Tuesday, August 21, 2007

Abdullah Ahmad Badawi
Patriot Malaysia Sejati?

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dipetik oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan Ahad lalu sebagai berkata bahawa “a true Malaysian patriot loves Malaysia and all Malaysians.” Maksudnya, seorang patriot Malaysia yang sejati mencintai negaranya dan rakyat jelatanya.

Saya cukup bangga dengan kenyataan seperti di atas. Ianya cukup hebat. Ia juga mengandungi makna yang luas dalam konteks kemerdekaan, kedaulatan, integriti serta kredibiliti negara-bangsa Malaysia.

Lantaran itu, sempena bulan kemerdekaan ini, izinkan saya bertanya kepada Perdana Menteri, di manakah letaknya diri anda dalam konteks kenyataan anda sendiri bahawa “a true Malaysian patriot loves Malaysia and all Malaysians” ini?

Saya lontarkan pertanyaan ini secara direct kepada Perdana Menteri bukan untuk memperkecil-kecilkan kebijaksanaan serta wisdom beliau dalam menguruskan Malaysia mutakhir ini.

Sebaliknya, saya lontarkan pertanyaan di atas kepada beliau kerana saya khuatir kata-kata bahawa “seorang patriot Malaysia yang sejati mencintai negaranya dan rakyat jelatanya” ini mungkin boleh dijadikan bahan menempelak kepimpinan Malaysia mutakhir yang sedang beliau terajui.

Ini kerana persepsi umum terhadap Perdana Menteri pada ketika ini seolah-olah tidak merelakan beliau disifatkan sebagai pembesar yang menepati kenyataan bahawa “seorang patriot Malaysia yang sejati mencintai negaranya dan rakyat jelatanya.”

Kalau Perdana Menteri benar-benar seorang “patriot Malaysia yang sejati” kenapakah beberapa keputusan dan tindakan beliau telah mewujudkan persepsi umum seolah-olah beliau tidak “mencintai negaranya dan rakyat jelatanya” dengan setulus dan seikhlas jiwa dan raganya?

Kenapakah persepsi umum ketika ini seolah-olah menjurus ke arah hakikat bahawa Perdana Menteri seakan-akan sedang dilanda satu krisis kepimpinan dan keyakinan yang amat tenat dengan nasib rakyat jelata dan maruah serta kedaulatan negara jadi collateral damagenya?

Saya sentiasa mahu menyakini bahawa Perdana Menteri Malaysia mutakhir adalah patriot Malaysia yang sejati. Lantaran itu, beliau mesti mempunyai semangat perjuangan dan pengorbanan yang tulen lagi abadi terhadap negara dan rakyat jelatanuya.

Semangat ini perlu wujud atas dorongan sifat dan sikap keikhlasan, kesanggupan, kesungguhan, dedikasi dan komitmen Perdana Menteri untuk mempertahankan kemerdekaan negara dan memelihara kedaulatan bangsanya pada setiap masa.

Lantaran itu, Perdana Menteri yang telah meluahkan kenyataan bahawa “a true Malaysian patriot loves Malaysia and all Malaysians” atau “seorang patriot Malaysia yang sejati mencintai negaranya dan rakyat jelatanya” mestilah bertindak dengan sejujur-jujurnya untuk mempastikan kemerdekaan, kedaulatan, integriti, kredibiliti, kepentingan, kemajuan, kejayaan, kemakmuran, kesejahteraan, keharmonian, perpaduan, ketenteraman, keamanan dan kelangsungan negara dan rakyat jelata Malaysia tidak akan diganggu-gugat oleh sesiapa atau digolok-gadaikan kepada sesiapa.

Kalau tidak, kenyataan Perdana Menteri mengenai patriot dan patriotisme Malaysia seperti di atas tidak akan membawa sebarang impak positif jika ia hanya diluahkan daripada dasar jiwanya semata-mata sebagai satu retorika indah untuk menukar persepsi segolongan rakyat jelata yang bersikap kritikal terhadap kepimpinan beliau pada hari ini.

Oleh itu, kenyataan di atas mesti diartikulasikan, dihayati, diinsafi dan dijadikan panduan pucuk pimpinan negara dalam menguruskan negara ini demi mempastikan kedaulatan, kesejahteraan, dan keselamatan negara dan rakyat jelatanya sentiasa terplihara dan dilindungi pada setiap masa.

