Wednesday, August 22, 2007

Nostalgia Era Pra-Merdeka:
Rumah Kayu Dan Anai-Anai

Hari ini saya sangat-sangat merindui kampung halaman dan sejarah silamnya. Sebab itulah saya buat posting mengenai kisah anai-anai. Serangga perosak ini pernah jadi musuh nombor satu kepada keluarga saya di zaman pra-merdeka. Ini kerana satu armada anai-anai pernah memusnahkan seluruh tiang, belebas dan kuda-kuda rumah kayu milik keluarga saya pada ketika itu.

Akibatnya, pada suatu malam, tanpa ribut dan tanpa taufan, rumah kayu itu pun runtuh. Keluarga saya pun dicengkam dharurat. Pada tengah malam buta itu juga Ayah, Ibu, Adik dan saya sendiri terpaksa berpindah ke rumah Atuk kira-kira empat kilometer jauhnya.

Keesokan harinya, Ibu tidak keluar menorah getah. Ayah tidak keluar untuk berkebun. Adik dan saya sendiri tidak ke sekolah di siang hari dan tidak pergi mengaji Quran di sebelah malam.

Kami empat beranak terpaksa ke hutan di hujung kampung. Kami menebang beberapa batang kayu untuk menggantikan seluruh tiang, belebas dan kuda-kuda yang telah ranap dibaham armada anai-anai.

Seksa kami dibuatnya. Selama tiga hari suntuk kami menebang kayu di hutan dan membawa kayu tersebut balik ke rumah dengan menggunakan basikal usang.

Empat hari berikutnya, kami empat beranak dengan bantuan dua orang jiran, bertungkus lumus membina semula rumah yang telah runtuh dibaham anai-anai. Selepas itu, sehari suntuk lagi kami sibuk membersihkan persekitaran rumah daripada tiang, belebas dan kuda-kuda kayu yang telah reput dibaham anai-anai. Seluruhnya kami himpun dan kami bakar sehingga menjadi debu. Kesemua armada anai-anai itu pula kami pijak dan injak-injak sehingga lunyai urat, tulang dan dagingnya.

Begitulah bahana armada anai-anai yang telah menyusup ke rumah kami secara senyap-senyap. Kami tidak menyedari kedatangannya. Kami juga tidak pernah berwaspada akan bahayanya.

Bila rumah kayu kami runtuh menyembah bumi, kami jadi haru-biru. Mulai hari itu, Ayah menasihati Adik dan saya sendiri akan bahaya anai-anai terhadap kesejahteraan dan keselamatan sesebuah rumahtangga dan penghuninya. Sebab itulah sehingga hari ini pun saya sentiasa terdidik untuk sentiasa berwaspada terhadap anai-anai dan bahayanya.

Tetapi, dalam zaman moden yang serba canggih ini tentunya banyak pihak berasa lucu kalau saya meminta kita semua berwaspada akan bahaya anai-anai. Kata mereka, apa nak pecahkan otak pasal anai-anai. Panggil sahaja pakar kawalan serangga, habis cerita.

Pihak-pihak yang beranggapan begitu memang betul. Apa pasal di zaman rumah kayu hanya jadi nostalgia silam, kita perlu pening kepala tentang armada anai-anai dan bahayanya? Tetapi, bagaimana kalau kisah anai-anai yang telah meruntuhkan rumah kayu keluarga saya itu kita halusi secara puitis dan satirikal. Cuba kita fahami maksudnya secara tersirat. Cuba kita rungkai bahayanya secara kiasan.

Waspadalah. Anai-anai adalah serangga perosak. Armadanya datang secara menyusup. Kehadirannya sukar dilihat oleh mata kasar. Tetapi, bahaya kerosakannya pasti boleh menyebabkan suatu dharurat – besar atau kecil, bergantung kepada kemusnahan yang telah dilakukannya.

