Sunday, May 31, 2009

Melayu dikhianati?

Awang Selamat

Hati Awang semakin hari semakin ditoreh-toreh oleh tuntutan pelbagai pihak bukan Melayu yang bersikap terlalu rasis selepas Pilihan Raya Umum ke-12. Kita boleh tafsir apa sebabnya. Awang tidak mahu mengulas panjang kali ini, cukup sekadar disiarkan semula petikan kenyataan seorang pemimpin MCA, Tun Tan Siew Sin pada 30 April 1969 (dipetik daripada buku Khalid Awang Osman dan pernah diulas Ridhuan Tee Abdullah) untuk renungan kita semua.

''Orang Melayu menerusi UMNO bermurah hati melonggarkan syarat-syarat dalam undang-undang negara ini sehinggakan dalam masa 12 bulan selepas kemerdekaan, 90 peratus penduduk bukan Melayu menjadi warganegara. Ini berbeza dengan keadaan sebelum merdeka di mana 90 peratus daripada mereka masih tidak diiktiraf sebagai rakyat Tanah Melayu walaupun hampir 100 tahun hidup di bawah pemerintahan penjajah. Sebagai membalas kemurahan hati orang Melayu, MCA dan MIC bersetuju meneruskan dasar memelihara dan menghormati kedudukan istimewa orang Melayu dan dalam masa yang sama mempertahankan kepentingan-kepentingan sah kaum lain''.

Sebelum itu, seorang pemimpin MIC Tun V.T Sambanthan pada 1 Jun 1965 pernah berkata: ''Pada tahun 1955 kita telah memenangi pilihan raya dengan majoriti yang tinggi, selanjutnya mendapat kemerdekaan dalam masa dua tahun kemudian. Dalam jangka masa itu, kita terpaksa berbincang dan menangani pelbagai perkara termasuk soal kewarganegaraan. Persoalannya di sini, apakah yang dilakukan oleh orang Melayu memandangkan kita bercakap menyentuh perkauman? Apakah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Melayu? Mereka mempunyai 88 peratus daripada pengundi menyokong mereka.

Apakah yang mereka putuskan mengenai isu kewarganegaraan? ''Jika kita lihat di serata negara Asia dan Asia Timur, kita akan mendapati kaum India tidak akan diterima di Ceylon dan juga tidak diterima di Burma. Sama halnya dengan kaum Cina, mereka tidak diterima di Thailand, Vietnam, Kemboja dan di negara-negara lain. Apakah bantuan berhubung kewarganegaraan yang mereka peroleh di semua wilayah tersebut?

"Di Burma, seperti yang kita semua sedia maklum, kaum India telah diusir keluar, di Ceylon mereka tidak diberikan taraf warganegara seperti juga di Burma. Saya tahu dan anda juga tahu. Apa yang sedang berlaku di Malaya? Di sini kita mendapati pemimpin Melayu berkata, ''Kita akan menerima mereka sebagai saudara, kita akan berikan mereka sepenuh peluang untuk meneruskan kehidupan di negara ini, kita akan beri mereka peluang untuk menjadi warganegara''. Seterusnya pada tahun 1957, dengan tidak mengambil kira kebolehan berbahasa (Melayu) ribuan orang India, Cina dan Ceylon menjadi warganegara. Seperti yang saya nyatakan, saya amat bernasib baik kerana dilahirkan di negara ini. Di manakah anda boleh berjumpa bangsa yang lebih prihatin, bersopan-santun dan tertib selain daripada bangsa Melayu. Di manakah anda boleh mendapat layanan politik yang baik untuk kaum pendatang? Di manakah dalam sejarah dunia? Saya bertanya kepada anda. Ini adalah fakta. Siapakah anda untuk menjaga keselamatan kami? Saya adalah kalangan 10 peratus kaum minoriti di sini. Tetapi saya amat gembira di sini.''

Persoalannya, kini apakah pengorbanan Melayu dikhianati oleh kaum lain?

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0531&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm

Nota: Tulisan sahabat saya, Awang Selamat, yang dipaparkan di atas saya down-load daripada Mingguan Malaysia hari ini. Tulisan tersebut mempunyai kaitan dengan satu esei yang sedang saya siapkan. Dalam proses menyediakan satu esei mengenai keresahan serta dilema etnik di Malaysia mutakhir ini, saya terbaca beberapa pandangan pemikir luar dan dalam negara seperti berikut:

Barry Buzan mendapati masalah migrasi memang boleh menjejaskan nasib peribumi di sesebuah negara. Beliau menyifatkan migrasi sebagai satu ancaman kepada masyarakat di sesebuah negara. Ini kerana migrasi mengancam identiti peribumi di negara yang menerima kedatangan orang asing secara besar-besaran.

Buzan, Waever, De Wilde (1998:124) menyatakan, tahap ancaman daripada migrasi adalah bergantung kepada tiga faktor. Satu: jumlah kemasukan warga asing ke sesebuah negara. Dua: kapasiti peribumi di sesebuah negara untuk menyesuaikan diri dengan kedatangan warga asing. Tiga: cara-cara pembinaan identiti peribumi di sesebuah negara.

Michael Sheehan (2005:92) menghuraikan, keprihatian peribumi terhadap kemasukan warga asing secara besar-besaran ke negaranya bukan masalah baru. Penolakan peribumi terhadap kaum pendatang juga adalah hakikat yang tercatat dalam sejarah beberapa negara besar termasuk di England. Mulai 1990-an, keperihatinan dan penolakan peribumi terhadap kelompok pendatang ini pula diberikan label keselamatan.

Dari kajian ringkas yang sedang saya lakukan, saya dapati kedatangan rakyat China dan rakyat India secara besar-besaran ke Tanah Melayu di era penjajahan Inggeris seolah-olah dibiarkan sahaja oleh orang Melayu ketika itu. Oleh sebab itu, jumlah rakyat China dan rakyat India yang berdagang dan mencari rezeki di Tanah Melayu di era penjajah menjadi semakin ramai dari tahun ke setahun.

Menurut Ooi Jin Bee (1986:20), pada 1871 terdapat seramai 104,615 warga China dan 33,390 warga India menetap untuk mencari rezeki di Tanah Melayu. Jumlah ini adalah 45 peratus daripada seluruh penduduk Tanah Melayu ketika itu. Jumlah ini meningkat kepada 583,396 orang warga China dan 74,081 warga India pada 1891. Ini menjadikan warga asing ketika itu adalah 57 peratus daripada seluruh penduduk Tanah Melayu. Pada tahun 1941 terdapat seramai 2,418,651 warga China dan 767,693 warga India menetap di Tanah Melayu. Mereka merupakan 58 peratus daripada jumlah penduduk Tanah Melayu pada tahun berkenaan.

Sukar untuk dipastikan sebab-sebab mengapakah orang Melayu ketika itu tidak bertindak. Mungkin kerana data-data mengenai jumlah rakyat asing yang besar ketika itu, seperti dihuraikan di atas, sengaja dirahsiakan oleh pihak penjajah Inggeris supaya tidak mencetuskan reaksi dan kemarahan orang Melayu. Mungkin juga kerana orang Melayu sendiri memang tidak mempedulikan implikasi serta masa depan mereka akibat daripada fenomena tersebut.

Tetapi, Asrul Zamani (2002:150-151) berpendapat, secara semulajadi, orang Melayu memang merupakan bangsa yang bertoleransi. Boleh jadi mereka adalah bangsa yang paling bertoleransi di dunia ini. Oleh sebab itu terdapat peribahasa: monyet di hutan disusukan, anak sendiri kelaparan. Sikap toleransi orang Melayu ini, walaupun mulia, telah mendatagkan kesan yang detrimental kepada mereka sendiri. Sewaktu masyarakat imigran datang ke Tanah Melayu, mereka diterima oleh orang Melayu tanpa sebarang pertanyaan dan tanpa sebarang bangkangan.

Ahmad Attory Hussain (1987:8) pula menegaskan, kedatangan orang-orang asing ke Tanah Melayu adalah hasil galakan penjajah sehingga masyarakat di negeri ini yang dulunya bercorak tradisional dan satu rumpun bangsa telah bertukar kepada masyarakat majmuk. Orang mendatang ini menggerhanakan suasana kehidupan orang Melayu. Apabila penjajah Inggeris yang membawa buruh China dan India itu meninggalkan Malaya setelah merdeka 1957, buruh-buruh itu atau keturunan-keturunan China dan India itu, tidak dihantar pulang ke negeri-negeri asal mereka. Sebaliknya mereka ini tinggal menetap di negara ini dan seterusnya dari semasa ke semasa, menuntut hak-hak mereka tanpa berasa malu dan segan, bersikap begitu agresif sekali serta tidak kira apa orang lain kata.

Huraian Asrul seperti di atas menjadi sebahagian daripada faktor yang mencirikan dilema etnik di Malaysia mutakhir ini. Huraian Ahmad pula menjadi landasan kepada dilema Melayu di era pasca merdeka. Huraian Asrul dan Ahmad ini membuktikan pendapat Buzan, iaitu kedatangan warga asing secara besar-besaran adalah satu ancaman kepada masyarakat, adalah pendapat yang tepat dan benar. Di Malaysia, hakikat ini juga bukan sahaja menjadi masalah masyarakat. Tetapi, ia juga menjadi masalah negara.

Biarpun begitu, kajian ringkas saya yang belum selesai ini bukannya untuk merobah keadaan dan memusnahkan legasi malang yang dibebankan oleh penjajah Inggeris kepada pemimpin dan orang Melayu di era kemerdekaan.

Kajian ringkas saya hanya berhasrat untuk merungkai persoalan, mengapakah pada ketika ini kelompok-kelompok tertentu daripada sesetengah etnik bukan Melayu dan bukan Bumiputera di Malaysia seolah-olah enggan menghormati pelbagai peruntukan strategik mengenai Islam, Melayu dan Bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, sebagaimana nenek moyang mereka menghomati serta memahaminya di era pra kemerdekaan tanah air ini?

Dan, adakah Malaysia akan terbebas daripada keresahan dan dilema etnik jika sesetengah elit politik dan elit masyarakat sivil tertentu tidak berusaha dan memperjuangkan kepentingan etnik masing-masing menerusi pendekatan yang kelihatan berkonfrontasi, penuh dengan sentimen rasis dan dengan keyakinan kononnya mereka boleh membina satu masyarakat impian atau imagined society mereka di bumi yang amat berbeza sejarah dan sosio-budayanya berbanding negara asal nenek monyang mereka?

Fikir-fikirkanlah! – Ruhanie Ahmad

Friday, May 29, 2009

Satu sekolah untuk semua

Ruhanie Ahmad

Saya tidak mengenali blogger Kijang Emas dan siapakah tuan punya blog Demi Negara (DN). Tetapi saya hormati keikhlasan dan dedikasi kedua-dua entiti siber ini kerana melancarkan kempen satu sekolah untuk semua demi satu bahasa, satu bangsa, satu negara.

Pelancaran kempen berjiwa besar ini menjadi manifestasi kepada satu fenomena baru di alam siber, iaitu kemunculan masyarakat sivil menerusi internet. Dan, oleh kerana kempen ini dilaksanakan menggunakan blog, maka usaha murni ini juga melambangkan kepelbagaian kegunaan media komunikasi baru ini kepada masyarakat.

Minggu lalu saya melayari blog DN dan cuba meninggalkan komen mengenai kempen yang diperjuangkannya. Tetapi, mungkin kerana saya hanya seorang blogger dengan ilmu ICT yang terhad, nampaknya hanya perkataan kuda-kepang sahaja yang tercatat di dalam ratusan komen mengenai kempen berkenaan. Oleh itu, anggaplah ini komen rasmi untuk menandakan sokongan saya kepada kempen tersebut.

Hakikat tersirat yang dimanifestasikan menerusi kempen ini adalah cukup beranika tafsirannya. Antaranya seperti berikut:

Satu: Kempen ini menandakan awal mulanya kebangkitan suara warga Malaysia yang non-partisan dan non-political terhadap destini negara-bangsanya di hari muka.

Dua: Kempen ini menandakan bahawa penggilapan serta penonjolan identiti oleh sesetengah pihak di negara ini menerusi pembinaan satu imagined society yang menguasai jiwa mereka selama ini adalah suatu tindakan yang disanggah oleh majoriti warga Malaysia.

Tiga: Kempen ini memandakan kemunculan iltizam baru ke arah pembinaan negara-bangsa menerusi satu wadah tunggal, iaitu menerusi pendidikan. Iltizam ini sedang mencari legitimasi serta dukungan daripada kita semua.

Empat: Kempen ini adalah isyarat pertama kepada pihak-pihak oportunis, rasis, cauvisis dan ekstremis yang mendakwa diri mereka adalah juara etnik di Malaysia supaya mereka insaf bahawa permainan politik kuasa mereka selama ini mesti segera diberhentikan kalau mahu mengelakkan pertembungan etnik dan identiti yang mungkin fatal kepada kita semua di masa depan.

Lima: Kempen ini perlu menginsafkan kerajaan bahawa strategi memberikan betis dan peha kepada puak-puak yang sedang pushing the limit of our tolerance pada hari ini adalah strategi yang kaunter-produktif dan berbahaya.

Enam: Kempen ini perlu dipandang serius oleh pemerintah supaya mereka insaf betapa malangnya Malaysia jika perjuangan etnik yang mempersoal, mempertikai, mempolemik dan mempolitikkan seluruh peruntukan strategik dalam Perlembagaan Persekutuan serta dasar-dasar affirmatif yang lahir daripada semangat Perlembagaan berkenaan menjurus ke arah konflik etnik yang akan menggegarkan suasana di hari muka.

Tujuh: Semoga kempen ini berjaya merintis pembinaan negara-bangsa Malaysia yang benar-benar bersatupadu tanpa sebarang hiprokrasi dan kepalsuan total.

Akhir kata, renungkanlah beberapa pendapat Tun Dr Mahathir dalam Dilema Melayu seperti berikut:

Di tempat-tempat lain di Asia Tenggara orang Cina sudah tinggal lama seperti lamanya rnereka tinggal di Malaysia. Tetapi di mana-mana pun, mereka tidak pernah mendakwa ataupun diterima sebagai penduduk peribumi negara berkenaan (Mahathir, 1982:150).

[nota: buku Dilema Melayu boleh dibaca menerusi Blog Pemuda Malaysia. Untuk membacanya, sila klik pada ikon buku Dilema Melayu di sidebar blog ini.]

Tuesday, May 26, 2009

Please dont push the limit!

Ruhanie Ahmad

Saya sedang menyiapkan satu esei mengenai dilema etnik dan implikasinya kepada keselamatan negara. Saya terpaksa membaca semula buku Dilema Melayu karya Tun Dr Mahathir Mohamad [untuk baca klik pada ikon di sidebar blog ini] untuk mendapatkan maksud dilema Melayu sebenarnya. Saya juga membaca 10 buku tulisan etnik Cina Malaysia termasuk the Chinese dilemma dan Ketuanan Politik Melayu. Saya juga kecewa dengan gelagat Singapura yang terus bersifat kiasu terhadap pembinaan Jambatan Bengkok [klik pada ikon untuk membaca buku mengenainya] bagi menggantikan Tambak Johor.

Seterusnya, saya digamit nostalgia mengenai kekejaman gerombolan komunis Bintang Tiga (PKM) pimpinan Chin Peng yang menyembelih dan membunuh orang Melayu dan menguburkan mereka secara beramai-ramai di dalam satu liang lahad di kampung saya. Saya teringatkan cerita ibu saya bagaimana gerombolan komunis itu merendamkan orang Melayu ke dalam kawah gergasi penuh dengan minyak kelapa yang panas menggelegak sehingga orang Melayu yang tidak berdosa itu mati terkejang.