Saya tidak berniat menghuraikan mengapakah Perdana Menteri perlu membuat satu penilaian diri terhadap persoalan kesejatian patriotisme beliau terhadap Malaysia dan rakyat jelatanya pada ketika ini.

Cukup sekadar saya nyatakan bahawa mandat besar yang rakyat jelata berikan kepada beliau menerusi Pilihan Raya Umum (PRU-11) nampaknya belum cukup dibuktikan dengan tindakan dan kenyataan yang boleh memperkasakan maruah dan kedaulatan negara tercinta ini.

Dalam proses penilaian diri di ambang sambutan kemerdekaan negara di dasawarsa kelima ini, Perdana Menteri wajar mengambilkira kenyataan dan tindakan beliau selama ini, perlu menyorot karenah dan perilaku segelintir individu di sekitar beliau pada ketika ini, menuntut beliau mengkaji sama ada dasar bilateral Malaysia dengan Singapura ketika ini benar-benar secocok dengan usaha melindungi kemerdekaan dan kedaulatan Malaysia, dan adakah janji-janji beliau terhadap ketelusan dan akauntabiliti dalam kepimpinannya sudah ditunaikan seikhlas-ikhlasnya.

Saya menuntut keikhlasan Perdana Menteri menjawab pentanyaan di atas kerana tiada faedahnya beliau meluahkan bingkisan hatinya kepada rakyat jelata Malaysia bahawa “a true Malaysian patriot loves Malaysia and all Malaysians” atau “seorang patriot Malaysia yang sejati mencintai negaranya dan rakyat jelatanya” jika retorika itu akhirnya akan menyebabkan beliau mungkin digelar sebagai seorang pembesar yang hanya bijak mengeluarkan kata-kata untuk menepati maksud peribahasa, cakap berdegar-degar tetapi najis tersangkut di gelegar!

Maka, di ambang kemerdekaan Malaysia yang ke-50 tahun ini, kajilah dan insafilah sama ada benar dakwaan-dakwaan yang mengatakan bahawa “ada sesuatu yang sangat busuk” sedang kita hidu di sekeliling kita pada ketika ini? Kalau memang ada, bersihkanlah kebusukan itu dengan segera. Kalau ada kepincangan, perbetulkanlah segala-galanya dengan serta-merta.

Ini kerana pilihan sama ada Malaysia mahu muncul sebagai negara paling terbilang di kalangan yang gemilang, atau mahu jadi negara yang paling bangsat di kalangan yang melarat, adalah terserah kepada kesudian dan kesanggupan pucuk pimpinan kita melaksanakan corrective measures demi memelihara dan mempertahakan kemerdekaan dan kedaulatan negara ini untuk manfaat negara, agama dan bangsa tercinta! – Ruhanie Ahmad

8 comments:

Unknown said...

Assalamualaikum datuk.

Lepas baca blog Hamizi saya ke blog datuk pulak. Mata blm tido ni, baru je lepas mengobat orang.Bolehlah mengobatkan org yang dikena guna2, masalah keluarga, mcm2lah tapi tak mau promosilah datuk. Maaf datuk..keluar topik pulak.

Saya dah lama tak langgan akhbar datuk khususnya Kum media prima. TV pun saya tak tonton. Nasib baik ada astro. Jadi tak tau ada pulak berita mcm tu.

Ya lah kalau PM dah kata dia patriotik tulin dan sejati yang cintakan tanahairnya dan seluruh rakyatnya , alhamdulillah jika beliau mempraktikkan apa yang dia kata tu datuk. Setakat ni memang saya tak pernah lah terdengar Pak Lah marah pada rakyat..dia sayang pada rakyat..gaji dinaikkan, umur bersara nak dipanjangkan, ada koridor sana, sini, situ dan sinun pun nak buat. Yang dah bersara pun di sambung kontreknya. Banyak dah Pak Lah cuba buat datuk, roadtax pun dah dikurangkan.

Kita nak tunggu manefesto PRU kali ni pulak. Dia nak tolong orang kampong lagu mana. Drebar teksi lagu mana. Orang beca lagu mana.Kita harap Pak Lah akan bantu pengganggur dikalangan graduan, serapkan pekerja sementara ke jawatan tetap dalam kerajaan dan badan berkanun sebelum pilihan raya.

akhir sekali diharap Pak Lah pastikan agar tidak se inci pun tanah air ini berpindah ke negara asing walau dalam apa bentuk sekali pun.

wassalam.

:: Alimin Othman :: said...

Datuk,

"Seorang patriot Malaysia yang sejati mencintai negaranya dan rakyat jelatanya."

