Friday, August 31, 2007

Mimpi Besar Di ambang Dewasa

Limapuluh tahun adalah usia emas, matang dan dewasa. Lantas sambutan ulangtahun ke-50 kemerdekaan negara juga bukannya satu upacara biasa yang cukup sekadar diraikan dengan dendangan lagu-lagu patriotik dan kibar-kibaran jalur gemilang. Atau pun, sempurna sudah sambutan jubli emas kemerdekaan negara bila bunga api berdentam-dentum merona angkasa dengan keindahan yang amat singkat dan terlalu sementara.

Kedewasaan usia ini sebenarnya mempunyai tuntutan lebih besar dan lebih syahadu daripada itu. Ia menuntut satu upacara sambutan yang memancarkan kebanggaan bangsa serta keunggulan tamadunnya di bumi merdeka. Ia menuntut siri ucapan segar penuh tenaga dari para pembesar untuk memperkasa dan menyemarakkan lagi tekad, azam, cita-cita dan daya juang anak-anak bangsa dalam perjuangan mecipta kegemilangan di hari muka.

Maka, malang sekali kalau kita hanya menerima hamburan retorika kosong yang diluahkan secara cempelung-cempelung bagaikan madah si Lebai Malang yang amat pemurah kepada pedagang biarpun anak di rumah mati kebuluran. Lebih malang lagi kita kalau jeritan merdeka yang dilaungkan di usia dewasa ini adalah hambar seperti gegak gempita sorak-sorainya si Pak Kadok yang sentiasa lalai bahawa kampung halamannya telah lingkup digolok-gadai.

Maka, apa harus kita lakukan? Adakah kita mahu terus-terusan membalut jiwa kita yang terluka akibat warna dan suasana yang cacamarba? Adakah kita hanya mahu terus berdiam diri, berpeluk tubuh jadi pemerhati, dengan rasa hampa campur kecewa yang amat pilu menusuk kalbu? Adakah kita mahu izinkan terus supaya diusia merdeka sedewasa limapuluhan ini pun masih wujud segolongan pembesar warga yang berjiwa hamba dengan pemikiran kelas ketiga?

Lantaran itu, tidakkah perlu kita bersama-sama menyusun gerak satu perjuangan berjuta langkah? Tidakkah wajar sama-sama kita bangkitkan suatu gagasan perjuangan sejati membela pertiwi? Tidakkah bijaksana kalau sama-sama kita isi kemerdekaan bumi tercinta ini dengan program dan dasar yang berilhamkan kegemilangan silam, sejarah silam dan tamadun silam, di mana paksinya adalah kegemilangan Melayu dan kecemerlangan Islam?

Sama-samalah kita doakan semoga angan-angan gerak kebangkitan seperti ini bisa jadi satu kenyataan untuk memusnahkan segala bentuk kemungkaran dan kebejatan yang sedang bermaharajalela di sekeliling kita pada hari ini. Mudah-mudahan juga, gagasan perjuangan seperti ini menjelma jadi satu realiti untuk memulihkan semula kesepaduan dan keserasian ssistem kenegaraan Malaysia mutakhir ini, iaitu sistem Raja Berperlembagaan yang disendikan oleh prinsip Demokrasi Berparlimen.

Pada waktu yang sama, teruskanlah usaha kita untuk memanjatkan doa kepada Allah Yang Maha Kuasa supaya dilindungilah bumi tercinta ini dari kepura-puraan, dihindarkanlah bumi tercinta ini dari kemusnahan, supaya barisan pimpinan warga tanpa nama yang mungkin muncul suatu ketika nanti, diberikan petunjuk Allah SWT untuk menuju ke arah jalan perjuangan yang lurus dan benar.

Demikianlah gagasan mimpi besar dikala usia kemerdekaan negara kita kian mendewasa seperti pada hari ini. Moga-moga agama kita terus mulia syiarnya, bangsa kita sentiasa unggul darjatnya, negara kita tetap mantap kedaulatannya, dulu, kini dan selamanya.

Daulat Tuanku!!! Merdeka!!! – Ruhanie Ahmad

3 comments:

Unknown said...

salam sejahtera,
Maaf jika saya berfikiran luar daripada kotak dalam blog datuk. Walaupun begitu, saya inginkan agar minda bangsa kita terus dimajukan agar tidak mudah diperdaya.

Menjelang 50 tahun kemerdekaan, saya tidak lagi mengangapnya sebagai detik bangsa kita bebas daripada belenggu penjajah. Mungkin disebabkan oleh propaganda yang terlalu sangat tentang kemerdekaan ini membuat saya berfikir adakah benar bangsa kita telah dijajah pada masa dahulu? Saya kira ini adalah lebih patriotik. Cerita-cerita sejarah yang saya ketahui serba sedikit ketika zaman persekolahan mengingatkan saya tentang watak-watak penting bangsa kita. Mereka berjuang. Berjuang untuk apa? menuntut kemerdekaan TM daripada inggeris? atau mereka sememangnya sedar dan tahu bahawa mereka adalah bangsa yang merdeka dan berkuasa di tanah air sendiri lantas mereka berjuang mempertahankan kemerdekaan dan daripada tipu daya bangsa asing. Bagi saya perjuangan Dato' Onn dan kesatuan-kesatuan melayu lain pada masa itu adalah lebih suci daripada memerdekakan TM. Adakah mereka mahu mengaku bahawa mereka adalah bangsa yang pernah dijajah dan berbangga dengan laungan kemerdekaan sedangkan mereka adalah pejuang-pejuang yang tahu mereka adalah bangsa yang sedia merdeka.

