. Perhatikan pengumuman-pengumuman kerajaan.

Anak-anak mereka sekadar diasuh supaya mencapai kejayaan akademik cemerlang, semua yang lain tidak penting termasuk perasaan kasih sayang, berbudi dan bantu membantu. Singapura harus cemerlang dan berjaya, itu saja. Semasa British lagi, minda orang Melayu dibasuh supaya yakin bahawa mereka malas dan lesu. Ada tokoh-tokoh Melayu di bawah PAP seperti Samad Ismail, Ahmad Ibrahim dan Abu Bakar Pa Wan Chik namun tidak ada di kalangan mereka yang ditonjolkan sebagai pemimpin. Apakah mereka mencemburui kewibawaan Samad? Beliau ditahan semasa British barangkali kerana bimbang Samad bakal muncul pemimpin ulung. Said Zahari ditahan sebelum Singapura menyertai Malaysia. Apakah beliau juga dikhuatiri akan menyaingi mereka? Kita tanya soalan sebegini kerana sesiapa saja yang bersuara dan tidak mengikut telunjuk akan terdedah kepada bahaya penahanan, selalunya atas tuduhan terlibat dengan aktiviti yang boleh menghancurkan negara.

Ada yang mengatakan menteri Singapura ada Ph.D, kelulusan Oxbridge dan rata-rata lebih pintar.

Bukan tiada ahli politik Malaysia yang mempunyai double degrees dan merupakan pencapai terbaik. Hanya kita tidak gembar- gemburkan hal ini. Ia adalah proses biasa. Datuk Seri Rais Yatim, Datuk Mustapa Mohamed, Datuk Seri Jamaludin Jarjis, Datuk Ghani Othman dan Koh Tsu Koon mempunyai credentials yang membanggakan. Sebenarnya Malaysia mengamalkan meritokrasi menyeluruh, tidak mendiskriminasikan calon berdasarkan universiti dan sebab-sebab lain.

Terpulanglah pada kebijaksanaan masing-masing mendalami ilmu pengetahuan sepanjang hayat. Humility yang ditanam pada rakyat Malaysia telah menjadikan penduduk kita lebih berilmu dan berdisiplin daripada rakyat Singapura. Mereka belum teruji. Mereka tidak dibenar mengeluarkan pandangan secara terbuka, sehinggakan ikan di Singapura dikatakan mati kelaparan akibat tidak berani membuka mulut. Yakni satu bidalan terhadap sikap pengecut rakyat Singapura. Sistem cadre parti pemerintah PAP sangat secretive dan tidak demokratik. Keahlian parti PAP tidak terbuka.

Pemimpin keturunan Cina di Malaysia jauh lebih demokratik daripada pemimpin PAP. Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting memperkenalkan sistem yang mengehadkan tempoh menjadi menteri dan memegang jawatan tinggi pada dua penggal. Yang terkecuali ialah DAP yang turut mengamalkan near-hereditary rule, dengan anak menjadi setiausaha agung dan si bapa, pemimpin nombor satu parti serta bertindak sebagai ketua pembangkang. Ini tidak menghairankan. DAP berasal daripada PAP.

Singapura sering mengikuti dasar yang diamalkan Washington, seolah-olah Singapura tidak bebas menggubal dasar luarnya sendiri, malah selalu menepati kehendak Washington. Dari semasa ke semasa mereka berdrama kononnya berang kepada Amerika Syarikat (AS). Hakikatnya tidak begitu. Singapura tidak diherdik oleh Washington sekalipun membataskan hak bersuara rakyatnya. Namun ketaksuban pemimpin mereka kepada AS, menyebabkan China sendiri was-was mengenai keikhlasan Singapura. China bimbang kerana Singapura terlalu rapat dengan AS. Israel memainkan peranan pengintip AS di Timur Tengah. Malaysia mempunyai dasar luar yang dinamik serta bertanggungjawab. Kita ada hubungan yang baik dengan China dan negara lain termasuk anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).

Apakah Indonesia, Malaysia ingin menguasai Singapura? Ini merupakan dakyah Singapura bagi menakut-nakutkan rakyatnya sendiri. Malaysia dan Indonesia bertungkus lumus memajukan negara masing-masing, bagi muncul sebagai kuasa ekonomi saiz sederhana. Singapura terlalu kecil bagi mengejar cita-cita yang sama. Pasarannya adalah terhad. Akibat kelancangan Kuan Yew serta dasar luar PAP, Singapura dicurigai oleh China. Ini bermakna pasarannya semakin menguncup. Singapura memerlukan bullet train yang akan menjadi motivasi pelancongan dan penduduk Malaysia berjudi di kasino di Singapura. Sengaja atau tidak, projek kasino bakal mengajak rakyat Indonesia dan Malaysia berjudi serta mencetus pelbagai gejala sosial.

Apakah Singapura tidak ingin melihat Malaysia menjadi lebih maju dan dihormati dunia? Dari semasa ke semasa Kuan Yew mengeluarkan kenyataan yang dengan tidak sengaja mempengaruhi pelancong dan pelabur supaya tidak berurusan dan melawat Malaysia. Inilah prinsip yang menggagalkan jambatan bengkok yang sepatutnya menggantikan tambak di sebelah Malaysia. Singapura bimbang perjalanan yang lancar akan melumpuhkan suasana ekonomi domestik Singapura. Ada pandangan mengatakan Singapura berusaha meningkatkan tahap kesesakan di Tambak Johor. Ini kerana apabila kenderaan terpaksa menunggu sebegitu lama, maka jumlah rakyat Singapura berbelanja di Johor Bahru tidaklah meningkat ke tahap yang membimbangkan Singapura. Sama ada ini satu strategi, hanya Singapura yang tahu.