Semoga ianya menjadi satu doa untuk Pak Lah. Sama-samalah kita pakat 'amin' kan!

Amin...

Husin Lempoyang said...

Inilah tabiaat akhir zaman kegemilangan - lebih slogan dan pelancaran.

Dah tiga tahun masuk empat dan mungkin setengah jam sudah warmup, mana serangannya, mana tangkisan serangan dan mana goalnya?

Yang nyata, kita tidak serupa tidak menyerang. Yang nyata, pintu gol asyik tulus bila diserang. Yang paling nyata, jumlah gol masih korong.

Pasukan masih menunggu striker nombor 10 yang kononnya masih warmup tetapi leka dengan pujian nombor 10 sama dengan Pele hingga terlena ditengah padang.

AFRAR YUNUS said...

“seorang patriot Malaysia yang sejati mencintai negaranya dan rakyat jelatanya”
salam datuk,
kita bimbang dakwaan ini hanya dituliskan oleh pembodek yg dilantik mengetuai akhbar atau media perdana. lama kelamaan persahabatan dgn pengimpal besi di media ini sedikit sebanyak akan memercikkan apinya. masa itulah akan dirasakan kepanasannya.

Hamizi Hamdan said...

ya... itulah tanda-tanda pilihan raya nak hampir...

saya ada banyak nak komen:

1. pasal permintaan MCA kepada Pak Lah... dan samy vellu mengambil nota untuk mintak macam-macam pulak lepas ni...

2. pasal sesetengah pemimpin yang mengaku lebih patrioritik daripada orang lain...

3. pasal orang tua yang tak tahu apa-apa pasal blog menuduh bloggers sebagai pondan...

4. pasal macam-macam lagi...

tapi kena tunggu selepas malam esok... sebab esok malam ada mid-term exam...

Husin Lempoyang said...

Dengan skandal Port Klang Free Zone begitu besar, mungkin kah ini akan melambatkan?

kudakepang said...

Haji, Mohd Alimin, Husin, Afrar dan Hamizi. Terima kasih.

Haji: Harap hubungi saya kalau terluang masa. Agak urgent kerana saya perlukan bantuan anda. Harapan anda semoga PM "pastikan agar tidak seinci pun tanahair ini berpindah ke negara asing, walau dalam apa bentuk sekali pun" sangat-sangat saya sokong dan setujui.

Mohd Alimin: Harapan anda semoga kata-kata PM bahawa "seorang patriot Malaysia yang sejati mencintai negaranya dan rakyat jelatanya" akan jadi doa kepada diri PM sendiri adalah satu harapan yang abadi. Harapan ini dikongsikan oleh sebilangan besar kita semua.

Husin: Kisah striker no 10 itu menarik. Harap-harap ramai memahami ertinya. Begitu juga dngan skandal terbaru di Pelabuhan Klang. Harap-harap ianya tidak jadi satu bom jangka yang akan meletup tak lama lagi dan membinasakan kita semua.

Afrar: Pandangan anda mengenai spin-master memasukkan kenyataan mengenai patriot sejati ke mulut PM, mungkin benar. Tapi PM sbagai PM seharusnya insaf bahawa kata-kata itu mulia dan perlu dibuktikan dengan tindakan sewajarnya.

Hamizi: Teruskan usaha mengejar kecemerlangan untuk diri, keluarga, nusa, agama dan bangsa.

Salam takzim daripada saya.

Unknown said...

Datuk, saya gembira Pak Lah cakap macam yang Datuk poskan ni. Tapi, saya nak tanya sikit, ada tak sapa-apa yang punya bukti kononnya ada sejumlah RM840 juta mengalir masuk ke Malaysia menerusi causeway untuk sesuatu tujuan politik selepas TDM umum yang dia tak mau lagi jadi PM dan Presiden UMNO.

Saya tanya hal ni pasal saya dengar ramai juga orang sok-sek citer ni kat kedai kopi di KL. Betul ke tidak? Kalau betul, ini bahaya pada kita. Bahaya kerana mana tau kalau-kalau duit tu boleh jadikan sesetengan pembesar kita lemas dan negara ni jadi bahan mega sale!!!

Saya harap sapa-sapa yang tau hal ni, tolonglah bagi tau ya!!! Saya nak cakap-cakap kedai kopi ni dibuktikan. Kalau tak, baik kita jangan masuk campur. Tapi, kalau betul, macam mana pulak??