Thursday, August 23, 2007

Mentafsir Mesej Sebuah Mimpi
Merekayasa Semula Satu Realiti

Hari ini saya terus diuliti nostalgia kisah pra-merdeka. Paling khusus sekali, saya terkenangkan semangat patriotisme tulen anggota-anggota Pasukan Home Guard (Pasukan Kawalan Kampung) di kampung halaman saya, di Batu Pahat, Johor Darul Takzim, di zaman penjajah.

Pasukan Home Guard adalah pertubuhan sukarela yang diwujudkan oleh pihak penjajah, di kampung-kampung terpencil, dalam kawasan hitam, di zaman dharurat. Tugas utama mereka adalah mempertahankan kesejahtraan dan keselamatan sesebuah kampung dan warga penghuninya.

Seluruh anggota Home Guard di kampung saya terdiri daripada kalangan orang Melayu. Ada yang masih belia dan remaja. Ramai juga yang sudah berumahtangga. Mereka adalah rakyat marhaen - penoreh getah, pekebun kecil kelapa, getah, nenas dan juga kopi. Mereka dibahagikan kepada dua kelompok – lelaki dan wanita.

Ketika itu tahun 1954. Saya masih menuntut di darjah dua Sekolah Melayu Kampung Separap. Tidak jauh daripada sekolah itu terdapat sebuah bangunan kayu bercat hitam dengan atap zingnya yang sudah lapok dan berkarat. Pada setiap petang Khamis, antara waktu sesudah Asar dan sebelum menjelang Maghrib, berpuluh-puluh anggota Home Guard di kampung saya menjalani latihan mingguan. Saya sentiasa mengikuti sesi latihan itu sebagai seorang pemerhati kerdil yang masih ila-ilu akan hakikat ketahanan, keselamatan, kedaulatan dan kemerdekaan negara dan bangsa.

Bagaimanapun, saya tetap seronok memerhatikan perjalanan sesi latihan mingguan itu. Saya melihat mereka bersenam. Saya perhatikan mereka berkawad. Saya kagum bila mereka diajar seni mempertahankan diri, khususnya silat. Saya rasa cemah bila mereka diajar menggunakan senjata api, walaupun hanya dengan menggunakan senapang kayu tanpa peluru.

Biarpun begitu, mereka tetap berdedikasi. Mereka juga amat patriotik. Mereka mencintai kampung halaman mereka. Dengan sukarela, setiap inci bumi kampung itu mereka pertahankan daripada serangan musuh. Mereka ditanamkan semangat juang yang abadi, Mereka diinsafkan secara mendalam bahawa musuh nombor satu mereka di era itu adalah gerila komunis yang bersembunyi di celah-celah belukar dan belantara, yang berkubu di lereng-lereng bukit dan gunung di sekitar Parit Sulong, Pagoh dan Yong Peng.

Instruktor Home Guard di kampung saya hanya seorang pesara SC (Special Constable) atau Polis Khas, yang berpangkat sarjan. Dia pernah berkhidmat di hutan belantara untuk mempertaruhkan nyawa, jiwa dan raganya demi sebuah mimpi kepada keamanan dan kemerdekaan negara dan bangsanya. Dia sudah menumpaskan ramai anggota gerila komunis. Dia juga telah banyak kali terlepas daripada maut di muncung senapang milik komunis.

Sarjan tersebut berkhidmat secara sukarela demi kampung halamannya yang tercinta. Wataknya lemah lembut. Tetapi, semangat juangnya lebih keras dan lebih jitu daripada besi waja. Kelebihan yang ada pada Sarjan tersebut adalah mimpinya terhadap kemerdekaan, keamanan dan kemakmuran kampung halaman dan tanahairnya bila penjajah sudah diusir, pengganas komunis berjaya ditundukkan dan negaranya pula dimerdekakan.

Sambil melatih dan mendidik anak-anak buahnya dengan segala rahsia dan ilmu ketahanan diri dan pertahanan kampung, Sarjan berkenaan juga berusaha menanamkam bibit mimpi indah dan abadi mengenai kemerdekaan tanahair pada ketika itu.