Pada tahun 1996, Kuan Yew menyebut mengenai kemungkinan re-merger namun ia bersyarat - hanya sekiranya Malaysia mengamalkan dasar meritokrasi sepenuhnya. Kemampuan rakyat Malaysia telah diiktiraf dunia, ada kalangan kita yang memegang jawatan penting dalam syarikat-syarikat ternama dunia seperti Shell.

Berdasarkan pandangan pengkritik beliau di Malaysia dan pengalaman berada dalam Malaysia sepanjang 1963- 1965, dasar meritokrasi mungkin bermakna melantik orang tertentu sebagai Perdana Menteri Malaysia, tetapi tidak pula membincangkan sama ada seorang Melayu menjadi Ketua Hakim atau Perdana Menteri Singapura. Rata-rata orang Melayu semakin kuat bekerja di Kuala Lumpur. Rakyat Singapura memandu liar di Malaysia kerana tindak- tanduk mereka terbatas di Singapura.

Mengenai peminggiran masyarakat Cina, Kuan Yew sendiri sedia maklum yang ekonomi Indonesia dan juga Malaysia masih dikuasai oleh kaum Cina. Hotel terkemuka di Kuala Lumpur serta bangunan-bangunan tinggi dan banglo tersergam semuanya milik orang Cina. Begitu juga dengan senarai 40 orang terkaya di Malaysia, siapakah yang menerajui dan menguasai senarai tersebut? Dengan menakut-nakutkan rakyat yang Singapura akan jatuh ke tangan orang lain dan mereka mesti resolute, penduduk akan percaya segala propaganda kerajaan. Taktik yang sama digunakan oleh kerajaan AS. Seorang wartawan terkenal Singapura Seah Chiang Nee yang pernah mengkritik Kuan Yew menyokong kenyataan terbaru beliau, katanya sebagai peringatan kepada anak muda Singapura.

Apakah ada sesuatu yang mahu disembunyikan oleh Singapura apabila mereka dengan agak rakus menguatkan tenteranya seolah-olah ada bahaya yang bakal menimpa? Negara manakah yang mahu diserang oleh Singapura?

Kenyataan Kuan Yew yang Malaysia dan Indonesia ingin Singapura menjadi pak turut tidak masuk akal. Sekiranya benar mengapakah Malaysia dengan mudah sekali membiarkan Singapura keluar dari Malaysia dan mengecapi kemerdekaan sendiri sedangkan British sendiri tidak pernah setuju Singapura diberi kemerdekaan.

Singapura tidak perlu gusar mengenai penduduk Cina di Malaysia dan Indonesia yang menguasai ekonomi kedua-dua negara itu. Mereka sama sekali bukannya second class citizens.

Isu yang selama ini menghantui kita semua ialah kedudukan Melayu Singapura, yang bukan sekadar dinafikan hak-hak istimewa mereka malah didiskriminasikan. Malaysia membenarkan penduduk Cina ke sekolah jenis kebangsaan Cina, dan memberikan peranan politik yang sangat besar. Di Singapura, kini tidak ada satu kerusi Parlimen pun yang majoriti pengundinya Melayu. Apakah status orang Melayu Singapura? Berapa ramai profesional di kalangan mereka? Berapa ramai jeneral Melayu? Semasa wabak Sindrom Pernafasan Akut (SARS) penduduk Melayulah yang bertungkus lumus, tidak berganjak dari hospital. Barulah mereka sedar orang Melayu sangat setia kepada negara dan sanggup mati berjuang.

Dasar asal kependudukan yang mengehadkan dua orang anak bagi setiap keluarga bertujuan mengekang pertumbuhan keluarga, dan secara kebetulan orang Melayu lebih ramai anak. Kini dasar itu dimansuhkan malah mereka yang mempunyai ramai anak diberi insentif. Pelbagai program juga dilancarkan bagi menggalakkan rakyat Singapura jatuh cinta dan berkahwin, kerana ramai kaum Cina yang memilih karier daripada segala-galanya. Inilah sukses yang selama ini diidamkan oleh Kuan Yew.

Radikal

Di Malaysia, badan-badan Cina melantik Suqiu sebagai jurubicara. Suqiu pula bertindak agak radikal dan kali ini sudah pun mengeluarkan kenyataan menyokong Kuan Yew. Bolehkah pertubuhan orang Melayu Singapura menyokong kenyataan pemimpin Malaysia mengenai hubungan kaum?

Penduduk kulit hitam AS jauh ke hadapan dari segi pencapaian penduduk majoriti jika dibandingkan dengan orang Melayu Singapura. Jeneral terkanan di selatan Thailand yang penduduknya rata-rata beragama Islam dan menghadapi keresahan politik beragama Islam. Ini bukti orang Islam adalah sangat setia. Di Singapura, Perdana Menterinya pernah berkata, Singapura tidak mampu menaruh keyakinan kepada tenteranya yang berbangsa Melayu.

Kenapakah Kuan Yew tak henti-henti mengeluar kenyataan yang provokatif terhadap Malaysia dan Indonesia? Jika dia mewakili penduduk Cina Nusantara, watak itu lebih sesuai dimainkan oleh China, tetapi China menghormati kedaulatan negara lain. Negara China menganggap keseluruhan penduduk negeri ini termasuk mereka yang berketurunan Cina sebagai rakyat Malaysia, dan sama sekali tidak campur tangan urusan dalaman Malaysia. Jelas Singapura tidak mempunyai sifat ini.