Soalnya, adakah kita sedang dilanda anai-anai? Adakah susupan anai-anai ini real? Di manakah armada anai-anai ini sekarang? Dari belantara manakah mereka datang? Adakah anai-anai ini telah menyusup daripada belukar di hujung benua? Adakah anai-anai spesies hidung bengkok juga telah menyusup menerusi pangkalan seberang? Di sektor manakah mereka telah menyusup? Sedalam manakah penyusupan mereka? Adakah kita menyedari kehadiran mereka? Apakah kita rela dimusnahkan oleh armada anai-anai ini? Dan, adakah kita sanggup memusnahkan mereka dengan tenaga kudrat yang kita ada?

Kalau penyusupan armada anai-anai sekarang ini masih di peringkat awal, ayuh sama-sama kita jahanamkan mereka dengan seberapa segera. Tetapi, kalau penyusupan mereka sudah ke peringkat yang kritikal, meluas dan berakar-umbi, sanggupkan kita runtuhkan rumah kita yang sedia ada dan membinanya semula dengan menggunakan khidmat pakar anti-makhluk perosak yang terbaik dan terbukti keberkesanannya?

Persiapkanlah minda dan jiwa kita terhadap analogi puitis ini. Tepuklah dada, tanyalah selera. Tanyalah diri kita sendiri, sanggupkah kita menerima dan mengalu-alukan kehadiran satu pasukan pakar pembasmi makhluk perosak, pada suatu saat dan suatu ketika nanti? Sanggupkah kita runtuhkan rumah kita yang telah disusupi oleh armada anai-anai? Relakah kita sama-sama bina semula rumah itu demi kesejahteraan dan keselamatan kita seluruhnya?

Begitulah akhirnya catatan jiwa saya di saat-saat kita menanti detik ulangtahun ke-50 kemerdekaan negara yang berdaulat dan tercinta ini. Saya sentiasa berdoa kepada Allah Yang Maha Berkuasa, mudah-mudahanlah bahana anai-anai yang telah meruntuhkan rumah kayu milik keluarga saya di zaman pra-merdeka tidak akan menyerang rumah dan keluarga saya di zaman merdeka yang sedang saya nikmati dengan seribu satu keselsaannya! – Ruhanie Ahmad

7 comments:

Unknown said...

Salah satu sifat pemimpin yang CEMERLANG ialah berfikir panjang sebelum berkata apa-apa kepada khalayak. Sekiranya beliau berkata-kata, kata-kata itu berpandukan hujah yang kukuh atau mencerminkan keperibadiannya dan diungkapkan dengan cara yang terhormat serta dapat memberikan inspirasi kepada pendengarnya.

Pemimpin berkenaan dikatakan GEMILANG apabila beliau dilihat sentiasa berjaya mengotakan apa yang dikata meskipun terpaksa berhadapan dengan berbagai rintangan. Kejayaan ini, biarpun mengambil masa untuk dicapai, ditempa menerusi penggemblengan usaha bukan bermusim yang diiringi dengan sokongan tulen daripada mereka yang terlibat.

Pemimpin tersebut menjadi TERBILANG apabila berupaya memastikan apa yang dikotanya terus dipertahankan serta diperbaiki tanpa perlu menunggu sebarang maklumbalas dari mereka yang dipimpin kerana semuanya dilakukan bukan untuk kepentingan peribadi tetapi demi kepentingan umum. Pemimpin ini sentiasa mengingati dirinya bahawa beliau memikul amanah yang amat berat dan sehubungan itu, tidak pernah mengizinkan dirinya atau ahli-ahli keluarganya dipuji atau disanjung sewaktu masih di tampuk kuasa.

Malangnya, komponen paling utama dalam parti pemerintah tidak dilihat mempunyai pemimpin yang CEMERLANG, GEMILANG dan TERBILANG dalam ertikata yang luhur. Cukup dengan memerhatikan gelagat semasa pucuk pimpinan tertinggi dari barisan utama dan sayap-sayap yang ada, dada ini terasa amat sesak dengan pilihan telah yang dibuat oleh para perwakilan.

Yang ada cuma pemimpin yang CURANG (kepada bangsa, agama dan negara), GIRANG (dengan kehidupan peribadi dan illusi yang dicipta) dan TEMBERANG (kerana bersikap talam dua muka dan hanya tahu berjanji). Itulah persepsi yang diberikan selepas mengamati tindak-tanduk mereka selama bertahun-tahun.