Saya semakin bosan dan gusar apabila melihat bangsa kita semakin lupa erti perjuangan dato' Maharaja lela. Mereka tidak pernah mengaku dijajah dan tidak rela sekali-kali dijajah. Tipu helah bangsa asing dan kelemahan bangsa melayu pada ketika itu yang menjadikan bangsa kita hampir tergadai dan terjajah. Namun akhirnya, muncul beberapa tokoh yang bijak dan sedar akan tipu daya ini bertindak menyedarkan bagsa agar bangkit menunjukkan kuasa. Persoalannya adakah bangsa kita pernah dijajah? Apa erti merdeka sekarang? Merdeka yang sering kita laungkan? mungkin inilah juga agenda bangsa asing untuk melemahkan bangsa kita sekali lagi dan agenda ini juga boleh diulang semula oleh sesiapa jua untuk melemahkan generasi kita hari ini.

Bagi saya adalah manis dan bermakna jika jasa dan pengorbanan pejuang bangsa dahulu diingati sebagai mereka yang berjaya mempertahankan kesucian dan kemerdekaan TM daripada bangsa asing. Mungkin orang akan berkata bahawa saya tidak berpijak dibumi yang nyata dan malu mengaku bahawa bangsa kita pernah dijajah. Namun saya tetap berpandangan bahawa bangsa melayu telah sedia merdeka sejak dahulu lagi. Tanggal 31 Ogos 1957 sepatutnya menjadi detik kejayaan bangsa kita menunjukkan siapa lebih berkuasa di TM dan akhirnya berjaya mengusir bangsa asing daripada TM. Bukan menjadi detik TM merdeka atau bebas daripada penjajah. Jika kita tukar cara berfikir dan memandang sejarah daripada sudut yang mendatangkan kebaikkan yang lebih besar kepada bangsa kita itu adalah lebih baik.

Jika ini kita hayati maka kita akan menjadi bangsa yang tahu bahawa kita adalah bangsa yang kuat. Bukan bangsa yang pernah dijajah dan tiap kali menjelang detik 31 ogos kita mengulangnya dan meraikannya sebagai memperingatinya sebagai detik bangsa kita berjaya membebaskan TM daripada penjajah dan menceritakan kelemahan bangsa sendiri kepada semua. Apa ertinya semua itu? apakah salah jika kita menyatakan sebaliknya. Seorang tokoh pejuang bangsa yang tulin pasti tidak akan bersetuju jika kita menyatakan bahawa kita telah dijajah. Mungkin mereka lebih rela jika dikatakan mati kerana berjuang mengekalkan kemerdekaan.
Mungkin Dato' Onn bersetuju dengan pandangan saya jika beliau masih hidup.

Sesungguhnya sangatlah berbeza makna istilah berjuang mempertahankan kemerdekaan daripada istilah berjuang memerdekakan TM.

Saya adalah sama dengan semua rakyat Malaysia yang hidup pada hari ini. Bezanya saya mengingati sejarah lepas sebagai kejayaan bangsa saya menunjukkan bahawa mereka adalah bangsa yang kuat dan berkuasa di tanah air sendiri. Saya dan semua rakyat Malaysia hari ini adalah bangsa yang merdeka sejak dahulu lagi..fikir bahawa kita bukan bangsa yang terjajah tetapi kita adalah bangsa yang cuba di jajah dan berjaya melepaskan diri daripada dijajah dan dapat menjaga maruah dan nilai bangsa sendiri.

Kita juga adalah bangsa yang kuat dan berani mempertahankan tanah air daripada ancaman kuasa-kuasa yang cuba menjajah kekayaan dan kemakmuran negara kita pada hari ini juga yang cuba menindas kita. Namun dimanakah kekuatan itu sekarang?? sayang hilang kerana kita sering dilemahkan oleh propaganda yang sering menyatakan bahawa kita adalah bangsa yang lemah dan pernah dijajah.. moga akan lahir jelmaan Dato' Onn dan pejuang-pejuang bangsa mempertahankan kesucian bangsa dan tanah air daripada tipu daya mereka-mereka yang gilakan harta, pangkat dan nama.

Harap Datuk dapat siarkan pandangan saya bagi mengembalikan kekuatan bangsa melayu.

kudakepang said...

Terima kasih Azlan. Komen anda sungguh segar. Saya poskan sepenuhnya dalam blog www.puteramalaysia.blogspot.com

Salam perjuangan.

Daulat Tuanku!!! Merdeka!!!

Unknown said...

Orang kita mesti insaf. Musuh hari ni guna jalan ekonomi untuk menjajah. Kalau pemimpin kita lalai dan leka, kita minta Agong ingatkan dia orang pasal perkara ni. Kalau pemimpin kita lemah, kita minta Agong tegur dia. Kalau tak boleh tegur, Agong kenalah gunakan kebijaksanaan yang ada.