Walaupun Kuan Yew gemar mengkritik negara lain, beliau sendiri tidak mahu dikritik. Pemimpin pembangkang banyak menghabiskan masa di mahkamah dan penjara, kerana didapati bersalah di bawah undang-undang Singapura. Mereka yang menentang beliau akhirnya muflis atau meninggalkan Singapura.

Kuan Yew sedia maklum rasuah tidak terhad kepada satu-satu bangsa. Kuan Yew sering melaung-laungkan bahawa we are the best, yakni rakyat Singapura adalah brilliant. Realiti tidak sebegitu kerana manusia bukanlah robot yang ingin memilih tinggal di mana kebebasan terhad dan dikawal. Kuasa Tuhan mengatasi segala-galanya.

Jika Singapura benar-benar kebal dari segi ekonomi, ada baiknya negara yang tidak digemari Singapura iaitu Malaysia dan Indonesia mengenakan sedikit syarat hubungan ekonomi yang baru. Sebagai contoh;

Perdagangan dengan Singapura dihentikan
Syarikat penerbangan nasional kedua negara menghentikan perkhidmatan ke Singapura, sebaliknya pergi ke Malaysia dan Indonesia
Rakyat Malaysia dan Indonesia tidak lagi dibenarkan membuka akaun bank di Singapura
Kapal-kapal menggunakan pelabuhan di Malaysia dan Indonesia
Malaysia menyokong langkah kerajaan Thailand jika mereka mahu membina terusan di Segenting Kra.

Langkah ini disyorkan sebagai alternatif kepada tuntutan meminta maaf kerana ia lebih berkesan. Jika cadangan-cadangan ini dapat dilaksanakan, dapatlah kita mengetahui hasilnya nanti.

– Oleh: PEMERHATI POLITIK, Utusan Malaysia 30 September 2006
http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=0930&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

‘SINGAPURA PINGGIR ORANG MELAYU
SECARA SISTEMATIK SEJAK 1959’

JOHOR BAHRU 28 September 2006 – Masyarakat Melayu di Singapura telah dipinggirkan secara sistematik sejak Parti Tindakan Rakyat (PAP) memerintah republik itu pada 1959 dan Lee Kuan Yew menjadi Perdana Menterinya yang pertama, menurut seorang ahli politik veteran republik itu yang kini menetap di sini.

Prof. Mohammed Yacob, bekas setiausaha politik kepada Ketua Menteri Singapura yang kedua, Lim Yew Hock berkata, peminggiran itu berlaku walaupun perlembagaan republik itu mengiktiraf hak kaum minoriti dan hak istimewa orang Melayu yang tinggal di Singapura.

“Perlembagaan Singapura di bawah tajuk General Provisions Minorities And Special Positions Of Malays dengan jelas merujuk tanggungjawab kerajaan, di antaranya untuk melindungi, membantu dan mempromosi kepentingan Melayu di dalam bidang politik, pendidikan, agama, ekonomi, budaya dan bahasa Melayu.

“Bagaimanapun kerajaan pimpinan PAP menerusi implementasi undang-undang tentang dasar mereka, telah memanipulasi dan menghalang hak orang Melayu dan secara perlahan-lahan membersih Melayu serta sejarahnya dari Singapura,” katanya kepada Bernama di kediamannya hari ini.

Baru-baru ini, Lee Kuan Yew yang merupakan Menteri Mentor Singapura memberitahu satu forum di republik itu bahawa masyarakat Cina di Malaysia dan Indonesia dipinggirkan secara sistematik dan komen beliau itu menyebabkan Kuala Lumpur dan Jakarta tersinggung.

Mohammed menjadi warganegara Singapura selepas republik itu meninggalkan Malaysia pada 1965 tetapi mengambil keputusan meninggalkan negara pulau itu pada 1978 selepas menerima “amaran” akan ditangkap. Beliau kini menjadi rakyat Malaysia.

“Saya meninggalkan Singapura dengan sehelai sepinggang,” katanya.

Sejak meninggalkan Singapura, Mohammed yang kini berusia 89 tahun, tetapi masih sihat, bergiat aktif dengan menulis buku dan artikel mengenai republik itu.

Menurutnya, beliau turut mengirimkan artikelnya mengenai Singapura itu baru-baru ini untuk bacaan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Mohammed yang juga bekas Timbalan Setiausaha Agung Parti Perikatan di Singapura turut berkata, pengiktirafan orang Melayu sebagai bangsa asal Singapura sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan, kini turut dinafikan oleh kerajaan republik itu.

Para pemimpin PAP mengatakan bahawa orang Melayu di Singapura berasal dari seberang, Cina dari China dan India dari India, walhal Perkara 152 (2) Perlembagaan dengan jelas mengatakan Melayu adalah bangsa asal Singapura,” katanya.

Perkara 152 (2) Singapura menyebut: The government shall exercise its functions in such manner to recognise the special position of the Malays, who are the indigenous people of Singapore, accordingly it shall be the responsibility of the Government to protect, safeguard, support, foster and promote their political, educational, religous, economic, social and cultural interests in the Malay language.

Menurut Mohammed, orang Melayu juga kehilangan kuasa politik menerusi pelaksanaan dasar perumahan dengan PAP mewujudkan bandar baru seperti Tampines New Town, Bedok North and South, Toa Payoh, Ang Mo Kio dan lain-lain.

Di bawah dasar perumahan ini, katanya, kampung yang majoritinya dihuni orang Melayu dan Cina, diambil alih oleh kerajaan secara perundangan dan penghuninya dibayar pampasan.

Orang Melayu katanya, diberikan flat di kawasan berasingan bandar-bandar baru itu menerusi sistem kuota - 72 peratus untuk orang Cina, 16 Melayu dan 12 India serta kaum lain.