Seluruh rentetan kisah yang saya lalui sepanjang sehari dua ini menyebabkan darah saya juga menggelegak. Ini bukan kerana saya rasis atau cauvinis. Tetapi kerana saya hairan mengapakah kita orang Melayu sentiasa diasak dan didesak sedemikian rupa oleh beberapa kategori etnik Cina Malaysia dari dulu sampai sekarang. Menurut kata Mahathir dalam Dilema Melayu, ini kerana orang Melayu terlalu bersikap budiman (gentleman) dan bersopan-santun. Kita marah dengan apa yang belaku tetapi kita pendamkan saja rasa marah itu di dalam dada kita sendiri sehingga kita kurus kering makan hati berulam jantung. Mahathir menghuraikan selanjutnya dalam buku itu bahawa orang Melayu juga mempunyai satu sifat yang amat terkenal di seluruh dunia, iaitu AMUK atau MENGAMUK.

Orang Melayu yang budiman dan bersopan santun memang susah untuk menjadi berang dan mengamuk. Oleh itu, sewaktu kita terus diasak dan didesak oleh tuntutan demi tuntutan oleh etnik Cina tertentu pada hari ini, termasuk untuk memberikan kewarganegaraan kepada Chin Peng yang memimpin PKM dan bertanggungjawab menyembelih, menyula, merendamkan orang Melayu ke dalam kawah minyak menggelegak, membakar Balai Polis Bukit Kepong di Muar, Johor, dan membunuh seluruh anggota Polis di Rumah Pasong itu, apa yang harus kita buat sekarang?

Saya tidak akan mencadangkan kita mengamuk dan lakukan apa yang telah dilakukan oleh Chin Peng dan pengganas komunisnya kepada orang Melayu. Ini perbuatan menghasut dan boleh menjejaskan ketenteraman awam serta keselamatan negara. Ini boleh menyebabkan saya mendarat di Kemunting bawah ISA.

Jadi, sebagai orang Melayu yang patuh undang-undang, cintakan kedamaian dan bersopan santun, apakah yang harus kita lakukan? Moga-moga pemimpin Melayu turut memikirkan perasaan seperti ini dengan serius yang total. Kepada para penyokong Ching Peng. Please dont push the limit!

Seterusnya bacalah kenyataan mutakhir dan terdahulu mengenai Chin Peng di bawah ini.

Tolak komunisme

PUTRAJAYA 25 Mei – Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim mahu sentimen bahawa komunisme mempunyai nilai-nilai nostalgia dan positif dilupuskan sama sekali dalam pemikiran seluruh rakyat Malaysia.

Sambil menyuarakan rasa amat terkejut dengan tindakan pihak tertentu yang cuba membangkitkan sentimen itu, beliau mengingatkan bahawa adalah satu bencana kepada negara ini jika ada pihak cuba menggalakkan kemunculan semula komunis di Malaysia termasuk menerusi media cetak dan blog.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

Hiris perasaan anggota ATM

SEREMBAN 25 Mei - Sebarang usaha membawa masuk bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke negara ini menghiris perasaan seluruh warga anggota dan bekas anggota serta keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha tersebut juga meningkatkan semula rasa kemarahan meluap-luap mereka terhadap Chin Peng dan PKM.

Pada masa ini, katanya, seluruh anggota, bekas anggota dan keluarga ATM serta pasukan keselamatan lain menolak sebarang usaha membawa masuk Chin Peng.

"Saya mewakili warga ATM, sama ada yang sedang bertugas atau yang telah tamat perkhidmatan, berasa amat terhiris jika keputusan dibuat untuk Chin Peng diberi taraf kewarganegaraan.

"Ini kerana lebih 50,000 anggota pertahanan termasuk tentera dan polis terkorban akibat angkara pengganas PKM. Jika ini berlaku, rasa terluka yang amat sangat di kalangan anggota dan keluarga ATM," kata beliau.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm

Pindah ke negara lain jika nak buat tuntutan melampau - Pewaris

KUALA LUMPUR 25 Mei - Rakyat negara ini yang kecewa kerana permintaan melampau mereka tidak dipenuhi oleh kerajaan diminta berpindah ke negara lain yang mungkin dapat melayani permintaan tersebut.

Sehubungan itu juga, Penasihat Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Dr. Ahmad Zaki Ismail menggesa kerajaan membatalkan status warganegara mereka yang tergamak membuat tuntutan yang bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_02.htm

Gerakan Pulau Pinang 'buta sejarah'

JOHOR BAHARU 25 Mei - Persatuan Bekas Komando Negeri Johor menyifatkan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Dr. Teng Hock Nan sebagai 'buta sejarah' berikutan saranannya agar kerajaan membenarkan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng kembali ke negara ini.

Penasihatnya Datuk Abdul Aziz Sapian berkata, PKM pimpinan Chin Peng itu bertanggungjawab terhadap ribuan kematian dan kecederaan yang dialami sama ada oleh anggota pasukan keselamatan serta orang awam.- BERNAMA

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_04.htm

PBPM beri amaran

KUALA LUMPUR 25 Mei - Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) memberi amaran keras kepada semua pihak yang bersimpati dengan perjuangan komunis agar tidak berusaha membawa pulang bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke tanah air.

Presidennya, Shafie Bakri menegaskan, sesiapa juga yang bercita-cita hendak membawa pulang Chin Peng kononnya atas dasar kemanusiaan, bakal berdepan dengan tindakan keras daripada bekas anggota polis yang sebelum ini mempertaruhkan nyawa mempertahankan kedaulatan negara.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_05.htm

Imbasan semula: Kuda Kepang, 12 Disember 2008

Nyawa dan darah Melayu membuktikan Chin Peng bukan pejuang kemerdekaan

Ruhanie Ahmad

Sejarah negara kita sedang dipersendakan ke peringkat paling maksimum. Mana boleh ketua Partai Komunis Malaya (PKM) bernama Chin Peng digelar pejuang kemerdekaan?

Saya kenali Chin Peng menerusi namanya sejak saya kecil di Kampung Separap, Simpang Kiri, Batu Pahat, Johor. Ayah, Ibu dan guru-guru saya sering menceritakan hal Chin Peng dan PKM kepada saya. Dari cerita-cerita mereka, saya insaf bahawa Chin Peng adalah pengganas yang perlu disula.

Kata Ibu saya, di kampung saya sendiri masih wujud bukti keganasan PKM pada tahun 1945. Di kampung saya banyak rumah dibakar secara rambang. Di kampung saya ada sekeluarga Melayu di kuburkan hidup-hidup dan beramai-ramai oleh pengganas PKM. Di kampung saya ada orang yang di sula dan digantungkan ke pohon pedada di pinggir Sungai Simpang Kiri.

Di suatu kampung yang kira-kira empat kilometer dari kampung saya, terdapat sejarah penduduknya di humbankan ke dalam minyak yang menggelegak dalam kawah gergasi. Mereka mati bagaikan katak.

Di satu lagi kampung pendalaman kira-kira enam kilometer dari kampung saya, sebuah surau pernah dijadikan pusat pengganas Bintang Tiga (PKM) untuk berpesta meminum arak dan menikmati juadah khinzir panggang. Di situ juga sekumpulan perawan Melayu pernah dirogol dan diperkosa oleh gerombolan pengganas yang sama.

Berikutan seluruh peristiwa di atas, bangkitlah angkatan pemuda parang panjang pimpinan Allahyarham Kiayai Salleh. Kumpulan ini lebih dikenali sebagai Pejuang Selempang Merah. Mereka bertindak dan berjuang semata-mata untuk memansuhkan kezaliman PKM. Mereka adalah pahlawan yang tidak pernah didendang. Mereka berjuang demi agama, bangsa dan tanahair.

Saya belum pernah berterus-terang sebegini menerusi tulisan di blog ini sebelum ini kerana khuatir dituduh sebagai mengapi-apikan semangat perkauman. Tetapi, saya pernah suarakan kisah di atas di Dewan Rakyat sehingga membuatkan pihak DAP senyap dan tergamam.

Oleh itu, tanpa apologi kepada sesiapa, hari ini saya katakan bahawa saya hilang sabar bila ada individu mengatakan pejuang kemerdekaan negara adalah Chin Peng. Pastinya luahan suara bangkangan saya ini disetujui oleh penduduk di sekitar Pagoh, Bukit Pasir dan Bukit Kepong, Muar, yang terdapat waris-waris mereka dibunuh oleh PKM yang zalim. Pastinya orang Pontian juga turut menyimpan kisah seperti ini dalam lipatan sejarah keluarga masing-masing.

Begitu juga dengan masyarakat Melayu di Bahau, Negeri Sembilan; di Sekinchan, Selangor; dan di Sungai Manik, Perak. Mereka juga mempunyai sejarah keganasan PKM yang hampir serupa bentuk dan kisahnya.

Beribu-ribu keluarga bekas Polis Khas atau Special Constable (SC), Polis biasa dan Askar Melayu juga pastinya amat arif akan kezaliman PKM. Beratus-ratus ayah, pakcik, dan anggota keluarga mereka di bunuh anggota PKM sewaktu mempertahankan tanahair di zaman darurat.

Waris-waris askar Melayu yang hilang kaki, hilang tangan dan hilang nyawa akibat bom dan jerangkap samar PKM di Lembah Gubir pun pastinya mengakui bahawa Chin Peng dan PKM bukan pejuang kemerdekaan negara.

Cukuplah setakat ini curahan rasa bangkangan saya terhadap individu yang sedang mempersendakan sejarah perjuangan bangsa kita memerdekakan negara. Saya harap pihak berkuasa akan segera bersuara dan bertindak untuk membetulkan fakta dan hakikat sejarah yang sebenar-benarnya.

Comments:

Cina: I am a Chinese. I know who is Chin Peng. He is a terrorist and a disgrace to all Malaysia Chinese who choose Malaysia as their motherland. - 9:00 PM

Putera Bentan: Saya anak Johor. Tok nenek saya juga selalu cerita pasal komunis dan Chin Peng. Hanya orang mabuk boleh sifatkan pengganas sebagai juara kemerdekaan kita. - 9:02 PM

Nakhoda: Chin Peng pejuang kemerdekaan? Saya cucu cicit polis yang dibunuh komunis di Balai Polis Bukit Kepong kata, Chin Peng adalah pengganas. - 9:06 PM

Limado: Komunis tetap komunis. Di Indonesia mereka tanam mereka di lubang buaya. Saki baki mereka kita hapuskan. - 9:13 PM

Azam: Orang yang kata Chin Peng pejuang kemerdekaan adalah orang gila. Warning dia jangan panaskan orang Melayu yang hari ini memilih untuk hidup aman damai dengan semua kaum di Malaysia. - 9:20 PM

Fireroll: Saya juga anak Johor. Saya juga mendengar cerita pengganasan oleh Chin Peng. Beliau seorang yang tidak berperikemanusiaan, pembunuh anggota polis, orang kampung, dan sudah tentu rakyat Malaysia. Orang yang berkatakan Chin Peng merupakan individu pembebasan negara dalam menuju kepada usaha kemerdekaan adalah buta sejarah, dan sudah tentu beliau tidak layak duduk di Tanah Malaysia ini. - 9:55 PM

Akal: Bagi saya sekarang ni bukannya masa untuk berlembut. Kita kadang-kadang terpaksa biadap demi menghadapi kebiadapan mereka yang tak sedar di untung. Namun tidakkah kebiadapan ini bercambah akibat kegagalan para pemimpin kita dalam melaksanakan amanah yang di junjung mereka. - 9:57 PM

Azman: Ramai orang Melayu pun tidak tahu sejarah perjuangan Selempang Merah Kiyai Salleh tu, terutama generasi muda-mudi. Adakah salah jika sejarah perjuangan Selempang Merah itu diceritakan di blog Datuk? -12:14 AM

Garden: History should always be told as honestly as possible. Bila kita sanggah Chin Peng sebagai pejuang kemerdekaan, tidak bermakna orang-orang Cina lain pun patut disanggah sebagai pejuang. Chin Peng bukan sahaja mengganas kepada orang-orang Melayu, malah juga kepada bangsa-bangsa lain juga pada tika itu. Chin Peng sepatutnya tidak dialu-alukan di bumi Malaysia ini. Bukti keganasan Chin Peng ke atas orang-orang yang tidak berdosa sudah cukup sebagai bukti betapa dia bukan lagi pejuang, malah pengkhianat kepada orang Malaysia dan juga orang-orang sebangsa dengannya.- 12:47 AM

Anak Jati Melayu: Datuk saya seorang pegawai polis pada tahun 1945 dan bertugas di Seremban. Pada 31/10/45 dia mendapat telegram yg isterinya selamat melahirkan seorang anak lelaki iaitu anak sulung mereka. Dengan berita yg mengembirakan itu beliau bersiap sedia untuk pulang ke Taiping dengan keretapi. Tetapi hayat beliau tidak lama dan hasrat untuk melihat anak sulung dan isteri tidak kesampaian kerana, beliau ditikam oleh seorang anggota PKM di Stesen Keretapi Seremban. Saya harap PRK hayatilah peristiwa ini. Jangan jadi pengkianat kepada bangsa dan agama. Salam - 2:45 AM

Pesanan Keramat: Chin Peng tidak boleh langsung dikatakan sebagai pejuang kemerdekaan. Hanya seorang komunis atau Cina cauvanis mengatakan Chin Peng pejuang kebebasan. Tanahair mana yang ingin dibebaskan? Ini bukan tanahair Chin Peng. Dia bukan warganegara! Semasa perang China-Jepun, dia mahu pergi ke China membantu Mao Tze Tong. MPAJA adalah caturan British untuk mengambilalih tanah jajahannya. British gunakan orang Cina, semasa itu kaum imigren dan pendatang, dan bukan membantu orang Melayu untuk memenangi kembali tanahairnya. - 5:19 AM

Anak mamak: Apakah mereka yang memperjuangkan Chin Peng dah lupa tragedi Bukit Kepong...ni akibatkanya kita org ISLAM..berpecah di negara Malaysia... - 9:50 AM

Kamarudin Awang: Orang-orang lama di Kuala Sedili, Kota Tinggi Johor juga masih ingat. Arwah ayah saya sendiri pernah bercerita tentang keganasan PKM di Sedili Besar kepada saya. - 10:46 AM

OTAI: Ayah saya s/c polis dan tok bini saya askar british di mana anaknya abdul jalil dibunuh komunis ni. bintang 3...banyak cerita. sampai taukeh ikan, sayur, taukeh babi dah pangkat jeneral dan kolonel dalam PKM tu... - 11:57 AM

Azlan: hairan bagaimana ada pula sesetengah orang yang menganggap Chin Peng sebagai "pejuang kemerdekaan". Saya marah dengan Chin Peng dan komunis tapi tidak pernah saya salahkan orang Cina. bukan semua orang Cina menyokong komunisme. sangat-sangat tidak bersetuju Chin Peng dianggap sebagai "pejuang kemerdekaan." - 11:59 AM

Amirhamzah64: Chin Peng berhutang darah dengan Melayu. Bagi majoriti orang Melayu, PKM ditolak kerana ideologinya dan hasratnya ingin membentuk sebuah Republik Komunis berkiblatkan China dan Rusia. Secara tidak langsung akan menghapuskan institusi Raja-Raja Melayu dan hak-hak orang Melayu di buminya sendiri. - 12:58 PM