Maka, dia pun sering meluahkan kata-kata semangat dari dasar jiwanya yang patriotik. Antara kata-katanya yang masih berdengung-dengung dalam ingatan saya adalah: warga kampung yang dayus dan pengecut adalah golongan pengkhianat kepada dirinya, keluarganya, kampungnya, bangsanya, agamanya dan negaranya. Satu lagi ungkapan semangat daripada Sarjan tersebut adalah: satu bangsa yang merdeka mesti mempunyai gagasan mimpi yang besar, indah, abadi dan segar. Mimpi itu mesti ditafsirkan kepada gagasan perjuangan. Gagasan perjuangan itu mestilah dipertahankan roh dan semangatnya. Sesiapa yang mengkhianatinya mesti disingkirkan. Pokoknya, gagasan mimpi yang besar dan segar mesti diperjuangakan supaya menjadi satu realiti yang mekar dan berakar.

Sewaktu kanak-kanak, saya tidak memahami erti, semangat dan falsafah gagasan mimpi besar yang disuarakan oleh Sarjan berkenaan. Saya juga tidak terdaya untuk mentafsirkan kenapakah Sarjan itu meminta anak-anak buahnya untuk berjuangan secara bermati-matian supaya gagasan mimpinya terhadap keamanan, kedaulatan dan kemerdekaan bangsa dan tanahair itu diterjemahkan menjadi suatu hakikat dan realiti yang sentiasa segara dan terus berakar.

Lantaran itu, saya pun terus membesar dalam persekitaran kampung yang dhaif dan miskin itu dengan satu cita-cita yang menggelodak di jiwa untuk mentafsirkan erti mimpi besar mengenai keamanan, kedaulatan dan kemerdekaan negara supaya menjadi satu hakikat dan realiti yang mekar, segar, dan berakar.

Cita-cita itu terpendam dalam jiwa saya sehingga hari Jumaat, 30 Ogos 1957, jam 11.50 malam. Pada ketika itu, Nenek, Ibu, Ayah, Pakcik dan Makcik sedang asyik mendengar ulasan selari mengenai pengisytiharan kemerdekaan negara menerusi corong Radio Malaya. Saya bertanya kepada Nenek, apa erti kemerdekaan? Jawabnya: “Orang Putih balik kampung.” Saya bertanya kepada Ibu, apa erti kemerdekaan. Jawabnya: “Tengku Deraman perintah Malaya.” Saya bertanya kepada Ayah, apa erti kemerdekaan. Jawabnya: “Komunis berhenti mengganas. UMNO perintah negara. Kampung halaman jadi aman dan maju jaya.” Saya bertanya kepada Pakcik, apa erti kemerdekaan. Jawabnya: “Bila Union Jack terjunam, Mat Salleh pergi jahanam.” Saya bertanya kepada Makcik, apa erti kemerdekaan. Jawabnya: “Engkau belajarlah kuat-kuat. Nanti engkau sendiri tau ertinya.”

Tepat jam 12.00 malam, suasana di rumah Nenek jadi sunyi sepi. Seluruh telinga terpaku kepada ulasan selari dari corong Radio Malaya. Pada ketika itu Union Jack - bendera penjajah British - diturunkan buat selama-lamanya. Tepat jam 12.01 pagi, Hari Sabtu, 31 Ogos 1957, bendera Persekutuan Tanah Melayu, kini dikenali sebagai Jalur Gemilang, pula dikibarkan buat pertama kalinya, dengan iringan lagu Negaraku, buat selama-lamanya.

Selepas itu, suara Tunku Abdul Rahman Putera - Bapa Kemerdekaan - pun menggema di udara menerusi corong Radio Malaya. Beliau menjeritkan perkataan “merdeka” dengan penuh semangat dan emosi. Setiap kali Tunku Abdul Rahman menjeritkan perkataan “merdeka,” setiap kali itulah juga saya terdengar dari corong radio, perkataan itu digemakan semula oleh ribuan suara dengan lantang, gemuruh, serentak, spontan, dan penuh semangat.

