Saturday, September 10, 2011

Tragedi 911 Bahagian 1: Menilai semula punca -puncanya

RUHANIE AHMAD

Masyarakat dunia perlu menilai semula matlamat sebenar perang terorisme global di Afghanistan mulai 7 Oktober 2001, di Asia Tenggara mulai Januari 2002, dan di Iraq mulai Mac 2003 berikutan tragedi 911 yang dipropagandakan oleh Amerika Syarikat (AS) sebagai angkara militan muslim, khususnya Al-Qaeda.

Penilaian ini penting disebabkan tragedi 911 yang meranapkan Menara WTC di New York dan sebahagian Ibu Pejabat Pentagon di Washington DC, AS, pada pagi 11 September 2001 kini semakin dipertikaikan oleh pelbagai pihak, termasuk profesional di bidang senibina, kejuruteraan struktural, pakar bom, pakar peletupan terancang, pakar penerbangan, pakar kimia dan juga ahli politik di AS.

Intipati kepada hujah dan pendapat kumpulan di atas ialah: tragedi 911 bukannya angkara militan Islam antarabangsa. Oleh sebab itulah mereka mendesak diadakan siasatan semula yang lebih bebas dan mendalam mengenai punca-punca tragedi berkenaan.

Dalam pada itu, terdapat golongan di AS yang kini mendakwa bahawa tragedi tersebut adalah suatu tindakan yang dirancang oleh sesetengak kelompok dalam kerajaan AS sendiri dengan bantuan kuasa asing yang mempunyai pengaruh besar terhadap politik AS.

Oleh sebab itulah secara peribadi, saya sentiasa meragui kebenaran punca-punca tragedi 911 versi kerajaan AS. Walaupun Kerajaan AS sudah mengeluarkan laporan rasminya mengenai tragedi ini menerusi buku the 9/11 Commission Report, buku ini pula disanggah oleh Cover up: what the government is still holding about the war on terror oleh Peter Lance (2004).

Seterusnya terdapat buku 9/11 synthetic terror: made in USA oleh Webster Griffin Tarpley (2008). Sebelumnya, Han Blix bekas ketua IAEA pula menerbitkan buku The search for weapons of mass destruction: disarming Iraq (2004) dan Scott Ritter selaku bekas ketua penyiasat senjata di Iraq pada 1991 pula menerbitkan buku War on Iraq: what team Bush does’t want to know (2002) dan Eric Alterman dan Mark Green menulis mengenai The book on Bush: how George W (mis)leads America (2004).

Seluruh karya ini meragui tragedi 911 dan membayangkan bahawa perang teror di Iraq mulai 2003 adalah tidak berkaitan dengan senjata pemusnah yang kononnya dimilikki oleh Saddam Hussein yang telah pun mati di tali gantung akibat dakwaan tersebut.

Sempena ulangtahun 911 kali ini, wajarlah umat sejagat menilai semula punca-punca tragedi ini supaya AS tidak terlalu berleluasa dalam pelaksanaan perancangan strategi agungnya di abad ke-21.

1 comment:

Anonymous said...

Al-Fatiha