Apocryphalist: Bagi saya, teriak-teriakan mengagungkan Chin Peng adalah suatu usaha terancang sesetengah pihak untuk “menguji kedalaman air” dengan mengetengahkan isu-isu yang jorok yang dilihat orang-orang Melayu, sebagai satu prelud sebelum dilancarkan serangan-serangan yang lebih menggegarkan kita semua. Kalau hanya setengah generasi dahulu penduduk bukan Bumiputra negeri ini mengakui akan ketuanan Melayu umpamanya, dewasa ini isu ini pulak yang digembar-gemburkan, dengan menyama-ratakan kependatangan mereka dengan penghijrahan Melayu dari tanah sebarang ratusan tahun dahulu.- 2:52 PM

Jeremy adnan: Ramai orang awam dan pejuang yang terbunuh dan dibunuh dek kekejaman PKM di Malaysia.tak cukup dengan itu ramai yang telah diseksa dan ramai anak gadis dirogol oleh mereka. Orang sebegini yang hendak di angkat sebagai hero?-4:48 PM

Cheng Ho: Chin Peng adalah persona non grata tidak perlu buang masa untuk bincang.- 8:46 PM

Tok iskandar: Tok setuju dengan komen tentang Chin Peng itu.- 8:57 PM

Antubiul: Ching Peng sebenarnya pejuang Kemerdekaan murtad! - 12:26 AM

Haji: Kita berharap agar kerajaan mengkaji kerakyatan mereka yang menyokong komunis dan yang menganggap Chin Peng sebagai pejuang kemerdekaan. KDN mesti mengambil tindakan termasuk membatalkan kerakyatan.- 1:21 AM
Wira: Saya seangkatan dengan Datuk dan saya tetap mengatakan PKM dan ahli-ahlinya pengkhianat penduduk di negara ini kerana keganasannya. Fakta tetap fakta dan insaflah supaya kita semua hidup aman dan berkongsi bersama membina hidup baru. Jangan lakar semula sejarah. Sejarah menjadi sempadan untuk kitan insafi.- 2:52 AM

Mozafar: Generasi muda yang buta sejarah akan terima bulat-bulat definasi konon Chin Peng pejuang kemerdekaan jika tiada yang bangkit menjelaskan keadaan sebenar. Malangnya propaganda isu ini dipelopori oleh orang Melayu sendiri. Sungguh mengecewakan.- 9:28 AM

The Author: Chin Peng ketua komunis tidak berhak untuk diberi peluang memasuki Malaysia..atas perbuatan membunuh dengan kejam. Inilah Terorist yang patut dibunuh bukannya dibiarkan. Sungguh malang jika pihak berkuasa dan undang-undang tidak berupaya menghalang..Bangkitlah dan sedar. - 7:44 PM

Saturday, May 23, 2009

Hubungan Malaysia-Singapura bagaikan duri dalam daging?

Ruhanie Ahmad

Hubungan Malaysia-Indonesia adalah persahabatan saudara senusantara, biduk lalu kiambang bertaut, air dicincang tak akan putus. Hubungan Malaysia-Brunei adalah persahabatan abadi dua negara di mana persamaan sentiasa diraikan, perbezaan pula sentiasa dihormati. Hubungan Malaysia-Singapura adalah persahabatan yang berasaskan kepada pertalian sejarah bumi Melayu yang malang. Ada pihak mengatakan ianya bagaikan aur dengan tebing. Banyak pihak pula menyifatkannya umpama duri dalam daging. Begitulah hakikatnya menurut logika pemikiran Melayu tradisi.

Secara ilmiahnya, kajian hubungan antarabangsa adalah mengenai interaksi politik dan sosial antara negara, aktor bukan negara dan individu (Griffiths, O’Callaghan & Roach 2008:vii). Konsep hubungan antarabangsa pula merujuk kepada hubungan antara negara-bangsa. Tetapi, oleh kerana negara adalah aktor utama hubungan antarabangsa, pelbagai wacana oleh majoriti sarjana klasik mempersetujui bahawa hubungan antarabangsa adalah hubungan antara negara (Viotti & Kauppi 1999:26). Sementara itu, Millar (1969) pula menegaskan, dasar luar adalah dasar yang mempunyai dampak kepada hubungan sebuah negara dengan negara lainnya.

Berikutan lawatan rasmi Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak ke Singapura semalam, apa agaknya diskripsi yang paling sesuai untuk menghuraikan hubungan Malaysia-Singapura? Bagai menanam tebu di bibir, di mana dengan wajah manis pemimpin besar Singapura menolak ide pembinaan jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor? Umpama madu dan racun di mana Malaysia yang membekalkan berjuta-juta gelen air mentah ke Singapura setiap hari, tidak langsung dihormati sehingga menyebabkan Singapura enggan memahami matlamat Malaysia untuk menggantikan Tambak Johor? Atau seperti melepaskan anjing tersepit, di mana Singapura yang amat memerlukan bekalan air diberikan bekalan air secukupnya, dan Singapura yang memerlukan ruang bumi baru-baru ini disediakan Iskandar Malaysia sebagai taman permainannya yang baru di bumi Malaysia, tetapi republik itu tidak langsung rasa terhutang budi walaupun setitik nilainya kepada Malaysia?

Dasar luar Malaysia memang berasaskan teori realisme di mana kelangsungan, kepentingan, kedaulatan dan keselamatan negara adalah nilai-nilai teras utamanya. Tetapi, proses evolusi menyebabkan Malaysia mempunyai hubungan luar yang sentiasa disesuaikan dengan perkembangan semasa. Oleb sebab itu Malaysia mengamalkan dasar luar yang digandingkan dengan teori interdependensi terhadap jiran tetangganya. Malaysia melaksanakan dasar luar untuk memperkayakan jiran tetangganya. Malaysia percaya kepada dasar luar yang digabungkan dengan teori keamanan. Ini bermakna, ciri-ciri resalisme yang menjadi asas kepada dasar luar Malaysia sentiasa digabungkan dengan teori interdependensi dan keamanan semata-mata untuk mewujudkan peaceful co-existence atau kehidupan bersama secara aman.

Tetapi, bagaimana dengan dasar luar Singapura? Mungkinkah Republik pulau itu akan terus tidak berganjak dengan dasar luarnya, iaitu realis-independen, tanpa sebarang ruang kompromi dan bertolak ansur dengan jiran tetangganya? Jika begitu hakikatnya, mungkinkah Malaysia akan mengkaji semula dasar luarnya dengan Singapura supaya sesuai dengan fahaman realis-independen yang dianuti oleh republik tersebut? Jika itulah hakikatnya, wajarkah Malaysia bertegas dengan Singapura bila satu daipada perjanjian airnya dengan Malaysia mansuh tempohnya pada 2011? Jika begitu hakikatnya, mustahilkah untuk Malaysia mengkaji seluruh hubungan dua halanya dengan republik itu supaya selaras dengan fahaman realis-dependen yang dipegang teguh oleh Singapura?

Pandangan di atas adalah cetusan minda peribadi saya selaku rakyat biasa Malaysia. Saya mencetuskan pandangan ini kerana saya beranggapan Singapura sejak era kepimpinan Abdullah Badawi seolah-olah tidak langsung mahu bertolak ansur dengan Malaysia. Silap siapa, saya tidak mampu untuk memastikannya. Tetapi, silap Malaysia paling ketara adalah sikap kita yang sentiasa mahu menjaga hati jiran tetangga tanpa mengira hakikat dan realiti pihak yang berjiran dengan kita.

Berasaskan cetusan pendapat ini, fikirkanlah semasak-masaknya berita ini yang saya petik daripada halaman N6 akhbar The Star bertarikh 21 Mei 2009 seperti berikut:

JOHOR BARU: Kota Iskandar, the sprawling new state administrative capital in Nusajaya, faces a major security risk as it is located near a Singapore firing range.

The range, inside the Sarimbun Camp, is operated by the Singapore Armed Forces and involves the use of a live ammunition from tanks and aircraft including helicopter gunships.

There have been instances when the explosions at the range have caused vibrations on the Malaysian side less than 2km away.

Banyak persoalan strategik timbul daripada berita di atas. Mengapa jadi begitu? Silap siapa? Atas nasihat siapa? Mengapakah sesuatu perancangan besar di kawasan sempadan tidak melalui kajian impak keselamatan yang menyeluruh?

Berasaskan cetusan pandangan ini juga saya ingin bertanya, jika Malaysia hendak membina jambatan ketiga merentangi Sulat Tebeau, di manakah lokasinya? Adakah lokasinya adalah lokasi yang sudah dikenalpasti oleh Singapura, iaitu lokasi yang betul-betul mengarah ke Nusajaya? Jika itulah lokasinya, bukankah satu syarikat swasta pernah membuat satu presentation di sebuah hotel lima bintang di Singapura kira-kira tiga tahun lalu, mengenai hasrat Singapura mahu membina sebuah jambatan raya atau superbridge yang kalis bom menuju ke Nusajaya? Jika itulah lokasinya, benarkah jambatan itu akan dibina mengikut spesifikasi keselamatan dan pertahanan Singapura?

Waspadalah Malaysia. Ibu negeri Johor Darul Takzim kini berada dalam jarak bedilan kereta kebal dan kapalterbang berpeluru milik Singapura. Jika jambatan ketiga yang mahu dibina kelak adalah jambatan yang mengikut spesifikasi keselamatan dan pertahanan Singapura menuju ke Nusajajaya, perbetulkanlah keadaan ini dengan serta merta.

Dengan Singapura, hubungan Malaysia tidak perlu lagi berlembut atau berkasar. Tetapi, hubungan Malaysia-Singapura cukuplah sekadar untuk berhubungan tanpa pihak di pulau itu beranggapan Malaysia adalah negara yang boleh dipermainkan, dimanipulasi atau tidak perlu dihormati kedaulatan dan kemerdekaannya. Fikir-fikirkanlah!

Pilihan raya kecil Penanti saksikan pertandingan empat penjuru

BUKIT MERTAJAM 23 Mei — Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti menyaksikan pertandingan empat penjuru antara seorang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan tiga calon bebas.

Empat calon itu ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman, 56, bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Nasional (KeAdilan) Pulau Pinang, Aminah Abdullah, 56, Pengurus syarikat yang juga bekas Ketua Pemuda Gerakan Cawangan Telok Wang, Penanti di sini, Nai-Khan Ari a/l Nai Keow, 41 dan pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris, 42. – BERNAMA (Utusan online, 2:03pm)

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0523&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_05.htm

Friday, May 22, 2009

Al-Fatehah: ADUN Manek Urai meninggal dunia


Ini berita tebaru. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manek Urai, Kelantan, Paksu Wel, kembali ke rahmatullah jam 5.55 pagi tadi, demikian menurut SMS daripada Dato’ Ibrahim Ali kepada blog ini sebentar tadi. Semoga roh Allahyarham berada di kalangan orang yang soleh. Al-Fatehah!

Hindraf memusuhi Bumiputera orang Melayu dan umat Islam?

Ruhanie Ahmad

Dalam kenyataannya yang disiarkan dalam Utusan Malaysia 10 Disember 2007, P. Uthayakumar selaku pemimpin Hindraf “mengisytiharkan secara terbuka bahawa musuhnya adalah UMNO, bukan orang Melayu.”

Tetapi dia terlupa bahawa ahli UMNO adalah orang Melayu, umat Islam dan juga Bumiputera. Jadi, siapa yang dia nak perdayakan bila berkata bahawa musuh Hindraf bukannya orang Melayu?

Anehnya, MIC yang menjadi komponen Barisan Nasional (BN) tidak pernah bersuara untuk membantah kenyataan ini. Lebih aneh lagi bila ahli-ahli UMNO, orang Melayu, umat Islam dan Bumiputera juga seolah-olah memandang ringan kenyataan berkenaan.

Lebih ironis lagi, hari ini terdapat pemimpin-pemimpin politik Melayu dan Islam yang turut menjulang orang-orang Hindraf yang telah memenangi PRU12 atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menjadi keluarga Pakatan Rakyat (PR) di mana antara sekutunya adalah PAS.

Saya lampirkan di bawah ini kenyataan Uthayakumar pada 9 Disember 2007. Kaji dan telitilah sendiri. Tidakkah kenyataan ini membawa maksud bahawa musuh Hindraf adalah orang Melayu, umat Islam dan Bumiputera? Apa agaknya reaksi orang Melayu, umat Islam dan Bumiputera setelah memahami kenyataan tersebut? Fikir-fikirkanlah!

BUTTERWORTH 9 Dis. – Hindu Rights Action Force (Hindraf) hari ini mengisytiharkan secara terbuka bahawa musuhnya adalah UMNO, bukan orang Melayu.

Seorang peguam yang mendakwa mewakili Hindraf, P. Uthayakumar berkata, ini kerana parti itu didakwa mengetepikan masyarakat India dalam arus pembangunan negara.

‘‘Kami telah hidup dengan baik dan bekerjasama erat dengan orang Melayu bukan setakat 50 tahun lalu tetapi sejak 200 tahun dahulu.

‘‘Kami tidak bermusuh dengan orang Melayu kerana mereka banyak membantu. Hindraf hanya memusuhi UMNO,” katanya ketika berucap semasa menghadiri upacara keagamaan di Kuil Sri Mahamariamman di Jalan Jeti Lama di sini hari ini.

Kira-kira 2,000 orang India berhimpun secara aman di kuil itu bagi mengadakan upacara keagamaan untuk mendoakan pembebasan 31 penyokong Hindraf yang ditahan ekoran terlibat dalam perhimpunan haram di ibu negara 25 November lalu.

Perhimpunan yang bermula kira-kira pukul 11 pagi hingga 1 petang itu turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Sungai Puyu, Phee Boon Poh dari DAP.

Uthayakumar berkata, masyarakat India tidak menghadapi masalah untuk terus hidup harmoni bersama masyarakat Melayu dan tidak sekali-kali berasa marah atau benci kepada orang Melayu.

Menurutnya, Malaysia tetap menjadi negara tumpah darah yang dipertahankan oleh masyarakat India negara ini, namun apa yang menjadi masalah ialah kerajaan pimpinan UMNO mengabaikan masyarakat India.

Beliau yang ditemui selepas itu juga berkata, kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang mendedahkan tindakan Hindraf meminta sokongan dan bantuan pengganas antarabangsa iaitu Pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dari Sri Lanka adalah satu pembohongan.

Menurut Uthayakumar, pembohongan itu bertujuan untuk mengalih isu yang ditimbulkan oleh Hindraf dengan mengaitkan mereka dengan kumpulan pengganas.

Menurutnya, langkah itu bertujuan memastikan badan bukan kerajaan antarabangsa dan kerajaan negara asing menjauhi dan tidak menyokong Hindraf.

Justeru, kata beliau, pihaknya membuat laporan polis berhubung tuduhan Musa terhadap Hindraf itu kira-kira pukul 3 petang semalam di Kuala Lumpur.

‘‘Kalau Ketua Polis Negara gagal buktikan kebenaran tuduhan itu dalam tempoh 24 jam, ternyata ia palsu,” katanya.

Mengenai penahanan 31 penyokong Hindraf, beliau berkata, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengadili kes mereka perlu ditukar kepada hakim baru. -- Utusan Malaysia, 9 Disember 2007.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1210&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_07.htm

Tuesday, May 19, 2009

Hindraf ancam nilai-nilai teras nasional?

Ruhanie Ahmad

Dilema keselamatan masyarakat boleh mencetuskan perbalahan, keganasan dan peperangan. Begitulah pandangan sarjana keselamatan dunia selepas beakhirnya Perang Dingin. Fenomena ini tidak mustahil. Lazimnya terjadi di sesebuah negara majmuk. Contohnya adalah di Bosnia Herzegovina.