Nenek, Ibu, Ayah, Pakcik dan Makcik yang sedang mendengar radio pun turut menggemakan perkataan tersebut. Sambil meneriakkan perkataan keramat itu, air mata gembira perlahan-lahan meleleh ke pipi masing-masing. Mereka bersyukur kepada Allah kerana negara ini akhirnya terbebas dari belenggu penjajah.

Ketika itu saya berumur sepuluh tahun. Saya juga turut menggemakan perkataan “merdeka” sambil mengangkat tangan ke udara. Walaupun begitu, saya tidak memahami erti kemerdekaan. Sebab itulah saya bertanya kepada Nenek, Ibu, Ayah, Pakcik dan Makcik seperti di atas. Tetapi, kerana tumpuan mereka ketika itu adalah kepada ulasan selari Radio Malaya, mengenai suasana malam sambutan kemerdekaan negara di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur, mereka pun hanya menjawab pertanyaan saya secara sambil lewa. Saya tidak puas hati dengan jawapan-jawapan mereka. Tetapi, saya tidak mahu menghujani mereka dengan pertanyaan selanjutnya.

Tiga hari selepas itu, sekolah dibuka semula. Saya pun mengambil kesempatan bertanya kepada Guru Darjah, apa ertinya kemerdekaan. Dengan wajah berseri-seri, guru lulusan Sultan Idris Training College yang berjiwa nasionalis itu menjelaskan: “Kemerdekaan ertinya rakyat dan negara kita bebas dari penjajahan. Negara ini kita sendiri yang tadbir. Negara ini kita sendiri yang perintah.”

Sesudah itu, beliau menasihati semua muridnya supaya sentiasa menghargai dan memelihara kemerdekaan negara. Katanya: “bila negara kita merdeka, bangsa kita berdaulat. Kedaulatan datang bersama kemerdekaan. Tak ada kemerdekaan tak ada kedaulatan. Kemerdekaan lawannya penjajahan. Kedaulatan lawannya penghinaan. Sebab itu, murid-murid semua hendaklah sentiasa rajin belajar, patuh pada guru, taat pada ibupaba, jangan engkar perintah Tuhan, jangan langgar undang-undang negara. Kalau murid-murid pandai, kita jadi bangsa yang dihormati.”

Begitulah cebisan kenangan sewaktu saya kecil. Saya bukan dari generasi pejuang kemerdekaan negara seperti Datuk Bahaman, Mat Kilau, Tok Janggut, Kiayi Salleh, Rosli Dobi, Datuk Onn Jaffar, Tunku Abdul Rahman Putera, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Tan Siew Sin, Tun Sambanthan dan lain-lain pejuang tanpa nama. Saya adalah generasi yang hanya menyaksikan peralihan zaman. Dari zaman penjajah kepada zaman merdeka.

Kini saya mengenal erti kemerdekaan. Setelah merdeka, ramai rakyat jelata berjaya menimba ilmu pengetahuan tanpa sebarang prejudis dan halangan. Ilmu tersebut telah membebaskan kita semua dari lingkaran jiwa hamba dan dari lingkaran kemiskinan.

Duabelas tahun sesudah merdeka, saya belajar di Kuala Lumpur. Pada 13 Mei 1969, saya menyaksikan perarakan kemenangan pilihanraya umum di Kampung Melayu, Petaling Jaya. Sesudah itu, Kuala Lumpur dan Petaling Jaya pun dikenakan perintah berkurung. Selama beberapa hari kami terputus bekalan makanan. Kami hanya makan kulit roti dengan air kosong. Selepas itu, kami pun dipasak dengan semangat patriotisme. Para seniors yang menjaga kami sentiasa berkhutbah: “patriotisme adalah semangat cintakan negara. Patriotisme Malaysia adalah semangat cintakan tanahair, tanpa prejudis bangsa atau prasangka agama.” Sebab itulah kami dipaksa menghayati semangat lagu Barisan Kita. Antara lainnya, lagu itu mendidik bangsa Malaysia supaya sentiasa rela dan ikhlas dalam perjuangan untuk ibu pertiwi.