Dalam perkataan lain, orang Melayu tidak dibenarkan tinggal di kawasan yang sekelompok di bandar-bandar baru. Ini melupuskan kuasa politik mereka,” menurut Mohammed sambil menjelaskan bahawa antara kawasan Melayu yang terkenal di Singapura adalah Pasir Panjang, Geylang Serai dan Kampung Kembangan.

Katanya, perkara yang sama turut berlaku terhadap bahasa Melayu yang diakui Perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan dan sekolah- sekolah Melayu.

Ketika zaman penjajahan, banyak sekolah Melayu wujud di Singapura seperti Sekolah Melayu Kampung Gelam, Tanglin Kecil, Kampung Jaguh, Tanglin Besar, Kampung Melayu, Tun Sri Lanang dan Sang Nila Utama, katanya.

Apabila Singapura keluar dari Persekutuan Malaysia pada 1965, katanya, kerajaan negara itu mula mengubah dasar pendidikannya dengan menitikberatkan pengajaran bahasa Inggeris dan Mandarin, mengakibatkan bahasa Melayu dan sekolah Melayu terpinggir.

“Buat masa ini sudah tiada lagi sekolah aliran Melayu di Singapura, dalam kata lain kerajaan PAP mempersendakan Perlembagaan para 153 (2) bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan republik itu,” katanya yang fasih berbahasa Inggeris.

Bernama –Utusan Malaysia 29 September 2006

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=0929&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm
TIADA PULA CINA MALAYSIA
DIPELAWA HIJRAH KE SINGAPURA

WALAUPUN mereka merupakan warga kelas satu di bidang ekonomi, Lee Kuan Yew menyatakan Cina Malaysia dipinggirkan. Kuan Yew tahu hakikat ini, tetapi kenapa dia masih membuat tuduhan dan dipersetujui pula oleh DAP yang bebas memperjuangkan hak dan mendapat undi orang Cina Malaysia.

Jelas sekali bahawa Kuan Yew yang berjaya mewujudkan satu negara yang berdaulat di atas sebuah pulau yang dahulunya sebahagian daripada empayar Johor-Riau, amat bangga dengan hasil usahanya.

Itu pun didapati menerusi ‘pintu belakang’ iaitu melalui penubuhan Malaysia untuk mendapatkan negara berdaulatnya.

Dengan lokasi yang terbaik sebagai pelabuhan bebas dan perdagangan pengedaran untuk Malaysia, maka Singapura berjaya menjadi kaya raya dan angkuh.

Kemajuan ekonominya rata-rata dijanakan oleh syarikat-syarikat gergasi kerajaan yang turut melabur di negara-negara jiran. Malah kehadiran salah sebuah syarikat ini turut mengancam ekonomi dan kestabilan politik Thailand apabila ia memiliki syarikat induk keluarga Thaksin Shinawatra yang akhirnya digulingkan oleh tentera.

Ini jelas menunjukkan bahawa teori pelaburan dan perdagangan bebas memang ada batasnya. Diharap kerajaan Malaysia ‘arif’ dalam soal ini.

Oleh kerana tekanan Kongres, Presiden Bush sendiri tidak benarkan syarikat Dubai Ports membeli syarikat-syarikat pengedalian pelabuhan di negara itu.

Tidak lama dulu, Agensi Pelaburan Kuwait (KIO) diarahkan oleh kerajaan British supaya mengurangkan pemilikan sahamnya di dalam British Petroleum (BP). Ini berlaku dalam negara-negara yang kononnya mengamalkan perdagangan bebas.

Akhir sekali sudah menjadi rukun alam bahawa menjadi kaya punya bahaya dan risikonya sendiri, baik bagi individu mahu pun sesebuah negara atau empayar yang akhirnya akan berkubur juga.

Masalah besar yang dihadapi oleh Singapura sekarang ialah pertumbuhan ‘kosong’ penduduknya kerana tidak ada rakyat baru dilahirkan untuk menggantikan generasi lama yang mati dan akan mati.

Anak-anak muda yang berkelayakan tinggi dan berpendapatan tinggi tidak mahu kahwin lagi dan laporan terakhir menunjukkan di kalangan yang kahwin pun kadar perceraian makin meningkat.

Akhir kata, dalam tuduhannya itu Kuan Yew tidak pula menawarkan orang Cina yang dikatakan dipinggirkan di Malaysia itu supaya berhijrah ke Singapura untuk menstabilkan kedudukan kependudukan atau demografi negara itu. Walhal Singapura memerlukan penduduk baru segera (instant population) melalui dasar migrasi barunya.

Ramai juga rakyat Malaysia yang punya saudara mara di republik itu. Di Johor Bahru ramai yang hantar anak-anak bersekolah di Singapura walaupun kena bangun seawal 5 pagi. Mungkin pelawaan tidak dihulur kerana Kuan Yew mempunyai tanggapan tertentu terhadap mereka.

– SAAD HASHIM, Ampang, Selangor.
–Utusan Malaysia 28 September 2006
PM SUDAH TULIS SURAT
MINTA PENJELASAN KUAN YEW

KUALA LUMPUR 28 September 2006 – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau telah menulis surat kepada bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew bagi meminta penjelasan berhubung tuduhan bahawa Malaysia meminggirkan kaum Cina secara sistematik.

Menurut Perdana Menteri, beliau kini sedang menunggu penjelasan daripada Menteri Mentor republik itu.

‘‘Saya sudah hantar surat (kepada Kuan Yew), cuma (kini) tunggu jawapan daripada dia,’’ katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada isu berhubung kenyataan Kuan Yew itu dibincangkan atau tidak dalam mesyuarat hari ini.