Oleh sebab itu jangan pandang ringan tindak-tanduk Hindraf. Nilai-nilai teras yang diperjuangkan oleh pertubuhan ini mungkin legitimate. Tetapi, pendekatan, gelagat dan kenyataan segelintir pemimpinnya terbukti menghiris jiwa dan memprovokasikan sentimen Melayu dan Islam.

Maka, memang wajar Hindraf dijadikan referent object untuk di securitised kan sebagai ancaman. Ini kerana nilai-nilai teras yang mesti dipertahan dan dilindungi oleh pemerintah Malaysia dan majoiti rakyat adalah keharmonian agama, perpaduan nasional dan kepentingan negara. Kalau nilai-nilai teras ini dikompromikan, kita semua mungkin terjejas di kemudian hari.

Kebelakangan ini pertubuhan haram ini kembali menarik perhatian umum. Pada Januari 2008 saya menerbitkan sebuah buku mengenai pertubuhan ini bertajuk Hindraf satu konspirasi? Di bawah ini adalah antara sedutan kandungannya.

Siapa Hindraf? Sebuah pertubuhan haram? Organisasi pelampau? Pengkhianat negara? Sekutu kepada satu pertubuhan teroris Tamil antarabangsa berpangkalan di Sri Lanka? Sekutu kepada satu kumpulan facist yang dikenali sebagai RSS berpangkalan di India? Seekor merak yang amat bongkak, seekor naga perkasa yang tergila-gilakan pancaran sinar sebutir berlian misteri, atau seekor mengkarung yang sentiasa pintar menukar warna badannya mengikut kesesuaian persekitarannya?

Mengapakah Hindraf memfitnah Malaysia kononnya melakukan pembersihan etnik ke atas penganut Hindu? Mengapakah Hindraf mendesak kerajaan untuk melantik keturunan Cina sebagai Menteri Kewangan Kedua? Mengapakah Hindraf mendesak kewujudan jawatan Timbalan Perdana Menteri Kedua dari kalangan bukan Melayu?

Banyak pihak hairan, mengapakah dengan tidak semena-mena, Hindraf bangkit mewarna-warnikan suasana politik Malaysia dengan seribu satu macam tuduhan, fitnah dan provokasi. Tidak mungkinkah tindakan atas platform agama itu hanya satu permulaan untuk mencapai objektif Hindraf yang rahsia, lebih besar dan lebih menyeluruh bentuknya?

Demonstrasi Hindraf penuh dengan babak sensasi dan kenyataan provokatif. Beberapa orang pegawai polis yang mengawal demonstrasi itu tercedera akibat tindakan peserta demonstrasi tersebut. Beberapa peserta demonstrasi Hindraf juga turut menerima nasib yang sama akibat tindakan balas pihak pasukan keselamatan.

Satu lagi ironi dalam demonstrasi Hindraf adalah mengenai keengganan kepimpinannya menyerahkan petisyen Hindraf kepada pihak Pesurujaya Tinggi British, di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Hakikat ini amat menghairankan. Kalau matlamat tunggal demonstrasi Hindraf dikatakan untuk menyampaikan petisyen tersebut, mengapakah petisyen itu tidak diserahkan kepada pihak Pesuruhjaya Tinggi British? Adakah Hindraf berkonspirasi dengan mana-mana pihak untuk menganjurkan demonstrasinya?

Oleh sebab itu, kajilah Hindraf secara terperinci berasaskan dokumen rasmi yang telah dikeluarkan oleh Hindraf dan dikirimkan kepada Perdana Menteri Malaysia, Perdana Menteri British, Ratu Elizabeth II, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan lain-lainnya.

Mengapakah pemimpin-pemimpin Hindraf hanya ditahan di bawah Seksyen 8 ISA yang tidak membolehkan pihak polis menyiasat mereka secara rapi? Mengapakah mereka tidak disoal-siasat mengenai latarbelakang yang menyebabkan mereka membuat tuduhan mengenai pembersihan ektik dan mini-genocide ke atas kaum India di Malaysia?

Mengapakah tidak dipastikan mengapakah mereka membuat kenyataan penuh provokasi terhadap UMNO, umat Islam dan orang Melayu sehingga hampir-hampir mencetuskan perbalahan kaum dan pertumpahan darah? Mengapakah tidak disoal-siasat kenapa mereka merayu komuniti antarabangsa untuk mendesak Kerajaan Malaysia memansuhkan Perlembagaan Persekutuan?

Hindraf telah menjadi seperti Hindraf hari ini akibat kedolak-dalikan pemerintah. Kepimpinan semasa mestilah segera perbetulkan keadaan supaya rakyat selamat, negara aman, dan seluruh nilai-nilai teras nasional mengenai keselamatan negara sentiasa terpelihara dan terjamin.

BN bertindak waras dan berani

BN tidak akan bertanding dalam PRK DUN Penanti. Ini satu keputusan yang waras, tindakan yang berani, dan strategi yang bijak. Dengan keputusan, tindakan dan strategi ini PR akan mati langkah dan hilang ghairah. Antiklimeks!

BN sebagai parti yang rasional tidak perlu terdorong dengan rentak politik kuasa oleh pihak yang sedang mengigal bak merak kayangan. BN wajar menumpu kepada soal kesejahteraan rakyat dan kelangsungan negara.

BN hanya perlu menyertai sesuatu PRK bila kerusi berkenaan kosong kerana ADUN penyandangnya meninggal dunia atau hilang kelayakan akibat sesuatu implikasi undang-undang.

Pihak yang mempermainkan mandat rakyat, walaupun demokratik, seperti di Penanti, adalah pihak yang sengaja untuk bermain politik kuasa semata-mata untuk kuasa, bukannya untuk rakyat jelata.

Memang seronok bermain politik kuasa ala-machiavelli, matlamat menghalalkan cara. Tetapi, dalam soal PRK Penanti, matlamat siapakah yang telah menghalalkan cara PR untuk bertandak dan bertindak sedemikian rupa?

Adakah PRK Penanti mahu mencapai matlamat PR untuk membuktikan kepada umum kononnya ia masih didukung dan dijulang oleh rakyat jelata di Penanti?

Adakah PRK Penanti mahu mencapai matlamat untuk membuktikan kononnya BN pengecut dan mengangkat bendera putih sebelum memasukki medan tempur?

Tidak mungkinkah PRK Penanti hanya mahu mencapai matlamat seseorang individu tertentu yang kini sedang diselubungi krisis moral? Matlamat siapakah yang sebenarnya menghalalkan cara PR memanipulasikan ADUN Penanti sehingga menyebabkan kerusi DUN itu dikosongkan untuk membolehkan PRK ini diadakan?

Pastinya pengundi di Penanti dapat menghalusi seluruh pertanyaan ini dan memberikan jawapannya secara tepat. Pastinya para penyokong BN juga dapat memahami matlamat siapakah yang sebenarnya telah menghalalkan cara dalam konteks PRK Penanti.

Oleh sebab itu, kita saksikan betapakah merak yang sedang gian untuk mengigal akan mengigal di Penanti tanpa audiens yang amat dinanti-nantikan. Sesudah itu, kita nantikan dimana pula agaknya merak itu akan mengigal dan mengigal untuk membuktikan dialah mahkluk terhebat, tercantik dan terhandal dalam siasah tanah air ini! – Ruhanie Ahmad

Sunday, May 17, 2009

Pengenalan: Dilema etnik di Malaysia menerusi perspektif keselamatan negara

Ruhanie Ahmad

Malaysia adalah negara majmuk. Penduduknya pada tahun 1957 seramai 6.36 juta orang, iaitu 3.12 juta Melayu, 2.33 juta Cina, 690,000 India dan 120,000 lain-lain keturunnan (Federation of Malaya Year Book 1959). Etnik Cina pada ketika itu menguasai ekonomi negara secara kukuh, orang Melayu pula dalam kemiskinan (Deptartment of Statistics, Kuala Lumpur, 1958-1960). Pada tahun 2000, penduduk Malaysia meningkat kepada 23,274,690 orang, iaitu 11.7 juta Melayu, 2.6 juta Bumiputera, 5.7 juta Cina, 1.7 juta India, dan lain-lain kaum 269,000 orang (Utusan Malaysia: 18.9.2003). Penduduk Malaysia pada tahun 2008 adalah 25.056 juta, iaitu Melayu 13.667 juta Bumiputera 2.963 juta, Cina 6.256 juta, 1.880 juta, lain-lain keturunan 290,000 dan bukan rakyat 2.826 juta (Unit Perancang Ekonomi:2008).

Pemilikan modal saham pada tahun yang sama pula adalah RM100 bilion atau 18.9 peratus di tangan Bumiputera, RM215 bilion atau 40.6 peratus dikuasai oleh bukan Bumiputera, RM42.3 bilion atau 8 peratus dikuasai oleh syarikat nomini dan RM172.3 bilion atau 32.5 peratus dipegang oleh pemodal asing. Daripada perangkaan ini, ekuiti Bumiputera terbahagi kepada RM79.4 bilion atau 15 peratus milik individu, RM11.9 bilion atau 2.2 peratus milik institusi, dan RM8.7 bilion atau 1.7 peratus milik agensi anamah. Ekuiti milik bukan Bumiputera pula sebanyak RM207 bilion atau 39 peratus dikuasai oleh Cina, RM6.4 bilion atau 1.2 peratus dalam tangan India, dan lRM1.9 bilion atau 0.4 peratus kepunyaan lain-lain kaum (The Star: 27.6.2008).

Statistik di atas membuktikan jumlah penduduk Melayu dan Bumiputera berbanding lain-lain kaum yang hampir seimbang sewaktu kemerdekaan tanah air telah meningkat secara prominen pada 2008. Kenyataan mengenai kemiskinan serta indikator mengenai pegangan modal pula adalah manifestasi bahawa orang Melayu dan Bumiputera adalah golongan yang masih jauh ketinggalan berbanding bukan Bumiputera dan pemodal asing di Malaysia mutakhir ini.

Lantaran itu, etnik manakah yang sebenarnya sedang mengalami dilema di Malaysia? Adakah kaum Cina yang dilanda dilema kononnya akibat kewujudan hegemoni kekuasaan Melayu mulai 1969? Benarkah hegemoni Melayu yang bertunjangkan kekuasaan politik UMNO membawa peminggiran politik masyarakat Cina, dan manifestasi hegemoni ini ialah dasar kerajaan yang menekan masyarakat Cina (Thock Ker Pong 2005:2-3).

Adakah kaum India yang dibelenggu dilema di abad ke-21 ini? Oleh sebab itukah dengan secara ironisnya Hindraf mengisytiharkan secara terbuka bahawa musuhnya adalah UMNO, bukan orang Melayu (Utusan Malaysia: 29.12.2007).

Oleh sebab itukah juga Hindraf menyatakan bahawa sejak 50 tahun kemerdekaan tanah air, Kerajaan Malaysia yang dikuasai oleh UMNO, bersama dengan kekuatan majoritinya, serta disokong oleh pihak Polis, Pejabat Peguam Negara, Judiciary, Perkhidmatan Awam dan media massa telah mencabul Perlembagaan Persekutuan dan mencipta apartheid ala-Malaysia yang khususnya menyebabkan degeneration kepada sekurang-kurangnya 70 peratus daripada minoriti etnik India sehingga mereka menjadi kelompok underclass dan tergolong dalam kategori kemiskinan tegar di Malaysia (Fasal 4 dalam Memorandum 18 Perkara yang disampaikan oleh Hindraf kepada Perdana Menteri Malaysia pada 12.8.2007).

Persoalan-persoalan di atas akan dihuraikan secara terperinci berasaskan konsep keselamatan kemasyarakatan (societal security) yang dipelopori oleh Barry Buzen dalam bukunya People, states and fear (1983) dan juga huraiannya oleh Michael Sheehan dalam bukunya International Secuity (2005).

Penemuan-penemuan oleh lain-lain sarjana keselamatan negara dan keselamatan antarabangsa seperti Paul Roe menerusi buku Ethnic violence and the societal security dilemma (2005), Ray David dan Donald Rothchild menerusi buku The international spread of ethnic conflict, fear, diffusion and escalation (1998), Ole Waever, Barry Buzan, Morten Kelstrup dan Pierre Lemaitre menerusi buku Identity, Migration and the New Security Agenda in Europe (1993) dan Barry Posen menerusi tulisannya The security dilemma and ethnic conflict dalam jurnal Survival, volume 35, No. 1(1993), serta kajian oleh beberapa sarjana serta pemimpin politik Malaysia juga akan diambilkira dalam analisis ini.

Pemikiran Ken Booth dalam bukunya Theory of world security (2007) dan Emil Kirchner dan James Sperling dalam buku Global security Governance competing perceptions of security in the 21st century (2007) juga akan dijadikan sebahagian daripada asas kajian ini.

Inisiatif ini saya usahakan menerusi kapisiti saya yang terhad untuk menginsafkan kepimpinan dan warganegara Malaysia bahawa isu societal security dan dilema etnik mutakhir ini amat wajar dijadikan salah satu referent object atau objek rujukan yang perlu dihalusi, diperdalami dan diperluaskan menerusi perspektif keselamatan negara. Ini kerana ramai sarjana dunia mendapati bahawa isu-isu identiti etnik, dilema etnik terbabit, implikasi dilema tersebut terhadap ketahanan nasional serta keharmonian kaum mungkin mencetuskan konflik, keganasan dan peperangan di sesebuah negara majmuk di masa akan datang.

Kajian para sarjana ini adalah berasaskan perkembangan di negara Balkan seperti Bosnia Herzegovina dan Croatia. Mereka melakukan kajian terperinci tersebut berikutan Perang Balkan 1990-1995, terutamannya di Bosnia Herzegovina, yang mengalami genocide dan pembersihan etnik paling serius dalam sejarah dunia berbanding Perang Dunia Kedua.

Kajian mereka juga dilaksanakan kerana isu keselamatan negara di era pasca Perang Dingin bukan hanya membabitkan masalah ketenteraan dan pertahanan tetapi melibatkan juga soal-soal ketahanan nasional, perpaduan masyarakat dan kesejahteraan warganegara seluruhnya. -- (ikuti sambungannya dalam posting akan datang).

Friday, May 15, 2009

Prolog: Dilema etnik di Malaysia menerusi perspektif keselamatan negara

Ruhanie Ahmad

Ramai sarjana dunia kini mengkaji aspek keselamatan negara menerusi perspektif identiti etnik minoriti, dilema etnik terbabit, implikasi dilema tersebut terhadap ketahanan nasional serta keharmonian kaum, dan kemungkinan dilema berkenaan mencetuskan konflik, keganasan dan peperangan di sesebuah negara majmuk di masa akan datang.

Kajian berkenaan adalah berasaskan perkembangan di negara Balkan seperti Bosnia Herzegovina dan Croatia. Kajian terperinci ini dilakukan berikutan Perang Balkan 1990-1995, terutamannya di Bosnia Herzegovina, yang mengalami genocide dan pembersihan etnik paling serius dalam sejarah dunia berbanding Perang Dunia Kedua.

Antara sarjana keselamatan antarabangsa yang memberikan tumpuan kepada kajian di atas adalah Paul Roe menerusi buku Ethnic violence and the societal security dilemma (2005), Ray David dan Donald Rothchild menerusi buku The international spread of ethnic conflict, fear, diffusion and escalation (1998), Ole Waever, Barry Buzan, Morten Kelstrup dan Pierre Lemaitre menerusi buku Identity, Migration and the New Security Agenda in Europe (1993) dan Barry Posen menerusi tulisannya The security dilemma and ethnic conflict dalam jurnal Survival, volume 35, No. 1(1993).