Tiga tahun selepas itu, saya berpeluang belajar di luar negara. Saya ditumpangkan di rumah sekeluarga Orang Putih, cucu cicit kepada penajajah yang pernah menjajah negara tercinta ini. Saya tidak takut kepada mereka, seperti Nenek atau Ibu, takutkan Orang Putih di zaman penjajah. Pada hari pertama saya di kolej di luar negara, seorang cucu-cicit penjajah cuba mempersendakan bangsa Malaysia, kononnya kita hidup di atas pokok seperti tarzan. Dengan tegas saya katakan kepada anak Orang Putih itu, bangsa Malaysia lebih maju dari mereka. Anak Orang Putih itu tidak percaya.

Sekembalinya ke tanahair, saya undang anak Orang Putih itu datang ke Kuala Lumpur. Saya bawa dia balik ke kampung di Batu Pahat. Sebagai seorang wartawan, saya suruh dia memerhati dengan teliti. Saya suruh dia teliti kalau-kalau ada orang Malaysia yang hidup di atas pokok dan bercawat seperti tarzan. Dia senyap. Dia tersipu-sipu. Dia malu. Begitu pun, dia tidak pernah meminta maaf di atas keterlanjuran kata dan bahasanya sebelum itu. Saya tidak hairan. Itulah sikap cucu-cicit penjajah.

Di negaranya, anak Orang Putih itu hidup di rumah pangsa tiga bilik. Bila saya bawa dia ke Kuala Lumpur, dia kagum kerana saya tinggal di rumah berkembar lima bilik. Di negaranya, anak Orang Putih itu naik bas, naik tube atau jalan kaki untuk ke pejabat. Sewaktu saya membawa dia makan angin di Kuala Lumpur, saya memandu kereta buatan Itali. Saya dapati anak Orang Putih itu tersindir. Tetapi, dia tetap tidak mahu meminta maaf. Saya tidak hairan. Itulah tabiat cucu-cicit penjajah.

Pada tahun 2003, seorang Ahli Parlimen British dan keluarganya menjadi tetamu keluarga saya di Kuala Lumpur. Sebelum itu, dia bercuti tiga hari di Langkawi. Dia kagum. Di Kuala Lumpur, dia berpeluang menaiki Menara Petronas, menara paling tinggi di dunia. Dia kagum. Dia bermalam di Palace Of The Golden Horses. Dia kagum. Saya bawa dia ke Putrajaya. Dia kagum. Dia melancong ke Sunway Lagoon. Dia kagum. Dia melihat KLIA. Dia kagum. Dia berpeluang ke Parlimen Malaysia. Dia kagum. Dalam kekaguman itu, saya pun bertanya kepadanya: “Adakah anda fikir semua yang mengkagumkan ini akan wujud jika negara ini masih dijajah oleh British?”

Jawapnya: “Yalah…..” Dia tersipu-sipu. Saya tahu dia tersindir. Tetapi, itulah sikap sesetengah Orang Putih. Egonya tinggi. Negara yang pernah dijajah sentiasa dianggap mundur. Setelah mengetahui realiti sebenarnya, dia kagum. Tetapi, dia enggan mengiktiraf kemajuan yang telah dilihatnya di negara ini dengan mata kepalanya sendiri.

Hari ini negara dan bangsa Malaysia sudah merdeka. Orang Putih hanya ke negara kita untuk melancong atau berdagang. Kita terima mereka dengan baik. Tetapi, ini tidak bermakna mereka tidak menyimpan dendam untuk sekali lagi menguasai bangsa Malaysia dan negara Malaysia, menerusi cara dan muslihat yang berbeza, jika mereka berpeluang, di hari muka.