Cemerlang, Gemilang, Terbilang – Malaysiaku Gemilang!
Curang, Girang, Temberang – Malaysiaku Goyang ……

Mshukrimat said...

Datuk,
Salam perkenalan. Saya telah lama mengikuti perkembangan blog datu. Cuma hari ini tergerak hati untuk menulis. Pertanyaan saya untuk datuk, adakah cerita datuk ini berkait rapat dengan apa yang berlaku di negara kita. Adakah anai-anai itu telah bersarang dan cuba membesarkan koloninya. Terima kasih.

Mshukrimat said...

Datuk,
Salam perkenalan. Saya telah lama mengikuti perkembangan blog dautk cuma hari ini baru teringin menulis sedikit. Pertanyaan saya buat datuk, adakah anai-anai telah menyusup masuk ke dalam pentadbiran hari ini.Terima kasih.

pemerhati said...

A'kum Dato'

Syabas Dato' kiasan tulisan Dato' sungguh dalam maknanya. Hanya rakyat Malaysia yang punyai jiwa perjuangan sahaja yang mengerti dari cerita anai anai. Sebenarnya sudah banyak anai anai dalam negara ini tetapi pihak kerajaan tidak ambil peduli. Anai anai sudah buat kubu busut di WPI. Selepas itu akan berhijrah ke utara. Tahun ini kita menyambut Kemerdekaan ke 50 tahun, Adakah rakyat Malaysia faham erti KEMERDEKAAN?

pemerhati said...

A'kum Dato' syukur ke Allah kerana berita ini telah berjaya di siarkan The Star Melayu. MALAYSIAKU GEMILANG tanpa simpati kerajaan. Harap Dato' dapat siarkan berita ini untuk sumbangan dari orang ramai. Pengadu ini ahli UMNO tapi malagnya Pemimpin UMNO sendiri tidak melayaninya. Apa erti Slogan UMNO Membela Bangsa, Agama dan Negara! Tengku Mahkota Johor berjiwa rakyat.

Daulat Tuanku, Daulat Tuanku, Daulat Tuanku..


RAKYAT MENGADU NASIB KEPADA TENGKU MAHKOTA JOHOR

MUAR: Dengan pendapatan yang hanya mencecah RM500 sebulan, seorang buruh kontrak, Othman Ahmad dari Kampung Jawa di Segamat, tidak mampu untuk menyara anak sulungnya yang lumpuh sejak lahir.

Wang bantuan daripada Jabatan Masyarakat Daerah Segamat untuk anaknya itu, Mohd Amirul, 16, cuma RM65 sebulan dan tidak cukup pun untuk membeli kain lampin kegunaannya. Bantuan itu pula sering lambat diterima.

Kepayahan hidup Othman itu diceritakannya sendiri kepada Tengku Mahkota Johor, Tengku Ibrahim Ismail, yang menyertai Konvoi Malaysia Gemilang 50 Tahun Merdeka 2007 yang tiba di Dataran Tanjung Emas di sini hari ini.

"Bantuan sebanyak itu tidak cukup untuk membeli makan dan pakai anak saya ini," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada majlis itu.

Othman berkata Amirul, anak sulung daripada lima orang adik beradik, lumpuh sejak lahir dan berat badannya hanya 25 kilogram walaupun usianya sudah 16 tahun.

"Dia tidak pandai bercakap dan memerlukan penjagaan rapi setiap hari.

"Isteri saya terpaksa menjaganya sepenuh masa dan tidak dapat bekerja untuk mengurangkan beban saya," katanya.

Othman juga mengadu kepada Tengku Mahkota bahawa dia cuba mendapatkan rumah mesra rakyat di Segamat tetapi permohonan itu tidak mendapat perhatian hingga sekarang.

Beliau kini menyewa sebuah rumah di Taman Jenalik, Kampung Jawa, Segamat, pada kadar RM200 sebulan.

"Kalau dapat rumah mesra rakyat, wang sewa itu bolehlah juga diperuntukkan untuk anakanak," katanya.