Pemikiran Ken Booth dalam bukunya Theory of world security (2007) dan Emil Kirchner dan James Sperling dalam buku Global security Governance competing perceptions of security in the 21st century (2007) juga relevan terhadap kajian berkenaan.

Oleh sebab itu, kenyataan Presiden PERKASA, Dato’ Ibrahim Ali, yang dipetik oleh Utusan Malaysia 15 Mei 2009, sebagai mendesak kerajaan supaya bertegas terhadap tuntutan masyarakat Cina yang minta dikaji semula dasar biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kerana menurut Ibrahim tuntutan tersebut ”hanya mementingkan politik kaum semata-mata,” dan kerajaan sewajarnya memastikan agar kepentingan Melayu dan Bumiputra yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutan ”sentiasa terpelihara,” adalah satu kenyataan yang perlu mendapatkan perhatian serius daripada seluruh pihak di Malaysia.

Kenyataan Ibrahim ini boleh menyebabkan beliau dikecam oleh segolongan oportunis dan ektremis bukan Melayu. Beliau juga mungkin dibidas oleh golongan Melayu universalis atau Melayu yang lupa asal-usul bangsa sendiri.

Kepada semua kumpulan ini, sila rujuk kepada muka surat 6, 70 dan 71 Report of the Federation of Malaya Constitutional Commission 1957 yang menghuraikan sejarah mengapakah keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kumpulan ini juga wajar memahami dan menghayati mesej di sebalik kenyataan akhbar Majlis Raja-Raja Melayu pada 16 Oktober 2008 mengenai peranan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu. Antara lain, kenyataan berkenaan menegaskan, Raja-raja Melayu mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu, melindungi Agama Islam, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia.

Cadangan ini dikemukakan kerana sesetengah golongan politik bukan Melayu kini mula menyuarakan pelbagai isu dan kecaman terhadap orang Melayu dan Bumiputra yang menjuruskan kepada beberapa Fasal asas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Cadangan ini juga diketengahkan kerana kebelakangan ini muncul golongan Melayu, termasuk pemimpinnya, yang sangat apologetik bila dituntut untuk membicarakan ketuanan Melayu atau mempertahankan hak-hak Melayu dan Bumiputra dalam Perlembagaan Persekutuan.

Memang Malaysia pada hari ini adalah sebuah negara yang majmuk. Hakikat ini diterima sepenuhnya oleh orang Melayu. Tetapi, sejauh manakah hakikat ini diiktiraf, diakui dan dihormati oleh bukan Melayu?

Biarpun begitu, orang Melayu dan bukan Melayu perlu insaf bahawa kemajmukan Malaysia bukan atas pilihan orang Melayu. Kemajmukan masyarakat Malaysia hari ini adalah hasil tipu muslihat penjajah Inggeris.

Menurut Ahmad Attorey Hussein (1987:56), hujah-hujah yang mengatakan kalau tidak ada penyertaan MCA dan MIC untuk merdeka negara adalah hujah yang sangat lemah, satu pembohongan politik dan satu helah penjajah kerana ia tidak mahu bertanggungjawab jika terjadi satu-satu hal nanti. Penjajah terhutang budi kepada orang Cina dan India kerana orang-orang inilah yang membantu Inggeris menjadi kaya, menjadi kuasa besar. Jadi, sebelum Inggeris keluar dari bumi Malaya, ia pastikan supaya hak warganegara diperolehi oleh bekas buruh-buruhnya itu.

Menurut Tunku Abdul Rahman (1997:170), tujuan mereka (bukan Melayu) hendak duduk dalam Tanah Melayu ialah kerana mencari nafkah dan kekayaan dan kita tahu yang mereka itu berkehendak berebut hak-hak siasah di dalam negeri ialah kerana hendak mempertahankan hak-hak mereka yang ada sekarang.

Oleh sebab itulah pada masa kita bangkit dan meruntuhkan Malayan Union, bangsa-bangsa asing cuma melihat dan memandang sahaja. Mereka tidak masuk campur atau ambil tahu apa-apa kerana mereka sedar bahawa yang kita tuntut itu adalah hak kita sendiri dan bangsa asing itu tidak mengambil bahagian kerana pada fikiran mereka itu yang mereka tidak kena-mengena dengan pemerintahan negeri ini (Tunku Abdul Rahman 1997:170).

Tetapi, Tanah Melayu menuntut kemerdekaan dengan cara berkongsi antara tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India, padahal semasa orang Melayu menentang Malayan Union pada tahun 1946, tidak ada langsung penyertaan kaum bukan Melayu. Dengan kata lain, British menjajah atau mengambil Tanah Melayu dari orang Melayu sendiri, tetapi semasa menuntut kembali Tanah Melayu untuk merdeka, kita terkial-kial mengajak sangat kaum-kaum yang bukan Melayu untuk menuntut Tanah Melayu dari British (Ahmad Attorey Hussein 1987:55).

Berdasarkan kenyataan-kenyataan di atas, seluruh pihak di Malaysia wajar waspada terhadap fenomena etnik yang terjadi di Wilayah Balkan. Bukan Melayu tidak seharusnya mencabar perkara-perkara yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan wajar memberikan perlindungan yang setegas-tegasnya kepada seluruh peruntukan asas mengenai Melayu dan Bumiputra yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Orang Melayu dan Bumiputra pula perlu berani mempertahankan status mereka dalam Perlembagaan Persekutuan secara berhemah dan bijaksana.

Pada waktu yang sama, kerajaan perlu memastikan bahawa seluruh dasar affirmative mengenai Melayu dan Bumiputra tidak akan dikompromikan. Projek-projek di kawasan sepmpadan juga harus mempunyai kajian impak terhadap kedaulatan negara. Jikalau sesuatu dasar perlu melalui penyesuaian, lakukanlah secara bijaksana. Elakkanlah fenomena kera di hutan tidak disusukan, dagang lalu tidak ditanakkan, ayam di kepok tidak mati kelaparan, itik di air pula tidak mati kehausan!

[Nota: saya sedang menyediakan satu esei mengenai tajuk posting ini sebagai satu usaha kecil dan usaha awal untuk mengkaji konflik etnik dan implikasinya kepada keselamatan negara. Semoga anda sudi memberikan buah fikiran untuk kesejahteraan Malaysia di hari-hari mendatang. – Ruhanie Ahmad]

Monday, May 11, 2009

Mohammad Nizar MB Perak yang sah

KUALA LUMPUR 11 Mei – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan bahawa Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar Perak yang sah. – Utusan 3.53pm

Novel Suara 11 Mei sentiasa menerjah memori

Ruhanie Ahmad

Hari ini 11 Mei 2009. Menurut Wikipedia, 11 Mei adalah hari ke-131 (hari ke-132 dalam tahun lompat) dalam kalender Gregorian. Kita mempunyai 234 hari lagi menjelang hujung tahun ini. UMNO lahir pada 11 Mei 1946. Pada 13 Mei 1969 sejarah Malaysia moden bermandi darah.

Sempena 11 Mei 2009, saya siarkan di sini sedutan daripada beberapa bab novel Suara yang saya tulis tetapi belum siap hingga ke hari ini kerana saya masih menanti babak-babak menarik untuk menjadi penutup novel berkenaan. Amaran: jika posting kali ini panjang lebar, anggaplah ianya hadiah 11 Mei 2009. Kalau ianya meloyakan, anggaplah kisah di bawah ini hanya layak untuk khazanah Alam Flora!

SATU: 11 Mei, jam 7.15 pagi. Suasana alam ketika itu sungguh menawan, tenteram, aman dan damai. Matahari masih bersembunyi di sebalik bukit. Cahayanya yang kuning-kuning air dan keemasan kelihatan sayup-sayup mewarnai langit di arah timur. Hawa masih dingin, kabus masih tebal, embun juga masih segar di hujung rumput. Dalam keadaan demikian, burung-burung sudah meninggalkan sarang. Mereka keluar mencari rezeki. Mereka terbang berkawan-kawan, menyanyi-nyanyi, mendendangkan lagu-lagu syahadu yang mengandungi seribu satu rahsia kehidupan. Dalam suasana seindah itulah juga Penghulu Mukim Tanjung Periok, Haji Razali bin Ali, 51 tahun, beredar dari rumahnya di Kampung Danausari. Dia berpakaian Bush Jacket warna kelabu muda. Kasut kulit hitamnya kilat bersinar. Jam tangan Rolexnya berkilau-kilau. Sebentuk cincin zamrud berikat emas dan bertatah berlian menghiasi jari manis di tangan kanannya. Sebatang mana pena Mont Blanc tersisip di poket atas sebelah kiri. Beberapa sentimeter daripada poket atas di sebelah kanannya, tersemat satu tanda nama berwarna hitam.

Haji Razali memandu kereta Perdana V6 dengan nombor pendaftaran SB12. Dia melalui Jalanraya Rimba Lingga. Destinasinya adalah Bandar Saga, pusat pentadbiran Daerah Gersik, 40 kilometer dari kampungnya. Dia memecut kereta tersebut dengan kelajuan 60 KSJ. Dia terburu-buru. Dia tergesa-gesa. Dia mahu segera sampai di Pejabat Daerah Gersik. Dia mahu meneliti kandungan beberapa fail penting sebelum menghadiri Mesyuarat Tindakan Daerah mulai jam 8.30 pagi......

Sambil memandu, Haji Razali menikmati siaran radio daripada Rangkaian Ringan & Selesa. Rangkaian itu terkenal dengan lagu-lagu Melayu klasik. Ada lagu langgam, ada lagu ghazal, ada lagu zapin, ada lagu keroncong, dan ada lagu pop yeh-yeh 60-an. Antara artis yang menghiasi rangkaian itu adalah P. Ramlee, R. Azmi, Saloma, S. Affandi, M. Bakri, Broery Marantika, Ahmad Jais, Jeffry Din, A. Ramlee, Rafeah Buang, Eddy Ahmad, A. Halim dan A. Rahman Onn. Haji Razali gemar mendengar lagu-lagu dari angkatan penyanyi tersebut kerana dipengaruhi oleh citarasa Allahyarham ayahnya.....

Kini Haji Razali hampir tiba ke satu kawasan ladang kelapa sawit seluas 4,000 ekar. Ladang tersebut milik Persatuan Peladang Daerah Gersik. Kawasan itu agak sepi. Tidak terdapat sebarang rumah di sepanjang jalan kira-kira 6 kilometer. Tiba-tiba telefon bimbit Haji Razali berbunyi cit-cit, cit-cit… Dia tahu itulah tandanya ada orang mengirimkan pesanan menerusi SMS. Dia hairan, siapakah yang mengirimkan pesanan ringkas kepadanya di pagi hari. Lantas, dia pun memperlahankan keretanya untuk membolehkannya mengakses pesanan tersebut. Dia tidak mengenali nombor telefon dan juga pengirim pesanan tersebut. Tetapi, dia tertarik dengan pesanannya yang berbunyi: “Assalam’kum Tok Penghulu. Bila sampai sk j-bakti pagi ni, harap brhnti jap. Ada hal pnting. Tk. Arif.”

Kini Haji Razali sudah hampir tiba ke kawasan Sekolah Kebangsaan Jasa Bakti. Dia memperlahankan keretanya untuk membelok masuk ke sebatang jambatan menuju ke sekolah berkenaan. Dengan tiba-tiba, dia terpandang tiga orang pemuda yang berjogging berhampiran jambatan sekolah tersebut meluru ke arah keretanya. Mereka bergandingan tangan dan berdiri tegak merentangi jambatan. Haji Razali menekan brake. Dia memberhentikan keretanya dalam keadaan cemas. Dia nyaris-nyaris melanggar pemuda-pemuda tersebut.....

“Apa halnya?” tanya Haji Razali menerusi tingkap keretanya yang telah dibuka.

“Tak ada apa-apa Tok,” jawab salah seorang daripada pemuda itu dengan senyuman meleret.

"Jangan bimbang Tok. Tak ada apa-apa," kata seorang lagi pemuda itu kepada Haji Razali yang dalam kebingungan.

“Apa pasal engkau orang tahan saya?” tanya Haji Razali lagi.

Ketiga-tiga pemuda itu tidak menjawab. Sebaliknya, salah seorng daripada mereka mengarahkan Haji Razali supaya menghidupkan semula enjin keretanya dan mengundurkan kereta tersebut ke arah jalan besar. Setelah itu, seorang daripada pemuda berkenaan pun masuk ke kereta tersebut. Haji Razali panik. Dia cuba menghalang pemuda berkenaan menyerbu ke keretanya. Dia gagal berbuat demikian. Tidak beberapa minit sesudah itu, kereta tersebut pun dipandu oleh pemuda yang memasukki keretanya. Dia memandu kereta Haji Razali ke arah Ladang Persatuan Peladang Daerah Gersik yang telah pun dilalui oleh Haji Razali sebentar tadi...

DUA: 11 Mei, jam 8.45 pagi: Serkop kepala berwarna hitam yang menyelubungi mata Haji Razali sudah dibuka. Dia pun terus berusaha mengenalpasti perekitaran lokasinya pada ketika itu. Pertama sekali, dia terkejut kerana nombor pendaftaran keretanya sudah bertukar daripada SB 12 kepada SN 90. Hakikat itu menyebabkan Haji Razali berasa cemas. Hatinya terus berteka-teki. Mungkinkah ketiga-tiga pemuda terbabit mewakili sebuah organisasi tertentu dalam kerajaan? Mungkinkah mereka daripada Cawangan Khas Polis Bukit Aman? Mungkinkah mereka daripada Cawangan Perisikan Tentera? Atau, mungkinkah mereka daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR)?

Tidak jauh daripada tempat dia berdiri, Haji Razali terpandang sebuah pondok. Tiangnya daripada batang pinang, atapnya atap rembia, dindinnya daripada buluh yang dianyam. Pondok itu mempunyai bekalan elektrik, bekalan air bersih dan talian telefon. Di sekeliling pondok tersebut terdapat beberapa pohon kelapa gading, pokok pinang, pokok jambu bertih, pokok leban, pokok singkel, pokok tenggek burung, pokok limau bali, pokok limau nipis, pokok belimbing buluh, pokok rambutan, pokok mangga, pokok nangka dan pokok kelor.

Haji Razali dipelawa naik ke pondok tersebut. Dia terkejut. Keadaan pondok yang kelihatan daif jika dipandang daripada luar, amat berbeza sekali dengan keadaan sebenarnya di sebelah dalam. Pondok seluas 30x40 kaki itu kelihatan kemas dan bersih. Hiasan dalamannya menarik. Dindingnya daripada papan lapis yang dicat varnish warna kayu asli. Atapnya bersiling. Satu kipas angin model antik tergantung di siling. Lantai papannya ditutupi permaidani berwarna kelabu muda daripada sudut ke sudut. Di ruang tamunya terdapat satu set kerusi rotan. Berhampiran dengannya terdapat sebuah peti televisyen 40 inci model terbaru. Tidak jauh dari situ pula terdapat sebuah set radio dan perakam video, juga model terbaru. Gambar Yang Di Pertuang Agong dan Permaisuri Agong serta Sultan dan Sultanah Negeri Hujung Padang dalam bingkai keemasan, tergantung di dinding…..

"Engkau orang ni sapa? Kenapa tahan Tok macam ni?" tiba-tiba Haji Razali memberanikan diri dan bertanya kepada ketiga-tiga pemuda yang duduk semeja dengannya. Dia memandang jam di dinding pondok tersebut. Ketika itu tepat 8.30 pagi.....