Abdullah memberitahu, isu tersebut tidak dibincangkan oleh MT kerana menunggu penjelasan daripada Kuan Yew.

Bekas Perdana Menteri Singapura itu, ketika berucap pada forum yang dianjurkan sempena mesyuarat melibatkan Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa di negara itu mendakwa kaum Cina di Malaysia dan Indonesia telah dipinggirkan secara sistematik.

Kenyataan Kuan Yew itu menimbulkan rasa kurang senang dan Abdullah sebelum ini berkata akan meminta Menteri Mentor itu memberi penjelasan berhubung kenyataan itu.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar yang ditemui selepas itu berkata, Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia telah dipanggil tengah hari ini untuk memberi penjelasan berhubung kenyataan Kuan Yew.

Katanya, pertemuan membabitkan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Rastam Mohd. Isa itu berlangsung di Wisma Putra.

‘‘Kita nak tahu sebenarnya kenapa kenyataan itu berlaku dan kita juga beri pandangan kita, apa perasaan kita dan tunggu respons mereka dan kita akan putuskan apa tindakan kita seterusnya,’’ katanya.

– Utusan Malaysia 29 September 2006
http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2006&dt=0929&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_01.htm
PERNYATAAN RASIAL
MALAYSIA PANGGIL DUBES
SOAL PERNYATAAN LEE KUAN YEW

Kuala Lumpur, Kamis 28 Septembr 2006 - Pemerintah Malaysia, Kamis (28/9), memanggil Duta Besar Singapura untuk menjelaskan pernyataan Menteri Mentor Singapura Lee Kuan Yew bahwa masyarakat etnik minoritas China di Malaysia dan Indonesia menjadi kaum yang dipinggirkan.

Sekretaris Jenderal Kementerian Luar Negeri Malaysia Rastam Isa telah bertemu dengan Komisioner Tinggi Singapura T Jasudasen, tetapi pihak Kementerian Luar Negeri Malaysia tidak bersedia mengungkap isi pertemuan tersebut.

Menurut seorang anggota Komisi Tinggi Singapura di Kuala Lumpur, Malaysia, dalam pertemuan itu para pejabat Kementerian Luar Negeri Malaysia meminta klarifikasi tentang pernyataan Lee.

"Pada saatnya, Singapura pasti akan memberikan tanggapan melalui saluran-saluran yang seharusnya," kata pejabat Singapura yang tak bersedia disebut namanya.

Sebelumnya, Perdana Menteri (PM) Malaysia Abdullah Ahmad Badawi dikabarkan sudah mengirim surat kepada Pemerintah Singapura, yang tujuannya untuk meminta permohonan maaf dari Singapura.

Badawi mengungkapkan ketidaksenangannya atas pernyataan itu dan mengisyaratkan hal itu dapat memprovokasi warga kaum China Malaysia, yang merupakan kelompok etnik terbesar kedua di Malaysia yang berpenduduk 26 juta jiwa. Badawi juga menyatakan, di Singapura, yang berpenduduk mayoritas etnik China, hubungan antargolongan juga tidak sempurna.

Minta Maaf

Menurut harian The New Straits Times, kemarin, Menteri Luar Negeri Malaysia Syed Hamid Albar menyatakan bahwa negaranya berharap Singapura menyatakan maaf atas pernyataan yang dibuat Lee.

"Saya yakin bahwa motif Singapura adalah untuk membuat Malaysia tampak buruk di mata para investor asing. Akan tetapi, mereka tak akan berhasil karena dunia dapat melihat bahwa kami, rakyat Malaysia, selalu berdiri bersama sebagai sebuah bangsa," ungkap Syed Hamid seperti dikutip surat kabar Malaysia itu.

Dalam sebuah pertemuan di Singapura, 15 September lalu, Lee Kuan Yew, tokoh pendiri Singapura yang dalam kabinet sekarang menjabat sebagai menteri mentor, menyatakan bahwa Malaysia dan Indonesia memiliki masalah dengan golongan China. "Mereka (orang China) adalah orang-orang yang berhasil. Mereka adalah pekerja keras. Oleh karena itu, mereka secara sistematis dipinggirkan (marginalized)," tutur Lee.

Lee juga menyatakan bahwa kedua negara tersebut (Malaysia dan Indonesia) ingin agar Singapura selalu mengalah, seperti orang-orang China yang menjadi warganya.

Malaysia dan Singapura memiliki hubungan kebudayaan dan ekonomi yang erat, tetapi juga memiliki sejarah persaingan dan persengketaan. Dalam beberapa tahun terakhir, kedua negara bertetangga itu juga bersitegang soal harga air yang dipasok Malaysia ke Singapura. Mereka juga terlibat persengketaan teritorial terkait dengan sebuah pulau kecil, yang kasusnya sampai dibawa ke Mahkmah Internasional.

Departemen Luar Negeri (Deplu) RI dikabarkan juga sudah memanggil Duta Besar (Dubes) Singapura di Jakarta untuk mengklarifiksi pernyataan Lee.

Adanya pemanggilan ini dibenarkan pihak Kementerian Luar Negeri Singapura. "Sesuai dengan permintaan, dubes kami di Jakarta kemarin bertemu dengan para pejabat Deplu RI," demikian dinyatakan Kementerian Luar Negeri Singapura.