Kerakusan kuasa segelintir Orang Putih mula ketara apabila mereka melanggar Afghanistan pada Oktober 2001. Negara tersebut hancur lebur. Rakyatnya ramai yang terkorban. Di kalangan mereka yang terselamat, ramai pula yang cacat dan menderita. Segelintir Orang putih juga telah mengharu-birukan Iraq mulai 2003. Negara merdeka dan berdaulat itu jadi kacau bilau. Hari-hari ada pembunuhan. Hari-hari ada pertumpahan darah. Kebelakangan ini, segelintir Orang Putih pula merancang dan berusaha untuk menguasai beberapa negara di Asia Tenggara, menerusi pelbagai helah. Kalau kita leka, lemah dan berbalah-balah, akan mudahlah segelintir Orang Putih datang memecah dan memerintah kita semula.

Hakikatnya demikian kerana sekali kita merdeka, tidak bermakna kita akan merdeka buat selama-lamanya. Kemerdekaan kita hanya akan kekal jika kita sentiasa menghargai, menyanjung kedaulatan negara serta memelihara kemerdekaan negara. Maka, terserahlah kepada kita semua. Jatuh-bangunnya negara kita dan hidup-matinya bangsa kita adalah tanggungjawab kita semua untuk menentukannya. Kalau kita bersatu, negara kita jadi teguh, lebih maju, terus merdeka. Kalau kita bersengketa, negara kita akan roboh, bangsa kita mungkin terpinggir, penjajah mungkin kembali memerintah. Kalau kita ikut resam Pak Kadok, kita akan memang sorak, tetapi negara akan tergadai. Kalau kita ikut prinsip Pak Pandir, dagang lalu kita tanakkan, anak sendiri mati kebuluran, ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan!

Kini, tanggal 31 Ogos, tarikh keramat yang jadi tugu detik kemerdekaan negara, akan muncul semula tidak lama lagi. Dalam kerangka waktu seperti ini, nostalgia diri terhadap era pra-merdeka terus menggamit rasa. Saya terkenangkan semangat juang dan patriotisme seluruh anggota pasukan Home Guard di kampung halaman yang majoritinya sudah pun pulang ke alam baqa’. Al-fatehah!

Dalam suasana begini, saya masih terus berkelana dan menerjah waktu untuk mentafsir erti sebuah mimpi besar mengenai kedaulatan dan kemerdekaan tanahair. Saya masih didera oleh cita-cita untuk mentafsirkan erti mimpi besar itu. Saya masih terus mahu menyumbang kepada perjuangan menjadikan mimpi besar itu kepada satu realiti yang mekar, segar dan berakar.

Tidak akan sekali-kali saya relakan realiti mekar, segar dan berakar yang wujud daripada mimpi besar ini digolokdagaikan kepada sesiapa, walaupun bila, waktu dan ketikanya. Kalau realiti ini digolokgadaikan, saya akan tetap bangkit untuk mentafsir semula mimpi besar itu. Saya akan bangkit untuk sama-sama merekayasakan semula realiti kemerdekaan dan kedaulatan tanahair yang berlandaskan axis of supremacy dan axis of dominance yang saya warisi sejak zaman berzaman! – Ruhanie Ahmad

8 comments:

:: Alimin Othman :: said...

Datuk,
Suatu cerita yang baik untuk tatapan generasi muda macam saya. Sudah pasti kita berada dizaman yang cukup berbeza.

Seawal zaman persekolahan dulu, perkataan merdeka hanya ditemui dalam buku-buku teks sejarah sahaja. (Ditunjukkan gambar Tungku melaungkan Merdeka!) Diwaktu itu apa yang kami tahu hanyalah bermain pelbagai permainan seperti meriam buluh, bermain batu seremban, main tudung botol, menangkap ikan di sawah, melastik burung dan pelbagai lagi permainan lain. Itu lah dunia kami. Diwaktu itu, kami berpendapat soal kemerdekaan adalah urusan orang-orang tua dan orang politik semata-mata. Kami diajar tentang sejarah kesultanan Melaka dan kemerdekaan negara tanpa merasainya akan detik-detik tersebut.