"Kenapa buat Tok macam ni?" tanya Haji Razali sekali lagi. Othman, Arif dan Nordin berpandangan antara satu sama lain. Tiada sesiapa berkata apa-apa buat beberapa ketika.

"Kami nak berkenalan dengan Tok. Kami nak bual-bual kosong pasal banyak perkara," kata Arif dengan suara lembut dan senyuman manis.

"Engkau orang ni gila ke?" kata Haji Razali yang mula meradang. Mukanya merah padam, telinganya panas, matanya bulat.

"Kami tak gila Tok. Othman tu lulusan universiti. Saya lulusan universiti. Nordin juga lulusan universiti. Orang gila mana lulus universiti," jelas Arif dengan tenang. Matanya terkedip-kedip memandang Nordin dan Othman.

"Ikut suka hati Toklah. Kalau Tok fikir kami semua gila, gilalah kami. Kalau Tok kata kami tak gila, tak gilalah kami," kata Nordin pula.

TIGA: 11 Mei, jam 9.50 pagi: Nordin bangkit mengemaskan pinggan mangkuk dan cawan-cawan daripada meja rotan. Othman pula menghidangkan sepinggan buah rambutan dan empat botol air mineral di atas meja yang sama. Arif terus mendengar siaran berita daripada saluran BBC. Hatinya geram kerana tentera Amerika Syarikat (AS) semakin mengganas di Iraq. Hatinya marah kerana pertumpahan darah di negara tersebut semakin berleluasa. Dia kesal kerana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) nampaknya tidak terdaya menyekat kegelojohan AS yang sedang mengganas di beberapa buah negara menerusi satu peperangan yang kononnya bertujuan menumpaskan keganasan teroris antarabangsa.

Haji Razali langsung tidak menumpukan perhatian kepada siaran berita BBC. Pertama, kerana dia lemah dalam Bahasa Inggeris. Kedua, kerana dia tidak peka terhadap pergolakan siasah antarabangsa. Ketiga, kerana kehidupannya kini terlalu selesa sehingga dia berpendapat negara ini juga akan selama-lamanya merdeka, aman, makmur dan bahagia. Keempat, kerana dia beranggapan politik semasa hanya relevan kepada perjuangan peribadi, bukannya untuk bangsa, agama dan negara....

Arif menutup semua tingkap di bilik berkenaan dan terus duduk di atas sehelai tikar mengkuang buruk. Dia duduk membelakangkan dua tingkap yang telah ditutup dan bertentangan dengan pintu. Di hadapannya terdapat beberapa fail berwarna merah dan biru. Othman duduk di sudut di kanan Arif. Di hadapannya terdapat sebuah meja kecil. Di atas meja itu terdapat sebuah komputer bimbit dan sebuah projektor kecil. Di sudut bilik bertentangan dengan Othman tergantung sebuah screen berukuran 6x 4 kaki. Nordin pula duduk bersila bulat di lantai tanpa tikar. Dia di sebelah kiri Arif. Di hadapannya terdapat berpuluh-puluh naskah buku ilmiah dan separuh ilmiah, dalam Bahasa Melayu dan Inggeris. Buku-buku tersebut mengenai pelbagai subjek. Ada buku-buku mengenai politik, ekonomi dan sosiologi. Ada buku-buku tulisan Tun Dr. Mahathir Mohamad seperti Dilema Melayu dan Menghadapi Cabaran. Ada buku-buku tulisan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra. Banyak buku-buku mengenai pemimpin Malaysia, pemimpin Nusantara dan pemimpin dunia. Terdapat buku-buku mengenai rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Terdapat juga buku-buku mengenai Islam….

Cahaya di dalam bilik itu hanya samara-samar. Di dinding bertentangan dengannya terdapat screen yang memaparkan gambar Haji Razali dalam pakaiannya yang dipakai pagi tadi. Di bawah gambar tersebut tertulis nama penuhnya diikuti dengan jawatan rasminya. Di bawah sekali tertulis singkatan-singkatan pingat-pingat kebesaran yang pernah di terimanya. Di bahagian atas gambarnya tertulis perkataan “Selamat Datang Ke Kebun Sayur.”

Seterusnya, ditayangkanlah beberapa klip video mengenai bangsa Melayu dari zaman Kesultanan Melayu Melaka sampailah ke zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad. Klip itu bermula dengan cebisan-cebisan sejarah dan lagenda purba Empayer Melayu Melaka. Mengenai Melaka sebagai pusat perdagangan antarabangsa. Mengenai Melaka sebagai pusat pengembangan agama Islam di Nusantara. Mengenai Melaka sebagai pusat kepahlawanan di Asia Tenggara. Mengenai Melaka sebagai sebuah Kesultanan Melayu yang dibelenggu wabak hasad, dengki, khianat dan fitnah. Mengenai Melaka yang menyaksikan pembelotan sesetengah pembesarnya kepada pihak musuh. Mengenai Melaka yang diserang oleh Portugis. Mengenai keruntuhan Empayer Melayu Melaka. Mengenai Sultan-Sultan Melaka yang berundur ke Pagoh dan Johor Lama. Seterusnya dan seterusnya.....

“Tok faham tak klip video yang kita tengok tadi?” tanya Arif kepada Haji Razali yang duduk di sebelah kirinya. Haji Razali tidak bersuara. Dalam remang-remang suasana, Arif, Othman dan Nordin nampak dia mengangguk-anggukkan kepalanya.

Kini, klip video itu adalah mengenai perjuangan beberapa kuasa Melayu untuk menawan semula Melaka. Maka dipaparkanlah kegagahan panglima-panglima Melayu dan Bentan. Maka dipaparkanlah kemasyhuran Kerajaan Johor Lama, Kerajaan Johor-Riau dan lain-lainnya.

Sesudah itu, klip video itu menayangkan kisah kedatangan Inggeris menerusi Syarikat India Timur. Mengenai tipu helah Inggeris ke atas beberapa Sultan dan Raja Melayu. Mengenai seni adu-domba Inggeris ke atas pemimpin-pemimpin Melayu. Mengenai usaha Inggeris mempengaruhi dan melemahkan kuasa Raja-Raja Melayu. Mengenai strategi Inggeris meminggirkan bangsa Melayu supaya terus-menerus menjadi mundur dan merempat. Dan mengenai kerakusan Inggeris mengaut hasil mahsul dan kekayaan negara untuk memperkayakan orang putih dan Ratu Inggeris.

Berikutnya, sampailah ke babak kemasukan Tentera Jepun dan Perang Dunia Kedua. Klip video tersebut memaparkan kezaliman Tentera Jepun. Mengenai, tempelengan, tendangan dan terajangan Jepun ke atas penduduk tempatan yang tidak memahami Bahasa Jepun. Mengenai kesengsaraan hidup di zaman Jepun. Mengenai penyakit tokak, kudis dan sampar yang menyerang beribu-ribu rakyat jelata di zaman Jepun. Mengenai nyawa-nyawa pejuang tanahair yang melayang di hujung pedang tentera Jepun. Mengenai anak-anak bangsa yang dipaksa belajar di sekolah Jepun, menyembah bendera Jepun dan menyanyikan Kimigayo, iaitu lagu kebangsaan Jepun.

Sesudah Jepun menyerah kalah, dipaparkan pula kisah gerombolan Komunis Bintang Tiga yang mengganas di beberapa daerah di Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Pahang. Maka diriwayatkanlah keganasan dan kezaliman Komunis Bintang Tiga di daerah Batu Pahat, Johor. Ada rakyat jelata yang direbus di dalam kawah besar berisi minyak kelapa yang menggelegak. Ada kisah masjid dan surau dijadikan premis pesta babi, pesta arak dan tempat militen komunis merogol dan memperkosa gadis-gadis yang dilarikan daripada kampung-kampung yang telah dibakar rumah-rumahnya. Dipaparkanlah kisah beberapa keluarga dikuburkan secara hidup-hidup dalam lubang kubur yang besar. Ada juga paparan mengenai kepala-kepala yang digantungkan di pokok pedada di sepanjang Sungai Batu Pahat. Dan juga kisah kegagahan Panglima Salleh dan Tentera Selempang Merah yang menghapuskan gerila komunis daripada Batu Pahat hingga ke Muar.

Berikutnya, ditayangkan pula klip video mengenai kisah pentadbir British memujuk Raja-Raja Melayu menandatangani Gagasan Malayan Union. Klip ini diikuti dengan kisah penentangan rakyat jelata terhadap gagasan tersebut. Mengenai tunjuk perasaan besar-besaran di serata Tanah Melayu. Tentang babak-babak cemas bila British mengugut untuk menyerang beberapa istana Raja sekiranya mereka enggan memihak kepada penjajah. Mengenai Kongres Melayu di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Mengenai ucapan Allahyarham Datuk Onn Jaffar dan juga penubuhan wadah perjuangan politik Melayu untuk memerdekakan negara.

Sebelum sampai ke babak pengisytiharan kemerdekaan negara, klip video itu memaparkan perjuangan Askar Melayu, Pasukan Polis Khas atau Special Constable (SC) dan juga Pasukan Kawalan Kampung atau Home Guard menentang pengganas komunis. Maka, dipaparkanlah keganasan pengganas komunis di seluruh Malaya. Bagaimana ramai rakyat yang tidak berdosa telah disembelih beramai-ramai. Bagaimana gerabak-gerabak Keretapi Tanah Melayu dibakar bersama penumpang-penumpangnya. Bagaimana Balai Polis juga dibakar dan seluruh anggota polis serta keluarganya dimusnahkan. Bagaimana penduduk kampung hidup dalam ketakutan. Mengenai kepahlawanan anak-anak muda memburu komunis di hutan belantara. Mengenai wanita-wanita turut memikul senapang untuk mempertahankan kampung halaman. Dan mengenai bekalan beras yang terpaksa dicatu kerana takut jatuh ke tangan pengganas komunis....

“Hah. Awak tua keparat. Apa awak dapat daripada menonton klip video tadi?” tiba-tiba Nordin bersuara dengan lantang sambil mengacu-acukan jari telunjuk kanannya ke arah Haji Razali yang duduk di sebelah kanannya.

Haji Razali tersentak. Dia hairan mengapakan dia digelar keparat. Dia hairan mengapa Nordin bersuara biadap kepadanya. Dia hairan mengapa dia mesti insaf dengan klip video sebentar tadi.

“Ya Tok. Hari ini 11 Mei. Klip video seperti ini perlu ditayangkan kepada seluruh rakyat pada setiap kali 11 Mei,” kata Othman pula....

“Sudahlah Din. Jangan buang masa. Orang macam keparat tua ni mana nak hargai sejarah. Yang dia tau, kaut duit secara rasuah,” kata Nordin lagi sambil beredar keluar daripada bilik tersebut.

EMPAT: 11 Mei, jam 1.30 petang. Arif, Othman dan Nordin bersembahyang Zohor bersama Haji Razali sebagai imam. Panjang doa yang diaminkan oleh mereka bertiga. Razali memohon restu kepada Allah semoga dimurahkan rezeki, dipanjangkan umur dan ditetapkan iman. Dia juga memohon keselamatan dunia dan akhirat, serta dijauhkan dari fitnah dan siksa kubur.

Sesudah itu Arif, Othman dan Nordin bersalaman di antara satu sama lain. Kemudian mereka bersalaman dengan Haji Razali. Mereka mencium tangan Penghulu Mukim Tanjung Periok tanda hormat kepada orang tua dan juga hormat kepada pemimpin. Haji Razali tersenyum melihatkan gelagat tiga pemuda aneh itu......

Arif menjemput Haji Razali duduk bersamanya di amben-amben. Dalam keadaan serba salah, Haji Razali menurut pelawaan Arif. Perasaan giannya terhadap rokok semakin melonjak.

"Betul ke Tok ni rasuah?" tiba-tiba Arif bertanya kepada Haji Razali.

"Rasuah? Siapa yang rasuah?" tanya Haji Razali dengan suara garang dan lantang. Matanya merenung wajah Arif yang masih tunduk merenung anak-anak tangga.

"Saya tanya, betulkah Tok ni rasuah. Banyak orang kata Tok rasuah," kata Arif lagi.

"Siapa yang kata Tok rasuah?" tanya Haji Razali lagi dengan nada tegas.

"Betulkah Tok rasuah?" tanya Arif dengan suara yang semakin tinggi.

"Engkau orang ni betul-betul gila. Siapa kata Tok rasuah?" kata Haji Razali.

"Jangan putarbelit Tok. Soalan saya, betul atau tidak Tok ni rasuah. Kalau betul, kata betul. Kalau tak, jawab tidak. Saya bukan gila. Tok pun belum hilang akal," kata Arif secara selamba......

"Kalau Tok rasuah, apa engkau orang boleh buat? Kalau Tok tak rasuah, apa engkau orang nak lakukan," tanya Haji Razali. Dia mencabar kesabaran Arif. Di matanya terlukis beberapa wajah yang mengganggu perasaannya. Di fikirannya, berputar beberapa kisah yang mengusik jiwa.

"Sekali lagi saya tanya. Betul atau tidak Tok ni rasuah? Saya tidak berhak untuk bertanya lebih dari itu. Tetapi, saya berhak bertanya begitu," kata Arif dengan wajah serius…..

LIMA: 11 Mei, jam 2.15 petang. Haji Razali tidak berselera makan. Dia cuma menjamah sesudu-dua mee segera yang disiapkan oleh Othman dan Nordin. Dia terbayang makanan lebih lazat yang selalunya dihidangkan sesudah sesuatu Mesyuarat Tindakan Daerah. Kalau tidak nasi beriyani gam dari Restoren Mat Shah, ada pula asam pedas kepala ikan merah dari Restoren Mak Esah. Lauk sampingannya adalah sambal tumis udang campur petai, sayur pucuk ubi masak lemak cili api, ayam percik dan rendang daging. Kesemua hidangan itu disediakan mengikut nafsu, bukannya menurut naluri kesihatan tubuh badan seseorang individu.

“Orang besar mana makan benda-benda macam ni," kata Nordin sambil menelan mee segeranya dengan pelahap. Dia lapar. Dia makan menurut seleranya. Haji Razali juga lapar. Tetapi, dia langsung tidak beselera. Sebagai seorang penghulu, dia rasa terhina kerana dihidangkan dengan mee segera campur telur sahaja.

Dengan tiba-tiba Arif dan Othman bangun serentak dan menuju ke bilik tayangan klip video. Nordin juga turut bergegas bangun dan terus meminta Haji Razali mengikutnya menuju ke bilik berkenaan.

Arif, Othman dan Nordin kembali duduk di tempat masing-masing seperti di sessi sebelum Zohor. Haji Razali juga di arahkan duduk di tempat yang sama, iaitu di antara Arif dan Nordin.

"Kat mana Tok beli jam ini? Berapa harganya," tanya Arif sambil menunjukkan jam tangan emas bertatah berlian milik Haji Razali kepada Othman dan Nordin. Mata Haji Razali terkebil-kebil. Mulutnya terkunci dan membisu.

Serentak dengan pertanyaan tadi, screen di dinding pun memaparkan beberapa gambar model jam Rolex dan senarai harganya. Haji Razali tersentak dengan persembahan multimedia di dalam bilik tersebut. Dia terkejut kerana pondok tersebut mempunyai komputer bimbit yang bersambung ke internet. Haji Razali terus membisu. Matanya merenung model jam yang dipakainya terpapar di screen. Menurut maklumat yang dipancarkan daripada komputer bimbit ke screen berkenaan, harga jam model itu adalah RM75,000.

"Din. Engkau lama di London. Berapa harga jam yang Tok pakai ni?," kata Arif lagi sambil memberikan jam tersebut kepada Nordin yang duduk di sebelah kirinya Haji Razali.

Nordin membelek-belek jam tersebut. Dia pasti talinya dibuat dari emas putih pukal. Bingkainya juga dibuat daripada emas putih pukal. Jarum-jarumnya juga adalah emas pukal. Nombor-nombor waktunya bertatahkan berlian. Hebat betul jam tersebut. Harganya lebih mahal daripada sebuah rumah teres tiga bilik. Jam itu jadi bertambah hebat apabila ianya dipakai hanya oleh seorang penghulu, bukannya oleh seorang jutawan.

“Yang ini? Kalau ikut taraf Harrods, harganya beribu-ribu pound. Kalau ikut taraf Bond Street begitu juga. Kalau ikut taraf Regent Street pun sama. Pukul borong, ikut harga London ke, ikut harga New York ke, jam ini memang mahal,” jawab Nordin.

"Kalau ikut maklumat internet yang terpancar kat screen tu, jam ini berharga RM75,000. Kami tak bohong Tok. Internet pun tak bohong,” kata Arif lagi.

“Tok. Dengan RM75,000, Tok boleh beli berapa peket mee segera? Boleh beli berapa helai sejadah? Boleh beli berapa naskah Quran? Boleh naik Haji berapa kali? Boleh tanggung anak yatim berapa orang?” tanya Arif kepada Haji Razali secara bertubi-tubi. Mata Haji Razali terus terkebil-kebil. Mulutnya juga semakin terkunci.

"Kalau sebungkus mee segera harganya satu ringgit, jam yang Tok pakai boleh membeli 75,000 peket mee segera. Kalau Tok makan sendiri, perut Tok boleh boncet dan jadi busung. Kalau satu naskah Quran harganya $20, jam yang Tok pakai boleh beli lebih 3,750 naskah Quran. Kalau Tok khatam satu kali dengan menggunakan satu Quran, Tok boleh khatam Quran 3750 kali,” kata Arif lagi.....

Berikutnya, Arif menjelaskan kepada Haji Razali, Othman dan Nordin bahawa jam adalah perakam waktu, perakam peristiwa dan perakam sejarah. Pada 11 Mei 1946, ribuan jam tangan dan jam dinding telah merakamkan waktu, peristiwa dan sejarah perjuangan orang Melayu yang dijajah Inggeris. Pada 31 Ogos 1957, jam besar di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur, telah merakamkan detik, waktu, peristiwa dan sejarah kemerdekaan tanahair. Pada 13 Mei 1969, beribu-ribu jenis jam di seluruh negara telah merakamkan detik hitam, peristiwa hitam dan sejarah hitam di negara ini. Dan, pada petang itu, sebuah jam tangan Rolex sedang merakamkan persoalan-persoalan bagaimana seorang penghulu mampu hidup dengan barangan mewah, anak sulungnya yang bekerja sebagai eksekutif bank mampu memberikan hadiah mewah kepada ayah yang dikasihinya, dan bagaimana seorang jejaka Melayu berpendidikan tinggi sudah kehilangan susila dan batasan hidup sebagai seorang muslim.

“Jeng.. jeng.. jeng… Sekarang kita saksikan gaya istimewa anak Tok Penghulu yang sedang mabuk arak dengan beberapa GRO Melayu di sebuah pusat karaoke di Kuala Lumpur,” kata Nordin sambil menayangkan satu lagi gambar gambar ke screen.....

“Nanti dulu. Nanti dulu Rif. Kita kena jelaskan kepada Tok ni kenapa kita kurung dia dari pagi sampai petang pada 11 Mei ni,” kata Othman pula.....

ENAM: 11 Mei, jam 4.45 petang. Kini masuk waktu Asyar. Cahaya matahari petang mulai mencuri-curi masuk ke bilik tersebut melalui dinding atap rembia yang berkerawangan. Haji Razali yang sudah selesai menunaikan sembahyang waktu, duduk seorang diri di bilik berkenaan. Dia membelek-belek akhbar Warta Prima yang diberikan oleh Nordin kepadanya sebentar tadi. Di muka hadapan akhbar tersebut tersiar berita mengenai dirinya. Berita itu dihiasi gambarnya memakai kopiah putih. Tajuknya berbunyi “Razali Nafi Tuduhan Rasuah”.

Dalam berita berumur dua minggu itu, Haji Razali menytakan bahawa dia tidak rasuah. Tetapi, katanya, musuh-musuh politiknya memfitnahkan dia sebagai rasuah. Ini kerana salah seorang daripada mereka mahu merampas jawatan Penghulu Tanjung Periuk daripadanya. Oleh itu, dia pun meminta BPR menyiasat dirinya. Dia juga merayu kepada anak-anak buahnya di Mukim Tanjung Periuk supaya bertenang dan jangan mempercayai sebarang berita angin atau fitnah mengenai dirinya.

Kini Haji Razali seram sejuk. Setelah berulang-kali membaca kenyataan dirinya dalam akhbar itu, dia kembali tertanya-tanya, adakah Arif, Othman dan Nordin pegawai-pegawai BPR yang ditugaskan menyiasat kesnya? Adakah mereka pegawai BPR yang menyahut cabaran supaya menyiasat dirinya? Adakah… Adakah… Adakah.. Berbagai-bagai soalan kini membelenggu jiwa dan perasaannya....

Tidak lama selepas itu, ketiga-tiga pemuda tersebut pun masuk ke bilik di mana Haji Razali sedang duduk termenung seorang diri. Haji Razali tidak memperdulikan ketiga-tiganya. Dia terus tunduk merenung tikar. Fikirannya berkecamuk. Dia marah, dia malu, dia bimbang, dia juga serba salah.

"Ini perakam suara. Kami mahu Tok beritahu kami, dari mana anak Tok dapat RM75,000 untuk beli jam yang Tok pakai,” kata Nordin sambil meletakkan perakam suara itu di hadapan Haji Razali.

Haji Razali meninjau wajah-wajah Arif yang duduk di sebelah kanannya, Othman di sebelah kanan Arif, dan Nordin di sebelah kirinya. Gambar anak sulungnya dalam keadaan mabuk di sebuah pusat karaoke dipancarkan semula ke screen di dinging. Haji Razali menggaru-garu kepalanya. Dia meraba-raba poket baju batik lusuh yang dipinjamkan oleh Arif. Dia mencari-cari sesuatu. ....

TUJUH: 11 Mei, jam 6.00 petang. Nordin mengetuk pintu dengan lembut. Othman membukanya. Nordin masuk. Dia melutut di depan Haji Razali dan terus mencium tangannya. Dia meminta ampun di atas kekasaran tindakannya sebentar tadi. Arif dan Othman terharu melihat perbuatan Nordin. Haji Razali menitiskan air mata.

Kini, konflik jiwa jelas terlukis di wajah Haji Razali. Dengan sukarela, dia pun mencapai perakam suara yang berada di tangan Othman. Dia meminta Arif memtik suis perakam suara itu untuk membolehkan dia memulakan pengakuannya.

"Saya tidak pasti saya ni rasuah atau tidak. Saya dapat jam tangan ini daripada seorang tauke di Kuala Lumpur. Dia kata, ini hadiah buat saya. Cincin ini pun dia yang kasi,” katanya. Haji Razali membuka cincin zamrud bertatah berlian yang merangkuli jari manis di tangan kanannya. Dia menghulurkan cincin tersebut kepada Arif.

Arif, Othman dan Nordin berpandangan antara satu sama lain. Mereka membiarkan Haji Razali diseksa oleh batinnya sendiri. Detik-detik jarum jam Rolex yang dipakai oleh Haji Razali mencatatkan detik-detik masa pengakuan itu. Perakam suara itu pula merakamkan seluruh pengakuan yang sama, perkataan demi perkataan....

LAPAN: 11 Mei, jam 8.45 malam. Arif, Othman dan Nordin masuk semula ke bilik. Ketiga-tiga sahabat itu membincangkan pendekatan soal-jawab mereka untuk sessi sesudah Isyak. Mereka berbisik-bisik. Mereka berbicara dengan suara yang rendah. Mereka berazam mencari kebenaran yang paling pasti daripada Haji Razali pada malam tersebut. Selagi kebenaran belum menjelma, selagi itu mereka akan mendesak Haji Razali dengan soalan-soalan yang penuh provokasi.

Arif mencadangkan mereka mengambil pendekatan lembut. Pendekatan berbudi bahasa. Pendekatan penuh puji-pujian dan kata-kata manis. Othman bersetuju. Nordin membantah.

"Kita kena pecahkan orang tua ni. Liat betul dia nak keluarkan maklumat yang kita perlukan," kata Nordin yang kini hanya berseluar pendek dan memakai baju T lengan pendek berwarna hitam.

"Hah, duduk Tok. Silakan. Kami minta maaf, kat pondok ni tak ada lain, tapi mee segera," tiba-tiba Othman berkata sambil mempersilakan Haji Razali yang terpacul di muka pintu bilik tersebut. Matanya masih terpaku kepada perkataan Bersih, Cekap, Amanah yang menghiasi screen di bilik berkenaan. Dia juga gerun melihat gambar Perdana Menteri yang menjeling tajam dengan seribu satu makna.

"Nama kamu Razali. Ayah kamu bernama Ali. Emak kamu bernama Aminah. Isteri kamu Fatimah binti Ehsan. Umur kamu 51 tahun. Kamu ada tiga orang anak. Seorang lelaki, dua perempuan. Seorang anak perempuan kamu dah berkahwin. Nama dia Amalina. Anak sulung kamu kerja di KL. Nama dia Rais. Man, tunjuk balik klip orang mabuk di karaoke tadi,” kata Nordin. Atas permintaannya, gambar Rais, anak sulung Haji Razali yang dalam keadaan mabuk di kelilingi oleh beberapa wanita Melayu yang juga mabuk, sekali lagi dipancarkan ke screen.

“Seorang lagi anak kamu namanya Juliana. Dia belajar di luar negeri. Rais bekerja dengan bank. Tapi dia juga baruah kakak ipar kamu. Secara tak rasmi, dia jaga Projek Jambatan Sungai Buaya," sambung Nordin lagi secara terperinci. Wajahnya selamba, bahasanya kasar, tingkah-lakunya sedikit kurang ajar.

"Jangan gitu Din. Kita kena hormatkan jawatan dia sebagai Penghulu. Jadi, kita kenalah panggil dia Tok Penghulu. Dia ketua di mukim kita," kata Othman menegur Nordin yang boleh disifatkan sebagai biadab.

"Biarkan. Teruskan Din," kata Arif pula seolah-olah memberi lampu hijau kepada Nordin untuk bersikap lebih biadab. Othman tidak membantah. Haji Razali terperangkap di tengah-tengah perbezaan pendapat tersebut.

"Baik. Sekarang saya nak tau. Sapa kontraktor Jalanraya Rimba Lingga-Bandar Saga sepanjang 50 kilometer? Berapa kosnya? Apa kepentingan kamu dalam projek tersebut? " tanya Nordin lagi.

Haji Razali memandang wajah Nordin, Othman dan Arif. Dia nampak pita perakam berputar-putar merakamkan setiap kata-kata Nordin sebentar tadi. Dia masih ingat betapa bengisnya Nordin beberapa jam tadi. Dia masih ingat bagaimana dua batang giginya patah akibat terjangan Nordin. Dia masih ingat mulut dan hidungnya berdarah akibat terajangan tersebut.

"Jalanraya Rimba Lingga-Bandar Saga dibina oleh Syarikat Tenaga Rakyat atau STAR," kata Haji Razali memulakan kata-katanya dengan nada perlahan.

“Apa? STAR bukannya Syarikat Tenaga Rakyat. STAR adalah singkatan Syarikat Tindas Rakyat," sampuk Nordin. Arif dan Othman tersenyum sumbing. Haji Razali mengeleng-ngelengkan kepalanya.

"Teruskan Tok. Teruskan," kata Othman memberi perangsang kepada Haji Razali.

"STAR adalah Syarikat Tenaga Rakyat, anak syarikat Jasa Holdings. Anak saya, Rais, jadi salah seorang ahli lembaga pengarahnya," kata Haji Razali dengan suara yang masih juga tersekat-sekat.

Nordin bangun menuju ke arah Haji Razali. Dia mencekak kolar baju batik Haji Razali supaya dia bangun dan berdiri tegak. Nordin mengheret Haji Razali menuju ke arah screen di dinding yang dihiasi oleh slogan Bersih, Cekap, Amanah.

"Awak baca ni dengan jelas dan kuat," katanya sambil menunding-nunding jari ke arah slogan tersebut.

"Bersih," kata Haji Razali.

"Apa erti bersih?" tanya Nordin. Soalan itu tidak berjawab.

"Cekap," kata Haji Razali.

"Apa erti cekap?" tanya Nordin. Soalan itu juga tidak dijawab.

"Amanah," kata Haji Razali.

"Apa erti amanah," kata Nordin lagi. Razali tetap enggan menjawab...

"PM suruh orang jangan rasuah, awak rasuah. PM suruh orang jangan salahguna kuasa, awak salahgunakan kuasa. Kenapa?" tanya Nordin lagi....

Sesudah itu, Arif pun memulakan peranannya. Dia memberitahu Haji Razali sekali lagi bahawa apa yang dilaluinya pada sepanjang hari itu adalah suatu proses insaf diri sempena hari perjuangan 11 Mei. Buat kali keduanya, Arif juga mengingatkan Haji Razali bahawa Nordin adalah wakil generasi muda negara yang radikal, tetapi cintakan bangsa, agama dan tanahair. Nordin adalah contoh generasi muda yang marah-marahkan pemimpin yang bersikap seperti ketam menyuruh anak-anaknya berjalan dengan betul. Nordin adalah simbol generasi muda yang mempunyai jiwa pemberontak akibat nasionalisme yang sungguh dalam takrifannya.....

"Sebentar lagi Tok akan berada di hadapan sebuah cermin besar. Kami bertiga akan cuba membantu Tok melihat wajah Tok yang sebenarnya. Man, kasi dia cermin tu," kata Nordin lagi.

Othman menghulurkan sebuah cermin berukuran 4 kaki lebar dan 6 kaki tingginya kepada Haji Razali. Nordin bangkit menuju ke arah Haji Razali dan duduk di sisinya.

"Sekarang Tok berdiri dan tengok muka Tok dalam cermin ni," kata Nordin kepada Haji Razali.

"Tengok dalam cermin tu Tok Penghulu. Tok nampak muka siapa? Muka babi ke, muka setan ke, muka iblis ke, muka lanun ke, muka apa sahaja, Tok tengok lama-lama," kata Othman pula.

"Muka sayalah," jawab Haji Razali.

"Muka Tok atau muka iblis?" tanya Othman. Haji Razali mendiamkan diri.

"Tengok betul-betul Tok. Silap-silap haribulan, muka Tok tapi hidungnya macam hidung babi, gigi bertaring dan kepala bertanduk," kata Arif pula. Haji Razali mematikan diri. Dia menutup mata dan pemikirannya.

"Jawab Tok. Apa yang Tok nampak dalam cermin tu?" tanya Nordin dengan marah.

"Muka sayalah," kata Haji Razali.

"Muka Tok tu muka manusia atau muka dajal. Muka Tok tu muka manusia atau muka ular kepala tujuh dengan lidah cabang sepuluh?" tanya Nordin lagi. Haji Razali membisu seribu bahasa.

"Kalau Tok Penghulu orang yang bersih, jujur, amanah dan tidak rasuah, Tok akan nampak muka orang yang berwajah manis berseri-seri. Kalau Tok orang perjuangan, cermin itu akan memutarkan kembali segala peristiwa dan sejarah sewaktu nenek monyang kita menentang Gagasan Malayan Union. Tok juga akan terpandang imbasan sejarah TERAS ditubuhkan pada tanggal 11 Mei 1946," kata Arif dengan penuh sindiran.

Haji Razali langsung tidak berkata apa-apa. Air matanya sekali lagi meleleh ke pipi. Dia tersedu-sedu. Dia meraung sekuat hatinya. Dia meraung dan membalingkan cermin muka itu ke arah Othman yang sedang tersandar ke dinding. Othman mengelak. Maka bersepai dan berderailah cermin itu pecah. Serpihannya singgah ke paha Arif yang duduk di sebelah Othman. Melihatkan keadaan itu, Nordin kembali meradang.

"Awak ingat bila cermin tu pecah, bayang-bayang yang awak nampak tadi akan mati. Awak tau tak, selagi awak tak insaf, bersihkan diri dan sikap awak, awak akan terus diburu oleh bayang-bayang itu?" kata Nordin. Haji Razali membisu. Dia bergerak untuk duduk di antara Arif dan Othman....

SEMBILAN: 11 Mei, jam 10.30 malam. Nordin membalingkan senaskah surat khabar NUSA ke arah Haji Razali. Muka depan akhbar tabloid itu dihiasi kepala berita Razali Nafi Tuduhan Rasuah. Berita tersebut menghuraikan kenyataan Haji Razali dua minggu lalu. Dia berkata, dia tidak rasuah. Kalau dia rasuah, katanya, dia meminta BPR menyiasat dan mengheretnya ke mahkamah. Dia meminta anak-anak buahnya di Mukim Tudung Periok jangan menjadikan isu rasuah itu sebagai isu politik. Katanya, isu rasuah itu dibangkitkan oleh golongan politik yang bankrup.

Berita tersebut juga memetik Haji Razali sebagai berkata bahawa tuduhan yang mengatakan dia rasuah adalah permainan golongan yang cuba mengkhianati perjuangannya kepada bangsa, agama dan tana­hair. Kumpulan itu, katanya, ingin merampas kuasa darinya. Kumpu­lan itu juga didakwa mahukan seorang yang baru untuk menjadi Penghulu Mukim Tudung Periok.

"Kami tahu awak ada orang atas," kata Nordin ringkas.

"Kami juga tahu Tok ada bapak mafia," sampuk Othman pula....

Arif sibuk mengakses lamanweb www.nusa.com.my menerusi komputer bimbit di hadapannya. Dia cuba mengakses lamanweb akhbar NUSA itu untuk mencari berita yang sedang mereka perbincangkan daripada arkib digital akhbar berkenaan. Tidak beberapa minit berikutnya, screen di bilik berkenaan pun memaparankan berita Razali Nafi Tuduhan Rasuah yang telah berjaya diakses oleh Arif menerusi internet.

Haji Razali buta komputer dan buta internet. Dia tidak mahu mempelajari cara-cara menguasainya dengan alasan kononnya dia sudah tua. Bagaimanapun, kini dia menerima hakikat bahawa teknologi semasa memang menghalang dia untuk berbohong. Ini kerana teknologi internet membolehkan apa sahaja maklumat boleh diakses secara on-line dan digital untuk dipaparkan ke screen dengan menggunakan projektor yang disambungkan ke komputer bimbit atau komputer desktop. Bahan-bahan digtal yang diakses pula tidak hanya terhad kepada bahan-bahan tempatan sahaja. Ia meliputi apa jua subjek dari semua lokasi di seluruh dunia....

"Kita orang muda. Kita terpelajar. Jangan kita ikutkan emosi. Jangan terlalu radikal macam zaman kita dalam kesatuan pelajar," kata Arif pula sambil menggosok-gosok tapak tangan Haji Razali.

"Baiklah.Sekarang ni dia mesti jawab pertanyaan tadi. Dia rasuah atau tidak? Mana dia dapat duit $75,000 untuk beli jam Rolex emas. Mana dia dapat duit beli Proton Perdana V6?," kata Nordin.

Tiba-tiba terdengar bunyi cit-cit, cit-cit. Nordin melihat telefon bimbitnya yang disimpan di saku seluar pendeknya. Arif melihat telefon bimbit yang diletakkan di lantai di hadapannya. Othman juga melihat telefon bimbit yang disimpan dalam saku baju melayunya. Haji Razali teraba-raba. Dia mencari telefon bimbitnya. Dia terlupa telefon tersebut kini dalam simpanan Arif.

“Aduhai.. Ada sms pula untuk Tok,” kata Arif. Dia membacanya dengan lantang untuk didengar oleh semua di dalam bilik itu, termasuk Haji Razali.

“u dengan betina mana? kata nak jumpa i lepas miting. dah malam buta pun tak sampai lagi. apa halnya? ana.”

Othman dan Nordin tertarik dengan mesej tersebut. Haji Razali geleng-geleng kepala. Arif terus menghampiri Haji Razali.

“Sapa Ana? Apa pasal dia u, u dan i, i dengan Tok? Sapa dia? Tok kena kabar pada kami dengan ikhlas dan jujur,” kata Arif.

“Saya tak kenal dia. Saya tak kenal,” jawab Haji Razali.

“Hey iblis tua, sapa Ana yang sms awak ni?” gertak Nordin dengan wajah bengis dan suara lantang.

Haji Razali tidak menjawab pertanya tersebut. Dia membisu. Dia membatu. Dia dibelenggu seribu satu perasaan yang cacamarba.

SEPULUH: 11 Mei, jam 11.45 malam. Suasana di sekeliling pondok jadi semakin sepi. Muzik katak dan jengkerik semakin nyaring iramanya. Sekali sekala kedengaran pula bunyi guruh yang sayup-sayup. Nordin sedang menikmati ubi goreng ketumbar. Arif dan Othman pun begitu juga. Haji Razali hanya memerhatikan segala-galanya. Dia hanya meminum kopi panas yang dihidangkan bersama ubi goreng tersebut. Wajahnya kosong dan kelihatan sayu. Jasad dan mentalnya sudah keletihan.

“Lepas ni apa lagi?” tanya Haji Razali memecahkan kesunyian.

“Apa lagi apa Tok?” jawab Arif sambil bangun menuju ke bilik operasi. Dia diikuti oleh Othman dan Nordin. Haji Razali juga turut bangkit menuju ke bilik berkenaan.

“Saya nak tau, lepas ni apa lagi?” ulang Haji Razali setelah dia duduk bersila di samping Arif dan Othman. Nordin tetap memilih untuk duduk bertentangan muka dengan Haji Razali.

“Lepas ni kita teruskan,” jawab Arif sambil memberi isyarat kepada Othman untuk memulakan sesuatu.....

“Sebelum dia mulakan pengakuannya, saya nak tau siapa Ana?,” kata Nordin kepada Othman.

“Ya Tok, siapa dia ana yang hantar sms tadi?” kata Arif pula.

Persoalan itu menjadikan fikiran Haji Razali semakin buntu. Dia mahu menjawab pertanyaan itu. Tetapi, dia berasa malu kerana Ana adalah perempuan simpanannya. Dia hendak menjawab soalan tersebut, tetapi dia segan kalau jawapan itu akan menambahkan masalah yang sedang dihadapinya pada ketika itu.

“Cakaplah, sapa dia Ana,” kata Nordin sekali lagi. Haji Razali tersentak. Matanya melihat wajah Nordin yang seolah-olah menelannya.

“Ana?” kata Haji Razali.

“Ya… Ana,” kata Nordin semakin kurang sabar dengan sikap Haji Razali.

“Ana… Ana… Ana orang Bandar Saga. Dia kerja di Pasaraya Billion. Dia berumur 30 tahun. Dia janda anak dua,” kata Haji Razali.

Dengan tiba-tiba terpancar gambar Haji Razali bersama seorang wanita berbaju merah jambu di screen di bilik itu. Haji Razali bertambah gawat. Hatinya menyumpah seranah. Dia hairan macam mana ketiga-tiga pemuda berkenaan mempunyai banyak sungguh data dan gambar mengenai dirinya dan keluarganya.

“Ini dia Ana? Selama ni kita simpan saja gambar ni. Kita tak tau siapa dia. Mungkin anak Tok, mungkin adik Tok, mungkin kendak Tok,” kara Arif sambil memperbetulkan gambar tersebut yang agak senget di screen......

Dengan sekelip mata, screen di dinding dalam bilik tersebut pun memancarkan gambar Haji Razali bersama Ana memasukki sebuah feri di Pangkalan Perpat untuk menuju ke Pulau Karimun, Indonesia. Tarikh tercatat dalam gambar itu adalah 5.9.00. Waktunya adalah 10.50 pagi. Ini bermakna Haji Razali dan Ana melancong ke Pulau Karimun, Indonesia, dengan menaiki feri 10.50 pagi daripada Pangkalan Perpat, Pontian, Johor.

Gambar itu menjadikan Haji Razali semakin gelabah. Semua pasal dirinya ada dalam simpanan pemuda-pemuda tersebut. Sebut sahaja, keluarlah gambar dan ceritanya, siap dengan tarikh dan waktunya......

“Ana adalah teman wanita saya. Dia orang Kelantan. Dia dah tiga tahun bekerja di Bandar Saga,” kata Haji Razali tersipu-sipu.

“Jangan malu Tok. Teruskan. Banyak lagi orang umur macam Tok ada girlfriend, ada kendak, ada penyedap. Tak percaya Tok tanya anak Tok yang di KL,” kata Othman pula.

“Cakap aja yang Ana tu kendak awak atau penyedap awak. Kalau tak mau cakap, saya akan tayangkan video apa yang awat buat sama-sama Ana di Karimun,” ugut Nordin dengan wajah serius.

Sekali lagi Haji Razali terkejut besar. Mana mungkin ketiga-tiga pemuda tersebut mempunyai bukti dalam bentuk video sewaktu dia dan Ana melancong ke Pulau Karimun, Indonesia, kira-kira enam bulan yang lalu.

“Yalah. Ana memang macam yang dia cakap tadi. Dia.. Dia perempuan simpanan saya,” kata Haji Razali dengan nada malu-malu...

Sekali lagi, Haji Razali menyedari impak teknologi moden. Teknologi itu boleh menjadi kawan dan boleh juga menjadi musuh. Teknologi itu boleh membantu seseorang menjalankan tugasnya dan boleh juga menyebabkan kehancuran nama baik seseorang insan. Teknologi itu menjadikan Haji Razali serba salah.

“Cukuplah pasal di Ana tu. Tapi sebelum kita meneruskan sessi ini saya mahu awak renung betul-betul wajah lelaki dan perempuan yang sedang berdangdut dalam screen di depan awak,” kata Nordin dengan gigi menyeringai. Othman dan Arif turut tersengih kerana gelihati melihat paparan gambar tersebut.

Haji Razali hampir-hampir sesak nafas memandang gambar berkenaan. Dia memandang dirinya sendiri sedang seronok berdangdut dengan kekasihnya, Ana. Tarikhnya 5.9.00, iaitu sama dengan tarikh dia melancong ke Pulau Karimon, Indonesia. Waktunya adalah 11.15 malam. Lokasinya adalah sebuah kamar dangdut di sebuah hotel di pulau berkenaan. Haji Razali mengosok-gosok bahagian kanan dadanya. Dia terasa seolah-olah digigit-gigit semut api secara bertubi-tubi. Dia mengherup kopi di hadapannya. Dia tercungap-cungap menarik nafas. Dia rebah ke lantai.....

SEBELAS: 12 Mei, jam 1.00 pagi. Arif, Nordin, Othman dan Haji Razali baru sahaja kembali memasukki bilik soal-jawab. Sewaktu mereka berehat, Arif memujuk Haji Razali supaya bekerjasama dan memberikan segala jawapan dari seluruh soalan-soalan yang dikemukakan kepada sepanjang hari. Terutama sekali mengenai soal rasuah. Jika Haji Razali enggan bekerjasama, kata Arif, sessi berkenaan terpaksa diteruskan sehingga Subuh.

Haji Razali mencapai perakam suara yang berada di hadapannya. Dia memeriksa sama ada ia sudah berputar. Dia mengangkat perakam itu dekat dengan mulutnya. Dia memulakan pengakuannya tanpa di suruh atau dipaksa oleh sesiapa.

“Saya Haji Razali bin Ali. Umur saya 51 tahun. Saya Penghulu Mukim Tudung Periok sejak tahun 1973. Saya ada kebun sawit seluas 20 ekar. Saya memandu kereta Proton Perdana V6 pemberian anak saya yang bekerja di KL. Saya memakai jam Rolex berharga $75,000 hadiah daripada seorang towke. Saya ada seorang isteri dan tiga orang anak. Yang sulung, lelaki, sudah bekerja. Yang kedua, perempuan, sudah berkahwin. Yang bongsu, perempuan, sedang menuntut di luar negeri. Saya ada dua orang cucu. Saya menjadi AJK TERAS Bahagian Tudung Periok sejak lima tahun yang lalu. Saya menjadi anggota Biro Perisikan. Saya Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Mukim Tudung Periok. Saya juga ….,”

‘Tok, minta maaf Tok. Yang itu semua kami dah tau. Kami nak dengar Tok cerita pasal Raisb yang jadi pengarah STAR dan juga towke yang hadiah jam Rolex pada Tok,” kata Arif.

“Baik. Rais, anak sulung saya jadi Pengurus Bank Watan Cawangan Damansara. Dia juga jadi pengarah STAR. Dia Ketua Pemuda TERAS Bahagian Tudung Periok sejak tahun 1998. Dia masih bujang. Dia pernah menuntut di Amerika Syarikat atas biasiswa Kerajaan Pusat,” kata Haji Razali.

Pada ketika itu gambar Rais yang dalam keadaan mabuk dan dikelilingi gadis-gadis Melayu yang juga dalam keadaan mabuk dipancarkan semula ke screen di bilik berkenaan. Haji Razali tidak mempedulikan hal itu. Dia meneruskan kata-katanya dengan jelas dan tegas.

“Saya kesal melihat gambar Rais dalam screen itu. Saya tidak terdaya untuk membetulkan keadaan. Saya juga tidak terdaya untuk merobah gaya hidupnya,” kata Haji Razali…..

“STAR milik Puan Seri Amizon. Suaminya bererkedudukan tinggi dalam petadbiran Kerajaan Pusat,” kata Haji Razali lagi.

“Apa hubungan Wong yang hadiah jam pada Tok dengan Puan Seri Amizon?” tanya Othman pula.

“Saya bawa Wong jumpa Puan Seri adik ipar saya. Wong minta tolong Puan Seri pujuk Tan Sri, adik saya, supaya pilih syarikatnya untuk Projek Jambatan Sungai Buaya dalam daerah Gersik ni,” jawab Haji Razali.

“Projek itu tender terbuka atau secara rundingan?” tanya Arif.

“Saya kurang faham. Tapinya, Wong minta Puan Seri pujuk Tan Seri naikkan harga projek jambatan itu daripada $20 juta kepada $30 juta. Dengan cara itu, dia bagi hadiah pada Puan Seri sebanyak $5 juta. Saya hanya dihadiahkan jam ini,” kata Haji Razali sambil menunjukkan jam Rolex di tangannya kepada Arif, Nordin dan Othman......

Demikianlah antara sedutan daripada novel Suara tulisan saya yang belum mempunyai kesudahan. Setakat ini saya sudah tulis 26 bab. Tetapi, saya masih terus menulis bila terluang masa. Saya tidak pasti bila novel ini akan selesai. Apa pun, kesemua watak dalam novel ini adalah fiksyen dan tidak ada sebarang kaitan dengan sesiapa di dunia nyata!