Malaysia dan Indonesia sama-sama memiliki kelompok etnik minoritas China, sedangkan Singapura mayoritas penduduknya keturunan China. (AP/muk)

– KOMPAS, 29 September 2006
http://www.kompas.com/kompas-cetak/0609/29/ln/2986638.htm

Wednesday, September 27, 2006

INDONESIA PANGGIL DUTA S'PURA
BERHUBUNG KOMEN KUAN YEW KAUM CINA

JAKARTA, 27 September 2006 (Bernama) - Kementerian Luar Indonesia telah memanggil Duta Singapura di Jakarta berhubung kenyataan Menteri Mentor Singapura Lee Kuan Yew bahawa kaum minoriti Cina di Indonesia dipinggirkan secara sistematik.

"Kita telah memanggil Duta Singapura di sini hari ini setelah menerima arahan terus daripada Menteri Luar. Kita akan meminta penjelasan, dan menyerahkan nota bantahan kita kepada kerajaan Singapura," Ketua Setiausaha Kementerian Luar Imron Cotan dipetik akhbar "The Jakarta Post" sebagai berkata.

Menteri Luar Hassan Wirayuda kini berada di New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Selain memanggil Duta Singapura Ashok Kumar Mirpuri, Imron berkata Kementerian Luar juga telah mengarahkan para pegawainya di Kedutaan Indonesia di Singapura untuk berjumpa para pegawai tinggi Kementerian Luar Singapura untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

"Kami mahu perkara ini diselesaikan secepat mungkin. Tidak benar kaum etnik Cina di Indonesia dipinggirkan. Kita mempunyai menteri dan anggota parlimen yang berketurunan Cina," katanya.

Menurut laporan, Lee memberitahu satu forum di Singapura bahawa Malaysia dan Indonesia telah meminggirkan masyarakat Cina yang tinggal di negara mereka secara sistematik.

Kenyataan beliau itu telah menimbulkan kontroversi dengan para pemimpin Malaysia dilaporkan meminta Lee memohon maaf kerana kenyataan itu.

Sebelum ini, beberapa anggota parlimen Indonesia turut membidas kenyataan Lee itu dengan menuduhnya melakukan pembohongan dan mengancam perpaduan di Indonesia dan Asean, kata akhbar itu.

Mereka mendesak kerajaan supaya mengemukakan bantahan rasmi kepada kerajaan Singapura manakala menggesa Lee membuat permohonan maaf secara terbuka, menarik balik kenyataannya dan menjelaskan kenapa beliau hanya merujuk kepada pemimpin dan rakyat Indonesia.

Menurut satu anggaran, rakyat Indonesia keturunan Cina terdiri daripada kira-kira tiga peratus atau sekitar 6.5 juta orang daripada seramai 220 juta orang penduduk negara itu.

Menurut akhbar itu, selain ketegangan hubungan antara masyarakat Islam dan kaum etnik Cina, hubungan Indonesia-Singapura juga sering tegang.

Sebagai contoh, menurut pakar-pakar, Lee telah membuat beberapa kenyataan yang negatif mengenai Indonesia sebelum ini, di mana yang terakhir adalah dengan sengaja dan dikaitkan dengan permintaan Indonesia supaya Singapura mengekstradisi ahli perniagaan Indonesia keturunan Cina yang terlibat dengan kes penggelapan wang di Indonesia yang telah melarikan diri ke Singapura bagi mengelak daripada didakwa.

Ramai rakyat Indonesia mendakwa Singapura dengan sengaja melambat-lambatkan perbincangan mengenai permohonan ekstradisi berkenaan untuk mengambil kesempatan daripada ahli perniagaan Cina yang melarikan diri ke negara itu setelah menggelapkan wang negara manakala sesetengah yang lain menyatakan kebimbangan mereka terhadap pengambilalihan beberapa syarikat milik negara oleh Singapura.

-- BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=222066

[Dalam artikel saya bertajuk Republik Kangkang Kera Jangan Timbul Angkara, yang saya siarkan dalam
www.kuda-kepang.blogspot.com dan disiarkan oleh www.agenddaily.com serta www.generasi-m.com saya telah membuat cadangan seperti berikut:

Wisma Putra mestilah memanggil Pesuruhjaya Singapura di Kuala Lumpur dengan serta-merta untuk menjelaskan apakah yang dimaksudkan oleh Lee Kuan Yew bila mengatakan bahawa “masyarakat Cina di Malaysia dipinggirkan secara sistematik” oleh Kerajaan Malaysia mutakhir ini.

Wisma Putra juga mesti mendapatkan penjelasan segera daripada Singapura, apakah yang dimaksudkan oleh Lee Kuan Yew bila menyatakan bahawa “Malaysia mahukan Singapura, dengan kata yang mudah, menjadi masyarakat Cina seperti mereka - sikap pak turut.”

Sesudah itu, Kerajaan Malaysia mestilah bertindak dengan sewajar-wajarnya. Negara republik pulau yang luas sekangkang kera itu mestilah diinsafkan supaya ia berhenti daripada bertindak menimbulkan angkara diplomasi dengan Malaysia.

Akhir kata, insafilah bahawa hubungan diplomasi antara dua negara yang berjiran, merdeka, berdaulat dan berwibawa, mestilah dijalinkan atas prinsip keharmonia bersama, kemakmuran bersama, kesejahteraan bersama, keamanan bersama, dan kewujudan bersama.

Lee Kuan Yew mestilah difahamkan dengan hakikat diplomasi dan kejiranan seperti ini. Semua pihak di Singapura yang terus-menerus bersikap kiasu dan kiasi juga mesti menginsafi serta menerima prinsip-prinsp kejiran dan diplomasi seperti ini.

Hingga ke hari ini, banyak pihak di Malaysia sudah pun bersuara mengenai Lee Kuan Yew. Daripada Perdana Menteri, bawalah kepada Timbalan Perdana Menteri dan lain-lainnya. Tetapi, semuanya terlalu berdiplomasi, walaupun Lee Kuan Yew terang-terang celupar dan menghasut.