Di universiti, kami mula memikirkan tentang masyarakat! Sebahagian dari kami mula bercakap tentang bagaimana untuk mengisi kemerdekaan dengan cara kita! Adakalanya dengan jiwa muda di masa itu – kita mungkin menjadi sedikit idealistik! Namun begitu kami tetap berpegang kepada prinsip bahawa kemerdekaan negara perlu dipertahankan! Akhirnya biarpun kita hidup dizaman yang berbeza, kita tetap berkongsi satu prinsip yang sama tentang erti kemerdekaan!

Kami membesar dizaman TDM memerintah! Semangat Malaysia boleh! Semangat bangga dengan negara! Yakin dengan kebolehan bangsa sendiri! Itu yang kami pegang! Kita adalah satu bangsa yang merdeka! Itu yang kami percaya dan ingin percaya!

Tetapi kini benarkah kita bangsa merdeka? Kesempatan membawa anak-anak ke Putrajaya melihat pertunjukan bunga api minggu lepas membuatkan saya terfikir! Adakah pancaran bunga api yang bergemerlapan dan begitu indah dilangit itu benar-benar menggambarkan kemerdekaan negara? Melihat anak-anak yang begitu seronok - membuat kita terfikir – adakah suatu hari nanti mereka akan sedar bahawa apa yang mereka lihat itu hanyalah cahaya palsu kemerdekaan yang diadun sebegitu indah dengan tujuan tersirat!

Akhirnya saya mula berdoa semoga semua ini bukanlah satu kepalsuan! Saya ingin sekali meyakini anak-anak tersebut bahawa semua ini bukan satu ilusi bahawa kita semua adalah satu bangsa yang Merdeka! – Biarpun hati kecil ini begitu kuat untuk mempersetankan semangat kemerdekaan yang palsu ini!

Selamat Menyambut Kemerdekaan!
- Mohamad Alimin-

kudakepang said...

Saudara Mohd Alimin

Terima atas kiriman 2 postings anda hari ini.

Reaksi saya kepada komen yang saya publish di sini adalah: syukur alhammdulillah anda memahami maksud tulisan saya. Maklumlah saya ni dah antik jadi tulis pasal kisah antik saja. Secara serius, saya memang amat prihatin atas apa yang sedang berlaku. Kalau anda terluang masa harap hubungi saya di puteramaya@gmail.com. Ada sesuatu yang saya nak katakan kepada anda tapi perlu bersemuka.

Kedua: Soal email saya dan spam. Nasib saya amat malang. Lepas dapat ugutan bunuh melalui sms, hari ini email saya kena godam. Akibatnya, saya jadi pengemis siber kerana kononnya tersadai di afrika dan antar email minta sedekah... Saya dah laporkan hal ini kepada gmail dan rocky pun kata ada posting mengenainya. Lucunya, di samping anda, 2 kakitangan saya dan isteri saya sendiri pun terima email yang sama. Haru-birukan?

Selamat berjuang dan salam takzim.

Unknown said...

Satu posting yang indah. Ia dapat mengembalikan nostalgia peribadi saya.

politica said...

Tulisan ini menarik. Saya harap anak-anak merdeka dapat mengambil iktibar dari kisah ini supaya mereka mampu meneruskan perjuangan memelihara kemerdekaan dan kedaulatan negara tercinta dengan semangat jitu dan kental.

Anonymous said...

salam Datuk,
Terharu, bangga dan insaf adalah perasaan bercampur bila membaca coretan Datuk kali ini...Salam Merdeka!

Unknown said...

Asalamualaikum Datuk,

Saya dapati posting terbaru Datuk mengandungi suatu mesej tersirat. Sebab itu dalam satu komen saya ke blog ini, saya minta anak-anak merdeka macam saya, memahami maksud posting Datuk dan ambil iktibar daripada mesejnya.

Datuk kata: “Tidak akan sekali-kali saya relakan realiti mekar, segar dan berakar yang wujud daripada mimpi besar ini digolokdagaikan kepada sesiapa, walaupun bila, waktu dan ketikanya.”

Datuk juga kata: “Kalau realiti ini digolokgadaikan, saya akan tetap bangkit untuk mentafsir semula mimpi besar itu. Saya akan bangkit untuk sama-sama merekayasakan semula realiti kemerdekaan dan kedaulatan tanahair yang berlandaskan axis of supremacy dan axis of dominance yang saya warisi sejak zaman berzaman.”

Saya berfikir panjang nak memahami mesej tersirat di sebalik posting Datuk. Saya tanya kawan-kawan saya, termasuk orang universiti, apa maksud “merekayasakan semula realiti kemerdekaan dan kedaulatan tanahair yang berlandaskan axis of supremacy dan axis of dominance yang saya warisi sejak zaman berzaman”?

Mereka teragak-agak nak jawab soalan saya. Seorang pakar sejarah pun berkata, Datuk cakap tentang membina semula Malaysia yang merdeka dan berdaulat berteraskan “axis of supremacy” dan “axis of dominance” yang lahir bersama hakikat sejarah negara kita.

Saya tanya pakar sejarah itu, adakah penulis bermaksud yang keagungan dan dominan negara ini perlu berasaskan, berpaksikan atau ber’axis’kan kepada sejarah silam bangsa Melayu?

Pakar sejarah itu mengangguk-anggukkan kepala sambil tersenyum. Katanya: “Rasanya, itulah maksud sipenulis. Beliau mahu Malaysia dibina semula atas asas sejarah silam yang berpaksikan keagungan dan ketuanan Melayu.”

Saya terdiam. Ini boleh disifatkan macam nak jolok sarang tebuan. Apa tidaknya? Masa ni banyak pihak sibuk memperkatakan soal kontrak sosial yang jadi asas Perlembagaan Negara perlu dikaji semula. Datuk pula melontarkan gagasan pemikiran supaya Malaysia dibina semua berasaskan “axis of supremacy” dan “axis of dominance” bangsa Melayu.

Ini soal berat dan serius. Tapi, bila saya fikir dalam-dalam, mungkin gagasan ini boleh diterima akal. Kemerdekaan dan kedaulatan negara kita memang berasaskan kedua-dua “axis” ini. Waktu ni pun ramai kita yang tengah kecoh dan cemas pasal WPI. Kita khuatir kedua-dua “axis” ini macam dah diabaikan oleh pemerintah yang rancang dan laksanakan WPI.

Saya bingung. Macam mana nak merekayasa semula, re-engineer, re-invent, atau bina semula kemerdekaan dan kedaulatan Malaysia hari ini atas asas kedua-dua “axis” yang Datuk maksudkan?

Bolehkah ini dilakukan ikut proses demokrasi? Atau, mungkinkah pembinaan semula ini akan dilakukan ikut mandat monarki (Agong) yang termaktub dalam Fasal 150 Perlembagaan Negara?

Sebab itukah masa ni banyak pihak cakap soal Fasal 150, semangatnya dan mekanismenya? Inikah rahsia Malaysia sebagai sebuah negara yang berasaskan Constitutional Monarchy, tetapi amalkan Parliamentary Democracy?

Saya harap Datuk dapat bantu saya dalam mentafsirkan mimpi Datuk dan realiti yang datuk kata perlu dibina semula “berlandaskan axis of supremacy dan axis of dominance” warisan sejak zaman berzaman.

kudakepang said...

Cyber, Politica, Azriey:
Terima kasih.

Saya hormati pandangan anda semua. Saya juga minta izin Cyber kerana komen anda saya poskan dalam KK sebagai satu bahan utama.

Salam takzim dan MERDEKA!!!

jjueco said...

Datuk,

Ceritanya kisah lama,
Bahkan watak-wataknya sudah tiada, Segar patinya untuk dibaca,
Berkesan membawa makna,