Sesiap yang ingin membantu boleh berhubung terus dengan Othman menerusi telefon 013-716-8659.

:: Alimin Othman :: said...

Datuk,

Sebenarnya anai-anai ini wujud dimana-mana datuk. Hatta kat luar negara pun anai-anai ada. Saya yakin, kat rumah kita pun ada anai-anai yang dok cari makan sejak dari dulu lagi. (Dah lamaa daahhhh….) Tapi saya rasa spesies yang wujud dulu tidak lah agresif sangat – kita masih boleh kawal sebab tok ketua rumah kita dulu agak bijaksana dan beliau meminta khidmat perunding makluk perosak yang betul.

Kali ini saya rasa, tok ketua rumah kita - jenis yang agak terlebih cerdik la gamaknya. Dipanggilnya tauke jual goreng pisang untuk halau anai-anai. Ditaburnya habuk kayu kat situ, lagilah seronok anai-anai bermaharajalela.

Habis tu macamana datuk? Tok ketua rumah kita ni bukannya boleh ditegur sikit. Nanti dikatanya pulak kita cuba menjatuhkan dia! Tidak taat kepada ketua rumah! Baru nak bukak mulut pun dah kena tengking dengan tok ketua.

Takkan nak suruh kita ni pindah ke rumah lain. Rasanya ada baiknya jugak kita pindah ke rumah lain datuk! Tapi dua kali pikir, patutnya tok ketua lah yang sepatutnya kena pindah rumah! Bukan kita! – Kat mana lagi kita nak pergi? Kita mana ada rumah Australia!

kudakepang said...

Dasa, Shuk, Pemerhati dan Mohd Alimin.

Terima kasih kerana sudi berkongsi pandangan mengenai anai-anai.

Kepada Dasa, saya poskan reaksi anda dalam mayaputera.blogspot.com.

Kepada Shuk, saya ucapkan selamat datang ke KK. Saya tak mampu nak jawab pertanyaan anda. Apa pun, anai-anai memang ada di mana-mana. Sama ada armada makhluk perosak ini sudah menyususp ke Putrajaya, saya tidak pasti. Tapi persepsi umum kata, mungkin sudah. Kita pandang, kita dengar dan kita tunggulah kalau-kalau ada kepastian mngenainnya di hari muka.

Kepada Pemerhati, kawan ucapkan jutaan terima kasih. Posting anda mengenai kisah duka itu juga akan kawan poskan ke mayaputera.

Kisah anai-anai di WPI tu memang patut kta semua halusi kewujudannya. Baru-baru ini, kawan dengar ada spsies anai-anai hidung bengkok pun dah menyusup guna titi selatan. Tahniah kawan kepada anda kerana dapat mngesan dan memusnahkannya!!

Kawan cerita pasal anai-anai ni bukan fiksi. Rumah keluarga kawan di kamung memang pernah runtuh akibat anai-anai. Sebab tu kawan imbau kembali kisah ini dalam konteks kenegaraan kita hari ini.

Saudara Mohd Alimin, terima kasih kerana satu pengamatan yang tepat. Memang kita perlu tunggu signal daripa Tok Ketua Rumah untuk berpindah. Tapi, kalau Tok Ketua Rumah pun tak ambil pduli atau tak sedar rumah kita diserang anai-anai perlukah kita hanya berdiam diri dan berpeluk tubuh. Bukankah kita akan terpanggil untuk himpun kaum kerabat kita untuk memusnahkan rumah itu dan bina yang baru dengan segala teknologi anti anai-anainya? Tidak perlukah kita membuat satu pembetulan, baikpulih atau bina semula rumah yang nampak cantik, indah, tegap dan kukuh, tetapi sudah berserabut dalamnya dengan anai-anai pelbagai spsies? Fikirkan dan renungkanlah. Kalau ada pihak sanggup runtuhkan rumah itu dan membinanya semula demi kepentinan majoriti kita semua, tidakkah anda akan terpanggill untuk sama-sama mendukung usaha sedmikian?

Salam takzim daripada saya untuk semua. Selamat berjuang. MERDEKA!!! MRDEKA!! MERDEKA!!!!!