Inilah Malaysia. Ia berbeza dengan Indonesia yang mengambil tindakan tegas memanggil Duta Singapura untuk menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku dan apa sebenarnya maksud Lee Kuan Yew. – Ruhanie Ahmad.]



JAKARTA TURUT MARAH –
AHLI-AHLI PARLIMEN INDONESIA
TUNTUT KUAN YEW MOHON MAAF

JAKARTA 26 Septmber 2006. – Ahli-ahli Parlimen Indonesia mengambil pendirian sama dengan para pemimpin Malaysia, mendesak Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew memohon maaf secara terbuka kerana mendakwa kaum Cina di negara itu dipinggir secara sistematik.

Mereka turut meminta penjelasan daripada Kuan Yew mengenai kenyataannya itu.
“Kenyataan ini satu pembohongan. Kami amat marah kerana ia menghina Indonesia,’’ kata Djoko Susilo, anggota Suruhanjaya Dewan Perwakilan Rakyat mengenai keselamatan dan hal ehwal antarabangsa.

Djoko, dari Parti Amanat Nasional (PAN), dipetik oleh The Jakarta Post sebagai berkata, diskriminasi atau peminggiran secara sistematik yang didakwa itu tidak berlaku di Indonesia.

“Kini masyarakat Cina boleh menduduki pelbagai jawatan, termasuk dalam tentera. Malahan, kita ada menteri dan wakil rakyat daripada kumpulan ini,’’ katanya.
Lee sebelum ini memberitahu satu forum semasa mesyuarat Bank Dunia-Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) di republik itu bahawa kaum Cina di Indonesia dan Malaysia dipinggir secara sistematik.

Kenyataan itu telah mencetuskan kemarahan pemimpin-pemimpin Malaysia.

Seorang lagi anggota suruhanjaya itu, Amris Hassan dari Parti Demokratik Indonesia-Perjuangan berkata, kenyataan Lee itu boleh menggugat perpaduan di Indonesia dan hubungan baik antara negara ASEAN.

“Ia amat bahaya kerana ada orang mungkin berpendapat peminggiran seperti ini memang berlaku,’’ katanya.

Indonesia mempunyai sekitar enam juta penduduk Cina yang merupakan tiga peratus daripada keseluruhan 220 juta penduduknya.

Lima orang terkaya di Indonesia merupakan etnik Cina dan turut menjadi majoriti dalam kelompok 40 orang terkaya.

Happy Bone Zulkarnain, seorang Ahli Parlimen dari Parti Golkar turut mengkritik kenyataan Kuan Yew.

“Mungkin benar pada masa lalu tetapi bukannya tahun-tahun kebelakangan ini apabila kami secara giat menghapuskan diskriminasi,’’ ujarnya.

“Lihat saja di Parlimen, Kabinet dan kerajaan, kami mempunyai perwakilan etnik Cina, sesuatu yang tidak akan berlaku dalam masyarakat yang mengamalkan diskriminasi.

“Seorang negarawan perlu berhati-hati dengan kesan percakapannya,’’ tegasnya.

Muhammad Hikam dari Parti Kebangkitan Bangsa berkata, diskriminasi berlaku pada masa lalu tetapi ia sudah dihapuskan.

“Amat dikesali bahawa Kuan Yew tidak mengambil kira perkembangan yang sedang berlaku,’’ ujarnya.

Menurut kenyataan Kuan Yew itu lagi amat penting etnik Cina di republik pulau itu bersatu ketika menghadapi jiran-jiran Islamnya, Malaysia dan Indonesia.

Beliau mendakwa, sikap Malaysia dan Indonesia terhadap Singapura banyak dipengaruhi oleh layanan mereka kepada etnik Cina di kedua-dua negara itu.

“Jiran kita mempunyai masalah dengan orang Cina mereka. Mereka (kaum Cina) berjaya. Mereka bekerja keras dan sebab itu secara sistematik disisihkan,’’ dakwa Kuan Yew.
– Agensi
http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0927&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

Tuesday, September 26, 2006

KENYATAAN KUAN YEW
TIDAK BERASAS

MIRI 25 September 2006: Pemuda Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Miri menyelar kenyataan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew berhubung dakwaan beliau bahawa kaum Cina di negara ini dipinggir secara sistematik.

Ketuanya, Lawrance Lai menegaskan, kenyataan Kuan Yew itu bukan sahaja tidak berasas tetapi jauh terpesong daripada realiti kaum Cina di Malaysia.

Justeru katanya, sebagai sebuah parti yang mempunyai keahlian terbesar kaum Cina di Sarawak, Pemuda SUPP kesal dengan kenyataan tersebut yang memberi gambaran salah terhadap kaum Cina Malaysia.

‘‘Latar belakang kaum Cina di Malaysia jauh berbeza dengan Singapura. Kita di Malaysia unik dengan kebolehan kita hidup harmoni dan bertolak ansur dengan rakyat berbilang kaum di negara ini.

‘‘Tiada kaum dipinggir sama ada majoriti mahupun minoriti, kenyataan Kuan Yew mengenai kaum Cina di Malaysia adalah salah,” katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0926&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_04.htm

ORANG LUAR
JANGAN CAMPUR TANGAN

KUALA LUMPUR 25 Sept. – Bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew diminta supaya tidak campur tangan dalam urusan dan hal pentadbiran Malaysia.
Naib Ketua Pemuda MCA, Datuk Ling Hee Leong, berkata, beliau berharap pihak luar tidak sesuka hati mencampuri dasar pemerintahan kerajaan Malaysia.

