Sunday, July 29, 2007

Siapa Yang Goblok Zam?

Saya amat tertarik mengikuti kenyataan segelintir menteri-mentri Malaysia terhadap bloggers sosio-politik tempatan. Hari ini muncul satu ‘twist’ baru kepada kenyataan mereka. Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin, dipetik oleh Bernama sebagai berkata bahawa kini wujud bloggers sosio-politik yang “sanggup menjadi alat kepada anasir asing menjatuhkan negara.”

Tuuhan ini amat serius. Tetapi, saya hanya akan menghormati tuduhan seperti ini kalau ianya digandingi dengan fakta dan bukti. Lebih-lebih lagi bila tuduhan ini datang dari seorang menteri yang juga bergelar wartawan negara.

Pokoknya Zam, siapakah yang anda maksudkan sebagai bloggers yang jadi perkasas asing untuk menjatuhkan negara tercinta ini? Setahu saya, ketika ini landskap politik Malaysia sedang dihantui oleh dakwaan dan tuduhan kononnya wujud sesetengah individu tertentu yang dikatakan jadi ejen asing untuk memporak-perandakan negara tercinta ini menerusi pelbagai strategi perniagaan dan lain-lainnya.

Mungkinkah Zam membuat kesimpulan yang mendorong beliau mengeluarkan tuduhan di atas berasaskan kepada hakikat bahawa sesetengah portal berita di Malaysia memang kini mempunyai “server” masing-masing di luar negara? Adakah tuduhan itu juga dikeluarkan kerana majoriti bloggers Malaysia adalah menggunakan “engine” yang berdaftar di luar negara?

Kalau begitulah andaiannya, mungkin silap besarlah Zam mengeluarkan tuduhan seperti di atas. Tetapi, kalau Zam, sebagai seorang menteri, memang mempunyaqi bukti yang jitu untuk menyokong tuduhan di atas, silalah berbuat sesuatu yang berkesan dan wajar dengan pantas dan segera demi negara tercinta ini.

Buat ketika ini, persepsi umum jelas menyatakan bahawa apa jua kenyataan para menteri mengenai bloggers sosio-politik dikatakan hanya akan mengundang lebih banyak tentangan, bukan sahaja dari komuniti bloggers sosio-politik tempatan, malahan rakyat jelata yang berfikiran waras, secara umumnya.

Berikut adalah kenyataan penuh Zam mengenai bloggers sosio-politik yang dibuat pada hari ini: - Ruhanie Ahmad

Rakyat Perlu Bijak
Kenal Pasti Laman Blog "Goblok"

MELAKA, 29 Julai (Bernama) -- Rakyat perlu bijak mengenal pasti laman blog kerana terdapat kalangan penulis laman blog yang "goblok" hingga sanggup menjadi alat kepada anasir asing menjatuhkan negara.

Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin berkata penulis "goblok" itu merupakan golongan yang paling tidak bijak dan jahat.

"Menjadi penyokong kepada anasir luar untuk menjatuhkan negara, orang ini adalah goblok," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kembara Merdeka Jalur Gemilang Peringkat Kebangsaan 2007 di hadapan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Bandar Hilir di sini, hari ini.

Zainuddin berkata penulis "goblok" itu tidak berfikiran Asia sebaliknya lebih kepada barat kononnya mereka dididik di negara barat dan menganggap kebebasan demokrasi anjuran barat yang terbaik.

"Kita dari dahulu sampai sekarang, kita ada anasir yang paling bahaya iaitu orang yang sanggup menjadi alat kepada negara asing untuk merosakkan negara termasuk menjejaskan ekonomi dan perpaduan rakyat," katanya.

Beliau berkata penulis "goblok" terbabit cuba mempergunakan media untuk menyiarkan tulisan mereka yang berbentuk khabar angin dan fitnah semata-mata untuk menimbulkan perpecahan.

Katanya semua pihak tidak perlu melayan tulisan penulis "goblok" terbabit yang mahu menjadikan laman blog mereka sebagai penting.

Beliau berkata kerajaan tidak menghalang penulis laman blog persendirian yang menulis lebih kepada ilmu, hubungan antara kawan, keluarga dan rakan.

-- BERNAMA
http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=276139

8 comments:

cakapsiang said...

Ybhg Dato,

Goblok ada di mana sahaja. Ada di kalangan bloggers, ada di kalangan bijak pandai dan ada di kalangan menteri-menteri. Hanya orang yang cerdik mengenali mereka ini. Dan bukan senang mencari orang cerdik di zaman budaya bodek-membodek ini.

Lets GO BLOG !!

AFRAR YUNUS said...

salam datuk,
hari-hari diberikan roti sahaja, mana lalu datuk. bagilah juga epal, nasi, manggis, ikan, ayam dsb. tapi, janganlah bagi kayu, pasir dan batu atau benda yg haram. (nanti ada yg kata - batu tak mau?). Bukan sahaja kanak-kanak, orang tua pun muak datuk.
begitulah, hari-hari bagi BH,NST, UM. Mana lalu datuk. Bagilah pula pandangan dari sudut lain. Al Jazeera, Harakah, dari Blogger dsb.
Ni , asyik-asyik ZAM. Tak lalu eh.

Hamizi said...

ni lagi sorang kaki bodek... sedang bertanding dengan nazri aziz untuk merebut tempat no. 1 kaki bodek PM...

pemerhati said...

Wilayah Ekonomi Koridor Utara
by Ketua Perusuh

Amat menarik sekali apabila kita membicarakan kenapa dan bagaimana Kerajaan Malaysia dibawah pimpinan Abdullah Ahmad Badawi ini berusaha untuk membangunkan beberapa wilayar koridor dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK 9). Banyak spekulasi ujud dalam usaha membangunkan kawasan-kawasan ini. Sehingga komentar ini ditulis, belum ada sesiapa lagi yang memberikan komentar terhadap satu koridor baru yang akan dibangunkan iaitu Wilayah Ekonomi Koridor Utara atau lebih dikenali sebagai NCER.

Apa yang menarik sekali tentang NCER adalah ianya adalah satu kawasan wilayah koridor yang amat besar (lebih dari 4 kali ganda Singapura). NCER adalah bertujuan untuk membawa satu bentuk transformasi dan pengembangan terhadap sektor pertanian, pembuatan, logistik dan pelancongan di wilayah utara Semenanjung Malaysia, yang mana merangkumi negeri-negeri seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan utara Perak yang akan dimajukan dalam tempoh lebih 20 tahun.

Persoalan yang bermain difikiran saya adalah berkisar kepada perkara-perkara dibawah ini.

1. Dari manakah agaknya pembiayaan modal pembangunan kawasan ini akan diambil. Adakah ianya telah dimasukkan dalam bajet Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK 9) atau ianya hanyalah cakap-cakap yang tidak bersandarkan kepada kedudukan kewangan yang dimiliki oleh negara. Abdullah Ahmad Badawi selaku Menteri Kewangan sewajarnya memberikan satu perincian yang lengkap bagi membolehkan rakyat Malaysia menilai akan kebolehjayaan projek yang akan dibangunkan. Untuk membangunkan koridor ini memerlukan kos berpuluh bilion ringgit dan mungkin mencecah ratusan bilion. Siapa yang akan membiayainya? Bayangkan jika pembinaan jambatan kedua Pulau Pinang yang mencecah RM2.7 bilion pun kita terpaksa meminjam dari EXIM Bank di China, adakah untuk NCER kita akan meminjam lagi. Biasanya dalam urusan pinjaman, tentunya ada cagaran yang dipinta. Apakah agaknya cagaran yang mungkin Abdullah Ahmad Badawi & Co serta orang-orang di Tingkat 4 JPM akan berikan? Siapakah yang akan memberikan pinjaman, China atau Singapura?

2. Siapakah yang akan mendapat untung (laba) berskala besar kali ini dengan menjadi peneraju dalam urusan pembangunan NCER. Setakat yang diketahui Sime Darby Berhad telah dilantik secara terus untuk membangunkan NCER namun siapakah sebenarnya disebalik semua inisiatif ini. Perlu diingat bahawa Sime Darby Berhad adalah dibawah pemilikan Synergy Drive dan Synergy Drive ini dimiliki sepenuhnya oleh CIMB Berhad. Saya pernah menulis tentang Synergy Drive yang didalangi oleh beberapa tokoh yang kurang patriotik yang mana mereka ini adalah proksi kepada Temasek Group. Oleh yang demikian, mengikut percaturan kuasa yang ada, WPI dan NCER memiliki satu dalang yang sama. Oleh itu tepatlah apa yang dikatakan perluasan kuasa oleh Singapura melalui sayap pelaburan mereka iaitu Temasek Group.

3. Apakah tujuan sebenarnya NCER dibangunkan? Persoalan ini banyak berkisar kepada penguasaan pelabuhan dan kemudahan logistik yang diperlukan oleh Singapura jika mereka ingin mengekalkan kuasa dalam sektor perkapalan, ekonomi dan logistik. Dengan pemilikan kuasa dalam NCER, maka Pelabuhan Pulau Pinang dapat dikuasai oleh Temasek Group dengan mudah. Koridor WPI pula memudahkan Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Pasir Gudang dimiliki oleh Temasek Group. Ini secara otomatisnya akan menyebabkan penguasaan pelabuhan kita akan terlepas kepada pihak asing. Tentunya anda ingat akan kes Westport yang dimiliki kepentingannya oleh pihak ketiga seperti yang didedahkan didalam blog in sedikit masa dahulu.

4. Adakah mungkin NCER dibangunkan kerana pihak Singapura amat risau akan ujudnya satu Terusan Segenting Kra yang secara otomatisnya akan menyebabkan ekonomi dan kepentingan Singapura akan tergugat. Ini kerana dalam pelan perancangan Kawasan Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) pernah ada ura-ura untuk membangunkan Terusan Segenting Kra ini yang akan memberikan manfaat yang besar kepada ekonomi Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Oleh yang demikian, apakah NCER sebuah pembangunan komprehensif yang akan memberikan keuntungan kepada Malaysia atau ianya adalah satu lagi perancangan kotor yang didalangi oleh Temasek Group yang mewakili Kerajaan Singapura. Abdullah Ahmad Badawi & Co serta beberapa pihak memang dikenalpasti mudah tunduk dengan permintaan dan arahan Singapura malah menantunya (Khairy Jamaludin) dianggap sebagai proksi utama Kerajaan Singapura di Malaysia.

Terlalu banyak sebenarnya rahsia didalam perancangan pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang rakyat umumnya tidak sedar. Namun janganlah sampai tergadai satu lagi kawasan (tanah) milik kita kepada entiti asing.

Kepada Menteri Penerangan Zainudin Maidin, saya ingin menegaskan bahawa penulis blog yang anda labelkan sebagai alat kepada anasir asing sebenarnya adalah pejuang negara. Ini kerana alat kepada anasir asing yang perlu anda lihat dan kenalpasti adalah Abdullah Ahmad Badawi & Co serta mereka-mereka yang berada di Tingkat 4 Jabatan Perdana Menteri. Mereka inilah sebenarnya alat kepada anasir asing yang perlu kita awasi.

Semoga Malaysia kekal aman, selamat, sentosa dan merdeka selamanya.

joe penang said...

Bagi saya GOBLOK bukan maksud bodoh. Untuk kita ialah teruskan berblog(go blog). Biarkan Luncai terjun dengan labu-labunya. Biarkan...

cakapsiang said...

YBhg Dato',

Apabila meneliti sesetengah tulisan RPK berkaitan dengan kejadian 13 Mei muktahir ini, ia amat menghiris hati saya dan kawan-kawan. Bagi saya dia telah melampaui batas, whoever he is....dia telah menghiris hati saya.... amat terhiris!

wayne said...

Ybhg Dato,

Adalah suatu kesilapan bagi UMNO mengambil dan mengekalkan ZAM sebagai menteri kabinet. Beliau bukan dilahir sebagai ahli politik tulen. Penerjunan ke arena politik adalah secara kebetulan di mana TDM ingin membalas budinya yang telah menulis sebuah buku berkenaan dgn TDM.

Sebagai bekas wartawan beliau nampaknya amat tidak sesuai dipilih menjadi ahli politik dan jika terus dikekalkan boleh membawa padah kepada parti yang kita dambakan.

Kuda Kepang said...

Saudara Cakapsiang, Afrar Yunus, Hamizi, Pemerhati, Joe Penang dan Wayne. Terima kasih.

Secara umumnya, Datuk Seri Zainuddin Maidin wajar kita hormati sebagai Menteri Penerangan. Tetapi, bila dia merapu dan bersuara seolah-olah tanpa memahami soal hujung dan pangkalnya, kita semua berhak untuk bersuara demi kebenaran.

Pada pendapat saya, Zam tidak mampu menangani isu kebangkitan bloggers dan demokrasi siber di negara ini secara berkesan. Sebaliknya, beliau menjadikan situasi semakin confrontational, kusut dan buntu. Terbaru sekali bila dia menuduh sesetengah bloggers sebagai ejen asing. Ini mmenyebabkan rakyat menempelak dengan persoalan bahawa bukankah kini pihak yang dikatakan sebagai ejen asing adalah sesetengah kelompok yang hampir dengan gerbang kekuasaan? Lagi pun, untuk seorang menteri mengeluarkan tuduhan secara melulu dan tanpa bukti adalah perbuatan yang tidak bijak.

Afrar: Saya minta maaf kerana sehari dua yang lalu saya hanya menghidangkan roti menerusi blog ini. Maaf kerana waktu itu tak termampu saya nak beli epal dan lain-lainnya. Maklumlah orang pencen, bila hujung bulan dalam keadaan surutlah adannya!!! Hahaha...

Tapi, saya pasti posting terbaru saya agak menggemparkan. Lepas tu saya akan bentangkan nombor telefon tukang ugut tu dan teks ugutannya. Apa macam? OK?

Cakapsiang: Biarlah apa Zam nak kata, kita biarkan saja dia bersuara dan rakyat mengukur suara itu untuk mempastikan tahap kredibaliti beliau sendiri. Soal posting RPK, saya akan sampaikan kepada beliau perasaan hati anda.

Hamizi: Kuat-kuatlah belajar agar anda jadi Manager Kelas A. Hal si goblok tu kita jadikan satu tauladan dalam kita menempah kecemerlangan di hari muka.

Pemerhati: Terima kasih atas posting NCER. Kawan akan teliti dan hayati posting sedara kita tu.

Wayne: Seperti saya tegaskan secara umum, soal Zam biarlah rakyat jelata sendiri yang mengadili beliau. Kita hanya boleh memerhati dan sekali sekali turut berbicara mengenai beliau.

Joe: GOBLOK ertinya bodoh, tolol, bahlul, bengal, baghal, lembab, bodoh-sombong, psyeudo-intellectual, tak bijaksana, kakak tua, lembu cocok hidung, dsb.

Agak-agak Saudara siapakah individu-individu prominen yang tergolong dalam kategori ini? Tepuk dada dan tanyalah selera!!!

Salam takzim dan salam perjuangan dari saya.