Wednesday, September 07, 2011

Kontroversi Mat Indera-Mat Sabu: Perlukah dimunculkan pelukut di tepi gantang atau penangguk di air keruh?

Ruhanie Ahmad

Di bawah ini saya muat-turunkan sebahagian berita daripada Utusan-online dengan tajuk Saya tetap mahu Mat Sabu – Khairy

KUALA LUMPUR 6 Sept. - Meskipun Mohamad Sabu enggan berdebat dengan Khairy Jamaluddin, namun Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu tetap mendesak Timbalan Presiden Pas tersebut supaya menyahut cabarannya.

Katanya, 'kebaculan' Mohamad atau Mat Sabu membuktikan pemimpin Pas itu hanya gemar 'mengacah' tanpa menunjukkan keikhlasan terhadap apa jua perkara terutama yang melibatkan kepentingan agama, bangsa dan negara.

Beliau baru menerima e-mel daripada Kerajaan Pas Kelantan memaklumkan debat antara beliau dan Mat Sabu dibatalkan kerana Timbalan Presiden Pas itu enggan berdebat dengannya.

"Saya tidak mahu Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Khalid Abdul Samad mahupun Ketua Pemuda Pas Johor, Suhaizan Kayat.

"Apa kurangnya saya? Saya Naib Presiden Biro Politik UMNO, saya berpengalaman berdebat dengan ramai pemimpin Pas seperti Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa dan Khalid sebelum ini.

"Kesimpulannya, Pas sebenarnya telah panik setelah cabaran parti tersebut terhadap saya disahut dengan hati yang terbuka. Tanggapan Pas yang UMNO hanya akan berdiam diri telah tersasar jauh," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Untuk membaca berita sepenuhnya klik link berikut:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0907&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_04.htm



Setelah membaca berita ini, anda nilailah sendiri bagaimana kontroversi Mat Indera-Mat Sabu kini mula menjurus kepada proses melukut di tepi gantang atau menangguk di air keruh.

Perkembangan seperti ini tidak perlu. Kenyataan Datuk Mustafa Ali selaku Setiausaha Agung PAS hari ini sudah cukup untuk membuktikan bahawa keterlanjuran Mat Sabu dalam konteks isu Mat Indera memang sedang menjejaskan integriti PAS dan juga menghakis sokongan segolongan rakyat Malaysia terhadap PAS dengan secara drastik.

Dengan itu, semua pihak dalam UMNO wajar bersikap bijaksana untuk menginsafi bahawa kontroversi ini sebenarnya merupakan satu fenomena yang self-destructive kepada PAS.

Lantas apa faedahnya untuk engage Mat Sabu berdebat setelah Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO serta lain-lain pemimpin kanan UMNO memberikan pukulan hebat mereka kepada PAS sejak seminggu yang lalu?

Kesimpulannya, biarkan sahaja Mat Sabu berada dalam keadaan seperti Si Luncai yang terjun dengan labu-labunya, dan PAS pula terus mengalami kerosakan imej dan integriti akibat perilaku Mat Sabu yang self-destructive ini.

1 comment:

Anonymous said...

Melayu

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu di tanah
Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu,
Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani,
semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah muaalaf bertakrif Melayu.

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali

Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.

Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing

Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan

Hebat amuknya tak kenal lawan Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:

Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan

Jika percaya kepada keadilan
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya

Menjadi tuan di negara Merdeka.

- USMAN AWANG -