‘‘Orang lain tak sepatutnya campur tangan dengan polisi kita,’’ katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis sidang media projek Pesta Tanglung Universiti Malaya 2006 (PTUM 06) di sini.
.
Hee Leong ketika disoal sama ada beliau bersetuju supaya Kuan Yew meminta maaf secara terbuka menjawab, perkara tersebut bergantung kepada keputusan kerajaan.

Tegasnya, sekira kerajaan meminta supaya Kuan Yew meminta maaf pada pemerintah dan rakyat Malaysia, beliau akan turut menyokong desakan tersebut
.
‘‘Wajar atau tidak kita mendesak Kuan Yew, tertakluk pada kerajaan. Saya setuju apa jua tindakan mereka menangani hal tersebut,’’ katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0926&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_03.htm

KUAN YEW DIGESA
HENTIKAN TOHMAHAN

KUALA LUMPUR 25 September 2006: Pergerakan Pemuda UMNO Johor mahu bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew menghentikan segera segala tohmahan yang tidak berasas terhadap setiap perkara berkaitan negara ini.

Ketuanya, Razali Ibrahim berkata, Kuan Yew perlu mengambil perhatian serius terhadap saranan tersebut kerana ia boleh memberi kesan negatif ke atas hubungan antara kedua-dua negara sekiranya sikap seperti itu diteruskan.

Beliau berkata, selain itu ia juga boleh mengelakkan sebarang tindakan berbentuk provokatif yang mungkin boleh berlaku di kalangan rakyat negara ini.

‘‘Jika ini terjadi, Kuan Yew perlu dipertanggungjawabkan sepenuhnya kerana beliaulah yang menjadi punca timbulnya masalah ini. Dalam hal ini Kuan Yew lebih baik diam daripada terus bercakap,‘’ katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, UMNO Johor mahu sebarang projek yang lebih menguntungkan Singapura daripada rakyat negara ini dibatalkan, termasuk projek kereta api laju Kuala Lumpur ke republik itu.

Razali berkata, Kuan Yew sebenarnya melahirkan kekecewaan dan kegagalan silam beliau.

‘‘Kenyataannya akan menghukum generasi akan datang,’’ katanya.

Beliau turut mengingatkan Kuan Yew agar tidak menyamakan rakyat Malaysia seperti rakyat Singapura yang boleh ‘diprogramkan’
.
Dalam hubungan ini, Razali berkata, telah tiba masanya negara melaksanakan apa jua jenis peraturan ke atas rakyat negara itu yang selama ini tertangguh.

Antaranya kata beliau, seperti mengenakan caj kepada kenderaan negara itu yang masuk ke negara ini.

‘‘Ini bukan soal kita hendak membalas tindakan Kuan Yew tetapi lebih merupakan tanda ketegasan terhadap kerajaan Singapura,’’ ujarnya.

Dalam perkembangan sama Razali berkata, sejak dahulu lagi khususnya Kuan Yew sukar mengakui kaitan republik itu dengan Malaysia.

‘‘Mereka seboleh-bolehnya enggan mengaitkan Singapura dengan Malaysia walaupun sejarah ada mencatatkan bahawa Singapura pada satu masa dahulu adalah sebahagian daripada Malaysia,’’ tambahnya.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0926&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_01.htm
KOMEN KUAN YEW
TAKTIK LAPUK’

KUALA LUMPUR 25 September 2006: Pergerakan Pemuda UMNO menganggap kenyataan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew bahawa orang Cina di negara ini dipinggirkan secara sistematik sebagai taktik lapuk yang digunakan untuk menakutkan rakyat negara itu sendiri.

Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sudah menjadi kebiasaan Kuan Yew yang juga bekas Perdana Menteri republik itu membuat kritikan serta mencari keburukan Malaysia untuk mengukuhkan kedudukannya dan juga Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Justeru, katanya, Pemuda UMNO mahu Kuan Yew supaya berhenti menggunakan taktik tersebut yang dilihat sebagai tidak menghiraukan perasaan jiran, berbaur hasutan serta boleh menjejaskan keharmonian kaum di Malaysia.

“Ketika dia (Kuan Yew) menjadi Perdana Menteri Singapura dulu pun, semua sekolah Cina di negara itu ditutup.

“Sedangkan kerajaan Malaysia masih membenarkan sekolah Cina dibuka sehingga kini, termasuk sekolah persendirian,’’ katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Beliau mengulas kenyataan Kuan Yew semasa mesyuarat Bank Dunia-Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) di republik itu Jumaat lalu.

Menteri Mentor itu mendakwa bahawa orang Cina di Malaysia dan Indonesia dipinggirkan secara sistematik.

Pemuda UMNO juga, kata Hishammuddin, menyarankan agar Kuan Yew dan Singapura lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan kerana ia boleh menjejaskan hubungan dua hala kedua-dua negara.

“Singapura sepatutnya bersyukur mendapat jiran yang baik seperti Malaysia,’’ katanya.

Beliau turut menyatakan, Barisan Nasional (BN) yang mentadbir negara ini mempunyai strategi dan pendekatan sendiri untuk mentadbir masyarakat majmuk Malaysia.

“Sekiranya Singapura tidak pernah menghiraukan komen dan pandangan pemimpin Malaysia mengenai kehidupan serta status orang Melayu di sana, maka Pemuda UMNO meminta supaya Kuan Yew sedar diri dan tidak masuk campur dalam hal ehwal pentadbiran negara ini.

“BN lebih berpengalaman dalam aspek mengurus masyarakat pelbagai kaum dan sudah lama mempraktikkan formula perkongsian kuasa dalam kerajaan,’’ tambahnya.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0926&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm